Berlakon di bawah arahan bakat muda bukan alasan untuk pelakon komedi terkenal, Shuib Sepah memberikan yang terbaik melalui wataknya dalam filem terbaru berjudul Oh Mak Kau (OMK) terbitan Star Scope Productions Sdn Bhd.
Shuib yang membawa watak Mun sekali lagi bergandingan dengan Jepp melalui filem bergenre aksi komedi ini di mana masing-masing memegang watak sebagai adik-beradik. Ia diarahkan Nurul Ain Nordin juga selaku produser bersama dan pelakon dalam filem ini.
Bercerita mengenai kerjasama dengan Nurul Ain yang mesra dipanggil Ain, Shuib mengakui walaupun masih baru dalam pengarahan filem, wanita berusia 25 tahun itu seorang yang mudah menerima pandangan daripada pelakon dan tidak cerewet.
"Saya sudah bekerjasama dengan ramai pengarah dan Ain salah seorang pengarah muda yang bagus dan disenangi semua. Dia memiliki kesabaran yang tinggi dalam melayan kerenah setiap pelakon.
"Saya suka cara Ain bekerja, maklumlah bidang pengarahan bukan sesuatu yang mudah kerana perlu berdepan dengan pelbagai situasi selain ragam pelakon dan petugas lokasi penggambaran.
"Ain juga tidak pernah meletakkan jarak di antara pengarah dan pelakon, dia senang diajak berbincang dan ini menyebabkan saya rasa selesa untuk bekerjasama dengan bimbingannya," kata Shuib.
Gandingan kali kedua bersama Jepp selepas filem Sepah The Movie, Shuib mengakui ia adalah satu bonus kerana sudah biasa bekerja bersama dan lebih memudahkan untuk Shuib dalam mencari idea bagi menghidupkan wataknya.
"Saya bermula dengan Jepp dalam satu kumpulan dan apabila berpeluang bekerjasama dalam filem, ia satu bonus untuk saya yang mana lebih memudahkan kerja kami untuk berbincang mengenai watak masing-masing.
"Rasanya watak itu kelihatan lebih sempurna apabila bersama, apatah lagi kami digandingkan dalam filem komedi yang menjadi tempat asal kami memulakan kerjaya dan pastinya ia lebih mudah.
"Bukan bermakna saya rasa tidak menarik tanpa Jepp, tetapi keserasian dan lawak itu akan nampak lebih hidup apabila kami bersatu," katanya yang mengakui wataknya dalam cerita itu sedikit mencabar.
Bagi Ain pula, pertama kali mengarahkan filem komedi, ia bukan sesuatu yang sukar kerana baginya filem bergenre seperti ini tidak berisiko malah sasaran menarik perhatian penonton lebih mudah kerana jalan ceritanya yang ringan dan tidak membosankan.
"Saya sedar satu tanggungjawab yang berat apabila perlu mengarah filem yang bukan calang-calang orang mampu melakukannya, saya berani menyahut cabaran ini kerana saya belajar dalam bidang seni layar.
"Malah saya pernah diberi peluang mengarahkan drama 13 episod berjudul Setulus Kasih yang sudah disiarkan di RTM. Justeru, saya yakin dan berpuas hati dengan hasil filem OMK ini.
"Kerjasama yang baik diberikan oleh semua pelakon dan kru terutamanya memudahkan lagi tugasan saya dan saya yakin filem komedi seperti ini mudah diterima semua orang," katanya.
Sementara itu, Yassin Yahya yang turut berlakon berkata, walaupun sekarang dia sangat memilih watak, dia tertarik dengan wataknya di dalam filem ini yang mana menampilkan dia sebagai ahli kumpulan gangster yang diketuai oleh Lutfan lakonan Syamsul Yusof.
"Saya memegang watak sebagai Typo yang kononnya hendak menjadi taiko kerana di dalam filem ini saya banyak membawakan babak bergaduh.
"Memang menarik kerana babak ini dilakukan beramai-ramai dan suasana yang kelihatan seperti bergaduh besar sebenarnya banyak diserapkan elemen lawak.
"Pada saya sebagai seorang pelawak, kalau boleh watak itu dapat dipelbagaikan jadi penonton tidaklah bosan kerana tidak disajikan dengan watak yang sama saja," katanya.
Ain penat tapi puas hati
Melihat pembabitannya melalui filem ini, pasti semua terfikir mampukah anak muda ini menggalas tiga tanggungjawab sekali gus sebagai penerbit, pengarah dan juga pelakon.
Bukan tamak sebaliknya peluang diberikan oleh penerbit yang lain perlu dimanfaatkan sebaiknya apatah lagi Ain salah seorang produser Star Scope Productions Sdn Bhd perlu turun padang bagi memastikan filem sulung mereka berhasil.
"Saya akui sangat mencabar apabila menggalas tiga tanggungjawab serentak, namun saya bersyukur segala-galanya berjalan lancar dari awal prapenerbitan sehinggalah filem ini selesai disiapkan.
"Saya melakukannya satu persatu, sebelum penggambaran bermula saya fokus dalam penerbitan dan ketika mengarah saya fokus terhadap pengarahan, apabila perlu berlakon pembantu pengarah dan pengarah fotografi menggantikan tempat saya untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
"Alhamdulillah saya mendapat kerjasama yang baik daripada semua justeru sepanjang penggambaran filem ini saya tidak pernah merasa putus asa walaupun kadangkala letih kerana perlu menggalas tiga tanggungjawab dalam waktu serentak," katanya.
Ain adalah pelajar Diploma Seni Layar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) pernah membabitkan diri sebagai pelakon melalui filem Suatu Malam Kubur Berasap, Lu Pikirlah Sendiri dan Jidin Sengal.
Shuib tunggu anak kedua
Dalam kesibukannya menerima pelbagai tawaran berlakon, suami kepada penyanyi handalan Siti Sarah ini turut berdebar menanti saat menimang cahaya mata kedua mereka yang dijangka dilahirkan bulan ini.
"Sarah bakal bersalin pada bila-bila masa dan mungkin bayi yang bakal lahir ini perempuan namun saya tidak kisah soal itu yang penting kedua-dua mereka selamat.
"Alhamdulillah saya juga bersyukur rezeki semakin mencurah-curah apatah lagi sejak mula menceburi perniagaan dobi, jiwa saya semakin cenderung dalam bidang perniagaan.
"Apa yang saya lakukan ini sebagai persediaan, manalah tahu suatu hari nanti jika saya kurang mendapat tawaran berlakon sekurang-kurangnya saya sudah membuat persediaan.
"Bidang perniagaan inilah yang akan saya teruskan bersama-sama isteri dan insya-Allah saya juga sedang dalam usaha untuk menghasilkan produk kesihatan tidak lama lagi," katanya yang menghantar isteri berpantang di rumah mentuanya di Kuala Selangor.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/03