PENAMPILAN penyanyi popular tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memakai seragam beruniform Askar Wataniah tampak segak. Siti yang dikenali dengan penampilan sopan, tetap kelihatan anggun memakai pakaian celoreng.
Biarpun tanpa seragam lengkap, gaya bintang pujaan ramai itu seolah-oleh seperti sebahagian daripada platun tentera yang mengikuti kursus latihan.
Siti yang ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, mengetuai barisan selebriti yang juga kumpulan pertama diterima dalam kelompok Selebriti Dalam Askar Wataniah.
Penampilannya cukup bersemangat dan ceria, apatah lagi ketika digandingkan dengan penyanyi muda, Ana Raffali yang mula dikenali melalui lagu Tolong Ingatkan Aku dan kini popular dengan lagu duet Kalau Berpacaran bersama Sohaimi Meor Hassan dan Altimet.
Turut dipilih dalam program itu, penyanyi Aizat Amdan, pelakon Shaheizy Sam, Intan Ladyana serta Kapten Mohd Nor. Tidak ketinggalan menyahut cabaran dalam program khas itu, produser Metrowealth (MIG), David Teo serta Nurul Hidayah Zahid Hamidi yang juga bekas pengacara Inspirasi Ramadan di RTM.
Siti mahupun kelompok selebriti yang dipilih, kelihatan segak sebagai anggota tentera. Tindakan mereka menyertai pasukan berkenaan mampu dicontohi semua pihak.
Dalam pertemuan ketika majlis penyerahan pakaian celoreng oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Siti dan Ana mengakui tidak sabar dan teruja untuk memulakan latihan pertama di bawah Askar Wataniah.
Kata Siti, penyertaannya dalam Askar Wataniah itu bagi menyemarakkan semangat cintakan negara selain program latihan yang sesuai untuk membina ketahanan dari aspek mental dan fizikal.
"Sebelum ini saya pernah menyertai latihan ketenteraan dan aktiviti lasak menerusi satu program televisyen. Jadi, tiada masalah untuk menyertai Askar Wataniah dan tiada masalah dari segi jadual latihan kerana mendapat kelonggaran disebabkan kesibukan dengan aktiviti seni.
"Saya percaya setiap orang mempunyai minat yang terpendam, begitu juga saya. Sejak di bangku sekolah lagi, saya berminat untuk menjadi tentera atau polis. Ada juga yang tanya jika saya tidak menjadi artis, pasti saya memilih kerjaya beruniform. Memang saya meminati kerjaya beruniform dan suka melakukan aktiviti lasak.
"Apabila bertemu rakan artis yang mempunyai minat sama, justeru saya tidak teragak-agak untuk menyatakan persetujuan menyertai Askar Wataniah. Selepas diberi taklimat termasuk beberapa kelonggaran sedikit ini, lebih memudahkan pembabitan kelompok selebriti.
"Sememangnya apabila menyebut mengenai tentera, pasti ada yang membuat gambaran latihan keras dan memerlukan ketahanan kuat dari segi fizikal serta mental.
Sebenarnya, ia tidak seteruk yang disangkakan. Dengan latihan yang lebih fleksibel, saya yakin bukan mustahil untuk menarik minat lebih ramai selebriti menyertainya," katanya.
Tambahnya, keghairahannya bukan saja mencuba semua aktiviti dan latihan lasak malah peluang memegang senjata. Lebih seronok apabila peminat juga turut menyertai Askar Wataniah.
Sementara itu, Ana mengatakan, penyertaannya dalam pasukan beruniform itu secara tidak langsung memberi pengetahuan mengenai ketenteraan serta membawa tanggungjawab besar kepada negara.
"Saya berasa sangat bertuah kerana mendapat pelawaan daripada pihak kementerian pertahanan sebagai perintis program ini. Alhamdulillah, pihak kementerian juga cukup memahami dan memberi kelonggaran kepada kami untuk menyertai kumpulan ini.
"Memang saya cukup berminat menyertai latihan ketenteraan dan saya sendiri pernah menyertai pasukan kadet ketika sekolah menengah dulu.
"Walaupun berdepan masalah kesihatan seperti asma, ia tidak menghalang untuk saya turut serta dalam program ini. Pada saya, cabaran dari segi fizikal dan mental ada di mana-mana saja cuma terpulang kepada kita bagaimana untuk mengatasinya. Saya akan cuba menyahut cabaran menamatkan program latihan ini," katanya.
Selebriti popular tanah air bukan hanya diminati ramai malah menjadi ikon bagi generasi muda. Penampilan mereka menjadi contoh selain dapat memberi galakan kepada golongan belia.
Penyertaan selebriti juga dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada Badan Kesenian Mindef. Bukan hanya membabitkan hiburan malah pelbagai aspek pengetahuan membabitkan kepakaran masing-masing.
Berbanding 240 jam yang perlu diselesaikan oleh peserta Askar Wataniah kelompok selebriti yang mengambil bahagian hanya perlu menamatkan 39 jam latihan khas yang ditetapkan.
Sementara itu, Zahid berkata, penyertaan selebriti dalam askar wataniah adalah sebagai memberi pendedahan mengenai aktiviti, latihan dan tugas-tugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, kehadiran mereka turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat generasi belia. Askar Wataniah yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum, bangsa dan agama menyuntik semangat kekeluargaan yang kental dan saling menghormati.
"Tidak keterlaluan jika kita katakan Askar Wataniah adalah lapisan kedua dalam pertahanan negara. Kini terdapat beberapa kumpulan yang menyertai Askar Wataniah. Antaranya, Platun Media Siber seperti wakil dari pengamal media dari Harian Metro, Berita Harian, News Straits Times, Utusan Malaysia, Bernama, Astro dan Kementerian Penerangan.
"Ini satu perkembangan positif dan relevan bagi merealisasikan impian negara dalam memperkukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda," katanya.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.