Harian Metro: Hati |
Serlah keayuan wajah pengantin Posted: Serlahan keanggunan mempelai Muslimah bukan saja kelihatan pada padanan busana mahupun tudung, lebih penting teknik solekan yang membuatkan penampilan tampak berseri dan hebat walau apa saja konsep digayakan. Untuk pengantin bertudung, walaupun solekan menjadi lebih mudah disebabkan jurusolek tidak perlu membuat dandanan rambut, ia tetap perlu diberi perhatian kerana warna tudung atau selendang turut mempengaruhi rona alat solek digunakan. Untuk lebih mudah, pilihan tudung daripada rona pastel seperti putih, krim, kelabu atau perak menjadi warna selamat yang tidak akan mempengaruhi solekan. Menurut Nurin Adlina Basir daripada Nurin Makeover Kuala Lumpur, bagi menyesuaikan teknik solekan pengantin Muslimah, tema majlis perlu diberi perhatian sama ada untuk pertunangan, pernikahan atau persandingan. SAPUAN bedak asas bagi menutup cela dan bekas jerawat. PILIH warna pembayang mata yang sesuai dengan tema majlis serta warna kulit mempelai. PEMAKAIAN bulu mata palsu sangat perlu bagi memperlihatkan sisi berbeza. SAPUAN maskara bagi menambah panjang bulu mata dan supaya bulu mata palsu tidak nampak berbeza. PEMERAH pipi merah jambu untuk senyuman menawan. GINCU dan pengilat bibir untuk bibir seksi menggoda. ANGGUN menyerlah solekan moden untuk persandingan.
Walau apa juga teknik digunakan tujuannya tetap sama iaitu ingin menyerlahkan keayuan, kelembutan dan keserasian wajah pengantin supaya tumpuan mata tetamu pastinya pada kejelitaan mempelai terutama ketika bersanding di atas pelamin. "Pemilihan warna yang tidak sesuai dengan konsep perkahwinan juga warna kulit akan menyebabkan pengantin kurang menyerlah, tampak lesu dan kurang bermaya. Sebaliknya padanan warna sesuai akan membangkitkan keindahan wajah sesuai dengan gelaran raja sehari," jelasnya. Pada masa kini pengantin lebih menggemari solekan moden menerusi warna pastel yang menarik. Penggunaan rona gelap seperti coklat, kelabu dengan gabungan perak dan warna ceria ungu, biru atau merah jambu untuk pembayang mata akan menjadikan mata lebih bercahaya. Ini sesuai digayakan dengan busana daripada percikan rona malap seperti kelabu, coklat, perak atau keemasan bagi menyerlahkan kemewahan. "Namun begitu gabungan rona pastel dan ceria pada mata sesuai untuk mereka yang memiliki kulit cerah dan sawo matang manakala bagi wanita berkulit hitam manis, penggunaan gaya smokey akan memberi lebih keindahan pada lirikan mata mempelai," ujarnya. Selain pembayang mata, lakaran celak pada bahagian atas hujung kelopak mata amat penting bagi menampilkan sisi berbeza. Jika acara kasual hanya satu lapisan, untuk persandingan sebaiknya tampil sedikit gelap bagi menonjolkan mata lebih galak. Solekan pada bahagian mata akan lebih menyerlah dengan pemakaian bulu mata palsu yang dianggap penting dalam solekan pengantin. Walaupun ada mempelai memiliki bulu mata yang panjang, lebat dan lentik, dengan penambahan bulu mata palsu wajah kelihatan jauh berbeza, seri lebih menyerlah malah akan membuatkan anda kelihatan lebih menonjol sebagai ratu sehari. Selain mata, pilihan warna gincu bersama pengilat bibir menjadikan pakej solekan anda lengkap dan sempurna. Sebaiknya pilih rona selamat merah jambu cair atau kelihatan sedikit coklat kemudian lapiskan dengan pengilat bibir bagi menyerlahkan bibir yang seksi. Nasihat Nurin, tidak semua mempelai sesuai mengenakan rona gincu terang seperti merah cili atau merah bata kerana ia akan membuatkan penampilan bertambah garang. "Untuk persandingan, jika tujuan asal adalah untuk memperlihatkan keanggunan mempelai sebaiknya pilihan gincu merah jambu sesuai untuk semua tema dan jenis kulit," ujarnya. Panduan memilih gincu: |
Cemuhan pelanggan penguat semangat Posted: Tidak memiliki tahap pendidikan tinggi bukan bererti sukar untuk mengembangkan keupayaan diri dan berjaya dalam hidup. Paling penting ialah kesungguhan dan memilih haluan bersesuaian dengan kemahiran dan kemampuan diri.
Bagi pengasas N'dah Catering & Wedding Planner, Juraidah Asmoni, 40, atau lebih dikenali sebagai Ndah, dia ingin mencuba kelainan dalam sesuatu bidang demi mencari keserasian sekiranya bidang itu mahu diperluaskan lagi. Prinsip itu jugalah yang menjadi pegangannya untuk terus berjaya.
Perkhidmatan itu dilihat sebagai satu keperluan terutama di kawasan bandar yang lebih gemar menyerahkan tugas menjamu tetamu kepada pihak katering. Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ramai yang menganggap amalan tradisi seperti rewang untuk majlis kenduri kahwin satu kemestian terutama bagi mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga. "Sebagai katerer atau jurusaji, perkara yang perlu dititikberatkan ialah kepuasan pelanggan. "Sekiranya apa yang dilakukan mendapat pujian, secara tidak langsung ia menjadi satu bentuk pemasaran," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Dewan Shah Alam, baru-baru ini. Mengimbas kembali pengalaman pada awal pembabitannya dalam perniagaan katering, dia akui pelbagai halangan ditempuhi untuk membolehkan perniagaannya dikenali ramai. Ketika itu untuk menjalankan aktiviti pemasaran, dia hanya menyediakan salinan risalah dan diedarkan sendiri sekitar Shah Alam. "Saya masih ingat ketika itu bulan Ramadan, saya dan suami serta jemaah lain mengerjakan solat Tarawih. Saya meminta anak yang masih kecil mengedarkan risalah dengan menyelitkan di bahagian pengelap cermin depan kereta. "Apabila penggera kereta berbunyi, mereka bertempiaran lari. Sejak itu, sedaya upaya saya cuba mengelakkan kejadian sebegitu. Memang peristiwa itu sukar dilupakan seumur hidup saya," katanya. Juraidah berkata, pada peringkat awal dia menjadikan rumahnya sebagai pusat operasi perniagaannya. Malah, setiap hidangan disediakan juga dimasak sendiri agar kualitinya sentiasa terjaga. "Selama empat tahun saya menggunakan rumah sebagai pejabat dan pada masa sama, ia mendekatkan saya dengan anak kerana mereka membesar di depan mata saya. "Saya tidak akan sesekali meninggalkan mereka sendirian di rumah walaupun rutin yang perlu dilakukan setiap hari amat sibuk. Jika saya terpaksa tidur
Walaupun terpaksa berdepan dengan kerenah orang yang pelbagai ragam, Ndah percaya kesabaran dalam melayani pelanggan pasti berbalas dengan keyakinan daripada mereka. Dalam satu penyediaan majlis tidak mungkin ia sempurna 100 peratus, tetapi dia cuba memastikan tidak ada sebarang masalah memudaratkan berlaku hingga menjejaskan nama baik perniagaannya. Namun pernah berlaku selepas menyiapkan semua kelengkapan majlis perkahwinan bertemakan ala taman, tiba-tiba sebelum majlis berlangsung hujan lebat menyebabkan kerusi, meja dan barangan lain dibasahi hujan. Kejadian sebegitu memang di luar kawalan tetapi dia tetap bersyukur akhirnya majlis berkenaan berjalan lancar, malah kesan visual yang dirakamkan selepas hujan itu amat mempesonakan. "Saya juga pernah diherdik dan dimarah sesuka hati oleh pelanggan tetapi setiap ketidakpuasan hati mereka cuba diperbaiki walaupun ada ketikanya saya seakan-akan hilang semangat. "Saya tebalkan muka dan membiarkan saja kata-kata itu seolah-olah masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Namun saya tetap melakukan apa yang diamanahkan kepada saya sebaik mungkin," katanya. Kini dia bersyukur kerana berjaya mengembangkan perkhidmatannya ke peringkat lebih meluas dengan menyediakan dewan katering yang boleh disewa untuk penganjuran majlis perkahwinan. Bangunan dua tingkat yang terletak di Jalan Ikhtisas 14/6, Pusat Bandar Shah Alam itu menyediakan segala kelengkapan dan keperluan lengkap majlis perkahwinan di bawah satu bumbung. Kerjasama yang diperoleh daripada mereka yang sentiasa bersamanya sejak awal pembabitannya sebagai katerer membuatkan dirinya yakin untuk meneruskan kerjayanya sebagai katerer serta cuba menyediakan perkhidmatan lebih bermutu. "Saya akan turun padang dan memastikan setiap bahan mentah digunakan berada pada tahap kualiti yang baik serta menyediakan sendiri hidangan yang dipilih pelanggan. "Melalui cara ini, saya mampu mengekalkan rasa dan memastikan sendiri makanan yang dihidangkan pada majlis itu tidak basi sebelum masanya," katanya. Selain itu, suaminya, Amran Musa, 44, adalah insan paling banyak mengkritik dan memberi sokongan kepadanya dalam mengembangkan perniagaan katering itu. Setiap teguran sentiasa tersemat di hati yang dijadikan panduan bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan. "Saya tidak pernah berkecil hati dengan setiap teguran kerana yakin ia bertujuan mengingatkan saya untuk tidak mengulanginya semula pada masa depan. "Saya akan cuba mencari kelainan agar perkhidmatan sedia ada boleh dipertingkatkan dan pastinya kepuasan serta penerimaan pelanggan menjadi keutamaan," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan