Penghasilan sebuah klip video menuntut kreativiti yang sangat tinggi berikutan durasi pendek, sekali gus mengehadkan pembikinnya daripada memasukkan pelbagai elemen dalam kadar berlebihan.
Tentu bukannya mudah terutama bagi klip video lagu yang sarat dengan penceritaan, harus mempunyai jalan cerita kuat supaya mudah difahami penonton kelak.
Justeru, lari dari kebiasaan, pengarah yang bertanggungjawab melunaskan pembikinan video muzik terbaru penyanyi tinggi lampai, Aliff Aziz iaitu Dannyhan Miskam atau Danny, 25, menggunakan pendekatan filem pendek bagi menghidupkan video muzik terbabit.
Bukan semata-mata mahu 'lekat tampal' untuk menyiapkan video muzik berkenaan, dia sebaliknya menitik beratkan setiap inci syot bagi mendapatkan visual terbaik mengikut papan cerita dibuat.
Bertemunya sewaktu penggambaran video muzik berjudul Hanya Lagu itu baru-baru ini, perkara utama yang mahu ditonjolkannya adalah plot cerita berdasarkan lirik serta kefahaman terhadap kisah sebenar lagu itu sendiri.
"Cerita ini adalah sebuah kisah cinta yang mana saya memutuskan untuk menukar sudut penceritaannya dan memfokuskan kepada watak sebelah pihak. Memang luahan lagu ini adalah daripada watak Aliff sendiri, namun kali ini saya tonjolkan cerita daripada watak wanita dicintainya itu lakonan Amyra Rosli.
"Keberkesanan kisah antara mereka ini perlu ada jadi saya cipta jalan cerita yang mempunyai elemen 'putar-belit' supaya ia jadi lebih menarik. Saya mahukan penonton tertanya-tanya selain menonjolkan lagi kesan dramatik mengenai percintaan mereka," katanya.
Mengambil masa satu hari untuk menyelesaikan penggambaran di tiga lokasi sekitar ibu kota termasuklah Pasar Seni, Jalan Tun H S Lee serta bumbung Hotel Brisdale, Jalan Hussein berhampiran Chow Kit, cabaran terbesar adalah sewaktu babak di jalan raya.
Bertempat di tengah-tengah kesibukan Jalan Tun H S Lee, demi mendapatkan hasil terbaik, Danny berkata, sebanyak enam syot dilakukan untuk babak berkenaan di samping halangan trafik.
"Sesuai dengan realistik cerita ini, saya memilih beberapa lokasi yang boleh disesuaikan dengan plot cerita serta sinematografi menarik. Di setiap lokasi ada sudut ceritanya masing-masing dan kemuncak pula kami lakukan menerusi babak di atas bumbung.
"Antara tiga lokasi itu, babak di jalan raya adalah yang paling mencabar kerana Amyra perlu keluar masuk dari sebuah teksi di tengah-tengah kesibukan trafik. Bayangkan saja kereta yang lalu-lalang sudah cukup mencabar, namun syukur ia berjalan lancar. Dibantu dengan cuaca baik, kami berjaya mendapatkan enam 'take' untuk memperkemas babak itu," katanya.
Dari sudut teknikal pula, penerbit bersama Astra Imelda Elizabeth Yapp, 25, berkata, sepanjang penggambaran mereka tidak berdepan masalah besar walaupun hanya bergantung kepada keadaan cuaca seratus-peratus.
Memikirkan faktor masa juga, produksi mengambil jalan mudah untuk memanfaatkan kecanggihan teknologi dengan hanya menggunakan satu kamera DSLR terbaru berdefinisi tinggi untuk setiap syot.
"Berbeza dengan penggambaran sebelum ini yang lebih banyak menggunakan kamera digital video (DVCAM), kami bereksperimen dengan kamera DSLR kerana ia ternyata lebih mudah dikendalikan, ringan dan mampu memberi kualiti sehebat DVCAM.
"Paling kami takutkan awalnya adalah penataan cahaya pada setiap syot itu sendiri kerana bergantung sepenuhnya kepada keadaan pencahayaan di setiap lokasi berkenaan. Bagaimanapun, ternyata segalanya berjalan lancar, cuaca pun sempurna dan kru produksi juga semuanya berseronok memainkan peranan masing-masing," katanya.
Guna ramai kru
Video muzik ini menggunakan khidmat kira-kira 50 kru serta pelakon tambahan, penggambaran terbabit adalah projek Aryuna Studio untuk Sony Music Malaysia.
Sementara itu, pemilik lagu Hanya Lagu ciptaan Zimi Sofazr berkenaan, Aliff mengakui gembira dengan penggambaran terbabit apatah lagi digandingkan dengan pendatang baru, Amyra.
Mengakui sangat kagum dengan prestasi pelakon muda itu, meskipun baru pertama kali berjumpa, namun Amyra berjaya menjayakan karakternya dengan baik.
"Saya boleh katakan penggambaran kali ini juga berjalan lancar kerana Amyra. Untuk menghayati karakter kena mengambil masa, namun apabila membabitkan babak bersama Amyra, terus jadi mudah kerana lakonannya memang hidup.
"Sejak awal pagi lagi dia sudah terpacak dan melakukan pelbagai babak. Jadi tiada sebab untuk saya mengeluh kepenatan kerana babak yang membabitkan dia lebih banyak berbanding saya," katanya sambil mengakui pengalaman berlakon yang ditimba banyak membantu dalam penggambaran berkenaan.
Kini aktif berlakon, Aliff sebelum ini popular dengan lagu seperti Sayang-Sayang, Kalau Cinta dan Jangan Ganggu Pacarku. Manakala dalam lapangan lakonan, dia juga pernah membintangi drama termasuklah Antara Kita.
PROFIL PRODUKSI:
Syarikat Produksi: Aryuna Studio
Penerbit Eksekutif: Ayu Ramli
Penerbit Bersama: Astra Imelda
Pengarah: Dannyhan Miskam
Penolong Pengarah: Halimatun Sa'adiah
Pengarah Fotografi: Ezat Emir
Kru Teknikal: Meor, Eddy
Penyunting: Azhar Ismail, Fais Musa
Juru mekap: Atie Jengka
Penolong Produksi: Mohd Fikfri Kamsani, Hayatun Munirah, Mohd Faizul A Yanto
Pelakon: Aliff Aziz, Amyra Rosli
Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10