Selasa, 20 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bukan hanya tegah tapi awasi

Posted: 20 Nov 2012 06:09 AM PST

KEDATANGAN cuti sekolah pasti ditunggu-tunggu anak-anak dan ibu bapa kerana pada masa inilah, pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama keluarga. Namun, dalam keghairahan menikmati percutian, kadangkala ibu bapa terlupa kepada langkah keselamatan yang perlu dipertingkatkan supaya cuti yang sepatutnya menjanjikan kegembiraan tidak bertukar kepada perkara menyedihkan.

Bagi ibu bapa yang meninggalkan anak-anak bersama pembantu rumah, seharusnya mereka memastikan kawasan persekitaran berada dalam keadaan selamat. Ini boleh dilakukan dengan membuat operasi mengemas rumah untuk mengenal pasti dan menghapuskan segala ancaman dan bahaya seperti peralatan tajam, barangan elektrik dan kaca yang perlu disimpan di tempat tertentu. Tanpa sedar, barangan ini boleh mengundang bahaya kepada anak-anak terutama apabila mereka dibiarkan bersendirian di rumah.

Menurut perunding keluarga yang juga Pegawai Eksekutif Kumpulan Smart Parents Network Sdn Bhd, Zaid Mohamad, bagi memastikan persekitaran rumah berada dalam keadaan selamat, ibu bapa seharusnya membabitkan ahli keluarga termasuk pembantu rumah dengan menyenaraikan tempat dan barangan berisiko mendatangkan kecederaan sambil menerangkan dengan jelas mengenai bahayanya.

"Ini boleh dimulakan dengan kawasan paling sering dikunjungi anak-anak iaitu dapur. Pastikan lantai sentiasa kering dan bersih. Barangan elektrik diletakkan di tempat tinggi. Ajarkan juga kepada pembantu rumah, supaya memastikan anak-anak kecil berada di tempat selamat yang boleh dipantau terutama ketika memasak," katanya.


Bagi ruang tamu, periksa dengan cara merendahkan badan, jalan berlutut atau meniarap di lantai bagi membolehkan ibu bapa memerhatikan barangan kaca atau plag elektrik yang mungkin membahayakan. Jika ada tangga dan anak masih kecil, pastikan terdapat pintu kecil untuk menghalang mereka naik turun tanpa kawalan.

Bagi anak yang sudah besar, ajar mereka cara naik dan turun tangga dengan selamat.

Di luar rumah pula, jadikan ia kawasan selamat untuk anak-anak bermain, berlari dan berbasikal. Tutup semua longkang dan lubang serta simpan semua peralatan berkebun, bertukang atau membaiki kereta di tempat sepatutnya. Begitu juga bagi ibu bapa yang membawa anak-anak pulang ke kampung seharusnya melakukan perkara yang sama dengan menghapuskan semua risiko ini. Bagi ibu bapa yang tinggal di kawasan banjir pula, pastikan anak-anak tidak bermain di kawasan bahaya.

"Bagi membolehkan anak lebih memahami, tunjukkan berita kanak-kanak lemas ketika musim banjir dan ketatkan kawalan dengan memastikan mereka sentiasa ada di depan mata," katanya.

Menurut Zaid, ibu bapa seharusnya memilih lokasi percutian mesra keluarga seperti di taman tema yang sesuai dengan umur anak-anak, berkelah di tempat perkelahan selamat, bersiar-siar sambil bersenam di taman bunga atau melawat tempat bersejarah, zoo, muzium serta pameran menarik. Selain itu, boleh ke perpustakaan melakukan aktiviti berfaedah berbanding hanya bermain permainan video di rumah.

"Supaya wujud keseronokan sepanjang percutian, adakan aktiviti kekeluargaan seperti memasak, membuat kraftangan, kerja rumah dan bermain bersama-sama ibu bapa. Ini bagi memastikan anak-anak tidak bosan selain mengeratkan perhubungan antara satu sama lain," jelasnya yang meminta ibu bapa melatih anak kecil melakukan kerja di dapur seperti membuang sampah ke dalam bakul sampah, memasukkan baju ke dalam mesin basuh atau mengangkat cawan kotor ke dalam singki. Ini kerana latihan secara tidak langsung mampu memberi kesan positif kepada anak-anak.

Jika ingin bercuti ke tempat jauh yang memerlukan anda sekeluarga bermalam, pilih lokasi bersesuaian dengan mendapatkan pandangan anak-anak. Sekiranya perjalanan mengambil masa lima hingga enam jam, pastikan semua ahli keluarga memakai tali pinggang keledar kerana mereka biasanya akan lebih teruja dan tidak boleh duduk diam. Ini mengganggu tumpuan pemandu dan membahayakan jika berlaku sebarang kecemasan.

"Apabila tiba di sana, bawa mereka meninjau ke seluruh kawasan sambil memerhatikan sama ada terdapat risiko seperti jalan sibuk, kolam renang terlalu dalam, keadaan pantai yang mungkin tidak sesuai untuk berenang, keadaan peralatan taman permainan yang mungkin rosak, tangga yang terlalu curam atau tinggi serta lubang atau longkang yang tidak ditutup.

"Jika boleh, tunjukkan bahaya dengan membuat demonstrasi ke dalam kolam renang yang mungkin nampak cetek. Laporkan kepada pihak pengurusan hotel sekiranya ada barangan rosak kerana ia akan membahayakan anak-anak orang lain juga," ujarnya.

Keselamatan bukan hanya di luar hotel, malah di dalam bilik juga boleh berlaku kemalangan. Oleh itu, pastikan semua tingkap terkunci, bilik air sentiasa kemas dan ajarkan kepada anak-anak cara menggunakan paip air panas kerana mungkin mereka akan menggunakannya tanpa pengetahuan ibu bapa. Minta anak-anak supaya tidak bermain di bilik air kerana ia mungkin menyebabkan mereka tergelincir atau terkena air panas.

Bagi memastikan ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak, Zaid menasihatkan mereka supaya membuat perjanjian untuk memaklumkan aktiviti yang ingin dilakukan seperti mandi di kolam atau ke pantai. Jangan sesekali membenarkan anak-anak pergi bersendirian tanpa ditemani orang dewasa. Ini kerana kebanyakan kes lemas berlaku disebabkan anak-anak pergi secara senyap-senyap.

Dalam hal ini, ibu bapa boleh memberi sedikit kebebasan kepada anak-anak berusia sembilan tahun ke atas, namun ini bergantung kepada persekitaran.
Sekiranya kawasan perumahan berisiko tinggi, penjaga seharusnya memantau pergerakan mereka.

"Namun sekiranya ia di dalam kawasan tertutup yang selamat seperti perumahan berpagar atau di halaman rumah sendiri, sedikit kebebasan boleh diberikan asalkan ibu bapa mengetahui lokasi anak-anak bermain serta mengenali rakan mereka.

"Ini kerana kanak-kanak berusia kurang lima tahun sering kali lasak dan bertindak mengikut naluri saja. Mereka tidak dapat membezakan antara keseronokan meneroka dengan bahaya yang menanti. Oleh itu mereka memerlukan penjaga yang boleh mengingatkan keselamatan diri mereka," ujarnya.

Bagi ibu bapa yang menghantar anak-anak ke kelas tambahan pada musim cuti sekolah ini, pastikan anak-anak selamat pergi dan kembali. Ini bagi mengelak insiden buruk jenayah culik dan rogol yang semakin berleluasa kini.

"Jika boleh kenali rakan anak anda dan ibu bapa mereka supaya bersama-sama memantau pergerakan anak-anak pergi dan balik dari sekolah," jelasnya.

Bahaya di rumah:

  • Bahaya di dapur contohnya cerek dan periuk elektrik, periuk dan kuali panas, minyak panas serta tumpahan air dan minyak yang boleh menyebabkan anak-anak tergelincir.
  • Bahaya barang permainan terutama yang dimiliki abang dan kakak, tetapi mampu membawa risiko tercekik kepada adik-adik yang masih kecil.
  • Bermain peralatan rumah yang tajam seperti pisau, gunting, jarum dan parang yang boleh melukakan terutama anak-anak kecil di peringkat umur satu hingga enam tahun.
  • Bermain peralatan sekolah yang tajam seperti gunting dan alat geometri.
  • Barang perhiasan rumah diperbuat daripada kaca dan diletakkan di tempat yang mudah dilanggar kanak-kanak yang mungkin berlari-lari di dalam rumah.
  • Bahaya ubat-ubatan orang dewasa yang diletakkan merata-rata lalu diambil si kecil yang menyangka itu gula-gula.
  • Bahaya bahan beracun atau bahan kimia yang tidak dilabel atau disimpan dengan selamat.
  • Bahaya kejutan elektrik akibat suis dan sambungan plag yang sudah uzur atau dibiarkan bersepah di lantai.
  • Bahaya di sekitar rumah seperti longkang yang tidak tertutup, lubang kecil yang boleh membuatkan anak terjatuh lalu terseliuh atau patah tangan dan kaki.
  • Peralatan berkebun yang tidak disimpan dengan rapi seperti pemotong bunga dan cangkul yang boleh mengundang rasa ingin tahu anak-anak menggunakannya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


  • Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Terduduk lihat kedai hangus

    Posted: 19 Nov 2012 08:59 AM PST

    SUBANG JAYA: Seorang peniaga kedai runcit terduduk longlai apabila kedai yang diwarisi daripada mendiang datuknya, musnah dalam kebakaran bersama empat lot premis lain di Batu 12, Puchong, di sini, kelmarin.

    Pemilik tiga daripada lima lot premis itu, Lim Lee Kwan, 49 berkata, dia mengetahui kebakaran terbabit apabila dimaklumkan rakannya yang melalui kawasan berkenaan jam 9.30 malam.


    "Ketika itu saya makan malam bersama keluarga di sebuah restoran di Puchong Perdana, dekat sini dan bergegas ke sini (tempat kejadian). Apabila sampai, saya dapati tiga premis milik saya sudah musnah terbakar.

    "Saya anggarkan kerugian RM100,000 termasuk sebuah lori yang musnah," katanya.


    Lim yang turut tinggal di lot kedai berkenaan bagaimanapun bersyukur kerana ketika kejadian, dia tidak berada di situ.


    Pemilik kedai makan, J Periasamy, 66, berkata, sudah seminggu dia tidak menjalankan perniagaan kerana menyambut Deepavali.

    "Saya rugi RM30,000 dan kini hilang punca pendapatan akibat kejadian inu," katanya.


    Sementara itu, Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Haswan Mohd Wasir ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.55 malam.

    Katanya, tiga jentera dengan kekuatan 18 anggota dari balai Puchong, Subang Jaya dan Seksyen 7 Petaling Jaya mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke premis berhampiran.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


    ‘Terlupa’ tanda harga

    Posted: 19 Nov 2012 08:59 AM PST

    KUALA LUMPUR: Terlupa. Antara alasan 62 peniaga yang dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga khas merah jambu sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2012 yang dilaksanakan bermula 8 hingga 17 November lalu.

    Pengarah Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayuddin berkata, mereka tidak mematuhi peraturan iaitu menjual melebihi harga maksimum, gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan tidak meletakkan tanda harga.


    Katanya, peniaga sengaja memberikan alasan seperti itu kerana mahu meletakkan harga sendiri kepada pengguna selain mahu mengaut keuntungan segera.

    Menurutnya, sepanjang 10 hari skim itu dilaksanakan, 53,646 pemeriksaan dilakukan membabitkan pemborong dan peruncit di seluruh Malaysia.


    Katanya, KPDNKK mengeluarkan kompaun RM8,049 selain merampas barang jualan mereka bernilai RM7,540.


    "Antara kesalahan yang paling banyak dilakukan peniaga ialah tidak meletakkan tanda harga merah jambu iaitu 46 kes.

    "Selain itu, 15 kes membabitkan tidak mempamerkan harga pada barangan kawalan manakala satu kes ialah menaikkan harga barang kawalan melebihi harga siling ditetapkan kerajaan," katanya Mohd Roslan berkata, Selangor dan Lembah Klang mencatatkan kes tertinggi peniaga yang ingkar iaitu masing-masing dengan 20 dan 24 kes.


    Katanya, sepanjang tempoh berkenaan juga, pihaknya menerima dua aduan ketidakpuasan daripada orang ramai terhadap peniaga yang tidak mematuhi skim itu.

    Menurutnya, peniaga yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau kompaun tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Sanggup derita kerana seni

    Posted: 19 Nov 2012 07:33 AM PST

    MEDELLIN: Sudah menjadi perkara biasa bagi kita mendengar ada orang sanggup merana kerana seni.

    Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, mereka bertindak lebih jauh.

    Peminat seni tubuh ekstrem dari seluruh dunia baru-baru ini berkumpul untuk mempamerkan seni tatu dan tusukan tubuh melampau di Konvensyen Tahunan Tatu Antarabangsa Ketiga.

    Mereka yang menghadiri konvensyen di Medellin, Columbia itu sudah pasti bukan yang lemah semangat.


    Persembahan yang paling menarik perhatian ialah seorang wanita berambut merah berkorset kulit, digantung dengan dua cangkuk besi yang ditusuk pada kulit belakang badannya.


    Persembahan melampau itu hanya dua daripada koleksi mereka yang bertindak ekstrem atas nama seni tubuh.

    Ada yang sudah menghabiskan ribuan ringgit untuk melukis tatu pada tubuh mereka sementara yang lain, bertindak lebih jauh dengan apa yang dipanggil pengubahsuaian tubuh. - DM

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


    Kanak-kanak perempuan dibaham harimau bintang

    Posted: 19 Nov 2012 07:30 AM PST

    MUMBAI: Seorang kanak-kanak dibaham dan dimakan oleh seekor harimau bintang ketika dia buang air kecil di sebalik semak.

    Ibu kanak-kanak perempuan berusia dua tahun itu menjerit ketika melihat haiwan berkenaan menyerang anaknya tetapi tindakannya gagal menghentikan harimau bintang berkenaan mengheret kanak-kanak itu ke dalam hutan.


    Usha Vinayak Yadav pergi ke semak berkenaan di hutan berhampiran Mumbai pada waktu malam untuk membuang air kecil apabila kejadian berlaku.

    Polis menemui lengan dan kepala mangsa kira-kira 300 di dalam hutan.


    Inspektor Srirang Nadgauda berkata: "Tidak ada cahaya di kawasan itu yang menjadi sebahagian daripada hutan berkenaan.


    "Ibu Usha menjerit tetapi tidak ada siapa yang dapat mengesan harimau bintang atau kanak-kanak itu kerana keadaan terlalu gelap." - TS

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Teruja bertugas dengan Fafau Hot FM

    Posted: 19 Nov 2012 05:59 AM PST

    BIARPUN gagal mempertahankan trofi Artis Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) lalu, pelakon handalan, Noorkhiriah Ahmad Shapie tidak pernah dihambat kecewa.

    Apatah lagi, tiga kali merangkul anugerah itu pada ABPBH sudah cukup untuk membuatkan dia bersyukur dengan bakat seni kurniaan Tuhan.

    Begitupun, ibu cantik kepada dua cahaya mata ini seperti memencilkan diri di mata pihak media tempatan. Noorkhiriah, 35, seakan-akan selesa 'low-profile' dan kelibatnya hanya dapat ditonton dalam drama TV semata-mata.

    Justeru, apa yang menyebabkan dia bertindak sebegitu?


    Bersua dengannya pada sesi fotografi yang diadakan di Balai Berita, NSTP, Bangsar baru-baru ini selepas agak lama tertangguh, Noorkhiriah akui dia bersikap terbuka menjawab segala persoalan termasuk dakwaan kononnya tidak lagi memerlukan pihak media.


    Menolak tegas dakwaan negatif itu, Noorkhiriah berkata, bukan niatnya untuk tidak lagi berhubung dengan pihak media bagi berkongsi kisah terbaru, cuma jadual lakonannya selalu padat.

    Ujarnya, kesibukan di lokasi penggambaran menghalang dia mengatur tarikh sesuai untuk menjayakan sesi fotografi.

    "Kesibukan kerja saya menjadi alasan utama. Mana mungkin saya tidak perlukan media kerana selagi terbabit dalam dunia seni, sokongan wartawan itu sangat penting dan sangat diperlukan. Begitupun, saya selalu tidak dapat memenuhi undangan fotografi yang diatur kerana masa kurang sesuai.

    "Ada masanya tarikh yang dipilih itu ketika saya terbabit penggambaran di luar Lembah Klang. Jadi memang tak boleh buatlah kecuali di lokasi. Lagipun saya rasakan tiada cerita menarik untuk dipaparkan media selain soal kerja semata-mata. Jadi tanpa kisah sensasi dan kontroversi, apakah orang akan membacanya?

    "Jadi memikirkan kemungkinan cerita saya membosankan nanti, adalah lebih baik jika ruang kosong itu diberikan kepada artis lain yang ada cerita lebih hebat untuk dikongsi. Biarlah saya menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja kerana tawaran berlakon diterima pun tak putus-putus.

    "Pun begitu, sebagai anak seni yang terbiasa beraksi di depan kamera, perasaan rindu untuk menjayakan fotografi memang ada," katanya yang menggayakan pakaian rekaan Wanpa dan solekan oleh Linda Bridal.

    Ramah berbicara, Noorkhiriah memaklumkan imej bertudung tidak sedikit pun menggugat rezekinya. Bahkan, disebabkan kesibukan berlakon juga dia terpaksa rela berjauhan dengan dua permata hatinya, Muhammad Hudhaifah, 3, dan Muhammad Yusoff, 1, yang dihantar balik ke kampung.

    Turut berkongsi perasaannya yang mendapat peluang bertugas di konti Hot FM pada 12 dan 13 Oktober lalu, Noorkhiriah berkata, ia pengalaman baru dan istimewa baginya.

    Ujar pelakon kelahiran Raub, Pahang itu, ternyata tanggungjawab sebagai penyampai radio yang bertugas pada waktu pagi bukanlah mudah.

    "Dua hari saya menyahut cabaran menjadi penyampai radio bersama Fafau (Fara Fauzana) dan Nana Mahzan memang menyeronokkan. Ketika itu, saya diundang bertugas kerana FBI dan AG bercuti.

    "Pada saya, ia cukup menghiburkan kerana berpeluang berinteraksi dengan pendengar. Pelbagai gelagat pendengar yang mencuit hati kerana mereka ramah, bersahaja dan amat kelakar.

    "Bagaimanapun, saya akui agak kekok pada hari pertama. Mujur ada Fafau dan Nana yang membantu dan syukur saya mampu melakukannya dengan baik. Bahkan, walau pun seawal jam 5 pagi saya sudah berada di Sri Pentas, Bandar Utama, pengalaman bertugas di konti radio Hot FM itu amat berbaloi dan saya benar-benar suka.

    "Justeru, andai kata ada peluang buat saya menyertai radio suatu hari nanti secara sepenuh masa, mungkin saya takkan tolak dan akan pertimbangkan. Ini kerana saya begitu gembira melakukan tugasan itu. Malah pengalaman singkat di radio bersama Fafau dan Nana cukup indah dan ia pasti menjadi kenangan tak dapat dilupakan sampai bila-bila," katanya.

    Menyentuh pula soal maklum balas pendengar dan peminat, Noorkhiriah berkata, sekali lagi dia bersyukur kerana memperoleh sokongan positif. Walaupun dirasakan persembahannya agak huru-hara tetapi asalkan orang ramai terhibur, ia satu penghargaan. Apatah lagi, sebagai pengalaman pertama dan terlalu baru.

    Apapun, Noorkhiriah amat berterima kasih kepada Fafau kerana sudi memberinya peluang untuk menonjolkan bakat sebagai penyampai radio.

    Jelas Noorkhiriah lagi, Fafau mengundangnya untuk bekerjasama selama seminggu tetapi dia tidak dapat memenuhinya kerana terikat dengan jadual penggambaran drama.

    Antara drama popular yang pernah dibintangi Noorkhiriah adalah Nur Khalifah sebanyak 16 episod dan sitkom Seri Pantun Mai Chek Mai musim kedua bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

    Noorkhiriah juga memaklumkan dia ada mendapat tawaran berlakon dalam telefilem yang akan menjalani penggambaran di luar negara.

    Kini turut membabitkan diri dalam bidang perniagaan sebagai jaminan masa depan, Noorkhiriah berkata, dia kini terbabit berniaga kecil-kecilan menyediakan perkhidmatan van untuk produksi.

    Ujarnya, tak sangka sambutan diterima sangat bagus hingga dia bercadang mahu menambah beberapa buah van lagi.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


    Kutipan cecah RM2.5j

    Posted: 19 Nov 2012 05:32 AM PST

    TIADA babak melampau atau aksi lasak pun masih membuatkan Istanbul Aku Datang memikat ramai peminat sehingga mampu meraih kutipan tiket kira-kira RM2.5 juta sehingga kini.

    Istanbul Aku Datang arahan Bernard Chauly adalah karya terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan Red Films Communications.

    Pengurus Besar Bisnes Studio & Hal Ehwal Korporat Primeworks Studios, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, filem itu terus menerima komen positif daripada penonton dan karyawan seni.

    "Saya turut menerima maklum balas yang baik daripada kawan-kawan produser dan pengarah antaranya Aziz M Osman, Osman Ali, Panshah serta Nancie Foo. Mereka cakap filem ini ringkas tapi sangat menghiburkan," katanya.


    Kata Iesta, pihaknya berharap filem itu akan terus ditonton dan meraih kutipan melebihi RM3 juta.


    "Bagaimanapun, filem ini terpaksa bersaing dengan filem tempatan lain yang masih ditayangkan seperti Skyfall dan kini The Twilight Saga: Breaking Dawn - Part 2 yang akan menjengah pawagam, minggu ini.

    "Selepas filem Soal Hati arahan Othman Hafsham, rasanya belum ada filem seumpama itu lagi. Saya sendiri berpendapat filem ini sangat bagus dan berkualiti dengan corak persembahan yang sangat menarik.

    "Dalam saingan sengit, filem ini tetap memberi fenomena kepada kami kerana jarang filem romantik komedi mendapat kutipan tinggi," katanya.

    Istanbul Aku Datang antara lain mengisahkan perjalanan seorang gadis, Dian dalam mencari cinta. Demi mahu mendampingi kekasihnya, Farouk, Dian sanggup terbang ke Istanbul, sekali gus ingin membuat kejutan.

    Dalam diam, niat sebenar Dian yang juga seorang penulis blog mahu Farouk menyunting dirinya menjadi calon isteri.

    Namun semuanya tidak seperti yang Dian harapkan. Dian kemudian secara tidak sengaja menyewa sebuah rumah yang diduduki seorang pelukis dari Malaysia, Harris.

    Mereka kemudian bergaduh besar sebelum menjadi rapat selepas Dian mendapat tahu Farouk bermain kayu tiga dengan seorang perempuan Turki.

    Farouk juga mula cemburu melihat Dian dan Harris menjadi rapat. Seterusnya hidup mereka bertiga menjadi semakin kelam-kabut dan berbelit-belit.

    Dian sebenarnya keliru, namun dia tetap percaya bahawa semua yang berlaku ada hikmahnya untuk dia memilih lelaki yang terbaik menjadi calon suami.

    Nyata pemilihan Lisa Surihani, Beto Kusyairy dan Tomok berjaya menghidupkan filem ini yang menonjol dengan konsep lakonan 'urban' seperti filem Pisau Cukur.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Lari menyorok nama tercicir

    Posted: 19 Nov 2012 09:27 AM PST

    JOHOR BAHRU: Menyangka dia gagal memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 apabila namanya tidak dipanggil guru, seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bandar Uda (2), di sini, melarikan diri sebelum bersembunyi dalam dewan kira-kira satu kilometer dari sekolah itu, semalam.

    Hafeq Shakirin Abd Halim, 12, bersembunyi di dewan itu dua jam sebelum ditemui menangis oleh bapanya, Abdul Halim Abdul Manaf, 40, dan ibunya, Norlida Mohd Yusof, 37, yang sebelum itu menghubungi polis apabila mendapati anaknya hilang.

    Ketika ditemui, Hafeq Shakirin berkata, dia nekad melarikan diri dari kawasan sekolah pada jam 1 tengah hari ketika menunggu giliran mengambil slip keputusan UPSR selepas mendapati namanya tidak disebut dalam senarai calon yang memperoleh 5A.

    "Saya sangka gagal memperoleh 5A. Ketika itu, saya cukup tertekan dan berasa seperti anak tidak berguna kerana menghampakan harapan ibu bapa.


    "Tambahan pula rakan asyik bertanyakan mengapa saya tidak mendapat 5A seperti mereka. Saya sedih kerana sudah melakukan yang terbaik," katanya.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


    Terkejut diacu pistol

    Posted: 19 Nov 2012 09:27 AM PST

    SUBANG JAYA: Seorang jurutera hampir maut apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbalik sebelum terbakar ketika cuba melepaskan diri daripada dikejar dua lelaki menaiki kereta Proton Wira yang mengacukan pistol ke arahnya di Lebuhraya Persekutuan di sini, kelmarin.

    Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Kam Peng Wah, 53, terselamat selepas merangkak keluar dari Toyota Harrier dipandunya sebelum kenderaan berkenaan meletup dan terbakar di susur keluar Lebuh Raya Persekutuan ke Subang Jaya di sini, kelmarin.

    Kam yang ditemui wartawan di tempat kejadian, mendakwa tidak menyedari kehadiran kereta dinaiki dua penjenayah terbabit sehinggalah seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arahnya ketika dia berada di lorong kanan.

    "Ketika kejadian, saya baru mengeluarkan wang RM2,000 dari mesin juruwang automatik (ATM) berdekatan dan tidak sedar diekori sesiapa.


    "Ketika mahu memasuki susur keluar ke Subang Jaya, saya menyedari sebuah Proton Wira mengekori rapat di belakang dan apabila memotong kenderaan saya, seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah saya," katanya yang masih gementar ketika ditemui.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Harimau cari tonik terakhir

    Posted: 19 Nov 2012 07:23 AM PST

    HARIMAU Malaya berdepan tempoh lima hari yang kritikal untuk mempersiapkan diri sebelum kejohanan Piala AFF Suzuki bermula.

    Kapten, Safiq Rahim menggesa rakan sepasukan memberikan tumpuan penuh dan menutup aksi pemanas badan terakhir menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini dengan nota kemenangan.


    "Baki lima hari sebelum kejohanan bermula memang getir. Kami baru saja pulang daripada program motivasi di Pulau Pangkor dan ia memberikan sesuatu yang positif kepada pasukan negara untuk menaikkan semangat berpasukan," katanya.

    Atas kertas, Bangladesh yang berada di ranking ke-171 dunia tidak akan memberikan masalah buat skuad kendalian Datuk K Rajagobal kembali ke landasan kemenangan selepas keputusan buruk kalah 0-1 kepada Vietnam, Thailand (0-2) dan seri 1-1 dengan Hong Kong.


    Malah Harimau Malaya yang menghuni tangga ke-163 dunia, boleh menguji sejauh mana peningkatan prestasi jentera serangan untuk membolosi gawang Bangladesh selepas pasukan lawan itu dibelasah Thailand 5-0 di Bangkok, Sabtu lalu.


    Namun bagi Safiq, kemenangan besar ke atas Bangladesh tidak bermakna kerana yang penting, aksi mereka di Piala AFF.

    "Menang 10-0, 11-0 (ke atas Bangladesh) tidak penting kerana yang mustahak keputusan kejohanan itu. Bagi saya, perlawanan dengan Bangladesh penting untuk meningkatkan moral pemain, tidak kisah sama ada hanya menang 1-0 atau 2-0, yang penting menang.


    "Kami tak boleh pandang rendah mana-mana pasukan, semua pemain perlu berikan komitmen penuh untuk mencipta keputusan yang baik," kata pemain tengah itu selepas dilantik sebagai Duta 100Plus yang baru, semalam.

    Safiq yang meninggalkan Selangor untuk menyertai Johor musim depan menandatangani kontrak bersama pengeluar minuman isotonik itu selama setahun di hadapan Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Cariessa Goh.


    Pemain berusia 25 tahun itu berkata, pelantikan sebagai Duta 100Plus dianggap penyuntik semangat tambahan untuknya menjelang aksi pertama kempen mempertahankan kejuaraan menentang Singapura, Ahad ini.


    "Perlawanan menentang Singapura selalunya sengit. Saya harap kami mencipta keputusan yang baik kerana perlawanan pertama penting," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


    Vilanova tetap gusar

    Posted: 19 Nov 2012 07:19 AM PST

    MOSCOW: Barcelona berkunjung ke Spartak Moscow bagi pertemuan Liga Juara-Juara awal pagi esok dengan jentera serangan digeruni diketuai Lionel Messi namun pada masa sama, kebimbangan terhadap prestasi pertahanan tetap berterusan.

    Anak buah Tito Vilanova bertindak cemerlang dalam aksi La Liga dengan meraih 34 mata daripada maksimum 36 untuk mendahului carta liga, manakala di Eropah mereka turut efektif dalam Kumpulan G tapi kekalahan di tangan Celtic di Glasgow bermakna mereka masih perlu bekerja keras untuk layak sebagai juara kumpulan.


    Kesungguhan Celtic membantu mereka meraih kemenangan manis 2-1 ke atas juara dua kali Liga Juara-Juara dalam tempoh empat tahun terakhir itu.

    Barca menguasai permainan namun Celtic berjaya mengekang setiap ancaman manakala di benteng pertahanan, kekuatan mereka diragui.


    Barca mengalami beberapa siri kecederaan pemain pertahanan yang dibolosi 15 gol pada saingan liga.


    Carles Puyol dan Gerard Pique hanya mampu beraksi bersama buat kali pertama sejak pertengahan September ketika menewaskan Zaragoza, 3-1 hujung minggu lalu kerana mengalami beberapa kecederaan manakala pertahanan utama, Jordi Alba dan Dani Alves kini turut cedera.

    Pertahanan kini posisi lemah Barca dan mereka terpaksa menurunkan dua pemain tengah, Javier Mascherano dan Alex Song sebagai gandingan utama pertahanan tengah.


    Puyol mengaku pasukan itu perlu memperkukuh bentengnya.

    "Kami bermula hebat sekalipun perlu mengatasi masalah pertahanan. Secara umum masalah itu adalah menangani 'set-piece' pasukan lawan," katanya.


    "Saya mengalami pengalaman terburuk kerana kali ini lebih sakit daripada yang saya sangkakan. Saya perlu terus positif dan cuba membantu pasukan." Di bahagian serangan, Barca terlalu unggul dengan Messi mengemudi jentera itu dan dua gol menentang Zaragoza membantunya mengumpul 17 gol liga dan mengumpul 78 gol tahun ini dengan rekod 85 gol dicipta Gerd Muller buat Bayern Munich pada 1972 menjadi sasarannya. - AFP

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved