Barangkali ramai yang menganggap pembikinan klip video terbaru bintang yang digilap daripada Akademi Fantasia musim ketujuh, Akim berjudul Menunggu menceritakan kisah cintanya sendiri. Malah, tidak kurang juga mengaitkan lagu itu ditujukan pada penyanyi popular Stacy yang hangat digosipkan dengannya serta masih diperkatakan orang ketika ini.
Namun, pemilik nama sebenar, Afiq Hakim Ahmad, 22, ini menafikannya sama sekali. Hakikatnya, lagu Menunggu yang mendapat sentuhan pengarah, Ghaz Abu Bakar ini bercorak ketuhanan dan ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW yang sememangnya sangat dekat dalam diri kita.
"Menunggu ini mempunyai maksud yang sangat luas dan terpulanglah kepada tafsiran masing-masing. Secara peribadi, saya pula tujukan lagu ini khusus kepada Rasulullah SAW kerana dapat inspirasi buat lagu ini daripadanya. Semuanya itu juga datang secara tiba-tiba.
"Bagi saya, menunggu ini bermaksud kita semua menunggu untuk dihisab dan mendapatkan pertolongan daripadanya di Padang Mahsyar kelak," katanya.

Afiq Hakim Ahmad
Mengenai proses pembikinan klip muzik video Menunggu itu, Akim berkata, ia membabitkan tempoh singkat iaitu selama tiga hari saja. Proses keseluruhannya membabitkan suntingan iaitu dalam masa sebulan.
"Saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja Ghaz yang berjaya mempersembahkan sebuah muzik video yang hebat dan menampilkan kelainan berbanding muzik video sebelum ini. Ghaz juga amat terbuka dan memberi peluang pada saya melontarkan idea untuk pembikinan muzik video Menunggu yang juga lagu ciptaan sendiri.
"Lagu dan muzik video ini bakal menarik perhatian peminat seperti lagu Inilah Cinta yang menjadi runut bunyi untuk kempen aiskrim Cornetto pada 2010 dan 2011," katanya.
Akim ditemui pada majlis pelancaran muzik video terbarunya, Menunggu yang berlangsung di Redbox, The Garden, Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini hadir sama Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-kanak Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin serta pengarah muzik video Ghaz Abu Bakar.
Ditanya pemilihan Stacy untuk berduet menerusi lagu Kembali pula, kata Akim, dia memilih penyanyi popular itu kerana 'tone' suaranya yang bagus, sekali gus tersenarai antara penyanyi wanita terbaik di negara ini.
"Selain Stacy, saya juga pilih Fiq Mentor untuk berduet dengan saya dalam satu lagi lagu. Saya juga menafikan lagu duet dengan Stacy berjudul Kembali dikatakan ada persamaan dengan lagu dendangan Melly Goeslaw seperti didakwa segelintir pihak itu," katanya.
Mengulas lanjut album penuhnya itu, kata Akim, ia mendapat sambutan ramai sejak dilancarkan pada Jun tahun lalu. Album itu memuatkan 10 lagu iaitu tujuh lagu baru. Selain Menunggu, sembilan lagu lain iaitu Inilah Cinta, Daya Cinta, Bengang, Mesti Ada Cinta, Tentang Dia, Janji, Yang Nyata, Dunia & Syurga dan kembali.
"Menerusi album ini, tiga lagu single popular dibawakan kembali dalam bentuk akustik. Paling menarik, empat daripada 10 lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah ciptaan saya sendiri. Dua lagu yang ditulis pula mendapat sentuhan komposer terkenal tanah air seperti Audi Mok, Kunci Demak dan Omar K," katanya.
Akim rindu berlakon
Selepas filem Hoore! Hoore!, nama Akim seakan-akan menyepi daripada bidang lakonan. Secara peribadi, Akim yang juga duta Hotlink mengakui dia berasa sangat teruja hendak kembali menyemarakkan bidang lakonan yang turut diminatinya.
Terbaru, Akim bakal berlakon dalam drama bersiri 13 episod, Kampung Girl yang diadaptasi daripada novel popular untuk Slot Lestary di TV3.
"Ada juga yang bertanya kenapa saya yang dipilih berlakon dalam drama ini dan bukannya artis lain. Saya difahamkan, novel ini rata-rata peminatnya adalah remaja dan pemilihan saya dikatakan paling sesuai selaku teraju utama.
"Saya memang teruja nak berlakon semula kerana rindu dengan bidang lakonan. Namun, menyanyi tetap nombor satu kerana ia beri kepuasan dalam diri.
"Lakonan juga banyak membantu dalam bidang nyanyian sebagai 'feel' dan persiapan lagu. Saya juga belajar sesuatu yang baru dalam bidang lakonan," katanya yang turut berlakon dalam telemovie 2 Dalam 1, persembahan untuk akustik raya dan rancangan Fear Factor Selebriti Malaysia.
Tidak lengkap jika tidak berkongsi sisi peribadinya yang sering menjadi perbualan ramai. Bagaimanapun, kata Akim, dia juga mempunyai sasaran usia tertentu untuk menamatkan zaman bujang.
"Usia paling sesuai adalah 25 tahun atau sebelum mencecah 30 tahun. Saya tidak fikir sangat soal kahwin. Apa yang penting, saya ingin mengejar impian dalam karier seni terlebih dulu. Impian saya yang belum tercapai untuk bergelar komposer yang berjaya satu hari nanti.
"Buat masa ini, saya belum ada keyakinan buat lagu untuk artis lain. Saya hanya yakin buat lagu untuk diri sendiri. Ada juga beberapa orang yang minta lagu, tapi saya memang susah nak bagi lagu pada orang," katanya.
Diminta komen mengenai hubungannya dengan Stacy pula, kata Akim, mereka masih berkawan baik sampai sekarang.
"Saya berasa bosan kerana orang asyik bertanya soalan yang sama. Sedangkan saya ingin menonjolkan karier seni. Namun, untuk menuju ke arah yang lebih daripada itu, belum lagi.
"Memang saya ada letak sasaran tertentu untuk berkahwin, tapi kita hanya mampu merancang kerana semuanya kententuan Tuhan. Buat masa ini, kami sama-sama memberikan yang terbaik dalam karier seni dan meningkatkan lagi prestasi sedia ada," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/12