Khamis, 31 Januari 2013

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pangsapuri condong

Posted:

Shah Alam: Lebih 1,000 penghuni yang mendiami 240 unit pangsapuri di Seksyen 22, Batu 3, di sini, menyifatkan mereka ibarat menunggu ajal setiap hari berikutan keadaan struktur bangunan 15 tingkat itu mulai condong.

Sehingga kini, tiada siapa membantu penghuni Pangsapuri Indahria itu menyebabkan mereka pasrah dan hanya menanti kediaman menyembah bumi, sekali gus memungkinkan tragedi Highland Tower berulang.


Wakil penduduk, Salmah Harun, 35, berkata, mereka mula menduduki pangsapuri itu pada 2009 dan pada tahun sama, masalah mula timbul apabila berlaku retakan pada struktur tempat letak kereta.

"Pemaju ada membaikinya semula kerana ia masih di bawah selenggaraan mereka namun pada tahun lalu mendapan tanah mula berlaku apabila kaki lima beralun manakala cerucuk yang menyokong keseluruhan bangunan mula kelihatan.


"Mendapan menyebabkan sokongan terhadap cerucuk yang mengawal dan menyokong struktur bangunan itu semakin lemah dan akibatnya seluruh bangunan ini mulai condong," katanya.


Dia yang tinggal di tingkat satu berkata, jika kilat, guruh atau kenderaan berat melalui jalan berhampiran, dia merasai gegaran dan ada kalanya seakan-akan berbuai. Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan Ariffuniza Koraini berkata, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Pejabat Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Katanya, tindakan itu diambil kerana beberapa siri perbincangan sudah diadakan membabitkan kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pemaju, Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) sejak April tahun lalu.


Katanya, melalui perbincangan itu pelbagai persetujuan secara lisan sudah dibuat termasuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk namun tiada gerak kerja fizikal dilakukan.

Menurutnya, antara persetujuan yang dicapai ialah peruntukan kecemasan oleh pihak MBSA sebanyak RM250,000 bagi kerja baik pulih kecemasan pada sistem pembetungan pangsapuri itu yang terjejas akibat rekahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Ratu cantik buat kasut

Posted:

Kegilaannya terhadap kerja memberi lebih ruang buat bekas Ratu Cantik Malaysia 2008, Soo Wincci untuk berkarya, bukan setakat menyanyi, menari dan berlakon, wanita jelita ini turut berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan menghasilkan kasut rekaannya.

Selepas dipilih menjadi duta jenama kasut XES, dia kini memiliki jenama kasut sendiri yang akan dijual di butik XES seluruh negara.

Ditemui pada majlis pelancaran rekaan kasutnya baru-baru ini, gadis yang mesra dengan panggilan Wincci ini mengakui teruja apabila diberi penghargaan sebesar itu oleh XES apatah lagi idea dalam penghasilan jenis dan bentuk kasut juga dibuat mengikut cita rasanya sendiri.

Menurut gadis tinggi lampai ini, segala-galanya tidak pernah terlintas di fikiran kerana perancangan asal dia ingin membuka perniagaan roti.

Foto

WINCCI bersama kasut rekaannya.


"Saya terfikir untuk menghasilkan rekaan kasut selepas menjadi duta XES. Dari situ timbul minat melihat pelbagai jenis kasut yang membanjiri pasaran.


"Ia juga mengingatkan saya pada awal pembabitan sebagai ratu cantik di mana saya didedahkan dengan pemakaian kasut. Dari situ saya jadikan sebuah ilham untuk lebih kreatif dalam setiap jenis kasut yang saya hasilkan.

"Memang agak rumit kerana tidak semua jenis yang saya hasilkan menepati apa yang dimahukan syarikat. Setiap rekaan itu saya perlu memberi sebab dan alasan kenapa ia dibuat seperti itu dan apakah kesannya kepada pengguna," katanya.

Wincci berkata, sebagai permulaan dia menghasilkan enam reka bentuk kasut untuk dipasarkan dan selepas itu baki 12 lagi akan dilancarkan di semua cawangan XES seluruh negara.

"Saya mengambil ciri-ciri reka bentuk melalui kehidupan harian yang dilalui contohnya melihat apa yang menarik, selesa dan digemari oleh pengguna masa kini. Selain itu, reka bentuk yang dihasilkan juga terdapat dalam pelbagai kesesuaian yang boleh digunakan sama ada pada majlis rasmi atau tidak rasmi," katanya.

Tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap perniagaan kasut, Wincci kini juga sibuk dengan promosi album Mandarin yang dilancarkan di Taiwan minggu lalu.

"Saya kini berulang alik setiap minggu antara Malaysia dan Taiwan namun gembira sambutan media pada pelancaran album ketika itu sangat memberangsangkan sehingga ke mana-mana saya pergi terasa diri sentiasa diperhatikan.

"Media di sana sangat aktif. Mereka ada di mana-mana saja untuk mendapatkan berita kita. Justeru, demi menjaga imej dan berharap promosi album tidak mengalami sebarang masalah, saya perlu bijak membawa diri dan jika keluar saya akan jalan beramai-ramai dengan teman lain.

"Saya akui dengan gosip seseorang artis mudah mendapat nama di sana. Namun saya mahu biarlah popular kerana bakat yang ada dan bukan gosip semata-mata walaupun ada juga yang cuba mendampingi saya," katanya.

Selain album Mandarin, Wincci juga berjinak-jinak dalam menghasilkan lagu Melayu tidak hairanlah dia berani mempertaruhkan diri dengan menghasilkan album mini, Terus Teranglah yang menyaksikannya berduet dengan Joe Flizzow.

"Saya gembira atas segala yang dimiliki kini. Tidak dinafikan perjalanan yang saya lalui begitu mudah apa saja yang dilakukan walaupun pada dasarnya memerlukan masa yang lama namun ia berbaloi apabila semakin ramai yang mula mengenali diri dan produk yang dikeluarkan.

"Selepas pelancaran album Mandarin di Taiwan, jika tiada halangan album yang memuatkan 10 lagu ini akan dipasarkan di Malaysia selepas Tahun Baru Cina ini seiring dengan album Melayu saya.

"Dengan cara ini bukan hanya peminat Cina saja sekali gus saya harap dapat menguasai peminat Melayu juga," katanya yang bakal menghabiskan pengajian peringkat sarjana tiga tahun lagi.

Antara lagu yang terdapat di dalam album Melayu Wincci ialah Terus Teranglah, Musim Asmara, Nombor 1 dan Jangan Risau.

Jadi 'Superwoman' di Taiwan

Berkongsi pengalaman sepanjang berada di Taiwan, Wincci berkata, ia satu perkara luar biasa dan pengalaman yang mencabar bagi dirinya.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, menjadi seorang bintang di sana tidak boleh hanya fokus pada satu kerja saja sebaliknya untuk meletakkan diri setahap artis popular dia perlu melakukan banyak kerja selain menyanyi harus ada kemahiran dalam bidang lain juga.

"Saya kagum de­ngan semangat artis di sana untuk maju kerana walaupun pembabitannya kecil, tetapi besar kesannya kerana berita mengenai diri kita akan merebak ke seluruh Asia apatah lagi negara mereka mempunyai lebih 100 saluran televisyen.

"Walaupun hanya sedikit pembabitan ia agak sukar untuk ditembusi kerana kita tidak boleh mempertaruhkan bakat menyanyi semata-mata, tetapi perlu pandai melakukan apa saja yang diminta dan tidak hairanlah selain menyanyi, berlakon dan menari saya juga pernah menjadi chef dalam satu program masakan di sana selepas mereka mengetahui saya pernah terbabit dalam program masakan di sini," katanya.

Wincci berkata, dia berjaya mengatasi semua itu kerana apa saja yang diminta dia mampu melakukannya hingga orang-orang sekeliling dan beberapa artis menggelarnya Superwoman.

Ini kerana selain mampu melakukan banyak perkara dia juga disanjung kerana menjadi wanita dan artis yang berpendidikan tinggi.

"Bagi saya kelebihan yang ada perlu dikongsi, selain dapat menunjukkan bakat kepada semua ia juga sebagai teladan kepada sesetengah masyarakat di sana yang beranggapan wanita tidak perlu belajar hakikatnya mereka mengakui pelajaran juga sama penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Tiada niat buruk

Posted:

"Kami bukan mahu merendahkan sistem pentadbiran sesebuah sekolah. Niat kami cuma mahu memberi gambaran bahawa kejadian sedemikian memang berlaku di mana-mana sekolah termasuk sekolah juvana," kata pengarah filem Juvana, Faisal Ishak mengenai filem yang sudah mencatat kutipan hampir RM2 juta sejak mula ditayangkan Khamis minggu lalu.

Faisal berkata, selepas menonton filem berkenaan, ada segelintir penonton berfikir seolah-olah mereka cuba memaparkan kelemahan sistem pentadbiran sekolah.

"Tiada sikit pun niat kami untuk merendah-rendahkan sistem pentadbiran sekolah. Kami tidak mahu terlalu menonjolkan suasana itu dan lebih fokus terhadap setiap watak dan karakter pelakon," katanya.

Apapun tanggapan orang, filem yang masih ditayangkan ini mula mencatat kutipan pecah pang­gung berikutan kejayaan drama bersirinya yang ditayangkan di TV3 sebelum ini.


Sambutan hebat penonton membawa drama Juvana merangkul anugerah Drama Rantaian TV Terbaik di Anugerah Skrin 2011, sekali gus mendorong Filmscape Sdn Bhd dan Juita Viden Sdn Bhd mengang­katnya ke layar lebar.


Faisal yang juga pengarah asal drama berkenaan turut mengekalkan pelakon asalnya seperti Zahiril Adzim, Johan Asari, Syazwan Zulkifly, Idzham Ismail, Adam Shah, Megat Farzeril dan Khairul Mohamed.

Selain itu, penampilan istimewa Adlin Aman Ramli dan Sharnaaz Ahmad yang membawa watak Lan Todak sebagai lelaki psiko turut memberi impak besar terhadap filem ini.

Memandangkan ia adalah filem pertama arahan Faisal, dia banyak meluaskan ruang kreativiti dan mengaplikasikan formula pengarahannya bagi memastikan filem ini berkualiti dan memberi kesan terbaik buat penonton terutamanya penonton setia drama bersiri Juvana.

Faisal berkata, idea membawa Juvana kepada filem timbul selepas melihat reaksi penonton yang mengharapkan sambungan cerita berkenaan.

"Selepas berfikir dan melihat kejayaan drama Juvana, saya sepakat untuk membawa kisah ini ke filem. Jalan cerita filem ini juga banyak disokong oleh drama dan untuk filem kami mengembangkan lagi jalan cerita supaya penonton lebih jelas ke mana pelajar-pelajar sekolah Wira Bakti dibawa selepas sekolah mereka ditutup," katanya.

Filem yang menelan belanja RM1.5 juta itu mengambil masa 17 hari penggambaran menggunakan lokasi bekas tapak Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Rawang, Sela­ngor.

Filem Juvana adalah kesinambungan drama bersirinya yang memaparkan kisah Botak, Apek, Ayam, Kicap, Komeng, Panjang dan Daim selepas sekolah Wira Bakti ditutup.

Daim yang dibebaskan cuba memulakan kehidupan baru dan menyambung persekolahannya. Namun, sejarah hitam hidupnya tidak memberi laluan mudah untuk Daim membina hidup baru.

Manakala Botak, Apek, Ayam, Kicap, Komeng dan Panjang dipindahkan ke sebuah sekolah juvana lain iaitu Sekolah Indera Sakti untuk meneruskan tempoh hukuman mereka.

Di sekolah baru itu Botak mula akrab dengan Apek serta yang lain.

Namun, mereka menjadi sasaran Lan Todak, ketua samseng sekolah itu hingga mencabar semangat setia kawan di antara mereka. Pelbagai insiden tercetus sehingga mengubah pendirian Botak yang mula berkelakuan seperti orang asing terhadap teman-temannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Premis pengedar minuman mengandungi racun diserbu

Posted:

KUALA LUMPUR: Dua premis pengedar minuman 'tunjuk langit' yang mengandungi racun dimethinsildenafil diserbu pagi tadi.

Serbuan jam 10 pagi oleh Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kuala Lumpur di Bandar Sri Permaisuri dan Pelabuhan Klang itu berjaya merampas tiga jenis produk bernilai hampir RM1 juta.

Produk berkenaan dikatakan lebih berbahaya kerana kandungan racun yang ditemui dalam produk itu sudah diubahsuai daripada molekul asal racun sildenafil.

Foto

Rampasan produk yang mengandungi kandungan racun di Bandar Sri Permaisuri. FOTO Hamidi Samsudin

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

Lemas balik mengaji

Posted:

Bachok: Seorang wanita hanya mampu merintih hiba apabila mayat anaknya berusia lapan tahun ditemui dalam tali air di Kampung Mak Limpah di sini, 10 minit selepas dia dan suami tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, Mohd Alif Amirul Hafiz Zamara, 8, terjatuh ke dalam tali air berkenaan selepas tergelincir dari jambatan ketika pulang dari kelas mengaji bersama sepupunya, Nik Najwa Nik Azli, 11, dan Nik Azurayanti Nik Azli, 10.

Mayat murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Pak Badol itu ditemui kira-kira 500 meter dari tempat dia jatuh pada jam 3.45 pagi, selepas lebih sembilan jam usaha mencari dan menyelamat dilakukan anggota bomba dan polis dengan bantuan penduduk kampung.

Anak sulung daripada tiga beradik itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pengesahan kematian sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Foto

BAPA saudara mendukung jenazah Mohd Alif keluar dari rumat mayat.


Ibunya, Sumaria Mohamad, 30, berkata, dia dan suami, Zamara Said, 37 serta dua lagi anaknya, Mohd Alif Danial, 6, dan Nor Alia Natasya, 4, tiba di tempat kejadian pada jam 3.35 pagi selepas menempuh perjalanan lebih sembilan jam dari Pelabuhan Klang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Shahidan tutup mulut

Posted:

Alor Setar: "Saya tak nak komen apa-apa. Saya baru balik daripada lawatan ke Gaza," kata Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang masih berteka-teki sama ada sudah menerima surat pendakwaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau sebaliknya.

Shahidan berkata, setakat ini, beliau belum menerima apa-apa surat pendakwaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kritikan 'pedas' dibuatnya bagi menuntut transformasi dalam FAM yang menjadi isu panas, sejak akhir-akhir ini.


"Saya tak baca surat khabar lagi... saya baru pulang dari Gaza, dalam (laman sosial) Facebook saya pun tiada siapa yang maklumkan mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu, saya tak fikir lagi... yang saya fikir macam mana nak bayar gaji pemain. Tiap-tiap bulan nak bayar gaji RM170,000. Mungkin pemberita boleh tolong fikirkan untuk saya macam mana nak bayar gaji," katanya berseloroh.


Sebelum itu, beliau disambut kira-kira 100 penyokongnya sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini, kira-kira jam 8 malam tadi.


Ketika ditanya perkembangan terbaru setakat ini, beliau terus mengulangi 'saya hanya fikir macam mana nak bayar gaji pemain saja buat masa ini.' "Saya turun KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), terus mai (datang) sini... tak baca apa lagi. Saya tak nak komen lagi selagi tak dapat surat.

"Saya bukan mencari masalah, tapi kebenaran. Bagi saya, ini perjuangan. Perjuangan, sana sini mesti berlaku," katanya.


Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Shahidan mungkin dikenakan tindakan tatatertib berikutan kenyataannya yang menuntut transformasi dalam FAM bagi memastikan badan induk bola sepak tanah air itu mendapat sokongan ramai pihak.

Transformasi yang dituntut bekas Menteri Besar Perlis itu turut menjurus kepada kesediaan FAM membantu pasukan yang mempunyai masalah kewangan.


Berdasarkan Artikel 88, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.


Shahidan dalam reaksi balas terhadap kes itu, baru-baru ini menyuarakan sudah bersedia mengadap Jawatankuasa Tatatertib FAM sekiranya dipanggil berbuat demikian.


Untuk rekod, sebelum ini Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pernah menjadi mangsa Artikel 88 apabila digantung dua tahun enam bulan pada April tahun lalu atas kesalahan mengkritik prestasi skuad kebangsaan.


Sebelum itu, Naib Presiden, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menjadi pegawai pertama FAM yang dihukum pada 1991, disusuli Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1991 dan 2007.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Zambia berduka

Posted:

Nelspruit: Juara bertahan, Zambia tersingkir daripada saingan Piala Negara-Negara Afrika manakala bintang Chelsea, Victor Moses membantu Nigeria mengiringi Burkina Faso ke suku akhir.

Kumpulan C menyaksikan saingan sengit dan Moses menyempurnakan dua sepakan penalti untuk menewaskan Habsyah, 2-0 dan meletakkan Nigeria di tangga kedua kumpulan di belakang Burkina Faso.


Bagaimanapun Zambia terpaksa pulang awal, juara bertahan pertama tersingkir awal sejak Algeria pada 1992 yang tersingkir pada pusingan pertama.

Mereka menghuni tangga ketiga selepas mencatat keputusan seri kali ketiga berturut-turut, kali ini seri tanpa jaringan dengan Burkina Faso.


Dibimbing jurulatih dari Belgium, Paul Put, benteng pertahanan Burkina Faso begitu ampuh manakala Zambia bergelut ketika melakukan penyudah.


Namun, dengan baki 11 minit, Zambia bagaimanapun masih berada di landasan tepat untuk menyingkirkan Nigeria yang menduduki tangga kedua.

Andai berkongsi mata serta jaringan, mereka masih menjadi pasukan pilihan ke suku akhir kerana mengumpul kad kuning serta kad merah lebih sedikit berbanding Nigeria.


"Kemenangan ini untuk rakyat Nigeria, di mana saja mereka berada," kata jurulatih, Stephen Keshi.

"Inilah masanya meraikan kejayaan. Kini kami bertemu pasukan pilihan, Ivory Coast pada suku akhir dan pastinya tiada peluang kedua bagi kedua-dua pasukan.


"Saya sudah mempunyai taktik yang akan diterapkan tapi ia untuk pemain bukan untuk anda." Put berjaya menaikkan semangat pemainnya bagi merealisasikan peluang terbaik mencipta sejarah dan ternyata mereka tidak mengecewakannya.


"Mereka beraksi dengan baik. Kami menjangkakan Zambia beraksi dengan corak menyerang dan kami berjaya bermain secara bertahan.


"Meskipun tidak menarik, tapi kadang kala perlu lebih realistik dalam bola sepak. Yang penting layak ke saingan seterusnya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Koleksi kereta mini dilelong

Posted:

Atlanta: Selepas bersusah-payah menghabiskan masa 15 tahun mengembara ke serata dunia, seorang pengumpul kereta mikro bakal melelong 200 kenderaan koleksinya pertengahan bulan depan.

Kebanyakan kereta Bruce Weiner itu dilengkap enjin 49 kuasa kuda yang mampu mencapai kelajuan kira-kira 65 kilometer sejam. Walaupun kereta mikro itu hanya sepanjang 1.5 meter, tetapi ia masih boleh digunakan seseorang dengan ketinggian 1.8 meter.


Walaupun kecil, kereta mikro berkenaan dikatakan masih mampu menyelesaikan beberapa masalah pengangkutan.

Menurut Weiner, selama 15 tahun dia merantau ke seluruh pelusuk dunia untuk mendapatkan kereta mikro terbaik.


Katanya, kereta seumpama itu dibina selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, ketika Amerika Syarikat (AS) dan Britain bergelut dengan masalah kekurangan makanan, bahan mentah, bekalan elektrik dan gas.


"Kereta mikro itu dibina sebagai cara membantu orang ramai dalam keadaan sulit selepas perang, tetapi ia hanya bertahan sedekad apabila muncul kereta mini," katanya. Hasil lelongan semua 200 kereta mikro itu dijangka bakal mengumpul sehingga RM34 juta.

Antara koleksi Weiner ialah kereta ikon Peel P50 dan BMW yang diubah suai menjadi kereta lumba 730 kuasa kuda.


Menurut Weiner, lelongan itu diadakan di Muzium Kereta Mirko Bruce Weiner di Madison, Georgia. Kereta Peel P50 dikeluarkan pada 1964 adalah kereta paling kecil pernah dihasilkan di dunia dan dijangka dijual pada harga RM219,000.

Weiner juga akan menjual 11 kereta BMW Isetta, termasuk sebuah model unik, Whatta Drag, yang dilengkapi enjin Chevrolet V8.


"Kereta itu diilhamkan daripada kereta mainan Hot Wheels dan dianggarkan bernilai £65,000 (RM316,000)," katanya. Tidak ketinggalan, sebuah kereta Bond Bug oren keluaran 1972 yang mempunyai tiga tayar dihasilkan syarikat Reliant.


Kerera itu, kata Weiner, dianggarkan bernilai £12,000 (RM58,400).


Menurut Weiner, mengumpul kereta mikro memang menyeronokkan tetapi lama-kelamaan, dia berdepan masalah tempat untuk menyimpannya.


"Sebagai menghargai kereta itu, saya perlu berkongsi dengan orang lain," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31

Lelaki paksa 350 wanita bogel di Internet bakal dijel 105 tahun

Posted:

Los Angeles: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 105 tahun jika didapati bersalah memeras ugut beratus-ratus wanita supaya mereka berbogel sambil menyaksikan aksi itu melalui Internet.

Karen 'Gary' Kazaryan, 27, didakwa memaksa lebih 350 wanita muda mempamerkan tubuh mereka selepas menggodam akaun Facebook dan e-mel mangsa.


Media semalam melaporkan, Kazaryan menyamar sebagai rakan wanita itu sebelum memujuk mereka supaya berbogel untuknya.

Aktiviti itu dapat dilakukan secara langsung melalui kemudahan Skype.


Lelaki dari Glendale itu didakwa menyelongkar akaun mangsa mencari sebarang gambar bogel atau separuh bogel.


Jika mangsa mengesan aktiviti Kazaryan, dia bukan saja tidak menghentikan perbuatan itu, malah mengugut mereka untuk berbogel lagi untuknya.

Penyiasat berkata, 3,000 gambar bogel atau separuh bogel ditemui dalam komputer Kazaryan setakat ini.


Katanya, Kazaryan menghubungi mangsanya dari semasa ke semasa supaya dapat mendesak mereka berbogel untuknya.

"Dalam sesetengah kes, Kazaryan meletakkan gambar bogel di akaun Facebook mangsa jika mereka enggan mengikut kemahuannya," katanya. Kazaryan ditahan semalam dan menghadapi 15 tuduhan pencerobohan komputer serta 15 dakwaan mencuri identiti. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31
Kredit: www.hmetro.com.my

Rabu, 30 Januari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Mekap umpama seni

Posted:

Bagi sebahagian wanita, tidak lengkap gaya harian mereka tanpa calitan mekap.

Namun, apabila bermekap perlu kena pada gayanya kerana sapuan mekap umpama seni. Luarannya ia kelihatan mudah dilakukan, tetapi apabila 'diwarnakan' hasilnya belum tentu nampak menarik.

Setiap sapuan bahan mekap perlu diadun sempurna dan rata pada keseluruhan wajah bagi mengurangkan kewujudan garis halus atau berbelak.

Selain itu, penting untuk membezakan gaya solekan untuk majlis pada siang hari dan malam, jika tidak, kecantikan wajah tidak me­nyerlah sepenuhnya.

Foto

WAJAH sebelum menggunakan mekap.

Foto

BENTUKKAN bibir dan sapukan gincu serta pelembap bibir bersesuaian.

Foto

SOLEKAN lengkap gaya kasual yang menarik dan mudah dilakukan.

Foto

SAPUKAN bedak asas pada seluruh wajah, tambah penyamar cela pada bahagian perlu terutama di bawah mata.

Foto

RATAKAN bersama bedak debu agar warna kulit lebih sekata dan tidak berbelak.

Foto

WARNAKAN pembayang mata pada keseluruhan kelopak mata dengan memberi penekanan pada penghujung mata. Warna pada bahagian berkenaan digelapkan sedikit.

Foto

GUNAKAN penggaris mata pada bahagian atas dan bawah garisan mata untuk menonjolkan bentuk mata.

Foto

BENTUKKAN kening menggunakan penggaris mata berwarna coklat gelap untuk kesan solekan lebih semula jadi.

Foto

PAKAIKAN bulu mata palsu untuk memberi lebih impak.

Foto

TAMBAH maskara untuk kesan lentik bulu mata.

Foto

KEMASKAN solekan bawah mata menggunakan berus ala gaya smokey.

Asas penjagaan kulit

Asas pemakaian mekap adalah memastikan kulit wajah sentiasa bersih iaitu dengan membersih, me­nyegar dan melembap wajah terlebih dulu.

Tanpa wajah yang bersih, pemakaian mekap tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Riasan mata

Ramai masih tercari-cari tip mekap bahagian mata bagi menyerlahkan titik tumpuan pada wajah mereka. Antara yang boleh dijadikan panduan ialah penggunaan penggaris mata warna semula jadi seperti coklat.

Apabila disapukan, mata kelihatan tidak begitu garang berbanding peng­gunaan penggaris mata berwarna hitam.

Untuk gaya lebih ringkas dan semula jadi, letakkan secara nipis di atas dan di bawah garis mata.

Bagi menutupi kesan ling­karan gelap di bawah mata, gunakan penyamar cela terlebih dulu di bahagian terbabit. Mulakan sapuan dari bahagian dalam mata ke penghujung mata hingga sebati dengan kulit.

Mulut

Bagi mereka yang memiliki bentuk bibir yang nipis, gunakan penggaris bibir dan besarkan sedikit bahagian bawah bibir untuk mendapatkan bentuk bibir penuh.

Kemudian ratakan de­ngan gincu atau pelembap bibir, namun usah menggaris bibir terlalu jauh dari garis asal bibir.

Untuk mengekalkan warna gincu pula, warnakan bibir dengan peng­garis bibir tadi sebelum diletakkan gincu kerana ia boleh bertindak sebagai gam dan memastikan warna gincu tidak tertanggal dengan mudah.

Pipi

Jika memiliki tulang pipi timbul yang juga satu kelebihan, beri keutamaan kepada bahagian itu. Bagi mereka yang berkulit cerah, gunakan pewarna pipi berwarna kuning kemerah-merahan dan merah jambu kusam untuk wanita berkulit gelap.

Gunakan berus pemerah pipi yang besar untuk mendapatkan hasil sapuan lebih sekata. Sapuan perlu dibuat secara serong iaitu dari bahagian tulang pipi menghala ke mulut. Gunakan satu arah sapuan saja agar warna lebih sekata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30

Minat jadi dorongan

Posted:

Ketika bertemu pe­langgan hampir setiap malam, wanita ini membawa tiga anaknya bersama. Sewaktu berbincang mengenai perniagaan, suaminya ditugaskan menjaga anak-anak sehingga mereka tertidur di dalam kereta. Perbincangan biasanya memakan masa dua hingga tiga jam dan berlarutan sehingga jam 2 pagi.

Keadaan ini berterusan setiap hari malah bertambah pada hujung minggu kerana dia terpaksa bertemu pelang­gan dua atau tiga orang sekali gus.

Walaupun jadual hariannya sibuk dengan urusan kerja pada waktu siang
di sebuah syarikat kontraktor, bagi memastikan kelangsungan minat dalam seni hiasan dalaman, pemilik Akma Deco and Interior, Marina Abd Khalid tidak pernah merungut malah yakin suatu hari nanti dia mampu membuka perniagaan sendiri.

Pemegang Diploma Ukur Bahan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini sentiasa positif dalam apa juga yang dilakukan. Baginya, apa saja yang diinginkan akan cuba diperoleh dengan usaha bersungguh-sungguh. Walaupun bukan dilahirkan dalam keluarga peniaga, Marina tekad ingin memecah tradisi keluarga dengan berniaga. Tetapi ketika itu dia tidak tahu jenis perniagaan yang akan diceburinya.

"Saya cuba berniaga ping­gan mangkuk menerusi Internet tetapi saya berhadapan risiko pinggan pecah dan terpaksa membayar ganti rugi kepada pelanggan. Akhirnya saya memilih memasarkan kertas dinding selepas teruja melihat kepelbagaian rekaan di pasaran, juga kurang berisiko berbanding makanan atau pakaian. Lebih penting ia bersesuaian dengan minat dalam bidang seni hiasan dalaman," katanya.

Berpegang kepada prinsip melakukan yang terbaik dalam apa juga bidang, wanita ini tekad mendapat­kan perbandingan harga menerusi pembekal yang kebanyakan dimonopoli daripada bangsa Cina. Sedikit demi sedikit Marina belajar cara menguasai pasaran terutama mendapatkan produk pada harga murah tetapi berkualiti.

"Sejak menuntut di UiTM, minat dalam bidang seni hiasan dalaman sudah ada. Ditambah pergaulan dengan rakan dalam jurusan ini, sedikit demi sedikit saya belajar bagaimana memenuhi kehendak pelanggan. Hal ini berterusan selepas menamatkan pengajian apabila saya mula menjalankan perniagaan menerusi dalam talian dengan menjual kertas dinding," ujarnya.

Menurut Marina, sebagai pereka hiasan dalaman secara sambilan masanya sa­ngat terhad. Hanya pada waktu malam dia dapat bertemu pelanggan kerana waktu siang dia bertugas di sebuah syarikat kontraktor.

Lama-kelamaan wanita ini terfikir sampai bila harus begini kerana sampai masanya dia harus berganjak daripada satu tahap dengan membuka perniagaan sendiri.

Bermula daripada kertas dinding, Marina menambah produk kepada permaidani, bidai, kabinet dapur, sofa dan langsir. Malah kreativiti serta hasil usaha menyebab­kan dia mendapat perhatian daripada jabatan kerajaan.

"Mungkin kerana produk ditawarkan berkualiti serta harga berpatutan, kebanyakan pelanggan setia mendapatkan khidmat saya. Malah tidak terhad di Lembah Klang saja tetapi seluruh Malaysia," jelasnya.

Oleh kerana tidak mampu menanggung jumlah pelanggan yang semakin ramai, pada Februari 2012 anak bongsu enam beradik ini tekad membuka perniagaan di Shah Alam selepas mendapat sokongan suami dan keluarga.

Perkara pertama dilakukannya adalah mempergiatkan promosi menerusi Internet, menawarkan harga lebih rendah daripada pasaran serta memberi percuma bagi setiap pembelian kertas dinding. Ini sebagai langkah promosi serta memperkenalkan jenama Akma Deco and Interior bukan saja menjual kertas dinding tetapi segala kelengkapan rumah.

Jika dulu kebanyakan individu tidak mahir me­ngenai seni hias tetapi kini, mereka semakin bijak menghias rumah kerana banyak membaca dan membuat kajian. Kebanyakan pelanggan berilmu dan tahu mengenai asas menghias. Misalnya dalam pemilihan kabinet dapur, semakin ramai pelanggan memilih jenis kaca bukannya seramik begitu juga konsep langsir yang sekarang ditukar kepada bidai untuk menampakkan unsur moden dan elegan.

"Kemahiran pelanggan turut mempengaruhi dalam membuat keputusan. Kadang-kadang saya minta mereka memilih apa yang disukai berdasarkan konsep dan tema diinginkan. Sekiranya ada yang tidak kena, barulah saya memberikan pendapat dan mencadangkan konsep sesuai. Setakat ini tiada masalah dari segi idea atau pemilihan produk," ujarnya yang memberitahu konsep moden me­ngambil alih minat pelanggan untuk menghias kediaman mereka.

Walaupun baru memasuki tahun pertama membuka perniagaan secara fizikal, Marina mempunyai perancangan sendiri bagi memastikan Akma Deco and Interior berdiri sebaris dengan syarikat hiasan dalaman yang lain.

Akuinya apa juga perniagaan, risiko serta cabarannya tetap ada. Sebagai pengurus dia harus bijak menangani masalah terutama ketika berhadapan de­ngan pelanggan.

"Dalam apa juga keadaan pelanggan memang betul. Saya selalu tetapkan dalam diri supaya bersabar menghadapi kerenah mereka. Jika difikirkan masalah akan membuatkan kita menjadi lebih tertekan. Oleh itu perlu tahu cara mena­ngani dan bertindak dengan sebaiknya," katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Jelas Marina, sepanjang menguruskan Akma Deco and Interior walaupun perlu bekerja keras memastikan mampu mendapat pulangan pada setiap bulan, kepuasan diperoleh tiada tandingannya jika dibandingkan de­ngan kerja makan gaji.

"Dulu seharian di pejabat seakan tiada apa diperoleh. Tetapi kini walaupun penat ditambah tekanan berhadapan kerenah pelanggan dan pembekal, apabila memperoleh hasilnya ibarat segala penat lelah saya terbayar selama ini," katanya yang kini mempunyai dua pekerja tetap dan sambilan terdiri daripada ahli keluarga.

Seperti mana peniaga lain, Marina komited untuk memperluaskan jenama Akma Deco and Interior dengan membuka cawa­ngan di negeri lain seperti Johor Bahru, Kuantan dan negeri di utara seperti Pulau Pinang atau Kedah dalam masa dua tahun lagi.

"Dengan membuka cawangan, saya dapat membuka peluang perniagaan kepada orang ramai terutama anak-anak muda supaya mereka belajar membuka perniagaan secara kecil-kecilan serta mening­katkan kemahiran dalam seni hiasan dalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tengkorak tergantung

Posted:

Sepang: "Saya nampak objek seperti tulang tangan di tanah, tetapi disebabkan menyangka ia hanya patung saya meneruskan kerja menebas sebelum mendapati ia rangka manusia," kata Sukirno Sukar, pekerja pembersihan yang menemui rangka manusia yang lengkap berpakaian di kawasan semak mengkuang berdekatan Pusat Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Sukirno, 53, bersama rakannya ditugaskan menebas semak di situ sebelum menemui rangka manusia yang terpisah kepala.


"Bila menyedari objek itu rangka manusia, saya terkejut dan melompat melarikan diri sambil memanggil rakan yang berkerja berhampiran," katanya yang ditemui, semalam.

Menurutnya, sambil ditemani rakan, dia cuba melihat lebih dekat rangka itu dan mendapati kepala sudah hilang sebelum menemui tengkorak yang masih berambut tergantung di pokok mengkuang.


"Kami berasa pelik kerana rangka itu tiada kepala. Kemudian, kami memeriksa kawasan sekeliling dan menemui kepala berambut panjang diikat dengan tali pada pokok mengkuang," katanya.


Dia berkata, mereka memaklumkan penemuan itu kepada pihak pengurusan landskap dan seterusnya melaporkan kepada polis.

Foto

ANGGOTA Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam.

Difahamkan, rangka yang lengkap berseluar dan memakai baju-T itu seorang wanita dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak sebulan lalu.


Berhampiran rangka terbabit turut ditemui pasport milik seorang wanita warga China berusia 29 tahun dan pemeriksaan polis mendapati dia masuk ke Malaysia sejak 2010.

Selain itu, barangan lain yang dijumpai termasuk kad kredit dan duit dalam mata wang yuan China.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati tiada tanda hentakan atau kecederaan pada tengkorak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved