Ahad, 26 Ogos 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bersih tangan benteng bakteria

Posted: 26 Aug 2012 07:18 AM PDT

SIAPA lagi yang hebat di rumah apabila menguruskan urusan rumah tangga kalau bukan ibu kita. Bermula daripada menyiapkan keperluan suami hingga anak-anak, tugasnya diteruskan pula dengan pelbagai tugasan lain termasuk mengemas rumah, membasuh baju dan memasak.

Tujuannya cuma satu iaitu dia mahukan keperluan keluarganya terjamin daripada segi kebersihan dan kesihatan.

Berbicara mengenai dua aspek ini (kebersihan dan kesihatan), ramai golongan ibu menyangka jika mereka menyiapkan sendiri keperluan keluarga terutama penyediaan makanan di rumah maka segalanya akan selamat.

Namun, sebenarnya dengan langkah atau teknik memasak yang tidak betul, seluruh ahli keluarga terutama anak-anak boleh tercemar dengan masalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus mahupun bakteria.


Menerusi keupayaan mata kasar, virus atau bakteria memang tidak dapat dilihat apatah lagi disentuh. Bagaimanapun, ia adalah ancaman utama kepada punca atau penularan penyakit berjangkit seperti selesema, cirit-birit dan keracunan makanan.


Apabila anak-anak sakit akibat cirit-birit atau keracunan makanan misalnya, ibu bapa pasti menyalahkan banyak pihak di luar seperti keadaan persekitaran
di sekolah atau peniaga gerai tepi jalan.

Walhal jika didalami dengan teliti, masalah ini juga sebenarnya boleh berpunca dari rumah sendiri. Mungkin ada yang tertanya, bagaimana hal begini boleh terjadi sedangkan saya sudah memasak dan membersihkan rumah setiap hari?

Jangan terkejut sekiranya dinyatakan bahawa penyakit itu bermula dari dapur rumah anda sendiri, tempat anda menyediakan makanan untuk seluruh keluarga.

Malah, kajian Kembali Ke Sekolah yang dilakukan Majlis Kebersihan Global
mendapati pencemaran bakteria di tandas sekolah anak-anak adalah lebih rendah berbanding jumlah pencemaran bakteria yang boleh didapati di dapur rumah.

Hairan bukan? Tetapi itulah kebenaran yang harus dipercayai walaupun selama ini kebanyakan kita menganggap bakteria paling banyak ditemui di dalam tandas atau bilik air.

Pengerusi Majlis Kebersihan Global, Prof John Oxford, berkata melalui kajian Pencemaran Bersilang yang dilakukan pihaknya, keputusan mendapati pencemaran boleh berlaku semasa proses penyediaan dan penyimpanan makanan di dapur keluarga yang normal.

"Kajian menunjukkan orang ramai amat terdedah kepada ancaman penyakit bawaan makanan walaupun mereka makan makanan yang dimasak di rumah mereka sendiri.

"Ini kerana, perhatian yang kurang diambil terhadap disinfeksi semasa menyediakan makanan menyebabkan bakteria mudah berpindah daripada makanan mentah kepada permukaan sekunder seperti makanan yang sedia untuk dimakan serta pelbagai permukaan lain di dapur.

"Penemuan kajian mendapati 87 peratus daripada permukaan sekunder akan diliputi bakteria sekiranya langkah menjaga kebersihan tidak diamalkan. Ini menunjukkan bahawa makanan sedia untuk dimakan termasuk epal, anggur, lobak merah dan salad mentah boleh membawa ancaman jangkitan penyakit kepada ahli keluarga," katanya mengenai kajian yang dilakukan dengan kerjasama jenama pakar kebersihan diri, Dettol.

Selain itu, bakteria juga berupaya merebak ke kawasan lain di rumah melalui sentuhan tangan. Sehingga 90 peratus daripada permukaan sentuhan tangan kita termasuk di radio, papan pemotong, botol, pisau dan televisyen boleh mengakibatkan pencemaran berkenaan.

Keadaan barangan ini yang tidak kerap dicuci membuatkan ia menjadi tempat pembiakan bakteria lalu mendedahkan ahli keluarga terutama kanak-kanak kepada risiko penyakit bawaan makanan dan berjangkit yang lain.

Contohnya, anda sebagai ibu memasak untuk juadah makan tengah hari yang merangkumi lauk ayam dan sayur-sayuran. Langkah tepat untuk mengelakkan anda dicemari oleh bakteria adalah dengan membasuh tangan, semua bahan mentah dan keperluan lain yang digunakan bagi proses berkenaan.

Anda juga disarankan untuk tidak menggunakan pisau atau papan pemotong yang sama bagi memotong sayur dan daging selain perlu membasuh tangan setiap 20 saat ketika menyiapkan bahan memasak.

Sementara itu, kajian Kembali Ke Sekolah mengenal pasti faktor motivasi mengenai amalan kebersihan diri dalam rutin harian yang boleh dipupuk oleh ibu kepada anak-anak mereka.

Keputusan menunjukkan bahawa memberikan pendidikan mengenai kebersihan kepada anak-anak di peringkat awal usia adalah penting kerana penerimaan mereka terhadap amalan itu lebih tinggi.

Melalui kajian berkenaan, penyelidikan membabitkan anggaran 14,000 ibu kepada anak-anak berusia lima hingga 12 tahun di 14 negara termasuk Australia, Brazil, China, Perancis, India, Jerman, Kanada, Dubai, Arab Saudi, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Malaysia. Di Malaysia, satu pertiga daripada ibu risau anak mereka akan dijangkiti penyakit berjangkit di sekolah.

"Kebimbangan utama mereka ialah anak-anak akan dijangkiti penyakit tangan, kuku dan mulut. Ini diikuti dengan penyakit bawaan makanan dan kemudian selesema bermusim.

"Kira-kira 89 peratus daripada ibu juga akan menasihati anak mereka mengenai amalan kebersihan yang baik seperti membasuh tangan dan menutup mulut menggunakan tisu ketika batuk.

"Sementara itu, 64 peratus daripada mereka akan memastikan anak-anak membasuh tangan selepas pulang dari sekolah manakala hanya 20 peratus yang akan menyah jangkit barangan sekolah anak mereka seperti beg galas terlebih dulu," jelasnya.

Dalam bahagian kedua kajian berkenaan, tujuh sekolah diuji untuk mengesan tahap pencemaran bakteria. Hampir separuh daripada ibu apabila ditanya percaya bilik air mempunyai jumlah bakteria yang paling banyak di sekolah.

Namun, ujian bakteria menunjukkan perkara sebaliknya. Pencemaran di bilik air didapati tidak terlalu tinggi berbanding permukaan di kawasan makanan yang realitinya selalu tercemar.

Hal ini mendedahkan kanak-kanak, guru dan kakitangan sekolah kepada bakteria ketika makan melalui sentuhan tangan atau peralatan hidangan seperti sudu, garpu, pinggan dan bekas makanan.

Ancaman penyakit cirit-birit juga akan meningkat apabila perhatian tidak diberikan untuk menyah jangkit kawasan dan peralatan makanan. Hanya dua peratus daripada ibu percaya bekas makanan yang dibawa dari rumah boleh menyebarkan penyakit seperti keracunan makanan.

Fakta turut menyatakan setiap tahun, terdapat dua bilion kes penyakit cirit-birit yang dilaporkan. Malah, penyakit ini adalah punca kedua utama bagi kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan menyebabkan anggaran kematian 1.5 juta kanak-kanak setiap tahun.

"Kita perlu memberi tumpuan yang lebih kepada kesihatan anak-anak dengan menggalakkan mereka untuk mengamalkan tabiat kebersihan yang baik. Kajian perkembangan kognitif mendapati, jika pendedahan kepada penyakit berjangkit dilakukan sejak bermula pada zaman kanak-kanak, ia boleh mendatangkan implikasi kepada pertumbuhan dan perkembangan otak apabila mereka meningkat dewasa.

"Menurut kajian, tempoh lima tahun pertama kehidupan adalah penting untuk pertumbuhan kanak-kanak secara keseluruhan. Otak anak yang baru lahir memerlukan 87 peratus daripada tenaga tubuh untuk pertumbuhan.

"Bagi kanak-kanak berumur lima tahun, otak menggunakan hampir separuh daripada tenaga tubuh. Sebarang persaingan lain untuk jumlah tenaga ini memberi kesan kepada keupayaan otak mereka untuk berkembang ke tahap kapasiti yang sepenuhnya," ujarnya.

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka sihat dan berupaya menjalani kehidupan yang cemerlang apabila dewasa kelak. Oleh itu, penanaman sikap kebersihan diri yang baik ketika masih kecil menjadi langkah penting bagi membantu mereka kekal sihat.

Ini sekali gus membolehkan mereka meneruskan pembelajaran tanpa diganggu oleh penyakit berjangkit dan dapat menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal lagi sihat dengan sempurna.

Kesimpulan menerusi kajian mendapati, tangan menjadi salah satu penyebab utama pencemaran bersilang di rumah. Membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun antibakteria ketika menyediakan makanan adalah penting untuk mencegah penyakit bawaan makanan.

Pembersihan permukaan dan penyahjangkitan juga penting untuk memutuskan rantaian jangkitan. Oleh itu, amalan membersihkan tangan menjadi benteng pertahanan barisan pertama yang paling berkesan untuk mencegah jangkitan penyakit berjangkit manakala pendidikan menjadi tonggak dalam memastikan perubahan yang positif mengenai aspek kebersihan di kalangan warga Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Komersil Malaysia dan Singapura Reckitt Benckiser, Nikhilesh Kalra, berkata kajian yang dijalankan bertujuan merapatkan jurang pengetahuan antara penyebaran bakteria dan mengenal pasti titik perubahan positif dalam amalan kebersihan diri di kalangan rakyat Malaysia.

"Misi Dettol adalah untuk membantu orang ramai meningkatkan tahap kebersihan diri di rumah dan dalam masyarakat itu sendiri. Justeru, kami bekerjasama dengan Majlis Kebersihan Global yang diterajui oleh pakar kebersihan terkemuka di dunia.

"Jadi, bolehlah mereka merumuskan langkah yang realistik dan praktikal mengenai kebersihan yang mudah untuk membantu kita semua mencegah jangkitan penyakit," katanya.

Dettol juga komited dalam usaha menggalakkan amalan kebersihan kepada masyarakat bukan saja melalui barisan produknya yang bermutu, malah menerusi inisiatif mendidik orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Penyakit tamak makanan

Posted: 26 Aug 2012 06:43 AM PDT

PENULIS teringat kata-kata tukang masak terkenal, Chef Wan beberapa tahun lalu apabila membincangkan isu tabiat pemakanan masyarakat kita. Kata Chef Wan, ramai orang kita tamak apabila berhadapan dengan makanan, apatah lagi jika ia dihidangkan secara bufet.

Malah beberapa pakar pemakanan yang pernah penulis temui turut mengakui hakikat ini. Malangnya ramai yang tidak sedar mereka ada 'penyakit ini' terdorong mengisi makanan dalam pinggan sehingga membukit tingginya.

Mengambil beberapa pinggan yang penuh berisi makanan berbeza adalah pemandangan biasa jika makan di bufet (Ramadan atau bulan lain), sama ada di hotel mahupun restoran. Namun, makanan yang masuk ke dalam mulut biasanya tidak sampai separuh.

Bukanlah penulis dengki. Ambillah sebanyak mana pun makanan jika ia dapat dihabiskan. Apa yang menyakitkan mata dan hati adalah apabila melihat makanan yang menimbun itu hanya dijamah sedikit. Lebih teruk kalau hidangan yang sudah diambil tidak berusik langsung.


Bagi penulis, penyakit tamak makanan ini ialah penyakit kronik kerana ia hanya akan menyumbang kepada pembaziran. Rasanya penyakit ini akan berterusan kerana mengikut kelaziman, pasti ada saja jamuan rumah terbuka diadakan sepanjang Syawal.


Ramai pakar pemakanan dan kesihatan berpendapat Ramadan adalah waktu terbaik untuk mengubah sikap, terutama dalam usaha memperbaharui kualiti diri khususnya dalam memperbaiki tabiat atau gaya pemakanan.

Pun begitu, tanpa kesedaran, kemahuan dan kesungguhan, usaha itu hanya tinggal nama. Apabila tamat Ramadan, kebanyakan orang kembali meneruskan tabiat lama.
Malah, ada orang menjadikan Syawal sebagai waktu untuk 'menebus' semua perkara yang ditahan sepanjang Ramadan khususnya dalam bab makan.

Jadi tidak hairan jika ada yang mengalami masalah pertambahan berat badan dalam minggu pertama Syawal. Sebenarnya jika difikirkan, kita bukan berpantang makan pada Ramadan kerana kita masih menikmati sajian yang enak dan mewah dengan kalori. Apa yang berbeza hanyalah waktu makan.

Pun begitu, bagi mereka yang ingin mengubah tabiat makan, masih belum terlambat untuk melakukannya walaupun Ramadan sudah berlalu. Tiada istilah terlambat dalam isu penjagaan kesihatan, malah rasanya semua orang tahu bahawa gaya pemakanan yang keterlaluan seperti diamalkan masyarakat kita menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit.

Dalam soal makan khususnya apabila berada di jamuan secara bufet, ambil apa yang ingin dimakan saja dalam kuantiti kecil. Jika tidak cukup, baru ulang ambil dan bukan mengisi pinggan hingga penuh. Jika kurang enak, tidaklah makanan itu berlonggok dalam pinggan.

Ada yang memberi alasan mengisi banyak makanan ke dalam pinggan kerana malu hendak bangun dua tiga kali. Ini malu yang tidak bertempat kerana ramai tidak malu membazirkan makanan walaupun sedar ia perbuatan yang sangat disukai syaitan.

Apabila pergi ke jamuan rumah terbuka, tuan rumah akan berasa lebih gembira apabila melihat tetamu bangun banyak kali untuk mengambil makanan. Penulis pasti ramai tuan rumah berasa sedih jika melihat makanan yang disediakan dengan bersungguh-sungguh berakhir di tong sampah.

Makan pula perlu perlahan-lahan dan kunyah makanan hingga benar-benar lumat sebelum ditelan. Makan perlahan-lahan sebenarnya ada kesan psikologi dan fisiologi. Apabila kita makan perlahan (makanan dikunyah hingga lumat), kita lebih menikmati keenakan makanan. Pada masa sama, air liur yang dihasilkan ketika kita mengunyah makanan merangsang otak menjadi lebih peka.

Melalui cara ini otak dapat mengesan bila kita kenyang. Isyarat kenyang mengambil masa lama, sekurang-kurangnya 20 minit untuk sampai ke otak. Selain itu, makanan yang dikunyah lumat memudahkan proses penghadaman dan penyerapan nutrien.

Jika makan terlalu cepat, kita makan banyak sebelum isyarat itu sampai ke otak. Akibatnya kita makan berlebihan daripada diperlukan. Masalah ini menjadi lebih buruk kerana masyarakat kita juga terkenal sebagai kelompok yang jarang bersenam.

Masyarakat kita sebenarnya mempunyai banyak pengetahuan mengenai pemakanan sihat. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan apa yang kita tahu demi kebaikan dan kesihatan diri sendiri.

Umum tahu, makanan berlebihan akan mengundang pelbagai jenis penyakit gaya hidup yang kronik untuk bersarang. Kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, sakit jantung dan obesiti semuanya berkait rapat dengan makanan. Semua penyakit gaya hidup ini memerlukan kos rawatan yang tinggi.

Cuba kenali diri sendiri, apakah penyakit tamak kepada makanan ini ada dalam diri kita? Jika ada, belajar untuk membendungnya. Sebelum mengisi makanan dalam pinggan, kenangkan kapasiti biasa perut anda. Usah ikut kapasiti mata kerana jika berdasarkan keupayaan mata, semuanya nampak hendak dimakan.

Selain itu, sayangi diri dengan memperbanyakkan pengambilan air masak, buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh mengimbangi selera (nafsu) untuk menikmati hidangan mewah kalori - yang akan menderaskan pertambahan berat badan.

Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Samun 9 dulang barang kemas

Posted: 25 Aug 2012 07:34 AM PDT

SEREMBAN: Dua perompak bersenjatakan sepucuk pistol automatik melarikan sembilan dulang barang kemas dalam tempoh kurang lima minit di sebuah kedai emas dalam kejadian samun di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku jam 5 petang selepas dua suspek memakai topi keledar menyerbu masuk ke kedai emas itu ketika pekerjanya berkemas untuk menutup operasi.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Superintendan Lim Kim Fook berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki berusia 30-an datang ke kedai terbabit dengan sebuah motosikal dan berhenti di depan premis.

Beliau berkata, sebaik masuk ke kedai, kedua-dua lelaki itu meminta tiga pekerja di kaunter memasukkan barang kemas pelbagai jenis ke dalam beg dibawa sambil seorang daripada mereka mengacukan pistol.


"Ketika kejadian, ada lima orang di dalam kedai, termasuk seorang pengawal keselamatan yang tidak bersenjata selain tiga pekerja di kaunter kedai jam yang terletak bersebelahan.


"Ketika itu, pemilik kedai berada di bahagian belakang dan semua yang berada di dalam premis terpaksa menurut permintaan penjenayah terbabit demi keselamatan.

"Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri bersama sembilan dulang barang kemas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.


Lim berkata, tiada pelanggan di dalam premis ketika kejadian dan pemilik sibuk berkemas untuk menutup kedai.

Menurutnya, polis akan meneliti rakaman kamera kawalan litar tertutup (CCTV) dan kerugian belum ditaksirkan.


Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan setakat ini suspek belum dikenal pasti.


"Ini antara kejadian samun terbesar setakat ini membabitkan kedai barangan kemas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 26/08/2012


Ajal lelaki kereta bertembung

Posted: 25 Aug 2012 07:30 AM PDT

ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 29 tahun maut di tempat kejadian selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Alor Setar-Air Hitam, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi, Ewe Chang Yee meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan, termasuk kepala dan badan.


Ewe yang berasal dari Simpang Empat, Kerpan, Jerlun dipercayai menuju ke Air Hitam dari pusat bandar sebelum terbabit dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal sebelum bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.


"Ketika kejadian, mangsa memandu kereta jenis Nissan Sunny dikatakan gagal memotong sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda," katanya ketika dihubungi semalam.


Katanya, pertembungan itu mengakibatkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak cedera.

Menurutnya, mayat Ewe dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 26/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Darah daging tidak terima

Posted: 25 Aug 2012 07:53 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dulu dua beradik ini hidup senang kerana ibu bapa mereka ahli perniagaan berjaya di Johor Bahru, malah si abang pernah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar raya itu.

Bagaimanapun, akibat perangkap dadah, mereka kini hidup merempat di ibu kota hingga ada kala sisa makanan dalam tong sampah menjadi santapan pengalas perut.

Itulah harga yang perlu dibayar Mat, 28, dan Azri, 25, selepas dihalau dan dipulau keluarga, lima tahun lalu. Lebih memburukkan keadaan, kedua-duanya kemudian disahkan menghidap Aids.

Sebelum dibuang keluarga yang kini tidak mengaku mempunyai pertalian darah, dua beradik itu mendakwa pernah dipukul, dikurung serta dibelasah ahli keluarga kerana dianggap memalukan mereka.


Mendakwa insaf dan tidak lagi mengambil bahan terlarang itu, kedua-duanya mengakui detik hitam mereka berpunca daripada kesilapan sendiri akibat terlalu hanyut dalam nikmat dunia.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 26/08/2012


Sanding atas treler

Posted: 25 Aug 2012 07:51 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Mencari kelainan di majlis perkahwinan adalah perkara yang sentiasa diimpikan setiap pasangan. Ia bagi menjadikan majlis itu sebagai kenangan terindah buat pasangan raja sehari.

Bagi Che Hasnan Che Mat, 25, dan Ummi Hamizah Mohamad, 24, pasangan itu memilih untuk berarak, bersanding dan tepung tawar di atas lori treler di Kampung Telari, di sini, semalam.


Pasangan pengantin terbabit memilih bersanding di atas treler sambil dibawa berarak sejauh enam kilometer dari rumah pengantin lelaki di Kampung Telari hingga ke rumah pengantin perempuan di Kampung Kebur Air.

Che Hamizan berkata, idea untuk bersanding di atas treler tercetus daripada inspirasi perniagaan bapanya, Che Mat Salleh, 48, yang menjalankan perusahaan treler dan peralatan pengantin sejak tiga tahun lalu.


"Melihat pada perniagaan treler bapa membuatkan saya terfikir untuk menjalankan majlis perkahwinan di atas treler kerana bukan saja dapat memberi kelainan pada majlis perkahwinan saya, malah tidak perlu mengeluarkan kos tinggi untuk menyewa treler.


"Saya gembira dengan persandingan di atas treler dan bersyukur majlis berjalan lancar. Walaupun cuaca panas, kami tidak kisah berarak menaiki treler untuk mengambil isteri di rumah pengantin perempuan," katanya yang memegang jawatan penolong pengurus perusahaan treler terbabit.

Lebih memeriahkan majlis itu apabila pengantin dan tetamu dihiburkan dengan persembahan silat, alunan kompang dan muzik tradisional mengiringi perarakan itu di sepanjang jalan, membuatkan penduduk kampung tidak lekang memandang pasangan pengantin itu.

Artikel ini disiarkan pada : 26/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Warisi legasi bapa

Posted: 25 Aug 2012 07:02 AM PDT

PEMERGIAN bapanya, Daud Ibrahim pada November 2010 tidak pernah menyentap semangat Mohd Firdaus Daud untuk terus berkayuh dan menempah nama dalam dunia sukan itu.

Dia kini yang berada di Belgium kembali ke negara itu menggunakan wang saku sendiri bagi menimba pengalaman yang akan dijadikan bekalan apabila pulang ke tanah air sebagai seorang jurulatih profesional.


Jika tahun lalu dia bersama pasukan Bianchi-Lotto-Nieuwe Hoop Tielen (NHT) Cycling Team, berbekalkan pengalaman yang ada Firdaus tidak lagi kekok berada di negara itu biarpun terpaksa menggunakan perbelanjaan sendiri.

Biarpun terpaksa berdikari, Firdaus berkata, itu bukan satu masalah bagi dirinya kerana Belgium bagaikan rumah kedua buat dirinya sejak beberapa tahun lalu.


"Saya mempunyai ramai kawan di sini dan semua urusan lebih mudah. Saya datang ke sini juga untuk mencari pengalaman, itu misi saya. Tidak kisahlah jika terpaksa mengeluarkan belanja sendiri. "Mungkin bila pulang ke Malaysia, saya akan jadi jurulatih. Majlis Sukan Negara (MSN) ada juga bertanya kepada saya berhubung jawatan jurulatih skuad pelapis kebangsaan.


"Saya gembira berada di sini kerana keseronokan berlumba di Eropah amat berbeza berbanding di Malaysia," katanya.

Justeru, Firdaus atau lebih dikenali sebagai Che Da di kalangan pelumba negara mengalu-alukan kehadiran pelumba kebangsaan andai mahu menjalani latihan di Belgium.


"Saya boleh membantu sekiranya pelumba kebangsaan mahu menjadikan Belgium sebagai pangkalan latihan mereka. "Pengalaman saya di sini mungkin boleh membantu mencari perlumbaan berkualiti dan saya pasti ia bukan sesuatu yang merugikan." Katanya, antara perbezaan ketara perlumbaan tempatan dan Eropah ialah kelajuan kayuhan pelumba Eropah, dengan perlumbaan dari awal hingga ke garisan penamat tidak berhenti-henti daripada serangan pelumba yang mahu melakukan 'breakaway'.

Anak ketiga Allahyarham Daud yang juga pemenang emas pertama negara di Sukan Asia 1970 Bangkok itu berkata, dia akan terus berusaha menimba pengalaman selagi termampu biarpun kes membabitkan kemalangan arwah bapanya masih belum selesai.

Artikel ini disiarkan pada : 26/08/2012


Pentas uji bisa Balotelli

Posted: 25 Aug 2012 06:57 AM PDT

LIVERPOOL: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan sudah tiba masanya buat Mario Balotelli bertindak dengan matang ketika mempertimbangkan memberi peluang kepada penyerang kontroversi itu apabila juara bertahan itu berdepan Liverpool, malam ini.

City terpaksa mengenepikan Sergio Aguero untuk tempoh tiga minggu akibat kecederaan lutut dialami sewaktu menentang Southampton minggu lalu sekali gus memberi peluang buat Balotelli diturunkan dalam kesebelasan utama di Anfield.


Mancini sedar tindakan menurunkan penyerang Itali bermasalah itu yang dibuang padang hanya selepas 18 minit dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua di Anfield musim lalu sentiasa mengundang risiko.

Balotelli dihukum selepas menjatuhkan Glen Johnson dan kad kuning kedua dilayangkan apabila menyiku pertahanan Liverpool, Martin Skrtel ketika berebut bola di udara.


Namun, selepas bekas penyerang Inter Milan sekali lagi dibuang padang akhir musim lalu sewaktu menentang Arsenal, Mancini mendakwa Balotelli tidak mungkin akan menyarung jersi City lagi.


Bagaimanapun, Balotelli, 22, mempamerkan aksi hebat sewaktu Euro 2012 untuk membantu Itali mara ke final di Poland dan Ukraine, membayangkan dirinya mungkin kini sudah matang.

"Saya percaya Mario mempunyai tanggungjawab besar kerana bagi kami, dia seorang pemain penting," kata Mancini.


"Dalam tempoh dua tahun, dia muncul juara Liga Perdana Inggeris dan Piala FA. "Dia melakukannya dengan baik dan andai mampu mempamerkan persembahan sama seperti di Euro, pastinya lebih baik.

"Mario masih orang yang sama. Dia tidak mungkin akan berubah dalam masa sebulan. Mungkin musim ini akan menjadikannya lebih baik." Selepas kekalahan 0-3 kepada West Bromwich Albion, pengurus Reds, Brendan Rodgers berharap dapat memulakan kempen mereka dengan kemenangan ke atas juara bertahan itu.


"Kami sedar jika mahu meraih kejayaan tahun ini, kami perlu memastikan kemenangan di laman sendiri sebanyak mungkin. "Manchester City menjadi penanda aras, mereka adalah juara dan ia pastinya perlawanan yang sukar.


"Bagaimanapun pemain saya benar-benar fokus dan menantikan perlawanan itu. "Anfield mahu kami jadikan kubu kuat kami dan tiada cara terbaik memulakannya selain mengatasi pasukan juara." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 26/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Charles panggil Harry

Posted: 25 Aug 2012 06:47 AM PDT

LONDON: Putera Charles memanggil anak bongsunya Putera Harry untuk berbincang dari hati ke hati mengenai kejadian dia berbogel di Las Vegas.

Sumber Istana menekankan, putera berusia 27 tahun itu tidak akan "dimarahi" tetapi Charles begitu ingin berbincang antara "bapa dan anak" mengenai kebimbangannya.

Walaupun kedua-duanya berbincang di telefon, Harry akan diminta untuk menerangkan secara peribadi bagaimana dia boleh bermain "judi bogel" dengan sekumpulan orang yang tidak dikenali di bilik suite hotel, di mana sebahagian daripada mereka menjual gambar itu kepada laman web selebriti Amerika Syarikat.

Charles dan Harry perlu membuat keputusan untuk untuk mengambil tindakan ke atas akhbar The Sun, satu-satunya akhbar yang menyiarkan gambar bogel putera itu selepas Istana St James sebelum ini memberi amaran akan mengambil tindakan ke atas mana-mana media Britain yang berani menyiarkan gambar itu.


Sehingga malam semalam, pegawai istana belum dapat memutuskan sama ada mahu membawa akhbar itu ke Suruhanjaya Aduan Media (PCC), atau memfailkan saman dan kini menunggu untuk mendapatkan keputusan Charles dan anaknya mengenai isu berkenaan.


Tidak diketahui lagi di mana perbincangan itu akan dibuat sama ada di Scotland, London atau Highrove iaitu kediaman peribadi Putera Wales di Gloucestershire itu. Tetapi, Charles kini bercuti di Birkhall, kediaman di wilayah Highland dan berkemungkinan besar Harry akan ke sana.

Putera William tidak akan hadir di perbincangan itu, tetapi kedua-duanya bercakap panjang mengenai perkara itu di telefon.

Putera William dikatakan terperanjat dengan skandal itu dan Charles sangat "sedih dan bimbang" kerana sekali lagi Harry menjadi bahan berita tidak baik.

Jurucakap Istana St James berkata: "Kami masih menimbangkan pilihan yang ada dan tidak akan terburu-buru. Sudah pasti kami sentiasa memberi nasihat kepada Harry."

Katanya, mereka percaya gambar itu diambil bukan di tempat terbuka dan terserah kepada editor sama ada mereka mahu menyiarkan gambar itu atau tidak.

Sumber lain berkata, pihak istana marah dengan keputusan The Sun menyiarkan gambar itu yang dilihat oleh berjuta-juta pengguna internet.

Pegawai kanan istana pula berkata, mereka perlu menimbangkan sama ada ianya menguntungkan untuk "berlawan" dengan akhbar paling laris jualannya itu atau tidak.

Mereka juga dipercayai takut lebih banyak gambar dan cerita mengenai kejadian yang memalukan di Las Vegas akan timbul.

Sikap mereka yang masih tidak dapat membuat keputusan itu bertentangan dengan sikap agresif mereka ketika cuba menahan gambar itu daripada disiarkan.

Rabu lalu, peguam Charles, Harbottle dan Lewis, menulis kepada PCC meminta mereka memastikan Fleet Street "benar-benar faham" bahawa akhbar itu tidak perlu menyiarkan gambar berkenaan kerana ia bukan kepentingan awam dan dengan berbuat demikian, ia "melanggar" peraturan media. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 26/08/2012


Polis tumpas cubaan seludup dadah ke penjara

Posted: 25 Aug 2012 06:45 AM PDT

TRECE MARTIRES CITY (Filipina): Polis mematahkan sindiket dadah di Penjara Wilayah Cavite di bandar Barangay Lapidario dengan menahan seorang bekas pengawal wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) yang cuba untuk menyeludup sebuah kotak mengandungi 250 gram dadah methamphetamine atau syabu ke dalam penjara disyaki kepada teman lelaki warga Nigeria.

Pengawal penjara Gina H. Suyom dan Carla C. Mayo menahan suspek, Marynel R. Magno, 34, selepas kedua-duanya menemui dua paket plastik mengandungi "bahan haram" yang diletakkan di dalam kotak kecil.

Kotak itu dialamatkan kepada banduan Godwin Jonah, juga dikenali sebagai Lino Brown

Pegwai polis berkata, suspek warga Nigeria itu mungkin bercadang menjual dadah berkenaan di penjara.


Siasatan mendapati kotak mengandungi dadah itu dihantar ke Filipina melalui pejabat serahan ekspres di bangunan berdekatan lapangan terbang itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 26/08/2012


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved