Isnin, 19 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Advertorial: Tandas digital alaf baru

Posted: 19 Nov 2012 07:23 AM PST

PERTAMA kali penulis mengetahui wujudnya Hari Tandas Sedunia adalah pada tahun 2005. Itupun selepas membaca beberapa artikel di akhbar mengenainya. Anda pula bagaimana?

Penulis yakin, pasti ada segelintir daripada anda yang akan tergelak kecil apabila membaca mengenai perkara ini. Adakah ianya logik? Untuk pengetahuan anda, Hari Tandas Sedunia disambut pada 19 November setiap tahun.

Sambutannya bertujuan untuk mengingatkan kita mengenai kepentingan tandas dalam kehidupan serta peranan kita untuk menjaganya supaya ia dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Kepentingan tandas dalam kehidupan sangat nyata. Ia adalah tempat untuk kita membuang sisa makanan dan minuman dalam badan. Pada masa sama, ia turut membantu menjaga kesihatan diri. Justeru, wajar bagi kita mempunyai tandas yang berada dalam keadaan bersih, selesa dan menyenangkan.


Atas sebab itu juga, syarikat Coway (Malaysia) Sdn Bhd tidak ketinggalan menyokong dan meraikan sambutan istimewa itu.


Apatah lagi, baru-baru ini mereka bekerjasama dengan Harian Metro melalui kempen Real Women Real Voices iaitu landasan untuk wanita di negara ini mencuba, berkongsi pendapat dan pengalaman mengenai pelbagai perkara seperti percubaan produk Coway Bidet miliknya serta perkhidmatan tertentu menerusi capaian alam maya supaya dapat dijadikan rujukan kepada orang ramai.

Menerusi kempen ini, mereka boleh berkongsi kelebihan Coway Bidet dalam membantu ramai wanita dan seluruh ahli keluarganya mengenai keperluan dan tabiat yang betul ketika menggunakan tandas digital yang berasaskan tenaga elektrik atau bateri bagi menggantikan kemudahan tandas konvensional.

Selain itu, penganjuran kempen ini turut menggalakkan orang ramai menggunakan tandas yang bersih dan kering tanpa penggunaan air melalui hos paip serta mengelakkan pembiakan dan penyebaran bakteria di sekitar kawasan mangkuk tandas itu sendiri.

Memetik pengalaman beberapa wanita yang sudah mencuba Coway Bidet, Rina Omar misalnya, menyatakan Coway Bidet memberikannya tandas beralaf baru. Percubaan Cik Lily Putih pula membolehkannya mengucapkan 'selamat jalan bakteria tandas.'

Selain itu, Jess Lee boleh berasa lega kerana tidak lagi risau akan kehabisan tisu tandas di saat genting. Cindy Tan meluahkan perasaan gembiranya apabila mendapati tandas digital ini melambangkan tabiat penjagaan kebersihan yang sofistikated.

Sempena sambutan istimewa ini, Coway akan membawa trak bergerak bidet terbarunya ke kawasan kejiranan terpilih bagi memberi anda satu pengalaman baru selain mengetahui kelebihan tandas digital berkenaan dalam kehidupan seharian.

Pengarah Urusan Coway Malaysia, James Park Jae Young, berkata pihaknya mahu orang ramai mempelajari, menyentuh dan merasai sendiri teknologi yang digunakan pada bidet supaya mereka tahu keberkesanannya.

"Dengan penganjuran aktiviti seperti ini, kakitangan kami akan berkongsi ilmu mengenai banyak perkara terutama berkaitan kebersihan diri mahupun tandas.

"Justeru, menerusi penerangan dan segala kelengkapan bidet yang disediakan di dalam trak itu nanti, saya berharap mereka akan mendapat gambaran yang lebih jelas," katanya.

Trak bergerak bidet ini akan mengembara ke seluruh bahagian Barat Malaysia termasuk ke kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Melaka bermula 17 November hingga 23 Disember 2012.

Di samping itu, anda juga turut berpeluang mencuba sendiri tandas digital ini secara percuma selama 14 hari.

Untuk maklumat lanjut, layari www.facebook.com/CowayMalaysia dan coway.com.my atau hubungi talian khidmat pelanggannya, 1800-888-111.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Koleksi simpanan peribadi

Posted: 19 Nov 2012 06:33 AM PST

PAMERAN jenama minuman terkenal, Coca-Cola yang dibuka seawal jam 10 pagi pada Sabtu lalu memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung di Solaris Dutamas (Publika) dan tidak ketinggalan bagi diri penulis.

Apa tidaknya, ada yang sanggup berhabis duit dan datang dari jauh semata-mata ingin berkongsi koleksi memorabilia dimiliki bersama peminat di negara ini.

Bagi pasangan dari Hatyai, Thailand, Norin Inyod dan Chicky Kai yang menyertai Festival Pengumpul Coca-Cola 2012 kali kedua itu menganggap ia perkara cukup bermakna.

Semangat untuk menyertai acara berkenaan semata-mata memenuhi minat yang mendalam selain berkongsi dan bertukar idea bersama pengumpul jenama Coca-Cola yang lain.


"Walaupun hampir 20 tahun mengumpul koleksi barangan berkenaan, saya tidak pernah berasa bosan dan semakin gemar menjadikannya sebagai simpanan peribadi.


"Barangan paling istimewa ialah botol kaca yang pertama kali dihasilkan di Thailand sempena ulang tahun ke-40 jenama berkenaan," katanya yang kini memiliki botol, tin minuman, mainan dan rantai kunci.

Paling menggembirakan Norin apabila dia berjaya mendapatkan koleksi berkenaan secara percuma di kilang berkenaan kira-kira 10 tahun lalu.

Bukan sekadar mempamerkan koleksi yang ada, malah dia juga lebih gemar berkongsi barangan dimiliki dengan mereka yang mempunyai hobi sama.

Sandra Monteiro berasal dari Kuala Lumpur juga antara 30 pengumpul barangan
Coca-Cola sejak 10 tahun lalu, turut tidak melepaskan peluang menyertainya.

Mengumpul sebanyak 8,000 tin dan lebih 3,000 botol bagi melengkapkan setiap edisi terhad yang dikeluarkan jenama berkenaan belum cukup untuk memuaskan hatinya.

"Paling saya gemari ialah koleksi tin. Saya memang meminati bentuk tin kerana ia dihasilkan dengan pelbagai saiz dan warna berbeza.

"Selain itu, ia tidak mudah pecah jika jatuh dari tempat yang tinggi, sekali gus mengelakkan koleksi yang dikumpul musnah begitu saja," jelasnya.

Baginya, perkara paling menggembirakan ketika mendapat botol edisi terbaru yang menampilkan wajah aktor terkenal dalam filem Skyfall, James Bond.

Apatah lagi dia juga peminat setia James Bond lantas Sandra segera mencarinya daripada rakan lain yang mempunyai maklumat mengenainya.

Wanita berusia 34 tahun itu juga memiliki bilik khas di rumah untuk menempatkan semua koleksinya bagi mengelakkan barang yang dikumpul rosak.

Jika difikirkan, memang tidak logik untuk mengumpul botol dan tin yang banyak di dalam rumah, namun disebabkan minatnya yang mendalam pada rekaan koleksi itu, dia tidak kisah berhabis banyak duit demi memenuhi misi hobinya itu.

"Saya tidak kisah berbelanja untuk mendapatkan koleksi diminati dan pernah membeli botol 250 mililiter semahal RM4,000.

"Botol yang sangat saya sayangi ini dibeli daripada pengumpul Perancis yang memaparkan wajah penyanyi kumpulan Kiss, Gene Simmons.

"Walaupun saya jarang ke luar negara, kakak dan rakan banyak membantu membeli koleksi istimewa di tempat yang mereka lawati," ujarnya yang tersentuh dengan sokongan orang di sekeliling.

Bagi memastikan Sandra sentiasa mendapat tahu koleksi terkini yang mesti dimiliki atau tidak pasti dengan keasliannya, dia banyak berhubung dengan pengumpul lain.

Ini bagi mengelakkan ditipu, malah melalui perkongsian idea serta barangan dikumpul, Sandra sedaya upaya melengkapkan koleksi edisi terhad yang harus dimiliki.

Tambah menarik, Sandra juga mempunyai cara tersendiri untuk berkongsi maklumat dengan menjual koleksinya kepada rakan lain. Tidak hanya tertumpu pada tin dan botol, Sandra turut memiliki koleksi dulang, permainan jigsaw puzzle dan bekas peti surat.

Muhammad Azmeer Alhafiedz, 29, juga tidak mahu ketinggalan mengumpul lebih banyak koleksi barangan Coca-Cola kerana berminat dengan reka bentuknya.

Walaupun hobinya baru tercetus tiga tahun lalu, dia berbangga kerana dapat mengumpul koleksi yang lebih unik seperti model kapal terbang, kereta dan motosikal Vespa selain tin serta botol.

"Minat saya tercetus ketika bercuti di Thailand. Saya dapati di sana banyak peminat barangan Coca-Cola dan terfikir sebab mereka menjadikannya hobi.

"Untuk mendalaminya, saya sengaja membeli satu koleksi dan sejak itu, saya lihat ia sebenarnya barangan yang menarik jika disimpan sebagai kenangan.

"Sejak itu, saya meneruskan minat dengan mencari rakan yang mempunyai hobi sama di laman sosial facebook dan bertukar-tukar idea mengenainya," katanya yang mengumpul hampir 1,000 koleksi peribadi.

Walaupun tidak menggemari minuman berkarbonat itu, dia begitu sukakan warna dan rekaan jenama berkenaan yang membuatkannya bersemangat untuk mendapatkan lebih banyak lagi koleksi terhad.

Ditambah dengan kehadiran isteri yang sering memberikan sokongan, Muhammad Azmeer memandang serius hobi barunya itu.

Paling menggembirakannya apabila memperoleh koleksi botol sempena 125 tahun Coca-Cola di Malaysia selepas memenangi peraduan anjuran jenama berkenaan, tahun lalu.

Anak pertama daripada tujuh beradik itu juga mengakui pernah mendapat koleksi botol 1994 dari Maldives yang diberikan rakannya.

"Saya berasa puas apabila dapat banyak maklumat dan bertukar-tukar koleksi sesama rakan di samping bertemu pengumpul baru yang mempunyai minat sama.

"Bukan hanya di Malaysia, kami juga mempunyai rakan di luar negara yang sama-sama memberi maklumat mengenai koleksi edisi terhad yang boleh dimiliki," katanya.

Acara yang diadakan selama sehari itu turut mempamerkan Muzium Bergerak Coca-Cola yang menampilkan pelbagai koleksi daripada arkib di Atlanta, Amerika Syarikat.

Menurut Pengurus Besar Syarikat Coca-Cola Rantau Malaysia, Singapura dan Brunei, Gill McLaren, pelbagai barangan pameran dibawa khas bukan saja untuk peminat setia jenama berkenaan juga orang ramai yang mengunjungi acara terbabit.

Misalnya, barangan seni, muzik, fesyen dan koleksi edisi khas tajaan Coca-Cola seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia Fifa.

"Ini bukan acara buat peminat setia jenama ini saja tetapi untuk orang ramai melihat sendiri edisi terhad koleksi botol dan tin yang menjadi perhatian ramai.

"Pengumpul Coca-Cola sudah lama menantikan acara seperti ini dan ia antara sebab kami memenuhi permintaan mereka di sini.

"Sejak minuman ini dicipta pada 1886 oleh John S Pemberton, kejayaannya bukan terletak pada rasanya yang istimewa, malah kempen pengiklanan yang kreatif untuk memikat pengguna sepanjang masa," jelasnya pada acara yang turut dihadiri Pengarah Komunikasi Coca-Cola Malaysia, Mohd Kadri Mohd Taib.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Bunyi api memercik

Posted: 18 Nov 2012 08:45 AM PST

KUALA LUMPUR: Tiga rumah sederet, satu daripadanya dihuni keluarga jurukamera TV3, Jebat M Roseli, 49, di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, di sini, musnah dalam kebakaran, jam 7.50 pagi semalam.

Jebat berkata, dia kerugian lebih RM30,000 selepas rumah yang didiaminya sejak 23 tahun lalu bersama isteri dan empat anaknya berusia 16 hingga 25 tahun, musnah dalam kejadian itu.


Difahamkan, kebakaran bermula daripada rumah Jebat sebelum merebak ke dua rumah bersebelahan.

Menurut Jebat, ketika kejadian dia baru tiba di pejabatnya di Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara, di sini, sebelum menerima panggilan telefon daripada anak lelakinya.


"Ketika kejadian itu, anak sulung saya tidur dan dikejutkan dengan bunyi percikan api. Sebaik keluar dari bilik dia mendengar sekali lagi bunyi percikan api dan melihat kebakaran di bahagian dapur.


"Anak saya segera keluar rumah dan memberitahu jiran. Api dipercayai merebak cepat menyebabkan mereka hanya sempat menyelamatkan diri masing-masing," katanya ketika ditemui, semalam. Menurutnya, ketika kejadian hanya anak lelakinya itu berada di rumah kerana dia sudah ke pejabat.

"Isteri pula ke Putrajaya mengikuti seminar perniagaan bersama seorang anak kami. Dua lagi anak saya masing-masing mengikuti seminar di Gambang dan ke Kerinchi," katanya.


Katanya, keluarganya kini tinggal sementara di dewan berhampiran bersama keluarga jiran.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Azhar Yusof, ketika dihubungi memberitahu kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.


Katanya, pihaknya menerima panggilan jam 8.10 pagi sebelum empat jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan usaha memadamkan kebakaran dilakukan selama 30 minit.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Ramai ‘malu’ guna jejantas

Posted: 18 Nov 2012 08:41 AM PST

KUALA LUMPUR: Sikap kebanyakan warga kota yang enggan menggunakan jejantas terutama di Jalan Pudu, di sini, bukan saja boleh mengundang bahaya, tetapi boleh mengakibatkan kemalangan terhadap pemandu kenderaan lain.

Tinjauan Harian Metro di beberapa laluan di sekitar ibu kota antaranya Jalan Pudu, Jalan Imbi dan Jalan Tun Razak mendapati masih ramai tidak menggunakan kemudahan itu sebaliknya melintas jalan yang boleh membahayakan mereka.


Lebih mengecewakan apabila ada antara mereka dilihat membimbing kanak-kanak dan mendukung bayi sebelum melintasi jalan yang dipenuhi kenderaan dipandu laju.

Warga kota, Zulhelmi Ramli, 26, berkata, orang ramai seharusnya menggunakan jejantas dengan sebaiknya bukan membuat tindakan yang boleh meragut nyawa.


"Semua orang tahu jalan dilalui banyak kenderaan dan dipandu laju. Disebabkan itu kerajaan menyediakan jejantas untuk keselamatan dan kegunaan bersama.


"Keputusan tidak menggunakan jejantas sesuatu merugikan kerana ia wang rakyat yang seharusnya dimanfaatkan bersama," katanya.

Menurut Zulhelmi, baru-baru ini, dia menyaksikan insiden dua individu yang melintas jalan di Jalan Imbi, Bukit Bintang hampir dilanggar kereta biarpun kawasan itu disediakan jejantas.


"Lebih elok menggunakan jejantas kerana bukan saja nyawa yang perlu diselamatkan, tetapi nyawa anak-anak kecil dan pemandu lain perlu diutamakan," katanya.

Kakitangan swasta, Saidin Sidin, 29, berkata, tindakan tidak menggunakan jejantas bukan perkara baru yang perlu diingatkan berulang kali, tetapi ia kesedaran masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


AIM19 iktiraf artis baru & ʻotaiʼ

Posted: 18 Nov 2012 09:20 AM PST

MALAM gemilang buat Shila Amzah berterusan ibarat suatu 'domino' apabila lagu Patah Seribu muncul Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik Malaysia 19 (AIM19), Sabtu lalu.

Majlis gemilang ini turut menyaksikan kumpulan Salammusik yang tampil dengan album Salammusik mengungguli kategori Album Terbaik. Kumpulan Mojo dengan gaya tersendiri, membuat kejutan meraih kategori Artis Baru Terbaik.

Lagu bertajuk Counting Days nyanyian Jaclyn Victor pula mengungguli Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita).

Raja Pop hadir dengan sut serba putih, Jamal Abdillah, meraih Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) menerusi lagu Bahagia Sementara dan Lagu Hip-Hop Terbaik bergandingan bersama Malique untuk lagu Aku Maafkan Kamu.


Majlis gemilang menyaksikan 19 kategori dihoskan Aznil Nawawi dan Adibah Noor dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Astro Mustika HD dari Stadium Malawati, Shah Alam.


Kejayaan Shila lebih bermakna apabila ditemani 'cinta hati'. Shila juga mendapat perhatian ramai apabila mencium tangan Sharnaaz Ahmad. Ini kejayaan kedua buat Shila selepas bergelar juara Asia Wave 2012 di Shanghai, China, baru-baru ini.

"Saya bersyukur kerana ini anugerah pertama diterima selepas 12 tahun berkecimpung dalam industri muzik. Ini menjadi tanggungjawab berat kerana lagu Patah Seribu adalah lagu ciptaan dan lirik yang ditulis sendiri oleh saya.

"Saya tak pernah meletak harapan untuk menang apatah lagi meraih dua kejayaan serentak pada AIM19. Lagipun, tujuan saya datang hanya untuk membuat persembahan menerusi lagu itu.

"Menerusi Patah Seribu, saya tidak pernah terfikir untuk menang sebarang anugerah. Ini adalah anugerah paling indah dalam hidup sepanjang menyanyi di Malaysia. kejayaan ini menjadi dorongan untuk bekerja lebih keras," katanya selepas menerima trofi yang disampaikan Datuk Hattan.

Jaclyn Victor dalam nada ceria menyatakan kejayaan beliau berkata: "Apa saya harapkan kali ini menjadi kenyataan. Saya berasa sangat dirahmati selepas bergelar juara Malaysian Idol lapan tahun lalu. Kejayaan itu menjadi bonus kerana bagi saya berada dalam senarai Top 5 pun sudah cukup bagus."

Kata Jac lagi, dia terkejut kerana lagu Counting Days satu-satunya lagu vokal dalam album instrumental jazz Aubrey Suwito bertajuk Home.

"Lagu ini belum pernah didengar sesiapa dan tidak sangka ia membawa kemenangan dan tunggu pula album terbaru saya hadir pada hujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya.

Norman merangkap Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berkata, penjurian dan pemilihan artis dalam membuat persembahan tidak membabitkan dirinya.

"Saya berharap tidak ada mana-mana pihak menimbulkan isu penyertaan beberapa artis KRU seperti, Jac, Mojo dan Forteen terhadap kemenangan mereka pada AIM19," jelasnya.

Pengerusi AIM19, Rosmin Hashim pula berkata, persembahan AIM19 ditonjolkan merangkumi pelbagai genre dan merentasi pelbagai jenis muzik daripada pop, rock, balada, hip-hop dan vokal harmoni.

"Saya harap tidak wujud kontroversi kerana kami mahu menjadikan AIM medan terbaik untuk menggembirakan pelbagai pihak," katanya.

Kumpulan Alleycats hebat kerana dipilih sebagai penerima anugerah Sri Wirama sebagai kumpulan paling lama bertahan selama 43 tahun sementara anugerah Kembara menjadi milik Mizz Nina.

SENARAI PEMENANG AIM19

  • Lagu Nasyid Terbaik - Doa (Nora)
  • Lagu Pop Etnik Terbaik - Kuasa Cinta (Noraniza Idris & Black)
  • Lagu Hip Hop Terbaik - Aku Maafkan Kamu (Jamal Abdillah & Malique)
  • Lagu Inggeris Tempatan Terbaik - Counting Days (Jacyln Victor)
  • Artis Baru Terbaik - Mojo
  • Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu - Seperti Dulu (Forteen)
  • Video Muzik Terbaik - Sparkle (Yuna)
  • Lagu Pop Terbaik - Patah Seribu (Shila Amzah)
  • Lagu Rock Terbaik - Idola (Azlan & The Typewriter)
  • Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara - Sudah Cukup Sudah (Nirwana Band)
  • Anugerah Kembara - Mizz Nina
  • Anugerah Sri Wirama - Alleycats
  • Persembahan Vokal Terbaik Lelaki Di Dalam Lagu - Jamal Abdillah (Bahagia Sementara)
  • Persembahan Vokal Terbaik Wanita Di Dalam Lagu - Jacyln Victor (Counting Days)
  • Album Terbaik - SalamMusik
  • Lagu Terbaik - Shila Amzah (Patah Seribu)

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


  • Akuaponik nyawa Gaza

    Posted: 18 Nov 2012 05:11 AM PST

    ABU Ahmed merenung bumbung bangunan di Gaza yang terbiar kosong seolah-olah seperti laut kelabu, tetapi apabila dia menoleh ke belakang, ke arah kebun sayurnya yang subur menghijau, dia tersenyum senang.

    Sayur di atas bumbung ba–ngunan pangsapurinya ditanam dalam besen dan batang paip besar yang ditebuk. Dia adalah antara peserta dalam projek kendalian agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memperkenalkan sektor pertanian kepada penduduk Gaza - antara kota paling padat di dunia dan mengajar rakyat Palestin untuk bertani tanpa tanah di kawasan terhad.

    Salah satu bumbung ba–ngunan dijadikan tapak untuk sistem akuaponik dengan bekas menanam sayur yang berisi batu kelikir disambungkan ke tangki ikan tilapia.

    Dalam sistem bersepadu ini, air dari tangki ikan akan mengalir masuk ke dalam batas sayur tempat Abu Ahmed menanam pokok salad, cili, brokoli, saderi dan beraneka jenis herba yang secara tidak langsung mendapat baja daripada bahan buangan ikan tilapia.


    Ketika air ini membasahi batu kelikir, tumbuh-tumbuhan ini akan menyerap nutrien daripada bahan buangan ikan, membersihkan air dan kemudian dialirkan kembali ke dalam tangki.


    Sebenarnya pertanian di atas bumbung bangunan bukanlah satu perkara baru dan ia sudah diamalkan di banyak kota besar di seluruh dunia, namun ia berbeza dengan projek di Gaza kerana ia tidak menggunakan tanah.

    "Tujuannya untuk membantu penduduk miskin di Gaza supaya mereka boleh menanam sendiri sayur-sayuran, mendapat makanan yang lebih menyihatkan dan lebih penting ia ditanam tanpa menggunakan racun serangga," kata penolong pengurus projek berkenaan, Mohammed El Shatali.

    Bagi Abu Ahmed, projek itu satu kejayaan besar. Dia bukan saja menggunakan sistem akuaponik, malah dia juga menghasilkan sistem hidroponik tambahan untuk menanam lebih banyak sayur di dalam beg plastik yang disiram dengan air daripada tangki ikan tilapia.

    "Saya ada sedikit pengalaman dalam pertanian, tetapi tidak sama seperti ini," katanya sambil memeriksa daun saderi.

    Hasil daripada projek itu, lelaki berusia 51 tahun itu kini sudah boleh menyediakan sayur-sayuran segar dan ikan kepada 13 ahli keluarganya sepanjang musim panas.

    "Ikan yang diternak sendiri ini rasanya juga sedap, walaupun saya cuba untuk tidak makan terlalu banyak kerana saya dalam usaha membiakkannya supaya tidak perlu mengeluarkan belanja membeli anak ikan," sambungnya.

    Manfaat daripada projek akuaponik ini tidak terhenti di situ saja. Ia juga secara tidak langsung mendinginkan pangsapuri di situ kerana ia memberi teduhan.

    "Malah, ia juga sangat bagus untuk kanak-kanak. Kanak-kanak sekarang tidak pernah lihat ladang, malah untuk melihat pokok pun susah. Jadi dengan adanya projek ini, ia boleh menarik minat mereka untuk bertani dan menanam pokok," terangnya.

    Penduduk Gaza yang seramai 1.6 juta orang tinggal bersesak di atas tanah seluas 360 kilometer persegi, tetapi banyak kawasan yang tidak boleh dihuni kerana Israel menetapkan had 300 meter jaraknya dari pagar sempadan sebagai zon larangan.

    Di bandar dan pekan utama Gaza, tanah lapang biasanya digunakan untuk pembinaan bangunan pangsapuri berbelas tingkat yang menyebabkan penduduk ketiadaan kawasan bercucuk tanam.

    Cabaran yang dihadapi Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah untuk mencari kaedah baru memaksimumkan penghasilan sayur-sayuran di kawasan yang amat terhad dan kecil.

    Di kawasan perumahan Zeitun di tengah bandar Gaza, Eman Nofal, 34, sibuk menguruskan kebun sayurnya di halaman kecil berhampiran pangsapurinya. Tahun ini tanamannya yang paling menjadi ialah lada. Lada manis dan pedas berwarna merah menambah seri pada kebun kecilnya.

    Suami Nofal terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan Fatah dan Hamas pada 2006 menyebabkan dia terpaksa menjadi ketua keluarga kepada empat anak yang masih kecil.

    Apabila dia mendengar mengenai projek berkenaan, dia teruja dan terfikir ia mungkin boleh mengurangkan perbelanjaan makanan keluarganya.

    "Projek ini memang bagus dan sangat mudah. Anak-anak saya seronok membantu menjaga kebun sayur kami," katanya sambil mengakui pada awalnya dia menganggap konsep yang diperkenalkan itu agak pelik.

    "Sepanjang hidup kami, apa yang kami tahu ialah apabila disebut pertanian, ia mestilah membabitkan tanah. Jadi memang pelik apabila mendengar sayur boleh ditanam dalam medium batu kerikil dan air. Namun, saya suka idea ini," katanya.

    Nafal juga memberitahu projek berkenaan turut memberi kegembiraan kepadanya.

    "Seronok rasanya dapat melihat pokok ini. Kadang-kala saya datang ke sini semata-mata untuk menikmati kehijauan dan melihat ikan bermain sesama sendiri.
    Ia menenangkan saya," sambungnya lagi.

    Pun begitu projek ini juga ada kelemahannya, termasuk cabaran berhadapan dengan masalah catuan tenaga elektrik selama 12 jam sehari, membuatkan pam yang memindahkan air dari tangki ikan ke batas sayur terhenti.

    "Cabaran paling sukar diatasi ialah ketiadaan bekalan elektrik," kata Chris Somerville, perunding pertanian bandar yang bekerja dengan FAO.

    "Pada suhu 30 darjah Celsius, keupayaan air menampung oksigen berkurangan dan pada musim panas ramai mengadu ikan mereka mati," tambahnya.

    Peserta baru akan menerima pam dengan kuasa bateri untuk membolehkan ia terus berfungsi ketika bekalan elektrik diputuskan. Kini FAO menjalankan uji kaji mencari serat yang boleh digunakan dalam sistem hidroponik supaya kelembapan dapat dikekalkan sepanjang 12 jam ketiadaan bekalan elektrik (dan aliran air juga terhenti).

    Pada peringkat awal dulu, projek berkenaan terpaksa berhadapan dengan tanggapan negatif penduduk, kata Somerville.

    "Bukan mudah untuk meyakinkan penduduk di sini bahawa mereka boleh menanam sayur tanpa menggunakan tanah," jelasnya sambil ketawa.

    Namun begitu, projek yang diperkenalkan itu boleh disifatkan sangat berjaya kerana untuk kitaran seterusnya, jumlah peserta bertambah daripada 15 orang kepada 80 orang dengan 80 peserta lagi menjalankan pertanian menggunakan sistem hidroponik.

    Inilah kali pertama FAO melaksanakan sistem akuaponik pada skala besar dan agensi berkenaan kini mencari jalan memperkenalkan projek yang sama di tempat lain di seluruh dunia.

    "Kalau kita dapat jadikan projek di Gaza sebagai model dan membawanya ke negara lain, bagi kami ia adalah pencapaian yang sangat besar," katanya. - AFP

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Harap aksi lebih baik

    Posted: 18 Nov 2012 07:38 AM PST

    SELEPAS menegur prestasi hambar skuad negara menjelang saingan Piala AFF Suzuki, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah nyata mengharapkan persembahan lebih baik pada perlawanan persahabatan terakhir menentang Bangladesh yang bakal ditemui esok.

    Kali ini, bukan saja kemenangan yang mahu disaksikannya, tetapi apa yang paling penting bagi beliau ketika memasuki fasa terakhir sebelum turun pada perlawanan pertama bertemu Singapura 25 November ini ialah, statistik perlawanan yang sepatutnya lebih baik apabila bertemu Bangladesh nanti.


    "Saya harap pada perlawanan terakhir ini pemain dapat pamerkan persembahan yang bagus. Jangan bimbang soal jaringan gol, tetapi apa yang lebih penting bagi saya ialah sistem permainan serta perlu ada semangat untuk menang.

    "Pemain perlu bermain mengikut tahap sebenar mereka. Saya yakin mereka dapat bangkit berbanding perlawanan terdahulu dan harap ia menjadi penyuntik semangat untuk saingan Piala AFF yang akan bermula tidak lama lagi "Bagi saya, berapa banyak percubaan di depan gol serta statistik lain itu yang paling mustahak. Mereka perlu terus konsisten mencari peluang untuk menyerang serta jangan leka di bahagian pertahanan," katanya.


    Sejak kebelakangan ini, K Rajagobal serta anak buahnya menerima kritikan hebat selepas beraksi hambar pada tiga perlawanan pemanas badan apabila tewas 0-1 kepada Vietnam serta 0-2 di tangan Thailand sebelum sekadar seri 1-1 bertemu Hong Kong.


    Prestasi longlai itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kemampuan mereka untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki, malah Tengku Abdullah sendiri meminta Rajagobal supaya tidak terus melakukan eksperimen ke atas barisan pemainnya.

    Tengku Abdullah menambah: "Saya memang berharap pasukan kita bersedia daripada segi semangat, fizikal dan mental kerana kejohanan ini begitu penting sekali dalam kalendar bola sepak kita.


    "Memang harapan peminat begitu tinggi dan saya percaya jurulatih serta pemain sedar hakikat ini. Saya juga sempat bercakap dan berjumpa dengan pasukan lain yang sememangnya bertekad untuk beraksi sebaik mungkin, lebih-lebih lagi untuk menewaskan skuad kita," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


    Tengkujuh hangatkan saingan

    Posted: 18 Nov 2012 07:29 AM PST

    PIALA Monsun bukan sekadar acara pelayaran malah telah menukar wajah Pulau Duyong daripada sebuah perkampungan nelayan yang sepi kepada pekan yang sibuk dengan aktiviti ketika musim tengkujuh bagi pelancong tempatan dan asing.

    T-Best Events, penganjur di sebalik acara pelayaran tahunan, yang juga perhentian terakhir Siri Jelajah Match Racing Dunia Alpari telah merancang keseluruhan aktiviti bertema keluarga yang menjanjikan keseronokkan yang menghiburkan.


    Antara aktiviti yang dirancang sepanjang tempoh ini adalah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, pertandingan kuiz, permainan tradisional pertandingan karaoke, muay thai kick boxing pertandingan perlumbaan perahu naga dan konsert. Julung kali diadakan tahun ini 'Monsoon Ride'. Bertemakan 'cycling for all' atau berbasikal untuk semua", adalah satu acara berbasikal yang terbuka kepada orang ramai, termasuk negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand pada 8 Disember.

    Dijangka seramai 500 penunggang basikal akan berkumpul di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa.


    Jalinan kerjasama dengan Pejabat Pelancongan Terengganu dan Tahun Melawat Terengganu 2013, Monsoon Ride akan terus menggalakkan keindahan dan warisan negeri itu kepada penunggang basikal sepanjang laluan 100km.


    Laluan itu meliputi Pulau Duyong, Pulau Warisan, Pasar Payang, Pantai Batu Burok, Kampung Bidang Maras dan Marang, dan seterusnya ke Batu Rakit dan Lapangan Terbang Kuala Terengganu akhirnya kembali ke Pulau Duyong.

    "Laluan 100km bukan sahaja akan melalui kawasan bandar, kampung dan pantai, tetapi juga menaiki curam di sepanjang lebuhraya Pantai Timur.


    "Aktiviti mencabar ini melibatkan pelbagai jenis kaedah berbasikal untuk mendapatkan laluan keseluruhan," kata penganjur acara Kelab Berbasikal Go8, Mohd Kamarul.

    Acara berbasikal ini pertama kali diadakan melibatkan ramai peserta.


    "Keutamaan kami adalah keselamatan pelumba. Justeru seramai 60 marshal terlibat membentuk organisasi berbasikal, polis dan pasukan paramedik.


    "Kami berharap acara ini akan menggalakkan gaya hidup sihat dan penggunaan jalan yang selamat di kalangan peserta," katanya.


    Yuran pendaftaran RM30 dan peserta akan menerima beg cenderahati dan tiket untuk cabutan bertuah.


    Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Mohd Kamarul di talian 019 2855987. Pendaftaran ditutup pada 30 November ini.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Arah tanggal seluar

    Posted: 18 Nov 2012 09:17 AM PST

    JOHOR BAHRU: Hanya kerana memuat naik satu klip video hasil kreativiti mereka ke laman video Youtube, 17 pelajar sebuah sekolah berasrama di sini, mendakwa dipaksa menanggalkan seluar oleh guru hingga seorang daripada mereka berbogel kerana tidak memakai seluar dalam.

    Mereka turut mendakwa dipaksa melakukan tekan tubi 700 kali selain ditampar, diterajang dan ditumbuk di beberapa bahagian badan serta muka apabila gagal mematuhi arahan berkenaan.

    Kejadian itu berlaku Isnin lalu, kumpulan pelajar terbabit baru pulang ke asrama pada jam 5.30 petang selepas keluar ke pusat beli-belah berhampiran sebelum ditahan tiga guru.

    Kemarahan guru terbabit berpunca daripada tindakan kumpulan pelajar berkenaan memuat naik hasil kreativiti mereka selepas selesai menduduki kertas Matematik bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


    Video klip selama tiga minit dua saat yang dimuat naik dalam Youtube pada 5 November lalu itu memaparkan gelagat kumpulan pelajar terbabit melepaskan tekanan masing-masing selepas tamat mengambil kertas berkenaan dengan meniru sebahagian aksi lawak sebuah program realiti televisyen.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


    Bawa ‘beban’ 60kg

    Posted: 18 Nov 2012 09:17 AM PST

    TANJUNG KARANG: "Nak berjalan pun susah. Kadang-kadang nak ke rumah jiran yang tak sampai 100 meter pun ambil masa setengah jam," kata Rohaya Mohamed Ariffin, 41, yang mempunyai benjolan menyamai ketumbuhan kronik atau dikenali sebagai lipoma di bahagian perut, belakang bahu kanan dan bawah paha kanan sejak 37 tahun lalu.

    Rohaya berkata, akibat ketumbuhan itu, berat badannya kini meningkat hampir 130 kilogram (kg) dan berat lipoma itu saja dianggarkan hampir 60 kg. Ibu kepada dua anak yang tinggal di Kampung Parit Empat, Ban Tiga, Sekincan, di sini, berkata, masalah lipoma itu bermula sejak dia berusia empat tahun. Ia semakin membesar terutama selepas dia berkahwin lapan tahun lalu.


    Masalah itu juga membuatkan tidur Rohaya tidak pernah lena. Setiap malam dia hanya mampu tidur tidak lebih daripada tiga jam sebelum terjaga kerana bahagian lipoma itu menjadi kebas.

    "Saya tak boleh tidur dalam keadaan telentang dan mengiring, jadi saya terpaksa baring dalam keadaan senget. Bahagian lipoma itu kemudian akan menjadi kebas mengakibatkan saya terjaga dari tidur," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


    Rohaya juga sukar bergerak kerana cepat berasa penat disebabkan terpaksa membawa 'beban' yang berat itu. Dia juga tidak boleh duduk atau tidur di atas lantai kerana ia akan menyukarkannya untuk bangun. "Saya pernah menjalani pembedahan membuang beberapa bahagian yang membengkak itu ketika berusia 11 tahun, tetapi ia semakin membesar," katanya.


    Katanya, dia pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh beberapa tahun lalu dan doktor memaklumkan ketumbuhan itu boleh dibuang dengan kos mencecah RM50,000.

    Rohaya berkata, pendapatan suaminya, Hassan Zakaria, 47, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah di sini, tidak mampu menampung kos kehidupan mereka sekeluarga termasuk dua anak perempuan iaitu Nurul Hasanah Sathiah, 7, dan Nurul Hasanah Faziha, 4, apatah lagi untuk kos pembedahan berkenaan.


    Katanya, beberapa bulan lalu dia menghidap demam panas hingga mengakibatkan ketumbuhan di badannya melecet dan berair.

    "Mujur saya tidak mengalami penyakit kencing manis atau darah tinggi. Saya reda dan pasrah kerana segalanya ketentuan Ilahi," katanya.


    Orang ramai yang ingin membantu Rohaya boleh menghubungi nombor telefon 019-6405286.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Sumbat mayat dalam tong drum

    Posted: 18 Nov 2012 07:49 AM PST

    ANDERSON (Carolina Selatan): Polis menahan seorang lelaki yang didakwa membunuh dua orang lebih sebulan lalu dan menyumbatkan mayat mereka dalam tong drum sebelum membuangnya ke dalam tasik di sini.

    Pihak berkuasa semalam menahan John Michael Young di bandar Anderson, tempat di mana mayat berkenaan ditemui.


    Polis berkata, Young ditahan kira-kira jam 1 pagi di kediamannya di West Lake Street di sini. Dia didakwa dengan dua pertuduhan bunuh dan memindahkan mayat secara tidak sah. Polis mendakwa dua pertuduhan terhadapnya selepas menggeledah kediamannya tidak jauh dari Tasik Hartwell, merampas mesin gergaji dan beberapa bilah parang, kata jurucakap Sherif daerah Anderson, Chad McBride. Polis berkata dalam waran tangkap bahawa Young disyaki membunuh Tony McGinnis, 52, September lalu dan Andrea Mitchell, 37, Oktober lalu dengan membelasah mereka di kepala dalam hutan dekat kediamannya. Polis tidak menyatakan motif pembunuhan itu tetapi berkata, mangsa bukan dibunuh secara rawak.

    "Kami percaya suspek mensasarkan mangsa atas alasan tertentu.


    "Saya tidak percaya suspek berada di sana mensasarkan mangsa secara rawak tanpa sebarang alasan," kata McBride. Mayat Andrea ditemui Rabu lalu dalam tong plastik yang separuh tenggelam di dalam tasik berkenaan selepas seorang pegawai polis melihat tong itu dan memeriksanya.


    Polis kembali ke tasik itu keesokan harinya dan menemui mayat McGinnis yang dikerat dalam tong drum kira-kira 10 kaki dalam air.

    Dua mangsa itu saling mengenali dan turut mempunyai beberapa teman lain yang sama.


    Suspek kedua, Shaine David Fischer ditahan dan didakwa dengan dua pertuduhan subahat dalam pembunuhan itu. Polis berkata, dia membantu Young membuang mayat mangsa dalam tasik. Waran tangkap menyatakan Fischer mengakui peranannya dalam pembunuhan itu dan membawa polis kepada penangkapan Young. - DM

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


    ‘Barbie Manusia’ nafi guna teknik pertindihan imej

    Posted: 18 Nov 2012 07:45 AM PST

    LONDON: Dengan pinggangnya yang ramping, penampilan yang menawan dan payudara yang tersembul "Barbie Manusia" telah menjadi fenomena yang menggemparkan.

    Namun, penampilannya yang kelihatan lebih daripada manusia biasa dalam satu video terbaru menimbulkan keraguan atas dakwaannya dia tidak menggunakan teknik pertindihan imej Photoshop dalam sesi fotografinya. Laman web TheDirty.com telah memuat naik beberapa video terbaru menunjukkan Valeria Lukyanova atau nama sebenar "Barbie Manusia" kelihatan nyata berbeza berbanding dengan penampilannya dalam foto biasa.


    Pengasas laman web itu, Nik Richie menggelarnya 'Michael Jackson Ukraine'.

    "Gadis itu adalah palsu. Dia menggunakan teknik tindihan imej terhadap fotonya sejak dia mula dikenali di Internet," tulis seseorang tanpa nama dalam komen TheDirty.com.


    "Videonya tidak menggunakan teknik pertindihan imej. Adakah dia masih kelihatan sama? Ada bertan lagi video di luar sana dan seperti yang anda lihat, dia kelihatan tidak sama seperti fotonya yang menggunakan teknik pertindihan imej." Laman itu turut menuduh Valeria sebagai bekas pengantin tempahan.


    Valeria menafikan dia menjalani pembedahan plastik atau menggunakan teknik pertindihan imej dalam fotonya.

    Dalam satu daripada video terbarunya, Valeria memerengkan kepalanya di sudut yang tidak selesa dan membuka peluang untuk pelbagau kritikan dilemparkan, tetapi kelihatan seperti perempuan biasa berbanding imej Barbie yang diketengahkan hingga namanya melonjak.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Ahad, 18 November 2012

    Harian Metro: Hati

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Hati


    Bootcamp ‘bekalan’ takluk gunung

    Posted: 18 Nov 2012 05:50 AM PST

    DUA tahun lalu ketika pertama kali membaca artikel mengenai bootcamp di akhbar, memang saya teruja. Sayangnya, keterujaan itu tidak bertahan lama kerana saya langsung tidak ambil tahu saat helaian akhbar itu sudah tiada di depan mata.

    Tetapi apabila seorang kenalan rapat sering bercerita mengenai sesi bootcamp yang disertainya dua kali seminggu, saya kembali teruja dan terus mendaftar di Original Bootcamp.

    Sewaktu mahu melangkah ke sesi pertama saya pertengahan tahun ini, memang saya agak gementar. Saya tidur awal, juga bangun awal pagi kerana mahu menyempatkan diri menjamah minuman bergel yang biasa saya ambil untuk menambah tenaga.

    Bimbang juga jika saya tidak berdaya atau jatuh pengsan, tentu memalukan. Saya memang tidak tahu apa yang menanti di sesi bootcamp pertama saya di kawasan berumput pada jam 7 pagi di Taman KLCC itu.


    Teruja melakukan semua rutin sedaya upaya apatah lagi melihatkan rakan lain yang semuanya cergas belaka, kira-kira setengah jam kemudian saya tersadai di bawah pokok tidak jauh daripada teman lain yang masih asyik meneruskan rutin senaman.


    Saat itu saya melihat semua benda berpusing-pusing dan saya seolah-olah mahu pitam!

    Hampir 10 minit juga saya terduduk di bawah pokok itu sambil mententeramkan perasaan. Dalam diam, saya tabik benar melihat kecergasan rakan lain yang tidak seramai mana itu. Bagaimana agaknya mereka boleh bertahan dalam sesi senaman yang rutinnya tidak henti-henti itu? Dibenarkan berhenti pun paling lama hanya seminit untuk menarik nafas dan meneguk air.

    Ikutkan hati pagi itu, rasa mahu duduk saja di bawah pokok hingga akhir sesi, tetapi melihatkan sarjan berbaju merah dan rakan lain yang masih tekun meneruskan rutin senaman, saya sertai mereka semula sehingga tamat sesi pagi itu pada jam 7.45 pagi.

    Menurut sarjan berbaju merah yang nama penuhnya, Faizal Ariff Abdullah atau dikenali sebagai Sarjan Faizal semasa sesi latihan, rasa pening seperti mahu pitam yang saya alami itu sebenarnya perkara biasa jika badan kita tidak biasa dengan rutin senaman berintensiti tinggi.

    Memang saya langsung tidak biasa melakukan rutin bertubi-tubi begitu. Paling ekstrem pun berlari perlahan selama setengah jam atau berjalan kaki mendaki bukit, tetapi bukannya melakukan pelbagai rutin senaman berselang-seli dan berulang kali begitu.

    Selesai sesi pertama dan kedua minggu itu, kesan paling ketara ialah sakit badan. Rasanya seolah-olah tiada otot yang tidak sakit sehingga hujung minggu itu.

    Apapun, minggu kedua dan minggu berikutnya, keadaan semakin baik. Tiada lagi pening atau sakit badan keterlaluan.

    Ini sudah bagus. Bermakna, badan saya tidaklah lemah seperti sebelum ini.
    Secara peribadi, saya sangat berasa kelainannya sewaktu mendaki Gunung Kerinci (ketinggian 3,805 meter) di Sumatera, Indonesia kira-kira sebulan lalu.

    Jika tidak kerana rutin menguatkan beberapa bahagian badan seperti tekan tubi dan plank (posisi tekan tubi, tetapi menampung badan menggunakan sebahagian lengan), mungkin saya kurang upaya menempuh beberapa kawasan agak mencabar di gunung itu.

    Bayangkan selama satu jam sebelum tiba ke tapak perkhemahan, hanya alur tanah serta akar dan dahan pokok di depan mata. Memandangkan alur terlalu sempit untuk diredah, akar dan dahan itu saja tempat utama berpaut. Di situlah kekuatan lengan sangat diuji.

    Ketika mahu mendaki ke puncak semasa dinihari, otot kaki pula banyak memainkan peranan, juga stamina untuk meneruskan saki baki perjalanan semata-mata mahu menatap terbit matahari di tanah paling tinggi Kerinci itu.

    Ingat lagi pengalaman saya di Gunung Rinjani, Lombok setahun lalu. Bentuk muka bumi gunung itu ketika mahu menghampiri puncak hampir serupa saja dengan Kerinci, tetapi saya tidak lupa betapa lelahnya saya mendaki permukaan batu kerikil itu.

    Di Kerinci pula, alhamdulillah pendakian tidak begitu sukar kerana saya pasti, kekuatan kaki dan stamina saya saat itu jauh lebih baik berbanding setahun lalu.

    Bukan sekadar menambah kecergasan, bootcamp membuatkan saya menyedari beberapa perkara yang saya sendiri tidak terfikir berupaya untuk melaksanakannya.

    Tekan tubi - rutin yang saya anggap sangat susah sejak di bangku sekolah lagi, sudah mampu saya lakukan. Jika dulu, saya sering bimbang ditimpa sakit bahagian belakang badan serta lenguh menyakitkan di betis dan paha setiap kali berlari 10 kilometer tetapi kini, diminta berlari untuk jarak itu tanpa latihan pun saya sanggup kerana saya tahu badan saya lebih bersedia.

    Langsung tidak terlintas di fikiran sebelum ini, saya mampu mendisiplinkan diri bangun pagi. Jam 5.15 pagi saya sudah terjaga, bersiap sebelum mula meredah Lebuhraya Persekutuan untuk berada di Taman KLCC sebelum jam 7 pagi, dua kali seminggu.

    Ini bulan kelima saya membiasakan diri dengan rutin bangun di awal pagi dan saya tahu, selagi kepuasan bersenam di pagi-pagi buta itu belum pudar, selagi itulah saya kuatkan semangat untuk ke bootcamp saban minggu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


    Sarapan baik untuk tubuh sihat

    Posted: 18 Nov 2012 05:26 AM PST

    SEBAIK bangun daripada tidur setiap pagi, apakah yang kita harapkan? Tidakkah kita ingin bangkit daripada katil sepantas kilat, menggerakkan enjin tubuh dan menyempurnakan kerja dengan cekap dan produktif?

    Sarapan yang segar akan menentukan mood dan prestasi seharian. Sarapan bukan saja penting untuk tubuh menyerap nutrisi selepas lapan jam berpuasa ketika tidur, malah sarapan yang baik membolehkan minda cerdas sepanjang hari. Ingat, 'Orang yang lapar ialah orang yang goyah!'

    Apakah yang dimaksudkan dengan sarapan yang 'baik'? Sarapan yang 'baik' ialah gabungan karbohidrat, protein, serat, vitamin, garam mineral dan air. Kurangkan pengambilan minyak, gula dan garam serta jangan lupa mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan untuk mencegah penyakit dan menjaga kesihatan.

    Mengenai keperluan nutrisi untuk tubuh, karbohidrat adalah sumber tenaga utama. Karbohidrat yang dicernakan menjadi glukosa (gula darah) akan membekalkan tenaga untuk sel, tisu dan organ serta digunakan untuk tenaga fizikal. Sememangnya karbohidrat menjana kuasa seharian.


    Protein pula adalah blok binaan yang diperlukan oleh tubuh. Ia menambah rasa

    'kenyang', justeru mengurangkan kelaparan di pertengahan pagi. Telur ialah pilihan protein yang bijak sebagai sarapan kerana telur mempunyai semua sembilan asid amino yang diperlukan tubuh.

    Tahukah anda sebiji telur besar hanya mengandungi 75 kalori dan 212 miligram kolesterol dan enam gram protein berkualiti tinggi?

    Sumber serat, vitamin, garam mineral dan air mudah didapati dalam buah-buahan atau sayur-sayuran. Penyelidikan perubatan mendapati segelas jus oren setiap hari boleh meningkatkan kolesterol baik yang begitu penting untuk jantung. Di samping itu, sumber kalium yang boleh didapati daripada jus boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan strok. Jus ialah pilihan yang jauh lebih baik daripada air.

    Kajian juga mendapati orang yang bersarapan lebih cenderung untuk makan buah-buahan dan sayur-sayuran tabiat yang baik dituruti pula dengan tabiat yang baik.

    Jika kita sering menikmati sajian sarapan yang baik, kita lebih cenderung untuk mengurangkan pengambilan kalori seharian. Dengan ini, tidak hairanlah berat badan dapat dikurangkan. Di samping itu, kita juga dapat mengekalkan kesihatan keseluruhan, meningkatkan mood, daya tumpuan dan kecerdasan.

    Kebaikan sarapan pagi sememangnya tidak terhingga. Kanak-kanak yang bersarapan menampilkan prestasi dan daya tumpuan yang lebih baik di sekolah.

    Menerusi kombinasi pemakanan yang betul, tenaga kognitif dan keupayaan kanak-kanak dapat dipertingkatkan. Sarapan yang baik juga membekalkan 25 peratus nutrisi penting yang diperlukan untuk kanak-kanak sedang membesar selain mewujudkan tabiat hidup yang baik dan sihat.

    Kepentingan sarapan memang ketara tanpa mengenal umur. Apabila kita memulakan hari dengan sarapan yang segar setiap hari, ini bermakna kita menyediakan tubuh untuk memulakan hari baru dan memberi peluang kepada tubuh untuk mencapai apa-apa yang diingini.

    Mulakan hari dengan gaya hidup yang sihat, penuh semangat, sikap positif dan senyuman ceria, hanya dengan sarapan yang segar.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18


    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved