Isnin, 3 Disember 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


‘Macam belajar di Eropah, AS’

Posted: 03 Dec 2012 06:14 AM PST

SUASANA hingar-bingar di dapur kelas masakan Universiti Taylor petang itu tiada bezanya dengan hari lain. Kuali dan senduk saling berlaga, desiran minyak gorengan mencetuskan rasa, sementara aroma roti bawang putih membangkitkan selera.

Namun, apa yang menarik perhatian ialah gelagat enam pelajar asing yang ralit mengambil gambar menggunakan kamera pintar sambil sibuk bertanyakan pelbagai soalan biarpun sudah diulang beberapa kali si pensyarah.

Kehadiran mereka dalam kelas kulinari itu juga membuktikan bahawa struktur pendidikan dan jurusan pendidikan di Malaysia makin berkembang hingga berupaya menarik ramai pelajar asing.

Lazimnya, keluarga Korea akan menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di luar negara khususnya Amerika Syarikat dan Eropah.


Untuk jurusan masakan dan pengurusan hotel pula, rata-rata lebih cenderung menghantar anak mereka ke Eropah terutama Perancis.


Bagi Lee So Min, 18, keluarga menghantarnya ke Malaysia kerana berasa pendidikan di sini setaraf dengan apa yang ditawarkan di negara maju.

"Selain kos pengajian yang lebih murah, sistem pendidikan di sini lebih menyeluruh dan tidak tertumpu kepada satu-satu perkara.

"Tahap pendidikan di Malaysia semakin meningkat, jadi ia menepati jangkaan tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa di Korea," katanya yang menetap bersama ibu saudaranya sejak lima tahun lalu.

Jeong Eui Hyeon, 18, pula menyifatkan Malaysia adalah antara destinasi terbaik untuk melanjutkan pelajaran kerana banyak yang dipelajarinya sepanjang kursus.

"Di sini, skop pelajaran lebih luas dan kami belajar banyak jenis masakan sepanjang semester. Biarpun tidak diajar masakan tempatan di dapur ini,
kami terdedah dengan bermacam hidangan popular Malaysia.

"Saya mengikuti subjek kulinari kerana ia sebahagian subjek utama dalam kursus pengurusan hotel. Mulanya saya tidak berminat dan pertama kali memegang pisau ketika menyertai kelas ini.

"Tapi lama-kelamaan saya tertarik dengan bidang kulinari ini dan bagaikan satu kepuasan apabila melihat masakan yang dihasilkan," katanya.

Biarpun tiada masakan tempatan dalam sukatan pelajaran, Jeong sering mencuba memasak nasi goreng dan mi segera goreng di rumah.

"Asalnya keluarga saya ke sini untuk bercuti, tapi bapa saya tertarik dengan budaya serta persekitaran di negara ini. Enam tahun kami di sini dan kami sudah terbiasa dengan makanan tempatan.

"Keluarga saya paling gemar ke kedai mamak. Kami sukakan nasi goreng, mi goreng, nasi lemak, teh tarik dan nasi kandar. Sejak ada asas memasak, saya sesekali cuba sediakan hidangan ringkas di rumah dan nasi goreng selalu jadi pilihan.

"Bagaimanapun, saya masih belum berani memasak hidangan Korea dan biarlah ibu saja yang menyediakannya untuk kami," ujarnya.

Rakan sekelas Jeong, Kwon Sun Kyu pula melanjutkan pengajian di sini bagi memenuhi permintaan keluarga.

"Ibu saya mengatakan belajar di sini sama seperti di luar negara seperti Eropah dan Amerika.

"Tambahan pula semua rakan baik saya melanjutkan pelajaran di negara ini dan di universiti yang sama.

"Menerusi maklumat daripada beberapa rakan yang melanjutkan pengajian di negara lain, saya dapati pengajian di sini lebih baik dan menyeluruh.

"Saya merancang akan teruskan pengajian peringkat lebih tinggi di sini dan tiada hasrat untuk ke luar negara. Apa yang saya perlukan untuk pengajian saya semuanya ada di sini," katanya.

Menurut salah seorang tenaga pengajar di universiti itu, Chef Zaishahrizal Zamani, kebanjiran pelajar asing khususnya dari Korea bukan saja memberi positif bagi dunia pendidikan tempatan malah menimbulkan semangat daya saing di kalangan pelajar lain.

"Mereka sudah terbiasa dengan sistem pendidikan berpacukan prestasi tinggi, justeru ia menjadi budaya penting di kalangan masyarakat Korea.

"Apabila mereka ke luar negara, budaya itu turut dibawa seiring dan kita
boleh lihat pelajar Korea ini tampak lebih fokus serta berdaya saing tinggi untuk mendapat keputusan cemerlang.

"Kepesatan teknologi juga digunakan sepenuhnya bagi membantu pembelajaran mereka. Biasanya, soalan pertama mereka ketika masuk ke kelas ialah sama ada boleh merakam gambar atau video pembelajaran kerana bagi mereka cara itu amat efektif untuk mengulangkaji, selain menyalin nota.

"Mereka juga tidak segan bertanya berulang kali sehinggalah benar-benar faham dengan pelajaran terbabit. Mereka juga sensitif ketika menerima kritikan, tapi itulah yang membuatkan mereka tergolong antara pelajar cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Rampas 150 jersi Harimau Malaya

Posted: 02 Dec 2012 10:10 AM PST

KUALA LUMPUR: Lima peniaga yang menjual jersi tiruan Harimau Malaya dan Garuda sempena perlawanan dua pasukan itu, diserbu Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di kawasan Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Dalam operasi jam 4.30 petang itu, lebih 150 jersi tiruan dirampas daripada enam gerai yang menjual jersi di kawasan itu.


Jurucakap KPDNKK, berkata jersi berkenaan dijual pada harga RM35 berbanding jersi asli pula berharga RM140.

"Kami hanya dapat merampas barangan daripada enam gerai manakala selebihnya melarikan diri apabila mereka menghidu kehadiran pihak penguatkuasa," katanya.


Beliau berkata, hanya dua pemilik daripada enam gerai yang diserbu diberkas dan mereka dikompaun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



4 serba hitam curi RM45,000

Posted: 02 Dec 2012 09:58 AM PST

KUALA LUMPUR: Sekumpulan empat perompak berpakaian hitam dan bersenjatakan pisau menceroboh sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail sebelum mengikat tangan dan kaki pemilik kediaman itu dan melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM45,000, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, seorang wanita berusia 23 tahun yang tidur tersedar daripada tidur selepas melihat pintu biliknya dibuka sebelum dia mendapati empat lelaki tidak dikenali memakai topeng dan berpakaian serba hitam menceroboh rumahnya.


Menurut sumber, mangsa yang terkejut dengan kehadiran mereka menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek panik dan mengacukan pisau ke leher mangsa sambil mengarahkannya supaya berdiam diri jika tidak mahu dicederakan.

"Suspek kemudian mengikat tangan dan kaki mangsa dengan tali.


"Rakan suspek pula menggeledah bilik lain sebelum mereka membawa adik perempuan mangsa bersama pembantu rumah ke dalam bilik itu dan diikat," katanya.


Sumber berkata, seorang daripada suspek turut berkawal di pintu bilik tidur mangsa sementara yang lain menggeledah mencari barangan berharga.

"Suspek melarikan wang tunai RM5,000, barangan kemas RM30,000, telefon bimbit, kamera dan pelbagai jam tangan berjenama.


"Mangsa bagaimanapun tidak dicederakan dan berjaya membuka ikatan jam 6 pagi. Sebaik berjaya melepaskan diri mangsa menghubungi polis meminta bantuan," katanya.

Menurutnya, polis yang tiba ke tempat kejadian beberapa minit kemudian membuat pemeriksaan dan menjumpai kesan pecah masuk di pintu rumah itu.


Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Pandang hadapan

Posted: 02 Dec 2012 08:20 AM PST

PENYERANG negara, Mohd Safee Sali tidak lagi mahu memandang aksi peringkat kumpulan selepas Harimau Malaya mara ke separuh akhir berdepan Thailand.

Skuad Gajah Perang yang dibimbing Winfried Schafer kini menanti anak buah Datuk K Rajagobal dalam dua peringkat separuh akhir manakala Singapura menentang Filipina bagi merebut dua tiket ke final.


"Berdepan Thailand adalah satu perlawanan berlainan. Kita pernah bermain dengan mereka dalam perlawanan persahabatan. Jadi pada saya, kita perlu membaiki setiap kelemahan yang ada sebelum perlawanan," kata penjaring terbanyak negara dalam Piala AFF dengan lapan gol.

Malaysia dalam satu aksi persahabatan di Bangkok pada awal bulan lalu kecundang 0-2 menerusi jaringan Prayat Bunya pada minit ke-26 dan rembatan kencang Arthit Sunthornphit dari luar kotak penalti minit ke-80 bagi menewaskan penjaga gawang, Mohd Farizal Marlias pada perlawanan itu.


Thailand membuktikan mereka pencabar utama untuk merampas kejuaraan kali ini apabila muncul juara Kumpulan A dengan meraih mata maksimum dalam tiga perlawanan dengan meledak sembilan gol, paling banyak berbanding pasukan lain dan hanya melepaskan dua gol.


"Memang diakui jentera serangan dan pertahanan mereka bagus namun kami perlu menggunakan tempoh yang ada sebaik mungkin," katanya yang baru meledak satu gol.

Safee yang banyak dikritik kerana kegagalannya menyerlah, hanya menjaringkan satu gol ketika menentang Laos.


Selaku peledak hebat yang beraksi dalam Liga ISL dengan kelab Pelita Jaya dia diharap mempamerkan ketajamannya membolosi gawang lawan.

Namun dia agak tumpul dan kerap melepaskan peluang keemasan di gawang lawan. Begitu juga halnya bagi Norshahrul Idlan Talaha.


"Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik nanti dan berharap gol kedua akan menyusul berdepan Thailand nanti.


"Saya harap penyokong bersabar dan tetap memberikan sokongan padu kepada skuad negara," katanya. Mengenai Indonesia, Safee berasakan juara edisi 2010 itu lebih bagus dan berpengalaman berbanding pemain yang tampil bersaing kali ini.


"Saya rasa mereka akan lebih hebat jika mempunyai pemain Liga Super Indonesia (ISL). Saya harap konflik yang berlaku dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Hampiri Mueller

Posted: 02 Dec 2012 08:16 AM PST

MADRID: Lionel Messi semakin menghampiri rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman milik Gerd Mueller ketika Barcelona membelasah Athletic Bilbao 5-1 awal pagi semalam untuk mencipta rekod baru permulaan terbaik dalam saingan La Liga dan kekal 11 mata mengatasi Real Madrid.

Real yang juga juara bertahan mengetepikan musuh setempat, Atletico 2-0 dengan Cristiano Ronaldo meledak jaringan bagi meneruskan harapan mempertahankan gelaran.


Barca kini mengumpul 13 kemenangan dan sekali seri dalam 14 aksi terakhir untuk memecahkan rekod sebelum ini dalam liga Sepanyol yang dilakukan Real Madrid pada musim 1991-92.

"Ia sesuatu yang membanggakan namun saya lebih gembira dengan persembahan pemain dan ketika mendahului 5-1 kami terus memberi tekanan dan cuba menjaringkan lebih banyak gol," kata jurulatih Barca, Tito Vilanova. "Masih ada perkara yang kami boleh perbaiki dan kami boleh berusaha lebih keras lagi." Gerard Pique meletakkan skuad Catalan itu mendahului selepas 22 minit diikuti jaringan pertama Messi yang menewaskan pemain pertahanan Fernando Amorebieta di garisan gol sebelum Adriano Correia meledak jaringan ketiga sebelum tamat babak pertama.


Cesc Fabregas kemudian menambah jaringan diikuti jaringan sagu hati Ibai Gomez sebelum Messi meledak sekali lagi.


Messi kini kekurangan satu gol berbanding rekod Mueller yang menjaringkan 85 gol dalam kalendar setahun yang dilakukan pemain itu ketika bersama Bayern Munich dan Jerman pada 1972.

Atletico Madrid, yang berada pada prestasi baik ketika ini untuk menghuni tempat kedua, berasakan ia detik terbaik untuk menewaskan Real Madrid sejak kemenangan terakhir pada Oktober 1999 namun mereka jarang mengancam apabila gagal menenangkan diri dalam perlawanan mencabar itu.


Ronaldo tenang dan mempamerkan dia berada di tahap tersendiri walaupun tanpa sebarang gol dalam tiga perlawanan dengan meledak jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-15 dari jarak 30 meter yang menggegar penjuru gawang. Pemain itu sekali lagi melakukan larian ke dalam kotak penalti selepas 53 minit dan melakukan hantaran kepada Mesut Ozil untuk melakukan sepakan voli dari jarak 15 meter bagi gol kedua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Kejutan malam resepsi

Posted: 02 Dec 2012 06:44 AM PST

BERTEMAKAN 'Barbeque Wedding', majlis resepsi pelakon popular, Farid Kamil Datuk Dr Zahari dan pasangannya, bintang jelita berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Diana Danielle Danny Beeson berlangsung dalam suasana ringkas tapi cukup bermakna di Taman Ekuestrian Putrajaya, Presint 5, di sini, malam kelmarin.

Tepat jam 9.10 malam, pasangan mempelai diarak masuk ke dalam taman kayangan dengan menaiki kereta kuda yang dihias indah bagaikan dalam cerita dongeng menuju ke pelamin rekaan Rita Collections.

Pada malam itu, tetamu turut disajikan dengan persembahan kuda daripada Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membabitkan sebanyak lapan ekor kuda untuk perarakan 'Tean Paging' . Selain itu, persembahan daripada pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan pertunjukan silap mata.

Jika Farid nampak segak dengan sut PDRM, Diana yang berbadan dua tetap tampil menawan dengan busana sedondon warna putih rekaan Mimpi Kita serta sentuhan solekan daripada Chot.


Tidak lengkap majlis resepsi tanpa dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air seperti Fazura, Ummi Nazeera, Nad Zainal, Maya Karin, Sazzy Falak, Nadia Nisa, pengarah Osman Ali, produser dan pengarah Sharad Sharan serta ramai lagi. Tidak ketinggalan, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, David Teo dan isterinya, Jane Lim.


Sambil kira-kira 600 tetamu menjamu selera dengan juadah barat 'Asado Argentina' ,mereka turut dihiburkan dengan persembahan hiburan daripada barisan artis popular tanah air iaitu Adira dengan lagu Ombak Rindu, Amir Jahari, Suffian Aji Boy dan Zul Huzaimy.

Selepas majlis merenjis dan makan beradab, pengacara majlis turut mengumumkan kejutan daripada ibu bapa Farid yang bermurah hati untuk menghadiahkan sebuah kereta mewah BMW Turbo buat pasangan mempelai yang baru sebulan melayari hidup sebagai suami isteri.

Secara peribadi, Farid mengakui persandingan di kelab ekuestrian itu adalah gabungan impian perkahwinannya dengan Diana.

"Diana memang impi untuk buat majlis persandingan 'garden wedding' dan saya pula ingin paparkan elemen baru iaitu istiadat berkuda pada majlis resepsi kami.

"Pada mulanya, saya merancang untuk buat persembahan kami berdua menunggang kuda tapi terpaksa ditukar pada saat akhir kerana memikirkan keadaan Diana yang mengandung," katanya.

Ditanya mengenai banyak kekurangan pada majlis malam itu seperti bekalan elektrik terputus beberapa kali dan makanan yang tidak cukup untuk tetamu yang hadir, Farid berkata, dia dan Diana memohon maaf atas kejadian yang tidak disengajakan itu.

"Sebenarnya, perancangan untuk majlis resepsi malam ini dibuat dengan teliti sebab itu saya sendiri terkejut dengan apa yang berlaku. Saya tidak terkejut dengan kejutan hadiah dan persembahan tapi kekurangan dalam majlis pada malam inilah yang paling 'best' dan mengejutkan.

"Terus terang, kami buat majlis pada malam ini mengikut kemampuan kewangan dan hanya inilah yang kami mampu buat. Kami juga buat majlis ini dengan menggunakan duit sendiri tanpa penajaan daripada mana-mana pihak.

"Memang ada beberapa pihak yang berminat ingin menaja tapi kami belajar daripada pengalaman artis lain yang pernah mengalami penaja menarik diri pada saat akhir dan kami ambil langkah selamat ini untuk mengelakkan perkara seperti itu berlaku pada majlis resepsi kami pula," katanya.

Diana amalkan petua ibu mentua

BARU sebulan melayari bahtera rumah tangga, Diana yang sudah berbadan dua mengakui mula menyesuaikan diri dengan statusnya sebagai isteri dan bakal ibu muda.

Walaupun sibuk membuat persiapan majlis resepsi dan majlis persandingan sebelah keluarga Farid di Kedah selepas ini, Diana tetap tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan sempat mencuri masa yang ada untuk memasak makanan kegemaran Farid di rumah.

"Saya sentiasa ingat dengan petua ibu mentua iaitu jika ingin rumah tangga bahagia, kita kena jaga makan minum suami sebaik mungkin.

"Farid pula memang suka makanan tradisi Melayu seperti Nasi Tomato dan Ayam Masak Lemak Cili Api dengan Nasi Lembik. Saya juga sudah belajar memasak makanan kegemarannya itu. Kalau masakan barat lagi mudah iaitu sosej dan sebagainya untuk sarapan pagi," katanya.

Menyentuh mengenai kandungannya pula, kata Diana, dia tidak berdepan dengan masalah seperti 'morning sickness' dan sebagainya lagi pada trimester awal kehamilan ini.

"Saya juga seorang yang aktif sejak dulu dan tidak bercadang pun untuk perlahankan aktiviti seni walaupun kini mengandung. Saya juga akan teruskan aktiviti seni seperti biasa tetapi akan terima tawaran watak yang lebih sesuai," katanya.

Sementara itu, Farid dan Diana yang menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri di Hotel Flamingo By The Lake, Kuala Lumpur tanggal 3 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02



Peluang raih trofi cerah

Posted: 02 Dec 2012 06:36 AM PST

MENYENARAIKAN lima filem untuk dipertandingkan di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-55 di Macau pada 15 Disember ini iaitu Ombak Rindu, Bunohan, Songlap, Nur Kasih The Movie dan Hikayat Merong Mahawangsa, Malaysia mempunyai potensi tinggi untuk membawa pulang anugerah utama termasuklah Aktres Terbaik mahupun Aktor Terbaik.

Demikian jangkaan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Filem Malaysia (PFM) selaku ketua delegasi, Pansha, mengenai potensi karya terbabit malah turut berbangga kerana kesemua filem itu mempunyai kekuatan tersendiri.

"Sewaktu membuat pemilihan lima filem berkenaan, kami menyimpan harapan yang sangat tinggi. Ini kerana bukan saja filem-filem berkenaan terdiri daripada genre berbeza malah nilai artistik, kualiti serta penyampaian pelakon juga cukup kuat.

"Bunohan dan Songlap mendapat perhatian yang sangat memberangsangkan di peringkat antarabangsa, sementara Ombak Rindu dan Nur Kasih The Movie pula mengangkat kisah drama yang cukup meruntun emosi penonton, manakala Hikayat Merong Mahawangsa pula mempunyai keunikan sendiri sebagai filem epik yang semestinya jarang-jarang dibuat.


"Bagaimanapun, sepanjang terbabit dalam festival ini, mengikut pengalaman saya, sukar untuk membuat jangkaan awal kerana apa-apapun penilaian di peringkat akhir sering berubah-ubah. Pengadilan sebegini cukup subjektif apatah lagu kini festival ini menekankan aspek persaingan berbanding sebelum ini, hanya untuk tujuan diplomatik.


"Apapun, dengan kepelbagaian genre itu sekurang-kurangnya memberi pilihan kepada juri dan tidak mustahil pelakon kita mampu membawa pulang anugerah utama pada festival itu nanti," katanya pada sidang media baru-baru ini.

Bakal berangkat ke Macau, China pada 13 Disember ini, antara pelakon yang akan mewakili delegasi Malaysia termasuklah Syafie Naswip, Shaheizy Sam, Maya Karin dan Ummi Nazeera. Akan berada selama empat hari di sana, Pansha juga bersyukur kerana dapat turut serta pada festival berkenaan berikutan sebelum ini, Malaysia hampir terlepas acara berprestij itu.

"Sebenarnya, kita hampir tidak menghantar wakil dan pencalonan ke festival itu pada tahun ini kerana kesilapan teknikal. Kami tidak menerima sebarang jemputan sehinggalah saya diberitahu seorang rakan bahawa festival itu diadakan pada tahun ini.

"Saya pun menghubungi pihak di sana dan bertanyakan kenapa tidak ada jemputan untuk Malaysia menghantar penyertaan kali ini. Amat mengejutkan apabila alasan yang diberikan adalah mereka gagal menghubungi pihak kami, padahal semua nombor telefon dan emel masih lagi sama seperti sebelumnya.

"Pada masa itu juga, sebenarnya tarikh penyertaan sudah pun berakhir namun akhirnya penganjur memberi masa tambahan memilih lima filem untuk dipertandingkan," katanya.

Kali terakhir festival itu berlangsung adalah dua tahun lalu, dan disebabkan tidak mendapat penajaan, festival itu tidak diadakan pada 2011. Kemenangan terakhir Malaysia adalah menerusi Allahyarham Yasmin Ahmad yang membawa pulang anugerah Pengarah Terbaik pada 2010 menerusi Mualaf.

Turut hadir pada sidang media berkenaan adalah Ketua Pengarah Perbadanan Filem Malaysia (Finas), Mohd Naquib Razak, yang berpuas hati dengan pemilihan lima filem terbabit.

"Pemilihan berkenaan dibuat seratus peratus PFM dan saya percaya mereka sudah memutuskan lima yang terbaik walaupun saya agak sedih sedikit kerana ada beberapa filem bukan bahasa Melayu tidak sempat dinilai.

"Apapun, selain mengharapkan kemenangan, semestinya apa yang penting adalah pengalaman dan penyertaan itu sendiri. Amat penting juga buat kita untuk mengekalkan momentum demi menembusi pasaran luar dan tidak menyepi daripada acara besar sebegini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tumbukan ragut nyawa abang

Posted: 02 Dec 2012 10:22 AM PST

GEORGETOWN: "Walau apapun yang berlaku, saya tetap maafkan dia," kata Nayati Man, 33, ibu Muhammad Asyraf Muhammad Shukri, 17, yang maut apabila ditumbuk adiknya selepas kedua-duanya bergaduh di rumah mereka di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Asyraf yang menghidap penyakit asma sejak kecil ditumbuk adiknya hingga mulut berdarah dan tersembam.

Asyraf mengalami sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ketika kejadian, menurut Nayati, dia berada di rumah dan anak sulungnya itu berbaring di sofa sambil menonton televisyen di ruang tamu manakala anak keduanya bermain permainan video di komputer riba.


"Anak bongsu saya yang berusia empat tahun menangis kerana mahukan mainan.

Namun, anak kedua saya mengusik adik perempuannya dan ini menimbulkan kemarahan Asyraf yang menegur perbuatan itu," katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), malam kelmarin.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



MPV rentung langgar lembu

Posted: 02 Dec 2012 10:22 AM PST

MELAKA: Perjalanan sebuah keluarga termasuk tiga kanak-kanak pulang ke Johor selepas membeli-belah di bandar raya ini, bertukar detik menakutkan apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dinaiki mereka merempuh seekor lembu sebelum terbabas dan terbakar di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), berdekatan persimpangan Telok Mas, dekat sini, malam kelmarin.

Kemalangan kira-kira jam 11 malam itu turut menyebabkan lembu berkenaan mati di tempat kejadian. Menceritakan detik cemas itu, mangsa, Lim Yok Chin, 46, berkata dia yang memandu kereta berkenaan baru selesai membeli-belah bersama enam ahli keluarganya termasuk tiga kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 10 tahun di sebuah pusat beli-belah terkemuka. "Setibanya di lokasi kejadian, saya yang berada di lorong kiri dipotong sebuah kenderaan lain sebelum terkejut melihat seekor lembu tiba-tiba muncul atas jalan.


"Pada waktu itu, saya gagal mengawal kereta lalu melanggar binatang berkenaan sebelum terbabas. Sejurus rempuhan, saya mendapati enjin turut berasap dan segera mengarahkan semua ahli keluarga keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, kelmarin. Menurut ahli perniagaan itu, dalam tempoh 10 minit, kereta miliknya terbakar dan mereka hanya mampu melihat berikutan api terlalu marak.

"Apabila diperhatikan, saya mendapati lembu yang dilanggar turut mati dan tidak pasti sama ada ia tercampak atau sebaliknya berikutan kejadian berlaku begitu pantas. "Saya gagal menyelamatkan apa-apa di dalam kereta termasuk barangan terutama tilam yang baru dibeli. Nilai semua barangan itu dianggarkan RM1,300," katanya yang menetap di Muar.


Kata Lim yang masih terkejut dengan kejadian itu, kereta berkenaan dibeli dua tahun lalu dengan harga RM180,000.


"Walaupun mengalami kerugian, saya bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius dalam kemalangan ini.

"Selain itu, saya berterima kasih dengan keprihatinan orang awam yang membantu menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut," katanya yang turut meminta pihak berkaitan berbuat sesuatu bagi mengelak kejadian sama berulang.


Tinjauan Harian Metro semalam mendapati dua jentera bomba berada di lokasi kejadian mengawal dan memadamkan kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Lima rakyat Jerman maut

Posted: 02 Dec 2012 08:26 AM PST

KAHERAH: Lima pelancong Jerman dan tiga warga Mesir terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua bas mini berhampiran pusat percutian Laut Merah, semalam.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua bas itu bertembung dalam sebuah pusat peranginan berhampiran Hurghada.


Jumlah pelancong yang cedera belum disahkan. Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Jerman berkata, beberapa warganya terbunuh dan cedera dalam kemalangan di bandar pinggir laut Mesir. "Kementerian Luar mengaktifkan kumpulan pengurusan krisis bagi menangani isu ini, manakala Duta Jerman dalam perjalanan ke tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, agensi berita lain melaporkan, lima warga Jerman dan tiga penduduk tempatan maut dalam kemalangan berkenaan. Sumber polis berkata, lima warga Jerman itu adalah kakitangan syarikat penerbangan yang dalam perjalanan ke lapangan terbang Hurghada. "Kemalangan berlaku apabila bas mini membawa warga Jerman itu memasuki jalan utama tetapi dirempuh sebuah bas lain yang membawa pelancong. Kedua-dua pemandu bas terbabit adalah warga tempatan dan mereka meninggal dunia. Kemalangan jalan raya memang lazim di Mesir, dengan kebanyakannya disebabkan keadaan jalan raya dan kekurangan penguatkuasaan undang-undang.


Jumaat lalu, dua pelancong Russia maut apabila bas yang mereka naiki terbalik berhampiran Nuweiba, Sinai. Pada 17 November lalu pula, 47 pelajar tempatan terkorban apabila bas mereka dirempuh kereta api di tengah Mesir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Dibaham ikan lumba-lumba

Posted: 02 Dec 2012 08:25 AM PST

ORLANDO: Walaupun biasanya ikan lumba-lumba adalah haiwan yang jinak dan tidak berbahaya, dalam keadaan tertentu ia sebenarnya boleh mengancam nyawa.

Seorang budak perempuan berusia lapan tahun, misalnya, mengalami detik mencemaskan ketika dia dibawa melawat Sea World di Orlando, Florida, minggu lalu.


Menurut media semalam, Jillian Thomas sedang memberikan ikan lumba-lumba di taman tema itu makan apabila haiwan berkenaan tiba-tiba menyerangnya. Kanak-kanak dari Georgia itu mengalami kecederaan apabila dia digigit ikan lumba-lumba berkenaan.

Akibatnya, Jillian luka sebesar wang syiling di tiga tempat, selain bengkak tangan kiri.


Bapa Jillian, Jamie Thomas, berkata dia sempat merakamkan insiden itu dengan kamera videonya.


Berdasarkan rakaman itu, kata Thomas, Jillian jelas nyaris ditarik ke dalam air selepas pergelangan tangannya digigit ikan lumba-lumba berkenaan secara mengejut.

"Serangan itu tidak dijangka kerana ia berlaku ketika Jillian memandang ke tempat lain," katanya. Klip video itu dimuat naik Thomas di Internet sebagai langkah menasihati ibu bapa lain supaya lebih berhati-hati. Kata Thomas, perkara pertama terlintas di fikirannya ketika Jillian diterkam ialah mahu terjun ke kolam berkenaan untuk menyelamatkan nyawa anaknya. "Saya sangkakan ikan itu akan mengheret Jillian," katanya. Walaupun luka Jillian akan sembuh, Thomas dan isterinya tetap kecewa kerana kakitangan pusat rekreasi itu menganggapnya tidak serius. Kata Thomas, dia lega kerana Jillian tidak ditarik ke dalam kolam, tetapi tidak mustahil ada orang lain akan menerima nasib lebih buruk pada masa depan. "Ia bukan serangan pertama ikan lumba-lumba di situ," katanya. Walaupun tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas Sea World, Thomas berkata, dia berharap pusat rekreasi itu wajar menaikkan had usia bagi kanak-kanak yang ingin menyuap makanan kepada haiwan berkenaan.


Pada 2006, dua pengunjung dewasa terpaksa membuka mulut seekor ikan lumba-lumba yang membaham tangan seorang budak lelaki berusia tujuh tahun. Sementara itu, jurucakap Sea World berkata, tiada sebarang perubahan dijangka dilakukan di situ. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved