Khamis, 11 April 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Tumpu aspek fizikal

Posted: 10 Apr 2013 03:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Rashid Sidek menegaskan penekanan latihan akan lebih kepada menyediakan fizikal pemain yang lebih kuat dan tahan beraksi dalam tempoh lama, selepas menyaksikan aksi pemain muda China di Terbuka Australia minggu lalu.

"Saya bersama Hendrawan sudah berbincang dan kami dapati, ketahanan pemain muda China itu disebabkan persiapan fizikal yang amat baik," kata Rashid.


Katanya, pemain muda China yang dihantar menyertai kejohanan berstatus GP Emas itu, terutamanya Tian Houwei amat bersedia dari segi fizikal dan mental.

"Sepatutnya pemain kita menjalani latihan fizikal lebih berat di peringkat remaja, bagi membentuk asas kekuatan dalam diri pemain yang bakal membolehkan seseorang pemain badminton, bermain dalam tempoh panjang dengan daya tahan tinggi." Meskipun Rashid mempunyai andaian sebegitu, Institut Sukan Negara (ISN) sebelum ini pernah menafikan keperluan latihan membentuk kekuatan fizikal atlet di peringkat remaja kerana bimbang membantut pertumbuhan badan atlet badminton.


"Kami percayakan ISN dan akan terus bekerjasama dengan mereka. Buat masa ini, kami belum dapat menumpukan latihan kepada fizikal kerana banyak kejohanan terpaksa ditempuhi pemain.


"Begitupun latihan fokus kepada fizikal terutamanya bagi pemain pelapis elit dan membabitkan Liew Daren serta Chong Wei Feng akan dimulakan selepas GP Emas Terbuka Malaysia, Mei ini." Rashid mengaku terkejut dengan peningkatan mendadak Tian Houwei minggu lalu.

Foto

HOUWEI pamer peningkatan mendadak.

"Saya memang memantau pemain ini dan berdasarkan rekod penyertaan kejohanan antarabangsa tahun lalu, dia langsung tidak menunjukkan prestasi yang baik melainkan tewas di pusingan awal.


"Apa yang berlaku Sabtu lalu luar biasa. Dia cukup berani bermain rali dengan pemain hebat seperti Datuk Lee Chong Wei malah tidak menunjukkan tanda kepenatan." Tian Houwei bermain tiga set ketika menewaskan Mohd Arif Latif pada pusingan kedua dan Simon Santoso (Indonesia) pada pusingan ketiga, menang dua set ke atas Chong Wei Feng di suku akhir dan ketahanannya terbukti apabila menewaskan Chong Wei dalam pertarungan tiga set di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/11

Tingkat jati diri staf

Posted: 10 Apr 2013 03:27 PM PDT

Sintok: Pasukan Nurul Huda dinobat juara keseluruhan Kejohanan Sukan Staf Universiti Utara Malaysia (UUM) Kali Keenam 2013 di Stadium UUM, baru-baru ini.

Mereka mengumpul 347 mata diikuti pasukan Nicol David, 329 dan ketiga pasukan Jegathesan, 312.


Bagi acara trek dan padang, 100 meter lelaki dimenangi Syafullrizam Azizan dari pasukan Misbun Sidek manakala 100m wanita diungguli Farizana Mat Isa dari pasukan Mokhtar Dahari.

Acara 4x400m lelaki dimenangi kuartet pasukan Nurul Huda manakala wanita disandang pelari pasukan Nicol David. Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, kejohanan tahunan bermula 7 Februari hingga 8 April itu menyaksikan staf universiti dibahagikan kepada lima pasukan iaitu Nurul Huda, Mokhtar Dahari, Jegathesan, Misbun Sidek dan Nicol David.


Katanya, terdapat 19 acara sukan dipertandingkan antaranya bola tampar, tenis campuran, sepak takraw, bola jaring, bolasepak, boling padang berpasukan, memanah, karom campuran, ping pong campuran, badminton campuran, catur, tenpin bowling, futsal, golf, go-kart, merentas kampus, trek dan padang, hoki dan skuasy individu.


"Kejohanan tahunan ini adalah program mewujudkan jati diri di kalangan staf ketika bekerja selain mencungkil bakat terpendam," katanya.

Tambahnya lagi, kejohanan ini adalah persiapan awal kontinjen UUM menghadapi Kejohanan Sukan Badan Berkanun pada 24 Jun hingga 2 Julai ini di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Kejohanan Sukan Staf Antara IPTA ke-38.


Turut serta pada majlis penutup kejohanan itu adalah Prof Dr Zurni Omar (Nicol David), Prof Dr Ku Ruhana Ku Mahamud (Mokhtar Dahari), Prof Dr Dzulkhairi Md Dahalin (Jegathesan) dan Prof Dr Abdul Razak Yaakub (Misbun Sidek).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/11
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved