Lagu Aishiteru yang menjadi taruhan Zivilia sejak dua tahun lalu nyata membawa impak besar dalam karier muzik kumpulan dari negara jiran Indonesia ini. Apatah lagi, single itu saja mencatat jumlah nada dering lebih 18 juta pengguna dalam tempoh setahun.
Situasi itu sekali gus melonjak nama Zivilia dalam sekelip mata menjadi antara kumpulan muzik popular di Indonesia. Menyedari penerimaan sangat baik daripada peminat muzik Indonesia, mereka muncul dengan single Aishiteru 2 yang juga kesinambungan lagu Aishiteru.
Namun, jumlah pengguna nada dering Aishiteru 2 hanya sebanyak 2.5 juta pengguna dan tidak sehebat Aishiteru. Apa pun, Zivilia yang dianggotai Zulkifli Djamaluddin atau Zul, 32, selaku vokalis dan pemain gitar, Idham Akbar (Idham), 24, pemain bass dan Syaiful Hadiansa (Obot), 26, di posisi dram tidak gentar dengan situasi sedemikian.
Mengakui segala-galanya terjadi disebabkan masalah cetak rompak nada dering oleh golongan tidak bertanggungjawab, Zivilia akur dan nekad meneruskan perjalanan seni mereka. Apa yang pasti, Zivilia masih lagi gigih berkarya dan buktinya mereka muncul dengan single Aishiteru 3.
ZUL kagum dengan vokal Najwa Latif.
Idham (dari kiri) Zul dan Obot tonggak Zivilia.
Najwa Latif
Zul yang juga pencipta trilogi lagu terbabit ketika ditemui berkata, dia memilih untuk menghasilkan lagu dengan menggunakan judul sama kerana ingin menonjolkan kelainan Zivilia.
Katanya, dalam keadaan pasaran muzik yang tidak berapa baik sekarang ini, dia berasakan Zivilia harus muncul dengan karya tersendiri dan unik serta mengikut cita rasa pendengar. Justeru, bersandarkan pengalaman yang dilaluinya sendiri, dia muncul dengan menghasilkan lagu Aishiteru.
"Satu cabaran pada diri saya juga mencipta lagu yang ada hubung kaitnya dengan kisah peribadi sendiri. Bagaimanapun, apa yang dihasilkan itu adalah perasaan yang pernah saya lalui apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga dan insan tersayang kerana terpaksa berhijrah ke Jepun untuk bekerja.
"Saya ke Jepun pada 2003 atas urusan kerja dengan syarikat kereta antarabangsa dan menetap di negara itu selama enam tahun. Jadi, sepanjang di sana, saya terpaksa menanggung rindu dan pelbagai perasaan lagi terhadap isteri. Jadi, ia menjadi satu penantian cinta yang cukup hebat akibat berjauhan," katanya yang kini memiliki tiga cahaya mata hasil dua perkahwinannya.
Katanya, dari situlah terhasilnya lirik lagu Aishiteru yang ditulis pada 2008 sekembalinya ke Indonesia. Sebaik lagu ini dihasilkan, ia diperdengarkan kepada rakan dan disukai.
Namun, katanya, bukan mudah menubuhkan Zivilia kerana sebelum itu dia juga menjadi mangsa penipuan golongan tidak bertanggungjawab.
"Banyak juga wang yang rugi, namun takdir mempertemukan saya dengan Idham dan kami bekerjasama merakamkan semula lagu Aishiteru pada 2009. Sesudah itu, barulah kami mula mendapat peluang dan menjadi artis rakaman syarikat Naga Suara di Jakarta pada 2010 bagi menerbitkan lagu Aishiteru," katanya.
Menurut Zul, ketika itu juga dia dan Idham bertemu dengan Obot yang kini pemain dram Zivilia. Apapun, muncul dengan pelbagai lagu di bawah satu judul yang sama sebenarnya tidak mudah seperti disangka. Ia lebih sukar dan mencabar untuk dihasilkan kerana kelainan harus dimuatkan dalam setiap lagu itu.
Justeru, jika Aishiteru lebih menjurus pada kisah penantian seorang kekasih maka, Aishiteru 2 pula mengetengahkan cinta yang gagal di tengah jalan. Namun, untuk Aishiteru 3 pula ia lebih kepada jawapan pada dua kisah lalu yang akhirnya membawa semula kepada kebahagiaan diimpikan setiap pasangan.
Ditemui di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur sempena kunjungan Zivilia untuk urusan promosi album sulung mereka, Aishiteru yang berada di pasaran tempatan pada 9 Januari tahun lalu, Zul berkata melihatkan sambutan baik daripada peminat di Malaysia, Zivilia sebenarnya kecewa kerana lewat berkunjung ke sini.
"Selepas menjayakan Konsert Ekspresi Harian Metro (HM) di Dataran Merdeka, Sabtu lalu, kami tidak pernah menyangka Zivilia juga popular di negara ini selain Indonesia. Kami sungguh terharu melihat betapa seramai 70,000 pengunjung konsert itu terhibur dengan lagu dipersembahkan.
"Jadi, melihatkan pada sokongan itu juga ia menjadikan kami menyimpan impian mahu sering datang ke negara ini untuk mengetengahkan karya muzik Zivilia. Pada kami, sokongan diberikan peminat di negara ini terutama warga negara Malaysia sendiri adalah penghargaan yang cukup indah dan tak diduga," katanya.
Turut berkongsi kisah kesempatan berkunjung di beberapa tempat menarik di Malaysia seperti Jalan Petaling dan Brickfields, Zivilia berkata kenangan paling seronok dan indah apabila berpeluang memenuhi impian peminat tempatan yang mahu bergambar dan mengenali mereka biar pun kali pertama datang ke Malaysia.
Najwa Latif pilihan Zivilia
Biarpun sedar dengan perbezaan situasi pasaran muzik di Malaysia dan Indonesia, namun Zivilia nyata kagum dengan bakat nyanyian dimiliki penyanyi wanita tanah air.
Zul berkata, majoriti penyanyi wanita di negara ini sememangnya berbakat serta memiliki mutu vokal yang bagus dan berpotensi pergi lebih jauh. Malah, dia cukup mengagumi dan tertarik dengan vokal penyanyi remaja tanah air, Najwa Latif.
Zul berkata, selain berbakat dalam nyanyian, Najwa juga boleh bermain alat muzik seperti gitar serta lebih mengagumkannya apabila gadis itu turut berkebolehan mencipta lagu.
Kesempatan bersua dengan Najwa pada Konsert Ekspresi HM lalu memberi ruang kepada mereka melihat sendiri bakatnya.
"Pada saya, dia seorang gadis yang berbakat besar dan patutlah lagu Aishiteru dendangan asal kami yang dilagukan Najwa di dalam YouTube begitu menjadi perhatian ramai.
"Bahkan, saya sendiri yang mendengar nyanyian Najwa yang mendendangkan semula lagu Aishiteru dan dimuatkan dalam YouTube tak mampu untuk menafikan betapa hebatnya vokal gadis ini. Malah, dalam ramai orang yang memuatkan video nyanyian lagu Aishiteru mereka di YouTube, Najwa paling terbaik.
"Jadi, Zivilia tidak mahu melepaskan peluang untuk menjalin kerjasama kami bersama Najwa. Bahkan, pertemuan pada Sabtu lalu dengan pengurusnya juga sudah ke arah perbincangan kerjasama dua hala pada masa akan datang. Saya yakin ia pasti akan menjadi kenyataan tidak lama lagi," katanya.
Sebagai tanda terima kasih tak terhingga Zivilia kepada peminat muzik tempatan, Zul juga mengakui dia bercadang mahu menghasilkan sebuah lagu khusus untuk peminat Malaysia. Katanya dia akan membuat kajian lebih dulu genre muzik yang sesuai dan kemudian akan menciptakan sebuah lagu istimewa.
Memaklumkan dia juga menyukai lagu Kosong dendangan Najwa, vokalis berdarah Bugis yang berasal dari Sulawesi ini berkata, biarpun Zivilia juga tak terlepas daripada himpitan kontroversi yang mengatakan mereka kumpulan muzik tidak kreatif, ia sedikit pun membuatkan Zivilia kecewa dan berasa tergugat.
Katanya, kontroversi tak diundang yang hadir itu juga sedikit sebanyak membantu menaikkan populariti Zivilia. Malah, tidak gentar dengan apa saja anggapan peminat terhadap perjuangan muzik mereka.
Apa yang pasti, Zivilia tetap berpegang pada paksi kepelbagaian muzik diketengahkan yang sesuai dengan kehendak pendengar dan pasaran.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20