Isnin, 27 Ogos 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kuih dilelong elak pembaziran

Posted: 27 Aug 2012 10:29 AM PDT

BANYAKNYA kuih raya. Bolehkah habis dijual sebelum Syawal? Itu antara soalan yang terlintas di minda tatkala melihat deretan kuih raya yang dijual di Bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Tar), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walaupun tidak banyak gerai yang menjual kuih raya, ia cukup untuk pengunjung membeli segala macam biskut atau kuih raya bagi menjamu tetamu yang berkunjung ke rumah ketika Aidilfitri.

Menjadi keperluan penting ketika menyambut Syawal, kuih atau biskut raya tidak pernah dilupakan setiap kali membuat senarai membeli barangan sebelum Aidilfitri menjelma.

Lantas, setiap tahun pasti ramai peniaga kuih raya yang menyediakan pelbagai jenis kuih bagi menarik perhatian pengunjung untuk membelinya.


Apapun, peniaga juga perlu berhadapan dengan masalah kuih raya yang tidak habis dijual. Justeru, mereka harus ada langkah bijak bagi mengelakkan pembaziran.


Bagi pembuat dan peniaga kuih raya, Sa'diah Azhar, 58, walaupun kuih raya yang dijual di lokasi popular itu banyak dan pelbagai jenis, dia dapat mengagak sama ada ia habis dijual atau sebaliknya sebelum hari raya.

"Kami menjual lebih daripada 50 jenis kuih raya di bazar Jalan Tar dan Chow Kit. Antara jenis kuih raya yang paling banyak disediakan ialah tart nanas.

"Biasanya setiap tahun kami menyediakan sehingga 240 balang untuk satu jenis kuih atau biskut raya yang mendapat permintaan ramai.

"Kuih raya dihasilkan mengikut sambutan pelanggan dan kami mula menjual pada hari ke-10 Ramadan sejak lebih 10 tahun lalu," jelasnya yang turut membantu membuat coklat untuk dijual.

Sa'diah yang membantu menantunya membuat dan menjual kuih raya menambah, dia memulakan proses menyediakan coklat selepas subuh.

Dia boleh menyiapkan sehingga 48 balang sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan yang menggemari rasa coklatnya itu.

Disebabkan sibuk menyiapkan coklat berkenaan, dia hanya dapat membuat kuih raya untuk keperluan rumah sendiri selepas memastikan bekalan coklat mencukupi.

Bermula mengikuti kelas membuat kuih raya ketika berusia 40-an, Sa'diah lebih gemar menyediakan sendiri biskut raya atau coklat untuk keluarganya dan tidak membeli daripada orang lain.

Bagi menambah ilmu dan mencari idea baru dalam pembuatan kuih raya, Sa'diah hanya mencari maklumat di Internet atau televisyen untuk dicuba sendiri.

Jika berjaya, dia menggunakan pengetahuan itu sama ada untuk menghasilkan kuih untuk dijual atau kegunaan sendiri.

Tambahnya, kuih raya yang dihasilkan biasanya boleh bertahan sehingga dua bulan. Oleh itu, ia mula dihasilkan seminggu sebelum tiba Ramadan.

Semua kuih raya disediakan ahli keluarganya itu dihasilkan sendiri tanpa menggunakan mesin bagi mengekalkan keenakannya. Selain biskut moden seperti tiramisu coklat dan royal jelly, gerai Acun Lin itu turut menjual kuih raya tradisional yang masih mendapat permintaan ramai.

Antaranya ialah belah rotan, batang buruk, kuih siput dan ros yang ternyata mengundang tarikan pelanggan tetapnya dari Sarawak, Sabah dan Brunei setiap kali tiba Ramadan.

Adat berniaga pasti ada pasang dan surutnya.

Sudah menjadi kebiasaan kuih raya yang dijual pasti ada lebihan selepas berakhirnya Ramadan.

Jelasnya, dia mempunyai cara tersendiri untuk menguruskan kuih raya yang tidak habis dijual bagi mengelakkan pembaziran.

"Biasanya lebihan kuih raya dijual secara lelong atau kami sedekahkan kepada masjid dan keluarga miskin.

"Selain itu, kami berikan kuih raya berkenaan kepada ahli keluarga untuk menjamu tetamu yang berkunjung ketika Syawal," katanya mengenai pengurusan kuih raya yang tidak dijual.

Sementara itu, jurujual Jamali & Natrah Enterpirse, Syaiful Huzaimi Mohamed, 26, berkata, setiap jenis kuih yang terdapat di gerai berkenaan menyediakan lebih daripada 1,000 balang.

Turut dibantu Saiful Arif Shakiran, 25, gerai terbabit dibuka bermula jam 9 hingga 4 pagi, semua kuih raya disediakan di rumah tanpa menggunakan mesin menyebabkan pengunjung lebih berminat untuk membelinya.

Tambahnya, dalam sehari mereka mampu menjual lebih 300 balang kuih raya yang mendapat sambutan ramai setiap tahun.

Menjual pelbagai jenis kuih atau biskut raya tradisional dan moden, ia disediakan bagi memberi pilihan kepada pengunjung.

Bertapak sejak lima tahun lalu, antara kuih raya yang digemari ramai adalah tart nanas, almond London, biskut suji dan biskut brownie.

Selain di bazar Jalan Tar, mereka turut membuka gerai yang menjual kuih raya di Setiawangsa dan Jalan Kuching kerana permintaan yang tinggi.

Mengenai kuih atau biskut raya yang tidak habis dijual selepas berakhirnya Ramadan, Syaiful Huzaimi segera menjawab mereka mempunyai langkah berkesan untuk menghabiskannya.

"Biasanya kuih yang dijual ini boleh tahan sehingga setahun dan anggaran baki yang tidak habis dijual kira-kira 240 balang.

"Untuk menghabiskan baki kuih raya yang masih ada selepas Ramadan, kami menjual secara lelong kepada pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


PHB taja sudut membaca

Posted: 27 Aug 2012 10:24 AM PDT

RASA cinta kanak-kanak kita terhadap buku memang masih belum cukup mendalam. Jadi tidak hairanlah jika di sana sini ramai kanak-kanak lebih terpaku perhatian mereka kepada permainan komputer khususnya pada alat telekomunikasi milik ibu bapa mereka.

Namun, masih belum terlambat untuk menyemai rasa suka kepada buku dan atas tujuan itu, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya dengan mendermakan buku bernilai RM3,000 untuk diletakkan di sudut membaca di kawasan menunggu rawatan dialisis, Hospital Tanjung Karang, Selangor.

Ruang membaca itu yang diberikan nama 'Sudut Membaca PHB' akan berfungsi untuk menyemai budaya membaca di kalangan rakyat negara ini terutama pesakit, pelawat, doktor dan jururawat yang bertugas di hospital berkenaan.

Kini mereka sudah mempunyai sebuah kawasan yang selesa untuk menikmati aktiviti membaca, menimba ilmu dan menghabiskan masa lapang.


Sudut membaca yang terbuka itu mempunyai lebih 70 tajuk dalam koleksinya termasuk karya penulisan dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Jawi meliputi pelbagai subjek seperti agama, pemakanan, kesihatan dan motivasi.


PHB mengambil masa lebih enam bulan untuk kajian dan perancangan bagi mengenal pasti hospital paling sesuai yang akan mendapat paling banyak manfaat dengan mempunyai sudut membaca. Sudut membaca itu sudah beroperasi dan boleh digunakan 24 jam sehari.

Kerajaan sudah mengadakan pel–bagai kempen membaca, seperti kempen Mari Membaca 1Malaysia yang lancarkan pada awal 2010 untuk meningkatkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Tahun ini, PHB berusaha untuk memastikan inisiatif itu bergerak seiring usaha berterusan kerajaan untuk menyemai budaya membaca melalui hospital.

Berdasarkan laporan bancian tahap celik huruf negara yang kali terakhir dijalanlan pada 2005, rakyat Malaysia semakin kurang membaca apabila umur mereka meningkat. Menyedari perkara ini, PHB mengenal pasti kepentingan menyediakan bahan bacaan yang meluas kepada golongan membaca yang berumur antara 20 tahun hingga 60 tahun.

Secara dasarnya, koleksi buku yang terdapat pada 'Sudut Membaca PHB' menyasarkan untuk mendidik, memberikan pendedahan dan meningkatkan minat pembaca serta menyemai sikap positif terhadap budaya membaca.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman, kini banyak pihak beranggapan perpustakaan dan sudut membaca seperti ini sudah tidak lagi bermanfaat dengan wujudnya Internet. Bagaimanapun, pihaknya percaya sudut membaca dan perpustakaan masih lagi suatu tempat untuk golongan dewasa dan kanak-kanak belajar banyak perkara.

"Sudut Membaca PHB ini disediakan dalam suasana yang merehatkan minda. Ini dapat menyediakan pesakit di Hospital Tanjung Karang untuk membaca dalam suasana yang tidak seperti kebiasaan. Tambahan pula, sudut membaca ini menyediakan pesakit suatu ruang alternatif yang selesa untuk mereka berbual dan menikmati kehadiran rakan dan orang tersayang yang datang melawat pada bila-bila masa," katanya.

Pengarah Hospital Tanjung Karang, Dr Roniyuzam Abdul Malek hadir pada majlis itu yang diadakan di Kuala Selangor untuk menerima buku yang disampaikan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Projek Istimewa PHB, Mohamad Shahizam Fauzi.

PHB, anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) juga mendermakan 500 kotak berisi buah tamar kepada pekerja dan pesakit Hospital Tanjung Karang.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


MMS jadi petunjuk

Posted: 26 Aug 2012 12:21 PM PDT

DUNGUN: Peta lokasi dan gambar keindahan air terjun Jeram Berdebu, Pasir Raja memberi petunjuk kepada polis sebelum pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat wartawan sambilan sebuah syarikat pengiklanan, di sini, kelmarin.

Mayat Nian Hoi Chun, 50, ditemui dalam keadaan berbogel dengan bahagian paha, perut dan kemaluannya dimakan binatang selepas ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 9.45 pagi.


Sebelum itu, mangsa yang berasal dari Jalan Angsoka Setapak, Kuala Lumpur dikatakan datang ke kawasan Air Terjun Cemerung, Pasir Raja, di sini dan tidur di situ dengan memasang khemah sejak 17 Ogos lalu.

Mangsa dikatakan meninggalkan khemahnya untuk ke kawasan Air Terjun Jeram Berdebu di Kuala Jengal sejauh 30 kilometer dengan memandu kenderaan pacuan empat roda Kia Sportage miliknya.


Sebaik tiba di Kuala Jengal, mangsa meneruskan lagi perjalanan melalui kawasan berbatu sejauh 30 kilometer lagi sebelum meninggalkan beg mengandungi wang tunai RM100 serta dokumen pengenalan diri di dalam kenderaannya. Mangsa kemudian meredah jalan berbukit selama tiga jam sebelum tiba di kawasan air terjun berkenaan.


Mayat mangsa ditemui dalam jarak satu jam perjalanan ke kawasan air terjun itu dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke kawasan khemahnya.

Rakan mangsa, Lim Siang Hui, 32, berkata, ketika tiba di kawasan air terjun berkenaan, mangsa ada menghantar sekeping gambar keindahan air terjun di situ yang didakwanya paling cantik dalam banyak kawasan air terjun yang dilawati kira-kira jam 10.30 pagi.


"Saya terima khidmat pesanan multimedia (MMS) dan peta laluan ke kawasan air terjun yang tidak pernah diketahui orang ramai itu dan dia berjanji akan membawa saya serta beberapa rakan lain ke situ suatu masa nanti," katanya.

Lim berkata, kira-kira jam 4.30 petang, dia ada menghubungi telefon bimbit mendiang tetapi gagal dihubungi kerana mungkin di kawasan itu tiada talian.


"Selepas beberapa hari gagal menghubunginya, saya yang mengesyaki sesuatu berbincang dengan beberapa rakan sebelum mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Seksyen 8, Subang Jaya pada 23 Ogos," katanya.


Katanya, keesokan harinya, dia serta beberapa rakan yang lain datang ke tempat kejadian dan menemui khemah tempat tinggal mangsa namun dia tiada di situ.


"Ketika itu baru saya teringat mengenai peta lokasi kawasan air terjun yang dikirimkan mangsa sebelum pasukan polis serta beberapa agensi yang lain melancarkan gerakan mencari di kawasan itu," katanya.


Lim berkata, dia mengesyaki mayat yang sudah berbau dan hampir reput itu adalah rakannya berdasarkan keadaan saiz bahu serta badannya yang besar kerana ketika itu keadaan mayat sudah membengkak.


"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak polis, Jabatan Perhutanan Daerah Dungun, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung yang sanggup bersusah payah melancarkan gerakan mencari sebelum menemui mayat rakan saya itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Terkejut terima panggilan bomba awal pagi

Posted: 26 Aug 2012 12:16 PM PDT

KOTA BHARU: Pasar raya Mydin di Jalan Pintu Pong, di sini, terbakar membabitkan kerugian RM150,000, awal pagi semalam.

Kejadian pada jam 2.40 pagi itu dikatakan bermula dari kios makanan dan minuman terletak di hadapan pasar raya berkenaan.


Pengurus Mydin Cawangan Kelantan, R Naidu berkata, dia terkejut apabila mendapat panggilan daripada pihak bomba yang memaklumkan penggera keselamatan di pasar raya itu berbunyi.

Katanya, dia dengan segera menghubungi pengawal keselamatan bertugas pada pagi itu bagi mengetahui apa yang berlaku.


"Pengawal keselamatan memaklumkan ketika sedang membuat rondaan, dia tiba-tiba terhidu asap.


"Dia kemudian terlihat api sedang menjulang dari kawasan kios berhampiran," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Abdullah Din Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 pagi daripada pengawal keselamatan pasar raya terbabit.


Katanya, seramai 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Tunjong, Pengkalan Chepa dan Kota Darul Naim dikejarkan ke tempat kejadian bersama enam jentera.

"Sebaik tiba pada jam 2.57 pagi, api sedang marak memusnahkan bahagian kios menjual makanan dan minuman di situ.


"Kami berjaya mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya 40 minit kemudian. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku," katanya.


Mereka turut dibantu anggota polis, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan tiga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


Kejadian itu adalah kali kedua berlaku selepas kebakaran besar memusnahkan cawangan itu yang terdiri daripada bangunan tiga tingkat di Jalan Parit Dalam, pada Mei 2002.

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Rasa nak berbogel’

Posted: 26 Aug 2012 12:48 PM PDT

KUALA TERENGGANU: "Saya rasa seperti nak berbogel kerana tidak tahan dengan rasa gatal yang amat sangat di seluruh badan," kata penjaga gol skuad bola sepak Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramlie yang pelik dengan kejadian dialaminya, malam kelmarin.

Kejadian berlaku ketika Mohd Sharbinee beraksi bersama rakan sepasukan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Piala Malaysia kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor.

Insiden yang berlaku kira-kira 10 minit sejurus separuh masa kedua bermula itu menyaksikan Mohd Sharbinee, 25 akhirnya rebah di padang akibat pitam dan terpaksa diusung keluar sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang manakala tempatnya digantikan penjaga gol simpanan, Mohd Saifuddin Mokhtar.

Mohd Sharbinee berkata, sebelum pengsan dia sempat menanggalkan sarung tangan serta jersinya saja dari badan untuk mengurangkan rasa gatal yang dialami.


"Selepas menerima rawatan di Hospital Selayang, saya dibenarkan keluar pada jam 2 pagi dan doktor mengatakan kegatalan teruk yang saya alami itu berpunca daripada kesan alahan makanan atau ubat.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Lelaki ‘kaya’ disembelih

Posted: 26 Aug 2012 12:48 PM PDT

BALIK PULAU: Seorang lelaki tidak sempat membelanjakan wang hasil jualan tanahnya berjumlah ratusan ribu ringgit selepas dibunuh dengan kejam apabila disembelih dalam keadaan tangan terikat di rumahnya di Mukim A, Kampung Sungai Pinang, di sini, semalam.

Mayat Ghadzali Ahmad, 52, ditemui terbaring tanpa baju dan hanya berkain pelekat oleh seorang rakannya, di atas lantai bilik tidurnya, pada jam 10 pagi.

Rakannya itu dikatakan datang ke rumah mangsa yang masih bujang untuk membawanya ke sebuah hospital swasta bagi membantunya mendapatkan rawatan penyakit asma dihidapinya.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali memanggil, rakan mangsa hairan kerana tidak bersahut lalu meninjau ke dalam rumah melalui tingkap dan ternampak Ghadzali terbaring berlumuran darah lalu menghubungi polis.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan menemui sebilah pisau dipercayai digunakan untuk menyembelih mangsa.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Atur kerjaya seni

Posted: 26 Aug 2012 06:17 AM PDT

JADUAL penggambaran bagi pelakon memang tidak mengenal masa. Biarpun berada pada bulan Ramadan, mereka juga tidak terlepas daripada sebarang projek. Semestinya cabaran melaksanakan tanggungjawab itu lebih besar, apatah lagi penggambaran tidak mengenal panas terik dan diadakan dalam jangka masa yang panjang.

Bagi dua pelakon berbakat yang pernah bergandingan dalam siri hit, Friday I'm In Love di TV9, Ryzal Jaafar, 30, dan Bella Dally, 21, memilih untuk tidak menerima tawaran sepanjang bulan puasa tahun ini.

Bertemu dua sahabat baik ini dalam satu sesi fotografi sempena lebaran, baru-baru ini, ternyata kedua-duanya gembira dengan keputusan yang diambil.

Bagi mereka, bulan puasa adalah masa terbaik untuk berehat daripada bebanan kerja di samping membuat persiapan sebelum menyambut lebaran.


Sudah dikira agak lama dalam industri lakonan, di samping ingin berehat, Ryzal mengakui inilah masa yang ditunggu-tunggu selama bertahun-tahun kerana kerap terbabit dalam penggambaran.


"Sejak menceburi bidang seni, sebenarnya inilah kali pertama saya menolak sebarang tawaran sepanjang bulan puasa. Bukan tiada tawaran, tetapi ini kemahuan saya sendiri untuk mengurangkan bebanan di samping ingin beramal lebih pada bulan mulia ini.

"Namun tidak bermaksud saya cuma goyang kaki saja di rumah kerana hampir setiap hari ada saja undangan untuk berbuka puasa terutama membabitkan anak yatim. Asal saja masa mengizinkan, saya tidak teragak-agak untuk memenuhi jemputan itu kerana saya terfikir bila lagi hendak meluangkan masa bersama mereka.

"Saya sedar, sudah tiba masanya untuk saya menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan dengan cara ini saya temui kepuasan. Tidak sangka, bertemu dan menyelami hati insan kurang bertuah ini menjadi satu pengalaman yang cukup membuatkan saya lebih sedar mengenai kehidupan mereka," katanya.

Merancang untuk kembali ke set penggambaran seminggu selepas raya, Ryzal bakal menggalas satu lagi watak yang pastinya tidak kurang mencabar untuk sebuah telemovie nanti.

"Bagaimanapun, saya belum lagi mendapat butiran mengenai pelakon lain yang bakal bergandingan dengan saya dalam telemovie berkenaan. Judulnya pun masih lagi dalam perbincangan, tetapi saya akui agak mencabar juga watak diberikan itu.

"Walaupun sebelum ini saya pernah memegang watak sebagai seorang suami, tetapi kali ini karakternya berbeza kerana saya perlu menjadi lelaki psiko. Gementar rasanya kerana untuk mencipta karakter itu bukan senang, apatah lagi saya perlu membuatkan penonton merasai sendiri tahap 'psiko' saya nanti," kata pemegang watak Adam dalam siri Naziha di TV3 itu.

Ryzal juga menyambut raya bersama keluarganya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah.

"Bercerita mengenai raya tahun ini, tiada apa yang berbeza, namun sudah pastilah rasa teruja itu tetap meluap-luap maklumlah inilah masanya berjumpa sanak saudara. Sebagai anak sulung, saya juga kena mempersiapkan banyak perkara dengan dibantu ibu.

"Saya memang jenis yang mengutamakan keluarga dalam banyak hal dan untuk raya saja, sampai barang untuk diri sendiri terlupa beli kerana sibuk membelikan pakaian baru buat adik serta peralatan rumah," katanya.

Tidak ketinggalan sempena lebaran kali ini, beberapa telemovie raya lakonannya ditayangkan termasuklah Hantu Susu 2 di Astro, Sejadah Dari Makkah (TV3) dan Meriahnya Raya (RTM).

Bagi pelakon jelita ini pula, dia bertindak menukar nama komersialnya daripada Nabilah kepada Bella Dally awal tahun ini sebagai penjenamaan semula dirinya.
Impak daripada itu, bagaikan ada hikmahnya, tawaran berlakon cukup banyak diterimanya sepanjang tahun ini.

Semakin popular dengan siri drama terbarunya, Miss Octopus di TV3 yang mendapat sambutan baik penonton, anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu kini mengorak langkah demi memperkukuhkan lagi namanya di persada lakonan.

"Saya bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus hingga saya terpaksa berehat seketika dalam bidang lakonan pada Ramadan lalu.

"Tetapi selepas berakhirnya raya, saya terus ke lokasi kerana ada penggambaran yang sudah sedia menanti," katanya.

Sudah berada dalam industri selama tiga tahun sejak menyertai program realiti Pilih Kasih (PK) musim pertama, Bella mengakui, memang sukar untuk mengukir nama dalam bidang ini, apatah lagi dia bermula sebagai seorang yang langsung tidak ada asas dalam lakonan.

Namun, kesukaran itulah yang membuatkannya terus percaya walau dalam bidang apapun, usaha mesti didahulukan. Biarlah apa orang cakap mengenai kekurangan dirinya, itu baginya lumrah.

"Keputusan untuk menyertai program PK dulu pun hanyalah sekadar mencuba nasib.
Tidak pernah pula saya membayangkan akan sampai ke tahap ini dan nampaknya usaha setakat ini membuahkan hasil.

"Bagi saya, apa yang penting, kita kenalah mengikut rentak dan perkembangan industri di samping sentiasa memperbaiki segala kelemahan. Dari situ, barulah sedikit sebanyak orang akan mula menyedari kebolehan serta kesungguhan kita untuk berada terus dalam industri ini," katanya.

Tidak terkecuali mengimpikan untuk berlakon filem pula, Bella yang sudah membuat kemunculan dalam filem Seru dan Gila-Gila Remaja 2 berharap akan ditawarkan watak utama suatu hari nanti.

Ditanya sama ada dia sudah yakin untuk melakonkan watak utama dalam filem, dia berfikir sejenak sebelum mengangguk.

"Tiada apa yang mustahil sekiranya seorang pelakon itu sentiasa percaya pada
dirinya sendiri. Memanglah berlakon filem lebih susah berbanding drama, namun
jika diberikan peluang, masa itulah saya kena tunjukkan sesuatu.

"Saya seorang yang sentiasa optimis dan berfikiran positif. Jadi untuk diberikan watak yang lebih berat dalam filem, saya tidak gentar untuk menggalas apa jua peranan," katanya.

Mengamalkan sikap bersederhana setiap kali berhari raya, Bella belum ada perancangan untuk mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran pada tahun ini.

"Selalunya, sambutan hari raya kami di Sabah biasa saja. Tiada apa yang istimewa dan persediaan pun tidaklah besar-besaran. Kami sekeluarga memang sudah terbiasa dengan cara sebegini.

"Apa yang penting, bertemu saudara-mara. Saya paling suka apabila ramai yang datang bertandang terutama sekali rakan lama. Memang meriah seisi rumah pada waktu itu dan saya juga tidak ketinggalan untuk bertandang ke rumah yang lain pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Maya kembali menyanyi

Posted: 26 Aug 2012 06:06 AM PDT

DIA pernah hadir dengan album pertama menampilkan lagu Erti Cinta ciptaan Ajai yang berjaya menambat hati peminat. Bagaimanapun, impian Maya Karin untuk terus mengorak langkah dalam bidang nyanyian tidak kesampaian apabila album keduanya berjudul Bukan Qalamaya terkandas di tengah jalan.

Justeru, ada sebab untuknya bergembira kerana selepas lapan tahun, komposer Yassin Sulaiman mengajaknya berduet menerusi lagu Sinar Ini yang kini rancak disiarkan di pelbagai stesen radio tempatan.

"Saya rasa teruja dan bersyukur. Dulu orang lupa saya sebagai penyanyi.
Generasi sekarang pun ada yang tak tahu saya pernah menyanyi. Mereka hanya tahu saya sebagai pelakon.

"Apabila Yassin beri peluang ini, saya anggap ia bagai impian yang lama terpendam kini menjadi kenyataan. Lagu yang dihasilkan sememangnya kena dengan cita rasa dan suara saya.

"Yang menariknya, Yassin bukan saja bagi peluang untuk saya menyanyi, tapi dia nak saya terbabit dalam penghasilan melodi dan lirik serta proses rakaman di studio. Kiranya nisbah pembabitan kami ialah 50:50.

"Kalau dulu saya rasa kekok ketika masuk studio kali pertama, kali ini saya bertambah yakin. Apatah lagi dengan kepercayaan yang diberi menambahkan lagi keyakinan untuk saya buat yang terbaik.

"Saya tak terkilan dengan kegagalan terdahulu. Yassin juga terbabit dengan pembikinan album itu. Mungkin bagi menebus kekecewaan lampau, dia hadir dengan projek single ini.

"Saya akui dalam aspek tertentu berasa gementar juga untuk merakamkan lagu ini. Bagaimanapun, dulu lagu Erti Cinta boleh diterima peminat dengan baik membuatkan saya berasa bersemangat.

"Sekarang Yassin ajak saya berduet dengannya. Apabila dia hubungi saya untuk cakap mengenai projek ini, saya rasa terkejut. Tak sangka juga apabila lagu ini mula dimainkan di radio, ramai peminat yang suka.

"Konsep lagunya yang pelbagai tapi ringkas sangat kena dengan suara saya.
Penerimaan peminat buatkan saya kembali bersemangat nak menyanyi.

"Sekarang dalam proses berbincang dengan beberapa syarikat rakaman yang berminat nak ambil saya sebagai artis. Persetujuan akan diberi kemudian kerana yang penting sekarang ialah penerimaan peminat terhadap single ini terlebih dulu.

"Diharap ramai yang sukakan gandingan kami. Saya tak nak fikirkan populariti sangat kerana tujuan saya ikhlas nak menyanyi. Ramai yang suka saya, tapi tak dinafikan ada juga yang mengutuk. Saya faham bukan semua orang sukakan kita," katanya pada majlis berbuka puasa bersama media, baru-baru ini.

Aktres cantik berusia 33 tahun yang mencipta nama menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam dan terbaru Ombak Rindu itu kini menantikan tayangan filem terbarunya, Lagenda Budak Setan 2.

Dia juga baru selesai penggambaran filem Jwanita yang dikatakan menuntut komitmen sepenuhnya. Tanpa berselindung, Maya mengakui begitu tertekan menjayakan watak Jwanita sehingga mengambil keputusan untuk bercuti sebaik penggambarannya selesai.

"Jwanita seorang insan yang jiwanya kacau dan tak boleh menghadapi dugaan dengan tenang. Apabila tertekan, dia akan jadi agresif. Saya kena buat karakter ini nampak seperti betul-betul hidup.

"Selain itu, saya juga kena buat perkara yang fizikal. Ia sangat memenatkan dan membuatkan saya perlu berehat sepenuhnya sebelum kembali bekerja untuk projek lain.

"Selepas sambut Aidilfitri, saya akan terus sambung bercuti ke luar negara mungkin ke pulau peranginan. Di sana saya boleh lupakan tekanan kerja dan lupakan mengenai Maya Karin yang glamor dan jadi orang biasa.

"Itu yang bestnya bercuti kerana kalau di tanah air kadangkala saya bekerja sehingga 24 jam. Saya seorang yang ringkas dan suka berada di tempat yang orang tak kenal saya," katanya yang sudah ditawarkan berlakon tiga filem selepas ini dan salah satunya mungkin memulakan penggambaran pada November ini.

Yassin yang turut hadir mengakui gandingannya dengan Maya ibarat menebus kehampaan dulu. Impian yang tidak kesampaian menyebabkan dia sentiasa mencari jalan untuk meneruskan impian Maya.

"Rasanya segala perancangan terbantut dan seakan-akan tak puas curahkan tenaga untuk album kedua ini. Itulah sebabnya saya rasa terpanggil untuk buat lagu yang dirasakan bagus untuk diketengahkan.

"Suara Maya pun semakin bertambah baik dan ada dinamik tersendiri. Mungkin dia sudah banyak pengalaman sehingga berjaya menunjukkan kemajuan dalam nyanyian.

"Lagu yang dihasilkan perlu kena dengan suaranya. Bukan saja untuk Maya, malah artis lain juga begitu. Saya ada banyak perancangan untuk Maya tapi biarlah ia berjalan satu demi satu," katanya yang menunggu respons peminat terhadap Sinar Ini.

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Berlusconi nafi hamilkan model

Posted: 26 Aug 2012 09:40 AM PDT

ROME: Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi menafikan dakwaan seorang model yang berkata dia mengandung anak keenamnya.

Sabina Began yang digelar 'Ratu Lebah' kerana peranan utamanya dalam parti Bunga-Bunga mendakwa dia mengandung anak tokoh politik kontroversi itu tetapi kandungannya gugur.

Jumaat lalu, model dan aktres warga Jerman berusia 38 tahun itu memberitahu akhbar Itali, Il Fatto Quotidiano bahawa dia pasti kandungannya itu anak Berlusconi, 75, kerana dia hanya 'tidur dengannya.'

Dia kemudian menghantar mesej kepada penulis untuk laman web gosip Itali, Dagospia, bahawa dia mengalami keguguran pada Sabtu lalu.


Laporan itu menyebabkan peguam Berlusconi, Niccolo Ghedini mengeluarkan kenyataan penafian.


"Ia sama sekali tidak benar," kata Ghedini dalam satu kenyataan.

Berlusconi meletak jawatan selaku perdana menteri pada November lalu selepas Itali hampir berdepan dengan krisis hutang seperti Greece ketika beliau menghadapi tuduhan mengadakan seks dengan pelacur bawah umur dan menggunakan kedudukannya untuk melindungi perbuatan itu.

Bekas perdana menteri itu kini dibicarakan untuk tuduhan itu.

Beberapa wanita sudah pun memberi keterangan mengenai parti seks 'bunga-bunga' di vila Berlusconi.

Media Itali berkata, Sabina digelar 'Ratu Lebah' kerana peranannya menganjurkan parti itu.

Dia berulang kali menyatakan secara terbuka mengenai cintanya kepada Berlusconi.

Dalam wawancara Jumaat lalu, dia menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai magis dan menyeronokkan.

Meskipun karier politiknya dilihat musnah kurang setahun lalu, Berlusconi yang mempunyai lima anak hasil daripada dua perkahwinan, dijangka mengumumkan dia akan bertanding untuk jawatan perdana menteri bagi kali keenam, kata pemimpin partinya.

Dia sudah berpisah dengan isteri keduanya.

Nama Sabina dikaitkan dalam akhbar Itali dengan parti yang dianjurkan Berlusconi dikediamannya di Sardinia dan Rome.

Sekumpulan wanita muda mengadakan tarian bogel yang disifatkan oleh bekas perdana menteri itu sebagai 'pertandingan melucukan.'

Sabina terkenal di Jerman selaku aktres dan model. Dia keturunan Bosnia dan nama sebenarnya ialah Sabina Beganovic.

Berlusconi mengahwini Carla Elvira Dall'Oglio pada 1965 dan mempunyai dua anak.

Dia memperoleh tiga lagi anak selepas berkahwin dengan aktres, Veronica Lario. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Mogok seks untuk desak Presiden Togo letak jawatan

Posted: 26 Aug 2012 09:31 AM PDT

LOME: Wanita dalam kumpulan hak asasi 'Mari Selamatkan Togo' berkata, mereka akan melancarkan mogok seks selama seminggu bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Faure Gnassingb.

Rancangan tidak akan mengadakan seks dengan suami masing-masing selama seminggu bermula hari ini, kata ketua sayap wanita kumpulan berkenaan, Isabelle Ameganvi. Isabelle memberitahu AP, pihaknya mencontohi wanita Liberia yang mengadakan mogok seks dalam kempen menuntut keamanan pada 2003.


Bantahan kaum wanita itu adalah sebahagian daripada kempen oleh satu pakatan yang menentang pemerintahan Gnassingb. Kumpulan pembangkang, Pakatan Kebangsaan Untuk Perubahan mengadakan tunjuk perasaan aman terhadap presiden itu Sabtu lalu.

Gnassingb memimpin Togo sejak 2005 selepas kematian bapanya, Gnassingb Eyadema yang memerintah negara barat Afrika itu selama 38 tahun. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Afiq tarik perhatian

Posted: 26 Aug 2012 09:20 AM PDT

DUA jaringan sudah memadai buat pemain pinjaman, Mohd Afiq Azmi untuk menarik perhatian penyokong Red Warriors malah melalui dua jaringan itu, Kelantan berjaya meraih tiga mata pertama selepas menang tipis 2-1 ke atas Kedah dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin.

Mohd Afiq yang dipinjam dari pasukan Kuala Lumpur mempunyai peluang untuk menyerlah bersama Red Warriors selepas muncul wira dalam memastikan pasukannya tidak kecundang di gelanggang sendiri.


Mohd Afiq berkata, dua jaringan yang dilakukan adalah hasil kerjasama sepasukan namun mengakui jaringan itu memberi motivasi kepadanya untuk beraksi lebih cemerlang.

Pemain berusia 23 tahun berasal dari Kangar, Perlis itu berkata, peluang yang diberikan ketua jurulatih, Bojan Hodak digunakan sepenuhnya bagi membalas kepercayaan sekali gus membantu pasukan meraih tiga mata pertama selepas dua perlawanan.


"Saya gembira kerana bersama pasukan kuat malah jaringan yang dihasilkan juga melalui bantuan rakan sepasukan dan ia juga menjadi penyuntik semangat untuk beraksi lebih baik.


"Terima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk beraksi malam ini (kelmarin) dan saya juga tidak mensia-siakan peluang yang diberikan," katanya.

Sebelum ini Mohd Afiq juga mempamer aksi memukau selepas meledak empat jaringan dalam dua perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab dari Thailand, Pattani FC (tiga jaringan) dan T-Team (satu jaringan) bulan lalu.


Berikutan itu, kemampuan Mohd Afiq mula menjadi perhatian peminat fanatik Red Warriors malah ramai penyokong gergasi Pantai Timur itu mahu pemain itu kekal bersama pasukan untuk musim seterusnya.

Sementara itu Hodak berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan perlawanan namun masih ada kelemahan yang perlu dibaiki sebelum berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) esok.


"Saya puas hati namun masih ada kelemahan. Kami pasukan juara dan saya masih yakin kami mempunyai harapan untuk mara ke peringkat seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Perlis bersedia

Posted: 26 Aug 2012 09:16 AM PDT

PERLIS yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 pada 2014 yakin mampu menjayakan temasya sukan itu dengan cemerlang biarpun ada pihak yang ragu-ragu dengan keupayaannya dalam menyediakan infrastruktur sukan dan penginapan di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu (gambar) berkata, kerajaan negeri akan berusaha memastikan temasya sukan terbesar di negara ini berjalan lancar dan ia adalah antara cabaran yang bakal dihadapi.


Katanya, selain memastikan penganjuran temasya sukan itu sebagai yang terbaik, Perlis juga perlu menyediakan pasukan atau barisan atlit terbaik serta mantap menjelang kejohanan dwi tahunan itu pada 2014.

"Saya menaruh harapan tinggi supaya setiap atlet Perlis yang bakal menggalas cabaran pada temasya itu nanti dapat memanfaatkan segala kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk memungut sebanyak mungkin pingat," katanya.


Menurutnya, bermula hujung tahun ini, seluruh negeri perlu disemarakkan dengan kegiatan sukan yang menjurus kepada persiapan menghadapi Sukma ke-17 itu.


Mengulas mengenai kebimbangan pelbagai pihak terhadap penginapan untuk 10,000 atlet, pegawai dan penyokong yang bakal hadir, beliau berkata, Perlis dijangka tidak berdepan masalah untuk menyedia segala kemudahan penginapan.

"Bagi saya, atlet dan mereka yang terbabit dengan sukan dwitahunan itu tidak perlu menginap di luar Perlis (negeri lain) dengan alasan Perlis tidak cukup bilik penginapan," katanya.


Beliau berkata, sebagai tuan rumah, Perlis juga perlu memastikan penginapan atlet hanya di negeri itu, begitu juga dengan acara-acara sukan yang bakal dipertandingkan pada temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved