Ahad, 25 Disember 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Rujuk label bungkusan

Posted: 18 Dec 2011 07:51 AM PST

TERINGAT ketika kecil dulu, ayah meletakkan peti kayu kecil dengan pintu kaca berukuran satu kaki lebar dan panjang yang dipaku ke dinding ruang rehat keluarga. Dalam peti kecil inilah ibu dan ayah menyimpan ubat yang hanya beberapa jenis saja termasuk cecair iodin, ubat batuk, paracetamol, balsam, krim luka, kapas dan kain anduh.

Walaupun ia mudah dicapai (kerana kedudukannya di tepi tangga) tetapi ayah tegas mengingatkan barang dalam peti berkenaan hanya boleh diambil apabila perlu dan hukuman rotan menanti kami adik-beradik jika ada yang berani menyalahgunakannya.

Meskipun peti atau kabinet ubat sangat penting tetapi kini ia tidak menjadi keutamaan, malah ada keluarga yang tidak mempunyai ruang khas untuk menyimpan ubat.

Mungkin ada juga yang membuat kabinet ubat seperti di rumah Barat iaitu dalam bilik air. Walaupun nampak kemas dan praktikal tetapi sebenarnya ia adalah tempat paling teruk untuk menyimpan ubat kerana suasana bilik air yang lembap dan hangat akan mempercepatkan kemusnahan atau kerosakan bahan aktif dalam ubat.


Keadaan ini sangat mudah berlaku terutama pada ubat dalam bentuk pil dan kapsul. Pendedahan kepada haba dan kelembapan akan membuatkan ubat menjadi kurang berkesan sebelum tarikh luputnya. Malah ia mungkin mengubah komposisi kimia bahan aktif dalam ubat itu kepada bahan lain yang boleh menjejaskan kesihatan.


Pengarah Hal Ehwal Profesional, Persatuan Farmasi Negara New York, Selig Corman, memberi contoh ubat lazim ada di kebanyakan rumah seperti aspirin yang bahan aktifnya mungkin berubah menjadi asid asetik (cuka) dan asid salisilik yang boleh merengsakan perut jika ia terdedah kepada persekitaran lembap dan hangat.

Di Malaysia mungkin sedikit berbeza kerana kebanyakan ibu bapa terutama yang mempunyai anak kecil, menyimpan ubat anak (biasanya ubat untuk merawat demam) di pintu peti sejuk supaya 'tahan' lebih lama. Lebih memburukkan keadaan, semua ubat cecair di masukkan ke dalam botol yang sama bentuk dan saiznya.

Apa yang membezakan ialah warna cecair dan catatan tarikh pada label botolnya. Itupun jika ia masih boleh dibaca kerana ada tulisan pada label sering kali 'terpadam' dek ubat yang meleleh di atasnya. Bahkan, bukan semua ubat sesuai disimpan dalam peti sejuk.

Jadi timbul persoalan, di mana tempat paling sesuai untuk menyimpan ubat? Ini kerana selain dalam peti sejuk, kebanyakan orang meletakkan kotak ubat di dapur bagi memudahkan mereka mengambil ubat setiap hari dan tidak perlu berjalan jauh untuk mengambil air minuman.

Pakar perubatan sependapat mengatakan tempat paling baik untuk menyimpan ubat ada beberapa ciri iaitu sejuk, kering, dalam bekas kedap udara, selamat dan jauh daripada jangkauan kanak-kanak. Sejuk yang dimaksudkan di sini ialah suhu bilik iaitu 25 hingga 27 darjah Celsius kecuali ada arahan mengatakan satu-satu ubat itu perlu disimpan pada suhu tertentu.

Arahan pada label

Pengurus Farmasi Hospital Assunta, Kwan Yee Man, pernah menasihatkan supaya kaedah penyimpanan ubat dilakukan dengan teliti seperti yang diarahkan pengeluarnya. Jika tidak pasti, sila rujuk pada label bungkusan ubat.

Di situ ada dicatatkan kaedah penyimpanan untuk panduan. Sekiranya masih kurang faham, dapatkan maklumat ini daripada ahli farmasi di klinik, hospital mahupun di kedai farmasi ketika menerima ubat anda.

Perkara pertama yang perlu diketahui ialah setiap ubat mempunyai keperluan penyimpanan yang berbeza. Ini kerana sesetengah ubat menjadi kurang berkesan apabila ia terdedah kepada udara, kelembapan, suhu sejuk, suhu panas atau cahaya.

Selain itu, kita juga perlu memahami makna arahan penyimpanan pada label kotak atau botol ubat seperti:

  • Dingin beku - Simpan dalam suhu terkawal antara -20 hingga -10 darjah Celsius.
  • Peti sejuk - Simpan dalam suhu terkawal antara dua hingga lapan darjah Celsius.
  • Tempat sejuk - Suhu di antara lapan hingga 15 darjah Celsius.
  • Suhu bilik - Suhu antara 15 hingga 30 darjah Celsius.

    Tempat yang hangat bermakna suhu persekitaran antara 30 hingga 40 darjah Celsius manakala suasana panas pula bermakna suhunya melebihi 40 darjah celsius. Setiap ubat perlu disimpan pada suhu dua darjah Celsius lebih rendah daripada yang disarankan pengeluar.

    Secara umumnya ubat boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:

  • Ubat yang perlu disimpan dalam peti sejuk.
  • Ubat yang perlu disimpan pada suhu bilik.

    Menurutnya, ramai orang tidak tahu bahawa peti sejuk bukanlah tempat yang sesuai bagi kebanyakan jenis ubat walaupun arahan pada label botol atau kotak mengatakan supaya ia diletakkan di tempat bersuhu rendah.

    Kita dilarang meletakkan ubat yang boleh disimpan pada suhu bilik (pil atau kapsul) di dalam peti sejuk. Kita mungkin beranggapan pada suhu yang rendah ubat berkenaan akan tahan lebih lama tetapi anggapan ini salah. Sebaliknya, tindakan itu boleh menyebabkan ubat berkenaan lebih cepat rosak.

    Ini kerana kelembapan yang tinggi dalam peti sejuk akan membuatkan ubat berkenaan menjadi lembap walaupun bungkusannya tidak dibuka. Apabila kita keluarkan ubat dari peti sejuk, perubahan suhu (sejuk ke panas) membuatkan persekitaran dalaman ubat meruap dan menjejaskan mutu ubat berkenaan.

    Jika ubat perlu disimpan dalam suhu rendah, tempat yang sepatutnya ialah di dalam peti sejuk, bukannya pada rak di pintu sejuk kerana suhu pada bahagian ini akan sentiasa terganggu (turun naik) setiap kali kita membukanya. Bahkan, jika kita mempunyai anak yang kerap membuka peti sejuk, mutu ubat lebih cepat terjejas.

    Bagi yang mempunyai anak kecil, anda boleh menyimpan ubat sirap atau cecair termasuk ubat batuk di dalam peti sejuk selama enam bulan walaupun sepatutnya satu botol kecil itu hanyalah untuk sekali penggunaan. Buanglah ubat yang tidak habis dimakan jika ia sudah melebihi enam bulan.

    Untuk ubat cecair atau sirap yang disimpan dalam peti sejuk, goncang botolnya dulu sebelum digunakan kerana dalam suhu yang rendah, kandungan ubat akan mendap. Pastikan ubat ini tidak menjadi beku. Ingat, jangan sekali-kali simpan ubat dalam bahagian dingin beku.

    Ubat suntik seperti insulin, perlu disimpan dalam peti sejuk kerana ia sangat mudah rosak dengan perubahan cuaca yang keterlaluan. Kalau ia beku, ia juga boleh rosak. Malah tindakan memanaskan ubat juga kadangkala boleh memusnahkan bahan aktifnya jika terlebih panas.

    Selain itu, kabinet dapur juga bukanlah tempat yang sesuai untuk menyimpan ubat kerana di sini suhu dan kelembapannya lebih tinggi. Tempat disarankan ialah ruang makan - yang lebih sejuk, terlindung daripada pancaran matahari terik dan kering. Jadi carilah sudut yang boleh anda gunakan untuk meletakkan ubat. Jika kreatif, kabinet ubat boleh menjadi sebahagian daripada hiasan.

    Panduan

    Pensyarah Universiti Pusat Sains Kesihatan Texas di Houston, Dr Grant Fowler, dalam berita yang disiarkan agensi ABC News, memberi beberapa panduan untuk membawa ubat terutama bagi mereka yang merancang perjalanan jauh. Antaranya ialah:

  • Jangan meletakkan ubat di tempat meletakkan barang kerana suhunya sangat panas. Sebaliknya, letakkan ubat di bahagian tempat duduk dan bawa ubat berkenaan apabila anda masuk ke rumah atau bangunan.
  • Jika menaiki kapal terbang, jangan daftar masuk ubat (bersama bagasi). Sebaiknya masukkan ubat dalam bekas khas dalam beg sandang.
  • Senaraikan semua ubat yang anda perlu ketika berkemas. Bawa lebih bekalan ubat untuk kecemasan.

    Selain itu ada beberapa panduan umum untuk penyimpanan ubat yang selamat iaitu:

  • Sentiasa baca dan fahami arahan penyimpanan ubat pada label.
  • Biarkan ubat dalam bekas asalnya. Jika ia didatangkan dalam bekas berpelekat (seperti ubat paracetamol) jangan ubah ke dalam botol kerana ia menandakan ubat berkenaan perlu disimpan dalam persekitaran yang sejuk dan kering. Menyimpannya dalam botol boleh mengurangkan keberkesanan ubat kerana ia terdedah kepada kelembapan dan udara.
  • Jangan menyimpan beberapa jenis ubat dalam satu bekas.
  • Jangan simpan ubat dalam beberapa jenis ubat dalam beg plastik. Ubat berkenaan boleh pecah dan mengurangkan kesannya.
  • Sentiasa simpan ubat di tempat yang kering dan sejuk serta jauh daripada cahaya matahari.
  • Elak meletakkan kotak ubat di tempat yang mempunyai suhu terlalu sejuk (kecuali jika diarahkan berbuat demikian seperti dalam peti sejuk. Anda juga perlu pastikan sama ada ia perlu disimpan di tempat dingin beku atau sejuk).
  • Jangan simpan ubat di tempat panas (termasuk dalam kereta) kerana suhu yang terlalu panas boleh memusnahkan bahan aktif dalam ubat.
  • Untuk mengelakkan berlaku keracunan ubat atau sebarang masalah yang tidak diingini, pastikan ubat anda disimpan jauh daripada jangkauan anak-anak. Ubat orang dewasa boleh menjadi racun kepada kanak-kanak kecil.
  • Sebagai perlindungan, kebanyakan botol ubat didatangkan dengan penutup yang sukar dibuka kanak-kanak, namun ia bukan jaminan ia selamat sepenuhnya apabila sampai di tangan si kecil.
  • Jangan biarkan putik kapas yang anda gunakan untuk menyapu ubat dalam botol. Ia boleh menarik kelembapan luar masuk ke dalam bekas ubat anda.
  • Periksa tarikh luput ubat setiap kali sebelum memakannya. Buang ubat yang sudah luput tarikh.
  • Jangan sekali-kali mengambil ubat yang sudah berubah warna, tekstur dan bau walaupun ia belum luput tarikh. Perubahan ini menandakan ubat berkenaan sudah rosak. Buang juga ubat kapsul yang melekat sesama sendiri, menjadi keras atau lebih lembut daripada biasa atau ada kesan retak.

    Perkara yang perlu kita tahu mengenai luput tarikh:

    Jangka hayat ubat yang selamat dimakan dan berkesan berbeza mengikut jenis, pengeluar dan cara simpanan. Sesetengah jenis ubat hanya bertahan beberapa hari tetapi ada yang boleh disimpan sehingga beberapa tahun lamanya. Tidak kira berapa lama pun jangka hayatnya, anda perlu memastikan tarikh luputnya sebelum makan.

    Buang ubat dalam simpanan anda jika ia:

  • Pil atau kapsul yang disimpan lebih dari dua tahun yang berubah warna, retak atau berdebu.
  • Krim atau balsam menjadi keras dan hilang warna.
  • Ubat cecair menjadi pekat dan berubah warnanya.
  • Ubat kapsul menjadi lembut berbanding asal, melekat sesama sendiri atau retak.
  • Ubat titis mata yang sudah dibuka melebihi 28 hari.
  • Semua ubat yang sudah luput tarikh.


  • Full content generated by Get Full RSS.

    Kesedaran HIV, Aids di Kelantan

    Posted: 18 Dec 2011 07:38 AM PST

    KEBANYAKAN orang beranggapan mereka tahu mengenai jangkitan virus HIV dan Aids, tetapi apabila berhadapan soalan kuiz, ramai yang teragak-agak memberikan jawapan. Walaupun tahu ada rawatan tetapi ramai tidak pasti apakah rawatan yang diberikan dan bagaimana ia memberi kesan kepada kehidupan individu HIV dan Aids.

    Justeru, program kesedaran HIV dan Aids yang bertema 'Bermula Dengan Anda' diadakan di Kota Bharu, Kelantan, sempena Hari Aids Sedunia 2011.

    Ada yang bertanya mengapa memilih Kelantan? Jawapannya, mengapa tidak? Ilmu mengenai penjagaan kesihatan perlu disebarkan kepada semua orang terutama yang jauh daripada pembangunan dan sumber maklumat.

    Apatah lagi berdasarkan statistik HIV dan Aids 2010 yang dikeluarkan Unit Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Malaysia, ada peningkatan kes HIV baru sebanyak 3,652 pada 2010 berbanding 3,652 (2009).


    Apa yang menyedihkan semakin ramai orang dijangkiti HIV melalui hubungan seksual walaupun kaedah penularan virus berbahaya ini sudah berulang kali dicanangkan.


    Selain itu, data mengenai jumlah kematian akibat HIV dan Aids pada tahun lalu yang mencatatkan 904 orang dengan angka tertinggi di Kelantan sebanyak 156 kes diikuti Selangor sebanyak 144 kes, Perlis (11), Kedah (55) Pulau Pinang (21), Perak (73), Kuala Lumpur (57), Negeri Sembilan (33), Melaka (29), Johor (94), Pahang (96), Terengganu (71), Sarawak (39), dan Sabah (25) perlu diberi perhatian.

    Oleh kerana catatan kes HIV dan Aids di Kelantan yang semakin tinggi, maka Inisiatif Kota Bharu bagi program kesedaran HIV dan Aids - Bermula Dengan Anda anjuran bersama syarikat penjagaan kesihatan MSD dan Persatuan Perubatan HIV (MaSHM) memang tepat pada masanya.

    Menurut Presiden MaSHM, Dr Mahiran Mustafa, dalam tempoh 25 tahun (1986 hingga 2010) sebanyak 91,362 kes HIV positif dilaporkan dan daripada jumlah ini, 12, 943 nyawa sudah terkorban. Meskipun rawatan HIV kini lebih mudah didapati tetapi bilangan individu HIV positif terus meningkat.

    "Ini menandakan pendidikan sangat perlu, baik daripada peringkat masyarakat mahupun pakar kesihatan. Pakar kesihatan juga perlu mempunyai perspektif yang betul dengan memahami sepenuhnya kesan sosial dan kesihatan bagi individu yang hidup dengan HIV supaya mereka diberi penjagaan sewajarnya tanpa sebarang prejudis.

    "Salah satu sebab utama kami ingin menimbulkan kesedaran mengenai HIV dan Aids di Kelantan ialah kerana ia antara negeri yang mencatatkan kadar jangkitan HIV baru tertinggi. Menurut angka Kementerian Kesihatan, di Kelantan ada 9,891 pesakit HIV positif pada hujung Disember 2009 dan ini adalah perkembangan yang membimbangkan.

    "Kami menyaksikan gerak balas positif di Lembah Klang sepanjang tempoh enam tahun lalu sejak program ini dilancarkan. Kali ini kami ingin melihat kesan Inisiatif Kota Bharu ini dalam mengubah kehidupan, mencabar pandangan dan yang lebih penting lagi, menanamkan benih komitmen dalam kalangan doktor dan pakar kesihatan masa depan di Kota Bharu," katanya.

    Inisiatif Kota Bharu ini merangkumi program seperti lawatan sambil belajar ke rumah perlindungan dan pusat sokongan oleh pelajar perubatan, kejururawatan dan farmasi yang dianjurkan Prihatin dan Sahabat. Ia juga menyelitkan acara awam di Kota Bharu Mall untuk menimbulkan kesedaran mengenai HIV dan Aids.

    Antara acara menarik program Bermula dengan Anda di Kota Bharu Mall termasuk kuiz HIV bagi meningkatkan pemahaman orang awam mengenai penyakit ini, papan kenyataan untuk menyiarkan aku janji awam sebagai menyokong matlamat program. Turut diadakan, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan dikir barat dan wayang kulit yang semuanya bertemakan HIV.

    Bermula Dengan Anda mula dianjurkan pada 2005 untuk isu menangani nisbah doktor kepada pesakit HIV yang rendah, dengan menimbulkan kesedaran dalam kalangan pelajar perubatan mengenai keperluan membanyakkan bilangan perawat HIV dan Aids.

    Program ini juga bermatlamat menangani stigma dan pandangan negatif yang bukan saja membelenggu kehidupan individu HIV dan Aids malah tanpa disedari sikap masyarakat yang secara tidak langsung memulaukan mereka sebenarnya perlahan-lahan boleh 'membunuh' golongan ini.

    Malah program ini juga sentiasa mempelawa sumber dan kepakaran daripada organisasi rakan kongsi untuk menangani isu ini dan memberi kesan yang positif terhadap kehidupan golongan yang hidup dengan HIV.

    Inisiatif penganjuran sebelum ini meliputi pembabitan pelajar perubatan daripada beberapa universiti, antaranya Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.



    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Mayat terjelir di tepi padang

    Posted: 22 Dec 2011 09:14 PM PST

    GOMBAK: Seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemui dalam keadaan lidah terjelir dan mayat sudah mula membengkak di tepi padang bola sepak berhampiran kawasan perindustrian Sungai Dua, Rawang, malam kelmarin.

    Mayat lelaki berusia 40-an itu lengkap berpakaian dipercayai sudah dua hari berada di tempat kejadian sebelum disedari orang awam kira-kira jam 7.30 malam.

    Menurut sumber, mangsa dipercayai mengalami masalah sakit mental dan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan perindustrian terbabit.

    "Orang awam yang menemui mayat berkenaan bertindak menghubungi Balai Polis Rawang.


    "Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dengan lidah terjelir namun polis tidak menemui sebarang kecederaan di badan mangsa," katanya.


    Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan mengesahkan penemuan mayat terbabit dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).

    Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.



    Full content generated by Get Full RSS.

    Sah 35 tikaman

    Posted: 22 Dec 2011 09:12 PM PST

    KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan mangsa bunuh, Rozana Mohd Yusak, 35, ditikam 35 kali di seluruh tubuhnya dalam kejadian di rumah sewanya di Jalan Puncak Desa, Kepong, awal pagi kelmarin.

    Berdasarkan siasatan, 15 tikaman dikesan di belakang badan, tujuh di lengan kiri, tiga di paha kiri, tiga di hadapan badan dan tujuh di rusuk kanan.

    Sumber polis berkata, setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan tetapi polis mengesan suspek yang mungkin mengenali mangsa.

    Ini kerana tiada sebarang barangan berharga atau wang tunai milik mangsa yang dilaporkan hilang.


    Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


    "Polis mengesan suspek dan pisau yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, sehingga kini, pihaknya belum melakukan sebarang tangkapan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

    Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan motif cemburu punca kejadian itu.

    Semalam, Harian Metro melaporkan, mangsa masih mampu mengesot lima meter meminta pertolongan orang ramai menerusi tingkap rumah sewanya meskipun ketika itu kesakitan selepas ditikam 35 kali di seluruh tubuh.

    Bagaimanapun, mangsa yang dihantar ke Hospital Selayang oleh jiran, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital jam 2.10 pagi.

    Sebelum itu, pada jam 1.30 pagi, mangsa ditikam dengan objek tajam 35 kali di seluruh tubuh termasuk lengan kiri, paha, bahu, rusuk dan belakang badan di dalam rumah sewanya ketika dia bersendirian.

    Siasatan awal mendapati mangsa ditikam di ruang tamu rumah sewanya dan mengesot ke arah tingkap meminta pertolongan.

    Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved