Khamis, 25 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pusat sembelih ayam masih tiada sijil halal

Posted: 24 Aug 2011 09:56 AM PDT

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah berulang kali diserbu pihak berkuasa dan diberi 'tarbiah', segelintir pemilik pusat pemprosesan ayam di beberapa pasar di sini, berdegil dan enggan membuat permohonan sijil halal.

Lebih membimbangkan apabila pelanggan pusat penyembelihan terbabit bukan saja di kalangan peniaga bukan Islam, malah dipercayai turut dibeli pemborong dan peniaga kecil yang beragama Islam.


Dalam pemeriksaan kira-kira jam 4 pagi semalam, di Pasar Borong Selayang dan Pasar Jinjang, di sini, yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati selain tidak mempunyai sijil halal, beberapa aspek penyembelihan turut diabaikan.

Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah, setiap ayam yang disembelih tidak dilakukan pemeriksaan, malah pisau yang digunakan pula tidak dibasuh setiap kali sembelihan.


"Sepatutnya setiap ayam yang disembelih perlu diperiksa untuk memastikan ia benar-benar disembelih dan sah mengikut hukum syarak.


"Malah, hanya dua tukang sembelih yang bekerja dalam dua jam bagi menyembelih 4,000 ayam," katanya yang turut serta operasi terbabit.

Menurut Jailani, tiga pusat penyembelihan yang diperiksa juga mengabaikan aspek kebersihan iaitu kotor dan menjijikkan apabila ayam mati dilonggokkan di atas lantai.


Bagaimanapun, beliau berkata, dua daripada tiga pusat penyembelihan itu menggunakan khidmat tukang sembelih yang bertauliah dan memiliki kad penyembelihan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi).

Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati ayam yang dibekalkan mereka tidak sihat dan mungkin berpenyakit berdasarkan bahagian yang lebam dan hitam.


"Permintaan tinggi ketika Ramadan dan menjelang Syawal menyebabkan pengusaha agresif menghabiskan stok ayam sehingga mengabaikan aspek pematuhan halal.


"Atas sebab itu, kami mahu menyedarkan masyarakat dan jabatan agama negeri membuat pemeriksaan dan memantau pusat penyembelihan ayam supaya penguasa yang memiliki sijil halal turut mengambil berat," katanya.


Operasi itu disertai pegawai Bahagian Pelesenan dan Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memastikan penguasa memiliki lesen sah dan mematuhi syarat.

Lain salah lain dibalas

Posted: 24 Aug 2011 09:33 AM PDT

GOMBAK: Seorang lelaki yang berang selepas dibelasah sekumpulan lelaki minggu lalu bertindak balas dengan membelasah seorang pelajar menggunakan topi keledar menyebabkan pelajar itu retak tangan kiri walaupun dia tidak terbabit serangan sebelum itu.

Dalam kejadian di Selayang kira-kira jam 1 tengah hari semalam, mangsa berusia 17 tahun yang tamat sesi persekolahan berjalan menuju pondok menunggu bas untuk pulang ke rumah.


Menurut sumber, selang beberapa minit kemudian datang seorang lelaki tidak dikenali berusia 20-an berbual-bual dengan mangsa.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa berbual sekejap sebelum lelaki itu ingin tahu tempat tinggal mangsa.


"Pelajar terbabit memberitahu dia tinggal di Taman Intan Baiduri dan sebaik mendengar jawapan mangsa, lelaki itu naik angin dan memukul badan mangsa dengan topi keledar," katanya.


Sumber berkata, mangsa yang terkejut dengan perbuatan suspek yang tiba-tiba bertukar ganas cuba mempertahan diri, namun gagal apabila lelaki itu bagaikan dirasuk membelasahnya bertubi-tubi.

"Selepas beberapa minit, lelaki itu berhenti dan memberitahu dia memukul mangsa kerana tidak berpuas hati sebelum ini dia menerima nasib sama apabila dipukul penduduk di kawasan tempat tinggal mangsa.


"Dia meninggalkan mangsa yang kesakitan dan beredar dari situ.

"Sebaik ditinggalkan, mangsa pergi ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum diberitahu tangan kirinya retak ketika menepis serangan suspek," katanya.


Mangsa membuat laporan di Balai Polis Selayang berhubung kejadian itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Ika mahu pergi jauh’

Posted: 24 Aug 2011 10:03 AM PDT

GEORGETOWN: Dia sudah didukung abangnya keluar dari rumah yang terbakar, namun tanpa diketahui apa sebabnya Zulaika Batriesya Mohamad Zafian berpatah masuk semula ke dalam rumah tanpa disedari anggota keluarga ketika keadaan kelam-kabut.

Akibatnya, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu rentung dalam kebakaran memusnahkan rumahnya dan lima kediaman lain di Kampung Sungai Nibong Kechil, Bayan Baru, di sini, kira-kira jam 5.30 pagi semalam.


Ibunya, Munirah Abdullah, 36, berkata Zulaika Batriesya atau lebih mesra dengan panggilan Ika sudah diselamatkan abangnya, Mohd Zulfikar, 15, yang mendukung adiknya yang tidur di ruang tamu dan membawanya keluar ke rumah jiran.

Bagaimanapun, katanya, mangsa yang menghidap sawan berpatah semula ke dalam rumahnya yang ketika itu dijilat api tanpa disedari ahli keluarga.


"Keadaan ketika itu kelam-kabut dan kami sekeluarga berkumpul di rumah jiran, tetapi terkejut apabila mendapati Ika tiada sebelum saya dan ahli keluarga lain mencarinya di sekitar kawasan rumah.


"Luluh hati apabila mendapat tahu mayat anak saya ditemui berhampiran rumah jiran yang hangus dalam kebakaran ini," katanya ketika ditemui di luar pekarangan bilik mayat Hospital Balik Pulau (HBP).

Menurutnya, walaupun sedih lebih-lebih lagi mengenangkan Aidilfitri bakal tiba, namun reda dengan pemergian anak ketiga daripada enam adik-beradik itu kerana percaya Allah lebih menyayanginya.


"Sepatutnya kami sekeluarga membeli pakaian raya esok (hari ini), namun takdir mengubah segala-galanya apabila Ika pergi terlebih dulu.

"Ika anak yang baik dan malam tadi kira-kira jam 12 tengah malam, saya bersama suami membawanya ke restoran berhampiran selepas dia memberitahu mahu makan roti canai makanan kegemarannya.


"Lebih menyedihkan, dia seolah-olah tidak sabar menyambut Aidilfitri dan bertanyakan kepada saya sama ada dia boleh menyambutnya esok selepas mendengar bunyi mercun malam tadi," katanya.


Munirah berkata, mangsa yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Baru sudah dua minggu tidak hadir ke sekolah kerana mengalami masalah kesihatan selain berubah sikap apabila lebih manja dengannya dan suami.


"Ika juga mengajak saya solat berjemaah malam tadi, namun saya memberitahunya saya uzur dan dia solat bersendirian walaupun kiblatnya tidak betul dan agak kelam-kabut.


"Selain itu, dia menyatakan mahu pergi jauh, namun kami tidak faham maksudnya...rupa-rupanya dia mahu meninggalkan kami selama-lamanya hari ini (semalam)," katanya.


Mohd Zulfikar yang juga anak sulung berkata, dia mulanya tercium bau asap sebelum mendengar bunyi letupan cermin.


"Ketika itu, saya berada di bilik tingkat atas dan menyedari rumah terbakar sebelum turun sambil menjerit memberitahu ahli keluarga lain.


"Saya mendukung Ika yang tidur di kusyen ruang tamu manakala ayah dan emak menyelamatkan adik-beradik lain," katanya.


Sementara itu, suasana di HBP semalam diselubungi rasa pilu sejurus ibu bapa mangsa tiba untuk membuat pengecaman.


Bapa mangsa, Mohd Zafian Zainol, 33, tidak dapat menahan kesedihan kerana arwah manja dengannya.


Beberapa ahli keluarga lain menziarahi mangsa dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Betong, Balik Pulau, kira-kira jam 3 petang semalam.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Rohizad Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan jam 6 pagi dan memadamkan api sepenuhnya jam 7.30 pagi.


"Operasi disertai lapan anggota dari Balai Bomba Bayan Baru dan 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak serta dua jentera bomba sukarela dan setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Pekerja penggal majikan

Posted: 24 Aug 2011 10:03 AM PDT

KUANTAN: Hanya kerana pertengkaran kecil yang dipercayai berpunca akibat salah faham, seorang doktor warga emas putus kepala akibat dipenggal dengan parang oleh pekerjanya sendiri dalam satu kejadian di sebuah kebun di Kampung Sertik, Bentong, malam kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Harjit Singh, 61, yang bertugas sebagai doktor secara kontrak di Penjara Bentong dikatakan sedang berehat di anjung rumahnya di kawasan kebun kira-kira 50 meter dari jalan di Kampung Sertik.

Mangsa dikunjungi lelaki warga asing berusia 31 tahun itu yang bekerja menjaga kebun miliknya untuk berbincang sesuatu, namun berlaku pertengkaran antara mereka.

Suspek dipercayai 'naik hantu' berikutan pertengkaran itu melibaskan parang yang dibawanya lalu mengenai leher Harjit menyebabkan kepala doktor itu putus dan meninggal dunia di tempat kejadian.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner, T Narenasegaran berkata, polis yang menerima laporan kejadian itu bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui mayat mangsa di atas kerusi di anjung rumahnya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Gaddafi akan dibicara di Libya

Posted: 24 Aug 2011 08:11 AM PDT

ROME: Libya akan mengadakan pilihan raya bebas dalam masa lapan bulan dan membicarakan Muammar Gaddafi di negara itu.

Pemimpin pemberontak, Mustafa Abdel Jalil berkata semalam, pihaknya tidak akan menyerahkan bekas pemimpin Libya itu kepada mahkamah antarabangsa.


"Kami akan mengadakan pilihan raya Parlimen dan presiden dalam masa lapan bulan," kata Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) itu.

Kumpulan berkenaan kini menguasai keseluruhan negara yang kaya dengan minyak itu kecuali beberapa kawasan kecil.


"Kami mahukan kerajaan demokratik dan perlembagaan yang adil.


"Lebih penting lagi, kami tidak mahu hidup dipencil masyarakat antarabangsa seperti yang berlaku sekarang," katanya kepada akhbar Itali, La Republica.

Kedudukan Gaddafi sehingga semalam masih tidak diketahui. Pemberontak menawan istananya di Tripolil. Mustafa berkata, bekas pemimpin itu dan orang kanannya perlu ditangkap dan dibicarakan di Libya.


"Era Gaddafi sudah berakhir meskipun kejatuhan sebenarnya hanya akan berlaku selepas dia ditangkap dan dihukum kerana jenayah yang dilakukannya," kata Mustafa.

Beliau berpendapat Gaddafi dan orang kanannya mesti dibicarakan secara adil dan ia mestika dilakukan di Libya.


"Untuk memastikan keadaan itu berlaku, kami perlu menangkap mereka hidup-hidup dan melayan mereka berbeza dengan layanan yang diberikannya kepada musuhnya.


"Beliau hanya akan kekal dalam ingatan kerana jenayahnya, kerana penangkapan dan pembunuhan musuh politik yang dilakukannya," kata Mustafa kepada La Republica.


Menteri Luar Itali, Franco Frattini sebelum ini berkata, Gaddafi perlu dibicarakan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda.


Selepas enam bulan kebangkitan menentang pemerintahan 42 tahun beliau, hanya beberapa kawasan kecil di Trtipoli masih dikuasai penyokong Gaddafi.


Mustafa berkata, tentera Gaddafi kini berundur ke kubu kuat mereka di bandar pelabuhan Sirte. - AP

30 wartawan terperangkap

Posted: 24 Aug 2011 08:08 AM PDT

TRIPOLI: Kira-kira 30 wartawan asing masih tidak dapat meninggalkan hotel di bandar raya ini, empat hari selepas terkepung ketika kumpulan pemberontak menawan ibu pejabat Muammar Gaddhafi tidak jauh dari situ.

Majoriti tentera Gaddafi yang mengawal di luar Hotel Rixos sudah meninggalkan pos masing-masing, selepas kumpulan pemberontak mendakwa menguasai sebahagian besar Tripoli.


Hanya segelintir lagi tentera Gaddafi yang berpakaian preman dan bersenjatakan raifal Kalashnikov masih berkawal. "Hotel itu dikepung tentera yang setia kepada Gaddafi yang menghalang wartawan daripada meninggalkannya, menurut badan pengawas kebebasan akhbar, Wartawan Tanpa Sempadan. - AP

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Pengalaman pertama sambut Aidilfitri

Posted: 24 Aug 2011 05:40 AM PDT

MELIHAT susuk tubuhnya dari belakang, tiada siapa menyangka wanita anggun ini sedang berbadan dua. Saat dia menoleh, pandangan mata bagaikan terpaku dan berbisik wajahnya sangat berseri-seri dan kelihatan susuk tubuhnya yang sedang hamil cahaya mata pertama.

Itulah pengacara E! News Asia, Marion Rose Caunter, 31.

Pemilihan Pengacara E! News Asia itu sebagai penghias muka depan RAP, hari ini sememangnya diatur tepat pada masanya. Ini kerana hajat mahu mencoretkan pengalaman pertama Marion menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai saudara baru akhirnya ditambah dengan berita gembira dia hamil lima bulan dan membuat pengumuman menerusi program E! News.

Ikutkan kemahuan hatinya dan suami, SM Nasarudin SM Nasimuddin, 27, yang dikahwini pada tanggal 17 Disember 2010, berita kehamilannya kalau boleh tidak mahu dihebahkan dulu kepada umum.


Namun, statusnya sebagai selebriti menghalang Marion daripada berbuat demikian apatah lagi kandungan yang sedang membesar itu tidak boleh lagi dilindungi.


Merahsiakan perkhabaran baik itu juga seolah-olah tidak mensyukuri kurniaan Yang Maha Esa malah pengacara yang membina nama menerusi program TV Quickie sebelum kemampuannya diuji mengendalikan Malaysian Idol 2 itu, akui teramat terharu dan sebak apabila menyedari dirinya sudah hamil.

Kata Marion yang sering melemparkan senyuman, naluri keibuan mula mengetuk pintu hatinya sejak dua tahun lalu.

"Saya berasa seronok setiap kali melihat wanita mengandung melintas di depan saya. Disebabkan itu, sebaik saja berkahwin saya terus mahukan zuriat. Saat ini sememangnya saya idamkan sebagai seorang wanita.

"Saya dan Nasa (suami) sudah lama bercinta. Bertuah dirasakan kerana dalam tempoh lima tahun kenal dan bercinta, kami berpeluang mengenali antara satu sama lain.

"Apabila berkahwin, kami terus buat keputusan untuk segera timang anak," katanya ketika memenuhi fotografi khas yang diadakan di penthouse dua tingkat Hotel Hilton, KL Sentral, Selasa lalu.

Mendapati dirinya berbadan dua pada Mac lalu, tiga bulan pertama mengandung Marion mengalami alahan yang sangat teruk sehingga tidak boleh makan dan minum.

"Kalau minum pun, saya selalu ambil minuman isotonik saja kerana ia ada sedikit garam. Biasanya orang mengandung akan 'morning sickness', sebaliknya saya kena pagi, siang, petang dan malam. Asyik muntah-muntah saja. Sampaikan satu ketika saya menjadi sangat lemah dan tidak bermaya sehingga disarankan berehat oleh doktor.

"Tiga bulan pertama mengandung saya jarang muncul di E! News kerana keadaan kesihatan membuatkan saya tidak berkemampuan untuk berjalan jauh. Sebagaimana diketahui umum rakaman program E! News berpangkalan di Singapura.

"Mujurlah pihak E! News memahami dan sewaktu berbincang masalah saya, mereka terus memberikan cuti. Disebabkan itu kebelakangan ini saya jarang muncul di E! News buat sementara.

"Bagi seorang yang aktif seperti saya, duduk di rumah tanpa bekerja atau keluar bercuti mula membuatkan saya rasa tertekan. Namun sebaik saja kandungan masuk usia empat bulan keadaan kembali normal.

"Selera juga bertukar daripada tidak boleh makan sekarang semua benda saya teringin nak makan! Pagi tadi tiba-tiba tekak saya terasa seperti mahu makan Blueberry Waffle," katanya disusuli tawa.

Memilih untuk mengikut saranan doktor, Marion tidak mengetepikan pesanan ibu kandung dan ibu mentuanya dalam memilih makanan berkhasiat.

Malah, dia menolak tertekan dengan perubahan bentuk badan yang sering kali dibimbangi kaum wanita kerana percaya dengan usaha serta amalan diet yang betul sesiapapun mampu kembali ke bentuk asal kelak.

Kegembiraan untuk menimang anak mengatasi segala-galanya kata personaliti kelahiran Pulau Pinang itu.

Mengimbas kembali saat memaklumkan berita baik itu kepada suaminya, tidak seperti pasangan romantis yang lain tampil dengan pelbagai inisiatif termasuk kejutan, Marion pula sekadar menghubungi Nasa.

"Saya berada di Singapura ketika itu bagi menjalani rakaman program E! News. Saya rasa aneh sebab lewat datang bulan lalu ke farmasi membeli alat ujian kehamilan.

"Ujian pertama positif mengandung bagaimanapun saya sengaja membuat ujian itu sebanyak empat kali untuk memastikan keputusan itu benar-benar tepat. Keempat-empatnya menunjukkan tanda positif.

"Saya kemudian menghubungi Nasa dan dia menyambut perkhabaran itu dengan rasa cukup gembira. Sebelah malam dia menghubungi saya semula dan meluahkan lagi rasa gembira yang tidak terkata," ujarnya.

Membuatkan dirinya tambah terharu dan bertuah, apabila Nasa yang sentiasa cukup sibuk dengan tugasnya sebagai Pengerusi Eksekutif Bersama di Kumpulan Naza, mula meluangkan lebih masa buat dirinya.

"Nasa mula mengehadkan urusan perniagaannya di luar negara untuk menemani saya selalu dan ia satu perkara cukup manis daripada seorang suami. Maklumlah, dalam keadaan begini wanita selalunya mahukan perhatian yang lebih daripada suami. Saya tidak pernah memaksa Nasa berbuat demikian kerana memahami kesibukannya dengan urusan perniagaan. Inilah detik bahagia buat kami berdua," katanya.

Tidak begitu selesa diajak membicarakan soal jantina anak kerana sama ada lelaki mahupun perempuan, mereka tetap menerima dengan rasa gembira serta syukur.

Cuma harapan wanita kacukan Portugis-Inggeris dan suaminya itu hanyalah satu - semoga proses kelahiran dipermudahkan menjelang Disember ini.

Lucunya, jangankan persiapan bayi, nama bayi juga belum diputuskan malah Marion dan suaminya belum ada idea untuk nama bayi mereka kelak. Yang pasti, Marion dan Nasa mahukan nama yang ringkas serta moden.

Melalui Ramadan dengan tenang, Marion akui sekali-sekala terpaksa tinggal puasa kerana disebabkan keadaan diri yang mudah letih. Apatah lagi, dia masih dalam proses membiasakan diri dengan ibadah puasa memandangkan statusnya sebagai saudara baru.

Apa yang menarik, temubual eksklusif Marion berhubung kisah kehamilan dan persiapannya bergelar ibu akan ditayangkan menerusi episod khas E! News pada Ahad (28 Ogos) ini, jam 9.40 malam di E! Entertainment (Astro Channel 712).

Beralih pada persiapan hari raya, akui wanita cantik tinggi lampai itu, dia amat teruja untuk menempuh pengalaman pertama menyambut Aidilfitri.

Jelas Marion, Aidilfitri yang pertama dia merancang untuk beraya bersama ibu mentuanya. Mereka juga akan menziarahi pusara ayah mentuanya, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

"Adik-beradik Nasa sendiri ramai yang sudah berkahwin, jadi tentu saja ada yang akan beraya di rumah mentua masing-masing. Justeru, pada raya kedua kami memutuskan untuk mengunjungi rumah sahabat kami," katanya.

Rumah tangga yang berusia hampir sembilan bulan juga dilalui dengan penuh rasa cinta. Bahkan, Marion mengakui dia berasa lebih tenang sekarang.

"Sebelum berkahwin dulu, saya selalu fikir bagaimanakah keadaannya apabila kita berkahwin dan perlu tinggal sebumbung malah hari-hari akan melihat wajah yang sama. Dulu saya memang bebas hidup seorang namun sekarang, saya mulai rasa tidak dapat lagi berjauhan lama-lama dengan suami," katanya.

Topik perbualan pada petang itu turut menyentuh skop kerjayanya yang kini menembusi pasaran Asia.

Akui Marion, lebih setahun bersama E! News Asia dia rasa sangat selesa dan seronok mengendalikan program itu.

"Saya sukakan kerjaya saya sebagai pengacara E! News. Ketika menuntut di Amerika Syarikat lagi saya memang suka menonton saluran ini malah pernah terdetik mahu menjadi pengacaranya. Boleh dikatakan, impian saya menjadi kenyataan. Saya bersyukur ada pasukan yang cukup profesional dan sedia bertolak ansur," katanya.

LOKASI: Hilton Kuala Lumpur Penthouse, Hotel Hilton, KL Sentral
(Sebarang tempahan, hubungi +60 2264 2299 atau e-mel reservation.kl@hilton.com)

JURUSOLEK: Khir Khalid
BUSANA: Rizalman Ibrahim

PROFIL

NAMA: Marion Rose Caunter Abdullah
PANGGILAN: Marion
TARIKH LAHIR: 5 November 1980
USIA: 31 tahun
ASAL: Pulau Pinang
ZODIAK: Scorpio
SUAMI: SM Nasarudin SM Nasimuddin
PENDIDIKAN: Ijazah Komunikasi & Penyiaran dari Marquette University, Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat
PENGALAMAN MENGACARA: TV Quickie, Latte at 8, Flava, One in a Million, Channel [V] Paparazzi, E! News Asia, The Biggest Loser Asia 2

Berniaga sendiri lebih puas

Posted: 24 Aug 2011 05:27 AM PDT

RAMADAN ini selain dipenuhi dengan amal ibadat juga memperlihatkan ramai umat Islam menggunakan peluang ini untuk menambah rezeki melalui perniagaan.

Seperti yang diketahui umum, antara artis yang berniaga adalah pasangan pelawak dan pengacara popular wanita, Didie Alias serta Alliza Abdullah atau Enot. Tahun ini kali empat mereka berniaga di bazar KL Downtown Night Market, Bandar Tun Razak, Cheras.

Turut berniaga di tempat sama penyanyi dan pelakon Nor Razlinda Razli atau Bienda bersama suami, Kamarul Zariman Abdul Rahman atau Boy serta bekas anggota kumpulan Huda, Sheila Lama.

Sewaktu RAP membuat lawatan mesra bagi melihat artis popular ini berniaga baru-baru ini, suasana meriah terutama dengan keletah Diddy dan Enot di gerai masing-masing yang gigih menarik perhatian pengunjung dan meminta mereka mencuba kuih yang dijual.


Jelas Enot sejak tiga tahun lalu kuih yang dijualnya dihasilkan sendiri manakala Didie termasuk ahli keluarga lain tampil membantu. Katanya lagi, tempahan juga semakin meningkat kebelakangan ini.


"Kami buka gerai di KL Downtown Night Market kerana peminat dapat membeli secara langsung berbanding menerusi Internet. Kami juga ada cawangan di bazar Ramadan Woodlands, Singapura," katanya.

Jelas Enot lagi, sejak dia pernah ditipu RM75,000 kira-kira empat tahun lalu, dia tidak berani lagi menempah kuih untuk dijual dan sanggup membuatnya sendiri di samping memastikan kualitinya lebih terjaga.

Menariknya, kuih dijual itu diberi berdasarkan nama yang mempunyai kaitan dengan diri mereka sama ada drama yang pernah dibintangi atau rancangan pernah diacarakan seperti Sehati Berdansa Crunchy Crisp, Yalabuna Labuni, Kalau Berani Dark Almond, Hottest Blueberry Tart, Gilla-Gila Almond London dan Kalau Berani Choco Chip, Kum Kum Tart dan Sarang Semut Serasi Bersama.

Bienda pula sejak empat tahun lalu sudah berkecimpung dengan perniagaan tudung di KL Downtown Night Market itu dan akui sambutan yang diberikan orang ramai sangat menggalakkan.

Dia yang kini mengandung dua bulan, berkata sebaik masuk minggu pertama Ramadan, dia sudah membuka gerainya di situ bersebelahan dengan kedai ibunya juga penyanyi dangdut, Sheeda yang menjual kasut.

"Saya rasa puas apabila berpeluang berniaga tudung. Saya suka apabila dapat membantu orang ramai yang mahu pertama kali bertudung. Lagipun saya terfikir juga mengapa saya mahu menjual benda yang saya kurang arif. Macam tudung ini saya sudah mahir sebab saya sendiri yang memakainya. Kalau pengunjung datang ke kedai dan bertanya, saya tahu apa nak jawab dan boleh menunjukkan kepada mereka cara-cara mengikatnya.

"Sejak berniaga di sini juga, saya sudah semakin berkebolehan dalam menilai kualiti sehelai daripada jenis kain sehinggalah kepada bentuk jahitan yang sempurna atau tidak. Saya juga sudah tahu di mana hendak mendapatkan bekalan yang baik dan bagus dari sudut mutu.

"Setakat ini saya hanya berniaga di bulan Ramadan saja. Cadangan untuk meluaskan usaha ini ada juga, tapi segala bergantung kepada masa," katanya.

Seorang lagi selebriti, Sheila Lama juga tidak melepaskan peluang berniaga di situ dengan menawarkan pakaian wanita.

"Ini tahun kedua saya berniaga di sini dan sebelum ini saya berniaga pakaian lelaki dan wanita. Bagaimanapun, tahun ini saya hanya menjual pakaian wanita saja. Bagi saya berniaga pakaian lebih mudah kerana ia memang dicari orang pada musim perayaan. Pakaian di gerai saya ini pula ada yang dibeli dari luar
dan ada juga stok daripada pengusaha tempatan," katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan KL Downtown Night Market, Mohd Rustam Roshandin, berkata tahun ini pihaknya menambah daripada 500 gerai kepada 700 gerai. Bagi mewujudkan lagi kemeriahan sebab itulah dia menyediakan beberapa gerai untuk rakan artis berniaga.

"Mereka diberikan ruang tapak berniaga secara percuma. Mereka tidak perlu membayar yuran tapak gerai cuma mereka harus membantu kami mempromosikan tapak perniagaan ini agar ia menjadi perhatian umum. Selain itu mereka juga akan tampil setiap Jumaat dan Sabtu menghiburkan pengunjung di pentas mini yang kami ada," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Harimau Malaya bertuah

Posted: 24 Aug 2011 10:13 AM PDT

SKUAD Harimau Malaya masih bertuah biarpun terkandas di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu apabila pasukan gergasi Asia, Australia mengundang anak buah Datuk K Rajagobal bertandang ke Sydney pada 7 Oktober ini bagi perlawanan persahabatan.

Berita baik itu disampaikan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal yang menyifatkan pelawaan naib juara Piala Asia 2011 itu sebagai satu penghormatan dan pendedahan terbaik buat pemain negara.


"Kami menerima jemputan untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Australia, minggu lalu. "Bagaimanapun perkara ini akan dibincangkan di peringkat Exco terlebih dulu tapi kemungkinan besar kami bersetuju kerana bukan senang untuk kita diberi peluang menentang skuad Piala Dunia Australia.

"Saya fikir belum pernah Malaysia menentang Australia sebelum ini dan ini satu penghormatan buat skuad Harimau Malaya apabila dapat berdepan barisan pemain bintang Australia seperti Tim Cahill dan Harry Kewell," katanya.


Pelawaan Australia itu ibarat orang mengantuk disorongkan bantal buat FAM yang berdepan kesukaran mendapatkan perlawanan berkualiti buat skuad kebangsaan selepas gagal mara ke peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia apabila tumpas kepada Singapura menerusi agregat 6-4 sebelum ini.


Ini terbukti apabila skuad kebangsaan yang berkumpul pada awal bulan lalu hanya menjalani latihan biasa tanpa perlawanan persahabatan antarabangsa selepas gagal mencari pasukan bagi menggantikan Oman dan Indonesia yang membatalkan perlawanan yang diatur pada awalnya.

Selain memiliki reputasi selaku juara Asia Tenggara, Malaysia menjadi pilihan Australia yang dibimbing jurulatih Jerman, Holger Osieck sebagai persiapan sebelum menentang Thailand pada pusingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia pada 15 November ini.


"Australia akan menentang Thailand dalam pusingan kelayakan Piala Dunia, mungkin mereka mahu mencari pasukan dari rantau ini untuk dijadikan ujian sebelum menghadapi perlawanan itu," katanya.

‘Belum masa buat rombakan’

Posted: 24 Aug 2011 08:37 AM PDT

TIADA sebab untuk Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berbicara mengenai rombakan pasukan buat masa ini kerana perjuangan mereka belum lagi berakhir biarpun bakal berdepan musim penuh kekecewaan jika gagal memenangi Piala Malaysia.

Selepas gagal mempertahankan Liga Super dan terlepas mendakap Piala FA, skuad gergasi merah itu tidak ada pilihan selain memastikan Piala Malaysia kembali dijulang selepas kali terakhir pada 2005.


Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, soal rombakan pasukan hanya akan diputuskan di penghujung tahun dan buat masa ini tumpuan mereka terarah kepada memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33.

"Kami akan buat penilaian di hujung tahun bagi menghadapi musim 2012, andai kita memerlukan pemain import, kita akan buat keputusan nanti. Soal rombakan pasukan adalah amalan biasa.


"Kami tetap yakin dengan pemain yang ada biarpun ada masa mereka gagal bermain dengan baik dan ada masanya bermain seperti pasukan juara. Tapi kali ini kami mesti capai sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada 2011 kerana kami tidak boleh hilang kejuaraan lagi selepas Liga Super dan Piala FA. "Bagi Selangor, Piala Malaysia wajib dimenangi," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama media semalam.


Selangor juara 32 kali Piala Malaysia akan membuka tirai saingan 6 September ini menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebelum menentang PDRM dan Kuala Lumpur dalam Kumpulan D.

Mokhtar berkata, sasaran yang ditetapkan itu tidak akan memberi tekanan kepada pemain-pemain yang kebanyakannya cukup berpengalaman.


"Pemain kita tidak tertekan, mereka sudah biasa, biasalah kalau gugup sedikit apabila bermain. Apa yang penting pemain bersedia dari segi mental, fokus serta memberikan komitmen 100 peratus," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved