Isnin, 19 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Posted:

[unable to retrieve full-text content]
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Terkandas banjir kilat

Posted: 18 Sep 2011 12:34 PM PDT

KUALA LUMPUR: Hujan lebat hampir tiga jam di ibu kota mengakibatkan puluhan kenderaan ringan yang melalui susur keluar ke Jalan Duta menghala Jalan Kuching terkandas apabila dinaiki air sedalam 0.3 meter.

Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan kenderaan yang terkandas kenderaan ringan yang menggunakan jalan utama itu menghubungkan mereka ke pusat bandar raya.


Akibat daripada banjir kilat itu, kesesakan lalu lintas sehingga ke Bulatan Batu Caves menuju Lebuhraya Karak iaitu sejauh enam kilometer.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 2 petang dan difahamkan lokasi berkenaan kerap berlaku banjir kilat terutama selepas hujan lebat.


Menurutnya, banjir kilat itu surut sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian dan kesesakan lalu lintas di sepanjang lokasi berkenaan beransur pulih.

Kijang pamer bisa

Posted: 18 Sep 2011 11:43 AM PDT

EMPAT jaringan ketika perlawanan berbaki 10 minit memastikan Kelantan meraih tiga mata berharga untuk menewaskan Sarawak 4-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam semalam.

Keputusan itu membolehkan Kelantan mengumpul sembilan mata untuk berada di tangga kedua Kumpulan C dengan Felda United terus berada di atas dengan mengumpul 10 mata apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Johor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.


Serangan bertali arus Kelantan yang dikejutkan dengan kekalahan kepada Felda United minggu lalu akhirnya membuahkan hasil menerusi gerakan solo kapten Red Warriors, Mohd Badri Radzi pada minit ke-80.

Dia berjaya membawa masuk bola dalam kotak penalti dengan menewaskan tiga pemain pertahanan Sarawak sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol lawan, Aidil Mohamad yang beraksi cemerlang menafikan percubaan tuan rumah sejak wisel permulaan ditiup.


Jaringan itu nyata membakar semangat anak-anak buah Datuk M Karathu dan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meledak kedua pada minit ke-87 diikuti Danial Fazly Abdullah seminit kemudian untuk mencetuskan kegembiraan di kalangan penyokong setia mereka yang menunggu sejak awal permainan lagi.


Namun pesta jaringan itu tidak terhenti dengan tiga jaringan itu apabila Mohd Badri sekali lagi menjaringkan gol pada masa tambahan menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti selepas keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol.

Sementara itu Felda United bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mencatatkan keputusan seri menentang Johor FC yang kini terdesak untuk menghidupkan peluang ke suku akhir.


Azrul Ahmad menyelamatkan skuad kendalian E Elavarasan apabila meledak gol pada minit ke-70 selepas Mohd Izuan Jarudin menjaringkan gol awal untuk pelawat pada minit ke-38.

Untuk perlawanan kedua terakhir peringkat kumpulan, Felda United akan menentang Sarawak di tempat lawan pada Sabtu ini manakala Johor FC menanti kunjungan Kelantan ke selatan tanah air.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Maut tersepit 2 jam

Posted: 18 Sep 2011 12:34 PM PDT

KANGAR: "Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terus memegang tangan suami yang sudah sejuk dengan mukanya kebiru-biruan. Mayat arwah ketika itu masih dalam keadaan berdiri," kata Iziatun Mayuzia Che Saad, 35.

Mayat suaminya, Azizan Ramli, 44, ditemui penduduk dalam keadaan berdiri ketika tersepit di antara bahagian hadapan lori dengan dinding sebuah surau di Kampung Perawah, Mata Ayer di sini, dipercayai akibat diheret lori berkenaan yang menggelongsor ke hadapan, kira-kira jam 8.15 pagi semalam.


Lebih menyayat hati, nahas itu dipercayai disedari penduduk kira-kira dua jam selepas mangsa tersepit.

Ketika kejadian, Azizan memeriksa lori terbabit apabila kenderaan itu tiba-tiba bergerak menyebabkan dia dipercayai cuba membuka pintu untuk menarik brek tangan, tetapi gagal menyebabkan dia tersepit.


Iziatun berkata, selepas dimaklumkan jiran, dia bergegas ke tempat kejadian yang hanya 50 meter dari rumahnya.


"Pagi tadi (semalam) saya tidak menyedari bila suami keluar rumah untuk memeriksa lorinya yang diletakkan di depan surau, tapi selalunya dia akan keluar jam 6.30 pagi," katanya ketika ditemui menuntut jenazah suaminya di Bilik Mayat, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

Menurutnya, selepas memeriksa lori, biasanya arwah pulang ke rumah untuk mandi dan bersarapan bersama keluarga sebelum keluar memandu lori membawa tanah itu.


Azizan mempunyai lapan anak hasil perkongsian hidup dengan dua isteri, termasuk empat anak berusia tiga hingga tujuh tahun hasil perkongsian hidup dengan Iziatun.

Difahamkan, seorang penduduk yang lalu di hadapan surau itu terkejut apabila menjumpai pemandu lori itu tersepit lalu meminta bantuan jiran mengeluarkan mayat mangsa yang masih berdiri sebelum menghubungi polis.


Iziatun berkata, dia tidak mengesyaki sesuatu dan menunggu suami bersarapan, tetapi dia tidak juga muncul.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, berkata pemandu lori itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan hanya disedari penduduk hampir dua jam selepas kejadian.


"Mayat mangsa ditemui seorang jiran dalam keadaan berdiri akibat tersepit di depan pintu lori dengan dinding Surau Kampung Perawah, kira-kira jam 8.15 pagi tadi (semalam)," katanya di sini.


Beliau berkata, berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai keluar dari rumahnya pada awal pagi untuk memeriksa lori muatan tanah yang diletakkan di depan surau berhampiran rumahnya.


Katanya, tiba-tiba kenderaan terbabit menggelongsor ke hadapan dan mangsa cuba membuka pintu lori untuk menarik brek tangan, tetapi gagal hingga menyebabkannya tersepit antara bahagian hadapan kenderaan dan dinding surau terbabit.


"Mayat mangsa dibawa ke HTF untuk bedah siasat dan dilaporkan mengalami kecederaan dalaman akibat tersepit," katanya.


Che Man berkata, pihaknya menolak sebarang perbuatan khianat dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.

Beg sampah bergerak

Posted: 18 Sep 2011 12:31 PM PDT

GEORGETOWN: "Saya lihat beg di depan taska itu bergerak-gerak dan menyangka ada kucing cuba menggeledah sampah di dalamnya.

"Tergerak hati saya untuk mendekatinya dan terkejut apabila mendapati ada bayi di dalamnya," kata seorang warga emas yang menemui bayi perempuan dalam sebuah beg mesra alam yang ditinggalkan berdekatan taska berhampiran Lebuhraya Babington di sini, kelmarin.


Dalam kejadian jam 6.30 petang petang kelmarin, wanita berusia 64 tahun yang enggan dikenali dan bertugas sebagai penyelia sebuah asrama berhampiran menitiskan air mata melihat keadaan bayi itu.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tergerak hati untuk melihat kandungan beg plastik berkenaan.


"Sebelum itu saya tidak mengendahkannya kerana menyangka ia hanya sampah.


"Nasib baik saya terasa mahu menjenguknya. Memang Tuhan sudah takdirkan umur bayi itu masih panjang dengan menggerakkan hati saya menemui dan menyelamatkannya.

"Kalau saya tak pedulikannya atau tidak lalu kawasan itu, tak tahulah apa nasibnya, mungkin bakal jadi habuan anjing liar," katanya.


Dia kemudian membawa bayi malang itu ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum membuat laporan di Balai Polis Datuk Keramat.

Difahamkan, bayi berkenaan berkulit cerah, cukup sifat, masih bertali pusat serta seberat 3.3 kilogram belum dapat dikenal pasti bangsanya dan dipercayai ditinggalkan di kawasan itu kurang daripada tempoh 24 jam.


Sementara itu Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Timur Laut (IPDTL), Deputi Superintendan Shahurinain Jais mengesahkan kejadian itu.


Menurutnya, bayi berkenaan kini ditempatkan di Wad Bersalin HPP buat sementara waktu dan pihaknya turut mengambil keterangan saksi yang menemuinya bagi menjalankan siasatan serta mengesan pihak yang meninggalkannya di kawasan terbabit.


"Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik turut dihantar ke kawasan bayi itu ditemui bagi menjalankan siasatan.


"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.


Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi IPDTL di talian 04-2181822 bagi membantu mengesan waris bayi berkenaan.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Zulkiffli Ismail berkata, beliau belum menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan.


Menurutnya, pihaknya akan membantu mendapatkan perintah penjagaan daripada mahkamah sementara polis menjalankan siasatan mengesan warisnya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Bos Mansfield Town bekas pelacur

Posted: 18 Sep 2011 08:50 AM PDT

LONDON: Wanita termuda dilantik menjadi ketua eksekutif dalam sejarah kelab bola sepak England, Carolyn Still, didakwa pernah menjadi pelacur.

Akhbar tabloid Britain melaporkan, Carolyn, 29, pernah menjalin hubungan dengan ramai pemain bola sepak profesional negara itu sebelum dia diberikan jawatan berkenaan.


Akhbar berkenaan melaporkan, Carolyn pernah bekerja dengan dua syarikat pembekal 'pengiring sosial' dan dikatakan "bertemu ramai lelaki pada siang dan malam." Carolyn menjadi perhatian selepas diumum sebagai Ketua Eksekutif Mansfield Town FC pada minggu lalu.

Dia ditawarkan ke jawatan berkenaan oleh pengerusi kelab berkenaan, John Radford.


Pasangan Radford dan Carolyn mendakwa, 'hubungan akrab' mereka tidak ada kena-mengena dengan pelantikan berkenaan.


Dipercayai berasal dari Lancashire, Carolyn didakwa mula menjadi pelacur ketika masih belajar kira-kira 10 tahun lalu.

Dia bekerja dengan sebuah agensi dikenali sebagai Lucy Brookes dengan menggunakan nama samaran Luella. Wang diperoleh hasil pekerjaannya itu digunakan untuk membayar hutang.


Carolyn kemudian berpindah ke London untuk bekerja sebagai pengurus akaun bagi syarikat Bulgari dan Gucci sebelum kembali ke Leeds.

Di situ, dia bekerja dengan sebuah syarikat pengeluar makanan ringan.


Menurut sumber, Carolyn kembali ke kerjaya asalnya pada 2009 dengan mendaftar sebagai pekerja satu daripada agensi pembekal pengiring sosial terbesar Britain, McKenzie's.


Kali ini, dia menggunakan nama Brooke dan laris di kalangan lelaki kerana memberikan layanan memuaskan.


Disebabkan itu, kata sumber, Carolyn sering disewa untuk tempoh lebih lama berbanding pekerja lain.


"Cara Carolyn memberi layanan kepada lelaki membolehkan dia memperoleh pendapatan lumayan," katanya.


Carolyn dipercaya meninggalkan kerjaya itu tahun lalu. - TS

Berlusconi megah tiduri lapan wanita satu malam

Posted: 18 Sep 2011 08:48 AM PDT

ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, berbangga meniduri lapan wanita dalam satu malam.

Berlusconi, 74, membuat dakwaan itu dalam perbualan telefon dengan seorang ahli perniagaan Giampaolo Tarantini, yang merekrut teman sosial menghadiri parti liar pemimpin itu.


"Malam semalam terdapat barisan panjang di luar pintu.

"Ada 11 orang dan saya tidur dengan lapan wanita kerana tidak mampu pergi lebih jauh. Anda tidak boleh tidur dengan semuanya sekali," katanya.


Panggilan itu dibuat pada tahun baru 2009.


"Saya rasa sihat pagi ini...perkara yang anda perlu lakukan pada malam tahun baru. "Orang Itali berkata, jika anda melakukan seks pada malam tahun baru, anda melakukannya sepanjang tahun," katanya.

Pendedahan itu dibuat hasil daripada 100,000 intipan perbualan telefon dalam siasatan mengenai lapan orang yang dituduh membekalkan teman sosial dalam parti Berlusconi. Teman sosial, Maria Teresa De Nicolo, 38, mendakwa dia tidur dengan Berlusconi bersama dua lagi wanita.


"Sebelum saya menghadiri partinya, saya diberi 1,000 euro (RM4,200) dan diberitahu, 'Jika Berlusconi mahukan anda, tinggallah di situ...jangan bimbang, dia akan beri anda wang'," katanya. Dalam rakaman itu, Perdana Menteri Itali yang berketinggian 1.65 meter itu juga berkata kepada Tarantini supaya tidak membawa wanita tinggi kerana kita bukannya tinggi'. Pada satu ketika, dia mendedahkan ada 40 wanita tinggal di kediamannya kerana tidak mahu pulang. Pada waktu lain pula, dia bertanya siapa yang akan dibawa ahli perniagaan itu kelak. - DM

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Trio harapan Kim Swee

Posted: 18 Sep 2011 11:51 AM PDT

SEBAIK tiba di Jepun Jumaat lalu, skuad Olimpik negara sebenarnya sudah tidak memiliki banyak masa untuk membuat persiapan sebelum pertembungan getir dengan skuad Samurai Blue itu dalam perlawanan pertama pusingan ketiga kelayakan Kumpulan C, Sukan Olimpik London 2012 di Stadium Tosu, Rabu ini.

Justeru pengendali negara, Ong Kim Swee harus menggunakan kebijaksanaannya dalam memilih barisan pemain terbaik khususnya di jentera serangan yang dikritik hebat berikutan aksi kurang meyakinkan ketika seri tanpa jaringan dengan kelab Iraq, Arbil SC dan skuad Olimpik Oman dalam perlawanan pemanas badan sebelum ini.


Malah jika dinilai berdasarkan rekod perlawanan pusingan kelayakan Olimpik lalu, skuad negara terpaksa mengharapkan ketajaman sentuhan pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria serta pemain tengah menyerang, Mohd Irfan Fazail untuk membolosi gawang lawan.

Ketiga-tiga pemain ini menjadi watak penting dalam memastikan kemaraan Malaysia dalam saingan merebut slot ke London dengan menjaringkan gol ketiga menang 2-0 dan 2-1 ke atas Pakistan dan Lubnan pada dua pusingan awal.


Dan bagi Wan Zack, 20, yang beraksi secara pinjaman dengan kelab Liga Satu Slovakia, FC Vion Zlate Moravce selama dua minggu bulan lalu sekali lagi bersedia untuk mengambil alih tugas menggempur kubu Jepun.


"Memang saya berharap untuk menang ke atas Jepun, tapi kita kena bersikap realistik kerana Jepun adalah pasukan yang cukup dikenali berdasarkan rekod yang mereka miliki.

"Saya cuba memberikan aksi terbaik untuk menjaringkan gol ataupun mencipta peluang kepada rakan. Siapa yang menjaringkan gol tidak penting, yang penting kami boleh mencapai keputusan baik menentang Jepun. "Memang bukan mudah, InsyaAllah jika semua pemain bersungguh-sungguh mungkin kejutan boleh berlaku," katanya.


Keyakinan kelahiran Kuala Lumpur itu semakin membara apabila prestasinya kini semakin meningkat ketika berada di Slovakia dengan menyumbat tiga gol dalam tujuh aksi persahabatan dengan kelab liga negara itu.

Sementara itu, dalam senarai 21 pemain skuad Olimpik negara, Kim Swee memiliki lima pemain penyerang iaitu, Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari Ibrahim dan A Thamil Arasu (Harimau Muda A), Mohd Izuan Solahuddin (Kelantan) dan Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur).


Kelima-lima pemain itu akan merebut tempat kesebelasan utama memandangkan Kim Swee lebih gemar menggunakan seorang penyerang sambil dibantu Irfan.


Selepas bertemu Jepun yang dibimbing, Takashi Sekizuka, Malaysia bakal berdepan Syria dan Bahrain November depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Justin ratapi nasib Sabah

Posted: 18 Sep 2011 11:44 AM PDT

"KAMI tidak sepatutnya kalah perlawanan ini." Begitulah kata jurulatih Sabah, Justin Ganai yang kecewa dengan kekalahan 1-2 anak buahnya kepada Perak dalam perlawanan pertama pusingan kedua Piala Malaysia Kumpulan A di Ipoh, malam kelmarin.

Justin sebelum itu yakin anak buahnya mampu mengutip mata berdasarkan persembahan Sabah dalam tiga perlawanan terdahulu.


"Mereka mempamerkan semangat juang kental sebelum ini. Malah malam ini pun pemain-pemain Sabah beraksi cemerlang. Seri sepatutnya lebih adil buat kami," katanya.

Begitupun ketumpulan jentera serangannya memaksa jurulatih skuad Badak itu menelan kepahitan serta terpaksa pulang ke Kota Kinabalu membawa hati yang luka.


Pada perlawanan itu, Sabah melakukan segala-galanya terutama apabila berdepan pasukan lawan yang hanya beraksi dengan 10 pemain dalam baki 30 minit terakhir selepas Fazrul Hazli Kadri diperintah keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua pada minit ke-62.


"Kami mempunyai dua peluang terbuka untuk menjaringkan gol tapi malangnya pemain gagal memanfaatkannya.

"Jika berjaya menterjemahkan salah satu peluang itu menjadi gol sekurang-kurangnya kami mampu seri malam ini," katanya dalam nada kecewa.


Menurut jurulatih itu, kecuali Zainizam Marjan pemain lain di bahagian serangan masih belum menjaringkan sebarang gol setakat ini.

Malah kata Justin, pemain seperti Farid Ideris masih tercari-cari sentuhan pemusnahnya dan berharap pemain itu segera menamatkan kemarau jaringannya.


Apapun ketika Justin merawat hati yang luka, rakan sejawatnya bagi pasukan Perak, Norizan Bakar memuji komitmen tinggi anak didiknya mengharungi cabaran perlawanan itu.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Mahu menyanyi, berlakon sama

Posted: 18 Sep 2011 12:39 PM PDT

PADA awal pembabitan Amyza Aznan atau Amyza, 37, dalam dunia hiburan tempatan, wajahnya sering dikaitkan dengan Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff atau Jee Latiff, 40. Kata peminat mereka macam kembar seiras. Malah ada juga yang bertanya adakah dia adik kepada penyanyi popular itu.

Perkara itu turut disedari Amyza selepas ramai memperkatakannya. Waktu itu Amyza sering menidakkan apa yang diperkatakan kerana malu. Katanya lagi, siapalah dia hendak dibandingkan dengan Jee yang punya nama besar dalam industri muzik tempatan.

Waktu sama, kata Amyza yang ditemui pada satu majlis sambutan Aidilfitri, baru-baru ini, dia memang meminati Fauziah sejak kecil dan seingatnya sejak tingkatan satu.

"Dulu masa zaman budak-budak, apabila orang kata muka saya mirip Jee, saya selalu belek wajah di hadapan cermin. Waktu sama hati turut bertanya, benarkah wajah saya sama dengannya dan dari sudut mana?


"Jee jauh lebih cantik kalau hendak dibandingkan dengan aku, fikir saya. Tapi selalunya saya akan simpan perasaan bangga apabila dikatakan serupa dengan Jee. Mana tidaknya orang kata wajah saya dan penyanyi kesayangan serupa, mestilah saya rasa seronok!" katanya.


Bagaimanapun, sepanjang membabitkan diri dalam dunia seni hanya sekali dia ditemukan dengan penyanyi terbabit bagi menjayakan satu sesi fotografi untuk menghiasi muka hadapan majalah. Waktu itu hatinya sangat berbunga kerana dapat bertentang mata dengan penyanyi kesayangannya.

"Peluang itu saya peroleh selepas enam tahun bergelar pelakon. Mungkin kerana sudah ramai orang menyebut wajah kami serupa menyebabkan editorial majalah itu mendapat idea untuk menemukan kami," kata Amyza.

Selepas itu, dia tidak berkesempatan bertemu dengan Jee lagi sehinggalah apabila mereka bertemu sekali lagi pada majlis sambutan Aidilfitri terbabit. Kebetulan Jee dijemput untuk menyanyi.

Lalu peluang itu digunakan Rap untuk merakamkan gambar mereka berdua buat pembaca setia dan peminat bagi melihat sendiri dari sudut mana wajah dua artis terkenal ini dikatakan sama.

Menyambung perbualan membabitkan minat Amyza terhadap Jee, kata pelakon drama bersiri Trilogi Cinta itu, dia turut menjadikan kejayaan diraih penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu sebagai sumber inspirasi.

"Pembabitannya dalam dunia nyanyian benar-benar memberi impak berbanding artis sekarang dan rata-rata mereka mempunyai ramai pengikut setia. Malah kerana kejayaan diraih Jee juga menyebabkan saya menyimpan impian menjadi penyanyi.

"Daripada tak ada suara sehinggalah sekarang saya boleh menyanyi dengan baik. Jee juga menjadi pembakar semangat untuk saya mengasah bakat dalam bidang nyanyian," ujarnya.

Pada waktu sama, Amyza berkata, dia menyimpan impian untuk menyanyi bersama Jee walaupun sekali tidak kira dalam rakaman lagu mahupun persembahan pentas. Mengikuti perkembangan idolanya itu yang kini turut berlakon drama, dia juga berharap selepas ini akan terbuka peluang untuk mereka beraksi sama.

Pertama kali mendengar kenyataan mengatakan wajahnya sama dengan Amyza membuatkan Jee tertanya-tanya. Bagaimanapun, apabila pertama kali melihat wajah pelakon itu, penyanyi berasal dari Klang, Selangor itu mengakui tersenyum.

"Apabila melihat wajahnya buat pertama kali saya faham mengapa ada yang mengatakan wajah kami mirip. Mungkin bentuk rupa ada sikit iaitu bujur sirih dan waktu sama saya kelihatan lebih cengkung sedikit. Ada satu klip video pernah saya hasilkan waktu isu saya sangat kurus. Apabila melihatnya kembali memang saya dan Amyza nampak seiras," katanya.

Menyentuh mengenai kerjaya lakonan Amyza, Jee akui ibu anak dua itu sangat berbakat dan menggemari aksinya. Dia juga menyifatkan Amyza seorang pelakon serba boleh dan lakonannya bersahaja.

Menyentuh mengenai impian Amyza yang memujanya dan berhasrat untuk berduet bersama, kata Jee, dia terharu dan sangat berterima kasih. Sekiranya ia terlaksana, Jee menganggap ia sebagai satu penghormatan.

Menyentuh mengenai kerjaya lakonan dan hasrat Amyza untuk digandingkan bersama, kata Jee merendah diri, dia menyifatkan sebagai pendatang baru dalam dunia lakonan, masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari.

"Saya berterima kasih kepada Suhan Movies & Trading juga Rosyam Nor kerana memberi kepercayaan dan peluang untuk menimba pengalaman dan belajar selok-belok dunia lakonan. Bagaimanapun, bagus sekiranya kami dapat ditemukan di layar. Tapi segan sebabnya saya ini baru hendak belajar. Sekiranya peluang datang saya menerimanya dengan tangan terbuka," katanya yang kini sering mengikuti konvoi motosikal besar.

Menyentuh mengenai kerjaya, kata Jee, dia masih menerima tawaran untuk mengadakan persembahan cuma buat masa sekarang dia belum terfikir untuk menghasilkan album kerana mahu berehat buat sementara.

PROFIL

Nama Penuh: Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff
Panggilan: Fauziah Latiff atau Jee
Tarikh Lahir: 5 Disember 1970
Usia: 40 tahun
Asal: Klang, Selangor
Status: Ibu Tunggal
Anak: Jeffri Joaquim Indot dan Jeremy Jay Indot
Kerjaya: Penyanyi, pelakon
Album: Digamit Memori, Kau Merubah Segalanya, Kini, Tiada Noktah Cinta, Hua Xi Ya, Gubahan Rindu Puisi Syahdu, Epilog Memori Gelita, Apa Sebenarnya, Sahabat, Jee '98, Yang Lebih Kau Cinta...Jee, Pesona (2006), Koleksi Emas Volume 1, Koleksi Emas Volume 2, Petikan Syahdu Volume 1, Petikan Syahdu Volume 2, Jee No 1st, Di Sebalik, Balada, Memori Sentimental Hit, Keunggulan.
Teater: Rubiah, Muzikal Tun Razak
Program: Muzikal Mencari Harta Karun, Lontong, Raya Rantau, Malaysian Idol.
Drama: Kudrat Iman dan Gelora Di Hati Sara
Filem: Pak Tam Duda dan Memori (Penampilan Khas)
Iklan: Salem, LUX, SKII
Anugerah: Juara Pesta Pujaan Kingsway 1989, Lagu Sahabat menang 5 trofi Anugerah Video M 1996, Juara Keseluruhan, Juara Kategori Balada & Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-8 (AJL 8) lagu Teratai Layu Di Tasik Madu, Penghibur TV Wanita Popular 1992 & 1993 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

PROFIL

Nama: Amyza binti Aznan
Panggilan: Amyza
Tarikh Lahir: 18 Julai1 974
Usia: 37 tahun
Tempat Lahir: Alor Gajah, Melaka
Pekerjaan: Pelakon, Penyanyi, dan Pengacara
Hobi: Menyanyi, menari dan memasak
Status: Berkahwin
Suami: Khairil Izhar Mohd Nazir
Anak: Andre Mikhail dan Adrian Adam
Filem: Iman Alone, Puteri Impian 2
Drama: Mat Despatch, Tiga Dara, Tan Tin Tun, Geletek, Iris, Mister and Misses, Kerana Kasih, Ejen 008, Isteriku Bukan Queen Control, Janji Meletup, Donut, Trilogi Cinta, You Saka Pergi Jauh Jauh, Ohh... Bola, Ahmad Albab Yang Punya, Begitukah Cinta.
Rancangan TV: Sehati Sejiwa, Biskut Apa?
Pencapaian: Naib Juara Sehati Berdansa 2

Depan Mata: Usah tunggu waktu musibah saja

Posted: 18 Sep 2011 07:14 AM PDT

TAHNIAH buat karyawan seni tanah air yang turut menjayakan projek terbaru daripada Pete Teo iaitu Undilah yang dilancarkan sehari sebelum kita meraikan sambutan Hari Malaysia, 16 September lalu.

Apa yang menarik, lagu Undilah menampilkan empat bahasa utama rakyat Malaysia manakala video klip arahan Benji Lim diadakan di sekitar Kuala Lumpur.

Ia menampilkan wajah lebih 40 rakyat Malaysia pelbagai lapangan dari tokoh politik, perniagaan, pendidikan, sukan hinggalah selebriti. Mereka ini bukan saja dari pelbagai kaum malah berbeza pegangan politik tetapi demi Undilah, semua bersatu hati menjayakannya sesuai dengan semangat 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mungkin ada yang melihatnya dari sudut tertentu tetapi yang lebih penting, semangat bersatu mereka ini dari Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli), Afdlin, hinggalah wajah-wajah popular seperti Datuk Lee Chong Wei, Nurul Izzah, Datuk Yasmin Yusoff, Wardina Safiyya, Jehan Miskin, Bront Palarae, Amani, Daphne Iking dan Aizat.


Sebelum ini, kita lihat projek seperti ini dilakukan untuk membantu mereka yang ditimpa bencana tetapi kali ini rakyat Malaysia bersatu berkempen mengenai hak mengundi untuk Malaysia.


Semoga selepas ini akan ada banyak lagi kempen positif sebegini dan usah tunggu waktu ditimpa musibah saja kita baru hendak bersatu hati berkempen untuk membantu mangsa terbabit.

Tahniah juga buat semua karyawan seni dan orang ramai yang sudi meluangkan masa menjayakan Karnival Amal Syawal NSTP 2011 yang berlangsung kelmarin dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam.

Projek anjuran Kelab Kebajikan Sukan & Rekreasi The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) ini bertujuan mengumpul dana bagi membantu Amir Shah Osman, 55, suami wartawan hiburan Harian Metro, Ramlah Zainal yang memerlukan kos rawatan pemindahan hati di India.

Hampir 50 artis menyatakan kesudian hadir untuk menjayakan acara yang dihoskan dengan percuma oleh Didie Alias dan Along Raja Lawak ini dan ada yang sedia menjual barangan peribadi untuk dikongsi bersama peminat.

Antaranya, produser Raja Azmi Raja Sulaiman yang gigih melelong banyak sekali baju-baju mahalnya dalam harga yang sangat murah. Artis yang muncul dalam acara lelong termasuklah Fasha Sandha, Shaheizy Sam, Sheila Lama dan jaguh badminton negara, Jalani Sidek dan Roslin Hashim.

Tidak ketinggalan turun padang Farahdhiya, Datuk Ramli MS, Ako Mustapha, Sharifah Zarina, AG Hot FM, Yana Samsudin, Alyah, Erma Fatima, Datin Ziela Jalil, Lisa Surihani, Diddy Hirdy, Daus, Bill Bora, Calvin Thoo dan ramai lagi.

Bagi pengunjung yang ingin mengalas perut, mereka membeli sambil menderma di meja Kuzie Katering milik Raja Rosley Raja Mazlan atau Pak Engku, penyampai Suria FM, Linda Onn (nasi ayam dari My Mom's Chicken Rice), Deja Moss (kek lapis Sarawak) dan Diddy AF (kuih Akok).

Penyanyi Ana Raffali pula menjual biskut raya, Atilia datang menghiburkan tetamu dan Fara Fauzana muncul bergambar bersama peminat dengan bayaran RM1.

Hasil daripada jualan, lelong dan sumbangan peribadi daripada orang ramai dan juga pelbagai syarikat produksi drama dan filem, majlis kelmarin berjaya mengumpul hampir RM50,000. Alhamdulillah.

Memang hujung minggu semalam, semua orang masih sibuk dengan acara ziarah Aidilfitri namun masih ramai yang sudi datang.

Acara ini hanya dirancang dalam waktu yang sangat singkat tetapi kerjasama rakan wartawan dari Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times (NST) dan anggota kelab kebajikan terbabit dengan sokongan bos-bos di atas, berjaya menjadikan ia acara yang menyentuh perasaan.

Pak Engku misalnya, saya hanya maklumkan pada Selasa lalu tetapi dia terus menyatakan persetujuan menghulurkan sumbangan peribadi. Tidak cukup dengan itu, Pak Ungku membawa hidangan Kuzie Katering dengan empat set makanan untuk dijual iaitu nasi putih, nasi tomato bersama lauk pauk hinggalah pulut kuning, rendang, pulut durian dan kuih lopes.

Semoga usaha sebegini dapat diteruskan untuk membantu orang lain pula yang memerlukan pada masa-masa akan datang. Kata tetamu yang datang, waktu ini waktu Ramlah dan kita tidak tahu bagaimana nasib kita pula pada masa akan datang. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga apa yang ada di depan mata ini akan menjadi iktibar untuk kita sama-sama berkongsi hikmahnya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Ahad, 18 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Penyakit lazim di negara maju

Posted: 18 Sep 2011 08:12 AM PDT

"BAPA borek, anak rintik. Bapa gatal, anak pun gatal...," kata Perunding Dermatologi Paediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Leong Kin Fon sambil tersenyum. Kaum bapa jangan marah ya, kata-kata ini bukannya bertujuan menyindir sesiapa tetapi ia digunakan bagi menerangkan masalah kegatalan kronik akibat ekzema iaitu sejenis penyakit kulit.

Ekzema atau dermatitis atopik ialah satu daripada penyakit kulit yang paling lazim, membabitkan 10 hingga 20 peratus kanak-kanak dan satu hingga tiga peratus orang dewasa di seluruh dunia. Ia penyakit kulit yang kronik dan sangat gatal menyebabkan pesakit khususnya kanak-kanak menderita.

Di seluruh dunia, kadar kelaziman ekzema semakin meningkat terutama di kalangan kanak-kanak. Berdasarkan kajian tempatan, didapati kadar kes ekzema di kalangan kanak-kanak sekolah di Malaysia meningkat kepada 12.6 peratus (2006) berbanding 9.5 peratus pada 1999. Di kalangan remaja berusia 13 hingga 14 tahun, kes ekzema antara 9.5 peratus dan 6.3 hingga 9.5 peratus.

Tidak dapat menahan rasa gatal inilah yang membuatkan pesakit menggaru bahagian kulit yang mengalami keradangan. Semakin digaru semakin sedap rasanya, tetapi masalahnya lebih giat anda menggaru, lebih luaslah kawasan kulit yang mengalami ekzema.


Tindakan ini juga menyebabkan masalah kulit pesakit bertambah teruk. Adakalanya kerana terlalu gatal dan asyik menggaru, pesakit tidak sedar kulit yang digaru itu luka dan mengundang masalah lain pula kerana ia terdedah kepada jangkitan bakteria.


Menurut Dr Leong, ekzema ialah sejenis penyakit kulit dengan beberapa ciri iaitu:

  • Rasa gatal dan sakit - Ia adalah penyakit yang sangat menyeksakan. Rasa gatal ini akan menyebabkan pesakit menggaru dan apabila kulit digaru terlalu kuat ia akan mengalami kerosakan. Ketika inilah badan akan menghasilkan bahan kimia keradangan yang membuatkan kulit menjadi lebih gatal dan keinginan untuk menggaru akan lebih tinggi.

    Ia tidak sekadar menyebabkan rasa sakit pada pesakit tetapi turut menjejaskan kualiti hidup ibu bapa. Apabila anak tidak boleh tidur (kerana gatal dan asyik menggaru), ibu bapa juga tidak dapat melelapkan mata.

  • Kulit sangat kering - Pesakit ekzema mempunyai kulit yang sangat kering kerana ketiadaan lapisan penghalang untuk memerangkap cecair dalam kulit. Tidak kira berapa banyak air yang diminum, ia masih tidak dapat mengatasi masalah ini.
  • Bahagian kulit yang mengalami ekzema terasa panas. Tahap kepanasan ini bergantung kepada keadaan ekzema setiap pesakit sama ada sedikit, sederhana atau teruk.
  • Ekzema bermula dalam lima tahun pertama kehidupan seseorang kanak-kanak. Bagi kebanyakan pesakit, keadaan ekzema mereka akan bertambah baik dengan peningkatan umur. Bagi pesakit bertuah, ekzema mereka akan hilang sendiri pada usia enam hingga 12 bulan. Bagaimanapun, 30 peratus kes ekzema berlanjutan sehingga dewasa.

    "Kira-kira 50 peratus kes ekzema berlaku sebelum kanak-kanak berumur setahun dan lebih 80 peratus kes apabila kanak-kanak mencapai umur lima tahun.

    "Tempoh pengulangan serangan ekzema berbeza antara pesakit - ia boleh berlaku dalam masa beberapa bulan atau tahun. Biasanya penerimaan pesakit terhadap serangan berulang ini lebih baik apabila umur mereka meningkat. Kajian mendapati 50 hingga 70 peratus pesakit dewasa tidak terganggu dengan serangan ekzema yang sudah dialami sejak kecil," katanya pada majlis pelancaran kempen Bersama Membanteras Kegatalan anjuran Leo Pharma.

  • Faktor genetik - Ekzema ada kaitan dengan faktor genetik dan jika salah seorang ibu atau bapa ada masalah ini, anak-anak mempunyai 20 hingga 40 peratus mengalami ekzema. Ini bersesuaian dengan ungkapan 'bapa borek, anak rintik. Bapa gatal, anak pun gatal' di atas.

    Jika salah seorang anak ada alahan, peluang anak seterusnya mendapat ekzema ialah 30 peratus. Peluang anak mendapat ekzema akan lebih tinggi (40 hingga 60 peratus) jika kedua-dua ibu bapa ada alahan dan sekiranya mereka mengalami gejala alahan yang sama peluang ini melonjak kepada 72 peratus! (Rujuk Jadual 1)

    Punca dan gejala

    Ibu bapa terutama yang tidak mempunyai sejarah keluarga mengalami alahan sering bertanya bagaimana anak mereka boleh mendapat ekzema. Pakar perubatan percaya ia disebabkan interaksi kompleks antara faktor genetik dengan persekitaran. Ia boleh disebabkan faktor genetik saja atau dirangsang persekitaran atau tindak balas dua faktor ini.

    Sesetengah orang yang ada mewarisi genetik ekzema boleh mengalami tindak balas dengan sesuatu dari persekitaran yang tidak mendatangkan masalah pada orang lain. Ia juga dikaitkan dengan masalah kecacatan pada fungsi sekatan atau halangan pada kulit dan sistem imun yang tidak normal.

    "Apabila serangan ekzema berlaku, kulit pesakit akan berasa sangat gatal, menjadi merah, timbul ruam dan kadangkala lesi. Gejala ini biasanya bermula di muka dan merebak ke dada. Apabila kanak-kanak membesar, lebih banyak kawasan yang akan mengalami ekzema terutama di kulit yang berkedut seperti di siku dan lutut.

    "Oleh kerana kulit pesakit mengalami kecacatan pada fungsi sekatan, maka ia akan menjadi kering. Kulit yang kering akan mudah berasa gatal. Apabila pesakit menggaru, ia akan mengganggu fungsi sekatan dan jika kulit luka, boleh berlaku jangkitan bakteria khususnya Staphylococcus aureus. Keadaan ekzema akan lebih teruk pada kulit yang lebih kering.

    "Menggaru bukan saja mendedahkan pesakit kepada jangkitan tetapi ia juga akan membuatkan kulit menjadi tebal dan menjadi lebih tidak sihat," kata Pensyarah Kanan Onkologi Dermatologi Universiti Buckingham, United Kingdom, Prof Anthony Chu.

    Bakteria S aureus ini bukanlah asing pada kita. Namun 70 peratus pesakit ekzema ada bakteria ini dalam hidung mereka berbanding 30 peratus pada bukan pesakit. Hampir 100 peratus kulit yang mengalami ekzema ada bakteria ini dan ia boleh membiak (membentuk koloni) dengan cepat kerana ia akan melekat pada kulit yang kering.

    Jika kulit pesakit luka, bakteria ini akan memasuki badan dan menghasilkan bahan kimia eksotoksin yang bertindak sebagai antigen super (bahan yang merangsang pembentukan atau pengeluaran antibodi). Antigen super inilah yang akan merangsang tindak balas sistem imun untuk menyebabkan ekzema menjadi lebih teruk (bengkak, merah dan sangat gatal).

    Menurut Dr Leong, teori kebersihan yang dikemukakan pakar penyelidik juga ada munasabahnya kerana kajian mendapati kes ekzema di kalangan kanak-kanak bandar yang tinggal dalam persekitaran 'terlalu' bersih lebih tinggi berbanding kanak-kanak luar bandar.

    Berdasarkan teori ini, dalam keadaan bersih, sistem imun badan menjadi tidak matang dan 'malas'. Ia tidak dapat membezakan antara penceroboh yang baik dengan jahat. Akibatnya, sistem imun ini akan bertindak balas terhadap semua penceroboh badan dan inilah yang menyebabkan seseorang itu menjadi terlalu sensitif atau mengalami alahan.

    Teori ini diperkuatkan dengan keputusan banyak kajian yang mendapati kadar kelaziman ekzema meningkat dua hingga tiga kali ganda di negara industri dan maju dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini membabitkan 15 hingga 30 peratus kanak-kanak dan dua hingga 10 peratus orang dewasa.

    Jadi tidak hairanlah jika kes ekzema di kalangan kanak-kanak di negara maju seperti United Kingdom jauh lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu antara 20 hingga 30 peratus.

    Rawatan dan pengurusan

    Sehingga kini tiada ubat yang boleh menyembuhkan ekzema yang juga dipanggil penyakit sistem imun kerana ia membabitkan banyak faktor. Bagaimanapun, ia boleh dirawat dan sasaran rawatan bukanlah untuk menyembuh tetapi mengurangkan gejala memanjangkan tempoh bebas daripada serangan berulang yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit.

    Antara rawatan yang ada ialah steroid sapuan (dalam bentuk krim, gel atau balsam dalam pelbagai kekuatan) untuk menghentikan keradangan dan membantu menyembuhkan kulit.

    Doktor juga mungkin akan mencadangkan penggunaan krim kombinasi steroid dan antibiotik khususnya apabila steroid sapuan tidak berkesan. Krim kombinasi ini lebih berkesan untuk merawat ekzema kerana ia boleh disapu pada kulit yang luka untuk menghentikan rasa gatal dengan segera. Malah ia juga boleh digunakan walaupun tiada kesan jangkitan.

    "Steroid adalah ubat yang sangat baik tetapi ia mestilah digunakan mengikut arahan doktor. Malangnya kebanyakan ibu bapa di Malaysia mahukan ubat yang kuat supaya penyakit anak mereka sembuh. Mereka mahu anak mereka diberikan antibiotik untuk membunuh semua bakteria yang boleh merangsang ekzema tetapi kaedah ini tidak praktikal kerana kita sentiasa terdedah kepada bakteria.

    "Cara yang lebih baik ialah mengawal dan menguruskan penyakit anak. Antaranya dengan mengetahui faktor yang boleh merangsang serangan seperti rasa gatal, tindakan menggaru, cuaca panas dan lembap, bakteria, alergen (bahan yang boleh menyebabkan alahan), penggunaan sabun atau bahan pencuci yang kuat (bagi individu dengan kulit sensitif), alahan makanan dan habuk rumah," kata Dr Leong.

    Kaedah rawatan konvensional masih berguna dan boleh diamalkan. Ini termasuk:

  • Mandi setiap hari (sekerap yang dikehendaki jika tinggal di negara panas lembap). Jika pergi ke negara lain pada musim sejuk, hanya dibenarkan mandi sekejap sekali sehari. Serangan ekzema boleh menjadi lebih teruk pada musim sejuk kerana cuacanya yang kering dan penggunaan alat pemanas hawa yang menyebabkan kulit semakin kering.
  • Menggunakan sabun yang lembut.
  • Menyapukan losen pelembap selepas mandi (sangat penting).
  • Menyapukan ubat steroid atau kombinasi steroid dan antibiotik.
  • Memberikan suntikan sedatif antihistamin (hanya untuk kes yang teruk, biasanya pada bayi atau kanak-kanak kecil).

    "Orang kita selalu percaya ekzema disebabkan alahan makanan. Ia mungkin ada kaitan tetapi makanan laut bukanlah puncanya. Ia boleh menjadi faktor perangsang kepada serangan ekzema. Justeru, buatlah pemerhatian, sama ada anak anda ada alahan pada makanan laut.

    "Namun secara umumnya tidak perlu menyekat diet anak kerana dalam tempoh inilah mereka sangat memerlukan pemakanan seimbang untuk membesar. Berbincanglah dengan doktor sebelum anda mengehadkan pemakanan anak.

    "Pengurusan masalah ekzema anak perlulah bersifat dinamik dan seimbang iaitu berubah mengikut keadaan, umur dan cuaca. Dalam soal ini, biarlah kita mengambil pendekatan yang lembut. Janganlah pilih kaedah untuk 'menghapuskan' semua bakteria kerana kesan jangka panjangnya mungkin lebih serius.

    "Manusia sebenarnya boleh hidup dengan bakteria pada tahap tertentu. Memang kita mahu hidup dalam persekitaran yang bersih tetapi kita perlu ada had supaya ia tidak mendatangkan masalah kepada anak," kata Dr Leong.

    Ibu bapa di Scandinavia yang mempunyai anak ekzema akan membawa bayi mereka menunggang kuda untuk mendedahkan anak kepada persekitaran 'kotor' dan ia didapati mampu mengurangkan sedikit masalah ekzema.

    Akhir sekali, kita perlu membantu anak menghentikan kitaran garu-gatal-keradangan-jangkitan yang menyebabkan ekzema semakin teruk. Antara langkah yang boleh diambil ialah memastikan kuku sentiasa pendek, ubah kaedah daripada menggaru kepada menepuk-nepuk bahagian yang gatal, balut tangan anak dengan tuala lembap dan sejuk untuk mengurangkan rasa gatal, menyapukan ubat steroid mengikut arahan doktor dan sentiasa memberi sokongan kepada si kecil.

  • Global: Harapan baru

    Posted: 18 Sep 2011 07:58 AM PDT

    IA ada karaoke dan kopi segar tetapi bilik air di geladak atau dek bawah tiada air dan sesetengah penumpang terpaksa tidur di atas lantai. Selamat datang ke kapal persiaran pertama Korea Utara!

    Dalam keghairahannya merangsang ekonomi khususnya dalam bidang pelancongan, pihak berkuasa melancarkan percutian pelayaran dari Pelabuhan Rajin yang terletak di timur laut Korea Utara ke kawasan resort cantik di Gunung Kumgang.

    Untuk perjalanan pertama, mereka membawa lebih 120 wartawan dan ejen pelancongan dari China merasai sendiri pelayaran selama 21 jam di atas kapal Man Gyong Bong - berusia 39 tahun yang diperbaiki dan diberikan wajah baru itu. Ini langkah yang sangat luar biasa bagi kerajaan Korea Utara.

    Sorakan dan tepukan gemuruh daripada ratusan pelajar dan pekerja sambil memegang bunga beraneka warna bergema sebaik kapal persiaran itu mula meninggalkan salah satu jeti tua di Pelabuhan Rajin.


    "Kapal ini baru diperbaiki minggu lalu," kata Timbalan Datuk Bandar Zon Ekonomi Khas Rason, Hwang Chol Nam.


    Dia duduk di meja yang dipenuhi botol bir Korea Utara, sepinggan buah dan hidangan lain daripada telur serta makanan laut.

    "Tetapi ia sudahpun belayar ke Gunung Kumgang dan balik ke pelabuhan. Saya beritahu, kapal ini perlu diuji dulu untuk memastikan ia selamat," kata pemimpin berusia 48 tahun yang memakai sut kemas. Di bajunya tersemat pin merah dengan gambar bekas pemimpin Korea Utara, Kim Il-Sung.

    Projek berkenaan sebenarnya diilhamkan Kumpulan Pelaburan Antarabangsa Taepung dan kerajaan Rason, kawasan segi tiga di timur laut terletaknya bandar Rajin dan Sonbong, bersempadan dengan China dan Russia.

    Asalnya ia dijadikan zon ekonomi khas pada 1991 untuk menarik pelaburan ke Korea Utara tetapi perancangan itu tidak menjadi akibat kekurangan infrastruktur, ketidakcukupan bekalan elektrik dan ketiadaan keyakinan terhadap corak pemerintahan yang terasing dari dunia luar itu.

    Bagaimanapun, kini pihak berkuasa cuba untuk memulihkan kawasan berkenaan selepas ia mengalami kesulitan akibat sekatan ekonomi antarabangsa melalui senjata atom dan peluru berpandunya.

    Kemiskinan di Korea Utara semakin mendesak selepas puluhan tahun polisi pemulauan ekonomi dikenakan ke atasnya dan kini ia menghadapi masalah kekurangan makanan berpanjangan.

    Hwang berkata, pihak berkuasa Rason memberi fokus kepada tiga aspek pertumbuhan iaitu perdagangan kargo, pemprosesan makanan laut dan pelancongan.

    Korea Utara hanya membuka pintu kepada pelancong Barat pada 1987 dan sampai hari ini, kemasukan pelancong dikawal ketat, tetapi kini lebih banyak destinasi mula diperkenalkan kepada kumpulan pelancong yang mahu melihat sendiri keadaan di negara itu.

    Gunung Kumgang menjadi titik pertikaian politik antara Korea Utara dan Selatan selepas seorang pelancong dari Korea Selatan ditembak mati oleh askar Korea Utara pada 2008.

    Rason, tempat permulaan pelayaran sebenarnya adalah kawasan yang miskin. Pelancongan di sini dipantau rapi, hubungan antara pelancong dan penduduk tempatan yang dibenarkan ialah dengan pemandu pelancong, pemilik kedai cenderahati dan pekerja hotel.

    Pelancong hanya dapat melihat kehidupan harian penduduk Korea Utara sepintas lalu melalui cermin tingkap bas kerana kebanyakan penduduk yang berpakaian satu warna berbasikal atau memandu menuju ke jalan yang sunyi.

    Blok pangsapuri yang kebanyakannya sudah buruk berselang-seli dengan tugu pemimpin negaranya. Potret ketua negara, Kim Jong Il dan mendiang ayahnya, Kim Il-Sung menyambut ketibaan pelancong apabila mereka masuk ke lobi hotel di Rajin.

    Kata-kata 'Buku ialah guru senyap dan teman seumur hidup' digantung di atas rak yang dipenuhi buku mengenai Korea Utara, dengan judul seperti 'Kim Jong-Il yang Agung' dan 'Korea - Negara Perintis.

    Biliknya sangat sederhana tetapi bersih, tiada Internet dan talian telefon pula bukan saja mahal bahkan tidak boleh diharap. Telefon bimbit dari luar negara (milik pelancong) pula diambil dan disimpan pemandu pelancong sebaik memasuki negara berkenaan.

    Menurut Hwang lagi, kerajaan di Ranson cuba mengetengahkan masalah komunikasi dan sudah menandatangani 26 perjanjian eksklusif dengan syarikat Thailand untuk memasang Internet di kawasan itu, yang diharap boleh digunakan September ini.

    Namun dia mengakui, laman web yang tiada kaitan dengan perniagaan berkemungkinan besar disekat dan media juga dikawal ketat di Korea Utara.

    Kebanyakan pelancong Rason datang dari China. Secara purata 150 pelancong dari China datang ke situ setiap hari pada musim panas. Salah seorang pelancong China yang hanya mahu dikenali sebagai Li berkata, dia datang ke Rason selepas mesyuarat perniagaan di sempadan China untuk melihat perubahan di situ berbanding di negaranya.

    Simon Cockerell, Pengarah Urusan Kumpulan Koryo, agensi pelancongan yang beribu pejabat di Beijing dan mengendalikan banyak lawatan ke Korea Utara berpendapat, Rason mungkin bukan destinasi percutian pilihan ramai tetapi ia mempunyai daya tarikan tersendiri.

    "Ramai orang suka pergi ke tempat yang tertutup. Inilah destinasi tertutup di negara yang paling tertutup daripada istilah pelancongan. Inilah negara yang paling kurang dikunjungi," katanya.

    Di atas kapal persiaran, pelancong China asyik menyanyi karaoke di dalam dewan makan yang dihiasi bendera Korea Utara. Penumpang lain pula duduk mengelilingi meja plastik menikmati bir dan makan ikan kering.

    Sesetengah kabin dilengkapi katil dua tingkat manakala kabin lain hanya dibekalkan tilam yang diletakkan di atas lantai. Bilik yang lebih baik dilengkapi meja, kerusi dan bilik air sendiri.

    Bekalan air di bilik mandi kapal persiaran itu (yang digunakan sebagai feri antara Korea Utara dan Jepun hingga 1992 sehinggalah ia memulakan kapal kargo) juga tidak boleh diharap, jika ada, airnya kadangkala keruh.

    Bagaimanapun, Timbalan Presiden Taepung, Park Chol Su, berkata dia mempunyai perancangan besar untuk menarik lebih ramai pelancong. Dia mahu menjemput lebih 100 agensi pelancongan dari Eropah, Oktober depan untuk merasai sendiri pelayaran dan lawatan yang sama.

    Pihak berkuasa berjanji pelancong tidak diperlukan membuat visa untuk menaiki kapal persiaran berkenaan dan jika semuanya mengikut perancangan, kemudahan di kapal itu akan diperbaiki supaya lebih selesa.

    "Kami menyasarkan memiliki kapal yang lebih besar dan elok yang boleh membawa 1,000 penumpang. Kami akan sewa kapal dari negara lain di Asia Tenggara," katanya. - AFP

    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved