Khamis, 21 Mac 2013

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Mangkuk RM7 juta

Posted:

New York: Sebiji mangkuk yang dibeli dengan harga kurang AS$3 (RM9) dilelong pada harga AS$2.23 juta (RM6.69 juta) di Sotheby, semalam.

Mangkuk kecil China itu yang dikenali sebagai 'Ding' berusia 1,000 tahun dan dibuat ketika pemerintahan dinasti Song yang mentadbir China dari 960 hingga 1279.


Satu-satunya mangkuk serupa dari zaman itu yang diketahui wujud dipamerkan di Muzium Britain sejak 60 tahun lalu.

Selepas membeli dengan hanya beberapa dolar, pembelinya mempamerkan mangkuk itu di ruang tamu rumahnya.


Apabila menyedari keistimewaan mangkuk itu dan nilainya baru-baru ini, dia membawanya ke pakar.


Sotheby menganggarkan mangkuk itu akan dijual antara RM600,000 hingga RM900,000. Bagaimanapun, dua pembida bersaing sengit untuk memilikinya dan akhirnya, peniaga seni terkenal di London, Giuseppe Eshenazi memperolehnya dengan harga RM6.69 juta. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Sumbat kokain dalam perut anjing

Posted:

Rome: Satu sindiket dadah antarabangsa dilapor memaksa anjing menelan bungkusan mengandungi kokain dan kemudian membunuh haiwan itu untuk mengeluarkan dadah berkenaan.

Polis berkata, mereka menangkap 75 orang di utara Itali dan Rome kerana menggunakan anjing untuk menyeludup dadah. Sekurang-kurangnya 50 haiwan berkenaan mati dikelar untuk mengeluarkan kokain itu.


Anjing berbadan besar seperti Great Dane, Labrador dan Mastiff digunakan oleh kumpulan itu untuk memaksimumkan kegiatan penyeludupan mereka.

Anjing itu dipaksa menelan bungkusan mengandungi sehingga 2.8 paun kokain, lapor agensi berita Itali, Ansa.


Apabila mahu mengeluarkan dadah berkenaan, mereka membunuh dan mengelar anjing itu. Bagaimanapun, setakat ini, tidak dapat dipastikan bagaimana anjing itu dipaksa menelan bungkusan sebesar itu.


Suspek adalah sebahagian anggota kumpulan yang ada hubungan dengan kartel dadah Amerika Selatan.

Mereka berdepan dengan tuduhan jenayah, menyeludup dadah dan memiliki senjata secara haram, lapor Ansa.


Orang yang menjadi keldai dadah biasanya menelan bungkusan bahan itu secara berhati-hati atau melekatkannya pada tubuh mereka bagi mengelak daripada dikesan pengawal keselamatan lapangan terbang atau di sempadan.

Kerap berlaku keldai dadah itu mati selepas bungkusan dadah berkenaan bocor dalam perut mereka.


Ini bukan kali pertama anjing digunakan sebagai keldai dadah. Beberapa tahun lalu, seekor anjing diterbangkan dari Colombia ke New York dengan kokain dijahit dalam perutnya.


Pegawai kastam berkata, anjing itu membawa 10 kondom berisi kokain dalam perutnya sebagai cara untuk menyeludup dadah ke Amerika Syarikat.


Pegawai yang mengesyaki sesuatu mengarahkan anjing itu menjalani pemeriksaan sinar-X selepas menyedari anjing itu tidak sihat.


Mereka kemudian mengesan kondom itu yang menyebabkan jangkitan kepada anjing berkenaan hingga ia tidak berselera makan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Yakin bangkit

Posted:

Kuala Lumpur: Meskipun prestasi semasa jentera Mercedes AMG Petronas dilihat gagal bersaing dengan pasukan elit lain, prinsipal pasukan Ross Brawn tetap optimis kedua-dua pemandunya mampu menyambar enam petak teratas pada sesi kelayakan, Sabtu ini.

Saingan di Australia minggu lalu menyaksikan kedua-dua jentera Mercedes itu mempamerkan prestasi kurang memuaskan dengan bekas juara dunia Lewis Hamilton sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima manakala Nico Rosberg lebih malang gagal menamatkan perlumbaan.


Bagaimanapun, kedua-dua pemandu bermula baik apabila Hamilton menyambar petak ketiga dan Rosberg, keenam pada sesi kelayakan.

"Saya akui di Australia kami tidak begitu kompetitif apabila berdepan masalah strategi pit stop manakala Rosberg lebih malang kerana jenteranya mengalami masalah teknikal.


"Saya rasa tidak banyak bezanya dengan cabaran di Sepang hujung minggu ini.


"Cuaca di sini amat sukar diramal tapi jika kami dapat mengatasi semua masalah pada sesi latihan dan kelayakan, kedua-dua jentera akan lebih kompetitif pada perlumbaan sebenar, Ahad ini," katanya.

Foto

AKSI Hamilton (kiri) di Litar Albert Park, Australia, minggu lalu.

Brawn berkata, Mercedes perlu mendapatkan keputusan lebih baik di Sepang kerana selain beraksi di halaman sendiri, keputusan positif kedua-dua jentera membenarkan mekanik mencari jalan penyelesaian untuk meningkatkan prestasi enjin pada perlumbaan akan datang. "Terdapat sedikit jurang antara catatan masa kami dengan beberapa pasukan elit. Sebab itu kami perlu mendapatkan keputusan lebih meyakinkan di Sepang.


"Yang penting perlumbaan sebenar. Tayar, pit stop, cuaca semuanya memainkan peranan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Ruang pelajar pamer kebolehan

Posted:

Kuantan: Seramai 30 peserta terpilih mengikuti bengkel sukan petanque sempena Karnival Kokurikulum Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Semambu, Kuantan, baru-baru ini.

Mereka membabitkan pelajar dan kakitangan POLISAS yang sebelum ini mendapat pendedahan awal menerusi program pembangunan sukan.


Bengkel sehari itu mendapat sentuhan jurulatih Ibrahim Huri dan dibantu dua pemain petanque negara, Noor Musfirah Jefri dan Mohd Intidzam Mohd Noor yang juga pelajar POLISAS.

Selain bengkel petanque turut diadakan pertandingan bola sepak sembilan sepasukan, bola jaring dan bola tampar.


Pengarah Program Mat Roof Jalil berkata, karnival itu yang julung kali diadakan bertujuan menarik minat golongan pelajar terbabit dalam aktiviti sukan.


Menurutnya, dengan adanya program seperti itu pelajar turut berpeluang mempamerkan kebolehan serta kemahiran dalam acara sukan diminati seterusnya terpilih mewakili POLISAS.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini mewajibkan setiap Politeknik berusaha mencatat kejayaan dalam bidang akademik dan sukan dalam usaha meletakkan mereka di kedudukan lebih baik. "Antara usaha dilakukan, termasuk mengadakan karnival kokurikulum membabitkan aktiviti sukan dan bengkel," katanya yang akan mewajibkan semua pelajar POLISAS terbabit dalam sukan.


Beliau berkata, pencapaian membanggakan Noor Musfirah dan Mohd Intidzam yang mewakili Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2012 menjadi landasan kepada pengurusan POLISAS untuk terus berusaha menggilap kebolehan pelajar.

Mat Roof berkata, pihaknya akan terus berusaha mencungkil seterusnya menggilap bakat pemain dalam beberapa acara sukan seperti memanah dan petanque.


Sementara itu, Mohd Intidzam berazam untuk menarik minat lebih ramai pelajar POLISAS terbabit dalam acara petanque yang kini turut dipertandingkan di peringkat SUKMA dan Sukan SEA.


"Sukan petanque tidak memerlukan perbelanjaan tinggi berbanding sukan lain, ia sesuai untuk diceburi golongan pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21
Kredit: www.hmetro.com.my

Rabu, 20 Mac 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Serlah keayuan wajah pengantin

Posted:

Serlahan keanggunan mempelai Muslimah bukan saja kelihatan pada padanan busana mahupun tudung, lebih penting teknik solekan yang membuatkan penampilan tampak berseri dan hebat walau apa saja konsep digayakan.

Untuk pengantin bertudung, walaupun solekan menjadi lebih mudah disebabkan jurusolek tidak perlu membuat dandanan rambut, ia tetap perlu diberi perhatian kerana warna tudung atau selendang turut mempengaruhi rona alat solek digunakan.

Untuk lebih mudah, pilihan tudung daripada rona pastel seperti putih, krim, kelabu atau perak menjadi warna selamat yang tidak akan mempengaruhi solekan.

Menurut Nurin Adlina Basir daripada Nurin Makeover Kuala Lumpur, bagi menyesuaikan teknik solekan pengantin Muslimah, tema ­majlis perlu diberi perhatian sama ada untuk pertuna­ngan, pernikahan atau persandingan.

Foto

SAPUAN bedak asas bagi menutup cela dan bekas jerawat.

Foto

PILIH warna pembayang mata yang sesuai dengan tema majlis serta warna kulit mempelai.

Foto

PEMAKAIAN bulu mata palsu sangat perlu bagi memperlihatkan sisi berbeza.

Foto

SAPUAN maskara bagi menambah panjang bulu mata dan supaya bulu mata palsu tidak nampak berbeza.

Foto

PEMERAH pipi merah jambu untuk senyuman menawan.

Foto

GINCU dan pengilat bibir untuk bibir seksi menggoda.

Foto

ANGGUN menyerlah solekan moden untuk persandingan.


Walaupun cara solekan untuk majlis itu tidak ba­nyak beza, mengambil kira konsep dan tema mampu menjadikan mempelai bertambah anggun dan menawan bersesuaian dengan pakaian digayakan mereka.


"Jurusolek juga dapat memilih warna alat solek terutama pembayang mata kerana setiap acara memerlukan teknik solekan berbeza. Misalnya untuk pernikahan, solekan semula jadi dengan rona pastel mampu menambah seri manakala untuk persandingan, warna sedikit terang digunakan bagi mewujudkan kesegaran serta lain daripada yang lain," katanya.

Walau apa juga teknik digunakan tujuannya tetap sama iaitu ingin menyerlahkan keayuan, kelembutan dan keserasian wajah pengantin supaya tumpuan mata tetamu pastinya pada kejelitaan mempelai terutama ketika bersanding di atas pelamin.

"Pemilihan warna yang tidak sesuai dengan konsep perkahwinan juga warna kulit akan menyebabkan pe­ngantin kurang me­nyerlah, tampak lesu dan kurang bermaya. Sebaliknya padanan warna sesuai akan membangkitkan keindahan wajah sesuai dengan gelaran raja sehari," jelasnya.

Pada masa kini pengantin lebih me­nggemari solekan moden menerusi warna pastel yang menarik. Penggunaan rona gelap seperti coklat, kelabu dengan gabungan perak dan warna ceria ungu, biru atau merah jambu untuk pembayang mata akan menjadikan mata lebih bercahaya. Ini sesuai digayakan dengan ­busana daripada percikan rona malap seperti kelabu, coklat, perak atau keemasan bagi menyerlahkan kemewahan.

"Namun begitu gabungan rona pastel dan ceria pada mata sesuai untuk mereka yang memiliki kulit cerah dan sawo matang manakala bagi wanita berkulit hitam manis, penggunaan gaya smokey akan memberi lebih keindahan pada lirikan mata mempelai," ujarnya.

Selain pembayang mata, lakaran celak pada bahagian atas hujung kelopak mata amat penting bagi menampilkan sisi berbeza. Jika acara kasual hanya satu lapisan, untuk persandingan sebaiknya tampil sedikit gelap bagi menonjol­kan mata lebih galak.

Solekan pada bahagian mata akan lebih menyerlah dengan pemakaian bulu mata palsu yang dianggap penting dalam solekan pe­ngantin. Walaupun ada mempelai memiliki bulu mata yang panjang, lebat dan lentik, dengan penambahan bulu mata palsu wajah kelihatan jauh berbeza, seri lebih menyerlah malah akan membuatkan anda kelihatan lebih menonjol sebagai ratu sehari.

Selain mata, pilihan warna gincu bersama pengilat bibir menjadikan pakej solekan anda lengkap dan sempurna. Sebaiknya pilih rona selamat merah jambu cair atau kelihatan sedikit coklat kemudian lapiskan dengan pengilat bibir bagi menyerlahkan bibir yang seksi.

Nasihat Nurin, tidak semua mempelai sesuai mengenakan rona gincu terang seperti merah cili atau merah bata kerana ia akan membuatkan penampilan bertambah garang.

"Untuk persandingan, jika tujuan asal adalah untuk memperlihatkan keanggunan mempelai sebaiknya pilihan gincu merah jambu sesuai untuk semua tema dan jenis kulit," ujarnya.

Panduan memilih gincu:

  • Cari warna gincu yang hampir sama atau semula jadi dengan bibir.
  • Bagi pemilik kulit ­cerah, pilih warna coklat muda dengan sedikit merah jambu. Gincu coklat jernih (madu) untuk nampak lebih semula jadi manakala coklat tua bagi menonjolkan karakter anda.
  • Bagi pemilik kulit sawo matang, pilih gincu warna coklat tua sekiranya anda ingin menonjolkan warna kulit, coklat kopi untuk kesan eksotik manakala coklat karamel untuk kesan semula jadi.
  • Bagi pemilik kulit putih kuning, pilih gincu coklat kemerahan untuk kesan lebih segar, merah hati untuk menampakkan anda lebih matang manakala coklat kemerahan untuk kesan menggoda.
  • Untuk siang hari, gunakan warna lebih muda, manakala malam pilih warna sedikit gelap.
  • Gincu padat atau berkrim sesuai digunakan pada siang hari manakala yang berkilat atau bersinar sesuai dipakai waktu malam untuk sebarang acara. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21
  • Cemuhan pelanggan penguat semangat

    Posted:

    Tidak memiliki tahap pendidikan tinggi bukan bererti sukar untuk mengembangkan keupayaan diri dan berjaya dalam hidup.

    Paling penting ialah kesungguhan dan memilih haluan bersesuaian dengan kemahiran dan kemampuan diri.

    Bagi pengasas N'dah Catering & Wedding Planner, Juraidah Asmoni, 40, atau lebih dikenali sebagai Ndah, dia ingin mencuba kelainan dalam sesuatu bidang demi mencari keserasian sekiranya bidang itu mahu diperluaskan lagi.

    Prinsip itu jugalah yang menjadi pegangannya untuk terus berjaya.


    Sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan makanan, dia pernah mengendalikan taman asuhan kanak-kanak pada 1986 yang kemudian ditutup selepas 11 tahun beroperasi.


    Mengenai perniagaan berasaskan makanan yang dimulakannya pada 1997 itu, Ndah berkata, situasi perniagaan katering kini berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan disebabkan permintaan yang memberangsangkan.

    Perkhidmatan itu dilihat sebagai satu keperluan terutama di kawasan bandar yang lebih gemar menyerahkan tugas menjamu tetamu kepada pihak katering.

    Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ramai yang menganggap amalan tradisi seperti rewang untuk majlis kenduri kahwin satu kemestian terutama bagi mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga.

    "Sebagai katerer atau jurusaji, perkara yang perlu dititikberatkan ialah kepuasan pelanggan.

    "Sekiranya apa yang dilakukan mendapat pujian, secara tidak langsung ia menjadi satu bentuk pemasaran," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Dewan Shah Alam, baru-baru ini.

    Mengimbas kembali ­pengalaman pada awal pembabitannya dalam perniagaan katering, dia akui pelbagai halangan ditempuhi untuk membolehkan ­perniagaannya dikenali ramai.

    Ketika itu untuk menjalankan aktiviti pemasaran, dia hanya menyediakan salinan risalah dan diedarkan sendiri sekitar Shah Alam.

    "Saya masih ingat ketika itu bulan Ramadan, saya dan suami serta jemaah lain mengerjakan solat Tarawih. Saya meminta anak yang masih kecil mengedarkan risalah dengan menyelitkan di bahagian pengelap cermin depan kereta.

    "Apabila penggera kereta berbunyi, mereka bertempiaran lari. Sejak itu, sedaya upaya saya cuba mengelakkan kejadian sebegitu. Memang peristiwa itu sukar dilupakan seumur hidup saya," katanya.

    Juraidah berkata, pada peringkat awal dia menjadikan rumahnya sebagai pusat operasi perniagaan­nya. Malah, setiap hidangan disediakan juga dimasak sendiri agar kualitinya sentiasa terjaga.

    "Selama empat tahun saya menggunakan rumah sebagai pejabat dan pada masa sama, ia mendekatkan saya dengan anak kerana mereka membesar di depan mata saya.

    "Saya tidak akan sesekali meninggalkan mereka sendirian di rumah walaupun rutin yang perlu dilakukan setiap hari amat sibuk. Jika saya terpaksa tidur
    dalam kereta, mereka juga berada di sisi saya," katanya.

    Walaupun terpaksa berdepan dengan kerenah orang yang pelbagai ragam, Ndah percaya kesabaran dalam melayani pelanggan pasti berbalas dengan keyakinan daripada mereka.

    Dalam satu penyediaan majlis tidak mungkin ia sempurna 100 peratus, tetapi dia cuba memastikan tidak ada sebarang masalah memudaratkan berlaku hingga menjejaskan nama baik perniagaannya.

    Namun pernah berlaku selepas menyiapkan semua kelengkapan majlis perkahwinan bertemakan ala taman, tiba-tiba sebelum majlis berlangsung hujan lebat menyebabkan kerusi, meja dan barangan lain dibasahi hujan.

    Kejadian sebegitu memang di luar kawalan tetapi dia tetap bersyukur akhirnya majlis berkenaan berjalan lancar, malah kesan visual yang dirakamkan selepas hujan itu amat mempesonakan.

    "Saya juga pernah diherdik dan dimarah sesuka hati oleh pela­nggan tetapi setiap ketidakpuasan hati mereka cuba diperbaiki walaupun ada ketikanya saya seakan-akan hilang semangat.

    "Saya tebalkan muka dan membiarkan saja kata-kata itu seolah-olah masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Namun saya tetap melakukan apa yang diamanahkan kepada saya sebaik mungkin," katanya.

    Kini dia bersyukur kerana berjaya menge­mbangkan perkhidmatannya ke peringkat lebih meluas dengan menyediakan dewan katering yang boleh disewa untuk penganjuran majlis perkahwinan.

    Bangunan dua ting­kat yang terletak di Jalan Ikhtisas 14/6, Pusat Bandar Shah Alam itu menyediakan segala kelengkapan dan keperluan lengkap majlis perkahwinan di bawah satu bumbung.

    Kerjasama yang diperoleh daripada mereka yang sentiasa bersamanya sejak awal pembabitannya sebagai katerer membuatkan dirinya yakin untuk meneruskan kerjayanya sebagai katerer serta cuba menyediakan perkhidmatan lebih bermutu.

    "Saya akan turun padang dan memastikan setiap bahan mentah digunakan berada pada tahap kualiti yang baik serta menyediakan sendiri hidangan yang dipilih pelanggan.

    "Melalui cara ini, saya mampu mengekalkan rasa dan memastikan sendiri makanan yang dihidangkan pada majlis itu tidak basi sebelum masanya," katanya.

    Selain itu, suaminya, Amran Musa, 44, adalah insan paling banyak mengkritik dan memberi sokongan kepadanya dalam mengembangkan perniagaan katering itu.

    Setiap teguran sentiasa tersemat di hati yang dijadikan panduan bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan ditawarkan kepada pela­nggan.

    "Saya tidak pernah berkecil hati dengan setiap teguran kerana yakin ia bertujuan meng­ingatkan saya untuk tidak mengulanginya semula pada masa depan.

    "Saya akan cuba mencari kelainan agar perkhidmatan sedia ada boleh dipertingkatkan dan pastinya kepuasan serta penerimaan pela­nggan menjadi keutamaan," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Seleweng diesel sejak 6 bulan lalu

    Posted:

    Klang: Sebuah premis tidak bernombor di Bandar Baru Klang, di sini, diserbu selepas didapati menjalankan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi sejak enam bulan lalu.

    Rahsia premis terbabit terbongkar selepas diserbu Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, jam 10.30 pagi kelmarin.


    Dalam serbuan itu, KPDNKK merampas 20,000 liter diesel termasuk dua mesin menyedut minyak dan 47 tangki plastik yang dianggarkan bernilai RM50, 000.

    Sindiket terbabit dikesan menjadi tempat menerima dan menjual semula diesel yang dibeli di stesen minyak sekitar Lembah Klang yang dijual mengikut harga subsidi sebelum dijual kepada pihak industri dengan harga lebih tinggi.


    Difahamkan, diesel bersubsidi dijual pada harga RM1.80 seliter, tetapi sindiket terbabit mengambil untung 'atas angin' dengan menjualnya semula kepada pihak industri di Selangor pada harga RM2.10 seliter.


    Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor Othman Nawang berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya menjalankan intipan sejak dua minggu lalu berdasarkan maklumat mengenai kegiatan penyeludupan diesel di premis terbabit.

    Foto

    OTHMAN memeriksa mesin menyedut minyak yang dirampas di Bandar Baru Klang, Klang, kelmarin.

    Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, premis terbabit berkunci dan anggota penguat kuasa memotong kunci pagar dan pekerja premis berkenaan sudah melarikan diri melalui pintu belakang premis.


    "Kami mengesyaki sindiket terbabit menggunakan lori tangki dan dipercayai membeli 12,000 liter hingga 20,000 liter sehari minyak diesel dari stesen minyak sekitar Lembah Klang," katanya, semalam. Menurutnya, sindiket terbabit turut menggunakan khidmat warga asing sebagai pekerja berdasarkan penemuan dokumen milik mereka yang ditinggalkan di kawasan premis itu.

    Othman berkata, kedudukan premis bersebelahan sekolah dan kuil boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai sekiranya berlaku kebakaran. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi individu, manakala bagi syarikat boleh didenda maksimum RM250,000.


    Dalam perkembangan lain, KPDNKK Selangor menyelesaikan 19 kes berkaitan penyelewengan bahan bersubsidi iaitu diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dengan nilai rampasan mencecah RM1 juta.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Lapan pengganas didakwa

    Posted:

    LAHAD DATU: Lapan daripada 108 pengganas didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

    Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 130 K(A) dan Seksyen 121 Kanun Keseksaan dan pendakwaan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

    Bagaimanapun, tiadak pengakuan direkodkan dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar dan Shukor Abu Bakar.

    Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada satu sidang akhbar di Felda Sahabat, pagi ini, mendakwa semua 108 disyaki pengganas itu akan didakwa.

    Foto

    ANGGOTA polis mengawal keadaan di Mahkamah Tawau. Lapan daripada 108 sudah didakwa. FOTO Mohd Radzi Bujang.


    Beliau berkata, IPD Lahad Datu dijadikan dijadikan mahkamah sementara atas faktor keselamatan.


    Selain itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dilihat tiba di IPD Lahad Datu, kira-kira 11.30 pagi tadi.

    Hakim Mahkamah Sesyen, Duncan Sikodol dari Mahkamah Kota Kinabalu serta M Raja Linggam dari Mahkamah Sesyen Lahad Datu juga berada di situ.

    Kesemua pengganas yang ditahan di beberapa daerah termasuk Lahad Datu dan Semporna didakwa mengikut akta itu berikutan disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas militan yang menceroboh Sabah sejak 12 Februari lalu.

    Difahamkan, kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau selepas ini.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

    Korban tiga sekawan

    Posted:

    SUNGAI SIPUT: Tiga daripada empat lelaki mati serta merta apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Batu 27 Kampung Setia, Salak Baru di sini, malam tadi.

    Dalam kejadian 8.30 malam itu, ketiga-tiga korban tersepit di tempat duduk masing-masing menyebabkan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mayat mereka.

    Seorang lagi penumpang sempat diselamatkan apabila pasukan Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dapat mengeluarkannya dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi rawatan kecederaan parah yang dialaminya.

    Harian Metro difahamkan, siasatan awal pihak berkuasa dipercayai kereta berkenaan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler.


    Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Sentiasa perbaiki diri

    Posted:

    Hampir dua tahun mengacarakan Nona sejak Januari 2012, pengacara popular Fara Fauzana mengakui jiwanya semakin sebati dengan program berkenan. Kata pemilik nama sebenar, Fara Fauzana Mohd Fadzil, 33, ini dia juga tiada masalah untuk mendapatkan keserasian dengan pengacara jelita yang digandingkan dengannya dalam Nona iaitu Nor Neelofa Mohd Noor (Lofa).

    "Saya tidak kisah pun jika orang nak bandingkan saya dengan Lofa ketika mengacarakan Nona kerana itu pandangan peribadi masing-masing. Ketika saya ambil alih program Melodi dulu pun, orang tetap bandingkan saya dengan pengacara sebelumnya.

    "Bagi saya ia asam garam dalam bidang hiburan tanah air. Apa yang penting, saya dan Lofa selesa untuk bekerjasama dalam memantapkan lagi Nona.

    "Saya juga mengacarakan Nona dengan cara sendiri. Ketika mula-mula mengendalikan Nona dulu, memang ada peminat yang berasa janggal dan komen suara saya 'kepit' dan 'control' ketika itu. Namun, masuk tahun kedua bersiaran, orang sudah boleh terima itu memang cara saya ketika mengacarakan Nona," katanya.

    Foto

    FARA sibuk melayan peminatnya di Rojak Box.

    Foto

    BAKAL bergandingan dengan Zizan sebagai hos ABPBH 2012.


    Justeru, apabila diminta mengulas gosip yang mendakwa, dirinya akan meninggalkan Nona tidak lama lagi, Fara menafikannya sama sekali.


    "Itu hanya spekulasi orang saja kerana saya tidak pernah dengar pun gosip sama ada saya atau Lofa akan meninggalkan Nona. Pada tahun pertama bersiaran dulu, memang saya mengacarakan program ini seorang saja dan Lofa hanya pengacara bersama kerana dia sibuk dengan penggambaran ketika itu.

    "Tapi, kami terus digandingkan sebagai hos bersama sekali gus dalam Nona pada tahun kedua bersiaran. Maklumlah, kontrak saya sebagai pengacara Nona masih berbaki tiga tahun lagi. Tapi saya tidak tahu pula berapa lama kontrak Lofa sebagai pengacara Nona kerana perkara itu di bawah pihak pengurusan Media Prima," katanya.

    Bagaimanapun, sebagai wajah baru dalam Nona, Fara mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memantapkan lagi Nona terutama dari aspek penampilannya.

    "Saya ingin memperbaiki dari aspek penampilan supaya ia nampak lebih sesuai untuk imej program Nona. Antaranya, dengan menghadiri kelas perunding imej anjuran personaliti terkenal, Sharifah Shawati. Berbanding pada kemunculan awal dalam Nona dulu, saya percaya banyak kekurangan dari segi penampilan di kaca TV sudahpun diperbaiki sekarang," katanya.

    Sepanjang mengendalikan Nona, Fara mengakui kredibilitinya sebagai pengacara sudahpun teruji ketika membuat liputan bersama Nona selama seminggu di bumi Gaza pada 28 Januari hingga 3 Februari lalu.

    "Saya menimba pengalaman cukup berharga dalam hidup ketika membuat liputan bersama kru Nona di sana. Antara yang sukar dilupakan ialah ketika berdepan dengan bahaya peluru sesat apabila terdengar bunyi tembakan di luar bilik Hotel Arcmed, Gaza tempat kami menginap pada hari terakhir kami di sana.

    "Sebagai wanita, hati siapa yang tidak tersentuh dengan nasib kanak-kanak yang tidak berdosa dan menjadi mangsa kekejaman di sana. Selain itu, saya juga terkejut kerana kanak-kanak di Gaza cukup bersopan santun dan tidak berebut pun untuk mengambil coklat diberikan kepada mereka ketika kunjungan kami ke kampung mereka," katanya.

    Fara ditemui pada majlis makan-makan bersama peminatnya dan pihak media di premis miliknya, Rojak Box yang beroperasi di KL Sentral, di sini, Jumaat lalu.

    Fara membuka perniagaan makanan itu lebih seminggu lalu bersama dua lagi rakan kongsi daripada Will Group Berhad iaitu Widayu Latiff, 35, dan Aliza Ali, 29.

    Mengulas pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012), penyampai radio Hot FM ini mengaku dia hanya serahkan kepada penilaian peminat nanti.

    Pada ABPBH2012, Fara tercalon dalam dua kategori iaitu Penyampai Radio Wanita Popular selama enam tahun berturut-turut dan Pengacara TV Wanita Popular buat kali kelapan.

    "Terus terang, saya tidak fikir soal menang atau kalah pada kedua-dua kategori dipertandingkan kali ini kerana fokus utama saya lebih pada persiapan sebagai hos dengan Zizan Razak. Maklumlah, ia kali pertama diberi kepercayaan mengendalikan ABPBH dengan Zizan.

    "Apa yang pasti, saya dan Zizan akan bekerjasama memberikan yang terbaik pada anugerah berprestij bertemakan ledakan geometri yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 7 April nanti," katanya.

    Fara sudah buat persiapan kahwin

    CERITA Fara dikatakan mula membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya turut menjadi bualan ramai, sekali gus mendapat tempat di laman sosial dan akhbar. Malah, kenyataan itu keluar daripada mulut Fara sendiri yang mengiyakan cerita berkenaan.

    "Saya memang seorang yang suka merancang termasuk berkaitan soal jodoh. Apatah lagi, usia pun sudah mencecah 33 tahun. Sebab itu, saya sudah mula membuat persediaan awal terutama kedai tempahan kad kahwin, pereka busana yang sesuai untuk majlis akad nikah dan bersanding, sekali gus butik yang sesuai untuk pelamin, bunga telur dan sebagainya lagi.

    "Justeru, jika ditakdirkan saya bertemu jodoh pada tempoh terdekat ini, saya tidaklah kelam-kabut pula nanti untuk membuat persiapan kahwin," katanya.

    Bagaimanapun, akui Fara yang sudah dua kali putus cinta, dia masih belum bertemu jejaka yang sesuai untuk dijadikan calon suaminya lagi.

    "Buat masa ini, saya memang ada 'berkawan' dengan lelaki tetapi belum ada yang serius lagi. Kriteria lelaki yang saya cari ialah yang beriman yang boleh membimbing menjadi isteri yang baik. Saya juga menyasarkan usia 35 tahun untuk berkahwin dan membina keluarga. Tapi soal jodoh, saya serahkan pada ketentuan Tuhan," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

    Jejak Bintang: Yana tak lupa diri

    Posted:

    Siri kedua Jejak Bintang semalam membawa pembaca mendekati sisi Yana sebagai gadis ala tomboi dan aktif dalam sukan. Juga, rakan sekolahnya Siti Solehah Noor Aziz Nud-din atau Sue, 29, memberitahu pemikiran Yana agak matang berbanding pelajar lain.

    Siri penutup ini membawa pembaca menyorot kembali saat pembabitan awal Yana dalam bidang seni. Bermula sebagai pe­nyanyi lagu runut bunyi filem terbitan MIG, Yana kini berjaya menempat­kan namanya sebagai pelakon wanita popular tanah air.

    Ikuti cerita Azmi Hassan atau lebih dikenali sebagai Amy Uk's kepada wartawan RAP. Dia adalah individu yang bertanggungjawab membawa masuk Yana dalam bidang seni. Ketika itu Amy bertanggungjawab mencari artis baru untuk syarikat rakaman Carrybase yang berpusat di Taman Maluri.

    Menurut Amy yang berasal dari Parit Sulong, setiap kali pulang ke kampung, dia mendengar cerita mengenai kehebatan seorang gadis yang berasal dari Yong Peng. Ini mendorong dia mencari siapakah gadis yang dimaksudkan.


    "Tak silap saya ketika itu sekitar 2001. Orang kampung bercerita mengenai gadis yang selalu menang pertandingan karaoke, tetapi mereka tak berapa kenal dia. Apabila rakan beritahu yang ayah gadis ini buka warung menjual makanan di stesen bas Yong Peng, saya segera menjejakinya di sana.


    "Rupanya orang memang kenal Yana kerana apabila ditanya pekedai di situ di mana gerai ayahnya, mereka terus menunjukkan gerai nombor satu paling hujung. Saya jumpa ibu bapanya dan beritahu hal sebenar. Awal­nya mereka takut dan tak yakin dengan saya.

    "Selepas puas meyakinkan mereka, barulah mereka percaya. Ketika itu Yana masih bersekolah dalam ting­katan empat jadi dia tiada di situ. Malamnya saya pergi ke rumah keluarganya pula untuk berjumpa Yana.

    "Buat kali pertama, saya lihat dia menyanyi depan saya dan mendapati suaranya boleh diketengahkan. Saya terus berikan dia satu lagu ciptaan saya berjudul Aku Pasrah untuk dinya­nyikan. Tujuannya, saya nak lihat bagaimana cara nya­nyian dia jika menyanyikan lagu sendiri," katanya.

    Amy memberikan tempoh seminggu buat Yana menghayati lagu itu. Apabila kembali bertemu Yana dan melihatnya menyampaikan lagu itu, dia terus terpikat dengan suara Yana dan mencadangkan membawanya menjadi artis rakaman Carrybase.

    "Kami bertolak dari Yong Peng ke Kuala Lumpur. Selain Yana, saya turut bawa kumpulan Princess untuk uji bakat. Malangnya Yana gagal dalam uji bakat ini kerana mungkin pengurusan melihat penampilannya tak seberapa. Maklumlah dia masih belajar ketika itu dan belum pandai bergaya.

    "Tak lama selepas itu saya berhenti daripada Carrybase dan me­nyertai MIG. Apabila bersama mereka, saya cadangkan kepada David Teo untuk mencari artis baru bagi me­nyanyikan lagu runut bunyi filem terbitannya.

    "Kebetulan ketika itu kami perlukan penyanyi untuk filem Mami Jarum. Lagunya sudah ada dan saya bagi Yana dengar dan berlatih. Apabila dia menyanyikannya, saya dapati suara­nya sedap.

    "Saya terus mengesyorkan untuk bawa dia jumpa David dan dia bersetuju. Awalnya David tak suka Yana kerana wajahnya nampak iras Cina. Sekali lagi, mungkin penampilannya kurang memikat hati David.

    "Namun, saya minta dia diberikan peluang merakam­kan lagu Mami Jarum. Sebaik mendengar lagu ini, David dan Profesor Madya A Razak Mohaideen (pengarah Mami Jarum) sukakannya dan bersetuju ambil lagu ini sebagai runut bunyi Mami Jarum.

    Peluangnya menyanyi terus cerah apabila filem ini disambung menggunakan judul Mami Jarum Junior," jelasnya.

    Dari situ, membuka jalan buat Amy menghasilkan album pertama Yana berjudul Yana Ceria. Ia memuatkan tujuh lagu ciptaan Amy sendiri serta masing-masing satu lagu ciptaan Ly, Edrie Hashim dan Norman Radzuan.

    "Antara lagu di dalamnya ialah Hingga Hujung Nyawa, Aku Pasrah, Go Away dan Ceria. Lagu Go Away diminati ramai hingga berjaya menduduki carta teratas stesen radio X Fresh (ketika itu) selama beberapa minggu.

    "Tak dinafikan lagu ba­nyak dimainkan di radio, tapi orang kurang kenal Yana. Jadi, dia kerap me­ngikuti rombongan pelakon yang mempromosikan filem-filem MIG yang ditayangkan di pawagam," katanya.

    Amy mengakui agak terkejut apabila Yana tiba-tiba bergelar pelakon sedang­kan awalnya dia begitu malu terutamanya ketika di atas pentas. Malah Yana sering mendapat teguran dan nasihatnya mengenai cara berkomunikasi dengan peminat.

    "Mungkin dia berasa kurang yakin dengan penam­pilannya ketika itu. Tapi Yana senang diajar dan mudah menerima teguran. Dalam banyak-banyak artis yang pernah saya didik, Yana langsung tak lupa diri. Dia orang yang mengenang budi dan menghormati setiap orang.

    "Selepas tamat tingkatan lima, Yana menyertai MIG sebagai kakitangan. Dia diajar buat suntingan filem. Gurunya ketika itu ialah Azahari Zain. Kami dapati dia sangat tekun dan pandai dalam kerjanya. Bagaimanapun tak lama selepas itu, dia meninggalkan MIG kerana sambung pelajaran di UiTM.

    "Dalam tempoh itu, saya dapati dia berjinak-jinak berlakon apabila berlakon watak tambahan menerusi filem Tujuh Perhentian, Main-Main Cinta dan ba­nyak lagi. Saya tengok lakonannya kaku dan sekali lagi menasihatkan dia supaya banyak merujuk kepada lakonan pelakon lain sebagai panduan.

    "Macam biasa dia terima teguran saya dengan baik dan sedikit demi sedikit belajar memperbaiki mutu lakonannya. Akhir­nya pada 2007 kami berpisah apabila saya membuat keputusan meletak jawatan daripada MIG.

    "Dia juga tak lupa merujuk kepada saya apabila dapat tawaran mengarah filem Selamat Pagi Cinta. Saya bangga kerana Yana akhirnya mencapai kejayaan. Itu yang saya hendakkan kerana kejayaan ini untuk dia juga.

    "Paling penting dia tak lupa diri kerana membantu keluarganya menjalani kehidupan yang lebih selesa. Hubungan kami sekarang macam saudara kerana setiap kali hari raya, kami akan berkunjung ke rumah satu sama lain," katanya.

    Yana pula memberitahu, dia belum berpuas hati dengan apa yang diperolehnya sekarang. Bermula dari bawah, segala pengalaman sudah ditempuhi­nya. Dia akan terus belajar pelbagai ilmu selagi hidupnya. Impiannya kini untuk bergelar pengarah yang berjaya.

    Segala perkembangan lanjut mengenai aktiviti dan karier Yana, boleh diikuti menerusi www.yanasamsudin.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Lindsay 'dikurung' 90 hari di pusat pemulihan

    Posted:

    Los Angeles: Aktres bermasalah, Lindsay Lohan semalam mengelak hukuman penjara, sebaliknya dikenakan hukuman menjalani pemulihan selama 90 hari di sebuah pusat terkurung.

    Hukuman itu adalah sebahagian daripada persetujuan rayuan yang diputuskan ketika perbicaraannya berkait dengan kes menipu polis hendak dimulakan.


    Selebriti berusia 26 tahun itu yang tiba di mahkamah sejam lewat, juga diletakkan di bawah perhatian mahkamah selama dua tahun selepas merayu tidak akan mencabar tuduhan berkait dengan kemalangan kereta di Santa Monica pada Jun 2012.

    "Di pusat pemulihan itu, anda tidak dibenarkan keluar. Anda perlu menghabiskan masa dengan menjalani program di pusat itu selama 90 hari sehingga tamat," kata Hakim Mahkamah Los Angeles, James Dabney.


    Masalah perundangan terbaru Lindsay itu berkait dengan kemalangan Jun lalu apabila kereta Porsche yang dipandunya melanggar sebuah trak.


    Lohan mulanya mendakwa bukan dia yang memandu kenderaan itu.

    Foto

    LINDSAY di mahkamah, semalam.

    Bagaimanapun, siasatan dijalankan menunjukkan Lindsay yang memandu kereta berkenaan.


    Pelakon itu dituduh menghalang polis menjalankan siasatan, memberi kenyataan palsu dan memandu secara cuai.

    Tuduhan itu bermakna dia melanggar syarat pengawasan yang dikenakan ke atasnya selepas dia didapati bersalah mencuri rantai pada 2011. - AFP

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

    Payudara terkoyak

    Posted:

    London: Walaupun menghabiskan wang sehingga £4,000 (RM18,888) untuk mencantikkan payudaranya, seorang wanita terpaksa berdepan dengan realiti menakutkan.

    Bagi Lauren Yardley, 25, ia memang pengalaman amat pahit apabila payudaranya tiba-tiba terkoyak dan menyebabkan implan yang dimasukkan ke situ terkeluar. Kata Lauren, pada awalnya dia mendapatkan khidmat pakar untuk membesarkan payudara daripada saiz A kepada DD.


    "Saya malu kerana dada saya seperti budak lelaki," katanya.

    Dua bulan selepas memperoleh saiz yang diidamkan, Lauren menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila payudara kanannya lebih besar berbanding kiri.


    Katanya, payudara itu juga lebih keras daripada sepatutnya.


    Keadaan itu, katanya, menyebabkan Lauren berasa tidak selesa.

    "Apabila dirujuk kepada doktor, saya diberitahu implan berkenaan tidak diterima badan dan pembedahan semula terpaksa dilakukan," katanya.


    Walaupun baru dua bulan, tisu di sekitar implan itu mengetat dan menolaknya ke luar melalui kesan jahitan di bahagian bawah payudara Lauren. Selepas diperiksa, doktor berkata, implan itu tidak boleh dimasukkan semula kerana tubuh Lauren perlukan masa untuk sembuh.

    Justeru, Lauren terpaksa hidup dengan payudaranya tidak seimbang selama enam bulan. Disebabkan malu, Lauren - berasal dari Coventry - menggunakan potongan daging ayam untuk dimasukkan ke colinya bagi menyeimbangkan payudara berkenaan sementara menunggu waktu dibedah semula. Hasil pengalaman pahit dan menyakitkan itu, Lauren menasihati wanita lain supaya lebih berhati-hati.


    "Saya sendiri tak percaya apabila implan itu mula keluar sedikit demi sedikit dari payudara," katanya. Ketika diperiksa, doktor sendiri mengakui tidak pernah melihat insiden itu berlaku.


    Bagaimanapun, Lauren bersyukur kerana keadaan masih boleh diselamatkan.


    "Perkara paling menakutkan ialah apabila saya hanya mempunyai satu payudara selama tujuh bulan," katanya. - The Sun

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved