Jika segelintir artis lain berehat pada Ramadan, pelakon filem Appalam, Raja Ilya Raja Mohamed pula terpaksa berkampung di lokasi penggambaran selama sebulan sepanjang bulan yang mulia ini.
Semuanya kerana dia terbabit dengan penggambaran drama bersiri genre sains fiksyen sebanyak 13 episod berjudul Adi dan Meon arahan Murali Abdullah. Raja Ilya juga diberi kepercayaan beraksi watak utama dalam cerita drama bersiri berkenaan.
Bagi Raja Ilya, 28, itulah rezekinya pada bulan Ramadan tahun ini.
"Saya baru saja kembali menyemarakkan bidang hiburan tanah air selepas setahun menyepi sebelum ini. Syukur kepada Tuhan sebab rezeki dalam bidang seni tidak pernah putus sampai sekarang.
"Sebenarnya, tawaran berlakon itu saya terima sejak Januari lagi. Setiap tawaran yang datang adalah rezeki yang sukar ditolak terutamanya pada bulan yang penuh berkat ini.
"Mungkin ia rezeki selepas saya putus tunang. Terus terang, saya selesa dengan status solo sekarang dan belum terfikir soal pengganti," katanya.
Pelakon yang turut dikenali dengan 'watak hitam' drama bersiri Kemana Hilangnya Juwita, Epilog Cinta Kirana dan Dahlia yang bersiaran di Astro ini mengakui sesibuk manapun dengan aktiviti seni dia tetap pastikan dapat berbuka puasa dengan ibunya di rumah.
"Pada Ramadan tahun lalu, saya tidak dapat berbuka puasa dengan keluarga pada hari pertama puasa kerana terikat dengan kerja.
"Justeru, pada Ramadan kali ini saya tidak ingin lepaskan peluang keemasan berbuka puasa dengan ibu di rumah pada hari pertama kita berpuasa sebelum ke lokasi penggambaran. Selepas berbuka, saya dan ibu akan menunaikan solat terawih di masjid Puchong yang berhampiran kediaman kami," katanya.
Berkongsi juadah kegemaran ketika berbuka, kata Raja Ilya, sudah pasti kuih talam yang juga 'air tangan' ibunya sendiri.
"Selain kuih tradisi keluarganya itu, air tebu juga adalah minuman wajib yang mesti ada ketika kami sekeluarga berbuka di rumah," katanya.
Kata Raja Ilya, dia juga tidak sabar untuk berbuka puasa dengan bapa dan adik beradik tirinya di Ipoh, Perak.
"Suasana berbuka puasa dengan keluarga sebelah bapa sangat meriah kerana pelbagai juadah lazat yang terhidang di meja.
Bayangkan, minuman saja sudah ada pelbagai jenis dan ia tidak termasuk lauk pauk dan kuih yang penuh di meja," katanya.
Bagaimanapun, kata Raja Ilya, dia juga seronok dapat berbuka puasa di lokasi penggambaran bersama barisan pelakon dan kru terbabit.
"Memang berbeza suasana berbuka di lokasi tapi ia tidak menjadi masalah kerana produksi memang memperuntukkan waktu 'break' untuk berbuka dan solat sebelum penggambaran disambung semula," katanya.
Raja Ilya ditemui di sesi fotografi bersama empat selebriti keturunan India yang popular dalam industri hiburan India tempatan iaitu Jasmine Michael, Pearlija Jraj, Kristina Vinokree dan Anu Ramamoorthy dalam satu acara ringkas dan glamor dengan busana rekaan pereka terkenal Albert King yang berlangsung di Rafflesia The Pearl Centre, Hotel Park Royal, Jalan Bukit Bintang di sini, baru-baru ini.
Drama terbaru lakonannya ialah drama bersiri 13 episod Dendam Terindah arahan Fairuz Loy bergandingan selaku teraju utama dengan Erry Putra.
Selepas watak pembantu yang 'daring' dalam filem Pilot Cafe arahan Osman Ali, dia bakal beraksi dalam filem Bangladeshia arahan pengarah Namewee. Terdahulu, dia turut berlakon watak pembantu dalam drama Aku Bukan Malaikat arahan Erma Fatima.
Beralih sambutan Syawal tahun ini pula, kata Raja Ilya, dia akan meraikannya bersama bapa dan adik beradik tirinya di Ipoh.
Raja Ilya impi cipta nama sampai ke Hollywood
Tidak dapat dinafikan, Raja Ilya yang popular dengan watak Anjali dalam drama bersiri popular Anjali serta pernah menggenggam trofi Aktres Terbaik di festival filem di Selatan India antara pelakon yang menjadi rebutan produser dan pengarah drama serta filem tanah air ketika ini. Justeru, tidak hairanlah, tawaran berlakon tidak pernah putus diterimanya ketika ini.
Namun, pelakon berdarah kacukan Melayu-Malayalam-Arab dan Pakistan serta mampu menguasai empat bahasa ini bukan saja ingin dikenali di sini sebaliknya impiannya untuk menempa nama di peringkat antarabangsa.
Buat permulaan, saya ingin menggilap bakat lakonan di negara sendiri sebelum mengembangkan bakat ke luar negara pula.
Sebagai anak tempatan, pasti saya ingin dikenali di negara sendiri dulu sekali gus memartabatkan bidang seni tempatan," katanya.
Lebih memberansangkan, Raja Ilya bakal beraksi dalam filem Kollywood berjudul Briyani arahan pengarah filem India terkenal Venkent Prabhu yang membabitkan penggambaran di Madras, India pada penghujung Ramadan ini.
"Saya ditawarkan watak pembantu yang tidak kurang pentingnya dalam filem ini.
Filem yang membabitkan penggambaran selama lima bulan ini turut dibintangi bintang terkenal Bollywood. Namun, saya hanya terbabit selama tujuh hari saja penggambaran di sana.
"Saya harap tawaran berlakon di Kollywood membuka peluang yang lebih luas untuk saya mencipta nama di luar negara termasuk mencari peluang ke Hollywood pula satu hari nanti," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/10