Khamis, 15 September 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Biskut coklat lipas

Posted: 14 Sep 2011 10:37 AM PDT

KLANG: Terkejut, jijik dan meloyakan. Itu perasaan seorang pekerja swasta apabila mendapati biskut coklat yang dimakan selepas membelinya di sebuah kedai runcit, di sini, mengandungi telur lipas.

Malah, lebih menjijikkan, Mohd Syahmi Saad, 36, berkata apabila diperiksa di dalam tin biskut itu turut menemui bangkai seekor lipas.


Menceritakan kembali, Mohd Syahmi menyatakan dia bersama beberapa rakan sekerja mengisi masa rehat dengan berbual kosong sambil makan biskut itu.

"Ketika bersembang, saya tertarik melihat bijian coklat yang terdapat pada biskut berkenaan kerana agak pelik dan mengambil pen untuk memecahkan bijian coklat itu.


"Saya dan rakan hampir termuntah apabila melihat beberapa anak lipas yang masih putih keluar dari bijian coklat itu dan terdapat beberapa ulat yang bergerak-gerak," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Lebih memeranjatkan, apabila Syahmi dan rakan yang memeriksa kandungan di dalam tin biskut berkenaan menjumpai seekor lipas yang sudah mati.

"Syarikat biskut terbabit sepatutnya memeriksa tahap kebersihan lebih-lebih lagi syarikat mereka mempunyai nama besar sepatutnya tidak mempunyai masalah dari segi kebersihan.


"Apapun, mana-mana syarikat perlu menjaga kebersihan kerana ia memberi kesan kepada kesihatan pengguna dan pembeli," katanya.

Menurutnya, dia sudah menghabiskan hampir 70 peratus daripada tin biskut coklat bertarikh luput pada 2013 itu sebelum menyedari kejadian itu kerana biskut yang mempunyai telur lipas itu berada di lapisan bawah.


Sementara itu, wakil syarikat pengeluaran biskut terbabit, ketika dihubungi, berkata cara penutupan yang tidak rapat boleh menjadi punca lipas memasuki tin biskut itu.


"Bagi telur lipas yang menyerupai bijian coklat itu, saya menolak sekiranya ada yang menganggap kami menggunakan telur lipas bagi mengurangkan modal.


"Kebersihan syarikat kami tidak perlu dipertikaikan kerana berada pada tahap amat memuaskan dan pemeriksaan kebersihan dilakukan dengan kerap," katanya.

Ibu ugut bunuh tak restui kahwin

Posted: 14 Sep 2011 10:34 AM PDT

AMPANG: Hanya kerana percaya bomoh, seorang ibu memukul, menendang perut dan memijak kaki selain mengugut mahu membunuh anak gadisnya yang berusia 23 tahun kerana tidak mahu gadis itu berkahwin dengan lelaki pilihannya, kelmarin.

Difahamkan, teman lelaki mangsa yang berusia lewat 20-an itu pilihan ibu mangsa yang menyatukan mereka, namun disebabkan terlalu percaya kepada bomoh, si ibu menghalang pula hubungan mereka.


Menurut sumber, mangsa dipercayai melarikan diri dari rumah mereka di Pandan Mewah, di sini, selepas bengkak dan lebam pada badan akibat tindakan ibunya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini.

Katanya, ibu gadis terbabit yang berusia 50-an bertindak sedemikian selepas mendapat perkhidmatan seorang bomoh untuk menilik nasib mangsa dan teman lelakinya.


"Malangnya, keputusan tilikan nasib itu kononnya mangsa dan teman lelakinya tidak boleh berkahwin kerana akan berlaku perceraian menyebabkan si ibu mahu dia memutuskan hubungan dengan lelaki itu.


"Bagaimanapun, hari perkahwinan mereka semakin hampir menyebabkan mangsa enggan berbuat demikian dan mengundang kemarahan ibunya," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa tidak dapat menerima hakikat apabila ibunya menyuruh dia memutuskan hubungan dengan lelaki terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran.


"Ketika pertengkaran itu, ibu saudara mangsa masuk campur dengan memukul, menampar dan menarik rambut mangsa menyebabkan dia terjatuh.

"Malah, ibu saudara memukul kepala mangsa beberapa kali. Mangsa cuba bangun, namun tidak berdaya," katanya.


Tidak cukup dengan itu, sumber mendakwa mangsa menerima 'habuan' lebih teruk apabila ibunya menendang perut dan memijak kakinya.


Selain itu, mereka dipercayai mengugut mahu membunuh mangsa sekiranya mangsa keluar berjumpa teman lelakinya.


Berikutan itu, mangsa melarikan diri dari rumahnya dan membuat laporan polis.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Rumah berdarah

Posted: 14 Sep 2011 11:08 AM PDT

SANDAKAN: Berang permintaannya supaya menjual rumah yang didiami untuk mendapat modal perniagaan tidak dilayan, seorang anak berusia 31 tahun menikam hingga mati ibu bapanya manakala kakaknya cedera, kelmarin.

Kejadian berlaku di rumah keluarga itu di Batu 1 1/2, Jalan Utara di sini, pada kira-kira jam 10.45 malam.

Yew Hiap Foh, 70, ditemui seorang lagi anak perempuannya dalam keadaan terbaring di bilik tidur dengan kesan tikaman di dada manakala isterinya, Chu Ching Moi, 62, ditemui tidak bernyawa di atas sofa di ruang tamu juga dengan kesan tikaman di dada.

Anak perempuan pasangan itu yang juga kakak suspek, Yew Pui Lin, 37, parah akibat tikaman di perut dan kini menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, di sini.


Difahamkan, selepas amukan suspek, Pui Lin yang parah sempat menghubungi adik perempuannya berusia 30 tahun yang menetap di Taman Indah Jaya di sini, memberitahu kejadian menimpanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Bapa terjun tangki najis

Posted: 14 Sep 2011 11:05 AM PDT

ROMPIN: Seorang bapa nekad terjun ke dalam tangki najis semata-mata mahu menyelamatkan anaknya yang terjatuh.

Malangnya, usaha itu gagal apabila anaknya yang berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia di dalam tangki berkenaan di Bangunan Arked Mara, Bandar Baru, Kuala Rompin, dekat sini, petang kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa dikenali sebagai Mohd Izwan Jusoh, dari Endau, Mersing, Johor disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Sebelum kejadian, mangsa yang mengikut bapanya, Jusoh Muda, 50, berniaga di pasar malam, ditemani seorang lagi rakan sebaya bermain berhampiran tangki najis berkenaan.


Bagaimanapun, ketika leka bermain, mangsa tergelincir ketika memijak tangki itu yang hanya ditutup dengan papan sebelum terjatuh ke dalamnya.


Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian itu hanya disedari bapa mangsa selepas terdengar jeritan peniaga lain yang meminta pertolongan.

Menurutnya, pada masa sama, bapa mangsa yang berniaga pakaian di kawasan itu nekad terjun ke dalam tangki berkenaan selepas dimaklumkan anaknya terjatuh.


Katanya, siasatan mendapati, bapa mangsa mengambil masa kira-kira lima minit untuk mencari anaknya dengan meraba-raba di dalam tangki berkenaan.

"Selepas berjaya menemui anaknya, bapa mangsa menghantar kanak-kanak malang itu ke Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini, namun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.


"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan turut mendapati, tangki najis berkenaan hanya ditutup dengan papan selepas penutupnya hilang dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab.


Katanya, polis mengesahkan kejadian itu tidak mempunyai unsur jenayah dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Johari berkata, jenazah mangsa sudah dituntut dan dibawa pulang ahli keluarganya, malam kelmarin.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Razif pertikai syarat

Posted: 14 Sep 2011 09:15 AM PDT

TELUS atau tidak setiap tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas menetapkan beberapa syarat supaya dituruti pemain profesional jika mahu berlatih bersama di Stadium Juara, Bukit Kiara menjadi persoalan kepada bekas ketua jurulatih badan induk badminton, Razif Sidek.

Razif yang mengalu-alukan kesediaan BAM menerima gandingan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari menyifatkan persatuan itu membuat keputusan baik tapi beberapa syarat yang dikenakan menyebabkan beliau berasa BAM sebenarnya cuba menghalang pemain profesional dari berlatih bersama pemain mereka.


"Tidak masuk akal langsung syarat yang mereka kenakan kepada pemain jika 'sparring' bersama di Bukit Kiara," kata Razif mengulas mengenai syarat BAM tidak membenarkan jurulatih peribadi pemain profesional berada di gelanggang latihan ketika Zakry-Fairuzizuan berlatih bersama pemain mereka.

Begitupun beliau tidak menghalang Zakry-Fairuzizuan untuk berlatih di Bukit Kiara jika itu kemahuan mereka.


"Saya tidak kisah, terpulang kepada mereka mahu berlatih di sana atau tidak malah saya berterima kasih kepada BAM kerana sedia menerima mereka berlatih bersama dua kali seminggu untuk tempoh tiga bulan." Meskipun Razif berasa janggal dengan syarat itu, BAM sememangnya berhak untuk meletakkan apa juga syarat kerana mereka adalah tuan rumah dan menjadi adat, tetamu perlu mengikut peraturan tuan rumah.


Cuma yang menjadi kebimbangan beliau adalah syarat dikemukakan bagaikan lebih cenderung kepada menghalang kerjaya pemain profesional.

"Bagi saya BAM rasa tergugat apabila dua beregu Zakry-Fairuzizuan dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen kini bersama KLRC menjadi gandingan kedua terbaik di negara ini selepas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tapi mereka sepatutnya melihat perkara ini dari sudut positif kerana tidak perlu lagi menanggung dua gandingan ini," kata Razif.


Dalam pada itu, Teik Chai-Bin Shen berharap masalah antara mereka dengan BAM selesai dengan cara baik.

"Saya gembira dengan perbincangan dalam proses mediasi yang dilakukan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana sekurang-kurangnya kami, kedua-dua pihak berpeluang duduk semeja berbincang dengan baik.


"Saya yakin masalah ini boleh selesai kerana kami dan BAM akan berinteraksi secara terus sesama sendiri," kata Teik Chai.


Namun ketika ditanya jika gagal mencapai kata sepakat dalam perbincangan itu, Teik Chai tidak menolak untuk membawa isu itu ke peringkat seterusnya.


"Jika tidak selesai kami akan ke Majlis Timbang Tara MOM atau mungkin ke Mahkamah Timbang Tara Sukan Dunia di Lausanne, Switzerland. Jika tidak selesai juga kami akan bawa ke mahkamah sivil," kata Teik Chai.


Bin Shen dalam pada itu menyuarakan pandangannya dengan mengatakan mereka tidak pernah bergaduh dengan BAM.


"Kami cuma mahu pertahankan hak kami yang melayakkan diri ke Kejohanan Dunia, itu saja. Apa yang kami lakukan ini semata-mata menegakkan keadilan bukan memusuhi BAM kerana tanpa BAM, siapalah kami yang mula naik bersama BAM selama ini," kata Bin Shen.

Belum cukup bagus

Posted: 14 Sep 2011 09:10 AM PDT

SEKALIPUN puas hati dengan tiga kemenangan berturut-turut yang dicatat Negeri Sembilan, termasuk mengenepikan juara Piala FA musim ini, Terengganu, 1-0, malam kelmarin untuk mendahului carta Kumpulan B, ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah enggan menghela nafas lega.

Sebaliknya beliau mengaku barisan depan pasukan itu perlu dimantapkan lagi berikutan banyak peluang diperoleh gagal dimanfaatkan apabila tidak kurang lima peluang terbaik terutama menerusi penyerang berpengalaman, Hairudddin Omar, gagal disempurnakan.


"Banyak peluang gagal disempurnakan barisan depan namun saya bersyukur kerana misi mendapatkan mata penuh tercapai walaupun kita ditentang hebat.

"Memang kita sudah jangka situasi itu kerana lawan memiliki kekuatan tersendiri, apapun saya puas hati dengan persembahan pemain dan rentak kemenangan ini perlu dikekalkan pada perlawanan akan datang untuk layak ke suku akhir," katanya.


Negeri Sembilan meraih kemenangan mutlak menerusi jaringan pemain sayap, Shahurain Abu Samah pada minit ke-64 sekali gus mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan berturut-turut.


Azraai mengaku kemenangan itu hasil semangat berpasukan yang tinggi apabila terus melakukan asakan ke kubu lawan sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Menurutnya, gandingan tiga penyerang Hairuddin, Ahmad Fakhri Saarani dan Mohd Firdaus Azizul sambil dibantu pemain sayap Shahurain Abu Samah dan S Kunalan tampak berkesan.


"Saya harap pemain dapat meneruskan rentak cemerlang ini pada perlawanan berikut bagi melebarkan penguasaan pasukan," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Sekolah tegah pelajar mekap

Posted: 14 Sep 2011 08:16 AM PDT

LONDON: Sebuah sekolah yang bosan dengan pelajar yang melanggar peraturan larangan bersolek bertindak menanggalkan semua cermin di tandas.

Langkah tegas itu dilaksanakan serentak dengan pengharaman menyeluruh terhadap mekap bagi mengekang pelajar berusia 14 hingga 16 tahun daripada memenuhi tandas untuk bersolek.


Dasar tiada tolak-ansur sekolah itu terhadap perbuatan bersolek turut menyaksikan guru diberi peralatan mencuci mekap bagi memastikan pelajar mematuhi peraturan.

Pelajar perempuan di Shelley College di Huddersfield, West Yorkshire, kini diperiksa setiap hari bagi memastikan mereka tidak bersolek.


Beberapa pelajar dikatakan berang terhadap peraturan berkenaan sambil mendakwa bermekap membantu memberikan mereka keyakinan.


Bagaimanapun, Pengetua, John McNally, berkata, kebanyakan pelajar dan ibu bapa menyokong tindakan itu.

"Sudah tiba masanya anda perlu menghentikan guru daripada menghabiskan setengah jam sehari untuk bercakap kepada pelajar mengenai mekap. "Kami menanggalkan cermin kerana beberapa pelajar memasuki tandas pada waktu makan dan menghabiskan masa di situ sambil makan bekalan mereka.


"Pelajar itu menjadi taksub kepada cermin dan apabila kami menurunkannnya, masalah itu selesai. Ramai yang menerima dasar itu memandangkan sebahagian besar pelajar tidak bersolek dan mereka yang mengenakan sedikit mekap gembira kerana berhenti berbuat demikian.

"Yang membuat kecoh hanyalah lima atau enam pelajar. Mereka yang bermekap paling tebal.


"Kami mendapat banyak sokongan daripada ibu bapa. Sudah pasti ada pelajar yang cuba melanggar arahan," kata McNally. - Agensi

Polis temui berlian dalam perut pencuri

Posted: 14 Sep 2011 08:15 AM PDT

MARBELLA: Seorang pencuri di Sepanyol yang mencuri berlian milik seorang wanita Britain dan kemudian menelannya, ditangkap apabila polis menahannya di sekatan jalan raya dan memaksanya menjalani imbasan-X.

Kecurian berlaku apabila dua wanita memasuki sebuah restoran di Marbella, pusat peranginan mewah Sepanyol dan seorang daripada mereka meninggalkan beg tangan di lantai di sebelah kerusi.


Menurut laporan polis: "Dua lelaki berpakaian kemas masuk. Seorang duduk di bar dan seorang lagi di sebelah wanita berkenaan. "Apabila kedua-dua lelaki itu keluar, wanita itu mendapati beg tangannya mengandungi 2,000 euro (RM8,500) dan 400 paun (RM2,000), telefon bimbit, loket dengan berlian bernilai 12,000 euro (RM50,500) serta barangan berharga lain, hilang.

Beberapa jam kemudian, polis menahan sebuah kereta di sekatan jalan raya dan mendapati empat orang di dalamnya mempunyai rekod jenayah.


Polis juga menemui beg tangan serta barangan berharga dan wang tunai, yang kemudian mereka sahkan milik wanita Britain terbabit.


Yang tidak ditemui ialah berlian itu.

"Ketika operasi, pegawai menyedari seorang lelaki terbabit meletakkan tangan pada mulutnya.


"Ia membuat polis mengesyaki lelaki itu menelannya. Untuk mengesahkannya, semua lelaki yang ditahan diarah menjelani imbasan-X dan berlian itu dikesan dalam perut seorang daripada mereka, yang kemudian mengaku menelannya. - Agensi

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Shila kekok jumpa Sharnaaz

Posted: 14 Sep 2011 06:36 AM PDT

SUATU masa dulu dia dikenali sebagai Shila Tekno. Ketika itu dia masih kecil dan sentiasa ditemani ayahnya, penyanyi dan pelakon N D Lala. Meniti usia remaja dan semakin matang, Shila Tekno hanya tinggal sejarah dan kini semua peminat mengenalinya sebagai Shila Amzah.

Apa yang membanggakan, sejak menyertai pertandingan One In A Million 2, Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah, dilihat semakin hebat dan vokalnya kian mendapat pujian.

Malah, ada berpendapat dia tergolong dalam kelompok artis muda Malaysia yang mempunyai vokal terbaik dan ia terbukti dalam lagu Memori Tercipta dan kini lagu berkumpulan, Beribu Sesalan bersama Jaclyn Victor dan Ning Baizura.

Terbaru pula, Shila mempertaruhkan single mutakhirnya, Patah Seribu. Ironinya, walaupun judul Patah Seribu sekali dengar seperti judul sebuah lagu Irama Malaysia, ia sebenarnya lagu pop kontemporari yang ada elemen 'country & western'.


Menariknya, lagu itu ciptaan Shila sendiri dengan susunan muzik oleh penggubah handalan, Aubery Suwito.


Keputusan yang penting juga dibuat Shila apabila dia tidak lagi diuruskan syarikat Monkey Bone Records dan The 8 Unit selepas memilih menamatkan kontrak dengan mereka. Shila memilih bernaung di bawah syarikat milik keluarganya sendiri, Urustabil Sdn Bhd kerana lebih selesa.

"Retak Seribu menjadi lagu pertama untuk album penuh saya kelak yang bakal diterbitkan sendiri oleh Urustabil. Lagu ini sebenarnya sudah dihasilkan sejak tiga tahun lalu tapi saya kurang berani untuk memasarkannya. Saya menunggu dulu sedangkan apabila diperdengarkan kepada kawan-kawan artis seperti Aizat dan Ana Raffali, mereka suruh saya pasarkan single ini.

"Apabila keluar dari Monkey Bone, barulah saya buat keputusan untuk keluarkan lagu ini. Punca utama kalau lagu ini gagal diterima, saya tak dipersalahkan mana-mana pihak kerana semuanya saya buat sendiri. Saya gembira dibantu Aubrey Suwito dari sudut susunan muzik," katanya yang pernah muncul dengan album Bebaskanlah pada 2009.

"Saya sepatutnya menghasilkan tiga album dengan Monkey Bone tapi apakan daya hanya sempat tampil dengan satu album saja. Bagaimanapun, saya tak kecewa dan tak bergaduh dengan mereka. Apa yang berlaku adalah satu pengalaman terbaik. Banyak ilmu yang saya timba dengan Monkey Bone yang tidak boleh diperoleh di mana-mana.

"Album penuh terbaru saya akan menemui peminat sekitar Februari atau Mei tahun depan. Setakat ini, saya sudah simpan 30 koleksi lagu yang semuanya ciptaan saya sendiri. Kalau boleh saya nak cuba terbitkan semua lagu ciptaan saya sendiri kerana ia lebih puas.

"Kalau Aizat dan Yuna boleh buat sendiri, kenapa saya tidak boleh mengikut jejak positif mereka. Yang penting saya disokong penggubah muzik yang berpengalaman seperti Aubrey Suwito. Saya selesa bekerja dengan Aubrey," katanya lagi.

Shila berkata, dia tidak menyanyikan lagu balada sebelum ini kerana mahu orang melihat perubahannya dari zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa. Merasakan detik itu cukup sesuai kini, baru dia tampil dengan lagu balada yang 'mencengkam' seperti gabungan '3 Suara' yang menggandingkannya dengan Ning dan Jaclyn.

"Pada usia sekarang, saya rasa sudah boleh tampilkan lagu cinta. saya kena kaji konsep lagu saya ikut kesesuaian umur saya.

"Saya gembira kerana ramai peminat sukakan lagu Beribu Sesalan. Ia sangat istimewa kerana jarang kita melihat gabungan tiga penyanyi dalam sebuah album. Lagu ini juga mula mendapat sambutan hangat di Singapura. Saya bangga dapat bergabung suara dengan Kak Ning dan Jac.

"Sebagai kelainan, saya juga buat versi solo dan muat naik lagu itu dalam YouTube. Ternyata, ia sangat memberangsangkan kerana setakat ini sudah ditonton 40,000 orang," katanya.

Kegilaan terbaru Shila ketika ini adalah merakam nyanyiannya secara suka-suka dan dimuat naik dalam Internet terutama YouTube untuk hiburan peminat. Hobi ini katanya berputik sejak lima bulan lalu. Boleh dikatakan setiap masa dia akan berada di laman twitter untuk berinteraksi dengan peminatnya. Memang begitulah cara dan 'trend' terkini bagi ramai artis lain di seluruh dunia.

Sementara itu, Shila juga baru selesai menjalani penggambaran muzik video lagu Patah Seribu yang diarahkan Michael Ang. Muzik video ini menggandingkannya dengan pelakon meningkat naik, Sharnaaz Ahmad. Banyak pengalaman menarik dilaluinya ketika terbabit dengan penggambaran yang memakan masa selama 18 jam ini.

"Jalan cerita muzik video ini menggambarkan mengenai pasangan bercinta. Terus terang saya memang kekok kerana tidak pernah berlakon sebelum ini. Saya pun baru pertama kali jumpa Sharnaaz, tapi mujurlah dia suka usik saya. Jadi, tidaklah rasa janggal apabila sudah lama di lokasi.

"Biarpun terpaksa mengambil masa selama hampir 18 jam, saya percaya dengan kemampuan Michael untuk buat yang terbaik. Saya suka berlakon tapi keutamaan kini adalah pada nyanyian. Harap-harap peminat suka dengan muzik video Patah Seribu," ujarnya.

Berkongsi cerita mengenai buah hati pula, Shila menjelaskan dia masih selesa bersendirian tanpa cinta. Baginya sukar untuk mencari lelaki yang memahami kariernya disamping mempunyai ciri-ciri lain antaranya menghormati kedua orang tuanya.

"Selepas 11 tahun dalam seni, saya ada sasaran sendiri dan rasa belum puas dengan apa yang baru saya peroleh.

Selain itu saya juga ada tanggungjawab untuk jaga hati keluarga saya dan peminat. Kalau ada kekasih mungkin saya terpaksa lebih menjaga hatinya dan lama-lama kelamaan keluarga dan peminat terabai.

"Jadi biarlah dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, saya akan gunakan masa itu untuk fokus kepada karier sebelum membuat keputusan untuk berpasangan secara serius. Saya sebenarnya tidak suka bercinta lama-lama.

"Bukanlah bermakna saya cuba jual mahal tapi inilah situasi sebenar diri saya. Buat masa ini hidup saya tak sunyi kerana setiap hari akan berinteraksi dengan peminat. Selain mereka, saya juga ada kawan-kawan dan paling utama keluarga yang sering menyokong dan bersama setiap masa serta dalam apa juga keadaan," katanya yang turut bergelar duta Safi Balqis Perfect 10.

PROFIL

NAMA PENUH: Nur Shahila Amir Amzah
NAMA KOMERSIAL: Shila Amzah
TARIKH LAHIR: 13 Ogos 1990
USIA: 21 Tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyanyi, duta produk
PENCAPAIAN: Naib Juara One In A Million 2 (OAIM2)
ALBUM: Sha-hila (EMI 2005), OST 5 Jingga (EMI 2008), Bebaskanlah (Monkey Bone, 2009), 3 Suara (bersama Ning Baizura & Jaclyn Victor - 2011)
SINGLE TERBARU: Patah Seribu (label Urustabil)
TALENTS: Coca-Cola, Walls Cornetto, Colgate, duta Tinge & Safi Balqis Perfect 10

Tiada lagi tawa Nur Aisyah

Posted: 14 Sep 2011 06:20 AM PDT

HANYA air mata menjadi teman hidup penyanyi dan pelakon Safura Yaacob bersama suami–nya, Sahronizam Noor, ketika ini dalam menerima ketentuan Ilahi apabila anak mereka, Nur Aisyah Mariam, 3, kembali ke rahmatullah, Isnin lalu.

Hakikat ini kerana Aisyah, anak ketiga Safura yang juga zuriat sulung perkahwinannya dengan Sahronizam, seorang anak yang sangat comel dan manja dengan mereka sekeluarga.

"Saya dengan penuh reda menerima semua ini sebagai takdir buat kami sekeluarga. Kami sudah berusaha dan bertawakal dengan sebaik mungkin. Cabaran kami sekarang adalah meneruskan hidup dan menerima hakikat Nur Aisyah sudah tiada lagi di dunia ini," kata Safura dalam deraian air mata ketika ditemui wakil Rap di Taman Seri Bayu, Ampang, Selangor, kelmarin.

"Kehilangan arwah berlaku dalam sekelip mata ketika kita masih meraikan Syawal. Ia sa–ngat dirasakan kakaknya Nurul Natasha, 16, dan abangnya,Muhammad Danial, 11. Arwah sentiasa menghiburkan kami dengan telatah dan sikapnya yang cerdik.


"Suami saya juga selalu memandikan dan menyediakan makanan untuk Nur Aisyah kerana dia suka sangat makan dan kami terhibur dengan keletahnya kalau meminta makanan kegemarannya.


"Peti sejuk kami sentiasa ada makanan kegemarannya seperti buah epal, spaghetti dan coklat. Dia akan meminta makanan ini kalau bermain komputer riba berwarna putih miliknya sebelum masuk tidur," kata Safura, 38.

Nur Aisyah, anak ketiga daripada empat beradik, meninggal dunia akibat masalah pernafasan dan kehilangan air dalam badan berikutan demam dialami sejak minggu lalu.

Dia menghembuskan nafas terakhir tidak sampai sehari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang Puteri, Ampang, pada Isnin lalu.

Jumaat sebelumnya, dia dibawa membuat pemeriksaan di Hospital Ampang tetapi dibenarkan pulang selepas pemeriksaan dibuat doktor.

Kata Safura lagi, Nur Aisyah dulu sangat meminati program realiti Akademi Fantasia (AF).

"Sekalipun usia baru tiga tahun, dia sangat bijak bermain komputer dan mempunyai video khusus ditonton terutama Erul AF9 yang sangat diminatinya.

"Dia kerap menonton nya–nyian serta persembahan Erul AF9 dalam YouTube. Selain itu, dia juga hafal keseluruhan lirik lagu Sedalam Mana Cintamu nyanyian saya.

"Aisyah sangat suka lagu Mama dan ayat itu masih terngiang-ngiang di telinga
saya hinggalah sekarang," katanya.

Safura akui, dia rasa terkilan kerana tidak dapat menyampaikan hajat menyuapkan biskut 'cream crackers' kegemaran anaknya itu kerana meninggal sewaktu dirawat di ICU.

"Sewaktu Aisyah dimasukkan ke ICU, pagi Isnin lalu, saya pula ke Kelana Jaya untuk menghadiri satu mesyuarat pada sebelah petang.

"Sebaik saja saya sampai semula ke hospital jam 9 malam, saya diberitahu doktor mereka sudah mencuba sedaya upaya.

"Doktor sudah cuba membuat yang terbaik dan meminta saya banyak bersabar kerana Allah s.w.t lebih menyayangi anak kami itu. Apapun, Sahronizam sempat membelikan Milo yang diminta arwah beberapa jam sebelum dia dipindahkan daripada wad biasa ke ICU," katanya.

Mengimbas lagi tragedi yang berlaku, Safura berkata: "Kami membawa Nur Aisyah membuat pemeriksaan di Hospital Ampang, pada Jumaat lalu selepas didapati degupan jantung laju, susah bernafas dengan bibir pecah dan pucat seperti kurang air dalam badan.

"Doktor membenarkan Nur Aisyah dibawa pulang sebelum kami membawa pemeriksaan kedua di Hospital Ampang Puteri. Tidak sampai sehari ditahan, dia meninggal dunia sewaktu dalam wad ICU. Arwah sebelum ini pernah mendapat rawatan sesak nafas dan masalah kahak dalam paru-parunya," jelasnya.

Safura yang kini mengandung lima bulan juga bercadang membatalkan rakaman program Serasi Bersama untuk tayangan siaran Astro 104 tidak lama lagi.

"Kami sekeluarga sudah selesai penggambaran sesi santai dan makan-makan bersama program itu tapi saya bercadang tidak mahu meneruskan lagi baki penggambaran terakhir membabitkan permainan sekeluarga.

"Buat masa ini, saya mahu berehat dan mencari ketenangan dulu dengan ketiadaan Nur Aisyah," katanya.

Jenazah Nur Aisyah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Al-Ridwan, Hulu Klang kira-kira jam 11 pagi, Selasa lalu.

Antara rakan artis yang sempat mengunjungi keluarga Safura termasuk Syed Sobrie dan isteri, Azie, Deja Moss, Zarina Zainuddin, Sheila Rusly, Nur Fazura serta wakil Persatuan Karyawan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Rabu, 14 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Mandian hidroterapi kembali langsing

Posted: 14 Sep 2011 07:47 AM PDT

HAMPIR dua minggu berhari raya, ramai mengeluh apabila berat badan semakin bertambah. Apa tidaknya setiap minggu terpaksa memenuhi undangan rumah terbuka dengan makanan menyelerakan terhidang di depan mata. Sudah tentu wanita sukar mengawal nafsu dan makan melebihi sepatutnya.

Jika sepanjang Ramadan berat turun dua kilogram tetapi kembali meningkat sehingga tiga kilogram selepas Aidilfitri. Sudah tentu ini memeningkan kepala dan memerlukan wanita melakukan aktiviti tertentu agar berat badan tidak naik sepanjang masa.

Bukan itu saja, bagi yang gemar mengadakan rumah terbuka masalah lenguh dan sengal pada anggota tubuh adalah perkara biasa. Ini mungkin kerana seharian di dapur dan berdiri melayan tetamu sepanjang hari menyebabkan otot tidak berehat secukupnya.

Ketika inilah anda memerlukan rawatan yang bukan saja mampu mencantikkan tubuh tetapi mengembalikan semula tahap kesihatan.


Melakukan rawatan spa dengan belaian haruman aromaterapi sambil tubuh diurut lembut pakar terapi mungkin bermain di semua fikiran wanita. Ini kerana ketika inilah wanita dapat berehat sepenuhnya sambil melupakan semua masalah sama ada di rumah atau di tempat kerja.


Jika anda biasa melakukan rawatan sauna atau mandi wap, apa kata anda cuba mandian hidroterapi yang berfungsi memperbaiki sistem peredaran darah, membersihkan kulit secara menyeluruh, memutihkan kulit serta mengembalikan kelangsingan tubuh. Lebih penting rawatan yang berasal dari Jerman ini membantu membakar lemak serta mengembalikan pola makan dan tidur menjadi lebih teratur.

Menurut pemilik dan juga Pengarah Urusan Edzscape Spa, Edzrina Esa, pengalaman melakukan spa hidroterapi di rumah empat tahun lalu mendorongnya membuka pusat kecantikan yang menyediakan perkhidmatan mandian hidroterapi bersama rawatan kecantikan yang lain.

"Naluri kewanitaan saya begitu kuat, saya gemar mengunjungi pusat rawatan kecantikan tetapi sukar mendapat perkhidmatan yang baik pada harga yang murah. Selepas membeli mesin hidroterapi untuk ibu yang menghidap kencing manis saya dapati banyak perubahan diperoleh.

"Selain mengurangkan berat badan, rawatan ini membantu mengatasi masalah kesihatan seperti kencing manis, gout dan asma. Hasilnya ibu saya semakin sihat, malah membantu pemulihan luka pada kaki dengan cepat sekiranya dilakukan secara teratur," katanya.

Tambahnya, rawatan ini sangat mudah dan tidak memerlukan banyak masa. Anda hanya perlu berendam dalam tab mandi yang airnya dicampur dengan minyak aromaterapi bersama sedikit garam bergantung kepada masalah pelanggan. Antara bauan yang ditawarkan seperti lavender, eucalyptus, juniper, pine, hayseed, rosemary dan camomile.

"Setiap bauan mempunyai kelebihan tersendiri, contohnya lavender dikenali kerana dapat menenang dan menghilangkan ketegangan urat, manakala eucalyptus baik untuk sistem pernafasan, masalah batuk dan resdung, juniper meredakan ketegangan dan sakit otot manakala spruce dan pine pula menyegar, menghilangkan kelesuan dan memulihkan tenaga," katanya yang berkelulusan ijazah dalam bidang kimia daripada Universiti Malaya.

Bagi wanita yang mempunyai masalah kesihatan mereka cuma perlu berendam dalam tab mandi yang dihubungkan dengan mesin hidroterapi selama 15 atau setengah jam.

Alat ini memberikan tiga kelebihan, iaitu ultrasonik semula jadi yang mampu mengeluarkan lebih daripada satu juta busa atau gelombang kecil infra merah setiap satu minit dan berfungsi memanaskan badan dari dalam, mengurut, membersih, mencantikkan, membentuk badan dan memberikan kesan seperti senaman kepada pengguna.

"Radiasi infra merah meresap ke dalam tubuh dan membantu memanaskan badan dari dalam sekali gus membantu melancarkan peredaran darah dan mengoptimumkan perjalanan sistem saraf. Infra merah juga dapat menghuraikan lemak sebagai proses penyah toksin, menyingkirkan air dalam tubuh, mengatasi rasa letih dengan cepat serta membantu meningkatkan ionisasi sehingga kadar ion dalam darah meningkat.

"Sebab itu hanya 15 minit berendam dalam tab mandi sama seperti berjoging sejauh tiga hingga lima kilometer dan membakar 300 hingga 500 kalori," katanya.

Sebelum berendam, ahli terapi akan menerangkan posisi yang boleh dilakukan bagi mendapatkan hasil mandian yang lebih berkesan iaitu posisi mencangkung, duduk, bersila, membongkok, duduk dengan meninggikan lutut dan mengiring. Setiap posisi ini mempunyai kebaikan daripada segi kesihatan.

"Namun sekiranya anda malas atau baru pertama kali mencuba, cukup dengan posisi berbaring anda akan dapat rasai tumbukan lembut yang terhasil daripada gelembung air.

"Rawatan yang menggabungkan teknik jakuzi, wap dan sauna ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan, namun bagi yang baru mencuba mungkin mereka akan rasa gatal di sekitar pori-pori atau mungkin kulit akan merah.

"Tetapi jangan bimbang kerana ini adalah kesan daripada proses pengeluaran racun dalam tubuh sehingga kelihatan serbuk hitam di sekitar tab mandi," jelasnya.

Untuk mendapatkan hasil optimum, wanita disarankan melakukan mandian hidroterapi dua kali sehari iaitu pagi dan malam terutama bagi yang mempunyai masalah kesihatan. Namun bagi yang susah tidur atau hanya untuk menenangkan cukup dengan sekali seminggu.
Selesai melakukan mandian, sebaiknya harus disusuli dengan urutan badan bagi melancarkan peredaran darah serta mengembalikan kesegaran tubuh.

Menurut Edzrina, rawatan hidroterapi ini sesuai untuk pasangan pengantin kerana lulur dan urut saja tidak mencukupi bagi mendapatkan hasil terbaik.

"Kebanyakan pasangan pengantin hanya melakukan mandi susu dan lulur selama dua kali rawatan. Namun, sebenarnya tidak mencukupi. Untuk lebih berkesan mereka seharusnya melakukan mandian hidroterapi kerana ini akan membuatkan pori-pori lebih terbuka dan sel kulit mati terhakis dengan mudah. Selepas itu baru dilakukan mandi susu, lulur dan urutan badan," katanya.

Selain itu, spa berkenaan yang terletak di Damansara Perdana, Petaling Jaya, turut menyediakan rawatan kuku tangan dan kaki untuk dewasa dan kanak-kanak daripada harga serendah RM35, rawatan muka, urut menggunakan batu, pakej pengantin dan urutan selepas bersalin.

Kebaikan spa hidroterapi:

Membantu melangsing dan mencantikkan bentuk badan, memutih dan menghaluskan kulit, memejal otot badan dan muka, menghilangkan bau badan, mengurangkan perut buncit dan mengetatkan organ peranakan.

15 minit mandian hidroterapi dan urutan buih ultrasonik sama dengan berjoging sejauh tiga hingga lima kilometer dan mampu membakar 300 hingga 500 kalori. Ia juga senaman pasif tetapi berkesan dan amat sesuai diamalkan sebagai gaya hidup terkini.

Penting untuk sistem pertahanan badan, menambah bilangan sel limfosit (sejenis sel darah putih) untuk melawan penyakit serta mengaktifkan sel limfosit untuk meningkatkan sistem kekebalan badan.

Buih ultrasonik yang terhasil ketika mandian selama 15 minit menyerupai kesan mengurut secara profesional selama tiga jam, tiada kesan sakit selepas mandian, tidak seperti urutan fizikal yang kadangkala boleh menyakitkan badan juga tiada kesan lebam.

Mengeluarkan bahan toksin dalam sel badan dan menyah toksin menyeluruh sehingga ke peringkat sel.

Produk Clinique perbetul kerosakan kulit

Posted: 14 Sep 2011 07:46 AM PDT

KESEMPURNAAN kulit tanpa cela akibat garisan halus dan kedutan menjadi idaman setiap wanita. Penampilan pelbagai produk kecantikan yang dihasilkan menggunakan teknologi canggih yang semakin berkembang membuatkan wanita kini tidak perlu lagi menjalankan pembedahan serta menghabiskan wang yang banyak bagi mendapatkan kulit cantik dan sempurna.

Terbaru daripada Clinique menampilkan Repairwear Laser Fokus All Smooth Makeup SPF 15 yang dirumus dengan teknologi khas serum antipenuaan bagi menutup ketidaksempurnaan kulit wajah akibat kewujudan garisan halus dan kedutan.

Pemakaiannya juga membantu melicinkan wajah yang tidak memerlukan anda untuk menambah untuk memperbetulkan solekan sebelum menjalankan sesi fotografi bagi mendapatkan gambar sempurna.

Melalui penghasilannya yang menggunakan teknologi khas serum antipenuaan, ia dapat membantu mengurangkan kedutan, menghalang tanda penuaan dan memperbetulkan kerosakan kulit akibat terdedah dengan sinaran ultraungu (UV) setiap hari.


Dirumus dengan bahan seperti protein daripada ekstrak tumbuhan Siegesbeckiea orientalis dan Palimitoyl oligopeptide, ia dikatakan dapat membantu menyediakan sistem sokongan yang lebih baik pada garisan halus yang wujud di sekitar wajah.


Menyokong bahan yang digunakan bagi melindungi kulit, ia turut mengandungi biji benih mentega murumuru bagi membantu mengukuhkan halangan terhadap lembapan kulit, vitamin E untuk memberi perlindungan antioksidan dan SPF 15 yang dapat melindungi kulit daripada kerosakan UV.

Selain itu, penggunaannya juga dapat membantu memperbaiki tekstur kulit dari semasa ke semasa ketika bekerja bagi mencegah kerosakan.

Pemakaiannya dikatakan lebih ringan, mengandungi formula pelembap, liputan yang sederhana dan membantu menjadikan kulit kelihatan sempurna, muda dan kemas.

Sementara itu, solekan mata juga perkara penting yang perlu diambil kira bagi penampilan sempurna dan menarik. Clinique turut menampilkan pewarna mata antioksidan yang boleh bertahan selama lapan jam bagi memberikan pilihan terkini kepada mereka yang menggemari gaya berbeza untuk terus tampil menarik.

Penggunaan ekstrak vitamin E, lobak, brokoli, beri dan bayam memberikan formula antioksidan pada bahagian mata bagi memberikan penjagaan rapi di sekitar kawasan yang sensitif itu.

Selain itu, penghasilannya turut menggunakan bahan semula jadi lain seperti timun, aloe vera dan kafein bagi membantu menghilangkan kesan mata yang keletihan agar kelihatan lebih segar.

Dihasilkan dengan bahan berkhasiat, pemakaian solekan mata Lid Smoothie Antioxidant 8 hour Eye Colour membantu anda terus kekal menarik sehingga lapan jam selain menggunakan alat penyejukan unik serta formula penjagaan kulit bagi membantu kawasan mata yang halus agar kelihatan lebih remaja.

Solekan mata yang bersifat serba boleh itu mengetengahkan formula ringan bagi meninggalkan kemasan yang lembut, berkilat, berani dan dramatik yang mudah dihasilkan.

Boleh didapati dalam tujuh warna bertenaga seperti nude, keemasan hingga violet, biru dan beri, ia memberikan penampilan bertambah menarik dan berani yang lebih tahan lama.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Berang kandang haram diroboh

Posted: 13 Sep 2011 10:42 AM PDT

SERDANG: Gagal mengawal emosi kerana terlalu marah dengan tindakan pihak berkuasa merobohkan pusat ternakan haiwan yang didirikan 25 tahun lalu secara haram di Taman Serdang Jaya di sini, seorang wanita cuba memukul wakil pemaju.

Difahamkan, insiden itu bermula apabila penternak terbabit tidak berpuas hati dengan penjelasan diberi sehingga menyerang pemaju, cuba memukul dan membalingnya dengan tong air yang diletakkan berhampiran.


Menurut wanita itu, notis yang dikeluarkan pihak berkuasa terlalu singkat untuk memindahkan semua barang dan merobohkan kandang terbabit.

"Mereka patut beri lebih banyak masa untuk berpindah dan merancang semula perniagaan kami, bukan datang dan terus merobohkan kandang itu.


"Sudah 25 tahun kami menjalankan perniagaan di sini dan disuruh berpindah ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sungai Nilam, Hulu Selangor, yang mengambil masa satu setengah jam perjalanan.


"Jika ingin membuka pusat ternakan di kawasan baru, kami terpaksa mengeluarkan modal kira-kira RM100,000 untuk menampung perbelanjaan pembinaan kandang dan urusan lain. Kami tidak ada wang sebanyak itu dan jika ada, sudah lama kami membuka pusat ternakan di kawasan lebih baik," katanya ketika ditemui.

Selain mendirikan premis di kawasan yang tidak dibenarkan, penternak mendapatkan bekalan utiliti daripada fius papan tanda dan paip berdekatan secara haram. Mereka juga difahamkan membenarkan orang ramai membuang lebihan bahan pembinaan di kawasan seluas kira-kira satu hektar itu.


Sementara itu, Penolong Pengarah Perancang Bandar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Asmidar Shaarin, berkata notis arahan mengosongkan tanah sudah dikeluarkan beberapa kali sejak 2002 dan notis terakhir diberikan minggu lalu.

Orang awam cekup suspek

Posted: 13 Sep 2011 10:36 AM PDT

KAJANG: Seorang pelajar warga Afrika diberkas orang ramai selepas dia mencabul seorang remaja perempuan berusia 19 tahun berhampiran sebuah pasar raya di Semenyih, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa yang juga jurujual di pasar raya itu keluar seorang diri untuk pergi ke kedai berhampiran untuk membeli barangan sebelum suspek menarik tangan dan membawanya ke tingkat dua pasar raya berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata sebaik menyedari suspek menarik tangannya dan membawanya ke tempat sunyi, mangsa meronta-ronta dan merayu dilepaskan, namun tidak diendahkan suspek.

Katanya, suspek bertindak lebih agresif apabila menarik mangsa naik ke tingkat tiga kerana khuatir jeritan mangsa didengari orang ramai sebelum suspek membuka seluarnya. "Suspek menunjukkan kemaluannya kepada mangsa selain meraba seluruh tubuh mangsa walaupun dia merayu tidak diperlakukan sedemikian.


"Bimbang diperlakukan lebih kejam, mangsa menjerit meminta tolong dan jeritan itu didengari seorang pengawal keselamatan yang membuat rondaan di kawasan berkenaan," katanya.


Ab Rashid berkata, pengawal keselamatan berkenaan ke tempat kejadian menyebabkan suspek terkejut dan cuba melarikan diri ke kawasan kedai berhampiran pasar raya berkenaan.

Tindakan pengawal keselamatan mengejar suspek menarik perhatian orang awam di kawasan berkenaan sebelum mereka membantu memberkas suspek.


Beliau berkata, suspek yang kepenatan ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa dan siasatan awal mendapati suspek berusia 23 tahun dan masuk ke Malaysia sebagai pelajar kolej swasta di ibu kota.

Ab Rashid berkata, suspek kini direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved