Rabu, 31 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Beraya dengan Tuanku

Posted: 30 Aug 2011 08:50 AM PDT

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Istana Negara di sini, semalam.

Sesi rumah terbuka bagi orang kenamaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta menteri Kabinet dan diplomat asing.


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, antara 500 tetamu yang menghadiri rumah terbuka itu. Selepas rumah terbuka untuk orang kenamaan itu, Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah mengadakan rumah terbuka untuk orang ramai.

Kira-kira 20,000 rakyat berbilang kaum daripada pelbagai lapisan mengunjungi rumah terbuka itu yang bermula jam 11.40 pagi hingga 1 tengah hari. Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah turut meluangkan masa berdiri di hadapan 'rumah kaca' di Istana Negara untuk bersalaman dengan orang ramai dan memberi duit raya kepada kanak-kanak.


Orang ramai kemudian menerima cenderamata daripada pihak Istana Negara sebelum bergerak ke khemah disediakan di pekarangan istana untuk menikmati jamuan yang disediakan.


Penggal Seri Paduka berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual berakhir pada Disember ini.

Sementara itu, keadaan jalan raya di hadapan pintu masuk utama Istana Negara sesak kira-kira tiga kilometer akibat daripada deretan kenderaan yang diletakkan di sepanjang bahu jalan di situ.


Seorang pengunjung yang berpakaian unik iaitu Baju Melayu bercorak 'Jalur Gemilang', Hashim Mohamad atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Asyiem Songkok, 54, berkata, beliau berasa sungguh bertuah kerana buat pertama kali dapat menjejakkan kaki ke Istana Negara meraikan Aidilfitri bersama-sama dengan Tuanku. "Saya rasa amat bertuah kerana dapat bersama-sama rakyat yang beratur ini meraikan Aidilfitri dan juga menyambut Hari Kemerdekaan ke-54 negara secara serentak.

"Walaupun kesihatan saya agak terganggu, tapi saya tabahkan semangat untuk hadir bersama rakyat bagi merayakan hari raya kali ini bersama dengan Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika berbaris untuk bersalaman dengan baginda berdua.


Menurutnya baju Melayu, songkok dan samping corak 'Jalur Gemilang' itu dijahit isterinya dan kini beliau sudah mempunyai lima pasang baju Melayu Jalur Gemilang.


Ann-Marie Hanssen, 34, dari Sweden berkata, beliau yang secara kebetulan melawat Istana Negara tidak melepaskan peluang untuk menyertai kemeriahan itu. "Saya berada di Malaysia selama sebulan dengan suami saya yang bekerja di sini dan ini pertama kali saya datang melawat Istana Negara dan saya berasa sungguh seronok.


"Budaya Malaysia amat menarik dan orangnya pula mesra dan kami amat menyukainya," katanya. -Bernama

Ibu curi untuk anak

Posted: 30 Aug 2011 07:56 AM PDT

KAJANG: Hanya kerana mahukan anaknya memakai baju baru, seorang wanita mencuri beberapa pakaian dan barangan permainan bernilai RM597 di sebuah pusat beli-belah terkenal di Cheras.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan ternampak kelibat seorang pelanggan dalam keadaan mencurigakan di bahagian pakaian kanak-kanak.


Menurutnya, pengawal terbabit mengekori suspek yang masuk ke bilik persalinan bersama beberapa pakaian, tetapi suspek tidak mengetahui perlakuannya diperhatikan.

Katanya, tidak lama kemudian, suspek keluar, tetapi pakaian yang dibawa ke dalam bilik berkenaan tiada bersamanya.


"Mengesyaki suspek mencuri pakaian, pengawal berkenaan mengekori suspek hingga ke tempat letak kereta sebelum menahannya.


"Pengawal berkenaan mendapati beberapa baju dan seluar kanak-kanak serta mainan disembunyikan dalam beg suspek," katanya.

Katanya, suspek dibawa ke pejabat pengurusan pusat beli-belah berkenaan untuk diambil keterangan sebelum menghubungi polis.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata polis sudah mengambil keterangan suspek yang mengaku mencuri pakaian berkenaan.

"Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Rakyat Mali sanggup terima ‘raja segala raja’

Posted: 30 Aug 2011 07:05 AM PDT

GAO: Semakin ramai rakan taulan Muammar Gaddafi di peringkat antarabangsa menjauhkan diri darinya.

Bagaimanapun, penduduk di Gao, sebuah bandar di Mali, berkata, mereka bersedia menerima bekas pemimpin Libya itu.


"Biar Gaddafi datang ke sini. Kami akan menawarkannya tempat tinggal," kata seorang ahli kimia di Gao.

Seorang guru besar kelihatan tergamam apabila ditanya sama ada dia bersedia menerima kedatangan Gaddafi.


Bagaimanapun, katanya, Mali sudah lama menerima bantuan daripada bekas pemimpin Libya itu dan tidak mungkin boleh membiarkan beliau begitu saja.


"Saya setuju untuk menerima kedatangan Gaddafi. Kami bukan orang yang tidak tahu berterima kasih. Beliau memberi bantuan kepada kami. Ketika ini beliau berdepan dengan keadaan yang sukar. Kami tidak boleh meninggalkan dia begitu saja," katanya.

Hubungan Mali dengan Gaddafi begitu kukuh.


Libya menerima kemasukan ribuan pemberontak Tuareg dari Mali dan negara jiran yang lain pada 70-an. Ramai di antara mereka kini kembali dengan membawa pulang senjata dan kereta mahal. Gaddafi pernah juga memberikan berjuta dolar kepada ketua negara di Afrika dan ketua suku kaum di benua itu menggelarnya 'raja segala raja.' - Reuters

Bapa saudara Obama pemabuk

Posted: 30 Aug 2011 07:02 AM PDT

BOSTON: Seorang bapa saudara Presiden Barack Obama ditangkap baru-baru ini berhampiran bandar raya ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk.

Onyango Obama ditahan di Framingham, Massachusetts pada 24 Ogos.

Jurucakap polis, Blaise Tersoni berkata, ketika ditangkap, (Onyango) Obama tidak boleh bercakap dengan baik dan berbau arak.

Menurut laporan polis, lelaki itu mendakwa dia hanya minum dua tin bir tetapi gagal dalam beberapa ujian.


Apabila ditanya sama ada dia hendak menelefon sesiapa, lelaki itu menjawab: "Adalah lebih baik saya telefon Rumah Putih."


(Onyango) Obama ditahan tanpa ikat jamin dan menjadi tahanan imigresen, status yang biasanya diberikan kepada mereka yang berada di Amerika Syarikat tanpa visa sah.

Keluarga Presiden Amerika Syarikat di sebelah bapanya, warga Kenya, mendapat liputan akhbar tahun lalu apabila ibu saudaranya, Zeituni Onyango, adik Onyango Obama, menang dalam satu kes mendapatkan suaka politik selepas berada di Amerika Syarikat secara haram. - AFP

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Bangga sebagai Anak Malaysia

Posted: 30 Aug 2011 05:34 AM PDT

TATKALA mereka yang ber agama Islam menyambut Syawal dengan penuh gembira, tidak dilupakan hari ini juga kita menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-54. Sambutan kemerdekaan tahun ini diraikan serentak dengan Hari Malaysia pada 16 September.

Berpuasa sepanjang Ogos, bukan penghalang untuk kita merasai kehangatan kemerdekaan. Jika bukan kerana pemimpin sebelum ini bekerja keras untuk membebaskan negara kita dari penjajah, sudah pasti kita tidak dapat menikmati apa yang sudah kita kecapi pada masa kini. Sambutan hari raya juga mungkin langsung tidak disambut atau tidak semeriah seperti yang kita lihat sekarang ini.

Tiga selebriti yang digandingkan bersama masing-masing mempunyai pengertian tersendiri mengenai makna kemerdekaan yang dikecapi. Jaclyn Victor, Black dan Wilson Tan tidak mempunyai sebarang masalah apabila digandingkan bersama kerana mereka sama-sama mempercayai pada satu perkara iaitu cintakan pada negara yang berbilang kaum.

Walaupun Black dan Jaclyn pertama kali digandingkan dengan Wilson, suasana sesi fotografi yang berjalan penuh dengan gelak ketawa apatah lagi dengan telatah Black yang suka menyakat dan sering membuat lawak.


Wilson, jejaka berkulit cerah ini mungkin kurang mendapat perhatian masyarakat Malaysia kerana kerjayanya sebagai model. Dia jarang sekali muncul dalam acara-acara berbentuk hiburan tetapi sering menghiasi dada majalah terutama sekali yang berkaitan dengan fesyen termasuk di luar negara.


Pernah bergandingan dengan model wanita hebat, Amber Chia, Wilson tidak mahu mensia-siakan kesempatan yang diberikan kepadanya dan ingin membawa nama Malaysia ke persada dunia.

Wilson ingin membuktikan lelaki Malaysia juga setanding dengan supermodel antarabangsa. Lagaknya apabila menggayakan busana di pentas berlainan daripada supermodel lain. Caranya berjalan sehinggalah eksperasi wajah yang ditunjukkan menjadikan namanya sering diingati kerana memaparkan kelainan.

Wajahnya yang seakan-akan lelaki Eropah memudahkan dia menembusi pasaran luar negara apatah lagi selepas dia memenangi Model Terbaik ketika Festival Fesyen Asia yang keenam di Seoul, Korea awal tahun ini. Turut berlakon dalam drama bersiri Cina, Wilson sangat bersyukur dengan apa yang dikecapinya.

"Saya rasa sangat gembira dan bersyukur kerana dianugerahkan wajah dan ketinggian seperti ini. Saya mempunyai matlamat dalam industri ini kerana hakikatnya apabila saya keluar negara, mereka sering bertanya asal usul saya.

"Tidak dinafikan saya sedikit kecewa apabila saya terangkan saya berasal dari Malaysia dan mereka bertanya 'Malaysia?'. Saya ingin menembusi industri ini di Eropah seperti Paris untuk membuka mata masyarakat di luar sana," katanya.

Tidak pernah menyambut hari kemerdekaan, Wilson berharap dia mempunyai peluang untuk merasai sendiri kehangatan sambutan hari bermakna itu bersama-sama dengan ribuan penduduk Malaysia.

Berbicara mengenai semangat cintakan pada negara, Wilson berpendapat mengibarkan bendera ketika bulan kemerdekaan bukan satu-satunya cara menunjukkan kecintaan kepada negara.

"Ada banyak cara untuk kita tunjukkan semangat itu. Bagi saya sendiri, sudah menjadi rutin hidup sering ke luar negara atas tuntutan kerja, tetapi sekiranya ada sesiapa yang memerlukan kepakaran saya sebagai model di Malaysia, tanpa berfikir panjang saya akan menempah tiket untuk pulang ke tanah air.

"Saya berasal dari Grik, sebuah perkampungan kecil yang belum membangun, tetapi saya tidak segan untuk mengaku siapa saya. Setinggi manapun kejayaan yang kita kecapi, jati diri tidak harus dilupakan kerana ia adalah salah satu perkara yang membentuk siapa diri kita," katanya.

Segak menyarungkan baju Melayu berwarna biru, Black berkata, kebebasan yang dirasai sekarang harus dijaga bagi memastikan keharmonian negara terjaga kerana negara kita yang berbilang kaum dan jika tidak berhati-hati keadaan itu akan dijadikan senjata orang yang tidak bertanggungjawab untuk mengkucar-kacirkan keadaan.

"Tanpa kita sedari, sebenarnya kita sedang cuba dijajah dari segi fizikal dan mental kita melalui kecanggihan teknologi. Lihat saja internet yang sering digunakan dalam hidup kita. Jika tidak berhati-hati, sumber yang kita dapat dari Internet mungkin akan mengganggu kelancaran sistem di Malaysia, seterusnya mungkin akan mencetuskan pergaduhan.

"Kemerdekaan bukan hanya bererti negara bebas dari jajahan penjajah tetapi ia juga bermakna kita bebas dari pengaruh anasir luar dan sentiasa memupuk semangat cintakan negara.

"Sebagai anak Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab setiap insan mempertahankan keamanan yang sudah dicapai oleh negara kita. Saya sebagai seorang penyanyi juga masih berjuang, berjuang untuk membawa Malaysia ke peringkat antarabangsa," kata pelantun lagu Sofia Jane itu.

Katanya lagi, kerana terlalu cintakan negara dia sanggup turun ke medan perang sekiranya tenaganya diperlukan untuk mempertahankan negara. Bagaimanapun, Black mendoakan kesejahteraan Malaysia agar menjadi tempat yang selamat untuk generasi baru.

Pemenang Malaysian Idol, Jaclyn pula berkata, sudah tiba masanya anak-anak kecil diterapkan dengan unsur-unsur kemerdekaan dan bukan hanya bergembira kerana mereka tidak perlu ke sekolah pada Hari Kemerdekaan.

"Zaman sudah berubah. Ketika masih kecil, apa yang saya tahu pada hari kemerdekaan, saya tidak perlu bersekolah. Duduk di rumah dan menonton televisyen, melihat perarakan di siaran langsung dari Dataran Merdeka.

"Tetapi kanak-kanak pada zaman ini semakin bijak. Tentu ada cara untuk menerapkan semangat cintakan negara dalam jiwa mereka. Jangan sampai kerana keselesaan hidup di negara ini, mereka lupa perjuangan orang-orang yang bertanggungjawab membebaskan negara kita," katanya.

Wilson, Black dan Jaclyn bersyukur dilahirkan sebagai anak Malaysia dan tidak pernah malu bercerita mengenai latar belakang masing-masing kerana mereka sama-sama penyumbang kepada tunggak keamanan negara.

Bunohan wakil Malaysia

Posted: 30 Aug 2011 05:15 AM PDT

FILEM aksi drama Bunohan masih menanti tayangan kepada penonton tempatan, tetapi ia bakal disaksikan terlebih dulu masyarakat antarabangsa apabila dipilih untuk tayangan di Festival Filem Antarabangsa Toronto ke-36 (TIFF) yang berlangsung pada 8 hingga 18 September ini.

Pemilihan filem ditulis dan diarahkan Dain Said serta diterbitkan Nandita Solomon dengan kerjasama Tim Kwok dari Entertainment Convergence ini dipilih secara rasmi untuk tayangan perdana di festival itu melalui seksyen Discovery yang memaparkan filem daripada pembikin meningkat naik dari seluruh dunia.

Difahamkan, Pengurus Program TIFF, Giovanna Fulvi melihat Bunohan sebagai karya yang punya tarikan tersendiri dan percaya filem berkenaan menjadi antara taruhan terbaik pengarah itu.

"Sekali pandang, ia realistik dan bergaya. Filem yang mempunyai kuasanya tersendiri. Arahan Said yang mantap, menjamin persembahan yang kuat daripada barisan pelakonnya, yang hampir keseluruhannya lelaki.


"Boleh dikatakan filem ini mempunyai tarikan tersendiri dengan aksi dan garapan yang diketengahkan," katanya.


Festival yang paling berprestij di Amerika Utara itu menyaksikan Bunohan menjadi satu-satunya filem mewakili Malaysia pada tahun ini.

Tidak cukup dengan berita gembira itu, Bunohan sekali lagi membawa berita baik buat Dain Said apabila berjaya mendapat pengedaran antarabangsa bersama Universal Pictures untuk pasaran United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

Pembikin filem, Dain Said yang kini berada di Bangkok bagi menyiapkan filemnya untuk dihantar ke Toronto mengakui cukup gembira dengan dua berita gembira itu.

Katanya, ia menunjukkan langkah positif buat filem tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

"Pastinya ini berita gembira buat saya dan juga semua pihak yang menjayakan filem ini. Saya benar-benar tidak mengharapkan apa-apa, tetapi sekarang ia terjadi. Apa yang boleh saya katakan, saya berasa teruja, terutama untuk semua tenaga produksi dan pelakon yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan filem ini.

"Saya berharap usaha ini akan berterusan pada masa depan dan peminat filem aksi dapat menerima karya ini," katanya.

Bunohan yang dihasilkan syarikat perfileman Apparat yang dimiliki Dain, diwakili di peringkat antarabangsa oleh Easternlight Films. Ia berkisar kepada kisah tragik kasih sayang antara tiga beradik dan bapanya yang kian uzur.

Kisah pergelutan mereka untuk merapatkan ikatan kekeluargaan dan restu, beransur ke arah keganasan, korupsi dan pembunuhan.

Jauh di kampung pedalaman bahagian selatan Thailand, berdekatan sempadan Malaysia, Bunga Lalang atau Adil lakonan Zahiril Adzim mengambil bahagian dalam pertandingan tinju Tomoi yang membabitkan pertaruhan wang, maruah dan nyawa.
Sahabat lama Adil, sempat menyelamatkannya dari pinggir maut, mengubahkan mereka menjadi pelarian penganjur tinju haram itu.

Ilham (Faizal Hussein), pembunuh upahan dihantar untuk memburu dua sahabat itu berada dalam perjalanan pulang ke Kampung Bunohan, kampung halaman Ilham yang sudah lama ditinggalkan. Ilham tidak pernah pulang walaupun ketika ibunya berada di anjung nyawa.

Pada masa sama, Bakar (Pekin Ibrahim), abang sulung Adil juga pulang ke Kampung Bunohan kononnya untuk menjaga bapa mereka yang uzur. Perwatakan solehnya tersembunyi niat buruk seorang usahawan bercita-cita tinggi.

Bakar seorang yang berhati kejam sanggup melakukan apa saja untuk memenuhi kehendaknya. Sekembali mereka bertiga ke kampung halaman di mana takdir mereka menunggu.

Dalam bayangan kegelapan diri masing-masing, timbul memori silam yang dipenuhi keinginan, penghukuman dan perasaan kehilangan. Dalam Bunohan, di sinilah bermulanya segala keperitan.

Filem ini turut dibintangi pelakon Bront Palarae, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Sofi Jikan, Amerul Affendi, Hushairy Hussein dan Jimmy Lor selain penampilan khas model tinggi lampai, Tengku Azura dan pengarah indie, Ho Yuhang.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Beraya dengan perut kosong

Posted: 30 Aug 2011 08:41 AM PDT

MOGADISHU: "Kami sudah beberapa hari tidak makan. Harap-harap di pagi Syawal ini ada pihak yang bermurah hati menghulurkan sedekah untuk membolehkan kami membeli makanan."

Itu rintihan sayu seorang ibu muda bersama dua anak kecil sambil menghulurkan tangan kepada umat Islam yang keluar dari Masjid Isbahaysiga, di sini, selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi semalam.


Keadaannya yang lesu, mata berair dan kesan air mata yang sudah kering di pipi menambah syahdu wartawan Harian Metro ketika menembualnya.

Ibu muda dikenali sebagai Munah Adam, yang baru berusia 25 tahun itu adalah seorang daripada ribuan mangsa kebuluran di Somalia yang bergolak.


Wanita seperti Munah terdapat di mana-mana di jalan raya Mogadishu sejak penulis menjejakkan kaki ke bumi bergolak ini mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia sejak 25 Ogos lalu.


Aidilfitri di Somalia disambut dalam suasana serba kekurangan dan lebih menyayat hati ketika golongan lelaki menunaikan solat sunat Aidilfitri, ribuan kanak-kanak serta wanita berkumpul di luar masjid untuk meminta sedekah.

Sejurus saja tamat khutbah raya, semua yang berada di luar masjid berpusu-pusu menyerbu jemaah yang keluar untuk meminta sedekah.


Pada 1 Syawal semalam, masjid utama di negara yang mengalami krisis kebuluran paling teruk sejak 60 tahun itu, dikunjungi kira-kira 5,000 orang.

Bagaimanapun, hanya kira-kira 2,000 yang menunaikan sembahyang raya, selebihnya adalah penghuni kem IDPs yang datang untuk meminta bantuan.


Munah yang menghuni kem penempatan 'Internal Displace Persons' (IDPs) datang ke Masjid Isbahaysiga bersama dua anaknya jauh lebih awal sebelum solat Aidilfitri dilakukan.


Menurut ibu malang itu, Aidilfitri baginya sama seperti hari-hari biasa dalam kehidupan yang penuh penderitaan akibat dari peperangan yang berlaku lebih 20 tahun lalu.


"Kami lima sekeluarga termasuk suami, bapa dan dua anak perempuan sudah lebih sebulan menetap di kem IDPs. Aidilfitri tiada makna istimewa buat kami, hanya pada kebiasaannya ramai umat Islam bermurah hati menghulurkan sedekah.


"Tiada apa pun dalam hidup kami. Tiada rumah, tiada pekerjaan dan lebih teruk tiada makanan hingga kami sekeluarga kebuluran. Setiap hari kami hanya meminta belas ihsan dari orang untuk hulurkan sedekah makanan bagi mengalas perut," katanya.


Munah berkata, dia dan keluarganya berjalan kaki sejauh kira-kira 250 kilometer dari luar Mogadishu ke kem IDPs untuk memastikan mereka mendapatkan bantuan makanan bagi meneruskan kehidupan kerana di kampung halaman sudah tiada apa-apa lagi.


"Setiap hari kami terpaksa keluar mencari makanan dengan meminta sedekah, namun ia tidak menjanjikan apa-apa kerana kebanyakan masyarakat di sini juga mengalami nasib seperti kami," katanya.

Radhi kembali kepada fitrah

Posted: 30 Aug 2011 08:41 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Lebaran kali ini terlalu jauh berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun lalu. Ia bakal menjadi lebaran paling sempurna buat saya selepas sekian lama saya mengambil barang itu (dadah)," kata Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali sebagai Radhi, 34, vokalis kumpulan OAG ketika ditemui di Rumah Pengasih di sini, semalam.

Radhi yang memasuki pusat itu sejak 11 Januari lalu kini sedang menjalani proses pemulihan bagi membuang ketagihannya terhadap dadah yang diambil selama kira-kira 10 tahun selain mahu mendalami ilmu agama.


Menurut Radhi, hari raya Aidilfitri tahun ini bakal memberi seribu makna kepadanya kerana dia kini lebih menghayati erti Ramadan selepas berjaya melengkapkan ibadah puasa serta solat sunat Tarawih berbanding sebelum ini dan tumpuannya hanya kepada menyambut perayaan Aidilfitri.

Radhi bagaimanapun tidak menafikan masih wujud kesukaran untuknya meninggalkan najis itu secara 100 peratus pada peringkat awal namun keberkatan solat fardu yang ditunaikan mampu menghindari dirinya daripada terjebak semula.


"Selepas bertahun-tahun, saya kini benar-benar menemui jalan yang sepatutnya saya pilih dari dulu lagi dan di sinilah tempatnya. Memang dulu saya pernah cuba berubah, tapi gagal kerana saya tidak begitu kuat apatah lagi tiada sokongan jemaah (masyarakat) seperti sekarang.


"Saya bercadang meraikan hari raya pertama di sini (Rumah Pengasih) bersama penghuni lain. Ibu dan anak saya mungkin akan," katanya.

Mengimbau kenangan lampau ketika masih dipengaruhi dadah suatu ketika dulu, Radhi berkata, najis itu sebenarnya banyak mencetuskan perkara negatif dalam hidupnya termasuk pergolakan rumah tangga yang dibina selama lebih lima tahun.


Malah, menurut Radhi, setiap kali menjelang raya, hanya jasadnya yang berada bersama keluarga namun pemikirannya lebih ke arah khayalan disebabkan pengaruh dadah.

"Saya memang selalu memikirkan apa akan berlaku pada saya jika saya ditangkap kerana dadah. Ia memang sering terlintas di fikiran saya namun saya masih tidak mampu berhenti kerana terlalu mengikutkan nafsu dan pengaruh kawan yang turut sama menagih.


"Disebabkan itu, sekarang saya tak nak lagi ada kereta atau rumah yang pernah memberi kemudahan kepada saya untuk memperoleh dan menghisap dadah. Paling penting, saya kini sudah berjaya berhenti menghisap rokok pada 20 Mei lalu sempena hari lahir keenam anak saya, Muhammad Rifdhi Muslim.


"Sekarang ini, saya lebih mengabdikan diri saya kepada Allah bersama kawan lain di rumah ini (Pengasih) supaya kehidupan saya kelak lebih sempurna demi Rifdhi," katanya.


Radhi berharap pemulihannya pada kali ini akan menemui kejayaan di samping mengharapkan penghijrahan itu mampu menyedarkan rakan sealiran yang turut mengambil barang terlarang berkenaan.


Di samping menjalani proses pemulihan, Radhi juga berjaya menyiapkan beberapa lagu untuk album terbarunya dan sekiranya pemulihannya berjalan lancar, dia akan kembali memulakan karier seninya pada awal tahun depan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Hazwan cetus impak

Posted: 30 Aug 2011 07:32 AM PDT

PERCATURAN jurulatih Ong Kim Swee menyenaraikan penyerang muda Ahmad Hazwan Bakri bersama skuad Olimpik negara menjalani latihan di Slovakia bulan lalu nyata berbaloi apabila penyerang muda dari Kuala Lumpur itu mula memberikan impak kepada pasukan.

Biarpun tidak sampai dua bulan bersama skuad muda negara itu, Ahmad Hazwan menyerlahkan potensi sebenar dirinya dengan menyumbat dua gol dalam lima perlawanan persahabatan dengan skuad liga Slovakia dan Hungary ketika menewaskan Tatran Liptovsky Mikulas 2-1 dan MFK Dolny Kubin 2-0.


Bagi Kim Swee, beliau puas hati prestasi dipamer Ahmad Hazwan apatah lagi ketika penyerang asal skuad Olimpik masih kurang menjadi dalam mencipta jaringan.

"Ahmad Hazwan antara pemain baru yang menonjol dalam skuad Olimpik. Dia menunjukkan prestasi baik dari perlawanan ke perlawanan.


"Apa yang menarik mengenai pemain ini adalah dia memiliki disiplin baik untuk dijadikan contoh kepada pemain lain, tidak kiralah pemain kebangsaan atau Harimau Muda A yang berada dalam skuad Olimpik ini," katanya.


Ahmad Hazwan antara pemain baru yang dipanggil Kim Swee bagi mengikuti latihan dan siri perlawanan persahabatan di Slovakia selain Azrul Azmi (Felda United), Muhamad Syazwan Tajuddin, Muhd Nazmi Faiz Mansor (Harimau Muda B), Mohd Azrif Nasrulhaq (Selangor PKNS) dan Mohd Izuan Solahuddin (Kelantan).

Kim Swee berkata, beliau tidak mahu memberikan tekanan kepada Ahmad Hazwan sebaliknya mahu memberi ruang kepada pemain berusia 20 tahun itu untuk meningkatkan prestasi dan menyesuaikan diri bersama skuad Olimpik.


"Saya tidak perlu terlalu mendesak Ahmad Hazwan dengan meletakkan bebanan terlalu tinggi sebaliknya mahu dia memberi tumpuan menjadi pemain lebih baik. Dia pemain berbakat, kehadirannya akan memberi saingan kepada pemain lain," katanya.

Ketika ini barisan serangan negara dibarisi Ahmad Fakri Saarani, A Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim, Mohd Izuan Solahuddin dan Izzaq Faris Ramlan.


Skuad Olimpik akan memulakan kempen Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik 2012 London menentang Jepun di Stadium Tosu pada 21 September ini.

Norizman tekad terus konsisten

Posted: 30 Aug 2011 07:28 AM PDT

NORIZMAN Ismail mahu memastikan tunggangannya pada baki empat pusingan saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim ini kekal konsisten bagi membolehkannya dinobat juara mutlak kategori Perdana CP130.

Norizman yang mewakili pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing kini mendahului pelumba lain dengan 87 mata selepas enam pusingan sekali gus menyaksikan peluangnya untuk muncul juara pada musim ini semakin terbuka luas.


"Mengikut kiraan matematik, saya perlu berada pada kedudukan lima terbaik pada baki empat pusingan ini untuk kekal di tangga teratas pungutan mata dan akhirnya menggenggam kejuaraan.

"Tapi ia bukanlah satu tugas mudah kerana saingan pelumba lain sangat sengit. "Saya perlu berhati-hati pada setiap pusingan selepas ini dan mengekalkan tunggangan konsisten seperti enam pusingan terdahulu.


"Saya harap tidak membuat kesilapan untuk terus ungguli kedudukan," katanya.


Musim lalu, nasib tidak menyebelahi Norizman apabila hanya muncul pelumba kedua terbaik keseluruhan selepas tewas tipis kepada Hafiz Syahrin Abdullah yang dinobat juara.

Untuk itu, pelumba berusia 26 tahun yang pernah muncul juara kategori expert pada 2005 itu tidak mahu dihambat kekecewaan lagi pada saingan musim ini selepas selesa mendahului pelumba lain ketika ini.


"Tahun lalu memang saya kecewa kerana tewas pada saat-saat akhir. "Harap perkara sama tidak berulang pada musim ini kerana saya memang mengimpikan kejuaraan.

"Sebab itu seperti saya katakan tadi, saya perlu kekal konsisten bagi baki saingan musim ini. Andai dapat muncul pemenang pada dua pusingan selepas ini, saya akan muncul juara," katanya.


Baki empat pusingan lagi ialah di Kluang (24 hingga 25 September), Melaka (29 hingga 30 Oktober), Sepang (12 hingga 13 November) dan Pulau Pinang (3 hingga 4 Disember).

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved