Khamis, 11 April 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Borak Lokasi: Lagu Aliff Aziz tonjol imej kota

Posted: 10 Apr 2013 08:58 PM PDT

Penghasilan sebuah klip video menuntut kreativiti yang sangat tinggi berikutan durasi pendek, sekali gus mengehadkan pembikinnya daripada memasukkan pelbagai elemen dalam kadar berlebihan.

Tentu bukannya mudah terutama bagi klip video lagu yang sarat dengan penceritaan, harus mempunyai jalan cerita kuat supaya mudah difahami penonton kelak.

Justeru, lari dari kebiasaan, pengarah yang bertanggungjawab melunaskan pembikinan video muzik terbaru penyanyi tinggi lampai, Aliff Aziz iaitu Dannyhan Miskam atau Danny, 25, menggunakan pendekatan filem pendek bagi menghidupkan video muzik terbabit.

Bukan semata-mata mahu 'lekat tampal' untuk menyiapkan video muzik berkenaan, dia sebalik­nya menitik beratkan setiap inci syot bagi mendapatkan visual terbaik mengikut papan cerita dibuat.


Bertemunya sewaktu penggambaran video muzik berjudul Hanya Lagu itu baru-baru ini, perkara utama yang mahu ditonjol­kannya adalah plot cerita berdasarkan lirik serta kefahaman terhadap kisah sebenar lagu itu sendiri.


"Cerita ini adalah sebuah kisah cinta yang mana saya memutuskan untuk menukar sudut penceritaannya dan memfokuskan kepada watak sebelah pihak. Memang luahan lagu ini adalah daripada watak Aliff sendiri, namun kali ini saya tonjolkan cerita daripada watak wanita dicintainya itu lakonan Amyra Rosli.

"Keberkesanan kisah antara mereka ini perlu ada jadi saya cipta jalan cerita yang mempunyai elemen 'putar-belit' supaya ia jadi lebih menarik. Saya mahukan penonton tertanya-tanya selain menonjolkan lagi kesan dramatik mengenai percintaan mereka," katanya.

Mengambil masa satu hari untuk menyelesaikan penggambaran di tiga lokasi sekitar ibu kota termasuklah Pasar Seni, Jalan Tun H S Lee serta bumbung Hotel Brisdale, Jalan Hussein berhampiran Chow Kit, cabaran terbesar adalah sewaktu babak di jalan raya.

Bertempat di tengah-tengah kesibukan Jalan Tun H S Lee, demi mendapat­kan hasil terbaik, Danny berkata, sebanyak enam syot dilakukan untuk babak berkenaan di samping halangan trafik.

"Sesuai dengan realistik cerita ini, saya memilih beberapa lokasi yang boleh disesuaikan dengan plot cerita serta sinematografi menarik. Di setiap lokasi ada sudut ceritanya masing-masing dan kemuncak pula kami lakukan menerusi babak di atas bumbung.

"Antara tiga lokasi itu, babak di jalan raya adalah yang paling mencabar kerana Amyra perlu keluar masuk dari sebuah teksi di tengah-tengah kesibukan trafik. Bayangkan saja kereta yang lalu-lalang sudah cukup mencabar, namun syukur ia berjalan lancar. Dibantu dengan cuaca baik, kami berjaya mendapatkan enam 'take' untuk memperkemas babak itu," katanya.

Dari sudut teknikal pula, penerbit bersama Astra Imelda Elizabeth Yapp, 25, berkata, sepanjang peng­gambaran mereka tidak berdepan masalah besar walaupun hanya bergantung kepada keadaan cuaca seratus-peratus.

Memikirkan faktor masa juga, produksi mengambil jalan mudah untuk memanfaatkan kecanggihan teknologi dengan hanya menggunakan satu kamera DSLR terbaru berdefinisi tinggi untuk setiap syot.

"Berbeza dengan penggambaran sebelum ini yang lebih banyak menggunakan kamera digital video (DVCAM), kami bereksperimen dengan kamera DSLR kerana ia ternyata lebih mudah dikendalikan, ringan dan mampu memberi kualiti sehebat DVCAM.

"Paling kami takutkan awalnya adalah ­penataan cahaya pada setiap syot itu sendiri kerana bergantung sepenuhnya kepada keadaan pencahayaan di setiap lokasi berkenaan. ­Bagaimanapun, ternyata segalanya berjalan lancar, cuaca pun sempurna dan kru produksi juga semuanya berseronok memainkan peranan masing-masing," katanya.

Guna ramai kru

Video muzik ini menggunakan khidmat kira-kira 50 kru serta pelakon tambahan, penggambaran terbabit adalah projek Aryuna Studio untuk Sony Music Malaysia.

Sementara itu, pemilik lagu Hanya Lagu ciptaan Zimi Sofazr berkenaan, Aliff mengakui gembira dengan penggambaran terbabit apatah lagi digandingkan dengan pendatang baru, Amyra.

Mengakui sangat kagum ­dengan prestasi pelakon muda itu, meskipun baru pertama kali berjumpa, namun Amyra berjaya menjayakan karakternya dengan baik.

"Saya boleh katakan penggambaran kali ini juga berjalan lancar kerana Amyra. Untuk menghayati karakter kena mengambil masa, namun apabila membabitkan babak bersama Amyra, terus jadi mudah kerana lakonannya memang hidup.

"Sejak awal pagi lagi dia sudah terpacak dan melakukan pelbagai babak. Jadi tiada sebab untuk saya mengeluh kepenatan kerana babak yang membabitkan dia lebih banyak berbanding saya," kata­nya sambil mengakui pe­ngalaman berlakon yang ditimba banyak membantu dalam penggambaran berkenaan.

Kini aktif berlakon, Aliff ­sebelum ini popular dengan lagu seperti Sayang-Sayang, Kalau Cinta dan Jangan Ganggu Pacarku. Manakala dalam lapangan lakonan, dia juga pernah membintangi drama termasuklah Antara Kita.

PROFIL PRODUKSI:

Syarikat Produksi: Aryuna Studio
Penerbit Eksekutif: Ayu Ramli
Penerbit Bersama: Astra Imelda
Pengarah: Dannyhan Miskam
Penolong Pengarah: Halimatun Sa'adiah
Pengarah Fotografi: Ezat Emir
Kru Teknikal: Meor, Eddy
Penyunting: Azhar Ismail, Fais Musa
Juru mekap: Atie Jengka
Penolong Produksi: Mohd Fikfri Kamsani, Hayatun Munirah, Mohd Faizul A Yanto
Pelakon: Aliff Aziz, Amyra Rosli

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Advertorial: Menghidupkan Kisah 'Oblivion'

Posted: 10 Apr 2013 03:52 PM PDT

Tidak dapat disangkal, antara daya penarik filem 'Oblivion' adalah barisan pelakonnya yang terdiri daripada Tom Cruise dan Morgan Freeman.

Kedua-duanya pelakon gred A yang sudah lama menghambakan diri kepada seni lakonan. Gandingan sulung mereka di layar perak semestinya sesuatu yang dinanti-nantikan.

Tatkala dimaklumkan pelakon veteran berkenaan telah menerima tawaran membawa watak Beech, pemimpin sekumpulan pejuang revolusi di Bumi, Cruise memberitahu: "Pada tahun 1990, kami berdua telah dicalonkan untuk Oscars. Saya untuk watak saya dalam 'Born on the Fourth of July dan dia untuk 'Driving Miss Daisy'.

"Saya begitu mengaguminya dan saya ingat lagi pada malam Oscars, saya memberitahunya saya meminati hasil kerjanya dan mencadangkan kami patut bekerjasama. Agak sedih ia telah mengambil masa bertahun lamanya untuk kami digandingkan tetapi saya gembira diberikan peluang ini. Dia seorang individu yang hebat dan pelakon yang luar biasa."


Freeman bila ditanya alasannya menerima projek ini menjawab, "Yang membezakan 'Oblivion' daripada filem-filem lain ialah kreativiti, kostum dan setnya. Ia seakan-akan sebuah dunianya tersendiri. Joe Kosinski (pengarah) seorang yang menitikberatkan kesempurnaan, dia tahu apa yang dia inginkan. Ini menjadikan pengalaman bekerja dengannya amat menyeronokkan."


'Oblivion' turut dibintangi Olga Kurylenko dan Andrea Riseborough. Ramai yang mungkin mengingati Kurylenko dari filem 'Quantum of Solace' sementara Riseborough mula mendapat perhatian melalui filem 'W.E.', arahan Madonna.

Menurut penerbit Peter Chernin, mereka mencari pelakon wanita yang mampu memenuhi keperluan emosi filem tersebut. Olga dikatakan telah memberi watak Julia Rusakova satu jiwa yang besar dan mendalam. Andrea pula bakat baru yang cukup bersemangat. Kedua-duanya begitu serasi dalam gandingan mereka dan membawa watak masing-masing ke satu tahap yang di luar jangkaan.

Untuk menghidupkan watak Julia, pihak produksi mencari seorang aktres yang tahan lasak seperti Cruise. Bukan sesuatu yang mudah, tapi Olga seorang yang berani mencuba apa saja.

"Jangan terlalu percaya dengan apa yang anda lihat di dalam filem ini. Kehadiran Julia di dalam hidup Jack Harper dan Victoria 'Vika' Olsen bukan saja menghancurkan kehidupan sempurna mereka tetapi juga membawa kepada pelbagai masalah. Keadaan menjadi huru-hara. Ditambah pula watak ini memerlukan saya melakukan pelbagai babak aksi yang belum pernah saya buat sebelum ini," kata Kurylenko.

Sebelum kedatangan Julia, hanya ada seorang wanita di sisi Jack, pembantunya Vika. Biarpun Jack berdepan dengan ketidapastian, Vika menasihatkannya supaya tidak mempersoalkan apa yang diketahui mereka sebaliknya menuruti sahaja.

"Jack dan Vika berada di satu titik dalam kehidupan mereka di mana masing-masing mempunyai keinginan berlainan. Vika seorang pengatur strategi yang hebat dan berjiwa positif namun tindakannya mungkin kelihatan sedikit radikal."

Membawa watak Sykes, orang kanan Beech adalah Nikolaj Coster-Waldau yang kian popular melalui wataknya dalam drama 'Game of Thrones'.

"Mereka yang terselamat dari peperangan dengan makhluk asing telah melalui kehidupan yang sukar dan perit. Keadaan telah merubahkan mereka, menjadikan 'Oblivion' sebuah kisah yang menarik," kata Coster-Waldau.

Karektor Sally, penyelia Jack dan Vika, dilakonkan Melissa Leo. Fokus Sally hanya pada menyiapkan tugasan yang diberikan, tak kira apa kos dan akibatnya.

"Joe (Kosinski) telah berjaya mengumpulkan bakat-bakat besar dari pelbagai bidang untuk mencipta sesuatu yang unik. Bila membaca skrip yang diberikan, saya dapat rasakan ini satu projek yang istimewa. Pada terasnya, 'Oblivion' sebuah kisah tentang cinta, tentang manusia."

'Oblivion' sudah berada di pawagam bermula hari ini.

VIDEO:

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/11
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved