DARJAT menjadi isu dalam percintaan mereka. Bagi Rahman Rahmat dan Rosnaini Ishak, mereka faham cinta yang diimpikan tidak semudah itu untuk digapai. Namun mereka sanggup meredah segala onak untuk cinta dan dicintai.
Ketentuan yang sudah tersurat mustahil untuk disangkal. Letak beribu halangan sekalipun, datang sebesar mana dugaan yang menghempas, jika cinta itu putih, ia tidak akan ke mana.
Percaya dan yakin dengan pengertian cinta suci, episod penuh romantis ini bakal dipentaskan di gelanggang teater oleh dua bintang muda berbakat besar yang pertama kali dipertemukan iaitu Dafi dan Ana Raffali.
Baik Dafi yang melakonkan watak Rahman yang dipanggil Ray mahupun Ana sebagai Rosnaini (Ros), kedua-duanya mengandaikan peluang beraksi dalam teater muzikal sentuhan pengarah Lokman Ghani berjudul Kenangan Mengusik Jiwa... 60-an (KMJ), sebagai satu ruang memperkenalkan sisi lain dalam diri masing-masing.
Gadis berusia 26 tahun kelahiran Kuala Lumpur, Ana menyifatkan peluang melakonkan Ros bagai bulan jatuh ke riba. Tidak setakat impian yang lama bersarang ingin bergelar pelakon teater berjaya direalisasikan, bintang popular yang mula dikenali menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku ini punya potensi besar untuk melebarkan sayap seninya.
"Bohong kalau saya katakan tawaran ini tidak hebat. Bukan saja kerana ia sebuah lapangan seni baru yang selama ini menjadi impian, sebaliknya saya melihat beraksi di atas pentas teater muzikal sesuatu yang begitu berharga terutama buat pendatang baru seperti saya. Ada masanya saya duduk tersenyum sendirian kerana tidak percaya dengan tawaran ini.
"Selepas membaca skripnya, melihat konsep dan mengamati tugasan keseluruhan, KMJ mampu menonjolkan bakat yang ada dalam diri saya. Plot ceritanya serta pembangunan watak yang disuntik menerusi KMJ begitu kemas dan tersusun. Menariknya, ia tidak hanya fokus kepada lakonan kami semata-mata, sebaliknya yang lebih menarik perhatian adalah rangkaian lagu 60-an yang dinyanyikan bersama penyanyi terkenal.
"Saya yakin KMJ bakal memberikan sesuatu yang berbeza buat peminat teater muzikal. Penonton akan dihiburkan dengan konsep lakonan yang menyentuh emosi, tarian dan nyanyian," katanya.
Melihat perjalanan seni Ana yang mendadak naik selepas dinobatkan juara pada Anugerah Juara Lagu Ke-25 lalu, terlintas pula persoalan mengenai jadual seninya yang mungkin terganggu kerana memberi laluan kepada KMJ sepanjang lebih tiga bulan ini.
"Alhamdulillah pihak produksi sangat fleksibel dan memahami yang dua teraju utamanya adalah penyanyi. Sejak awal lagi ketika menandatangani kontrak, mereka sudah menjanjikan yang kami masih boleh mengambil sebarang undangan persembahan kalau tidak mengganggu perjalanan pementasan. Lantas saya masih berpeluang untuk memenuhi setiap undangan terutama yang diadakan pada hujung minggu," katanya.
Sempat berkongsi watak Ros, Ana berkata, Ros anak orang kaya namun sentiasa kering dalam erti kasih sayang disebabkan kesibukan keluarganya. Namun selepas bertemu Ray di kolej, dia menemui kebebasan sebenar dan mula mengenal erti cinta.
Selain Dafi dan Ana, KMJ turut menampilkan pelakon lain termasuk juara program Pilih Kasih, Iqbal Mazlan, Saida AF, Baby Erin, Arja Lee dan beberapa pelakon lain. Malah, penghibur veteran era 60-an seperti Datuk Ahmad Jais, L Ramlee, A Rahman Onn, Fatimah M Amin, A Halim, Hussein Ismail, J Sham dan A Romzi turut diundang bagi memeriahkan lagi KMJ.
Meskipun plot ceritanya agak klise seperti yang pernah kita lihat dalam filem Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku dan Jimi Asmara, kisah percintaan dua darjat dan halangan keluarga yang tidak mahu hubungan itu diteruskan tetap disukai masyarakat. Pastinya, kelainan teater ini pada garapan pengarahan serta sentuhan elemen muzikal oleh pengarahnya.
Pemegang watak Ray, Dafi sebelum ini pernah membintangi filem Sayang U Can Dance dan drama siri muzikal, Hotel Mania.
Dia menyifatkan watak Ray sebagai seorang yang daif dan jujur yang kemudian berdepan dengan kemelut cinta dua darjat.
"Pengalaman terbabit dalam drama muzikal dan keyakinan sebagai penyanyi selepas lebih lima tahun bukan satu jaminan yang memberi kelebihan buat saya. Teater sangat mencabar kerana kita kena beraksi secara langsung. Macam-macam boleh berlaku di atas pentas.
"Watak Ray dan KMJ memang baru buat saya namun alhamdulillah dengan kelas latihan yang diberikan untuk semua pelakon sejak dua bulan lalu, saya yakin kami boleh merealisasikan apa yang menjadi imaginasi pengarah. Malah, semua pelakon dan tenaga produksi sudah menjadi seperti sebuah keluarga selepas berbulan-bulan berkampung bersama.
"Mungkin itu juga adalah kekuatan sebenar yang membantu mengindahkan lagi perjalanan KMJ," katanya.
Meninjau kerjaya Dafi atau nama sebenar, Gadaffi Ismail Sabri ini, ia berjalan lancar walaupun tidak dinobatkan sebagai juara program realiti TV, Akademi Fantasia 5.
Baik dalam lapangan nyanyian mahupun lakonan, penyanyi berusia 23 tahun yang pernah popular menerusi lagu Bila Terasa Rindu ini mengandaikan segala-galanya adalah rezeki.
"Memang saya bersyukur dengan segala perjalanan kerjaya saya. Undangan nyanyian selalu ada dan tawaran berlakon juga tidak henti datang. Semua ini bukanlah datang bergolek, sebaliknya berlandaskan kerja keras.
"Sekarang pun saya sedang sibuk mempromosikan lagu Euphoria yang ke udara di carta radio tempatan. Jika tiada sebarang halangan, album penuh saya akan diterbitkan selewat-lewatnya Oktober depan. Malah, saya juga baru dipilih menjadi Duta Bank Rakyat untuk tempoh setahun, selain dilantik menjadi juri bagi karnival Idola Buah Hati Fruitale 2 bersama Marsha Londoh.
"Tahun 2011 adalah peluang untuk saya mencari jalan kembali ke landasan yang betul sebagai penyanyi. Saya akui tahun lalu saya padat dengan undangan berlakon dan kali ini sebaik habis KMJ, saya akan kembali ke studio untuk proses rakaman dan meletak sepenuh fokus kepada lapangan seni suara semula," katanya yang bakal menari dan menyanyi tiga lagu termasuk I Wanna Hold Your Hand.
KMJ akan mula dipentaskan di IB dari 27 Mei hingga 5 Jun ini setiap hari jam 8.30 malam serta pertunjukan sebelah petang, jam 3 petang pada Sabtu dan Ahad.
Peminat yang ingin menyaksikan pementasan ini boleh mendapatkan tiket berharga RM60, RM106, RM160, RM260 dan RM360 di kaunter box-office di IB ataupun melayari www.ticket2u.biz.
PROFIL
Nama Penuh: Gadaffi Ismail Sabri
Nama Komersial: Dafi
Tarikh Lahir: 14 Disember 1988
Umur: 23 tahun
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
Pendidikan: Diploma Profesional, Bunyi dan Muzik dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya
Pencapaian: Finalis Akademi Fantasia 5 (AF5) dan Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007
Album: Seumur Hidup (KRU Studios Sdn Bhd)
Filem: Sayang U Can Dance
Drama: Hotel Mania, Waris
Iklan: Aiskrim Walls, Brands, Silky For Men, kempen 60 Earth Hour dan TM Everyone Connect
PROFIL
Nama Penuh: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali
Nama Komersial: Ana Raffali
Tarikh Lahir: 4 November 1985
Umur: 26 tahun
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak Ke-9 daripada 11 beradik
Pendidikan: Graduan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Pencapaian: Juara Anugerah Juara Lagu Ke-25 (Tolong Ingatkan Aku) dan Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 24
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.