Ahad, 25 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Advertorial: Lima mitos bidet digital

Posted: 25 Nov 2012 12:53 PM PST

MINGGU lalu, penulis sempat meluangkan masa hujung minggu dengan menonton wayang bersama seorang teman. Seperti biasa, sebelum cerita yang dinanti bermula, treler beberapa filem akan diputarkan.

Tidak terkecuali, beberapa iklan turut dipaparkan sebagai selingan. Penulis tersenyum keseorangan apabila tanpa disangka-sangka munculnya iklan Coway Bidet untuk tontonan penonton di panggung itu.

Menarik, menggelikan hati dan mesej yang ingin disampaikan juga mudah untuk difahami. Diharapkan orang ramai dapat mempelajari sesuatu dan mengetahui kelebihan tandas digital itu seperti penulis yang sudah mencubanya sendiri.

Penulis yakin, ramai di kalangan anda yang tertanya-tanya bagaimana ia dipasang di rumah, adakah alat ini akan merosakkan mangkuk tandas, lantai jubin dan sebagainya?


Bagaikan mitos, anda akan mula menyangka dan membayangkan yang bukan-bukan mengenai perkara ini. Manakan tidak, tiada siapa di antara kita yang mahu tandas rumahnya berantakan disebabkan perkara ini bukan?


Perasaan risau dan khuatir itu adalah lumrah.

Terdapat lima mitos yang dikenal pasti apabila berbicara akan masalah ini.

Pertama, anda tidak perlu risau kerana pemasangan bidet digital ini tidak memerlukan tandas anda diketuk, ditebuk atau dipecahkan. Sebaliknya, ia hanya dipasang di bahagian tempat duduk di atas mangkuk tandas asal anda seperti menggunakan skru.

Kedua, anda juga tidak perlu memasangnya sendiri kerana juruteknik profesional Coway akan datang ke rumah untuk melakukan proses pemasangan dengan sempurna.

Ketiga, tempoh waktu pemasangan pula tidak mengambil masa terlalu lama. Menurut pengalaman penulis, proses itu hanya berlangsung selama 30 minit hingga sejam saja.

Selain itu, walaupun terdapat bidet yang digunakan itu berasaskan tenaga elektrik, anda jangan sesekali takut kerana masalah terkena renjatan elektrik dan sebagainya tidak akan berlaku malah, ia berfungsi seperti tandas normal.

Hal yang sama juga diyakini tidak akan berlaku jika anda menggunakan bidet digital jenis bateri.

Akhir sekali, tandas digital ini boleh ditanggalkan untuk tujuan memudahkan proses menaik taraf sistem dan juga jika anda tidak mahu menggunakannya lagi.

Beberapa pengguna turut berkongsi mitos, pendapat dan pengalaman mereka menggunakan Coway Bidet ini di laman sosial.

Liyana Shuib misalnya menyatakan, pemasangan dilakukan dengan cepat malah tiada sebarang tebukan atau pecahan di bahagian mangkuk tandas.

Noorkhairul Aliza pula berkata, dinding dan lantai jubin juga tidak diusik dan masih dalam keadaan baik kerana juruteknik memasang bidet itu di bahagian tempat duduk saja dan bukannya keseluruhan mangkuk tandas.

Sementara itu, anda juga turut berpeluang mencuba sendiri tandas digital ini secara percuma selama 14 hari.

Untuk maklumat lanjut, layari facebook.com/CowayMalaysia dan coway.com.my atau hubungi talian khidmat pelanggannya, 1800-888-111.

Anda juga boleh menyaksikan iklan Coway Bidet di bawah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/26



‘Berpuasa’ menikmati makanan enak

Posted: 25 Nov 2012 08:23 AM PST

SEMUANYA bermula selepas melihat gambar ketika menjadi pengapit pengantin rakan baik sendiri. Alangkah terkejutnya Shazaliza Azlin Rusli, 27, apabila mendapati dia begitu besar, montel dan gemuk, berbeza dibandingkan mempelai yang bukan saja langsing, tetapi jelita dan menawan.

"Saya tergamam seketika melihat tubuh sendiri di dalam gambar. Seakan tidak percaya wanita yang berdiri di sebelah pengantin itu adalah saya. Terasa diri begitu buruk dan hodoh. Pada masa itu juga, semacam ada satu kuasa yang membisikkan di telinga saya supaya berubah," katanya memulakan bicara.

Shazaliza yang sentiasa riang dan ceria ini bercerita, sejak kecil dia memang suka bergambar. Pantang diminta beraksi di hadapan kamera pasti dia tidak menolak. Tetapi biasanya dia menyorokkan tubuh sama ada berdiri di barisan belakang atau di sisi orang lain. Tetapi itulah kali pertama dia tidak dapat menyembunyikan tubuhnya. Apatah lagi melihat wajah sendiri di sebelah pengantin yang anggun menawan membuatkan dirinya terasa begitu kerdil.

Dia yang memiliki berat badan 150 kilogram dua tahun lalu mengakui, tidak pernah kurus sebelum ini kerana dilahirkan dalam keluarga yang comel. Walaupun berisi, Shazaliza mempunyai keyakinan yang sangat tinggi, tidak pernah malu serta aktif bergerak.


"Saya dikelilingi rakan yang tidak kisah dengan kegemukan saya. Mereka langsung tidak bersungguh-sungguh menyarankan saya kurus dan tidak menghalang apa yang saya makan. Oleh kerana aktif dan tidak mempunyai sebarang penyakit, saya langsung tidak berusaha untuk kurus," akuinya.


Hasilnya, wanita ini makan apa saja seakan tidak pernah kenyang. Nasi lemak menjadi hidangan sarapan pagi, tengah hari dengan menu berlauk, minum petang sama ada bihun atau kuih manakala malam, dia gemar melepak di kedai mamak bersama kawan.

"Bayangkan apa yang saya makan jika berada di kedai mamak pada waktu malam? Pastinya nasi menjadi pilihan bersama teh tarik. Aktiviti ini berlangsung hampir setiap hari bermula sejak zaman belajar sehingga sekarang. Malah, ia menjadi amalan yang sukar ditinggalkan. Apabila pulang ke rumah sekitar jam 12 malam, saya terus tidur," jelasnya.

Menyedari semangat untuk langsing berkobar-kobar, dia mendaftar untuk menjalani sesi latihan di gimnasium bersama seorang rakan. Sejak itu, Shazaliza langsung tidak menoleh ke belakang dan meneruskan gaya hidup aktif dan sihat sehingga sekarang.

Oleh kerana tidak boleh berlari di mesin larian kerana badan terlalu berat, Shazaliza mengambil jurulatih peribadi bagi memberi tunjuk ajar serta teknik latihan yang betul.

"Dengan adanya jurulatih, latihan menjadi lebih tersusun. Saya menjalani aktiviti enam kali seminggu. Memang agak memenatkan kerana sebelum ini saya tidak pernah bersenam. Namun, selepas enam bulan hasilnya sangat memuaskan.
Berat badan saya turun 25 kilogram," katanya gembira.

Namun ujar Shazaliza, usahanya tidak berhasil tanpa disiplin dalam pemakanan.
Makanan kaya karbohidrat seperti nasi tiada lagi dalam diari hidupnya. Dalam sebulan hanya dua kali saja dia mengambil nasi, selebihnya memperbanyakkan makanan tinggi protein seperti lauk-pauk, sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Pada mulanya memang agak menyeksakan. Bayangkan saya terpaksa berpuasa menikmati makanan enak yang sebelum ini menjadi makanan harian terutama pada Aidilfitri kerana terpaksa menjaga makan semata-mata ingin kurus. Namun, saya dikelilingi keluarga yang banyak memberikan sokongan. Walaupun ibu menyediakan hidangan lazat, dia faham sebab saya tidak boleh makan," katanya yang mengambil jurulatih peribadi setahun saja dan kemudian melakukan senaman sendiri.

Kemuncak kejayaan eksekutif pengiklanan di The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) ini apabila berjaya menurunkan berat sebanyak 31 kilogram menerusi program kesedaran kesihatan Kilos For Cash dan berjaya menjadi juara
bagi kategori duo bersama rakan baiknya, Nordiana Abd Wahab.

Kini Shazaliza mampu memiliki berat 94 kilogram selepas kehilangan hampir 50 kilogram dalam masa dua tahun, malah dia berazam mencapai berat ideal 65 kilogram.

"Apa yang menggembirakan kini saya boleh memakai pakaian bersaiz lebih kecil berbanding dulu. Malah, jika dulu haid tidak teratur, tetapi kini haid saya kembali normal, badan pula lebih ringan dan sudah mampu berlari," katanya.

Bagi Nordiana Abd Wahab, 30, menurunkan berat badan sebanyak 49 kilogram dalam masa satu setengah tahun adalah pencapaian yang sangat membanggakan apatah lagi sejak kecil gadis ini tidak pernah kurus. Bermula pada usia enam tahun, ibunya memberikan makanan tambahan untuk meningkatkan selera makan dan sejak itu Nordiana makan apa saja tanpa henti.

Keadaan bertambah buruk apabila dia yang bertugas sebagai penyunting Berita Harian bekerja pada waktu malam bermula pada jam 4 petang hingga 12 tengah malam. Ini menyebabkan Nordiana meninggalkan sarapan, melewatkan makan tengah hari dan mengambil makanan berat selepas habis bekerja.

"Waktu makan saya terus bertukar. Saya langsung tidak mengambil sarapan, tetapi makan dengan banyak selepas jam 5 petang. Keadaan ini membuatkan saya berasa sangat lapar selepas bekerja dan mengambil makanan berat seperti nasi setiap hari. Malah, saya akan makan sehingga jam 2 pagi.

"Melihat peningkatan berat yang ketara, ayah membelikan mesin larian untuk bersenam, namun semua ini tidak mengubah pendirian saya untuk kurus. Alat itu hanya dijadikan hiasan di rumah, malah saya terus leka dengan apa yang berlaku.

Namun, apabila bapa saudara menghidap serangan jantung, ayah memberi amaran saya juga boleh menghidap penyakit berbahaya seperti jantung dan kencing manis sekiranya tidak menjaga pemakanan. Lantas saya memutuskan untuk memulakan diet, tetapi berhenti selepas beberapa ketika kerana merasakan begitu sukar," katanya.

Namun, segala-galanya berubah selepas melihat iklan program kesedaran kesihatan Lose Big Win Big anjuran NSTP tahun lalu dan menyedari ia satu peluang bagi menurunkan berat badan dengan mendapatkan bantuan pakar.

"Saya terus mendaftarkan diri kerana berasa inilah masa sesuai menguruskan badan. Sepanjang enam bulan menjalani proses berpantang, banyak yang saya pelajari. Tiada cara mudah untuk kurus melainkan dengan bersenam dan menjaga pemakanan. Selain itu, program ini juga menjadi terapi terbaik kerana mengajar saya cara menguruskan tekanan, menguatkan minda dan bersosial dengan semua orang memandangkan sebelum ini saya kurang keyakinan diri," katanya yang pernah mencuba pil kurus dan produk makanan tambahan namun hasilnya tidak seperti digambarkan.

Nordiana memutuskan untuk mengupah seorang jurulatih peribadi kerana berasa tidak mampu melakukannya berseorangan. Walaupun dia tahu cara bersenam yang betul, dia mahu menurunkan berat dengan lebih cepat menerusi bantuan jurulatih peribadi.

"Pada permulaan, saya menjalani latihan empat kali seminggu selama satu jam di bawah pengawasan jurulatih. Daripada situ, saya belajar teknik senaman yang betul sehingga mampu melakukannya sendiri," katanya.

Menerusi program itu, Nordiana berjaya menurunkan berat badan sebanyak 26 kilogram, malah kakinya tidak lagi terlalu bengkak jika berdiri terlalu lama.
Ini satu permulaan yang baik untuk Nordiana meneruskannya sehingga mendapat berat badan ideal.

Untuk kurus dan sihat, menjaga pemakanan sangat penting selain senaman. Jika sebelum ini dia makan apa saja tetapi kini Nordiana menjadi seorang yang pemilih. Buktinya, untuk sarapan wanita ini hanya mengambil susu, buah dan biskut, makan tengah hari dengan lauk dan sayur-sayuran saja manakala malam memilih pasta dan tomyam selain mengelak mengambil minuman manis dan sejuk serta berhenti makan snek, ais krim, kek dan biskut.

Kini Nordiana memiliki berat 81 kilogram dan berusaha mendapat berat ideal 68 kilogram. Walaupun mengakui cabaran terbesar adalah wang, menguruskan masa dan motivasi, dia tekad mahu melakukannya.

"Ini kerana hanya saya mampu mengubahnya, bukan orang lain. Apa yang penting, sentiasa bersemangat dan berusaha melakukannya," ujarnya.

Panduan untuk kurus:

  • Tetapkan matlamat untuk mengurangkan berat badan secara perlahan-lahan iaitu penurunan dalam lingkungan 0.5 kilogram sehingga satu kilogram dalam seminggu.
  • Lupakan niat anda mengambil sebarang ubat-ubatan dengan tujuan menurunkan berat badan lebih-lebih lagi tanpa mendapat nasihat atau kebenaran doktor.
  • Ambil makanan dan minuman yang rendah kalori dan mempunyai kandungan nutrien yang tinggi. Kurangkan sebanyak 500 kalori sehari serta hadkan pengambilan makanan atau minuman manis (kandungan gula yang tinggi). Lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
  • Elakkan makanan ringan di antara waktu makan sebaliknya, ganti dengan sekeping biskut krim bersama secawan kopi atau teh kurang manis (rendah lemak) atau makan buah-buahan sebagai ganti.
  • Banyakkan minum air mineral berbanding berkarbonat.
  • Tetapkan waktu makan anda setiap hari. Contohnya sarapan di antara jam 7 hingga 7.30 pagi, makan tengah hari jam 12.30 hingga 1.30 petang dan malam 6.30 petang hingga 7.30 malam.
  • Biasakan menggunakan pinggan lebih kecil semasa makan. Tujuannya supaya anda tidak mengambil terlalu banyak atau menambah lauk-pauk yang berlemak atau berkalori tinggi.
  • Penuhkan hari anda dengan melakukan aktiviti fizikal bagi mengelakkan anda asyik teringatkan makanan.
  • Pastikan anda mendapat rehat secukupnya contohnya waktu tidur. Tidur antara enam hingga lapan jam sehari.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/25



  • Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Si mabuk cemar masjid

    Posted: 24 Nov 2012 05:17 AM PST

    KANGAR: Bukan sahaja menceroboh dalam keadaan mabuk, malah enam lelaki turut melempar tin arak ke dalam pagar Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis, dekat sini, selepas bertengkar dengan pengawal keselamatan, Khamis lalu.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam apabila kumpulan lelaki berusia 30-an terbabit dikatakan mahu bersantai di tepi pantai bersebelahan masjid sebelum menceroboh melalui sebuah pintu pagar rumah ibadat itu menyebabkan tindakan mereka disedari pengawal keselamatan bertugas.


    Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Addul Rahman Mohd Noordin berkata, seorang daripada mereka berbadan agak gempal sukar memanjat sebelum tindakannya disedari pengawal keselamatan masjid terapung itu.

    Katanya, sebaik suspek menyedari tindakannya dilihat pengawal keselamatan, dia cuba melarikan diri tetapi gagal berbuat demikian.


    "Suspek kemudian dibantu rakannya melawan pengawal keselamatan di situ selepas diarahkan keluar dari kawasan masjid menyebabkan berlaku pertengkaran di antara mereka.


    "Semua suspek yang mabuk berkenaan tidak puas hati dengan tindakan pengurusan tidak membenarkan mereka masuk ke kawasan masjid untuk ke pantai bersebelahan sambil memaki-hamun pengawal keselamatan terbabit," katanya di sini, semalam.

    Menurut Abdul Rahman, semua mereka kemudian beredar dari kawasan berkenaan sebelum melontarkan beberapa tin minuman keras yang diminum ke arah masjid.


    Katanya, kumpulan lelaki itu kemudian beredar menaiki sebuah kereta Proton Iswara, tetapi nombor pendaftaran kenderaan terbabit berjaya dicatatkan pengawal keselamatan.

    "Sejurus itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Kuala Perlis sebelum polis menahan semua suspek di Pauh di sini, awal pagi semalam (kelmarin). Semua mereka kemudian ditahan sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.


    Katanya, kes berkenaan boleh mengundang rasa marah orang ramai dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



    Dibunuh ketika keluar minum dengan kawan

    Posted: 24 Nov 2012 05:14 AM PST

    KLANG: "Dia hanya beritahu mahu keluar minum bersama rakannya," kata Logeswari, 20-an, isteri kepada T Sivanesan, 32, yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemui di tepi padang permainan kanak-kanak di Taman Sentosa, di sini, semalam.

    Logeswari ketika ditemui berkata, suaminya keluar dari rumah mereka kira-kira jam 2 pagi semalam untuk minum bersama empat rakannya di restoran berhampiran padang permainan kanak-kanak itu. "Saya tidak tahu apa masalahnya sebelum ini. Saya terkejut apabila dihubungi polis pagi tadi (semalam) memaklumkan mayatnya dijumpai di padang permainan ini," kata ibu kepada dua anak perempuan berusia lima bulan dan tiga tahun ini ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.


    Difahamkan, sebelum kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Sivanesan dipercayai bergaduh di restoran itu sebelum melarikan diri ke padang permainan kanak-kanak itu.

    Mangsa kemudian dipukul dan ditikam dengan objek tajam di tepi papan gelungsur di padang permainan itu. Mangsa yang parah kemudian cuba melarikan diri namun rebah kira-kira 30 meter dari tempat dia dipukul sebelum meninggal dunia.


    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10 pagi semalam memaklumkan penemuan mayat terbabit.


    Beliau berkata, pemeriksaan forensik mendapati ada kesan tikaman di bahagian punggung mangsa dan kesan cedera di belakang kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

    "Mangsa dipercayai bergaduh sebelum dipukul lebih daripada seorang suspek di kawasan padang permainan kanak-kanak itu. Seorang lagi rakan mangsa yang identitinya belum dikenali turut cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini," katanya.


    Mohamad berkata, hasil siasatan juga mendapati mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan curi kenderaan.

    Katanya, polis juga tidak menemui sebarang senjata di kawasan berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Mengail ‘ikan di darat’

    Posted: 24 Nov 2012 11:52 AM PST

    KUALA LUMPUR: Bagi mendapat lesen keluar rumah daripada isteri, mereka memberi alasan pergi mengail di sebuah kolam pancing di Lembah Klang.

    Bagaimanapun, pada masa sama segelintir warga emas terbabit sebenarnya menyelam sambil minum air apabila turut menikmati belaian pelayan pelanggan (GRO) di pusat karaoke dangdut bersebelahan kolam berkenaan.

    Lebih mengejutkan, siasatan Metro Ahad (MA) mendapati GRO yang kebanyakannya dalam lingkungan usia 30-an hingga 50-an itu turut boleh dibawa hingga ke bilik tidur berdasarkan rundingan kedua-dua pihak.

    Bagaimanapun, GRO dangdut berkenaan hanya akan disediakan pada hari tertentu dipercayai bagi mengelak aktiviti tidak bermoral itu dihidu pihak berkuasa.


    Berbanding kebanyakan pusat hiburan lain yang menawarkan wanita bergetah, premis yang beroperasi seawal jam 5 petang sehingga awal pagi ini pula menampilkan beberapa kelainan dengan kehadiran pelayan pelanggan wanita tempatan yang ada antaranya layak digelar nenek.

    Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



    ‘Rumah kami tenggelam’

    Posted: 24 Nov 2012 11:52 AM PST

    PORT DICKSON: "Sudah puluhan tahun tinggal di kampung ini, inilah kali pertama banjir berlaku dan paling teruk apabila air menenggelamkan rumah," kata Cheok Ah Kaw, 71, seorang daripada 47 keluarga mangsa banjir di Kampung Batu Tujuh, Lukut, di sini, semalam.

    Hujan lebat berterusan sejak jam 2 pagi menyebabkan 200 keluarga dari beberapa kampung dan kawasan perumahan di Lukut serta sekitarnya termasuk Kampung Sri Parit, Taman Jaya Lukut, Taman Indah Jaya, Taman Wawasan dan Taman Sri Lukut ditenggelami air antara dua hingga tiga meter.


    Tinjauan bersama menaiki bot Bomba dan Penyelamat Telok Kemang mendapati Kampung Batu Tujuh, Jalan Seremban dan kawasan rumah kongsi pekerja warga Indonesia ditenggelami air hampir keseluruhan rumah.

    Menurut Cheok, dia sekeluarga tujuh beranak resah apabila hujan lebat menyebabkan air mula naik dengan cepat dan segera menyelamatkan diri ke kawasan tinggi sementara menunggu bantuan tiba.


    "Saya sekeluarga termasuk menantu dan cucu cemas apabila air naik mendadak dan nekad pergi ke kawasan rumah jiran yang terletak di atas bukit.


    "Disebabkan bimbang berlaku perkara tidak diingini, kami tidak dapat menyelamatkan harta benda lain," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

    Katanya, masalah sistem perparitan di kampung itu terlalu kecil selain sampah-sarap menyebabkan air tersekat dan melimpah keluar.


    "Saya kesal dengan sikap pemaju yang tidak mengendahkan aduan kami sebelum ini mengenai masalah sistem perparitan yang sempit ini," katanya.

    Penghuni rumah kongsi, Parman Parjo, 54, berkata air mulai naik ke lantai rumah sejak jam 6 pagi dan ketika itu dia hanya memikirkan untuk menyelamatkan nyawa ahli keluarganya.


    "Kami hanya memikirkan nyawa anggota keluarga, semua peralatan dan pakaian habis dihanyut air. Tidak sampai setengah jam kemudian air sudah sampai ke paras dinding rumah.


    "Dalam keadaan kelam-kabut itu, kami hanya sempat menyelamatkan dokumen peribadi dan kini tinggal sehelai sepinggang," katanya.


    Seorang lagi mangsa, Ng Ching Hong, 50, berkata, sikap pemaju perumahan amat dikesali kerana aduan sudah dibuat oleh penduduk kampung berkenaan laluan air ke longkang yang terlalu kecil.


    "Kami harap bantuan segera sampai kerana kemusnahan yang kami alami amat teruk. Rumah, pakaian dan kereta habis musnah dimasuki air dan tidak dapat diselamatkan. Kami tak tau macam mana lagi nak meneruskan hidup," katanya.


    Penduduk Taman Indah Jaya, B Murugan, 30 berkata, dia kesal banjir kilat kerap berlaku di situ apabila hujan lebat, namun menyifatkan kejadian semalam paling teruk.


    "Ini kali kelima rumah dilanda banjir kilat. Ketika kejadian saya mahu menyelamatkan isteri dan anak ke tempat selamat, namun sebaik membuka pintu rumah, air mencurah masuk dengan deras menyebabkan saya terjatuh.


    "Mujur isteri saya dapat menyelamatkan anak kami yang berusia tiga dan satu tahun yang sedang nyenyak tidur," katanya.


    Sementara itu, Pegawai Daerah Port Dickson, Ab Khalid Mat berkata, hujan lebat berterusan sehingga tiga jam menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami banjir dan memusnahkan banyak harta benda penduduk.


    Katanya, pusat perpindahan banjir turut dibuka kepada mangsa tetapi kebanyakan mereka tidak mahu berpindah atas alasan ia banjir kilat saja.


    "Tetapi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut sama membantu mangsa dengan mengagihkan makanan dan selimut.


    "Setakat ini juga tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kami sentiasa memastikan keadaan selamat di sini," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Pasangan kejam

    Posted: 24 Nov 2012 04:57 AM PST

    LONDON: Pasangan "ganas" yang menyerang seorang warga emas dan menggeledah rumahnya, dijatuhkan hukuman penjara.

    Laurynas Dauksas, 25, dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun manakala Aurelisa Galdikaite, 23, dipenjara sembilan tahun kerana menyerang Arnold Hilton.

    Hilton, 88, bekas pekerja syarikat lombong arang batu, ditumbuk dan disepak manakala hampir setiap "laci di setiap bilik" rumahnya di Uphollad, Lancashire, digeledah oleh pasangan itu, Mac lalu.

    Dia ditemui oleh anaknya, Stuart, berdarah dan terbaring di lantai bilik tidur pada jam 6.30 keesokan paginya.


    Hilton memberitahu anaknya, dia tidak akan dapat bertahan lagi.


    Stuart berkata, ayahnya mempunyai lima anak, sepuluh cucu dan seorang cicit, berubah sejak serangan itu.

    "Sebelum serangan itu, walaupun sudah berusia 88 tahun, beliau seorang yang suka bersosial. Dia akan menaiki bas untuk pergi ke pub sejauh dua batu, untuk bertemu rakannya."

    Stuart berkata, bapanya suka sukan dan bermain gol serta suka menonton bola sepak dan ragbi.

    "Tapi sekarang, dia sudah tidak boleh keluar lagi dan terpaksa tinggal di rumah orang tua 24 jam," katanya.

    Ketika menjatuhkan hukuman penjara ke atas pasangan Lithuania itu, Hakim David Aubrey berkata, "Ini adalah kesalahan kejam menjijikkan. Anda memusnahkan hidup lelaki itu, walaupun anda tidak membunuhnya tetapi anda mungkin akan melakukannya."- DM

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



    Orang paling dikehendaki FBI ditangkap

    Posted: 24 Nov 2012 04:55 AM PST

    MEXICO CITY: Seorang daripada "10 orang paling dikehendaki" oleh FBI, ditahan di Mexico dan dihantar pulang ke Los Angeles untuk dibicara atas kesalahan membunuh, menculik dan memperkosa, kata pegawai Amerika Syarikat, semalam.

    Timbalan Pengarah Pejabat FBI Los Angeles, Bill Lewis berkata, seorang anggota geng terkenal, Joe Luis Saenz ditahan di Guadalajara Khamis lalu dalam satu operasi bersama dengan kerajaan Mexico.

    Saenz dihantar ke Los Angeles kelmarin dan pegawai Mexico berkata proses ekstradisi akan bermula dalam beberapa hari lagi.

    Saenz menembak mati dua anggota kumpulan pesaing pada Julai 1998. - AFP

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Misi tiga mata

    Posted: 24 Nov 2012 04:48 AM PST

    "TIADA sebarang gangguan dan pemain kini fokus untuk menentang Singapura". Itu kenyataan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal yang bakal memulakan misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 bermula malam ini.

    Menurut pengendali berusia 56 tahun itu, pemain kini tidak terganggu dengan sebarang perkara yang berlaku di luar padang terutamanya masalah kontrak membabitkan penyerang paling bernilai Liga Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha dan penjaga gol utama Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat yang bakal menamatkan zaman bujangnya bulan depan.


    "Saya tahu Norshahrul dan Khairul Fahmi fokus kerana melihat sendiri persembahan mereka setiap hari dalam latihan. Mereka sedar kepentingan untuk fokus sepenuhnya pada perlawanan malam esok (malam ini). Persembahan yang bakal dipamerkan menentang Singapura akan menentukan sama ada mereka fokus atau sebaliknya," katanya pada sidang media semalam.

    Dua pemain Kelantan itu antara tonggak negara yang menjulang kejuaraan edisi 2010 dengan Norshahrul kini masih belum menemui jalan penyelesaian sepenuhnya untuk berhijrah ke Johor manakala Khairul Fahmi pula membuat pengumuman mengejut apabila mengaku akan berkahwin pada 28 Disember.


    Rajagobal turut menolak kebimbangan terhadap kemarau jaringan Norshahrul ketika gandingannya, Safee Sali tampak sudah kembali pada tahap terbaik selepas menamatkan kemarau jaringan untuk skuad kebangsaan dalam tempoh hampir setahun.


    "Saya tidak bimbang, apa yang membimbangkan saya adalah perlawanan esok (malam ini)," katanya ketika ditanya mengenai Norshahrul yang sudah beberapa kali ketandusan gol di pentas antarabangsa.

    Situasi itu turut menyumbang kepada keputusan hambar skuad negara dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini namun Rajagobal tetap mempunyai beberapa pilihan andai mahu menambahkan sengat terutamanya dengan kehadiran penyerang Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri.


    Mengenai aksi menentang juara tiga kali, Singapura, Rajagobal berkata, mereka saling mengenali antara satu sama lain dan menolak andaian akan ada banyak kejutan yang bakal diberikan lawan.

    "Namun bagi saya sama ada lawan akan memberikan kejutan, keutamaan saya adalah pasukan sendiri dan kami akan turun menentang mereka dengan keyakinan tinggi." Malaysia perlu meraih tiga mata dalam aksi pembukaan menentang Singapura bagi memastikan tiket ke separuh akhir lebih awal dapat ditempah dengan Laos menunggu pada perlawanan kedua dan Indonesia yang juga naib juara edisi 2010 menanti pada 1 Disember bagi melengkapkan saingan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



    Gisela gantung raket

    Posted: 24 Nov 2012 04:44 AM PST

    BEKAS pemain beregu nombor satu dunia dan juara beregu wanita Terbuka Australia 2011, Gisela Dulko dari Argentina menggantung raketnya pada usia 27 tahun.

    Gisela berada dalam kelompok 100 pemain terbaik dunia acara perseorangan buat lapan musim berturut-turut dari 2004 hingga 2011, memenangi empat kejuaraan perseorangan selain 17 kejuaraan beregu.


    "Ini bukannya satu keputusan yang mudah, di sebalik hakikat ia sudah saya fikirkan sejak sekian lama," kata Gisela. "Tenis sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak 20 tahun lalu." Gisela beraksi dalam undian utama kejohanan WTA buat julung kali di Miami pada 2001 dan kali pertama berada dalam kelompok 50 pemain terbaik pada 2004. Dia kemudian mencatat rekod lima musim dalam ranking 50 terbaik dunia dan berada di kedudukan terbaik karier di tangga ke-26 dunia pada 2005.

    Kejayaan terbesarnya adalah di kancah acara beregu. Gisela bertindak cemerlang bersama pasangannya Flavia Pennetta dari Itali pada 2010. Dia memenangi lapan kejuaraan (tujuh bersama Flavia) dan berada di tangga pertama dunia selepas memenangi Kejohanan WTA, menamatkan musim dengan rekod 55-14 tahun itu.


    "Ucapan terima kasih tidak terhingga buat Flavia," kata Gisela. "Bersama kami menjadi pasangan nombor satu dunia, memenangi kejuaraan Grand Slam dan Kejohanan WTA." Pada 2011, Flavia dan Gisela memenangi Terbuka Australia apabila menundukkan Maria Kirilenko dan Victoria Azarenka pada perlawanan akhir.


    "Memori paling indah saya bersama Flavia adalah keakraban kami." Tahun lalu, Gisela bergandingan dengan rakan senegara dari Argentina, Paola Suarez dengan impian untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik. Mereka layak ke empat separuh akhir namun kecundang pada pusingan pertama Olimpik di tangan beregu China, Li Na dan Zhang Shuai.

    Gisela berkahwin dengan pemain bola sepak Fernando Gago di Buenos Aires pada 2011. Dia dilatih abangnya, Alejandro.


    "Saya akan terus mencintai sukan tenis sepanjang hayat," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved