Harian Metro: Hati |
Boleh menyusu jika tak mudarat Posted: 11 Dec 2012 06:55 AM PST RAMAI kaum ibu beranggapan menyusu ketika hamil tidak harus dilakukan. Malah, mereka juga berpendapat menyusukan bayi secara seiringan (tandem) iaitu menyusukan bayi yang baru bersalin bersama anak yang sedia ada tidak boleh dilakukan. Ia juga perlu dihentikan kerana proses berkenaan mungkin boleh memberi kemudaratan kepada anak yang baru lahir mahupun anak sedia ada. Tanggapan terbabit diperkukuhkan lagi dengan mitos pantang larang orang tua mengatakan si ibu tidak patut menyusukan anaknya lagi ketika mengandung.
Bagaimanapun, jika keadaan kesihatan ibu tidak mengizinkan dan doktor menyarankan untuk memberhentikan penyusuan kerana akan memudaratkan bayi serta ibu itu sendiri, ia perlu dipatuhi. Malah majoriti doktor menggalakkan pemberian susu ibu kepada bayi mereka walaupun ketika itu ibu terbabit sedang hamil selagi si ibu tidak mempunyai masalah kesihatan. Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Suhaimi Hassan, berkata terdapat satu masalah yang berlaku semasa pertengahan kehamilan yang mana kuantiti susu akan berkurangan. Keadaan ini disebabkan perubahan hormon semasa mengandung dan lagipun kebanyakan ibu tidak lagi memerah susu untuk anak sedia ada. Ibu yang hamil juga harus memastikan tumbesaran bayi yang menyusu tidak terbantut kerana kerana kekurangan susu. Pada masa ini, ramai ibu yang khuatir mengenai keperluan susu anak mereka namun mereka perlu ketahui selepas anak berumur setahun, susu bukanlah lagi diet utama bagi anak. "Anak perlu diberi makanan lain untuk memenuhi keperluan zat mereka dan proses penyusuan pada waktu ini lebih kepada pengisian emosi yang tiada tolok bandingnya. "Jika pertumbuhan tumbesaran anak terbantut disebabkan kekurangan susu badan dan disahkan doktor pakar kanak-kanak, ibu yang hamil harus menambah susu formula untuk anak sedia ada yang menyusu terutama jika anak terbabit berumur bawah enam bulan," katanya. Ibu juga harus tahu pada penghujung kandungan, susu ibu akan berubah rasa kerana penghasilan kolostrum sebagai persediaan untuk bayi yang bakal dilahirkan. Kadang-kadang keadaan ini akan menyebabkan anak yang menyusu itu berhenti menyusu secara semula jadi. Namun si ibu tadi tidak perlu memaksa anak itu meneruskan penyusuan dan perlu diingatkan jika kanak-kanak berkenaan ingin terus menyusu, kolostrum akan sentiasa terbentuk dan mencukupi untuk bayi yang bakal dilahirkan. "Jika pada masa ini ibu memilih untuk memberhentikan penyusuan, dia harus pandai memujuk anak yang baru bercerai susu kerana ia boleh mengganggu emosi anak itu. "Tetapi jangan bersedih kerana si ibu boleh cuba memujuk mereka menyusu semula selepas kelahiran bayi baru sekiranya masih ingin membekalkan khasiat susu ibu untuk jangka masa panjang kepada si anak tadi," katanya. Selain itu, tanggungjawab ibu menyusu ketika hamil agak berat kerana jika anak yang sedang menyusu berusia kurang daripada setahun, si ibu perlu memerhatikan pertambahan berat badannya sendiri semasa hamil. "Kebiasaannya si ibu akan menjadi lebih penat kerana perlu melayan kerenah anak dan bayi dalam kandungan pada masa yang sama, oleh itu dapatkan rehat secukupnya bagi mengurangkan tekanan. "Ketika hamil puting payudara si ibu juga mungkin lebih sensitif justeru, si ibu perlu memastikan anak sedia ada menghisap puting dengan cara yang betul," katanya. Jika keadaan sebaliknya berlaku dan si ibu mengalami luka pada bahagian berkenaan, jangkitan kuman mudah berlaku dan mungkin boleh menyebabkan payudara membengkak dengan nanah dan ibu perlu melakukan pembedahan kecil. Ini akan menyukarkan keadaan dan anak mungkin akan berhenti menyusu. Bagaimanapun, katanya untuk memastikan penyusuan susu ibu terbabit berjaya, golongan ibu yang membuat keputusan untuk meneruskan penyusuan ketika hamil perlu menjaga kesihatan diri serta mengambil makanan seimbang secara tetap. Selain itu, mereka juga perlu memastikan pengambilan kalsium terutama susu sentiasa mencukupi memandangkan keperluan kalsium anak dalam kandungan serta anak yang sedang menyusu sangat tinggi. "Si ibu seharusnya mengambil makanan atau menepati diet seperti piramid makanan yang betul serta makan makanan berzat. "Malah, mereka perlu minum air dengan kuantiti yang banyak demi kesihatan diri dan juga bayi," katanya. Dr Suhaimi berkata, terdapat beberapa keadaan yang mana kaum ibu tidak dibenarkan menyusukan bayi mereka ketika hamil. Keadaan ini apabila ibu hamil mengalami masalah muntah yang teruk semasa awal mengandung. Selalunya ibu yang mengalami muntah yang teruk, badan mereka sangat tidak bermaya dan meneruskan penyusuan akan lebih memudaratkan ibu. Mereka boleh mencuba untuk memulakan penyusuan semula apabila keadaan pulih kelak. Satu lagi faktor apabila ibu mengalami kontraksi pramatang semasa mengandung atau mereka pernah melahirkan bayi pramatang. Kebiasaannya doktor tidak menggalakkan penyusuan kerana dengan meneruskan penyusuan ia akan menyebabkan kontraksi bertambah kuat dan akan menyebabkan ibu melahirkan bayi pramatang. Keadaan ini disebabkan penambahan dan perubahan hormon dalam badan yang menggalakkan kontraksi. Jika berlaku perdarahan semasa peringkat awal mengandung, ibu juga tidak digalakkan meneruskan penyusuan kerana khuatir ia mungkin boleh menyebabkan keguguran kandungan. Akhir sekali, dia berharap ibu yang ingin menyusukan bayi ketika hamil agar sentiasa bertanya doktor mereka terutama sekali jika terdapat sebarang keraguan. Fakta susu ibu: bayi dengan berkesan. anak dan ibu. Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11 |
Posted: 11 Dec 2012 06:43 AM PST KENTANG kaya dengan pelbagai khasiat pemakanan khususnya serat, vitamin dan mineral penting. Mungkin tidak ramai tahu kentang bersaiz sederhana seberat 148 gram kaya dengan vitamin C. Selain itu, ia juga membekalkan zat kalium apabila dimakan dengan kulit selain hanya mengandungi 110 kalori serta kurang daripada sembilan peratus nilai harian karbohidrat.
Ia membekalkan serat sebanyak lapan peratus jika diambil bersama kulit dan tidak mengandungi lemak, natrium serta kolesterol. Pelbagai jenis kentang segar boleh didapati di dunia seperti russet, kentang putih bulat, putih panjang, merah, kuning, biru dan ungu serta jejari.
Kentang putih bulat juga boleh didapati sepanjang tahun. Ia mempunyai kandungan kanji sederhana tinggi dan berkulit nipis rona perang muda serta isinya berwarna putih. Teksturnya berkrim dan bentuknya masih kekal walaupun selepas dimasak. Berbeza dengan kentang putih panjang yang berbentuk bujur. Kandungan kanji sederhana tinggi dan berkulit nipis rona perang muda mempunyai tekstur yang pejal serta rasa berkrim apabila dimasak. Ia sesuai direbus, dimasak menggunakan ketuhar gelombang mikro dan ditumis goreng menjadikannya kentang yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis masakan. Kentang merah pula boleh didapati secara lebih meluas sepanjang tahun. Ia dikenali melalui warna kulitnya yang secara semula jadi berwarna merah. Kentang merah mempunyai tekstur keras, licin dan kalis air menjadikannya sesuai dibakar, dikukus, direbus dan dijadikan salad. Kentang kuning pula semakin digemari di Amerika Syarikat dan kini boleh didapati hampir sepanjang tahun. Kentang jenis ini mempunyai tekstur padat dan berkrim dengan warna keemasan dan isinya lembut seperti rasa mentega. Ia sesuai dimasak dengan cara dilecek, dipanggang, dibakar, direbus dan dikukus. Bagi mereka yang masih belum tahu mengenai kewujudan kentang berwarna biru dan ungu, ia sebenarnya sudah mula popular di Amerika Syarikat. Kebanyakan kentang biru dan ungu boleh didapati pada musim luruh. Kentang yang boleh dianggap luar biasa itu mempunyai rasa seperti kekacang dengan isi aneka warna sama ada biru tua atau lavender hingga putih. Warnanya kekal apabila dimasak menggunakan ketuhar gelombang mikro tetapi ia juga boleh disediakan dengan cara panggang atau kukus. Kentang jejari pula berbentuk tiub lonjong panjang seperti jari manusia.
Teksturnya yang keras dan melekit menjadikannya sesuai dimasak dengan cara kukus, bakar, rebus atau dijadikan salad. Menggunakan kentang, pelbagai produk boleh dihasilkan seperti kentang sejuk beku, nyah hidrat, segar atau kerepek. Tahukah anda kerepek kentang dicipta di Amerika Syarikat pada 1853? Ia semakin digemari kerana segar selain dieksport ke seluruh dunia untuk diproses menjadi pelbagai jenis kerepek kentang. Penanaman kentang memerlukan iklim yang baik dan tanah subur selain peralatan atau kemudahan untuk menghasilkan kerepek bermutu tinggi. Penuaian, pengendalian, peralatan dan kemudahan penyimpanan yang betul penting untuk mengekalkan ketinggian mutu kerepek sepanjang proses pengeluaran dari ladang ke kilang pengeluaran. Kentang yang baru dituai disimpan kira-kira dua hingga empat minggu pada suhu 14.5 darjah Celsius untuk membolehkan pembentukan lapisan perlindungan suberin. Dalam tempoh berkenaan, gula yang berlebihan disesuaikan dengan kentang sebelum suhu diturunkan kepada suhu penyimpanan. Kentang disimpan dalam stor direka khas bagi membolehkan suhu, kelembapan, oksigen dan karbon dioksida dipantau serta dikawal untuk memaksimumkan jangka hayatnya. Kelembapan dikekalkan pada tahap 90 hingga 95 peratus untuk mengurangkan pengecutan, lebam akibat tekanan dan kehilangan teksturnya. Berbeza dengan kentang nyah hidrat, ia dihasilkan dalam bentuk emping, tepung atau hirisan. Biasanya, ia digunakan dalam perkhidmatan penyediaan makanan dan bakeri atau tujuan pengeluaran makanan secara umum. Emping kentang pula biasa digunakan dalam produk snek kentang rekaan termasuk berbentuk kepingan dan semperit manakala kentang nyah hidrat berbentuk hirisan, dadu atau cincang mempunyai pelbagai kegunaan. Disebabkan itu, kentang menjadi makanan sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu menggunakan pelbagai jenis masakan berbeza. Justeru, Lembaga Kentang Amerika Syarikat (USPB) memperkenalkan pelbagai cara baru menggunakan kentang sebagai ramuan utama dalam masakan di Grand Salon, Hotel Le Meridien Kuala Lumpur, baru-baru ini. Memperkenalkan empat menu roti kecil yang mempunyai bahan di atasnya (canape), ia mudah disediakan untuk dihidang kepada tetamu. Selain pencuci mulut, Chef Eksekutif Hotel Le Meridien Kuala Lumpur, Antoine turut menunjukkan cara menyediakan makan malam menggunakan bahan asas iaitu kentang. Untuk maklumat lanjut layari laman web www.potatoesusa-malaysia.com dan www.potatogoodness.com. Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |