Isnin, 24 September 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Pupuk semangat setia kawan

Posted: 24 Sep 2012 08:38 AM PDT

LELAKI berusia lewat 50-an itu ralit berbual dengan anak gadisnya sambil matanya sesekali memerhatikan sekumpulan lelaki dan wanita mengecat kain rentang konsert sepanjang 50 meter berhampiran pintu masuk dewan.

Di satu sudut pula, beberapa wanita sabar menantikan pesanan mereka di gerai makanan sambil masing-masing menunjukkan barangan yang dibeli dari dalam dewan.

Kawasan pentas tidak ketinggalan menjadi tumpuan dengan persembahan serta pertandingan tarian yang mengundang sorakan gemuruh hadirin.

Sekeliling dewan juga dipenuhi gerai jualan produk kecantikan, barangan memorabilia, pakaian dan tawaran percubaan menyertai kelas bahasa.


Sekali imbas, ia suasana biasa di karnival hujung minggu dengan kehadiran masyarakat tempatan tanpa mengira bangsa dan usia.


Namun, Festival Hallyu 2012 yang berlangsung di Universiti Taylor's, Ahad lalu bukan pesta biasa kerana ia menghimpunkan lebih 300 peminat K-Pop yang majoritinya hadir dari sekitar Lembah Klang.

Meskipun objektif utama penganjurannya adalah untuk mendedahkan pelajar universiti terbabit serta masyarakat terhadap Hallyu (Gelombang Korea) di negara ini, ia sebenarnya bagaikan platform mega untuk ahli kelab peminat artis K-Pop beramah mesra dan saling berkongsi cerita.

Kelab K-Generation, yang bertindak sebagai penganjur festival, menyifatkan acara seperti ini bukan saja memberi ruang peminat K-Pop berkongsi minat sesama sendiri, tapi membantu pengelola ahli kelab peminat mengembangkan rangkaian, memupuk semangat setia kawan dan mempertingkatkan skil pengurusan acara.

"Festival ini berusaha menggabungkan semua kelab peminat artis K-Pop dalam satu acara bagi mewujudkan kesedaran serta ruang untuk peminat Malaysia yang ingin tahu lebih lanjut mengenai artis kegemaran mereka.

"Mereka bukan saja dapat berkenalan dengan ahli baru dan bersua muka selepas selama ini hanya berbual menerusi laman sosial seperti facebook dan twitter, tapi Festival Hallyu ini boleh dijadikan tempat perbincangan dan pengurusan aktiviti sesama ahli kelab.

"Namun, tidak lengkap apabila mengadakan aktiviti kelab peminat tanpa mengaitkannya dengan budaya masyarakat Korea. Justeru, kami sediakan bermacam aktiviti berkaitan seperti teknik pemakaian Hanbok (pakaian tradisional Korea), cabaran permainan tradisi, pencarian bintang tarian K-Pop serta pertandingan kuiz agar pengunjung mendapat lebih banyak manfaat daripadanya.

"Beberapa gerai jualan barangan artis K-Pop juga disediakan, lalu memudahkan peminat mendapatkannya tanpa perlu memesan secara dalam talian," jelas Presiden Kelab K-Generation, Migo Ho, merangkap salah seorang pengelola untuk kelab peminat Big Bang dikenali Big Bang 1st.

Salah seorang pengelola MY-VIP, juga kelab peminat untuk Big Bang, Zaty Aziz berkata, penganjuran festival seperti ini sememangnya satu usaha menarik bagi mengeratkan persahabatan sesama ahli.

"Kita biasa dengar mengenai ahli kelab peminat di negara lain bergaduh sesama sendiri, tapi di Malaysia, semuanya saling menyokong, malah membantu apabila diperlukan.

"MY-VIP misalnya, diwujudkan bukan untuk menandingi kelab peminat lain, tapi sebagai alternatif untuk komuniti khususnya bagi peminat Melayu.

"Jadi dengan adanya kelab seperti ini, peminat K-Pop dapat berinteraksi sesama sendiri tanpa kekangan, sekali gus meneruskan aktiviti yang dijalankan oleh kelab lain," katanya.

Sentimen sama disuarakan Lulu Low yang mengasaskan kelab peminat 2NE1 Malaysia 2009. Biarpun kini kelab peminat itu diuruskan pengelola lain, Lulu menyifatkan ia platform terbaik untuk mendidik pengelola cara mengendalikan satu-satu organisasi.

"Semuanya secara sukarela. Masing-masing melakukannya secara sambilan kerana terikat dengan komitmen kerja dan pelajaran. Jadi secara langsung ia mengajar kami bagaimana untuk menguruskan masa dengan baik agar dapat mengendalikan kelab secara lebih teratur," ujarnya.

Bagi Bernice Hing dan Mah Zoeyi, masalah dana dan masa sering menyebabkan kelab peminat kelolaan mereka jarang melakukan aktiviti secara besar-besaran.

Pengelola kelab peminat MYUKISS dan MYNAME itu cuma menganjurkan pertemuan kecil bersama ahli kelab biarpun ahlinya kini mencecah lebih 9,500 orang.

"Biasanya kami cuma bantu anjurkan sesi bertemu peminat ketika UKISS datang ke Malaysia dan selebihnya hanya pertemuan ringkas sesama ahli kerana masalah masa, tempat dan faktor kewangan.

"Dengan adanya festival seperti ini, lebih ramai ahli peminat berpeluang bertemu dan mendapatkan barangan memorabilia idola mereka kerana semuanya di bawah satu bumbung.

"Cara ini bukan bukan saja memudahkan pengelola ahli kelab peminat lain untuk merancang aktiviti, malah menyemarakkan lagi jalinan persahabatan kami dengan ahli lain," jelas Bernice.

Kepentingan dan kesefahaman di kalangan setiap ahli kelab sememangnya menjadi intipati dalam festival ini.

Menurut Audrey Liew, salah seorang pengelola kelab YG-HYPE yang menyokong kelab peminat artis naungan label YG Entertainment seperti Big Bang, 2NE1, SE7EN, Psy dan Tablo, kewujudan kelab peminat lebih daripada sekadar membantu ahli mendapatkan maklumat atau barangan memorabilia idola mereka.

"Kelab peminat adalah satu unit atau komuniti untuk peminat bergabung melakukan aktiviti bersama-sama, seiring dengan apa yang dilakukan artis idola mereka.

"Pembabitan dalam kelab peminat ini juga sepatutnya dilihat daripada sudut positif. Ia boleh mengelakkan aktiviti kurang sihat di kalangan golongan muda kerana tumpuan mereka akan lebih terarah kepada aktiviti kelab.

"Hubungan sesama ahli kelab juga tidak terhad pada perkara berkaitan hiburan tapi kebanyakannya menjalin persahabatan erat di luar kelab serta saling berkongsi susah senang dalam kehidupan harian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24


Sentuhan tudung ringkas, memikat

Posted: 24 Sep 2012 08:15 AM PDT

MENCIPTA sesuatu produk semata-mata kerana memenuhi kehendak pasaran akan menyebabkan kita tidak dekat dengan produk itu.

Namun, apabila sesuatu produk yang dibangunkan itu diuji sebaiknya pada diri sendiri terlebih dulu, ia bukan hanya menjadi kebanggaan penciptanya, malah keyakinan terhadap produk tidak berbelah-bahagi.

Walaupun bergelar pengeluar produk, harus diingat kita juga pernah menjadi pelanggan. Sebagai pelanggan, kita mahu sesuatu yang cantik, selesa dan terkini. Pada masa sama, kita juga mahukan harga yang berpatutan tidak kira latar belakang kewangan pelanggan.

Ada orang yang tidak kisah berbelanja ratusan ringgit untuk sehelai tudung, tetapi ramai yang tidak mahu membazir dan meletakkan had untuk sehelai tudung yang menutupi kepala itu.


Itulah antara yang dipentingkan dua sahabat ini dalam membangunkan produk tudung mereka. Selain warna, corak dan pilihan harga berpatutan, ia mesti selesa dan mudah dipakai.


Mereka bermula bersama-sama, daripada susah payah menangani masalah membangunkan produk dan pelbagai masalah lain. Mereka mungkin nampak biasa saja bagi penulis yang sudah menemui ramai usahawan lain, tetapi apabila melihat produk tudung mereka, ternyata Koleksi Maira mempunyai sentuhan yang agak berbeza.

Ia tudung yang mengekalkan ciri ringkas, warna memikat, kelas dan membantu penampilan walaupun dipadankan dengan pakaian sederhana, demikian ditegaskan Maya Che Ros, 41.

Maya bersama rakan kongsinya, Noraini A Rani, 43, sentiasa memikirkan yang terbaik demi perusahaan mereka.

"Kami sama-sama mencari kain yang sesuai dan terbaik. Tidak setakat itu, kami tidak menyerahkan rekaan dan pembuatan tudung kepada orang lain atau pekerja kami sebaliknya semuanya kami lakukan sendiri.

"Pemakaian tudung sudah menjadi sebahagian daripada rutin hidup kebanyakan wanita. Jadi saya dan Noraini sendiri sentiasa mahukan keselesaan dan pada masa sama mahukan tudung itu cantik ketika membeli tudung. Jadi, itulah yang kami pastikan ketika membangunkan produk," kata Maya.

Memastikan kualiti terjaga sangat dititikberatkan dua sahabat itu yang menamakan koleksi mereka sebagai Maira di bawah syarikat mereka, Maira Trading Resources.

"Kami mahu pelanggan berasa eksklusif setiap kali membeli dan memakai tudung jenama Maira. Sebab itu setiap satu tudung bercorak kami hanya ada 40 helai saja.

"Istimewanya produk Maira ialah sengkuap (awning) yang kami gunakan. Ia diimport dari luar negara. Kami menggunakan fabrik jacquard dan sutera. Ia membuatkan pemakai berasa selesa dan terletak kemas di kepala," katanya.

Kain tudung pula dihasilkan daripada fabrik lycra, sifon dan kapas.

Bagi mereka, penggunaan kain mestilah memenuhi kehendak mereka daripada segi keselesaan dan pemakaian yang praktikal.

"Ketika mahu menubuhkan syarikat ini, kami sendiri yang bertindak sebagai pereka tudung daripada asas rekaan, memotong kain serta pembentukan tudung.
Kini setelah beberapa tahun beroperasi, barulah kami memberi tanggungjawab memotong kain kepada pekerja yang dilatih khas di kilang.

"Sangat penting kita sendiri mengenali produk daripada asasnya. Dengan ini, orang bawahan tahu kewibaan kita. Kami sendiri membuat sistem di kilang berdasarkan pengalaman dan pengetahuan kami," kata Maya sambil memberitahu Maira Trading mempunya 20 pekerja untuk kilang dan butiknya.

Dengan nama yang semakin kukuh, tidak bermakna Maya dan Noraini melupakan sejarah kepayahan mereka di awal penubuhan dan pembangunan produk Maira.

Lima tahun lalu apabila Maya dan Noraini menyertai dunia perniagaan tudung, pasaran ini sangat luas, begitu juga pengusaha yang amat ramai.

"Bukan senang untuk kekal dalam perniagaan ini. Ia produk yang sangat luas penggunaannya dan setiap fesyen pula bermusim. Kami sukar mendapatkan stok kain yang diimport kerana pasaran kain juga bermusim.

"Selain itu kena sentiasa memikirkan fesyen dan memperbaharuinya. Namun, kami masih kekal dengan cara kami iaitu menjanjikan kualiti, rekaan terkini dan produk eksklusif kepada pelanggan," katanya.

Antara gaya tudung Maira termasuk corak biasa, berlapis, Syria serta terkini, sengkuap lembut mula popular, begitu juga tudung yang direka khas untuk kegunaan umrah.

Produk Maira tidak dijual di pasaran terbuka sebaliknya melalui stokis secara borong. Stokis pula mengedarkannya kepada wakil penjual. Sekarang stokis Maira berada di seluruh negara termasuk Brunei.

Pesan Maya, wanita 35 tahun ke atas mesti mengutamakan gaya tudung yang ringkas dalam pemilihan tudung mereka.

"Mereka mesti tahu menyesuaikan diri daripada segi fesyen dan corak ketika bertudung. Jangan terperangkap dengan memilih fesyen yang dicipta untuk remaja.
Pada umur sebegitu, pilih tudung yang ringkas dan sederhana coraknya. Tudung bercorak pula jangan dipadankan dengan pakaian bercorak, sebaliknya hanya dengan pakaian polos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24


Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved