Khamis, 29 September 2011

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Michael sebabkan kematian sendiri

Posted: 28 Sep 2011 09:37 AM PDT

LOS ANGELES: Doktor raja pop Michael Jackson membunuh bintang itu ekoran kecuaian, kata pendakwa raya - tetapi peguam bela pegawai perubatan itu mendakwa ikon pop terbabit menyebabkan kematiannya sendiri.

Dalam perbicaraan permulaan Conrad Murray, semalam peguamnya berkata, Michael mati serta-merta selepas mengambil dua jenis dadah berbeza ketika doktor itu keluar dari bilik di kediaman bintang berkenaan di Holmby Hills pada 25 Jun 2009.


Gambar mayat Michael yang dibalut dengan kain putih di bilik mayat hospital ditunjukkan di mahkamah, selain turut diperdengarkan rakaman audio bintang itu ketika mengambil dadah berlebihan kurang daripada dua bulan sebelum kematiannya.

Mahkamah turut menyaksikan video Michael membuat latihan 'The Way You Make Me Feel' beberapa hari sebelum kematiannya dan merancang untuk membuat konsert jelajah dunia serta menerbitkan filem cetera berdasarkan video popularnya 'Thriller'.


"Dia melakukan perbuatan tanpa pengetahuan dan kebenaran doktornya, melanggar arahan doktor, dia melakukan perkara yang menyebabkan kematiannya sendiri," kata peguam Murray, Ed Chernoff.


Chernoff berkata, Michael mengambil lapan pil lorazepam dua miligram - cukup untuk membuatkan enam orang tertidur - tanpa pengetahuan doktornya, selain mengambil dos tambahan propofol bagi membolehkannya terlena.

Kombinasi dadah itu 'membunuhnya serta-merta'...malah, dia tidak sempat untuk melelapkan mata," katanya. Murray, 58, menghadapi hukuman empat tahun penjara jika disabitkan kesalahan. Tujuh lelaki dan lima wanita menjadi juri kepada Murray yang didakwa menyebabkan kematian Michael tanpa sengaja ketika penyanyi itu membuat persediaan untuk siri konsert kemunculan semula. Pegawai perubatan itu didakwa memberi Michael propofol berlebihan - yang dirujuk penyanyi itu sebagai 'susu' - bagi membantu mengatasi imsonia dihidapi.


Murray yang menerima latihan kardiologi tidak menafikan dia memberi Michael propofol yang biasanya digunakan sebagai ubat bius ketika pembedahan, tetapi dia menafikan membiarkan pesakitnya pada detik kritikal.

Satu ketika, Murray dilihat mengesat air matanya sewaktu perbicaraan berlangsung. - AFP

Kucing miliki dua muka

Posted: 28 Sep 2011 09:35 AM PDT

MILBURY (Massachusetts): Seekor kucing istimewa dilahirkan dengan dua wajah. Frankenlouie yang tinggal bersama pemiliknya di Milbury, Massachusetts mempunyai kecacatan kelahiran genetik menyebabkan ia mempunyai tambahan wajah.

Dua wajah luar biasa dimiliki kucing itu disebabkan oleh penyakit digelar Janus yang biasanya membolehkan haiwan berkenaan hidup selama beberapa hari saja. Namun, haiwan peliharaan itu mengatasi jangkaan apabila dapat hidup lebih lama untuk meraikan hari jadinya yang ke-12.


Kemampuannya itu membolehkan Frankenlouie mencatat rekod dalam Rekod Dunia Guinness.

Frankenlouie sudah pun menjadi bintang dan muncul dalam ribuan video di YouTube. Haiwan satu dalam seribu itu sudah muncul dalam siaran televisyen seperti 'Strange, Freaky, True'. Pemilik Frankenlouie adalah seorang jururawat haiwan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


12 das tembak tauke tarik kereta

Posted: 28 Sep 2011 10:48 AM PDT

KUALA LUMPUR: Angkara dendam, seorang pemilik syarikat tarik kereta cedera parah di perut dan tangan akibat ditembak secara rambang oleh dua lelaki yang menunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Prima 2, Taman Metro Prima, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa yang berusia 43 tahun sedang minum bersendirian di sebuah restoran berhampiran syarikat miliknya apabila secara tiba-tiba muncul dua lelaki menunggang motosikal dan berpakaian serba hitam melepaskan tembakan secara rambang ke arahnya yang turut menyebabkan dua orang lain cedera.


Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Operasi dan Risikan Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa berkata kedua-dua suspek melepaskan 12 das tembakan ke arah mangsa yang tidak menyedari kehadiran mereka.

"Suspek menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ berwarna biru menggunakan pistol jenis automatik dan melepaskan tembakan dari jarak 20 meter ke arah mangsa sebelum memecut laju.


"Akibat kejadian itu, mangsa cedera parah di perut dan tangan manakala seorang lelaki berusia 40-an yang minum di restoran sama dan seorang pekerja wanita warga Indonesia cedera di kaki," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Beliau berkata, mangsa bersama dua lagi orang awam berkenaan dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil.

Hanya 10% ikut panduan

Posted: 28 Sep 2011 10:43 AM PDT

SUBANG JAYA: Kira-kira 90 peratus kediaman dan bangunan perniagaan yang dijadikan asrama pelajar dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, dikesan tidak mengikuti garis panduan.

Yang Dipertuanya, Datuk Asmawi Kasbi, berkata hanya 10 peratus pemilik yang menghantar permohonan untuk mendapatkan kelulusan MPSJ bagi menjadikan premis mereka asrama pelajar.


"Arahan itu sudah dikeluarkan dan masalah ini sudah dibincang Mei lalu bersama penduduk serta pihak berkuasa lain.

"Hal ini perlu diambil serius semua pihak kerana kami mahu memastikan asrama dalam keadaan selamat dan mematuhi syarat keperluan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS)," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPSJ, di sini, semalam.


Menurutnya, beliau berharap pemilik premis memberi kerjasama dan mendapat kebenaran merancang perubahan material bangunan daripada MPSJ terlebih dulu sebelum mengemukakan pelan terperinci susun atur bagi mendapatkan lesen perniagaan itu.


"Bagaimanapun, pengusaha perlu mendapatkan persetujuan jiran bersebelahan bagi premis kediaman yang ingin dijadikan asrama bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku.

"Selain itu, pengusaha perlu memastikan beberapa aspek perlu dipatuhi seperti keadaan lokasi iaitu perlu berhampiran pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan di kawasan perumahan, kemudahan yang selesa, kapasiti penghuni asrama serta aspek keselamatan dan kebersihan," katanya.


Katanya, arahan itu dikeluarkan selepas MPSJ menerima pelbagai aduan penduduk sejak tiga tahun lalu yang kurang selesa dengan kewujudan asrama terutama di kawasan perumahan teres.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Bakat mereka curi tumpuan

Posted: 28 Sep 2011 07:40 AM PDT

WALAUPUN berlainan latar belakang, genre muzik dan perjuangan seni, anak muda yang baru mencuba nasib dalan dunia seni, Awi Rafael, 25, dan Nashrin, 22, punya satu persamaan iaitu pengorbanan besar dengan berhijrah meninggalkan keluarga demi mengejar impian menjadi penyanyi.

Awi atau nama sebenar, Mohd Nabawi Ewan Gunawan Rafael, baru saja menetap di Cheras selepas bertahun-tahun berulang-alik dari bandar kelahirannya di Singapura, baru kini selesa dan mampu bernafas kemas kerana sudah mendapat kediaman sendiri.

Berbeza pula senario Nashrin, anak muda kelahiran Ipoh ini masih gigih berulang-alik ke Kuala Lumpur bagi melunaskan segala undangan seni kerana masih terikat dengan kerjaya tetapnya sebagai eksekutif dalam lapangan perbankan di Pulau Pinang.

Awi yang kini popular dengan lagu Pulanglah, adalah warga Singapura yang mencari rezeki di Malaysia. Selepas puas menongkah pelbagai ranjau, bakatnya menjadi perhatian Warner Music Malaysia lantas dijadikan tempat berlindung di bumi orang ini.


"Sebagai anak perantau, memang tidak mudah laluan saya jalani. Bagaimanapun, saya begitu bersyukur kerana sekarang saya sudah mencapai apa yang pernah saya impikan walaupun masih baru.


"Setidak-tidaknya saya sudah nampak jelas ke mana arah tuju yang perlu saya pergi dan apa yang seterusnya perlu saya rencana bagi mengukuhkan lagi laluan yang sudah dipilih.

"Soal berhijrah dan terpaksa meninggalkan keluarga di Singapura adalah satu aspek yang sudah saya fikirkan dulu. Mahu atau tidak, saya perlu berkorban jika inginkan sesuatu yang pernah diidamkan.

"Mujur keluarga memahami dan sentiasa menyokong apa saja yang saya ingin lakukan. Bagi saya, sokongan dan restu keluarga adalah kekuatan dan resipi peribadi untuk terus berdiri," katanya.

Meskipun masih baru dalam gelanggang seni suara, jadual seni Awi dan Nashrin begitu padat. Peluang bertemu Awi dan Nashrin ketika menjayakan Karnival Gegaria Harian Metro di Ipoh, Perak minggu lalu, digunakan sebaiknya untuk menggandingkan mereka dalam satu fotografi.

Hanya meletakkan kedua-duanya di taman bunga bersebelahan dengan hotel penginapan untuk merakamkan wajah terbaik petang itu, masing-masing tidak kekok memberikan kerjasama. Kedua-duanya punya wajah menarik dan pesona tersendiri.

Awi baru muncul dengan album solo memuatkan lima lagu, Pulanglah, Aku Bukan Bintang, Bukankah Aku, Bila Aku Jatuh Cinta dan Panas semuanya ciptaan sendiri dan lagu Pulanglah nyata membawa tuah kepadanya.

Nashrin, pemenang tempat kedua program realiti MyStarz LG musim kedua, mula mencari arah terbaik dengan mempertaruhkan lagu Fobia Cinta dan bernaung satu bumbung dengan Awi di Warner Music.

Awi mengharapkan agar ada ruang buatnya berkarya di sini selain memperbaiki apa yang longgar bagi terus memancing selera peminat tempatan.

"Alhamdulillah album solo saya sudah berada di pasaran dan setakat ini lagu Pulanglah begitu hangat diputarkan di radio tempatan. Siapa sangka, percubaan berani itu membuahkan hasil dan menerima reaksi positif di sini. Saya sendiri gembira dan bersyukur dengan percaturan yang diberikan buat saya.

"Sekarang saya sibuk mempromosikan single kedua yang akan menyusur tidak lama lagi selain menyiapkan beberapa lagu untuk penyanyi-penyanyi lain di sini. Saya baru selesai merakamkan lagu Hanya Lelaki Ini untuk Hazama.

"Itu juga satu cenderahati istimewa buat saya apabila ada pula penyanyi tempatan yang percaya untuk menggunakan khidmat saya sebagai komposer. Insya Allah jika ada rezeki, saya ingin terus bertapak di sini dan memartabatkan industri muzik serantau menerusi bakat yang ada. Apa yang penting adalah jujur dan ikhlas," katanya.

Mendengar cerita Awi dan segala macam pengalaman sepanjang mencari tapak dalam dunia seni, Nashrin yang memiliki senyuman manis, hanya setia mendengar.

Sejak berjaya mencipta nama di My Starz LG lebih tiga tahun lalu, Nashrin mula mencari arah terbaik buatnya. Berpaksikan minat dan kesungguhan, anak sulung dari tiga beradik ini gagahkan diri untuk membuat kedua-dua kerja dalam satu masa hingga perlu berulang-alik Kuala Lumpur Pulau Pinang.

"Jadual harian saya memang memenatkan dan ada kalanya macam nak pengsan kerana setiap hari saya perlu bekerja ikut waktu pejabat di bank di Pulau Pinang dan kemudian hujung minggu jika ada undangan saya perlu pula ke Kuala Lumpur.

"Namun itulah lumrah dan pengorbanan yang perlu saya lakukan demi melunaskan permintaan orang tua yang ingin melihat saya punya kerjaya tetap.

"Bagaimanapun semua itu adalah satu semangat buat saya walaupun terpaksa merentas lebuh raya Utara Selatan hampir setiap minggu. Bukan tidak mahu berhenti atau meletak sepenuh fokus pada satu kerjaya sebaliknya saya punya sokongan yang kuat dari majikan serta teman-teman lain membuatkan saya sayang untuk meninggalkannya.

"Insya Allah jika ada rezeki atau peluang yang lebih baik, pasti saya akan pertimbangkan untuk memilih satu lapangan saya agar perhatian yang diberi lebih baik dan tersusun. Saya bercadang untuk menetap di Kuala Lumpur pada hujung tahun ini," katanya.

Bakal melancarkan album penuh pada 5 Oktober depan, Nashrin gigih merencana perjalanan seninya agar tidak tersasar atau muda lenyap begitu saja.

"Memang banyak cabaran dan dugaannya kerana lapangan seni bukanlah semudah yang dilihat. Namun saya bersyukur kerana masih dijanjikan album penuh seperti ini meskipun lewat berbanding yang lain. Sekurang-kurangnya perjuangan saya ketika di MyStarz LG dulu berbaloi dan tidak hilang seperti mana kebanyakan bintang realiti lain.

"Alhamdulillah album penuh itu nanti akan turut memuatkan lagu ciptaan Acap berjudul Percaya Pada Luka dan konsepnya masih sama iaitu pop. Malah syarikat rakaman juga sudah pun memberikan pelan pemasaran buat saya yang mana jika mengikut perancangan yang betul, album kedua pula akan menyusul kemudian.

"Saya fikirkan itu semua adalah terbaik buat pendatang baru seperti saya.

Soal popular atau publisiti bukanlah satu masalah besar sebaliknya apa yang menjadi keutamaan adalah kualiti lagu dan sambutan daripada pendengar. Saya hanya berharap agar peminat dapat menerima dan menyukainya nanti," katanya.

Terbaru, kedua-dua anak muda berbakat besar ini akan disatukan sekali lagi dalam persembahan eksklusif pada majlis penganugerahan Anugerah Skrin TV3 nanti. Awi akan muncul dengan lagu Pulanglah dan Nashrin pula mengambil alih pentas menerusi lagu Fobia Cinta.

PROFIL

Nama penuh: Mohd Nabawi Ewan Gunawan Rafael
Tarikh lahir: 23 Julai 1986
Umur: 25 tahun
Tempat lahir: Singapura
Keluarga: Anak bongsu daripada tiga beradik
Kerjaya: Penyanyi dan komposer
Idola: M Nasir, Yuna, Aizat dan ramai lagi
Pendidikan: Ijazah dalam Perundangan dan Psikologi di Universiti Australia
Album: Awi Rafael

PROFIL

Nama penuh: Wann Nashrinie Zafri
Tarikh lahir: 14 Oktober 1989
Umur: 22 tahun
Tempat lahir: Ipoh, Perak
Keluarga: Anak sulung daripada tiga beradik
Kerjaya: Penyanyi dan Eksekutif Bank
Idola: Innuendo, VE dan ramai lagi
Album: Nashrin
Pencapaian: Naib Juara MyStarz LG musim kedua

Ustazah Pilihan cari pendakwah

Posted: 28 Sep 2011 07:24 AM PDT

KEJAYAAN program realiti berkonsep Islam, Imam Muda bersiaran selama dua musim menjadi pencapaian terbaik Astro Oasis (saluran 106) dalam menarik perhatian penonton mereka.

Program julung kali seumpamanya berbeza dari konsep program realiti sedia ada turut berjaya mencuri tumpuan penonton luar negara apabila mendapat liputan media antarabangsa yang berminat mengikuti perjalanan program terbabit.

Oasis terus merancang pelbagai agenda baru dari aspek kandungan untuk kepuasan penonton setia mereka dengan memperkenalkan satu lagi program realiti TV Ustazah Pilihan yang bermatlamat mencari pendakwah muda wanita yang boleh diangkat sebagai ikon pada masyarakat.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, sambutan diterima daripada mereka yang hadir menerusi uji bakat diadakan di empat lokasi, Kedah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur sangat menggalakkan.


"Menerusi temu bual ketika uji bakat dijalankan, mereka yang hadir mempunyai bakat besar yang boleh ditonjolkan sebagai muslimah berpotensi.


"Dalam mendekatkan generasi muda dengan program bermanfaat, Ustazah Pilihan menjadi platform terbaik pada mereka yang ingin mengembangkan bakat diri dan berdakwah. Ini juga memberi ruang pada remaja muslimah untuk ketengah atau memperluas bakat mereka," katanya pada sidang media Ustazah Pilihan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Izelan berkata, kualiti pada diri individu itu diteliti dari aspek latar belakang pendidikan dan komitmen dalam menjayakan program ini.

"Kita tahu apabila menerbitkan program wanita, wujud masalah seperti wanita yang sudah berkahwin sukar untuk keluar rumah tanpa izin suami.

"Namun, dari uji bakat dijalankan kami dapat melihat kualiti mereka yang hadir termasuk graduan yang mempu–nyai pendidikan dalam bidang pendidikan Islam.

"Dari peringkat awal, lebih 40 peserta melepasi uji bakat sebelum ditapis hingga tinggal 10 peserta. Memang diikutkan kami mengambil 10 peserta tetapi kami tambah satu peserta lagi kerana berasakan dia juga berpotensi.

"Mengenai cabaran, kami melakukan perubahan berbanding Imam Muda apabila peserta didedahkan dengan masalah wanita dan cara bagaimana mereka dapat menanganinya," katanya.

11 peserta terpilih terdiri, Nur Atieqah Mohd Zainudin (Atiqah), Nur Aqidah Mawardi (Aqidah), Nun Faizah Rohana Mustapha (Faizah), Siti Fatimah Mad Yatim (Fatimah), Masfira Hilman (Fira), Firuz Akhtar Mohamad Bohari (Firuz), Siti Nor Hafidza Razali (Fizah), Nurul Hidayah Kamarudin (Hidaya), Nina Syazmeen Mohd Din (Nina), Siti Fatimah Mohd Sharif (Siti) dan Maryanti Ramle (Yanti).

Bagi Fatimah, 21, dia berbesar hati menyertai program ini dalam menimba pengalaman baru walaupun masih belajar dalam bidang pengajian Islam al-Quran dan Al-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia.

"Saya berhasrat untuk berkongsi ilmu dengan orang lain sepanjang terbabit dalam program ini dan pada masa sama berusaha untuk berdakwah.

"Saya percaya sesuatu ilmu itu harus dituntut dan disebarkan pada orang lain agar ia memberi manfaat pada semua," katanya.

Yanti, 23, berasal dari Melaka pula berpandangan program ini memberi banyak kelebihan dari aspek pengetahuan dan pendedahan ilmu baru yang ingin disampaikan kepada peserta bersama penonton. Masih bergelar pelajar Ijazah Undang-Undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa, dia tidak mempunyai masalah untuk memberikan komitmen pada pada program ini.

"Soal memang tidak pernah saya fikirkan apabila diberi peluang menyertai program ini. Pada saya, apa yang penting melihat pada latar belakang peserta yang berbeza, tidak salah untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat," katanya.

Kesemua peserta ini dibimbing tiga tenaga pengajar, Dr Robiah K Hamzah sebagai mudirah (pengetua) dibantu dua mursyidah (tenaga pengajar, Prof Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah Hassan. Program ini dihoskan Siti Rohani Surani.

Untuk episod pengenalan, program Ustazah Pilihan: Pencarian bersiaran pada 22 dan 29 September jam 9 malam manakala Ustazah Pilihan: Detik bermula 3 Oktober ini pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.50 petang.

Mulai 6 Oktober, program Ustazah Pilihan pula bersiaran setiap Khamis jam 9 malam. Maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang, www.ustazahpilihan.com.my atau laman sosial, www.facebook.com/UstazahPilihan106 dan http://twitter.com/UstazahPilihan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


774 wanita kita gersang cinta cair

Posted: 28 Sep 2011 11:43 AM PDT

KUALA LUMPUR: Koleksi surat, skrip dan puisi cinta serta gambar lelaki berkulit putih kacak, antara bahan ditemui polis dalam komputer riba warga Nigeria yang digunakan mereka untuk mengaut RM24 juta daripada 774 wanita tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mencatatkan sepanjang 2010 hingga Ogos lalu, seramai 232 warga Nigeria ditahan kerana terbabit penipuan Internet dengan menyasarkan wanita Malaysia sebagai mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata siasatan polis mendapati sindiket penipuan warga Nigeria di negara ini mempunyai skrip atau ayat cinta yang dicipta khusus bagi memancing wanita tempatan terutama mereka yang kesepian dan ketandusan kasih sayang.

"Taktik atau cara yang mereka lakukan ialah menghantar e-mel atau mesej melalui laman sembang sosial di Internet seperti facebook, Tagged dan Wayn kepada ratusan mangsa dalam sehari," katanya.


Menurutnya, hasil siasatan pada komputer riba yang digunakan seorang ahli sindiket terbabit, pihaknya menemui skrip berkenaan bersama fail lain yang siap disusun atur dalam pelbagai versi bagi menjayakan rancangan mereka.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Tiada kaitan pengganas

Posted: 28 Sep 2011 11:40 AM PDT

SUBANG JAYA: "Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan insiden ini dengan kumpulan pengganas atau bom C4," kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan yang melawat lokasi kejadian letupan bangunan pusat beli-belah Empire Shopping Gallery, di sini, awal pagi semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu hanyalah kemalangan yang berlaku berkemungkinan besar berpunca daripada kecuaian dan tiada sebarang bukti menunjukkan ia perbuatan khianat.


"Apapun, perkara ini masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor serta Suruhanjaya Tenaga (ST)," katanya yang juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.45 pagi itu, letupan kuat yang dipercayai berpunca daripada kebocoran paip gas di sebuah restoran di aras bawah tanah pusat beli-belah itu mencederakan empat orang selepas terkena serpihan kaca dan percikan api.


Letupan itu bukan saja memusnahkan sebahagian daripada bangunan berkenaan, malah turut mengakibatkan kerosakan di bangunan Wisma Consplant 2 yang terletak bertentangan pusat beli-belah itu.


Seorang daripada empat mangsa yang cedera, Daryl Chua, 27, berkata ketika kejadian dia dan teman wanitanya, Tan Wern Fang, 24, sedang berjalan ke mesin bayaran parkir untuk membuat bayaran.

"Kira-kira 10 meter sebelum tiba ke mesin berkenaan, tiba-tiba berlaku letupan kuat menyebabkan kami berdua terpelanting. Saya segera mendapatkan teman wanita yang sedang terbaring dan mengangkatnya ke seberang jalan," katanya yang ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Menurutnya, dua kereta milik dia dan teman wanitanya rosak teruk akibat letupan berkenaan. Bagaimanapun, dia menyifatkan diri mereka bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan. Pasangan kekasih itu dan dua pengawal keselamatan yang cedera kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.


"Hasil siasatan awal, letupan dipercayai bermula dari sebuah restoran di tingkat bawah," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


‘Peduli apa orang kata’

Posted: 28 Sep 2011 11:12 AM PDT

"SAYA bukan pergi makan angin ke sana," tegas penyerang sensasi Mohd Safee Sali, kurang senang dengan persepsi segelintir pihak yang menganggap kunjungannya ke Cardiff City bagi menjalani ujian percubaan selama dua minggu sebagai kerja sia-sia.

Malah dia yang tiba ke tanah air semalam juga menolak andaian dipergunakan pengurusan kelab Liga Kejuaraan itu untuk mendapat populariti di negara ini.


"Ini peluang yang amat bagus untuk saya, biarlah orang nak kata apa, janji saya dapat menjalani latihan di negara itu sudah dianggap satu penghargaan dan saya cukup berbangga. Saya bukan pergi makan angin ke sana.

"Saya rasa mereka tidak mengambil apa-apa kesempatan, sebab daripada reaksi pengurus Cardiff City (Malky Mackay), dia berminat dan terkejut dengan kemampuan pemain dari Malaysia. Bagi saya tawaran ini cukup berharga dan dapat menyertai latihan mereka adalah satu impian," kata Safee sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.


Safee, 27, selesai menjalani ujian pemilihan selama dua minggu bermula 12 September lalu bersama Cardiff City dalam usahanya untuk melakar impian selaku pemain Malaysia pertama beraksi dalam kancah bola sepak Inggeris.


Namun ada yang menganggap ia sebagai kerja sia-sia memandangkan syarat ketat untuk pemain Asia untuk beraksi di United Kingdom khususnya membabitkan soal permit kerja.

Sehingga kini belum ada keputusan sama ada Safee berjaya ataupun tidak pada ujian pemilihan itu melainkan kenyataan Mackay yang mencadangkan supaya penyerang Pelita Jaya FC dari Indonesia itu mengikuti ujian sekali lagi selepas ini.


Ini kerana tempoh dua minggu ujian sebelum ini dianggap tidak cukup untuk Mackay membuat penilaian.

"Memang mungkin masa tidak cukup sebab saya tidak ada perlawanan persahabatan cuma hanya latihan. Mungkin mereka tidak puas melihat aksi saya ketika latihan dan saya harap dapat pergi ke sana lagi untuk membuktikan aksi sebenar," kata Safee.


Dalam tempoh terdekat dia dijangka mengadakan pertemuan dengan pemilik kelab divisyen dua itu, Datuk Chan Tien Ghee bagi perbincangan lanjut.


"Selepas menjalani latihan dua minggu di sana memang ada tanda positif daripada pengurusan Cardiff City dan saya amat berminat untuk bermain di sana. Apa yang saya lihat, saya memang boleh bersaing di sana kerana boleh mengikuti latihan dan tidak berdepan masalah dengan cuaca. "Saya harap akan ada perkembangan positif dan berharap bukan saya seorang saja yang akan pergi menjalani ujian pemilihan sebaliknya pemain-pemain Malaysia yang lain jika diberi peluang oleh mana-mana kelab," jelas Safee yang terus melapor diri bersama skuad kebangsaan semalam bagi persediaan menghadapi Australia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Canberra, 7 Oktober ini.

Tak perlu bermegah

Posted: 28 Sep 2011 11:05 AM PDT

P MANIAM mungkin boleh menarik nafas lega dan berasa bangga selepas misi pertama memastikan Selangor ke saingan suku akhir Piala Malaysia selepas hampir ditimpa aib berjaya dipenuhi apabila menundukkan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Mengambil alih kerusi panas sebagai jurulatih Selangor daripada bekas pengendali skuad Gergasi Merah, K Devan yang dikritik hebat peminat kerana prestasi merudum juara 32 kali itu pada saingan awal Piala Malaysia, jelas tanggungjawab besar buat Maniam.


Bagaimanapun, beliau sudah membuktikan betapa di bawah pimpinannya, Selangor kembali ke landasan tepat untuk memenuhi impian merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33.

Namun pengendali berusia 43 tahun itu seolah-olah enggan meraikan kejayaan Selangor mara ke suku akhir apabila pantas menyatakan: "Berbanding pasukan lain, di Selangor, mara ke suku akhir Piala Malaysia adalah satu perkara yang normal.


"Tidak perlulah saya berasa sangat gembira atas kejayaan ini kerana banyak lagi halangan perlu kami tempuhi untuk mencapai sasaran muncul juara," katanya.


Mengulas perlawanan kelmarin, Maniam berkata, beliau banyak memberi kata-kata semangat kepada barisan pemainnya di bilik persalinan sebelum memasuki babak kedua selepas menyaksikan anak buahnya ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama.

"Pada mulanya memang kami berasa sedikit tertekan tetapi selepas memasuki babak kedua, saya dapat melihat semangat luar biasa pemain untuk meraih kemenangan dan hasilnya kami berjaya mengalahkan Kuala Lumpur," katanya.


Menduduki tangga kedua Kumpulan D di belakang T-Team, Selangor bakal bertemu juara Kumpulan A, Perak pada saingan suku akhir dan Maniam pantas menyatakan, ia satu lagi tugas sukar untuk anak buahnya.

Meskipun Perak kehilangan lima tonggak, Mohd Syazwan Mohd Roslan, Shahrulnizam Mustapa, Azmeer Yusof, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd Nasril Nourdin yang digantung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil selepas perlawanan Liga Super dengan Sabah di Stadium Lumut 19 Mei lalu serta kelewatan menjawab surat pertuduhan, bagi Maniam ia bukanlah satu kelebihan untuk anak buahnya.


"Walaupun tanpa lima pemain ini, Perak membuktikan mereka masih mampu beraksi dengan baik apabila menjuarai Kumpulan A. Ia menunjukkan mereka bukanlah pasukan yang mudah untuk ditewaskan," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved