Isnin, 6 Jun 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tak lena bimbang tanah runtuh

Posted: 05 Jun 2011 11:19 AM PDT

SEPANG: "Saya tidak tidur nyenyak kerana setiap hari bimbang tanah runtuh yang boleh berlaku sekelip mata," kata Mohammad Yong Salleh, 50, mengenai kebimbangan berlaku tanah runtuh dari bukit di sebelah Pangsapuri E-Mas Villa, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Pengurusan Bersama pangsapuri berkenaan berkata, ancaman yang menunggu saat dan ketika itu sangat membimbangkan penduduk sehingga mengganggu keselesaan kehidupan harian.


Menurutnya, pihak berkuasa pula tidak mengambil tindakan berkesan untuk merungkaikan masalah terbabit ditambah keadaan cuaca kebelakangan ini tidak menentu membuatkan penduduk bertambah bimbang.

"Sejak batu kecil di kawasan bukit ini jatuh awal Januari lalu, boleh dikatakan setiap hari kami bimbang kerana bukit berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari kawasan pangsapuri. "Jadi, kini setiap hari kami melakukan pemantauan bagi mengelakkan menjadi mangsa kejadian buruk itu," katanya ketika ditemui, semalam.


Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan berbukit itu sudah terhakis dan ada kesan runtuhan kecil sebelum ini. Disebabkan kejadian itu penduduk memasang pita amaran berwarna kuning di satu kawasan berdekatan bukit dan tempat letak kereta.


Sementara itu, satu lagi pita kuning didapati pada satu penjuru lain dipasang Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) supaya semua pihak berwaspada dan tidak mendekati kawasan berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sahabat sejati sehidup semati

Posted: 05 Jun 2011 11:17 AM PDT

KAJANG: Sumpah sehidup semati dua rakan baik menjadi kenyataan apabila mereka ditemui mati lemas bersama dalam sebuah lombong di Kampung Baru Balakong, di sini, kelmarin.

Difahamkan, Shahrul Azwan Mohammad Tajuddin, dan rakannya, Mohd Hafiz Norazman, kedua-duanya berusia 21 tahun, yang bersahabat sejak 14 tahun lalu pernah bersumpah untuk sehidup semati disebabkan terlalu akrab selain sentiasa meluangkan masa bersama bagaikan saudara kandung.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kedua-dua sahabat baik itu pergi ke lombong terbabit bersama seorang adik dan dua lagi rakan berusia awal 20-an untuk memancing.

Adik Shahrul Azwan, Amir Fikri, 19, berkata sebaik tiba di lombong berkenaan, mereka mula memancing.


"Bagaimanapun, seorang daripada kami iaitu Wan, 20-an mengajak kami mandi bersamanya.


"Selepas menanggalkan baju, Wan terjun ke dalam lombong berkenaan sebelum diikuti abang saya (Shahrul Azwan)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rakan, Sungai Long, di sini, semalam.

Menurut Amir Fikri, abangnya menjerit meminta pertolongan dan memberitahu dia seperti disedut ke dalam lombong itu.


"Saya lihat dia terkapai-kapai manakala Wan berenang ke tebing dan bergegas naik. Tersentak dengan kejadian itu, Mohd Hafiz terjun ke dalam lombong berkenaan untuk menyelamatkan abang.

"Bagaimanapun, usahanya sia-sia apabila dia menerima nasib sama. Ketika itu, kami cuba menyelamatkan mereka dengan menghulurkan kayu, namun belum pun sempat mencapainya, kedua-dua mereka hilang daripada pandangan," katanya.


Sehubungan itu, Amir Fikri menghubungi polis meminta bantuan sebelum usaha mencari mereka dilakukan sepasukan anggota yang dikejarkan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kajang.


Selepas lima jam operasi mencari dan menyelamat dilakukan, Shahrul Azwan ditemui di dasar lombong berkenaan manakala Mohd Hafiz dijumpai 30 minit kemudian kira-kira lima meter dari mayat rakannya itu.


Mayat kedua-dua sahabat baik itu dibawa ke Hospital Serdang (HS) untuk bedah siasat sebelum jenazah mereka dituntut keluarga masing-masing.


Amir Fikri berkata, abangnya dan Mohd Hafiz pernah bersumpah sehidup semati dan dia tidak menyangka perkara itu menjadi kenyataan.


Ibu Shahrul Azwan, Murdianah Abdul Rahman, 44, dan ibu Mohd Hafiz, Saadiah Misbah, 40-an, mengakui kedua-dua anak mereka itu terlalu akrab.


"Kami tidak sangka yang keakraban mereka itu sehingga ke akhir hayat," kata Murdianah.


Murdianah berkata, Shahrul Azwan ada menunjukkan tanda pelik sebelum kejadian apabila tiga hari sebelum itu anaknya itu bersungguh-sungguh untuk menunaikan solat di masjid sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian.


"Kami sekeluarga pasrah dengan ketentuan ini," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan dan memberitahu kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Usah lekas jatuh hukum

Posted: 05 Jun 2011 07:48 AM PDT

ZAHIRIL...usah lekas menjatuhkan hukuman atau menabur persepsi.
ZAHIRIL...usah lekas menjatuhkan hukuman atau menabur persepsi.

BIAR setinggi mana mesej yang ingin dipaparkan, drama siri Juvana tidak terlepas daripada stigma kolot dan diselar kononnya bagai menyebar persepsi negatif.

Semuanya kerana siri ini bersandar pada kisah golongan remaja yang terjerat dengan seribu satu masalah sosial hingga ditempatkan di sebuah institusi Juvana. Begitu juga plot ceritanya mencerminkan aksi ganas hingga menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

Entah fakta mana yang dilihat serta perspektif apa yang dinilai, masih ada suara nakal menyifatkan drama terbitan Filmscape ini sengaja memaparkan segala macam jenis kejahatan remaja dan bimbang ia akan dijadikan contoh buruk buat penonton khususnya golongan remaja.

Bagaimanapun, barisan pelakon siri ini menyangkal persepsi sebegitu dan menyifatkan apa yang dipersembahkan adalah simbolik sesebuah jalan cerita dan waktu sama, masih sarat dengan mesej dan pengajaran di sebaliknya.


Lihat saja pelakon utamanya, Zahiril Azhim yang melakonkan watak Daim Yahya, meskipun mengangkat karakter remaja bermasalah yang terjerat dengan kesalahan membunuh, apa yang lebih ingin disampaikan adalah keinsafan dan pengajaran kemudiannya.


Kata Zahiril, perjalanan Daim perit kerana terpaksa merempuh detik itu di pusat pemulihan akhlak atas tuduhan yang bukan dilakukannya.

"Usah lekas menjatuhkan hukuman atau menabur persepsi. Jika diperhati dengan teliti dan tidak ketinggalan mengikuti plot ceritanya, Juvana hanya menjadikan semua aksi ganas atau perihal nakal remaja itu sekadar warna pada jalan kisahnya dan bukannya untuk menunjukkan nilai keganasan apatah lagi menyuntik aspek negatif kepada penonton.

"Jujurnya, saya melihat Juvana adalah drama siri yang memaparkan nilai realistik kepada penonton baik pada skripnya, aksi dan gerak lakon mahupun visualnya.

"Ini satu perkembangan yang mencerminkan sudut positif dalam sesebuah penerbitan drama televisyen. Tidak hanya itu, sebagai seorang pelakon yang sudah terlebih dulu mendalami skrip serta garapan pengarahannya, saya sendiri kagum dengan mesej serta nilai murni yang cuba disulam sepanjang ceritanya.

"Lantas mengapa harus persoalkan pada luaran semata-mata dan sengaja memejamkan mata akan mesej positif yang ingin dikongsikan itu. Apa yang ingin dipersembahkan adalah sebentuk hiburan ringan namun sarat dengan pengajaran buat penonton," katanya.

Kronologi Juvana adalah berkisar kehidupan beberapa remaja yang terjerat dengan kesilapan lalu dan disumbatkan ke sekolah khas. Selain berdepan dengan konflik dan masalah sesama mereka, masing-masing sebenarnya menyembunyikan seribu satu kisah peribadi yang menjurus mereka hingga terpaksa gagal dalam percaturan hidup.

Drama 13 episod yang disiarkan di TV3 setiap Isnin, jam 9 malam sejak 25 April lalu, turut diterapkan elemen drama, permainan emosi dan pengertian hidup dengan lebih jelas dan rasional.

Mana tidaknya, mereka mula belajar sesuatu yang baru dan melalui pengalaman manis. Persahabatan, kasih sayang, dendam dan jiwa memberontak remaja disatukan dan diterjemah dengan kemas menerusi Juvana.

Selain Zahiril, Juvana turut membariskan wajah-wajah baru yang begitu berbakat dan berjaya mengikat perhatian penonton untuk setia menyaksikannya setiap minggu termasuk Johan As'ari, Syazwan Zulkifly, Wan Atiqa Farhana, Adam Shah, Khairul Mohamed, Syukri Yahaya, Riki Rikando, Idzham Ismail, Helmi dan Talha Harith.

Malah pelakon-pelakon popular turut tampil menguatkan lagi jalan ceritanya termasuk Bront Palarea, Izreen Azminda, Beto Khusairy dan bintang veteran, Kuswadinata.

Selepas enam episod ditayangkan, drama arahan Faisal Ishak ini sudah berjaya menghimpunkan hampir tiga juta penonton setiap episod. Malam ini, sekali lagi pergolakan mereka akan diteruskan untuk episod ketujuh.

Menyifatkan peluang melakonkan watak sebagai Botak bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Johan melihat Juvana akan meninggalkan impak tersendiri buat peminat drama televisyen selain memberikan sebuah dimensi baru dalam penerbitan drama tempatan.

"Pertama kali saya ke sesi uji bakat dan membaca skripnya sebaik diterima memegang watak Botak, saya sudah boleh membayangkan kelainan yang akan disuntik pada plot ceritanya.

"Malah seperkara yang saya lihat berbeza, Juvana begitu mementingkan pembangunan watak dan karakter. Setiap watak yang diwujudkan punya kekuatan tersendiri," katanya.

Lain bagi bintang baru berusia 24 tahun yang melakonkan watak Apek, Juvana benar-benar memberikannya satu perspektif baru dalam lapangan seni lakon yang ingin diperjuangkan.

Selain kagum dengan konsep dan idea asalnya, Syazwan turut berasa bertuah kerana akhirnya berpeluang melakonkan sesuatu yang tampak realistik dan boleh memberi pengajaran kepada penonton.

"Mesej yang diceritakan memang terlalu banyak namun semuanya diletak secara metafora dan penuh simbolik. Pengajaran terbuka luas daripada perjalanan hidup setiap satu wataknya terutama Daim yang begitu kuat melawan hakikat.

"Saya percaya dan yakin Juvana akan memberikan satu pengalaman baru tidak hanya kepada kami barisan pelakonnya, malah kepada penonton juga kerana jalan ceritanya yang jauh tersasar daripada kebanyakan drama televisyen lain," katanya.

Juvana kembali malam ini yang akan terus meninjau perjalanan Daim Yahya, remaja 17 tahun yang pendiam dituduh membunuh ibunya dan teman lelaki ibunya dalam meneruskan hidupnya di Sekolah Pemulihan Akhlak Wira Bakti.

Penghargaan: Unit Perhubungan Media TV3 (Firdaus Suleiman)
Lokasi: Kumpulan Prasarana (Terima kasih Hawa)
Pereka Grafik: Mohd Hariz Rani

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jambu terus gah

Posted: 05 Jun 2011 07:40 AM PDT

PENAMPILAN gaya dua rockers yang kurang upaya mengadakan konsert, berjaya menambat hati ribuan penonton dan panel juri apabila Pusat Sukan Arena Antarabangsa (PISA) Pulau Pinang bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh lebih 10,000 penonton.

Itulah kelebihan dimiliki Jambu yang dianggotai Yusry Edoo dan Zamaratul Amri Zakaria (Taukeh) apabila Maharaja Lawak minggu ke-10 yang diadakan di lokasi jelajah di Pulau Mutiara, mendapat sambutan.

Tugasan selama tujuh minit yang diberikan untuk membuat persembahan, digunakan sebaik mungkin di samping jenaka yang bersahaja membuatkan penonton tidak kering gusi.

Sebelum persembahan dimulakan, jumlah peratusan undi mereka amat berbeza apabila Jambu hanya mendapat kedudukan keempat dengan 19 mata manakala peserta lain, Jozan (29 peratus) diikuti Sepah (27), Nabil (21) dan R2 hanya lima peratus.


Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk Jambu cepat melatah dan hilang semangat sebaliknya terus melakukan usaha terbaik dan akhirnya berjaya apabila selepas persembahan, kedudukan Jambu berubah secara mendadak serta merampas kedudukan Jozan, Sepah dan mengungguli tempat teratas serta mendapat pujian juri profesional.


Jambu memperoleh 59 peratus diikuti Sepah dan Jozan (55), Nabil (50) dan R2 (33 peratus), membuatkan Jozan, Nabil dan R2 berada pada kedudukan tiga kumpulan mendapat undian paling rendah. Ketiga-tiga mereka perlu bekerja keras untuk memastikan tidak tersingkir walaupun minggu ini tiada sebarang penyingkiran.

Juri profesional terdiri daripada Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek, memberikan pelbagai komen termasuk menegur persembahan Nabil yang kurang mantap seperti kehilangan punca, begitu juga R2.

Persembahan minggu ke-10 dilihat agak menarik dan setiap peserta menampilkan gaya serta kehidupan gender manusia seperti lelaki lembut, wanita mengandung, tukang gunting dan budak gemuk.

Bagi Yus, walaupun Jambu diberi pujian mereka tetap merendah diri. Katanya, mereka tekankan 'punch line' yang dilakukan setiap 15 saat secara bergilir-gilir.

"Apa yang kami harapkan, penonton dan peminat terhibur kerana kami akan senantiasa menampilkan kelainan untuk setiap tugasan supaya meninggalkan kenangan seperti lawak jenaka pada minggu-minggu sebelumnya.

"Saya amat berterima kasih kepada Saiful Apek kerana memberi pandangan positif apabila memuji usaha menggambarkan dua rockers yang kurang upaya sehingga mengamit sorakan dan tepukan penonton.

"Biarpun memuji setiap minggu persembahan yang konsisten, beliau sempat berpesan agar tidak terlalu selesa kerana untuk menjadi juara, perlu kekalkan prestasi yang baik," katanya.

Bagi Nabil, teguran diberikan Mamat Khalid diambilnya dengan tangan terbuka kerana dia beraksi secara berseorangan dan mengaku punch line kurang selain menekankan elemen nasihat dan teguran.

Baginya, dia tidak langsung memandang rendah golongan berbadan besar kerana ianya adalah gurauan semata-mata, namun percaya apa yang berlaku disebabkan tumpuan dan fokus secara tiba-tiba hilang.

"Sekiranya minggu ini saya tersingkir, pastinya ramai yang terkejut. Bagaimanapun, sedia menerimanya dengan rasa terbuka biarpun sebelum ini setiap minggu menerima pujian juri.

"Suka atau tidak, bukannya masalah dan menyerahkan kepada peminat untuk menilai serta memohon keberkatan Allah SWT," katanya.

Sementara itu, pasangan adik-beradik yang kembali beraksi di pentas Maharaja Lawak melalui undian masuk, R2 melahirkan rasa kecewa terutama Ridhzuan apabila gugup melihat penonton yang ramai.

Ridhzuan berkata, dia seperti tidak menyangka kehadiran penonton yang ramai membuatkan punch line yang dilakukan seolah-olah hilang. Namun sokongan abang, Rahim membuatkan dirinya tabah menghadapi.

"Apa yang penting, R2 akan berusaha sedaya upaya walaupun berada pada kedudukan terbawah dan mengharapkan sokongan peminat agar terus mengundi R2," katanya.

Bagi Ketua Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, dia melahirkan rasa terharu dengan sambutan luar jangkaan penonton apabila lokasi pertama di PISA, berjalan lancar.

Katanya, walaupun mereka terpaksa berbaris panjang mengambil pas percuma yang diberikan selama dua hari, objektif Astro memberi penghargaan kepada penonton tercapai.

"Ini jelas dilihat pada wajah penonton yang hadir tergambar kepuasan walaupun ada yang menyangka berlaku penyingkiran. Namun segalanya meleset dan semua peserta selamat.

"Penyingkiran tetap akan berlaku dan mungkin minggu depan atau minggu seterusnya kerana setiap minggu tetap ada kejutan. Saya mengharapkan sokongan penonton tidak akan terhenti begitu saja," katanya.

Lokasi seterusnya ke Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan Pahang, Jumaat ini dan lokasi terakhir di Dewan Tertutup Majlis Perbandaran Johor Bahru, 17 Jun depan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Bertelagah baki wang hantaran

Posted: 05 Jun 2011 12:17 PM PDT

KANGAR: "Maafkan sayang abang, abang sayang yang nak jadi wali itu tidak boleh terima abang lagi atas apa yang abang cakap keluarga sayang zalim."

Begitu antara kandungan SMS diterima jurujual kenderaan dikenali sebagai Aizat 37, daripada bakal isterinya menyebabkan majlis ijab kabul pasangan berkenaan yang sepatutnya diadakan kira-kira jam 10 pagi semalam, dibatalkan.

Semuanya berpunca daripada pertelagahan baki wang hantaran yang sepatutnya dipersetujui kedua-dua pihak dilangsaikan ketika majlis akad nikah semalam.

Justeru, Aizat yang berasa dirinya dipermainkan dan ditipu keluarga gadis berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kangar, kira-kira jam 10 pagi.


Aizat berkata, dia menerima SMS terbabit daripada bakal isterinya berusia 20 tahun yang dikenali sejak tiga bulan lalu jam 11.44 malam kelmarin iaitu 11 jam sebelum majlis akad nikah dijadual berlangsung di sebuah masjid di Simpang Empat, dekat sini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

‘Bulan maduku’

Posted: 05 Jun 2011 11:57 AM PDT

SEPANG: "Ini rezeki saya sekeluarga selepas bernikah kali keempat. Alhamdulillah, ia juga peluang kepada saya, isteri-isteri serta anak bercuti dan berkumpul beramai-ramai dalam satu keluarga besar," kata pelawak dan penyampai radio terkenal, Salih Yaccob, 48.

Beliau bersama empat isteri, Norlizah Mamat, 46, Norraha Hamat, 42, Norfara Wahida Sulaiman, 32, dan Samihah Sheikh Amy, 25, bersama tujuh anak berlepas ke Beijing, China, semalam untuk bercuti enam hari.


Percutian itu juga adalah pakej bulan madu kepada isteri keempatnya yang genap seminggu dinikahi di Masjid Jamek Bandar Kulaijaya, Johor, Isnin lalu.

Menurutnya, percutian bersama keluarga itu peluang yang dinanti-nantikan selama ini kerana jarang sekali dapat berkumpul bersama memandangkan masa lapang yang terhad.


"Sebelum ini kami memang sukar merancang percutian beramai-ramai kerana ada yang sibuk bekerja dan belajar serta tidak dapat memohon cuti bersama.


"Jadi, inilah peluang keemasan, malah rezeki kami sekeluarga lebih-lebih lagi apabila sudah bertambah ahli keluarga baru. "Kesempatan ini kami manfaatkan sebaik mungkin walaupun empat anak tak dapat menyertainya kerana bekerja dan belajar," katanya, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Percutian dianjurkan Asmadi Group Travel and Tours Sdn Bhd itu turut disertai 40 peminat dari Johor Bahru, Johor. Mereka berlepas ke negara tembok besar itu melalui pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) jam 9 pagi.


Salih berkata, percutian disertai bersama peminat itu menambahkan lagi suasana ceria selain mengeratkan hubungan sedia ada.

"Ia juga dapat mendekatkan diri saya dengan peminat di samping menghargai mereka yang sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya saya," katanya.


Mengulas mengenai kehidupannya sekarang, Salih berharap dapat menjalankan tugas selaku suami dan bapa serta memainkan peranan yang baik terhadap seisi keluarganya dengan lebih adil dan bertanggungjawab.


Katanya, beliau mahu memperbaiki dan mempertingkatkan semua aspek dalam kehidupan keluarga.


"Saya sudah pun menghadapi detik bersama keluarga besar ini setiap hari. Saya bersyukur dengan kehidupan sekarang dan berharap ia terus berjalan seperti biasa, malah bertambah baik lagi," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Lagi skandal seks Giggs terbongkar

Posted: 05 Jun 2011 09:34 AM PDT

RHODI.
RHODI.

LONDON: Bintang bola sepak Manchester United, Ryan Giggs mendapati dirinya menjadi tajuk akhbar sekali lagi, kali ini skandal seks dengan isteri adiknya.

Akhbar News of The World semalam melaporkan, Giggs menjalinkan hubungan dengan adik iparnya, Natasha, 28, selama lapan tahun.


Ekoran dakwaan hubungannya dengan bintang Big Brother, Imogen Thomas, dakwaan lebih banyak kecurangan Giggs pasti mengejutkan peminatnya.

Menurut akhbar berkenaan, jutawan bola sepak itu juga bermalam dengan Natasha, ejen hartanah pada 9 April lalu.


Tabloid itu juga mendakwa, Giggs berfoya-foya dengan Natasha tanpa pengetahuan Stacey, ketika isterinya itu hamil.


Bekas Personaliti Sukan BBC berusia 37 tahun itu dikatakan menghabiskan masa bersama-sama dengan adik iparnya di beberapa hotel selepas kali pertama bertemunya ketika wanita itu masih bujang pada 2003.

Seorang rakan memberitahu akhbar itu bahawa Natasha pernah berkata kepadanya: "Saya tahu ia salah. Ia adalah kecurangan paling teruk. Saya cuba menamatkan hubungan dengan Giggs tetapi ia seperti satu ketagihan. Apa saja yang dia cakap, saya akan ikut. Saya tidak mampu untuk berkata 'tidak.'" Menurut Natasha, hubungan yang terjalin itu adalah menurut syarat yang ditetapkan Giggs dan bintang bola sepak itu tidak pernah menyatakan cinta kepadanya.


"Giggs tidak pernah menyayangi saya. Ia semata-mata mengenai seks," kata rakan Natasha, memetik kata-kata wanita itu.

Giggs dikatakan berkenalan dengan Natasha lapan tahun lalu di kelab malam Sugar Lounge, Manchester ketika wanita itu masih berusia 20 tahun dan Giggs baru bertunang dengan Stacey.


Mereka mengadakan seks beberapa kali selepas itu.


Natasha kemudian berpacaran dengan adik Giggs, Rhodri pada 2003 sebelum mereka bertunang pada 2005.


Pada 2006, Natasha hamil ekoran hubungan dengan Rhodi. Tetapi dia masih menjalinkan hubungan dengan Giggs. Pada Jun 2008, khabar angin mengenai hubungan Giggs dengan Natasha tersebar tetapi tidak ada bukti menunjukkan ia benar. Rhodi dan Natasha akhirnya berkahwin pada 2010. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Rooney boleh jadi model syampu rambut: Rio Ferdinand

Posted: 05 Jun 2011 09:31 AM PDT

LONDON: Bintang bola sepak Manchester United dan England, Wayne Rooney (gambar) semalam mengesahkan dia menjalani rawatan pemindahan rambut. Rooney mengesahkan laporan yang tersiar dalam akhbar The Sun sebelum ini menerusi laman Twitternya.

"Saya ingin mengesahkan kepada pengikut saya bahawa saya menjalani rawatan rambut. "Kepala saya botak walaupun saya baru berusia 25 tahun. Setakat ini, saya berpuas hati dengan hasilnya. "Kepala saya masih calar dan bengkak sedikit selepas rawatan itu. Anda akan menjadi orang pertama melihatnya selepas ia pulih kelak.


"Ada sesiapa yang boleh mengesyorkan gel rambut yang baik. Haha! Saya menjalani rawatan itu di sebuah klinik di Harley Street," katanya dalam laman Twitternya.

Isterinya Coleen pula menulis: "Memang benar Rooney menjalani rawatan rambut. Keputusan dia. Bukan saya yang suruh. Semoga dia akan kelihatan hebat." Rakan sepasukannya, Rio Ferdinand menulis: "Anda akan menjadi model iklan syampu rambut tidak lama lagi. Semoga berjaya!" Rooney dipercayai berbelanja beribu-ribu pound untuk rawatan itu. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


ABY Team gegar Zon Timur

Posted: 05 Jun 2011 11:44 AM PDT

PASUKAN ABY Team muncul juara Terbuka Lelaki Karnival Futsal Harian Metro Zon Timur selepas menewaskan Gelombang B menerusi sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 pada perlawanan akhir yang cukup mendebarkan.

Bersaksikan hampir 5,000 penonton yang membanjiri venue pertandingan, Kuantan Futsal Center Bandar Indera Mahkota, Pahang, skuad dari Terengganu itu membuktikan kemantapan untuk membawa membawa pulang RM5,000 dan hadiah iringan lain manakala Gelombang B menerima RM3,000 selaku naib juara.


"Saya gembira dengan prestasi pada penyertaan petama kami sekali gus dapat bergelar juara," kata ketua pengurus pasukan Abu Bakar Yassin.

Dalam aksi final kategori wanita pula, BFC membuktikan kehebatan selepas menundukkan B'Dazzlerz sekali gus menerima hadiah utama RM3,500 manakala naib juara membawa pulang RM2,500.


BFC bagaimanapun menerima tentangan sengit sebelum berjaya bergelar juara Zon Timur dan melayakan diri untuk beraksi di Grand Final selepas tamatnya saingan empat zon.


Skuad OT Team pula mengungguli kategori Lelaki Bawah 17 tahun apabila mengatasi Impro Mahkota 1-0. Selaku juara, Wangi Batu Pahat menerima RM2,500 manakala naib juara, RM1,500.

Sebanyak 220 pasukan membabitkan 131 Terbuka Lelaki, 24 Terbuka Wanita dan 65 Lelaki Bawah 17 tahun beraksi di sirkit keempat Karnival Futsal Harian Metro dengan majoriti pasukan Timur mendominasi penyertaan yang bermula sejak Sabtu.


Daripada jumlah itu, lapan pasukan setiap kategori yang mara ke suku akhir layak bertanding di Grand Final, September depan dengan lokasinya akan diumumkan kelak.

Bagi yang pasukan yang gagal mereka masih berpeluang mencari slot 24 pasukan terakhir untuk ke ke Grand Final di Zon Tengah 2 yang akan berlangsung di Melaka pada 2-3 Julai.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Hadi tekad ratah Kijang

Posted: 05 Jun 2011 11:39 AM PDT

SELEPAS menyelamatkan reputasi dan maruah skuad kebangsaan daripada dicalar Hong Kong pada perlawanan persahabatan Jumaat lalu, penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya, sekali lagi mahu membuktikan kelibatnya cukup berbisa apabila turun menentang Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Abdul Hadi yang juga penjaring terbanyak Liga Super dengan 15 gol berkata, dia tidak rela berputih mata di gelanggang sendiri ketika perlawanan amat penting bagi memastikan Terengganu merampas kedudukan teratas liga.


"Selepas berjaya menyumbat gol penyamaan pasukan kebangsaan lebih-lebih lagi kali pertama dipanggil dalam skuad kebangsaan, saya bagaikan mendapat tonik baru menjelang pertemuan penting dengan Kelantan malam ini.

"Gol penyamaan itu diharap dapat menyuntik semangat saya dan rakan sepasukan untuk memburu kemenangan penting ini," katanya.


Pada perlawanan dengan Hong Kong Jumaat lalu, Abdul Hadi membuktikan dia layak membarisi skuad kebangsaan apabila menjaringkan gol penyamaan minit ke-72, enam minit selepas menggantikan Safee Sali. Penyerang berusia 26 tahun berasal dari Klang, Selangor itu berkata, perlawanan menentang Kelantan adalah penentu hala tuju skuad Terengganu sama ada mampu menjulang Liga Super atau sebaliknya kerana kedudukan mata sama, 47, cuma berbeza satu gol sahaja.


Selain itu, Abdul Hadi turut mengharapkan tiga lagi rakannya dalam skuad kebangsaan, Ismail Faruqi, Helmi Remeli dan Mohd Sharbinee Alawee memperagakan aksi mantap walaupun tanpa kelibat Ashaari Shamsuddin yang digantung satu perlawanan.

"Inilah masa terbaik bagi skuad Terengganu untuk mencatat kemenangan lebih-lebih lagi bermain di gelanggang sendiri dalam misi untuk merampas semula kedudukan tangga teratas liga," katanya.


Sementara itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, berkata ketajaman ledakan Abdul Hadi ketika mewakili skuad kebangsaan sekali lagi ditagih untuk mencipta kemenangan malam ini bersama gandingannya Abdul Manaf Mamat.

"Walaupun ketiadaan Mohd Ashaari sedikit dirasai, saya percaya gandingan Abdul Hadi dan Abdul Manaf dibantu pemain lain mampu memberi keceriaan kepada kem Terengganu dalam misi mencatat kemenangan untuk mencipta sejarah muncul juara Liga dengan baki tiga perlawanan lagi termasuk malam ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved