Harian Metro: Hati |
Minta air masak dari tuan rumah Posted: 28 Aug 2011 07:01 AM PDT "RAYA tahun ini saya berazam mengekalkan berat badan Ramadan. Tidak mahu ulang pengalaman dulu, selepas seminggu raya pinggang kain dan seluar semuanya ketat," kata seorang teman penuh semangat. Senyumnya meleret selepas melihat berat badannya turun tiga kilogram - hasil berpuasa selama sebulan. Pertambahan berat badan ketika Syawal atau mana-mana musim perayaan adalah perkara biasa yang berlaku di seluruh dunia. Ramai gembira apabila berat badan mereka turun ketika Ramadan tetapi malangnya kegembiraan itu tidak panjang hayatnya kerana berat yang hilang itu cepat kembali, menuntut 'tempat asalnya'. Persoalannya bagaimana berat badan kita boleh bertambah dengan begitu cepat sedangkan untuk menurunkannya terasa begitu seksa. Ini menyebabkan ada yang putus asa untuk mengawal pemakanan kerana usaha itu dianggap tidak memberi kesan atau membawa sebarang perubahan.
Penurunan berat ini sebenarnya menandakan mereka kehilangan berat air dan tisu otot kerana jumlah pengambilan makanan ketika Ramadan pada umumnya lebih rendah berbanding keperluan harian untuk mengekalkan berat asal. Ia bukan kehilangan lemak badan. "Oleh kerana penurunan berat itu disebabkan kehilangan air dan tisu otot, maka berat badan akan kembali seperti asal sebaik anda mengambil makanan secukupnya. Menurutnya, pada musim perayaan begini kebanyakan orang 'cuti' daripada melakukan aktiviti harian, jadi kenaikan berat badan akibat terlalu banyak makan akan berlaku dengan cepat. Jadi tidak hairanlah jika ada yang mendapati baju mereka ketat pada minggu pertama hari raya. Memang diakui sukar untuk menolak tarikan makanan yang enak apatah lagi jika dihidangkan dengan sajian kegemaran. Untuk itu, Indra memberikan panduan untuk makan secara berhemah pada hari raya ini: Sentiasa bawa bekalan ubat ke mana saja anda pergi, kerana dalam musim perayaan ini akan ada kecenderungan untuk bermalam di rumah saudara mara. Kegagalan mengambil ubat boleh membuatkan anda berasa tidak sihat. Malah ia juga boleh menjejaskan kawalan penyakit anda. Budaya air masak Pada musim perayaan ini sangat jarang orang menghidangkan air kosong. Malah ketika inilah anda boleh melihat pelbagai jenis minuman berkarbonat terhidang di atas meja, termasuk jenama yang anda tidak pernah tahu kewujudannya. Malah tidak salah jika sentiasa membawa botol air berisi air masak ke mana saja kita pergi. Bawalah botol air kecil yang boleh dimasukkan ke dalam beg tangan atau beli air minuman (500 mililiter) supaya ia boleh diminum ketika dalam perjalanan, terutama pada cuaca panas. Budaya orang kita, jarang meminta lebih daripada apa yang dihidangkan kerana ia dianggap tidak sopan. Namun dalam hal ini, tidak salah jika anda meminta air masak untuk menggantikan minuman manis. Ini kerana minuman manis mengandungi kalori kosong yang tidak diperlukan badan. Ia hanya akan menambah pengambilan kalori yang sudah sedia ada banyak daripada makanan lain. "Air masak adalah pilihan yang baik. Memang jarang tuan rumah menghidangkan air masak tetapi anda boleh minta atau cari sendiri di dapur kerana anda berkunjung ke rumah saudara mara atau kawan-kawan. "Lagipun, kalau mengunjungi lima rumah sehari, bermakna sehari suntuk anda hanya minum minuman manis. Jadi tidak perlu malu untuk minta air masak kerana kesihatan anda lebih penting. Keluarga dan kawan-kawan akan menyokong pilihan anda untuk menjadi lebih sihat. "Pada mulanya memang agak kekok, tetapi tiada salahnya menjadi pemula budaya. Maknanya anda memulakan budaya minum air masak pada musim perayaan sama ada ketika berkunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai," katanya. Malah anda juga boleh menjadi pencetus ilham menghidangkan air masak kepada tetamu. Jika dulu, menghidangkan air masak pada musim perayaan mungkin agak 'pelik' tetapi kini keadaan sudah berubah. Semakin ramai yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap kesihatan. Bagaimanapun bukanlah memberikan tetamu air masak semata-mata tetapi disertakan dengan minuman manis lain, supaya tetamu boleh membuat pilihan. Jika menghidangkan air manis, kurangkan jumlah gula supaya minuman yang dihidang sekadar manis buah saja. Bagi minuman panas, jangan dibancuh dengan gula atau susu. Sediakan gula dan susu di dalam bekas berasingan supaya tetamu boleh menentukan sendiri tahap kemanisan minuman mereka, kata Indra lagi. Panduan mengawal pengambilan gula: Karbohidrat ini akan ditukarkan ke dalam bentuk gula ringkas untuk digunakan sebagai tenaga. Inilah sebabnya selain mengawal pengambilan minuman dan makanan manis, kita juga perlu mengecilkan kuantiti hidangan mengandungi karbohidrat. Perkara penting: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan kita mengambil lima hingga sembilan hidangan serat (sayur dan buah) sehari. Jika bimbang sajian sayur-sayuran anda tidak 'laku' atau kurang mendapat sambutan, memadailah anda menghidangkan sayur mentah yang boleh dijadikan ulam seperti timun, kacang panjang, kacang botol, kubis, tomato, lobak merah, daun selom atau pegaga. Fikirkan resipi kreatif bagi menarik minat keluarga terutama anak-anak untuk makan sayur dengan membuat salad sayur bercampur buah. Pilih sayur yang rasanya boleh diterima anak-anak. Bahkan tidak salah jika memasukkan sayur ke dalam masakan lauk pauk anda. "Makan masa musim perayaan seharusnya sama seperti waktu lain. Individu yang ada pemikiran begini tidak akan mengalami masalah terlebih makan pada hari raya kerana mereka tahu bagaimana hendak mengawal diri sendiri. "Walaupun anda sudah berpuasa sebulan, janganlah 'balas dendam' dengan makan banyak kerana sepanjang Ramadan anda juga sudah menikmati pelbagai juadah ketika berbuka. Bagaimanapun bukanlah bermakna anda tidak boleh menikmati hidangan perayaan tetapi biarlah diambil secara bersederhana," katanya. |
Posted: 28 Aug 2011 06:44 AM PDT MEREKA yang sudah mendaftar bagi mengikuti Larian Kanak-Kanak Giant 2011 boleh menuntut pek larian pada 10 dan 11 September ini bagi membolehkan peserta mengikuti pelbagai acara menarik sempena program berkenaan. Pengarah Pemasaran GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Ho Mun Hao, berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya klinik larian, permainan pentas, kemunculan maskot dan sudut kanak-kanak dan ibu bapa menanti kehadiran peserta.
Klinik larian selama dua hari itu akan dikendalikan pakar terapi sukan pada jam 12 tengah hari dan 7 malam bagi menyediakan peserta mengenai tatacara yang perlu dilakukan bagi mengelakkan kecederaan ketika mengikuti larian berkenaan. Selain itu, untuk kanak-kanak akan diadakan pertandingan mewarna termasuk aktiviti seni dan kraf.
Program Larian Kanak-Kanak Giant 2011 yang akan berlangsung pada 16 September ini di Taman Metropolitan, Kepong adalah acara yang diadakan khusus untuk kanak-kanak, tetapi mensasarkan pembabitan seluruh ahli keluarga sempena sambutan Hari Malaysia. Ho berkata, pihaknya mensasarkan penyertaan 3,000 kanak-kanak memandangkan maklum balas yang diperoleh amat memberangsangkan. "Menerusi acara berorientasikan kekeluargaan ini kami berharap ia dapat membantu mengeratkan lagi hubungan ahli keluarga melalui aktiviti sukan menyeronokkan sebegini selain menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif di kalangan kanak-kanak. "Kami komited dalam menyokong usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan berharap program ini bakal menjadi acara tahunan pada masa akan datang," katanya. Larian berkenaan terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertandingan yang membabitkan persaingan dan berbentuk santai. Empat kategori larian yang akan dipertandingkan setiap satunya berdasarkan kumpulan usia iaitu empat hingga enam tahun, tujuh hingga lapan tahun, sembilan hingga 10 tahun serta 11 hingga 12 tahun. Bagi peserta berusia usia empat hingga enam tahun, mereka akan melakukan larian secara santai. Bagaimanapun, setiap peserta akan memperoleh pingat dan sijil penyertaan pertandingan terbabit. Hamper akan diberikan kepada kelompok tiga pemenang teratas untuk setiap kategori yang dipertandingkan manakala pemenang utama bakal membawa pulang pingat dan wang tunai bernilai antara RM500 hingga RM3,000. Untuk membolehkan pelanggan layak menyertai acara berkenaan mereka perlu membuat pembelian dengan harga minimum RM20 bagi mana-mana belian barangan penaja acara ini di Giant. Yuran pendaftaran untuk setiap kanak-kanak yang ingin menyertai larian berkenaan ialah RM15 manakala penyertaan penjaga yang menemani anak adalah percuma. Setiap peserta akan menerima baju-T, pingat dan sijil penyertaan, sebagai tambahan kepada beg cenderahati. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program larian kanak-kanak Giant 2011 ini, boleh layari www.giantkidsrun.com.my ataupun dapatkan borang penyertaan di kaunter khidmat pelanggan di semua pasar raya Giant sekitar Lembah Klang. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |