Di saat kita enak dibuai mimpi indah di atas tilam empuk dan menikmati juadah menyelerakan, golongan yang tidak berumah dan hidup melarat hanya mampu berangan-angan untuk menjalani kehidupan normal sebagaimana insan lain.
Bukan semua manusia di dunia ini bertuah dapat menikmati segala nikmat dunia disediakan Allah SWT, malah ada yang terpaksa hidup dalam serba daif, tidur beralaskan bumi dan berbumbungkan langit serta kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Simpati melihatkan nasib golongan gelandangan ini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Norliza Rofli mengadakan program amal Ziarah Sahur dengan menyediakan makanan serta juadah bersahur kepada golongan terbabit di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam program yang bermula jam 2 pagi hingga 4 pagi itu, mereka turut ditemani penyanyi terkenal, Ning Baizura yang turun padang mengedarkan juadah berkenaan kepada golongan gelandangan yang terdiri daripada pelbagai kaum itu.

NORLIZA (tengah) dan Ning meredah awal pagi untuk memberi sumbangan makanan kepada golongan gelandangan.

NING (kanan) menyelami perasaan seorang gelandangan yang dipinggirkan anak kandung.

GEMBIRA dapat berbakti pada masyarakat.
Norliza berkata, bertemu dan berbual dengan golongan terbabit cukup mengharukan perasaannya.
"Masih ramai mereka yang kurang bernasib baik memerlukan perhatian daripada kita. Mereka juga seperti insan lain yang mendambakan kasih sayang tetapi nasib tidak menyebelahi mereka. Usaha ini juga dilakukan untuk membentuk nilai murni di kalangan masyarakat supaya sentiasa tampil membantu orang susah.
"Walaupun program ini dinamakan Ziarah Sahur, tetapi bantuan berkenaan turut diberikan kepada golongan bukan Islam," katanya.
Bertemankan air mata, golongan terbabit meneruskan kehidupan meskipun keperitan mencengkam perasaan. Ada yang memiliki pekerjaan namun dengan gaji yang terlalu kecil, mereka tidak mampu menyewa bilik apatah lagi untuk memiliki rumah yang sempurna. Hanya di kaki lima beralaskan kotak menjadi tempat mereka berlindung.
"Masyarakat kita sangat prihatin tetapi sikap baik rakyat negara ini dipergunakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dengan wujudnya sindiket pengemis. Di ibu kota misalnya, kita boleh lihat wajah-wajah asing datang mendekati kita hingga membuatkan kita berasa sangsi untuk bersedekah.
"Serik menjadi mangsa penipuan, lama-kelamaan rasa simpati itu terhakis daripada diri kita dan cara terbaik untuk mengembalikan rasa prihatin itu, kita pergi terus kepada orang amat memerlukan pertolongan seperti gelandangan ini. Saya berharap program seperti ini akan menerbitkan semula rasa sikap ingin membantu sesama kita," katanya yang mendapat ilham mengadakan program berkenaan di Kuala Lumpur selepas JKKN cawangan Sabah memulakannya sebelum ini.
Norliza berkata, program ini diadakan empat kali sepanjang Ramadan ini termasuk ke rumah anak-anak yatim dan pusat tahfiz di sekitar Lembah Klang.
Sebelum ini, JKKN turut bekerjasama dengan kumpulan nasyid terkenal, Rabbani menyampaikan juadah bersahur kepada anggota polis yang bertugas syif malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Rabbani akan menjayakan majlis berbuka puasa anjuran MATIC, Jalan Ampang pada hari ini (Rabu).
Turut serta pada majlis itu 40 anak yatim dari Gombak, Selangor.
JKKN mahu teruskan usaha murni
Pihak JKKN turut gembira apabila program yang mereka aturkan semakin mendapat perhatian pelbagai pihak.
Norliza berkata, pihaknya mendapat maklum positif dari sektor pelancongan terutamanya program Jom Buka Puasa yang diadakan setiap hujung minggu di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang berjaya menarik ramai pelancong asing.
"Tahun depan Jom Buka Puasa akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan yang menjadi acara wajib setiap kali Ramadan," katanya.
Sebelum ini JKKN lebih dikenali sebagai agensi yang memperjuangkan kesenian negara dan kini skop jabatan itu diperluaskan untuk menyemarakkan budaya bangsa.
Ning kongsi kesedihan
"Sedih hati saya kerana dalam keadaan negara yang semakin membangun, masih ramai lagi yang tidak berumah dan terpaksa hidup bergelandangan," kata Ning Baizura Dalton, 38, selepas mengikuti program Ziarah Sahur bersama JKKN.
Katanya, keadaan ini mengingatkannya kepada diri sendiri yang diberikan Allah SWT mencukupi segalanya termasuk wang ringgit, makan minum, keluarga bahagia dan tempat kediaman.
"Saya lihat ramai antara mereka yang sudah berusia dan sebaya ibu bapa kita. Entah di mana anak mereka. Sebagai anak dan ibu, sayu hati saya melihatkan keadaan itu dan apabila balik rumah saya cerita pada emak (Satilah Abdullah) apa yang saya jumpa dan saya lihat. Keadaan itu amat menginsafkan saya," katanya.
Ning ketika mengikuti program itu mengaku terkejut dan hiba tatkala melihat ramai gelandangan yang merempat di ibu kota.
Malah, Ning ditemani suaminya, Omar Shariff Christopher Layton Dayto, 37, pada malam itu turut memasang impian untuk membina rumah perlindungan kepada insan malang terbabit sekiranya mampu.
"Saya harap apabila tua nanti, anak-anak tidak akan melupakan saya. Ada yang saya temui sudah tidak berapa betul fikirannya, barangkali kerana tekanan hidup dia jadi begitu," katanya.
Menyentuh hasratnya untuk membina rumah perlindungan, jelas Ning barangkali sukar untuknya membina rumah itu sendiri kerana kosnya yang tinggi. Sehubungan itu, dia berharap ada pihak yang sudi bekerjasama.
"Ia bukanlah tempat tinggal kekal tetapi memberi mereka tempat tinggal sementara dan kita boleh beri mereka latihan seperti kelas memasak, kraftangan dan menjahit agar mereka boleh membina hidup baru. Sukar untuk menyediakan tempat tinggal kekal kerana mereka ramai dan untuk masuk ke rumah perlindungan itu pun perlu ditapis," katanya.
Pada malam itu Ning turut menaja 300 bungkus nasi untuk diberikan kepada golongan itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23