Isnin, 10 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Internet realisasi impian

Posted: 10 Sep 2012 08:09 AM PDT

TEKNOLOGI moden seperti kemudahan Internet memberi banyak kelebihan kepada semua pihak untuk lebih mudah saling menghubungi seterusnya meluaskan rangkaian kenalan.

Kelebihan berkenaan memudahkan segala macam urusan termasuk urusan perniagaan yang boleh dijalankan secara dalam talian tanpa banyak masalah.

Jika 20 tahun lalu, seseorang yang ingin menceburi bidang perniagaan perlu mempunyai kedai tradisional yang bersifat fizikal, kini dengan Internet siapa saja boleh berniaga.

Perniagaan sememangnya memberi pulangan lebih lumayan daripada bekerja makan gaji dan hakikat itu turut diakui usahawan di alam maya.


Kemudahan Internet juga membuka dimensi baru kepada wanita untuk mencari pendapatan sampingan ataupun utama, demi menanggung kos hidup yang semakin meningkat.


Ada yang melakukannya secara serius tetapi ada juga sekadar suka-suka memandangkan perniagaan secara talian mudah dan menyeronokkan.

Wanita adalah golongan yang sering mendapat kelebihan melalui perniagaan dalam talian kerana mereka insan paling sibuk dengan urusan keluarga dan pada masa sama, sanggup bekerja untuk mempunyai pendapatan sendiri.

Bagi Marduwati Ismail, 32, minat berniaga sudah lama bercambah dalam diri dan kemudahan Internet membolehkannya merealisasikan impian bergelar ahli perniagaan tanpa perlu berusaha-payah membuka kedai.

Perniagaan melalui syarikat Petrocimec Sdn Bhd yang diusahakannya dengan menggunakan Internet sebagai pengantara memberi banyak kemudahan untuknya menguruskan urusan jual beli bukan saja dalam negara malah pesanan dari pelanggan luar negara.

"Lebih mudah menjalankan perniagaan dalam talian dan pelanggan juga lebih pelbagai selain barangan yang dijual lebih mudah diketengahkan kepada orang ramai.

"Sekiranya berniaga hanya di kedai, produk bersifat statik dan kena tunggu pelanggan datang.

"Lagipun sekiranya berniaga cara tradisional, agak 'penat' hendak menerangkan mengenai produk berulang kali tetapi dengan Internet, itu semua tidak perlu kerana pelanggan boleh baca di laman web," katanya.

Marduwati berkata, walaupun perniagaan barangan komoditi yang dijalankannya mengambil masa sebelum mendapat keuntungan, hasilnya sangat memuaskan.

Apabila berurusan dengan pelanggan luar negara, terdapat banyak prosedur yang perlu dibuat tetapi ia berbaloi apabila pulangan yang diterima agak lumayan.

"Peluang perniagaan menerusi dalam talian lebih luas, lebih realistik dan menawarkan peluang yang lebih banyak.

"Setakat ini perniagaan yang saya usahakan menunjukkan kemajuan memberangsangkan hingga saya mempunyai perancangan untuk mengembangkannya.

"Saya bercadang untuk meluaskan perniagaan dan menjadi pembekal tunggal barangan komoditi kepada pasar raya besar di Malaysia," katanya.

Memulakan perniagaan sejak 2011, Marduwati berkata, berbeza dengan wanita lain yang lebih gemar menjalankan perniagaan bersifat kewanitaan seperti pakaian dan tudung, dia memilih produk komoditi kerana ia barangan kegunaan harian.

Lagipun, barangan komoditi mempunyai pelanggan yang lebih luas dan jangka hayat yang panjang. Dia turut menggalakkan lebih ramai wanita berkecimpung dalam perniagaan yang diusahakan menerusi dalam talian kerana ia lebih mudah diuruskan.

"Perniagaan menjanjikan pulangan yang lumayan sekiranya ia dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukan sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'," katanya.

Sementara itu, Aduni Din, 35, mengakui status sebagai isteri dan ibu kepada empat anak kecil membuatkannya lebih selesa bekerja dari rumah dan Internet memberi peluang kepadanya untuk mencari pendapatan sampingan tanpa mengabaikan keluarga.

Melalui peniagaan Nina Cybercakes yang sudah diusahakan sejak lapan tahun lalu, dia sangat berpuas hati kerana masih dapat membesarkan anak di depan mata.

Sebaik mendirikan rumah tangga, suami memintanya berhenti kerja demi menumpu perhatian kepada keluarga.

"Saya kemudiannya berjinak-jinak dengan perniagaan kek yang dijual melalui Internet dan syukur kerana ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

"Suami turut memberi sokongan padu apabila sanggup bawa kek ke tempat kerjanya untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan yang kemudiannya membuat tempahan," katanya.

Aduni berkata, minat mendalam dalam pembuatan dan menghias kek menguatkan hatinya untuk berniaga secara dalam talian.

Dunia perniagaan melalui dalam talian juga mempunyai cabaran tersendiri dan seseorang perlu kuat sekiranya ingin berjaya selain tidak mudah rasa putus asa sekiranya tidak mendapat pelanggan.

"Perniagaan yang saya usahakan ini memang mendapat pulangan yang baik kerana saya menjaga kualiti kek yang dihasilkan.

"Disebabkan itu, saya mempunyai pelanggan tetap yang sudah tahu hasil kerja saya dan ini lebih memudahkan urusan perniagaan," katanya.

Aduni berkata, dia tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membuka kedai kerana sudah seronok berniaga secara dalam talian, lagipun ia lebih mudah tanpa banyak prosedur.

Melalui perniagaan secara dalam talian, pelanggan yang mencarinya, bukan sebaliknya dan itu membuatkan dia lebih cenderung meneruskan perniagaan sedemikian.

"Saya sangat menggalakkan wanita lain berkecimpung dalam perniagaan melalui dalam talian kerana ia lebih mudah dan memberi pulangan yang baik.

"Tetapi mereka perlu cekal, rajin, berdisiplin dan cekap menguruskan masa dengan baik supaya boleh berjaya," katanya.

Aduni berkata, wanita yang berminat berniaga juga perlu pandai menarik pelanggan, antaranya menghasilkan produk berkualiti serta produk yang unik dan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Amalan baik tak terbatas

Posted: 10 Sep 2012 08:03 AM PDT

ADA orang yang berjaya menjadi pemimpin dan ada juga yang cemerlang walaupun sekadar menjadi pengikut. Dalam melakukan kerja amal, ada yang membantu pihak sedia ada beroperasi kerana mereka tahu, untuk menjadi pengasas bukan suatu perkara yang mudah.

Ramai sukarelawan berkumpulan mahupun orang perseorangan berasa lebih mudah menjadi penyokong kerja kebajikan yang sudah sedia beroperasi daripada memulakannya sendiri di peringkat bawah.

Antara insan yang berjaya menjadi pengasas sebuah rumah anak yatim di Trong, Taiping, Perak ialah Faridah Karim. Pada 1 Januari 2001, Faridah dan suaminya Abdul Karim Mohamad Isa, menubuhkan Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Ummu Sofiah yang beroperasi atas tanah wakaf peninggalan arwah bapa Abdul Karim sendiri.

Melihat Faridah yang baru berusia 43 tahun, baru disedari betapa muda usianya ketika menubuhkan Ummu Sofiah iaitu di usia 30-an. Semangat tinggi yang diperolehnya tentu saja daripada sokongan keluarga dan suaminya yang bekerja sendiri mengusahakan ladang sawit berdekatan rumah mereka.


"Sebelum berkahwin saya berpengalaman mengajar di tadika dan sekolah agama. Pengalaman itu banyak saya terapkan kepada anak-anak di Ummu Sofiah," kata Faridah.


Alhamdulillah, perkembangan Ummu Sofiah sejajar dengan peningkatan penghuninya yang semakin hari semakin bertambah. Sekiranya dulu penghuninya sekitar 10 orang, kini sudah mencecah lebih 30 orang.

Faridah dan suaminya mempunyai pembantu dan tukang masak bagi melancarkan perjalanan Ummu Sofiah.

"Pada peringkat awal, saya dan suami lakukan semuanya sendiri. Pagi-pagi saya ke pasar, kemudian memasak untuk budak-budak. Apabila mereka balik sekolah saya ajar pula Fardu Ain," katanya.

Sepuluh tahun dulu berbanding zaman ini tentu banyak perbezaannya. Faridah tidak menafikan, perubahan masa mengakibatkan perubahan anak-anak itu sendiri. Namun Faridah berusaha menjaga dan mendidik mereka dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.

Onak dan duri di awal pembinaan Ummu Sofiah memang bukan mudah tetapi, tekad dan azamnya mahu memelihara nasib anak-anak yatim mengatasi segala-galanya justeru, semua anak-anak Ummu Sofiah memanggilnya 'ibu'. Mereka bercerita, mengadu dan bergurau dengan begitu erat sekali. Dapat dilihat, betapa kesabaran menjadi tunjang utama yang memungkinkan Faridah sampai ke peringkat itu.

Anak-anak Ummu Sofiah yang sudah dewasa dan tamat sekolah menengah harus meninggalkan rumah itu dan meneruskan kehidupan mereka sama ada ke kolej atau ke universiti. Namun mereka tidak langsung melupakan Faridah, malah hubungan masih terjalin erat.

Pengalaman penghuni

Berikut pengalaman dua bekas anak Ummu Sofiah yang kini sudah melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti:

Siti Farhanah Ahmad Suhaime, 20, anak jati Sungai Tinggi Trong mula menjadi
ahli Ummu Sofiah ketika masih di sekolah rendah pada 2001.

"Agak sedih pada mulanya kerana tidak pernah berjauhan dengan keluarga, tetapi sedih itu mula hilang kerana seronok di Ummu Sofiah. Saya ada rakan yang ramai dan ini memberi pengalaman baru kepada saya. Saya juga dapat mengenali ramai orang," katanya.

Sedikit demi sedikit Farhanah mula menyesuaikan diri dengan mengikut peraturan yang Faridah tetapkan. Dia membabitkan diri dengan semua aktiviti di sana. Hubungan Farhanah, anak keempat daripada lima beradik dengan Faridah sangat rapat.

"Walaupun kini saya sudah masuk universiti, saya dan ibu masih berhubung. Pada saya, saya ada seorang emak yang melahirkan saya manakala ibu Faridah pula seorang ibu yang membesarkan saya. Jasanya pada saya dan keluarga hanya Allah yang mampu membalasnya.

"Sejak berusia sembilan tahun sehingga mencecah 20 tahun, pertolongan ibu tidak putus-putus sama ada wang ringgit, perhatian dan keperluan.

"Ketegasan ibu membuatkan kami hormat kepadanya. Ibu mudah didekati tambahan dengan lawak jenakanya yang bersahaja membuatkan kami tak jemu berjumpa ibu," kenang Farhanah.

Farhanah sedar, Faridah cuba melakukan yang terbaik untuk anak-anak Ummu Sofiah walaupun kesihatan kadang-kadang tidak mengizinkan. Faridah rupanya menghidap penyakit kencing manis ketika usianya 34 tahun membuatkan wanita berhati waja itu mudah keletihan. Alhamdulillah, Faridah semakin sihat sekarang serta semakin pulih.

"Dulu, ibu menguruskan segalanya hanya dengan bantuan suami sama ada untuk kelas Fardu Ain, urusan makanan dan pejabat. Namun, sekitar 2008, ibu mula mengambil pembantu bagi mengurangkan bebannya," cerita Farhanah yang kehilangan bapa ketika usianya sembilan tahun.

Seperti remaja lain yang penuh dengan pengalaman pahit manis, begitu juga Farhanah di Ummu Sofiah.

"Ketika itu saya mengikuti program bersama TLDM Lumut. Hampir setiap minggu mereka datang ke asrama untuk bergotong-royong.

Mereka juga bawa kami jalan-jalan di atas kapal besar, raikan hari jadi kami dan adakan majlis bersama anak-anak yatim. Memang seronok. Kenangan lain yang tak dapat dilupakan apabila saya dan kawan-kawan dimarahi sebab lambat solat Dhuha dan kami didenda mencuci tandas selepas itu," cerita Farhanah sambil ketawa kecil.

Apabila Farhanah dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara, Faridah antara insan yang paling gembira.

"Ibu seronok sangat sampai ibu yang membiayai semua urusan saya di awal semester. Setiap keperluan ibu cuba penuhi dan semua itu sangat bermakna di hati saya," katanya.

Teman Farhanah, Nurul Hidayah Sultan Ahmad, 21, menjadi yatim apabila ayahnya meninggal dunia ketika dia berusia empat tahun.

"Saya tidak mengingati sedikit pun kenangan bersama ayah sebab terlalu kecil. Apa yang saya ada hanyalah gambar," kata Nurul Hidayah yang mula tinggal di Ummu Sofiah ketika umurnya 10 tahun sehinggalah dia tamat sekolah rendah.

Anak kelima daripada tujuh beradik, semua abang Nurul Hidayah pernah tinggal
di rumah jagaan anak yatim walaupun untuk jangka masa pendek. Nurul Hidayah kini menuntut dalam jurusan syariah Islamiah di Universiti al-Azhar, Mesir.

"Masuk sekolah menengah, saya menyambung pelajaran di Sekolah Maahad Darul Anuar, Kota Bharu, Kelantan dan tinggal di asrama. Walaupun tidak lagi tinggal di Ummu Sofiah, setiap kali cuti sekolah ibu selalu jemput saya menghadiri program jemputan membabitkan anak-anak yatim. Paling banyak jemputan tentu saja di bulan puasa dan raya," katanya.

Ketika tinggal di Ummu Sofiah, Nurul Hidayah rasa seronok kerana ramai pihak yang prihatin datang melawat dan menghiburkan mereka.

"Pengalaman tinggal di Ummu Sofiah memang kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Ibu sentiasa mengambil berat terutama membabitkan pelajaran.

"Ibu selalu menjemput tenaga pengajar untuk mengajar kami mata pelajaran yang susah seperti matematik, sains dan Bahasa Inggeris. Jadi pengurusan masa belajar memang teratur. Ibu agak garang kalau kami nakal, tetapi hakikatnya, dia sangat baik dan pemurah," katanya.

Nurul Hidayah memberitahu, dia dan Faridah sangat rapat dari dulu sehingga kini. Mengenang bagaimana perasaan Faridah apabila dia dapat melanjutkan pelajaran ke Mesir, Nurul Hidayah bercerita wanita itu sangat gembira.

"Dia gembira kerana anak di bawah jagaannya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Sekarang apabila cuti semester, ibu meminta saya membantu mengajar Fardu Ain, tulisan jawi dan mengaji al-Quran kepada adik-adik di sini bagi mengisi masa terluang saya. Saya seronok kerana dapat membalas sedikit jasa ibu yang pernah menjaga saya. Insya-Allah saya tak akan lupakan Rumah Ummu Sofiah yang banyak berjasa kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Padah lakonan kaku

Posted: 09 Sep 2012 03:04 PM PDT

KLANG: Tindakan seorang majikan mengarahkan seorang pekerja warga asingnya menyamar pelanggan warga tempatan di gerai menjual ikan miliknya di Pasar Besar Klang, Jalan Meru, di sini, semalam bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen gagal apabila lakonan lelaki Bangladesh itu tidak menjadi.

Padah memaparkan 'lakonan' kaku serta gerak-geri mencurigakan, warga Bangladesh berusia 39 tahun itu ditahan Jabatan Imigresen dalam Ops 6P selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.


Turut ditahan majikannya yang juga penjual ikan atas kesalahan melindungi pekerja warga asing.

Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, lelaki Bangladesh itu antara 68 warga asing berusia 22 hingga 45 tahun yang ditahan dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan.


"Mereka ditahan atas kesalahan tidak memiliki pasport, melanggar syarat Imigresen dan menetap di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan," katanya.


Katanya, mereka yang ditahan dalam operasi bermula jam 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari itu terdiri daripada 24 warga Myanmar, Indonesia (21), Bangladesh dan Nepal masing-masing lapan serta empat warga India. Turut ditahan dua lelaki warga China dan seorang lelaki warga Thailand kerana mengemis di situ.

"Daripada jumlah itu, 10 wanita warga asing turut ditahan," katanya. Othman berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk siasatan lanjut.


"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah bekerja dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia 40-an yang juga majikan seorang daripada pekerja warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 55B akta sama kerana mengambil orang asing bekerja dengan memiliki pas pekerja sah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Pengusaha pasar malam dinasihat akur notis tutup

Posted: 09 Sep 2012 02:59 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pengusaha pasar malam Kerinchi yang masih menjalankan perniagaan pada setiap Isnin dan Jumaat dinasihatkan supaya akur pada notis arahan tutup dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, pihaknya dimaklumkan DBKL sudah memberi peluang penangguhan sehingga akhir Ramadan lalu, namun masih ada peniaga yang ingkar terhadap arahan tutup tujuh bulan lalu.


"Saya difahamkan penutupan pasar malam Kerinchi dibuat berdasarkan permintaan penduduk setempat. Mereka tidak mahu pasar malam ditambah daripada dua kepada empat hari berikutan berdepan masalah kesesakan serta tiada tempat letak kenderaan.

"Malah, notis dan peluang penangguhan juga sudah diberi kepada peniaga. Jadi, ada baiknya mereka akur demi keselesaan penduduk di sini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Penduduk Flat Empat Tingkat, Kampung Kerinchi, anjuran Suez Domain Sdn Bhd (Suez Domain), di sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah Suez Domain, Abdul Hadi Ahmad dan Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Empat Tingkat Kampung Kerinchi, Ahmad Rahmat.


Selain jamuan makan, Suez Domain menyerahkan sumbangan raya kepada anak penduduk flat berkenaan.

Menurut Raja Nong Chik, beliau percaya isu itu hanya sebahagian agenda pihak pembangkang untuk memporak-perandakan rancangan pembangunan kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


13 kali hamil anak orang lain

Posted: 09 Sep 2012 01:44 PM PDT

LONDON: Dalam tempoh tujuh bulan lagi Carole Horlock akan bersalin dan bayi itu akan diserahkan kepada pasangan warga Itali tanpa perlu menunggu dia menggendongnya walaupun untuk seketika.

Dalam keadaan begitu, Carole tidak berasa apa-apa, malah gembira kerana sekali lagi dia berjaya membantu pasangan suami isteri yang tidak memiliki zuriat. Wanita Britain berusia 45 tahun itu menjadi ibu tumpang paling prolifik di dunia dan kini hamil untuk kali ke-13.


Kata Carole, pasangan yang tidak mempunyai anak dibantunya sangat menghargai pertolongan sedemikian.

"Anda boleh lihat kegembiraan di wajah pasangan terbabit sebaik saja menyentuh bayi mereka untuk kali pertama.


"Melihat kepada perasaan teruja dan penuh emosi itu mendorong saya menjadi ibu tumpang," katanya. Lahir di Stevenage, Carole mempunyai dua anak perempuan - kini berusia 22 dan 19 tahun - hasil hubungannya dengan dua lelaki berbeza. Kata Carole, dia mengetahui mengenai ibu tumpang itu selepas membaca satu rencana di akhbar pada 1995 ketika bekerja di kedai dobi.


"Walaupun berusia 20-an, saya menjadi ibu tunggal dan membesarkan dua anak perempuan.

"Saya faham bagaimana perasaan seorang ibu terhadap anaknya dan betapa sedih seorang wanita yang tiada zuriat.


"Saya tak mampu mengubah hidup sesiapa dengan bekerja di kedai dobi, tetapi jika menjadi ibu tumpang, ramai yang beroleh manfaat," katanya. Justeru, Carole menghubungi pertubuhan yang menguruskan perkhidmatan ibu tumpang seperti dipapar di akhbar. Setakat ini Carole melahirkan lapan bayi perempuan dan empat lelaki untuk pasangan bermasalah, termasuk sepasang kembar dua dan tiga. Biasanya Carole menerima bayaran antara 10,000 (RM49,787) dan 15,000 (RM74,681) daripada pasangan yang dibantunya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Rumah Miley diceroboh ‘rakan’ tidak dikenali

Posted: 09 Sep 2012 01:42 PM PDT

LOS ANGELES: Polis menahan seorang lelaki yang menceroboh masuk ke kawasan rumah selebriti remaja terkenal, Miley Cyrus, bersenjata sebilah gunting.

Menurut sumber, pihak berkuasa dipanggil ke rumah Miley, 19, dan polis menemui seorang lelaki memanjat pagar kediaman berkenaan. Polis kemudian menahan Jason Luis Rivera, 40, kerana disyaki menceroboh kira-kira jam 4 pagi semalam.


Dia kemudian ditahan sebelum dibenarkan diikat jamin. Sumber berkata, polis mengancam menggunakan pistol pegun sebelum Rivera setuju menyerah diri. Saksi pula berkata, Rivera duduk di halaman rumah Miley dan enggan beredar walaupun diminta.

Dia mendakwa "kawan" kepada Miley. Ketika ditahan, Rivera mendakwa dia berkawan dengan penyanyi itu selama lima tahun. Dia dipercayai membawa wang, nota, kad pengenalan, gunting dan objek berbentuk jantung merah jambu digantung di lehernya. Miley tiada di rumah ketika itu. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Ali memang setan

Posted: 09 Sep 2012 03:21 PM PDT

JOHOR BAHRU: Tertipu dengan dakyah karut bomoh yang kononnya boleh meramal kematian dan menebus dosa, seorang lelaki dan keluarganya membuat pinjaman bank untuk membayar wang pengeras sebanyak RM12,000.

Lebih mengaibkan, mangsa yang mahu dikenali sebagai Jamil, 25, berkata, ibarat dipukau, dia dan ibu bapa turut membenarkan adik perempuannya tinggal bersama bomoh itu selama seminggu.

Katanya, dia terpengaruh mendapat khidmat bomoh yang dikenali sebagai Ali, 40-an, selepas lelaki itu mengakui dirinya ustaz dan menjalankan rawatan secara tradisional mengikut cara Islam.

"Saya bersama ibu, ayah dan adik perempuan berusia 20 tahun berjumpa bomoh itu bagi merawat ibu yang menghidap penyakit lemah badan dan kemurungan," katanya ketika ditemui.


Dia berkata, bomoh itu mendakwa boleh mengubat secara ghaib, termasuk berhubung terus dengan Allah menerusi jin yang menurun dalam badan pembantu peribadinya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Bocor skandal apabila mabuk

Posted: 09 Sep 2012 03:21 PM PDT

MIRI: Perbualan dua rakan sambil minum arak di sebuah rumah sewa di Riam di sini, kelmarin, berakhir tragedi berdarah apabila seorang daripada mereka menerima lebih lima jahitan di kepala akibat ditetak dengan kapak.

Kejadian jam 10.30 malam itu dikatakan berlaku apabila seorang daripada mereka secara tidak sengaja mendedahkan dia menjalin hubungan dengan isteri rakannya itu.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa, seorang buruh binaan berusia 40-an, menjemput rakan sekerjanya ke rumah sewanya untuk minum bersama.

"Suspek yang juga berusia 40-an itu tiba di rumah rakannya itu seawal jam 9 malam, namun sejam selepas sesi meneguk arak, berlaku pertengkaran antara mereka apabila suspek secara tidak sengaja mendedahkan dia menjalin hubungan dengan isteri mangsa," katanya.


Sumber itu berkata, pada mulanya hanya berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek, tetapi mangsa yang berang dengan pendedahan itu, memukul suspek.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Taring Rosyam kekal berbisa

Posted: 09 Sep 2012 08:42 AM PDT

MENGENALI nama besar ini bukan bersandarkan status selebriti dan popularitinya, dia adalah insan yang rendah diri, gemar berjenaka dan sensitif bagai seorang abang.

Hakikatnya, peluang mendekatinya yang acap kali dikatakan hero filem Malaya adalah satu ruang terbaik untuk mendengar setiap cerita, sesekali dia menitipkan nasihat daripada pengalaman lalu.

Rosyam Nor masih lagi seorang pelakon terkenal yang tidak terlepas mencetuskan fenomena menerusi sentuhannya.

Bertentang empat mata dengan lelaki berusia 45 tahun ini, berkali-kali mengatakan dirinya tidak lagi relevan, namun perasaan itu disembunyi bagi tidak mudah membunuh semangatnya.


Tambahnya lagi, cabaran paling sukar dilalui apabila melewati usia 40-an dan berdiri masih sebagai seorang pelakon bersaing dengan ramai wajah kacak dan muda dalam gelanggang industri yang tidak sebesar mana.


"Mujur pengalaman dan latar belakang perjalanan kerjaya saya tidak mudah. Saya bermula dari bawah, semuanya saya lakukan daripada menggulung wayar produksi, bekerja di balik tabir hinggalah diberi peluang tampil ke depan.

"Itulah sebenarnya kekuatan yang terus menjadi semangat buat saya untuk terus pandang ke depan," katanya.

Jelas Rosyam lagi, pelakon muda hari ini adalah cabaran buatnya untuk tampil lebih hebat dan cemerlang meskipun ia bukan tugas sembarangan.

"Jujurnya, setiap kali digandingkan dengan banyak bakat muda hari ini, terlintas rasa tercabar dalam jiwa kerana tenaga dan semangat mereka begitu besar dan kuat. Namun saya gagahkan juga diri untuk berada sebaris dengan mereka kerana saya tidak mahu tampak ke belakang walaupun ia begitu memenatkan.

"Bagaimanapun, dilihat daripada perspektif berbeza, kehadiran mereka membuatkan saya lebih bekerja keras untuk bangkit membuktikan yang bakat saya masih relevan dan sama seperti hari pertama beraksi di depan kamera dulu," katanya yang mula dikenali dengan watak tempelan menerusi filem Gila-Gila Remaja.

Lelaki berjiwa besar yang juga anak kelahiran Kuala Lumpur ini bijak menyusun langkah. Jalannya payah namun strateginya geliga.

Perlahan-lahan, Rosyam mengintai peluang dan menyelinap masuk ke setiap penjuru ruang yang dibuka untuknya. Walaupun lewat berbanding yang lain, namanya kian mekar meniti di bibir peminat terutamanya apabila penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam memberinya peluang.

"Sejarah dan kisah permulaan saya adalah kronologi yang segar dalam ingatan.
Tidak pernah timbul rasa malu atau kecewa kerana lewat merasai tempias popular.

"Bayangkan, pada usia 30-an baru bakat saya menjadi perhatian menerusi filem Maria Mariana 2 yang muncul dalam lima babak saja. Kemudian, kepercayaan itu kekal dengan muncul pula filem Bara, Gerak Khas The Movie 2 dan Janji Diana yang terus memimpin nama saya ke puncak populariti.

"Alhamdulillah filem KL Menjerit yang menjadi taruhan saya pada usia 34 tahun ketika itu menjadi dan berjaya mendapat kepercayaan daripada peminat hingga mengundi saya menggenggam trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2002. Itulah yang dinamakan rezeki dan percaturan Tuhan.

"Seperkara yang saya nampak dan tidak segan untuk diakui, saya berpaut pada populariti orang lain ketika itu. Saya bersandar pada nama Awie, Ziana Zain dan Erra Fazira yang lebih awal dikenali. Itulah hakikat dan alhamdulillah percaturan itu berhasil," katanya tersenyum.

Mendengar dan meneliti setiap ideologi yang dikongsikan Rosyam malam itu, tiada apa yang pelik jauh sekali mustahil. Resipi dan rahsianya, disiplin, ikhlas dan jujur selain kekal menitikberatkan usaha serta doa.

Hari ini, selepas lebih dua dekad bergelumang dalam bidang seni, pelakon yang sinonim dengan bakat versatilnya dalam menghidupkan pelbagai watak ini sudah mampu tersenyum melihat kejayaannya.

Bukan lagi bersandar pada status pelakon, malah Rosyam juga pemenang tiga trofi anugerah Festival Filem Malaysia bersyukur kerana akhirnya berjaya merealisasikan impiannya menjadi usahawan dalam menghasilkan karya seni.

"Suhan Movies & Trading Sdn Bhd adalah bukti usaha dan kerja keras
saya. Alhamdulillah apa yang pernah saya usahakan dulu kini semuanya berjalan sempurna. Soal popular dan tawaran berlakon bukan lagi menjadi keutamaan, sebaliknya apa yang penting adalah tanggungjawab saya kepada industri. Apa yang mampu saya lakukan kepada dunia seni adalah persoalan yang perlu saya fikirkan.

"Lantas wujudnya syarikat ini untuk terus menjadi kesinambungan kepada apa yang saya fikirkan perlu bagi menambah warna-warni dalam dunia seni lakonan.
Pelbagai drama bersiri dan telefilem sudah saya terbitkan. Malah saya berbangga kerana setidak-tidaknya pernah menghasilkan sebuah filem, Castello, lapan tahun lalu.

"Pengalaman, ilmu dan bakat yang saya kutip sepanjang bergiat dalam bidang seni sebelum ini pula sudah berjaya saya terjemahkan dalam program realiti pencarian pelakon, Pilih Kasih yang berjaya hingga ke musim ketiga. Itu semua adalah kepuasan peribadi yang mampu saya catatkan dalam diari seni saya kerana sekurang-kurangnya ada juga usaha yang saya lakukan untuk industri.

"Namun semuanya atas kepercayaan dan rasa yakin pihak lain kepada saya. Itulah yang saya katakan, sedar diri, ruang dan kemampuan begitu penting untuk terus saya tanamkan dalam jiwa bagi memastikan ia mampu membuka mata orang sekeliling kepada apa yang saya ada," katanya lagi.

Dua tahun lamanya menyepi selepas drama berantai, Trilogi Cinta dan filem Libas, aktor yang masih bergaya ini langsung tidak menerima sebarang tawaran sama ada drama mahupun filem.

Meletakkan sepenuhnya fokus pada syarikat dan terpaksa melupakan banyak tawaran yang datang kerana tidak punya keserasian dan minat pada watak yang diberi, Rosyam bagaimanapun yakin rindu peminatnya akan terubat menerusi filem
KL Gangster 2.

Ayah kepada lima puteri ini menyifatkan KL Gangster 2 sebagai peluang terbesar untuk membuktikan kewibawaannya, sekali gus melakar kepulangan penuh bermakna dalam karier lakonannya.

"Saya berharap peminat akan ke pawagam untuk menonton lakonan saya dalam KL Gangster 2 kerana ia satu lagi naskhah yang mencerminkan 'comeback' saya. Saya percaya KL Gangster 2 akan membuatkan penonton puas dan seronok nanti," katanya yang menyifatkan kembali berlakon di bawah syarikat Skop Productions milik Yusuf Haslam begitu klasik.

Balistik eksperimen terbaru

CASTELLO yang berjaya memancing kaki wayang lapan tahun lalu terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd dijadikan pengukur terbaik untuk mengundang rasa yakin Rosyam melakukannya kali kedua.

Tahun ini, Rosyam melalui syarikatnya itu mengambil risiko dengan tampil menerbitkan dua filem iaitu Isyarat Cinta lakonan Fizo Omar, Adi Putra dan Liyana Jasmay serta Balistik yang dilakonkannya sendiri.

Balistik yang bermaksud kelajuan peluru, idea penghasilannya yang diarahkan Silver Chung tercetus enam tahun lalu selepas Rosyam membintangi drama berantai CID. Hanya kini impian tertunda itu terlaksana dengan usaha sama Asia Tropical Films Sdn Bhd (ATF).

Naskhah aksi yang mengangkat tema gangsterisme dengan suntikan drama dan kasih sayang dilakonkan Rosyam di samping Rita Rudaini, Adi Putra dan pelakon kanak-kanak, Rykarl Iskandar, selain Datuk Rahim Razali, Jack Lim dan Mei Yan.

Jelasnya, Balistik satu perjudian besar yang dilakukannya baik dari aspek lakonan mahupun pelaburan selaku penerbit.

"Berhabis-habisan saya memberi tumpuan kepada Balistik kerana ia sebuah produk terbaru saya. Baik dari sudut pembangunan watak dan lakonan yang saya berikan, ia dilihat antara yang terbaik dan paling kemas. Balistik menterjemahkan seribu kelainan dalam jalur filem bercorak aksi dan saya yakin ia akan menjadi kesinambungan di atas kejayaan Castello sebelum ini.

"Balistik bukan sekadar sebuah karya untuk tontonan kelompok Melayu, sebaliknya membawa keinginan untuk turut menembusi kuasa tontonan masyarakat Cina. Saya juga yakin Balistik memiliki potensi untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi dengan menembusi pasaran antarabangsa menerusi hubungan baik ATF dengan pihak luar dalam membantu membangunkan produk tempatan ke luar.

"Insya-Allah Balistik akan memberikan kelainan kepada industri perfileman Malaysia," katanya.

Filem yang menelan belanja sekitar RM1.2 juta ini mengisahkan perjalanan hidup Saga yang juga seorang pembunuh upahan dan suami kepada Salina. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rykarl. Kegiatan aktif Saga sebagai pembunuh memaksa dia untuk berpisah dengan Salina. Namun, anaknya dibawa bersama.

Selepas sekian lama, Salina kembali muncul dalam hidup Rykarl dan Saga apabila mereka terserempak dalam satu insiden penuh drama. Namun, pada ketika itu Salina sudah berkahwin dengan Nizam yang kebetulan anggota polis.

Mulalah konflik antara mereka dan pertembungan rasa cinta lama dan wujud pula plot sengketa antara Saga dan Nizam yang bukan sekadar berpaksi pada seorang wanita, Salina, sebaliknya terikat pada komitmen kerja dan tanggungjawab.

Walaupun filem ini mempamerkan sebuah plot cerita, aksi dan kemelut dunia gangsterisme, namun masih ada elemen cinta dan kasih sayang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/09


Erma rombak skrip

Posted: 09 Sep 2012 07:56 AM PDT

SELURUH skrip Teater Tun Dr Siti Hasmah ditulis semula oleh pengarah barunya, Erma Fatima. Teater itu yang sepatutnya sedang dipentaskan di Istana Budaya (IB) terpaksa ditunda kepada 9 hingga 19 November ini selepas pengarah asalnya, Adlin Aman Ramli menarik diri.

Disebabkan itu juga, Erra Fariza yang sepatutnya memegang watak sebagai Dr Siti Hasmah turut mengundur diri kerana pada tarikh baru itu dia sudah ada komitmen lain. Peranan itu akhirnya akan dilunaskan oleh Lisa Surihani yang akan muncul ketika bekas Wanita Pertama Negara itu masih muda dan ketika berusia diambilalih oleh Datin Sofia Jane.

Ketika ditemui pada sidang media teater itu di IB Jumaat lalu, jelas Erma yang sedang sibuk mengarahkan drama Kau Yang Terindah, dia tidak begitu tahu isi kandungan skrip yang dikarang oleh Adlin kerana dia hanya membaca separuh saja.

"Adlin menampilkan konsep yang berbeza iaitu lebih santai dan konsep itu tidak dekat pada jiwa saya. Umie Aida (Penerbit Eksekutif) dan IB mahu saya merombak skrip itu tetapi saya memutuskan untuk membuat skrip baru.


"Kita nampak Tun Dr Siti Hasmah sebagai Wanita Nombor Satu Negara dan selalu berada di samping suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamed tetapi bagaimana pula dengan peranannya sebagai isteri dan ibu di rumah serta sebagai kakak dan adik dalam keluarganya? Beliau juga terpaksa 'bermadu' dengan rakyat yang menuntut pengorbanan yang sangat besar.


"Apakah perasaannya sebagai isteri apabila Tun Dr Mahathir mahu melakukan pembedahan jantung di sini sedangkan beliau boleh mendapatkan khidmat pakar di luar negara?

"Oleh kerana Tun Dr Mahathir mahu rakyat negara ini percayakan kepakaran yang kita ada, maka beliau rela dibedah di negara sendiri. Khabarnya apabila mendapat tahu keputusan suaminya itu, Tun Dr Siti Hasmah menangis dan itulah kali pertama dia mengalirkan air mata," katanya.

Tambah Erma, pasti kita juga tertanya-tanya jika Tun Dr Mahathir sedih dia akan menyandarkan kesedihannya pada Tun Dr Siti Hasmah tetapi kalau beliau pula sedih, dengan siapakah dia mahu berkongsi kesedihannya.

"Sebagai isteri kepada Perdana Menteri, kita juga ingin tahu sudut pandangannya mengenai politik negara dan pandangannya sebagai rakyat jelata," katanya.

Dalam pementasan ini juga, Erma terpaksa berhati-hati menulis skrip dengan melakukan banyak kajian. Banyak perkara yang sensitif terutama dari segi politik dan anak-anaknya. Sebelum dipentaskan skrip itu juga ditapis dan mendapatkan kelulusan terlebih dulu.

Mengenai pemilihan Lisa, jelas Erma dia percaya pelakon jelita itu mampu membawa watak itu dengan baik dan dari sudut komersial, Lisa mempunyai ramai peminat.

"Sifat kelembutan dan kebijaksanaan Tun Dr Siti Hasmah ada pada Lisa," katanya.

Pementasan itu akan menampilkan pelakon Nazim Othman sebagai Tun Dr Mahathir ketika muda dan watak tuanya ditangani oleh Esma Daniel.

Sementara itu, Lisa mengakui yang dia terkejut dengan tawaran dari World Islamic Network Televisyen Sdn Sdn (WINTSB) dan IB.

"Ketika wakil IB menghubungi saya dua minggu lalu, saya tergagap-gagap untuk memberikan jawapan kerana saya belum pernah berlakon pentas dan peranan itu pula terlalu besar. Pernah ada tawaran berlakon teater sebelum ini tetapi terpaksa ditolak kerana pertembungan jadual.

"Kali ini saya terima kerana tiada tawaran lain dan sebagai pelakon yang belum pernah ke pentas teater, saya menyahut cabaran ini untuk melaksanakan amanah yang diberikan. Sejujurnya ketika tawaran itu sampai, saya tak tahu yang
Erra tidak jadi berlakon dalam pementasan ini dan saya terkejut apabila mendengarnya.

"Bagi saya Erra adalah orang yang paling layak membawakan watak Tun Dr Siti Hasmah. Saya terima tawaran ini sebagai cabaran untuk diri sendiri. Saya berterima kasih pada Erra kerana dalam artikel yang memuatkan beritanya, dia memberikan sokongan dan mahu saya melakukan yang terbaik.

"Walaupun amanah ini berat apatah lagi menggalas watak wanita berkarisma, paling utama selain memahami sisi halus dan emosi figura terbabit, saya juga kini giat mendalami watak, teknik lontaran suara dan lenggok badan daripada penggiat teater, Normah Nordin," katanya.

Menurut Lisa, dia pernah berlakon teater kanak-kanak ketika berusia 15 tahun berjudul www.puterigunungledang.com.my dan kini dia lupa segala teknik berlakon di pentas teater.

"Normah mahu saya mendalami semula teknik lakonan teater terutama lontaran suara dan dia juga tidak mahu saya mengehadkan perwatakan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/09


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Janji Zhuliang

Posted: 09 Sep 2012 01:34 PM PDT

"SAYA akan jadikan dia penerjun nombor satu dunia," tegas jurulatih terjun kebangsaan, Yang Zhuliang yang terharu dengan keputusan Pandelela Rinong menolak tawaran melanjutkan pelajaran empat tahun di Australia, baru-baru ini.

Zhuliang kagum dengan tindakan Pandelela itu semata-mata ingin berada di sampingnya di Malaysia.


Lantaran itu, beliau berjanji untuk memimpin Pandelela menjadi penerjun terbaik dunia sekali gus melonjakkan lagi sukan terjun Malaysia di peringkat antarabangsa.

Jika sebelum ini jurulatih kesayangan Pandelela itu belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sama ada ingin terus kekal memimpin penerjun Malaysia atau pulang ke negara asalnya, kini semuanya jelas terjawab.


"Saya memang ingin kekal di Malaysia dan hakikatnya keputusan itu dibuat sebelum Pandelela tampil mengeluarkan kenyataan rasmi untuk melanjutkan pelajaran di sini. Saya cukup gembira dengan tindakannya hingga tidak tahu apa yang ingin saya katakan," katanya, semalam.


Kontrak Zhuliang melatih penerjun Malaysia tamat Oktober ini dan jurulatih kesayangan semua penerjun Malaysia itu mula menerima tawaran beberapa negara termasuk Australia yang mahukan dirinya kembali.

Mula menabur khidmat pada 2001 sebelum meninggalkan skuad negara pada 2005 untuk ke Australia, Zhuliang kembali berkhidmat di Malaysia pada 2009 khusus bagi persediaan program Olimpik London dan berjaya membawa sukan terjun Malaysia ke tahap kuasa nombor dua Asia selepas gergasi China. Sebelum ini, Zhuliang pernah membantu Malaysia muncul juara keseluruhan acara terjun di Sukan Sea 2005 di Manila.


"Sejak dulu saya memang mengutamakan Malaysia. Di sini ramai penerjun bagus dan kita hanya perlu bijak menggilap," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan atlet sekarang ini, Zhuliang berkata latihan sudah bermula seperti biasa di Bukit Jalil.


"Cuma selepas Olimpik, tiada lagi kejohanan utama melainkan tahun depan saja. Ketika ini, saya hanya mempersiapkan atlet termasuk Lela ke Kejohanan Asia November ini di Dubai walaupun tidak pasti kita akan berentap di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Intai jurulatih China

Posted: 09 Sep 2012 01:18 PM PDT

MAJLIS Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan mengambil jurulatih dari China bagi melatih atlet negeri itu dalam lima sukan yang diberikan perhatian utama iaitu menembak, renang, gimnastik, wushu, ping pong dan terjun.

Bagaimanapun, MSNT menghadapi sedikit kesulitan berikutan harga gaji pasaran jurulatih China kini naik sebanyak 20 peratus berikutan kejayaan negara itu memenangi banyak pingat di Sukan Olimpik London, bulan lalu. Pengarah MSNT, Zainal Abidin Husin berkata, pihaknya akan menghantar rombongan ke China untuk mengenalpasti dan menemuduga jurulatih terbabit bulan depan.


"Kami terpaksa mengambil jurulatih dari China biarpun kadar gaji mereka naik kerana kami yakin mereka mampu membimbing atlet negeri ini untuk maju dalam sukan masing-masing.

"Selain China, kami juga bercadang mengambil jurulatih lawan pedang dari Indonesia manakala muay thai dari Thailand.


"Kehadiran jurulatih terbabit diharap dapat menggilap bakat atlet Terengganu supaya lebih menyerlah dalam setiap pertandingan yang disertai," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri MSNT di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, baru-baru ini.


Beliau juga memberitahu sebanyak 19 acara dipertandingkan di Sukma ke-16 di Kuala Lumpur tahun depan termasuk dua acara baru iaitu muay thai dan woodball.

"Kami akan cuba menyiapkan pasukan terbaik untuk menyertai semua acara itu dan proses mengenal pasti atlit sudah mula dijalankan," katanya.


Zainal turut meminta kerjasama ibu bapa memberikan sokongan kepada anak-anak mereka yang terbabit dalam Sukma ke-16 bagi menyemarakkan semangat juang atlit apabila beraksi kelak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved