Khamis, 21 Mac 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Yakin bangkit

Posted:

Kuala Lumpur: Meskipun prestasi semasa jentera Mercedes AMG Petronas dilihat gagal bersaing dengan pasukan elit lain, prinsipal pasukan Ross Brawn tetap optimis kedua-dua pemandunya mampu menyambar enam petak teratas pada sesi kelayakan, Sabtu ini.

Saingan di Australia minggu lalu menyaksikan kedua-dua jentera Mercedes itu mempamerkan prestasi kurang memuaskan dengan bekas juara dunia Lewis Hamilton sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima manakala Nico Rosberg lebih malang gagal menamatkan perlumbaan.


Bagaimanapun, kedua-dua pemandu bermula baik apabila Hamilton menyambar petak ketiga dan Rosberg, keenam pada sesi kelayakan.

"Saya akui di Australia kami tidak begitu kompetitif apabila berdepan masalah strategi pit stop manakala Rosberg lebih malang kerana jenteranya mengalami masalah teknikal.


"Saya rasa tidak banyak bezanya dengan cabaran di Sepang hujung minggu ini.


"Cuaca di sini amat sukar diramal tapi jika kami dapat mengatasi semua masalah pada sesi latihan dan kelayakan, kedua-dua jentera akan lebih kompetitif pada perlumbaan sebenar, Ahad ini," katanya.

Foto

AKSI Hamilton (kiri) di Litar Albert Park, Australia, minggu lalu.

Brawn berkata, Mercedes perlu mendapatkan keputusan lebih baik di Sepang kerana selain beraksi di halaman sendiri, keputusan positif kedua-dua jentera membenarkan mekanik mencari jalan penyelesaian untuk meningkatkan prestasi enjin pada perlumbaan akan datang. "Terdapat sedikit jurang antara catatan masa kami dengan beberapa pasukan elit. Sebab itu kami perlu mendapatkan keputusan lebih meyakinkan di Sepang.


"Yang penting perlumbaan sebenar. Tayar, pit stop, cuaca semuanya memainkan peranan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Ruang pelajar pamer kebolehan

Posted:

Kuantan: Seramai 30 peserta terpilih mengikuti bengkel sukan petanque sempena Karnival Kokurikulum Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Semambu, Kuantan, baru-baru ini.

Mereka membabitkan pelajar dan kakitangan POLISAS yang sebelum ini mendapat pendedahan awal menerusi program pembangunan sukan.


Bengkel sehari itu mendapat sentuhan jurulatih Ibrahim Huri dan dibantu dua pemain petanque negara, Noor Musfirah Jefri dan Mohd Intidzam Mohd Noor yang juga pelajar POLISAS.

Selain bengkel petanque turut diadakan pertandingan bola sepak sembilan sepasukan, bola jaring dan bola tampar.


Pengarah Program Mat Roof Jalil berkata, karnival itu yang julung kali diadakan bertujuan menarik minat golongan pelajar terbabit dalam aktiviti sukan.


Menurutnya, dengan adanya program seperti itu pelajar turut berpeluang mempamerkan kebolehan serta kemahiran dalam acara sukan diminati seterusnya terpilih mewakili POLISAS.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini mewajibkan setiap Politeknik berusaha mencatat kejayaan dalam bidang akademik dan sukan dalam usaha meletakkan mereka di kedudukan lebih baik. "Antara usaha dilakukan, termasuk mengadakan karnival kokurikulum membabitkan aktiviti sukan dan bengkel," katanya yang akan mewajibkan semua pelajar POLISAS terbabit dalam sukan.


Beliau berkata, pencapaian membanggakan Noor Musfirah dan Mohd Intidzam yang mewakili Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2012 menjadi landasan kepada pengurusan POLISAS untuk terus berusaha menggilap kebolehan pelajar.

Mat Roof berkata, pihaknya akan terus berusaha mencungkil seterusnya menggilap bakat pemain dalam beberapa acara sukan seperti memanah dan petanque.


Sementara itu, Mohd Intidzam berazam untuk menarik minat lebih ramai pelajar POLISAS terbabit dalam acara petanque yang kini turut dipertandingkan di peringkat SUKMA dan Sukan SEA.


"Sukan petanque tidak memerlukan perbelanjaan tinggi berbanding sukan lain, ia sesuai untuk diceburi golongan pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved