Khamis, 16 Mei 2013

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Air mata mengalir

Posted: 15 May 2013 11:39 AM PDT

Seremban: Seorang bapa di Rumah Rakyat Panchor, di sini, merayu orang ramai membantu meringankan beban perbelanjaan ditanggungnya berikutan terpaksa mengeluarkan kos lebih RM2,000 sebulan bagi merawat penyakit saraf anak tunggalnya.

Adli Isham Abas, 35, berkata walaupun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Yayasan Menara RM500 sebulan ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan perubatan alternatif serta rawatan penyakit anak tunggalnya, Ahmad Wafly Adli Isham berusia setahun 10 bulan.


Menurutnya, Ahmad Wafly memerlukan makanan tambahan iaitu sejenis vitamin khusus untuk saraf seperti disyorkan doktor pakar yang boleh didapati di beberapa farmasi pada harga RM175 bagi 30 biji dan susu khas RM600 sebulan.

"Setiap kali memegang tubuhnya yang lembik disebabkan penyakit saraf saya perlu berhati-hati kerana bimbang anak berasa sakit. Apatah lagi dia belum boleh bercakap dan saya dapat merasakannya apabila dia mengalirkan air mata.


"Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai di Paroi dengan pendapatan RM25 sehari. Apabila menggunakan perubatan alternatif yang disarankan doktor pakar itu, memerlukan perbelanjaan tinggi. Saya gagahkan juga sebab mahu melihat anak sihat walaupun terpaksa keluar dari rumah sewa kerana tak mampu bayar. Sekarang saya, isteri dan anak menumpang di rumah ibu.


"Saya sangat mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk membantu kami sekeluarga. Isteri saya pula tidak boleh bekerja sebab perlu menumpukan 100 peratus perhatian kepada anak tunggal kesayangan kami itu," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Foto

NORLIYANA memegang tubuh anaknya Ahmad Wafly yang menderita sakit saraf.

Isterinya, Norliyana Abdullah, 25, ketika mengadu mengenai anak tunggalnya itu berkata, Ahmad Wafly menghidapi penyakit saraf secara tiba-tiba sejak berusia empat bulan hingga menyebabkan anaknya itu tidak boleh duduk atau berdiri sebaliknya hanya berbaring.


"Ketika melahirkannya di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Ahmad Wafly berkeadaan normal tetapi, dikesan menghadapi masalah saraf ketika usianya empat bulan. Dia diberikan rawatan di hospital berkenaan termasuk dengan doktor pakar.

"Keadaan dia sehingga kini ada perubahan positif walaupun perlahan, penggunaan perubatan alternatif disarankan doktor pakar banyak membantu perkembangannya. Cuma perbelanjaannya tinggi," katanya.


Norliyana berkata, dia menggunakan sepenuh masa menjaga Ahmad Wafiy yang memerlukan perhatian serius dari segi pemakanan dan kesihatan bagi memastikan anaknya tidak ditimpa masalah lain.


Menurutnya, anaknya mudah mendapat demam jika tidak dijaga dengan betul dan khuatir akan menjejaskan pembesarannya.


"Doktor juga menyarankan Ahmad Wafly menggunakan alat penyokong leher dan badan iaitu sebahagian proses terapi bagi membolehkan tulangnya kembali kuat, namun kami belum dapat membelinya kerana suami tidak mampu dari segi kewangan," katanya.


Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan bolehlah menyumbang di akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Adli Isham Abas di nombor akaun 05012026075001.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/16
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Cabaran Baginda Cycling

Posted: 15 May 2013 09:14 AM PDT

Putrajaya: Penganjuran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia pada 1 dan 2 Jun terus mendapat sambutan menggalakkan terutama kelab basikal termasuk ahli kelab Baginda Cycling.

Pengurus Mohd Ikhwan Sanuddin berkata, seramai 10 ahli kelab membabitkan lapan lelaki dan dua wanita bakal menyertai program anjuran Harian Metro itu. Menurutnya, Baginda Cycling tidak mahu melepaskan peluang menyertai pertandingan itu memandangkan minat mendalam terhadap sukan lasak berkenaan. "Kelab baru ditubuhkan tahun lalu dan kami mendapat keahlian di kalangan peminat sukan di sekitar Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Sungai Merab, Bangi serta Putrajaya.


"Walaupun masih baru, kami banyak menyertai acara di seluruh negara. Justeru, kami terpanggil menghantar wakil untuk menyertai acara kali ini," katanya hadir ke pejabat Harian Metro Putrajaya menyerahkan borang penyertaan, kelmarin. Putrajaya menjadi lokasi pertama acara anjuran Harian Metro dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) itu dan disasarkan 3,500 peserta akan menyertai acara yang bermula di Laman Presint Diplomatik, Presint 15 dan berakhir di Taman Rimba Alam, di sini.

Sirkit kedua hingga kelima berlangsung di Terengganu, Johor, Perak dan Selangor. Perlumbaan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM220,000 itu menggunakan format perlumbaan Olimpik merentas desa dan jamboree, lebih menarik ia turut menawar pelbagai cabutan bertuah. Saingan acara elit mempertandingkan tiga kategori membabitkan peserta lelaki, wanita dan Master bagi peserta lelaki dan wanita berumur 45 tahun ke atas dengan setiap kategori berlangsung dengan format pertandingan berdasarkan Cross Country Olympic (XCO) membabitkan jarak sejauh tiga hingga tujuh kilometer dalam masa ditetapkan. Selain itu, saingan Terbuka Metro (Jamboree) terbahagi kepada empat kategori, Terbuka Lelaki, Wanita, Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) dan Junior (bawah 23 tahun) dalam perlumbaan sejauh 40 kilometer. Sementara itu, penganjur mengumumkan tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 28 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Cycle X MTB harungi saingan

Posted: 15 May 2013 09:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Seramai 20 pelumba daripada Kelab Basikal Cycle X MTB Alor Gajah, Melaka mengibarkan cabaran menggegarkan trek di Putrajaya sempena sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 pada 1 dan 2 Jun ini.

Tidak meletakkan sebarang sasaran dan sekadar menambah pengalaman dalam pembabitan basikal bukit, pengerusi kelab Nazlul Farid Ramlan menjadikan aktiviti berbasikal ini sebagai riadah membabitkan ahli kelab.


Katanya, kelab yang mula berdaftar pada 2010 itu mempunyai 75 ahli dengan 35 daripadanya bergiat aktif menyertai pelbagai pertandingan seluruh negara.

"Kami tidak menetapkan sasaran. Penyertaan ini hanya suka-suka kerana kami sering terbabit dengan pertandingan terutama di sekitar negeri Melaka.


"Dengan menyertai pertandingan ini juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan setiap kali saya terbabit, keluarga saya akan turut sama hadir memberi sokongan," katanya. Saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang turut mendapat pengiktirafan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).


Ia membabitkan lima sirkit menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM220,000 selain cabutan bertuah hadiah utama sebuah motosikal jenama Damak model D Force 160cc berharga RM5,000.

Maklumat lanjut mengenai syarat pertandingan, kategori dan penginapan, layari laman http://mtbgp.hmetro.com.my atau hubungi Riadz Radzi (019-6434049).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Sengaja cari nahas

Posted: 15 May 2013 08:56 AM PDT

London: Dua lelaki dilihat begitu bersahaja dan tidak mempedulikan keselamatan diri apabila membawa bom tinggalan era perang dingin yang tidak meletup selepas menemuinya di pantai.

Bom sepanjang 0.6 meter itu dipercayai ditembak dari kereta kebal beberapa dekad lalu.

Media melaporkan, dua lelaki terbabit menggalas bom berkenaan dari kawasan pantai melalui orang ramai yang melihat dalam ketakutan.

Saksi berkata, mereka percaya lelaki tidak dikenali itu membawa bom berkenaan untuk dijual di kedai besi buruk bagi mendapatkan wang sampingan.

Foto

DUA lelaki tidak dikenali menggalas bom lama dari tepi pantai di Dorset.

Foto

KERAJAAN meletakkan papan tanda bagi menasihati orang ramai tetapi kadang-kadang ia tidak diendahkan.

Foto

KERETA kebal Chieftain


Selepas berita itu tersebar, Kementerian Pertahanan merayu kedua-dua lelaki terbabit segera menghubungi pihak berkuasa bagi membolehkan bahan berbahaya itu dimatikan sebelum sesuatu tidak diingini berlaku.


Saksi berkata, bom berkenaan ditemui dihanyutkan ombak ke pantai Warbarrow Bay, Dorset.

Kawasan itu adalah sebahagian daripada tempat latihan menembak bagi Pangkalan Tentera Lulworth.

Wanita yang merakamkan gambar lelaki itu menggunakan telefon bimbit berkata, pada awalnya dia menyangka mereka membawa permaidani.

Namun, katanya, apabila mereka semakin hampir, dia terkejut melihat objek itu sebenarnya ialah bom lama.

"Saya bersama seseorang yang pernah berkhidmat sebagai tentera dan dia berkata, disebabkan pangkal bom itu masih bertutup, ia belum meletup," katanya.

Wanita itu berkata, melihat kelakuan lelaki terbabit dia percaya mereka adalah "orang bodoh" kerana membahayakan nyawa sendiri dan orang ramai.

Saksi lain berkata, sepatutnya polis dimaklumkan mengenai penemuan itu, bukannya membawa bom berkenaan ke tempat lain.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan berkata, bom itu mungkin ditembak kereta kebal jenis Chieftain atau Wombat yang digunakan tentera pada era 1970-an dan 1980-an.

"Kami meletakkan beberapa papan tanda di kawasan berkenaan untuk memberi amaran kepada orang ramai, tetapi malangnya dalam keadaan tertentu ia diabaikan," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Angelina tidak sabar untuk mengahwini Pitt

Posted: 15 May 2013 08:46 AM PDT

New York: Angelina Jolie berkata, dia akan berkahwin dengan pasangannya, Brad Pitt dengan lebih cepat selepas menjalani pembedahan membuang kedua-dua payudaranya.

Semalam, Angelina, 37, memuji Pitt kerana bersikap "penyayang dan sentiasa menyokong" keputusannya.


Sumber berkata, Angelina tidak sabar untuk mengahwini Pitt dan anak-anak mereka pula mendesak agar ia dilangsungkan dalam masa terdekat.

"Pitt dan Angelina sering ditanya anak-anak, bilakah mereka akan berkahwin," katanya.


Sumber itu berkata, disebabkan Pitt kesibukan kerana terbabit dalam penghasilan filem baru, World War Z, rancangan perkahwinan itu tidak dapat dilangsungkan setakat ini.


Namun, katanya, Angelina yakin ia akan berlangsung tidak lama lagi. Pasangan popular itu bertunang pada 2011 apabila Pitt melamar Angelina dengan cincin berlian bernilai RM1.5 juta.

Pada November tahun lalu pula, aktor itu mengesahkan mereka akan dikahwinkan "tidak lama lagi." Bercakap kepada media sempena tayangan filem Killing Them Softly di New York, Pitt, 48, mengakui dia semakin tertekan akibat diasak anak-anaknya.


"Kini memang masa yang sesuai dan saya gembira dengan kemungkinan itu," katanya. Sumber berkata Angelina mahu perkahwinan mereka dilangsungkan di Perancis tetapi berita terbaru membayangkan, mungkin tempat lain akan menjadi pilihan.

"Pitt dan Angelina mahu ia dijalankan secara tertutup," katanya ketika ditemui. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Gandingan mantap penyanyi hebat

Posted: 15 May 2013 05:20 AM PDT

Mereka berdua antara dua penyanyi yang berada dalam kelas yang tersendiri. Ketrampilan mereka sentiasa menjadi perhatian dengan gaya berbeza.

Hadir dengan pakej lengkap bersuara emas dan bijak dalam berfesyen, kemunculan mereka berdua juga sentiasa dinantikan. Pendek kata, 'aura' dimiliki Anuar Zain, 43, dan Dayang Nurfaizah, 32, memang tersendiri.

Bagaimanapun, adat sudah bergelar selebriti lebih-lebih lagi memegang rekod bersih sepanjang perjalanan karier, mulalah ada yang 'gatal' mencari topik untuk 'menjerat' mereka.

Terbaru buat Anuar sendiri, kecoh seantero negara berikutan penyebaran gambarnya berpelukan erat dengan seorang wanita sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminatnya.

Foto

DAYANG tidak didesak keluarga soal kahwin.

Foto

ANUAR tidak mahu menyakitkan sesiapa.


Pernah terpalit dengan isu sama iaitu suka berpelukan dengan peminat wanita, Anuar ternyata sudah lali dan mempunyai penjelasan tersendiri terhadap insiden berkenaan yang baginya bukan berniat 'kotor'.


"Saya pun tidak sangka sebenarnya foto itu akan tersebar kerana ia dimuat naik dalam satu akaun peribadi di Internet. Wanita berkenaan pun bukan sesiapa, dia saya anggap sebagai adik dan kami sudah lama berkenalan.

"Makanya, adegan sebegitu secara spontan akan berlaku apabila sekian lama tidak bersua dan itulah yang terjadi sewaktu kami dipertemukan ketika itu. Masing-masing 'excited' dan dia minta untuk bergambar dan saya pun bersetuju.

"Bagaimanapun, selepas foto berkenaan dimuat naik ke laman sosial barulah terdetik mengenai kesannya kelak dan ternyata memang timbul juga isu berkenaan. Memang tidak cantik dilihat sesiapa di luar sana. Jadi saya ingin meminta maaf kerana saya tiada berniat langsung untuk berlaku serong," kata pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini.

Bertemu Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty pula, penampilan terbarunya pantas menangkap pandangan yang cukup menampakkan dia kelihatan muda dan berseri-seri.

Seperti Anuar juga, Dayang antara penyanyi yang sukar hendak mendengar kisah panas mengenai dirinya. Selalunya, soalan yang kerap diajukan kepadanya seperti bila agaknya penyanyi Seandainya Masih Ada Cinta itu mahu menamatkan zaman bujang.

Tidak terlepas untuk mengungkit soal kekasih hati kepadanya, Dayang masih kekal dengan jawapan bahawa dia belum berpunya dan mengakui sukar bertemu lelaki yang sesuai buatnya.

"Saya pun tertanya-tanya juga kenapa tidak pernah sangkut dengan mana-mana jejaka. Soal bercinta tidak pernah langsung jadi perihal utama untuk saya bimbangkan sebenarnya.

"Lebih-lebih lagi keluarga saya sendiri termasuklah ibu bapa tidak pernah langsung mendesak mahupun mempersoalkan perkara itu. Apa yang saya percaya, tiba masanya suatu ketika nanti pasti akan ketemu juga seseorang apabila jodoh sudah sampai," katanya.

Anuar dan Dayang saling percaya

Menyelami isi hati kedua-dua pasangan yang cukup serasi apabila bergabung di atas pentas ini, persamaan mereka adalah tahap kepercayaan kepada seseorang amat terhad serta cukup berhati-hati memilih kawan.

Bagaimanapun, antara mereka berdua, Anuar mengakui keserasian yang dipupuk bersama Dayang sejak sekian lama, sebaliknya bertahan dan dia cukup percayakan Dayang.

"Mengenali Dayang dari dulu hingga sekarang, dia seorang teman yang sangat murni hatinya dan kami saling memahami sesama sendiri. Bukan saja serasi dalam bidang muzik, kami sangat rapat dan saya senang dengannya yang sentiasa merendah diri dan berbudi pekerti.

"Meskipun dia dikira 'junior' kepada saya, tapi bakat dalam dirinya cukup mengagumkan dan sebab itulah jujur saya katakan, dia satu-satunya penyanyi paling serasi dengan saya. Banyak juga yang saya pelajari daripada Dayang dan dia memang unik serta tersendiri," katanya.

Apapun, agenda petang itu semestinya memperkatakan mengenai album terbaru pertaruhan mereka iaitu Anuar & Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas hasil rakaman kolaborasi konsert mereka berdua di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tahun lalu.

Tidak disangkal, dinamik menggabungkan dua gandingan ini tidak pernah gagal mengagumkan penonton, buat pertama kalinya selepas beberapa tahun terniat, album terbabit akhirnya terhasil.

Menurut Dayang, idea berkenaan tercetus selepas mereka digandingkan pada konsert terbabit selepas kali terakhir beraksi bersama adalah kira-kira sembilan tahun lalu.

"Hajat bergabung dalam satu album sebenarnya sudah lama kami pendam, apatah lagi peminat tidak henti bertanya meminta kami berkolaborasi. Disebabkan kekangan masa, masing-masing sukar mencuri masa untuk merealisasikan impian itu sehinggalah tahun lalu.

"Daripada berkongsi pentas untuk konsert, terdetik kenapa tidak kami rakamkan persembahan itu dan jadikan album. Istimewanya, sepanjang proses menghasilkan album berkenaan, semuanya berjalan lancar saja sehingga sekarang.

"Album ini bukan saja untuk menunaikan permintaan peminat kami berdua, namun pastinya buat diri saya sendiri, pengalaman ini akan saya simpan sebagai satu kenangan paling berharga sepanjang terbabit dalam bidang seni," katanya yang bakal mengadakan showcase di The Venue, Pavilion, Bukit Bintang pada 23 Jun nanti.

Album Anuar & Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas sudah boleh didapati di pasaran dan memuatkan lagu hit Anuar termasuklah Cinta Harus Memiliki, Perpisahan, Kau Bunga Hatiku dan Ketulusan Hati manakala lagu Dayang termasuklah Perlukan Cinta, Kembalilah Sayang, Aku Rindu Aku Jemu dan Seandainya Masih Ada Cinta.

Sementara lagu duet mereka termasuklah Bila Resah, Mana Mungkin, Hakikat Cinta/Keabadian Cinta, Permata/Dayang Sayang Kamu, Biar Akhirnya Di Sini dan Sedetik Lebih.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


260 staf bank lari

Posted: 15 May 2013 11:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Seramai 260 kakitangan OCBC Bank (Malaysia) Berhad di Jalan Kasturi, di sini, bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas sebuah bilik di bahagian bawah tanah bank itu musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian 8.15 pagi itu, seorang kakitangan bank berkenaan mengesan asap dari sebuah bilik di bahagian bawah tanah yang digunakan untuk penyimpanan dokumen sebelum asap mula memenuhi ruang lobi bank itu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.24 pagi sebelum tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Hang Tuah, Pudu dan Chow Kit dengan kekuatan 30 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran dipercayai bermula dari bilik penyimpanan berkenaan mengakibatkan 10 peratus dokumen pelanggan hangus terbakar.

Foto

ANGGOTA bomba menjalakan kerja di bangunan bank terbabit.


"Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal dalam masa 45 minit sebelum ia merebak ke aras lain tanpa sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/16

Kejutan Najib

Posted: 15 May 2013 11:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak membuat kejutan apabila menyenaraikan beberapa nama yang tidak mendapat perhatian sebelum ini dalam barisan Kabinet yang diumumkan semalam.

Antara mereka ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Presiden Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Shahidan, bekas Menteri Besar Perlis selama 13 tahun pertama kali dilantik ke peringkat Persekutuan selepas menang di kerusi Parlimen Arau dengan majoriti 1,371 undi menewaskan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Beliau juga adalah Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Foto

NAJIB mengumumkan senarai Kabinet di Putrajaya, semalam.


Mengulas pelantikan Shahidan, pakar ekonomi dan penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharudin berkata, Ketua UMNO Bahagian Arau itu berperanan besar memajukan Perlis selama mengetuai pentadbiran Perlis sejak 1995 sehingga 2008.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/16
Kredit: www.hmetro.com.my

Rabu, 15 Mei 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Baca skrip, buat kajian

Posted: 15 May 2013 07:50 AM PDT

Solekan berfungsi memberi kesempurnaan kecantikan kepada seseorang. Wajah yang kurang bermaya akan tampak berseri ­dengan pemakaian bedak asas, mata semakin galak bersinar dengan olesan pembayang mata manakala senyuman lebih menyerlah dengan calitan gincu. Dalam sesetengah keadaan solekan mampu menampilkan karakter yang lebih menyerlah dan meyakinkan kepada wanita.

Namun fungsi ini berbeza bagi solekan kesan khas. Walaupun menggunakan peralatan dan bahan yang hampir sama tetapi solekan kesan khas berupaya mengubah wajah menjadi lebih luar biasa misalnya untuk solekan cacat, kesan terbakar, wajah tua atau menakutkan.

Inilah sebabnya solekan amat penting untuk me­nyerlahkan diri seseorang, kata jurusolek profesional, Nurulhidayah Mohtar yang bukan saja berpengalaman dalam solekan berkonsepkan glamor tetapi juga kesan khas yang diperlukan dalam drama dan filem.

"Untuk drama, teater mahupun filem, solekan kesan khas dikenakan kepada pelakon bagi menyokong karakter yang dibawa mereka sekali gus menukar wajah atau keadaan seseorang kepada sesuatu yang berbeza dengan rupa asal. Misalnya watak hantu, raksasa, kesan terbakar, tercedera serta mimik muka dibuat bersesuaian dengan skrip dan peranan dimainkan pelakon. Dalam hal ini jurusolek sedaya upaya menghasilkan solekan kesan khas bagi mewujudkan suasana semula jadi kepada watak seolah-olah ia benar-benar berlaku dan bukannya lakonan," ujarnya.

Foto

KAPAS dilekatkan pada wajah bagi memudahkan sapuan dilakukan.

Foto

MENGGUNAKAN berus pewarna makanan, pembayang mata dan bedak asas disapu pada bahagian terbakar.

Foto

CECAIR sirap diletakkan bagi menampakkan kesan darah.

Foto

SOLEKAN kesan khas terbakar nampak hidup dan semula jadi.

Foto

KESAN tikaman pada pelakon menggunakan peralatan khas solekan.

Foto

TANGAN tertusuk benda tajam seolah-olah benar-benar berlaku.

Foto

SOLEKAN kesan khas digunakan untuk mewujudkan mimik muka berkedut dan tua.


Bagi menghasilkan solekan kesan khas, pelbagai bahan selamat digunakan bergantung kepada jenis solekan yang akan ditampilkan. Antaranya pewarna sirap, cecair getah (latex), tisu, bedak asas, semburan rambut, pembayang mata dan pewarna makanan.


"Sebagai contoh untuk menghasilkan kesan terbakar, kapas dilekatkan menggunakan pelekat getah pada bahagian terbakar. Kemudian sapu pewarna makanan, pembayang mata bagi memberikan kesan ketara kehitaman pada bahagian tepi. Selepas itu cecair sirap diletakkan di tengah seakan-akan darah. Akhir sekali dikemaskan supaya kesan menjadi lebih gelap dan nampak semula jadi," katanya.

Walaupun nampak ring­kas dan mudah namun solekan kesan khas memerlukan ketelitian terutama dari segi campuran warna serta teknik sapuan. Kesalahan meng­gabungkan warna akan menjadikan solekan tidak natural seolah-olah ­sengaja dibuat. Ini menyebab­kan penonton tidak takut pada kesan yang dihasilkan terutama watak hantu atau rasa ngeri membabitkan darah malah, sebaliknya boleh membuatkan penonton ketawa dan merasa seperti dipermain-mainkan.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas, Nurulhidayah banyak membuat kajian menerusi Internet dan membaca buku berkaitan solekan kesan khas.

"Sebelum melakukan solekan, saya membaca skrip terlebih dulu serta membuat kajian mengenai solekan yang akan dikenakan. Kemudian saya menyediakan bahan serta peralatan supaya tidak tercicir ketika penggambaran dilakukan," katanya.

Bagi Nurulhidayah walaupun nampak mencabar dan rumit namun solekan kesan khas lebih mudah dan cepat berbanding solekan glamor yang mengambil masa sehingga satu atau dua jam. Apa yang penting adalah memberi sepenuh perhatian ketika melakukannya bagi menjadikan solekan nampak 'hidup, bernafas dan semula jadi.

Di dalam buku Solekan Kesan Khas oleh Janus Vinther menyatakan sejarah solekan kesan khas bermula sejak 1895 membabitkan filem Demolition d'un Mur dan ditayangkan buat kali pertama di Cafebio Paris. Selain solekan khas filem ini juga me­ngandungi percubaan pertama menggunakan helah fotografi.

Selain itu pada tahun yang sama filem The Execution of Queen Mary juga memaparkan kesan solekan khas kepala dipotong sebagai helah fotografi dan ia berjaya mewujud­kan fenomena apabila ramai penonton mempercayai bahawa pelakon menggadai nyawa dalam menjayakan filem ini.

Pada 1977 George Lucas memperkenalkan teknik kesan khas yang lebih baru dan menarik dalam filem Star Wars. Pada 1990 pula teknik kesan khas menggunakan komputer bermula dan digunakan dalam filem The Abyss, Terminator 2 dan Jurassic Park. Malah menerusi grafik komputer yang lebih canggih kesan di dalam filem mampu ditonjolkan dengan lebih hebat dan kini sesuai peredaran semasa kesan solekan khas berubah-ubah mengikut perkembangan teknologi solekan serta komputer masa kini.

Terima kasih: http://nr­studiogallery.blogspot.com
Facebook: nuriez nr­studio

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Ikat perut kutip dana

Posted: 15 May 2013 06:31 AM PDT

Kathy Trevelyan menguis-nguis makanan di dalam pinggannya. Walaupun makanan di dalam pinggan bubur nasi dengan hirisan sayur itu sangat hambar rasanya, namun dia bertekad menjadikan ia sajian tengah harinya selamanya lima hari berturut-turut.

Mungkin bubur nasi campur sayur jadi hida­ngan harian bagi berjuta-juta orang di seluruh dunia, tetapi ia sesuatu yang agak asing bagi wanita London berusia 58 tahun itu.

"Biasanya kalau masak begini, kita masukkan bawang merah, bawang putih dan beberapa jenis rempah, barulah rasanya sedap. Tetapi yang ini...hambar saja. Namun pengorbanan ini berbaloi," katanya.

Trevelyan ialah salah seorang daripada 20,000 warga Britain yang me­ngambil bahagian dalam cabaran lima hari untuk cuba hidup di bawah paras kemiskinan dengan belanja makan dan minum sebanyak satu pound (RM5) sehari.


Mereka menyasarkan untuk mengutip dana bagi disumbangkan kepada badan kebajikan antikemiskinan dan bagi merasai sendiri keperitan satu bilion penduduk dunia yang hidup dalam kemiskinan.


Trevelyan seorang pelakon yang turut menjadi pemandu pelancong diminta untuk menyertai program berkenaan oleh badan kebajikan Tiada Lagi Malaria, dan mengharapkan dia dapat membantu meningkatkan kutipan sekurang-kurangnya £500 (RM2,500) untuk projek itu.

Sebelum memulakan cabaran 'kehidupan baru' di bawah paras kemiskinan, dia membuat perancangan teliti terhadap sajian hariannya, membandingkan harga barangan dengan jenama pasaraya secara dalam talian bagi mendapatkan pembelian terbaik.

Selepas membuat penelitian, akhirnya dia membeli barang keperluannya iaitu roti, sebiji telur dan pisang untuk sarapan; nasi putih dan sayur dingin beku untuk makan tengah hari yang kadangkala boleh ditambah sosej vegetarian jika ada potongan harga.

Untuk makan malam, Trevelyan makan nasi campur lagi (nasi bercampur sayur dingin beku) atau spageti dengan kuah kari.

"Buat masa ini saya anggap diri saya 'amat miskin', betul-betul tiada wang....tapi ini hanyalah satu pering­kat. Saya tidaklah sampai ke peringkat di mana perlu membeli sos atau kuah kari dengan harga 26 pence (RM1.20)," katanya.

Dia juga membeli teh, tetapi meminumnya tanpa susu kerana tidak cukup wang untuk membelinya. Mengapa Trevelyan begitu bersusah payah menyekat semua perbelanjaannya sehingga ke tahap begitu? Wanita ini sanggup me­ngikat perut supaya dia dapat me­ngumpulkan sedikit wang untuk diserahkan kepada badan kebajikan.

Trevelyan berkata, 'Apalah sangat diet saya minggu ini jika hendak dibandingkan dengan kehidupan sebenar satu bilion penduduk miskin di seluruh dunia. Apa yang saya ada ini jauh lebih baik.

"£5 (RM25) boleh membeli kelambu yang cukup besar untuk menyelamat­kan dua kanak-kanak. Itu saja yang saya fikirkan," tambahnya.

Kempen ini sebenarnya dimulakan pada 2009 di Australia di mana peserta cuba hidup dengan AS$2 (RM6) sehari sebelum ia diperluaskan ke Britain, Amerika Syarikat (de­ngan perbelanjaan RM3.60 sehari), Kanada (RM5.20) dan New Zealand (RM5.65). Ia turut mendapat sokongan daripada pelakon Hollywood, Hugh Jackman dan Ben Affleck. Untuk tahun ini mereka berharap dapat mengutip dana sebanyak RM15 juta.

Bagaimanapun, usaha murni itu dipandang negatif malah dituduh ia seolah-olah merangsang 'pelancongan kemiskinan' oleh orang kaya yang tahu mereka boleh kembali menikmati latte di Starbucks yang berharga RM13.75, makan daging dan sayur organik sebaik tempoh lima hari itu berakhir.

"Kita tidak mungkin tahu keadaan sebenar dan bagaimana susahnya kehidupan orang yang sangat miskin. Kami bukannya mahu mempersenda tapi cuba menyelami dan merasai keadaan itu," kata Hugh Evans, ketua Projek Kemiskinan Global yang menganjurkan program berkenaan.

"Tetapi kami mahu mengajak orang ramai untuk cuba rasa sedikit kehidupan masyarakat miskin. Selepas satu minggu, anda akan sedar bahawa makanan harian anda sama saja. Anda tidak dapat cukup kalori dan merasai erti sebenar kelaparan itu yang mungkin pertama kali anda rasai," katanya.

Projek itu bukan saja direka khusus untuk mening­katkan kesedaran masyarakat mengenai kemiskinan di seluruh dunia, bahkan ia juga memberi harapan kepada penduduk susah di negara sendiri.

"Ia membuatkan anda berfikir apa yang dimakan oleh penduduk di sini kalau pergi ke pasaraya, bukan kita saja yang beli spageti harga 19 pence (RM0.95)," kata Travelyan.

Bagi Jack Monroe, ibu tunggal berusia 25 tahun dari Southend, di Timur London, hidup susah selepas terpaksa berhenti kerja tahun lalu untuk menjaga anaknya, Johnny yang kini mencecah umur tiga tahun.

Dia terpaksa menjual televisyen, pakaian dan buku untuk membayar sewa rumah, tidak menggunakan alat pemanas hawa dan hanya berbelanja RM5 bagi membeli makanan harian dia dan anaknya.

Namun kehidupannya hari ini jauh lebih senang - Monroe menulis blog me­ngenai masakan bajet yang menarik minat penerbit buku dan membolehkannya bekerja sebagai wartawan di salah sebuah akhbar tempatan. Walaupun hidupnya ­sudah berubah, tetapi dia tetap mengambil bahagian ­dalam cabaran hidup di bawah paras kemiskinan itu bagi mengumpulkan wang untuk diberikan kepada Oxfam.

"Saya akui, cabaran ini memang sukar," katanya. Biasanya dia boleh ambil apa saja daripada almari yang dijadikan ruang menyimpan makanan, tetapi minggu ini Monroe terpaksa me­ngehadkan supaya makanan hariannya tidak melebihi RM25.

"Saya bangun pagi ini dan berfikir saya tidak mahu dadih lemon atau roti bakar lagi untuk sarapan. Saya tidak mahu bertih jagung untuk makan tengah hari dan nasi untuk makan malam," katanya jujur.

Mengkritik projek seperti itu memang mudah, sambung Monroe.

"Ramai orang menyahut cabaran ini melakukannya dalam rumah masing-masing yang hangat dan selesa. Peserta sedar mereka hanya perlu bertahan untuk lima hari saja.

"Tapi saya tidak akan mengkritik usaha mengutip dana untuk kebajikan. Sekarang jika ada orang bercakap dan berfikir mengenai perkara ini, saya rasa tujuan program sudah tercapai iaitu untuk meningkatkan kesedaran," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Nyaris lemas dibawa arus

Posted: 14 May 2013 12:24 PM PDT

Kuala Selangor: Dua lelaki disyaki penagih dadah bertindak nekad terjun ke dalam sungai apabila lokasi mereka melepaskan gian diserbu sepasukan tujuh anggota polis dari Balai Polis Jeram yang melancarkan 'Ops Tapis' dalam kebun kelapa sawit di Kampung Parit Mahang, dekat sini petang kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan kedua-dua lelaki berusia 30-an itu sia-saia apabila mereka akhirnya diberkas kerana terpaksa berpatah balik dan diselamatkan anggota terbabit berikutan arus sungai yang deras serta hampir meragut nyawa mereka.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, serbuan selama empat jam itu dilakukan anggota dari Cawangan Peronda Jenayah (CPJ) balai berkenaan bermula kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, serbuan dilakukan hasil maklumat orang ramai selepas kawasan berkenaan didapati sering menjadi 'port' penagih melepaskan gian.


"Lapan lelaki berusia 19 hingga 41 tahun diberkas dalam serbuan itu dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut. Ujian air kencing dijalankan mendapati semua mereka positif dadah dan kini ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.


Sementara itu, Harian Metro yang kebetulan berada di lokasi kejadian sempat memerhatikan aksi kumpulan penagih terbabit dalam usaha mereka meloloskan diri sebaik diserbu.

Foto

TUJUH penagih dadah yang cuba memperdayakan polis untuk meloloskan diri ditahan.

Selain terjun ke sungai, ada antara penagih berkenaan memberi pelbagai alasan sebaik ditahan kononnya mengunjungi lokasi berkenaan untuk melihat kebun sawit sedangkan kebun berkenaan sebenarnya milik penduduk yang tinggal di situ.


Antara alasan yang diberikan ialah: "Saya datang ke sini untuk melihat kebun kelapa sawit saya encik... tidak tahu pulak kebun saya ini jadi tempat penagih melepaskan gian."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved