Sabtu, 1 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Angkara khianat

Posted: 30 Sep 2011 10:58 AM PDT

SUBANG JAYA: Dua kereta hangus terbakar manakala lapan lagi sengaja dirosakkan dipercayai perbuatan khianat di kawasan perumahan Flat PJS 7/15, di sini, awal pagi semalam.

Menurut sumber polis, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, polis menerima maklumat satu kebakaran membabitkan beberapa kenderaan sebelum pasukan polis dari Balai Polis Sunway bergegas ke tempat kejadian.


"Selepas memeriksa tempat kejadian, kami mendapati dua kereta terbakar termasuk satu daripadanya hangus manakala lapan lagi kenderaan pelbagai jenis dirosakkan.

"Polis turut menemui lapan parang panjang di sekitar tempat kejadian dipercayai digunakan suspek untuk merosakkan semua kenderaan berkenaan," katanya.


Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, dia ternampak sekumpulan lebih 10 lelaki datang di perkarangan tempat letak kereta itu dan memecahkan cermin kenderaan berkenaan serta membakar sebuah kereta Honda Prelude.


"Api merebak ke Perodua Myvi yang diletakkan bersebelahan. Namun, ia terpadam dengan sendiri selepas beberapa minit dan kereta itu hanya terbakar di tayar dan lampu hadapan," katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata polis mengesan suspek yang terbabit dalam perbuatan berkenaan.


"Kami mengumpul maklumat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api," katanya.

9 mesin bank musnah

Posted: 30 Sep 2011 10:54 AM PDT

PETALING JAYA: Sembilan mesin elektronik untuk pengeluaran wang automatik (ATM), deposit tunai dan cek di tingkat bawah sebuah bank di Jalan Tengah di sini, musnah dalam kebakaran, pagi semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian 6 pagi itu, anggota bomba bertindak pantas memadamkan kebakaran berkenaan sebelum ia merebak ke bahagian lain.


Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Petaling Jaya, Kireetharan, ketika dihubungi berkata, hanya sembilan mesin yang diletakkan di bahagian berkenaan terjejas iaitu dua mesin ATM, empat mesin deposit tunai dan tiga mesin deposit cek.

"Sebanyak tiga jentera dikerahkan ke tempat kejadian iaitu dua dari Balai Bomba Petaling Jaya dan satu dari Balai Bomba Penchala dengan kekuatan 17 anggota serta seorang pegawai.


"Jumlah kerugian serta punca kebakaran masih disiasat serta tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Laman sosial jerat lelaki dua isteri

Posted: 30 Sep 2011 09:37 AM PDT

LONDON: Seorang lelaki yang mengamalkan bigami ditangkap selepas isterinya melihat gambar perkahwinan keduanya di laman Facebook.

Diane Haynes masih berkahwin secara sah dengan pemandu bas, Paul Haynes apabila dia melihat gambar perkahwinan suaminya di rangkaian laman sosial itu. Pendakwa raya, Andrew Scott memberitahu Mahkamah Agung Lincoln ketika pasangan itu berpisah, Haynes menjalin hubungan baru bersama Sandra Jones sebelum mereka berkahwin secara sivil di Hotel George di Stamford, Lincolnshire pada 25 Jun tahun lalu.


Tiga bulan selepas itu, Diane menemui gambar berkenaan ketika melayari Facebook dan kemudian menghubungi polis.

Scott berkata, ketika Haynes mengatur perkahwinan keduanya, dia menipu timbalan pendaftar perkahwinan semasa mengisi borang mengatakan dia masih bujang dan tidak pernah berkahwin.


"Dia diminta mengesahkan sama ada dia pernah berkahwin sebelum ini dan mengatakan tidak.


"Penipuan itu terbongkar hingga September tahun lalu. Diane yang masih berkahwin dengan Haynes menemui beberapa gambar di Facebook menunjukkan perkahwinan defendan bersama Sandra.

"Perceraiannya dengan Diane masih diproses dan defendan adalah suami Diane ketika dia berkahwin dengan Sandra," katanya.


Haynes, 38, dari Stonald Road, Whittlesey, Cambridgeshire mengaku bersalah di bawah Akta 1911 kerana membuat pengakuan palsu mengenai perkahwinan.

Dia dihukum penjara 16 minggu dan 80 jam khidmat komuniti serta didenda 250 pound (RM1,250). - DM

37 pekerja, bekas kakitangan Boeing didakwa bersabit jual, beli dadah

Posted: 30 Sep 2011 09:35 AM PDT

PHILADELPHIA: Pihak berkuasa persekutuan, semalam mendakwa 37 kakitangan dan bekas kakitangan syarikat Boeing kerana menjual atau cuba membeli ubat penahan sakit dan ubat anti-keresahan di loji membuat pesawat tentera di pinggir bandar raya ini.

Berikutan siasatan empat tahun, pendakwa raya Amerika Syarikat, Zane David Memeger berkata, 23 orang didakwa menjual ubat penahan sakit Oxycontin dan ubat larangan lain, sementara 14 lagi didakwa cuba memiliki pelbagai jenis ubat. Semua kecuali seorang yang didakwa adalah bekas kakitangan atau kakitangan syarikat Boeing. Seorang lagi akan turut diberkas. "Siasatan dan dakwaan ini menumpukan bukan saja kepada penjualan, tetapi juga kepada penggunaan kerana peranan kritikal kakitangan ini dalam pembuatan pesawat tentera," kata Memeger dalam sidang akhbar. Boeing mengambil lebih 6,000 pekerja di loji Ridley Park, di mana pesawat V-22 Osprey dan helikopter H-47 Chinook dihasilkan. Osprey dan Chinook adalah pesawat tentera AS yang digunakan di Iraq dan Afghanistan.


Sementara itu, jurucakap Boeing, Damien Mills berkata, syarikat bekerjasama dengan siasatan dan memastikan kakitangan yang disyaki tidak dibenarkan bekerja demi keselamatan dan kualiti pesawat. Menurutnya, kakitangan yang didakwa dalam kes itu sudah digantung kerja.

Mills berkata, pada Mei 2006, beberapa kakitangan menghubungi pihak pengurusan syarikat kerana mengesyaki terdapat aktiviti dadah di loji berkenaan.


Dia berkata, Boeing mula melakukan siasatan dalaman dan pada Ogos 2007 menyerahkan hasil siasatan syarikat kepada penyiasat persekutuan.


FBI dan ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah melancarkan serbuan itu awal pagi semalam di loji berkenaan. - Reuters

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


FAM siasat Wan Jamak

Posted: 30 Sep 2011 11:18 AM PDT

GARA-GARA kritikan pedasnya terhadap pengadil perlawanan, jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan mungkin bakal berdepan hukuman berat apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat luahan rasa beliau selepas tamat perlawanan menentang Perak dalam saingan Piala Malaysia, Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tata Tertib dan Disiplin FAM, Datuk Mohd Taufik Abd Razak berkata, FAM sedia maklum dengan kenyataan Wan Jamak itu dan meneliti sama ada akan membuka kertas pertuduhan ke atas jurulatih itu.


"Perkara ini diuruskan urus setia FAM terlebih dulu untuk menyemak kenyataan Wan Jamak itu sama ada ia kenyataan yang berasas ataupun melanggar kod etika FAM.

"Kami tahu kenyataannya itu disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan serta laporan berita televisyen. Malah ia juga disiarkan secara langsung selepas tamat perlawanan ketika ditemubual Astro Arena tapi perkara ini akan diteliti terlebih dulu," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Wan Jamak, 53, melahirkan rasa tidak puas hati selepas menyaksikan anak buahnya sekadar seri 1-1 menentang Perak dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darulaman sekali gus menyebabkan mereka gagal mara ke suku akhir.


Beliau yang ditemui pemberita berkata: "Kami sepatutnya dapat dua gol bersih tetapi dirompak pengadil yang membatalkan dua itu pada babak pertama. Pengadil membuat keputusan yang tidak masuk akal." Taufik berkata, mengikut peraturan baru Kod Tata Tertib FAM 2011, jika Wan Jamak disabitkan bersalah, beliau bakal berdepan hukuman penggantungan minimum enam bulan sehingga dua tahun serta denda wang tunai sekurang-kurangnya RM6,000.

"Semua ini bergantung kepada sejauh mana seriusnya kenyataan Wan Jamak itu kepada FAM, jika kami menganggap ia kenyataan berasas, makan kes itu akan digugurkan," katanya.


Untuk rekod beberapa kes membabitkan penggantungan jurulatih kerana kelantangan bersuara berlaku sebelum ini membabitkan bekas jurulatih B Sathianathan (Kelantan), Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor (T-Team) dan Reduan Abdullah (Felda United).

Sathianathan dijatuhkan hukuman penggantungan enam bulan dan denda RM2,000 oleh Jawatankuasa Tata Tertib dan Disiplin FAM, Oktober tahun lalu kerana mempertikaikan pemilihan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebagai gelanggang pertemuan Perlis dan Terengganu ketika Stadium Utama Negeri di Kangar tidak dapat digunakan.


Turut menerima nasib sama, Che Ku Marzuki yang menjalani penggantungan enam bulan dan denda RM2,000 bermula 21 Oktober tahun lalu.


Reduan pula didakwa celupar apabila memperkatakan mengenai ujian yo-yo walaupun banyak pihak mengaku kebenaran kenyataan bekas pemain Selangor itu.


Beliau digantung selama setahun dan denda RM4,000 namun selepas rayuan dibuat, Jawatankuasa Rayuan dipengerusikan C Gnanarajah mengurangkan tempoh penggantungan itu kepada tiga bulan tetapi dendanya ditambah RM2,000 kepada RM6,000.

‘Spiderman’ sah beraksi

Posted: 30 Sep 2011 11:15 AM PDT

CAMILO Villegas, antara pemain golf paling popular dan mempunyai perwatakan menarik, sudah mengesahkan penyertaannya di Kejohanan Klasik Asia Pasifik Malaysia CIMB yang berlangsung di The Mines Resort & Golf pada 27 hingga 30 Oktober ini.

Terkenal dengan gelaran 'Spiderman' kerana cara uniknya membaca lapangan, Villegas pernah menjuarai siri kejohanan Piala FedEx dua kali berturut-turut pada 2008, Kejohanan BMW dan Jelajah.


Tahun lalu, pemain Colombia berusia 29 tahun itu cemerlang di Jelajah PGA selepas memenangi Honda Classic. Musim ini, dia empat kali menduduki tempat 10 teratas dan bersaing untuk Piala FedEx sehingga Kejohanan BMW di Cog Hill Golf and Country Club, Illinois.

Villegas akan tiba di Kuala Lumpur dan pasti menjadi tumpuan, satu lumrah walau di mana jua dia bertanding. Kali ini, dia akan memulakan kejohanan bernilai AS$6.1 juta (RM19.4 juta) ini sebagai antara pemain yang perlu diawasi.


Menyertai Villegas di The Mines antara lain adalah Vijay Singh dan Brandt Snedeker.


Penampilan Vijay di Klasik Asia Pasifik, Malaysia sudah pasti dinantikan peminat golf tempatan. Vijay mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia dan dia pernah menjuarai Piala FedEx 2008. Berlatarbelakangkan kejayaan cemerlang musim ini, Vijay yang menetap di Ponte Vedra Beach, Florida, mempunyai rekod kemenangan 50 kejohanan dan sudah pasti menjadi antara pemain berpengalaman di lapangan.

Snedeker, Rookie Terbaik Jelajah PGA 2007, menewaskan Luke Donald dalam saingan playoff sudden death tahun ini untuk takhta The Heritage di Harbour Town Golf Links di Hilton Head, South Carolina April lalu. Di kejohanan itu, Snedeker mencatat 7 bawah par 64 pada pusingan terakhir untuk bangkit daripada ketinggalan enam lubang bagi mengikat Luke Donald untuk saingan playoff yang akhirnya menyaksikan Snedeker muncul juara.


Pada playoff Piala FedEx musim ini, Snedeker meraih dua tempat ketiga - di Kejohanan The Barclays dan The Deutsche Bank.

Seperti dilaporkan sebelum ini, juara Terbuka AS 2007 dan Masters 2009, Angel Cabrera serta juara Terbuka British 2009, Stewart Cink, serta penyandang juara Klasik Asia Pasifik Malaysia, Ben Crane akan turut beraksi.


Kejohanan Klasik Asia Pasifik Malaysia adalah pertandingan Asia Tenggara terbesar dan terkaya disertai 48 pemain - 30 daripada Jelajah PGA. 10 jelajah Asia, dua pemain Malaysia dan bakinya penyertaan menerusi kuota penaja. Juara membawa pulang AS$1.3 juta (RM4.2 juta).

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Sajian’ berahi

Posted: 30 Sep 2011 11:50 AM PDT

KUALA LUMPUR: Sebuah warung di Jalan Ampang di sini mempunyai rahsia tersendiri untuk menarik pelanggan apabila 'menghidangkan' aksi berunsur ghairah dua penyanyi karaoke dipercayai wanita warga Indonesia pada setiap malam.

Warung yang terletak kurang 30 meter dari pencawang elektrik itu hanya menawarkan makanan dan minuman biasa, namun 'gelek berahi' dua penyanyi terbabit membuatkan ia sering dipenuhi pengunjung terutama pada hujung minggu.

Pemantauan Harian Metro selama dua malam berturut-turut mendapati sebahagian besar pengunjung seolah-olah sukar menghabiskan segelas teh akibat terpukau tarian ghairah dua 'artis residen' warung itu melalui nyanyian lagu dangdut mereka.

Warung terbabit menyediakan pentas ringkas bagi kemudahan pelanggan yang mahu berkaraoke, tetapi persembahan dua penyanyi dangdut itu sentiasa ditunggu pelanggan.


Dua penyanyi berusia 20-an mendendangkan tiga hingga empat lagu dangdut dengan tarian gelek mengghairahkan sebelum berehat beberapa minit untuk memberi peluang kepada pengunjung berkaraoke sebelum menyambung persembahan mereka sehingga awal pagi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Hukum si miskin

Posted: 30 Sep 2011 11:48 AM PDT

GUA MUSANG: Seorang daripada empat pelajar sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dekat sini, bukan saja dijemur bersama tiga rakannya di tengah panas hampir empat jam tetapi turut menerima hukuman seperti tawanan perang apabila tubuh mereka diletakkan kerengga.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi Rabu lalu itu turut disaksikan lebih 700 pelajar sekolah berkenaan ketika sesi perhimpunan pagi dan empat guru didakwa antara yang terbabit melaksanakan hukuman itu.

Selain dijemur dan diletakkan kerengga, pelajar itu bersama tiga rakannya yang semuanya tingkatan dua turut dipukul, disepak dan ditampar.

Tiga daripada mereka nyaris pengsan akibat berdiri terlalu lama, manakala seorang lagi didera dengan dipaksa menolak motosikal ditunggang seorang guru berbadan besar sebelum dibenarkan masuk ke kelas.


Selepas hukuman selesai, semua pelajar terbabit dibenarkan masuk ke kelas kira-kira jam 11 pagi, manakala penjaga mereka dipanggil untuk mengadakan perbincangan bersama empat guru yang melaksanakan hukuman itu.


Difahamkan, hukuman itu berpunca akibat salah faham selepas seorang daripada pelajar terbabit, Rafizul Zaki, 14, yang juga pelajar miskin kehilangan komputer riba diberikan kerajaan pada 27 September lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Bakat besar menyerlah

Posted: 30 Sep 2011 07:52 AM PDT

MENONTON lakonan mantap aktres jelita Korea, Yoon Eun-hye menerusi drama Princess Hours, The Vineyard Man, The 1st Shop of Coffee Prince, My Fair Lady dan terbaru, Lie To Me, si manis ini nyata tidak mempertaruhkan keayuan wajahnya semata-mata.

Gadis kelahiran Seoul, berusia 26 tahun itu sangat bertuah kerana memiliki bakat yang besar. Dia bukan saja popular sebagai pelakon, tetapi Eun-hye turut dikenali sebagai penyanyi, penghibur dan model.

Terbaru, dia juga berani tampil dengan imej seksi apabila buat julung kalinya sanggup menolak perasaan malu dan membuktikan dirinya seksi dengan menjayakan fotografi eksklusif untuk majalah fesyen, Dazed and Confused edisi Oktober 2011.

Ternyata Eun-hye memiliki tahap keyakinan yang tinggi. Kepercayaan terhadap pesona dirinya yang bertubuh menawan berjaya ditonjolkan Eun-hye menerusi pelbagai aksi berani di hadapan lensa kamera pada sesi penggambaran dilakukan di Hotel Mansfield, New York City, Amerika Syarikat (USA).


Selain aksi berani itu, Eun-hye yang kini tersenarai dalam kelompok aktres wanita popular Korea turut mendapat peluang melebarkan karier lakonannya ke peringkat antarabangsa. Lebih mengagumkan, Eun-hye akan berganding dengan aktor terkenal, Chow Yun Fat.


Disunting menjayakan filem Tong Que Tai di sisi bintang ternama Asia itu, penggambaran akan dijayakan bermula 3 Oktober ini. Selain mereka, pelakon terkenal lain turut beraksi dalam filem ini ialah Tamaki Hiroshi dari Jepun dan Alec Sue (Taiwan).

Mengenai jalan cerita Tong Que Tai, ia diadaptasi daripada novel Romance of the Three Kingdom. Kisah berkisar kepada seorang wanita cantik yang ditanam hidup-hidup bersama Laksamana Cao-Cao iaitu salah seorang tokoh sejarah China.

Mengetengahkan latar belakang era Dinasti Han dan berpaksikan tiga kerajaan, filem hebat ini diilhamkan pembikinannya berpandukan misteri pusara Cao-Cao.
Ketika pusara Cao-Cao digali semula, turut ditemui jasad seorang gadis berusia 20-an.

Kedua-dua mayat itu ditanam dalam satu tempat yang sama. Sehubungan itu, karakter Cao-Cao tentunya menjadi milik Yun Fat, manakala Tamaki Hiroshi sebagai pejuang dikenali Mu Shun dan Alec Su dengan watak Kaisar Xian dari Dinasti Han.

Pembikinan penggambaran filem ini dilakukan di lokasi seperti Beijing, China.
Malah, jika mengikut perancangan dibuat, Tong Que Tai dijangka menemui penonton di pawagam pada April 2012. Apapun, filem ini menggabungkan bintang dari empat negara.

Cukup sinonim dengan watak gadis ceria yang bijak berdikari dalam drama lakonannya, Eun-hye berkata dia sebenarnya sentiasa berusaha sedaya-upaya dan sebaik mungkin berlakon dengan berkesan demi menjaga hati ibu bapa tersayang.

"Saya tidak mahu melihat ibu bapa dan keluarga sedih apabila membaca laporan berita yang buruk mengenai diri ini dari segi mutu lakonan ditonjolkan. Oleh itu, saya lebih selesa memastikan semua karakter diterima akan dilakonkan bersungguh-sungguh.

"Setakat ini, saya berjaya membuatkan ibu bapa gembira dan itu adalah kejayaan yang sangat besar. Cuma, sekarang saya akui dibelenggu kebimbangan berikutan transformasi diri dilakukan. Saya akui, perubahan tidak mudah diterima," katanya.

Menurut Eun-Hye, perubahan harus dilakukannya kerana tidak mahu asyik terikat dengan karakter yang sama. Ujarnya dia sedar setiap perubahan dibuat memerlukan masa yang panjang untuk diterima, malah kadang kala akan ada hati yang terluka.

"Apapun, tak tahulah apa akan terjadi dan saya takut. Terlalu banyak suara harus didengar dan pelbagai pandangan perlu diambil kira. Justeru, saya sangat berharap dapat menghadapinya dengan tabah walaupun kritikan yang hebat daripada penonton.

"Dalam soal ini, saya berusaha menjadi seorang wanita yang matang mengikut peningkatan usia. Apa yang pasti, saya mahu menonjolkan semua bakat yang ada dalam diri walaupun perlu melalui kegagalan. Bagi saya, kegagalan bukan kehancuran hidup.

"Ia sebenarnya permulaan dalam kehidupan untuk seseorang itu bangkit dengan semangat baru dan terus berjuang. Kegagalan, pada saya ialah satu pengalaman yang mendorong untuk berusaha ke arah mencapai kejayaan. Jangan takut untuk gagal," katanya.

Eun-Hye berkata dia sangat mengharapkan peminat tidak akan berhenti memberi sokongan kepadanya walaupun pernah melakukan satu kesalahan. Jelasnya, bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang dan itulah cabaran dalam kehidupan.

Berbicara mengenai karier nyanyiannya, Eun-hye yang pernah menganggotai kumpulan Baby V.O.X pada 1999 hingga 2005, mengakui dia kini selesa memberi tumpuan pada karier lakonannya.

Apapun, Eun-hye ada membantu penghasilan mini album bekas rakan kumpulannya, Kan Mi Youn.

PROFIL:

NAMA: Yoon Eun-hye
TARIKH LAHIR: 3 Oktober 1984
USIA: 26 tahun
ASAL: Seoul, Korea Selatan
PENDIDIKAN: Kyung Hee Cyber University
KERJAYA: Pelakon, penyanyi, model & penghibur
TINGGI: 1.69 meter
AKTIF SENI: 1999 - 2005 (muncul dengan kumpulan Baby VOX )
2005 (mula berlakon).

DRAMA TV: Antaranya Rainbow Romance (2005), Princess Hour, The Vineyard Man (2006), The 1st Shop of Coffee Prince (2007), Take Care of the Young Lady (2009), Personal Preference (2010), My Fair Lady, Lie To Me (2011)

FILEM: The Legend of Seven Cutter / Escaping from Charisma (2006), My Black Mini Dress (2011)

ANUGERAH LAKONAN: Antaranya KBS Drama Awards: Best Couple Award, Popularity Award (2009), 44th Baeksang Awards: Best Actress Award (2008), MBC Drama Awards: Top Excellence Acting Award (2007), The Grime Awards: Best Actress, KBS Acting Awards: Best New Actress Award, KBS Acting Awards: Best Couple Award, MBC Drama Awards: New Actress Award (2006)

ANUGERAH MUZIK: Antaranya Hallyu Award: 15th Seoul Music Awards (2004), Korean Music Awards: Best Singer Award (2003),SBS Music Awards: Representative Award (2002), Award Model Line: Best Dressed Singer (2001), 10th Seoul Music Awards: Best Singer Award (1999)

MODEL IKLAN: Antaranya DHC Korea, LG Telecom, Samsung Happy Together, Green Tea, Domino's Pizza, MPLE, JOINUS, Levi's, Philips Satinelle Ice Premium, CK dan KT Mega TV.

Kenang lagu lama

Posted: 30 Sep 2011 07:33 AM PDT

BERDASARKAN kejayaan menerbitkan konsert Inilah Sharifah Aini tahun lalu dan disiarkan di RTM, ZGB Media Sdn Bhd diberikan ruang oleh stesen televisyen milik kerajaan itu menghasilkan rancangan hiburan konsep sama sebanyak 13 episod.

Menggunakan judul Inilah..., rancangan yang mula bersiaran 4 Oktober, setiap Selasa, jam 9 malam di TV1 itu menampilkan penghibur popular era 70-an dan 80-an seperti Khatijah Ibrahim, Latif Ibrahim, Datuk Malik Ridzuan, Zur Eda, Uji Rashid dan Hail Amir, Jay Jay, Francesca Peters, Aris Ariwatan, Azlina Aziz dan Liza Aziz.

Turut serta artis popular tahun 90-an antaranya Adibah Noor, Zamani, Ning Baizura dan Tomok.

Pengarah Urusan ZGB Media Sdn Bhd, Zohara Ghani Mohd. Bathusha berkata rancangan Inilah... bagaimanapun tidaklah sebesar atau sehebat Konsert Sharifah Aini yang diterbitkan sebelum ini memandangkan rancangan Inilah... sebanyak 13 episod ini disiarkan hanya 30 minit.


"Kita boleh buat konsert Sharifah Aini dalam skala besar kerana peruntukkan tayangan diberikan agak panjang. Malah Ramli MS menjadi pengarah muziknya,"


"Dalam siri Inilah... kita menggunakan tujuh orang pemuzik yang menggelarkan diri mereka Chobib's Project.

"Walaupun tidak ramai ahli muziknya tetapi mereka sangat bagus dan berpengalaman," katanya.

"Hendak dikira dari sudut kepuasan memanglah tidak puas, memandangkan kekangan tempoh masa siaran rancangan diberikan sangat singkat.

"Disebabkan itu juga setiap artis tidak dapat mendendangkan banyak lagu. Hanya dalam enam atau tujuh lagu.

"Bagaimanapun tumpuan diberikan terhadap persembahan. Mereka juga mengendalikan rancangan itu sendiri," katanya.

Menjelas lebih lanjut membabitkan pemilihan artis menjayakan program diadakan kata Zohara, ia dilakukan berdasarkan kredibiliti mereka dan memang digemari ramai.

"Tidak dinafikan ada antara mereka menjayakan rancangan Inilah... adalah artis kegemaran saya sewaktu muda.

"Begitupun kekuatan mereka sebagai penyanyi tidak pula kami pandang enteng.

"Contohnya Aris Ariwatan, dia saya sifatkan seorang penyanyi lelaki yang memiliki kekuatan vokal jantan. Sudah lama kita tidak menyaksikan dia mengadakan persembahan dan atas alasan itu juga saya menjemputnya menjayakan rancangan dihasilkan," katanya.

Adibah Nor juga turut menampilkan kekuatan vokalnya sewaktu menjayakan rancangan ini. Malah peminat juga dapat menghilangkan kerinduan mereka terhadap beberapa penyanyi hebat yang lama menyepikan diri seperti Azlina Aziz dan Liza Aziz.

Ditanya mengenai pembabitan Tomok dalam rancangan ini, kata Zohara, penyanyi utama kumpulan New Boyz itu dipilih berdasarkan pembabitannya yang agak lama dalam industri muzik.

"Seperti umum ketahui, Tomok bukan popular sekarang malah sejak dulu sewaktu dia menganggotai kumpulan New Boyz. Seingat saya, dia sudah mewarnai industri seni tempatan akhir 90-an. Pembabitan Tomok dalam rancangan ini masih sesuai konsep," katanya.

Zohara turut berterima kasih kepada Latif Ibrahim yang sudi menjayakan rancangan dihasilkan walaupun baru saja keluar daripada hospital kerana mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Saya hormati dan mengagumi semangat orang seni seperti Latif Ibrahim. Walaupun uzur dia tetap datang ke studio menjalani latihan bersama pemuzik.

"Bukan itu saja apabila dia memegang mikrofon dan beraksi di pentas, dia begitu bersemangat. Malah kita tidak akan sedar yang dia sebenarnya kurang sihat," katanya.

Inilah... diarahkan Nik Ramzi Nik Hassan dan dibantu Rabi'atul Adawiyah, Khairul Azam dan Siti Shafizah Shahrani, dan Zohara sebagai penerbit eksekutif.

Pada majlis pelancaran itu juga beberapa artis yang terbabit dalam rancangan Inilah... seperti Malik Ridzuan, Uji Rashid dan Latif Ibrahim hadir memeriahkan suasana dengan dendangan lagu popular mereka.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved