Ahad, 11 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Lebih kerap dialami warga tua

Posted: 11 Sep 2011 10:01 AM PDT

HIDUPNYA terasa serba tidak kena. Sudah beberapa tahun dia mengalami masalah cirit-birit yang tidak diketahui puncanya. Paling merimaskan ialah gejala selaran kepanasan yang membuatkan dia kerap berpeluh pada waktu malam sehingga mengganggu tidurnya.

Apabila ke klinik, doktor menganggap Ain (bukan nama sebenar) mengalami gejala menopaus. Kalau dia sudah berumur, tanggapan itu mungkin boleh diterima tetapi dia masih muda, sekurang-kurangnya ada 10 tahun lagi untuk sampai ke peringkat itu.

Baru-baru ini apabila menjalani ujian pemeriksaan, doktor memberitahu masalahnya itu mungkin disebabkan ketumbuhan neuroendokrin (NET). Itu kali pertama Ain mendengar nama penyakit berkenaan. Tidak hairanlah jika kebanyakan doktor yang ditemuinya sebelum ini tidak berjaya mengenal pasti punca masalahnya kerana NET dikategorikan sebagai penyakit jarang berlaku dan tidak dikenali.

Menurut Perunding Onkologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya Datuk Dr Fuad Ismail, NET ialah ketumbuhan yang boleh muncul dari mana-mana epitelium iaitu tisu yang melapisi kulit atau organ dalaman tubuh, namun ia biasanya berlaku di saluran gastrousus (merangkumi perut dan usus kecil) dan pankreas.


Dulu ia dikenali sebagai ketumbuhan karsinoid kerana ia kelihatan seperti karsinoma (kanser yang tumbuh dari epitelium) tetapi ia didapati bukan karsinoma. Perkataan 'noid' bermakna 'kelihatan macam' kerana saintis mendapati ia bukanlah kanser usus yang biasa tetapi ketika itu mereka tidak dapat memberikan penjelasan munasabah bagi membezakannya.


Kini ia dipanggil NET, berdasarkan kandungan protein di dalamnya dan ia diterima Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak lebih 10 tahun lalu. Di Malaysia, tiada statistik jumlah pesakit dan walaupun ia jarang berlaku tetapi pakar perubatan menganggap angkanya semakin meningkat.

Ini selaras dengan daftar kanser di Amerika Syarikat yang menunjukkan peningkatan lima kali ganda kes NET dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, usah terlalu risau kerana jumlahnya masih dianggap kecil iaitu 2.5 hingga lima kes bagi 100,000 penduduk setahun.

Peningkatan kes ini disumbangkan kewujudan peralatan moden yang boleh mengesan NET dan biasanya ditemui di saluran gastrousus, pankreas dan kadangkala pada paru-paru. Pertambahan jumlah kes juga mungkin disebabkan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan.

Oleh kerana NET jarang berlaku, tidak hairanlah jika kanser yang berbahaya ini biasanya lewat dikesan. Kebanyakan kes dikesan lima hingga tujuh tahun selepas pesakit mempunyai ketumbuhan atau mengalami gejala.

Bagaimanapun, bukan semua pesakit mengalami gejala kerana ada jenis NET yang tidak menunjukkan sebarang gejala dan pesakit boleh menjalani hidup tanpa sebarang masalah. Dalam kes begini, penyakit mereka biasanya ditemui secara tidak sengaja iaitu apabila mereka menjalani ujian kesihatan bagi masalah lain.

NET boleh berlaku pada semua peringkat umur, lelaki dan wanita tetapi pakar perubatan berpendapat ia lebih kerap dialami orang tua.

Punca dan gejala

Seperti kanser lain, punca NET tidak diketahui dengan jelas. Jika dilihat pada namanya yang membabitkan perkataan 'endokrin' mungkin ada yang beranggapan pesakit akan mengalami sindrom neuroendokrin seperti berlakunya berlebihan hormon dan menjejaskan sesetengah fungsi badan seperti paras gula terlalu tinggi atau rendah. Namun tidak ramai yang mengalami gejala seperti ini.

"Masalahnya, gejala NET sangat pelbagai, ia boleh berbentuk khusus atau umum.
Gejala khusus ialah paras gula rendah, cirit-birit atau pesakit berasa sakit perut. Banyak kes disalah tafsir sebagai Sindrom Gangguan Usus (IBS atau usus spastik). Ia menyebabkan pesakit kehangatan kerana ketumbuhan ini boleh mengeluarkan bahan yang membuatkan kita berasa panas.

"Sukar untuk menentukan punca kepanasan yang dialami pesakit dan jika pesakit ialah wanita berumur, ia mungkin dikaitkan dengan gejala menopaus. Doktor mungkin perlu melakukan ujian lain dan biasanya ia hanya dikesan selepas lima hingga tujuh tahun melalui ujian histologi atau ujian biokimia khas.

"Kelewatan pengesanan ini disebabkan gejala NET yang samar-samar selain kesedaran mengenai penyakit ini masih belum meluas," katanya pada pelancaran buku panduan NET, baru-baru ini.

Namun secara umumnya, kebanyakan pesakit tidak mengalami gejala. Gejala yang ditunjukkan juga bersifat umum seperti bengkak, cirit-birit, sakit atau senak perut, pendarahan dalam saluran gastrousus, sakit dada, sesak nafas, selaran kepanasan dan kerap berpeluh menyerupai masalah artritis, alahan makanan, IBS, ketagihan alkohol, asma, keresahan dan menopaus.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Perunding Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Datuk Dr Looi Lai Meng; Perunding Radiologi Pusat Perubatan Pantai, Dr Shahrina Man Harun; Perunding Pembedahan Hepatobiliari Pankreatik Hospital Selayang, Dr Krishnan Raman; Perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Sime Darby, Dr Sharmila Sachithanandan dan Perunding Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein.

Kehadiran pakar daripada pelbagai bidang itu menunjukkan NET adalah penyakit yang sangat 'unik' dan memerlukan gabungan beberapa pakar untuk mengesan dan merawatnya.

Apa yang membimbangkan pakar perubatan, NET boleh merebak ke bahagian badan lain (metastasis) dan ia bersifat sangat agresif. Ini bermakna ia boleh berkembang dan merebak dengan cepat.

Jika NET berlaku pada pankreas, ia boleh menyebabkan beberapa sindrom seperti insulinoma, gastrinoma, glukagonoma, VIPoma, somatostatinoma dan NET pankreas tanpa sindrom yang semuanya didapati merebak ke bahagian badan lain.

Apa yang pesakit perlu lakukan jika tidak mengalami gejala?

"Sebenarnya setiap pesakit akan mengalami gejala tertentu yang mengganggu kehidupan mereka tetapi biasanya ia dianggap sebagai 'masalah biasa'. Ramai yang berjumpa doktor apabila 'masalah biasa' ini sudah tidak tertanggung lagi.

"Di Malaysia, pesakit selalu bertukar-tukar doktor. Jika doktor pertama yang ditemui tidak berjaya mengurangkan masalah mereka, pesakit akan mencari doktor lain. Ia menyebabkan proses diagnosis (pengesanan) menjadi lebih sukar.

"Oleh kerana NET dianggap penyakit yang jarang berlaku dan agak sukar dikesan, langkah terbaik ialah pesakit bersabar dengan doktor yang ditemui supaya ujian seterusnya boleh dilakukan. Doktor anda akan mendapatkan pandangan daripada pakar daripada bidang lain dan biasanya melalui cara inilah penyakit anda dapat dikesan (berdasarkan perbincangan dan penelitian beberapa pakar berlainan bidang)," katanya.

Jika anda mengesyaki mengalami NET, disarankan supaya menjalani ujian pengesanan penanda ketumbuhan (tumor marker). Bagaimanapun perlu diingat, walaupun keputusan anda positif, ia tidak semestinya NET.

Jika keputusan positif penanda kanser tiada kaitan dengan NET, jadi apa yang boleh dijadikan sebagai penunjuk masalah ini?

Sebenarnya ujian penanda kanser tidak disarankan sebagai saringan penyakit kanser kerana ia bukan ujian tepat untuk NET, tetapi keputusan positif itu mungkin menunjukkan ketumbuhan atau kanser lain.

Pengesanan NET seharusnya berdasarkan gejala bukan melalui imbasan atau ujian darah. Ia bergantung kepada gejala yang dialami, barulah penyiasatan boleh dilakukan. Jika ia gejala gastrousus, maka penyiasatan gastrousus akan dilakukan.

Bagaimana doktor keluarga boleh membantu?

Menurut Dr Fuad, oleh kerana ia jarang ditemui, doktor perlu bertanyakan jika pesakit mengalami gejala luar biasa. Mereka juga perlu lebih peka terhadap perbezaan kecil dan bertanya lebih banyak soalan jika didapati berlakunya gejala yang mencurigakan.

Rawatan

Jenis rawatan bergantung kepada masalah yang dihadapi setiap pesakit. Biasanya pesakit perlu menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan atau kanser mereka. Walaupun kanser bersifat agresif dan sudah merebak, doktor akan tetap mencadangkan supaya dilakukan pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan asal. Dalam sesetengah keadaan, kanser yang merebak ini bersifat terpencil dan lebih mudah untuk dibuang.

Berbeza dengan rawatan kanser lain, kemoterapi tidak menjadi keutamaan kerana tidak banyak ubat yang berkesan untuk kanser NET. Ubat kemoterapi yang berkesan pula terlalu toksik dan peluang untuk kanser mengecil dengan ubat ini agak rendah.

Ubat kemoterapi yang ada sekarang masih tidak mampu membunuh sel kanser NET, jadi pendekatan rawatan yang dijalankan sekarang ialah untuk mengurangkan gejala supaya pesakit boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Dalam kes NET, kaedah radioterapi tidak akan digunakan kecuali bagi keadaan tertentu seperti jika ketumbuhan mengalami pendarahan atau badan pesakit tidak menunjukkan sebarang tindak balas terhadap rawatan lain atau apabila kanser sudah merebak ke tulang dan menyebabkan pesakit berada dalam kesakitan.
Radioterapi hanya bertindak untuk mengurangkan kesakitan atau mengecilkan saiz kanser yang sudah membengkak.

Bagaimanapun, kini sudah ada rawatan bersasaran seperti endostatin atau octreotide yang membantu mengurangkan gejala NET. Ada juga rawatan yang mampu menyekat kemaraan atau perkembangan kanser.

"Walaupun kita tiada hospital yang dikhususkan untuk merawat kanser ini, tetapi Malaysia mempunyai ramai pakar perubatan yang boleh membantu anda. Pesakit tidak perlu pergi ke luar negara untuk berubat kerana rawatan terbaik dan doktor berpengalaman ada di negara ini," katanya.

Asah daya kreatif murid

Posted: 11 Sep 2011 06:35 AM PDT

JIKA diperhatikan, pelajar sekolah mempunyai banyak idea kreatif untuk diterjemahkan. Namun, bakat yang ada dikatakan terbatas disebabkan tidak mengetahui saluran yang betul atau tiada peluang mengetengahkan idea terpendam.

Melalui pertandingan yang memerlukan daya kreativiti, ia dikatakan jalan terbaik bagi memberi peluang kepada mereka meluahkan bakat untuk tatapan ibu bapa, pihak sekolah mahupun masyarakat, sekali gus membuka mata mereka terhadap kemahiran yang dimiliki pelapis negara ini.

Justeru, pertandingan Cabaran Sekolahku Generasi Membina diadakan bagi menonjolkan daya kreatif mereka melalui cabaran menggunakan kotak susu Dutch Lady yang dikitar semula untuk membina struktur bangunan.

Mempunyai matlamat tersendiri, pertandingan ini mengajar murid mengenai kepentingan bekerja secara berpasukan dan pada masa sama meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar bagi menjamin masa depan yang baik.


Bagi merealisasikan kehendak dan luahan daya kreatif pelajar itu, Guru Penyelaras Pusat Sumber yang juga bertindak sebagai Setiausaha Program Dutch Lady Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jaya, Ampang, Azmah Mohd Yusoff berkata, mereka tidak akan ketinggalan merebut peluang menyertai pertandingan terbabit bagi mengasah bakat dan kreativiti pelajar di sekolah itu.


"Kami akan membantu murid yang ingin menyertainya sebagai satu cara mereka menjalankan aktiviti yang dapat mengasah kemahiran dan berkongsi idea bagi menghasilkan struktur bangunan yang dikehendaki.

"Melalui penyertaan itu, pihak kami akan membuat beberapa penilaian bagi memilih hasil yang terbaik untuk diketengahkan pada pertandingan itu nanti.

"Sebelum ini memang ada aktiviti mengumpul kotak susu Dutch Lady sepanjang Ogos lalu yang digunakan untuk mem-bina struktur bangunan Menara Berkembar KLCC dan Menara Kuala Lumpur bagi menyambut bulan kemerdekaan.

"Program terbabit berjaya menghasilkan 48 bangunan sama tetapi dihasilkan me-ngikut kreativiti murid tahun lima sekolah ini yang memba-bitkan lima orang setiap kumpulan. Melaluinya, kami memilih 12 yang terbaik untuk diadili.

"Kami akan memilih hanya enam daripada 12 struktur bangunan terbaik yang siap dibina bagi menyertai cabaran itu nanti selain hasil ciptaan struktur oleh murid tahun enam yang akan dibina selepas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Disebabkan itu, kami mempunyai kelebihan dan panduan berdasarkan pengalaman sebelum ini membina struktur bangunan yang menjadi kebanggaan negara kita.

"Pertandingan yang akan disertai kali ini membabitkan murid tahun lima dan enam. Murid tahun lima dikehendaki membina struktur bangunan yang menjadi mercu tanda kebanggaan Malaysia manakala bagi tahun enam lebih bersifat terbuka mengikut kreativiti masing-masing," katanya ketika mengulas pertandingan Sekolahku Generasi Membina, baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Rahul Colaco, pertandingan yang dilancarkan di sekolah terbabit bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar membina daya kreativiti melalui cabaran menggunakan kotak susu yang dikitar semula.

"Bagi pertandingan itu, murid diminta menunjukkan kreativiti dengan menggunakan kotak susu yang dikitar semula serta menerapkan tiga elemen penting iaitu kreatif, teori sains dan teknologi kejuruteraan.

"Hanya 20 ahli dibenarkan untuk setiap pasukan dan sekolah boleh menghantar penyertaan seberapa banyak kumpulan," katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran pertandingan Cabaran Sekolahku Generasi Membina yang turut dihadiri Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said dan Guru Besar SK Lembah Jaya, Abu Ahmad.

Pertandingan bermula dari 12 September hingga 31 Oktober itu terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah di seluruh negara menunjukkan kemahiran kreatif membina struktur bangunan di seluruh dunia menggunakan kotak susu Dutch Lady School.

Sejumlah RM60,000 ditawarkan dengan pemenang utama akan menerima wang tunai RM10,000 dan RM10,000 lagi bagi sekolah mereka manakala pemenang kedua dan ketiga, masing-masing menerima RM5,000 dan RM3,000.

Pemenang utama juga ber-peluang melawat ladang tenusu dianjurkan Dutch Lady Malaysia menerusi Program Pembangunan Tenusu Dutch Lady bagi mendedahkan pelajar mengenai penghasilan susu.

Bagi menggalakkan penyertaan, 50 kumpulan pertama yang menghantar penyertaan akan menerima RM500 setiap kumpulan.

Pada akhir cabaran ini, juri akan menyenarai pendek 20 penyertaan dan melawat
sekolah bagi menilai struktur dibina dari segi kestabilan, seni dan kreativiti.

Lima kumpulan yang berjaya memasuki peringkat akhir akan dinilai semula bagi mengenal pasti tiga kumpulan teratas yang bakal memenangi per-tandingan ini.

Kira-kira 1,000 sekolah rendah di seluruh negara dijangka menyertai pertandingan dengan setiap kumpulan disertai sekurang-kurangnya 20 murid.

Borang penyertaan boleh didapati di laman web Dutch Lady Malaysia, www.dutchlady.com.my, guru sekolah atau sisipan Didik.

Pertandingan ini sebahagian usaha Dutch Lady Malaysia dan Berita Harian menerusi Didik menjalankan program melangkaui pembelajaran di bilik darjah, selain menjana aktiviti kokurikulum sedia ada di sekolah.

Bagi tujuan itu, Dutch Lady Malaysia memperuntukkan lebih RM1 juta bagi menjalankan pelbagai program termasuk menaja 181,250 akhbar Didik di 125 sekolah seluruh negara.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Penerjun jatuh longkang

Posted: 10 Sep 2011 09:06 AM PDT

MELAKA: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera selepas terjatuh ke dalam longkang ketika membuat penerjunan sempena Majlis Penutup dan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Induksi Pembantu Penguatkuasa Gred N17 di Akademi JPJ, Tiang Dua, Ayer Molek, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi, Asnawi Mohd Hassan, 37, cedera di kaki kiri serta muka selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran tapak perbarisan akademi terbabit.


Dia dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil.

Jurucakap JPJ berkata, penerjun yang membawa bendera JPJ ketika melakukan penerjunan itu dihantar pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri ke Hospital Melaka untuk rawatan.


"Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan yang berada di lokasi turut mengiringi penerjun berkenaan ke kenderaan JPAM sebelum dihantar ke hospital.


"Dua lagi penerjun bersama anggota JPJ itu tidak cedera," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Kursus bermula pada 1 Jun lalu itu membabitkan 191 pelatih iaitu 137 lelaki dan 54 wanita, dan semua berjaya menamatkan latihan.

Umpan seutas gelang

Posted: 10 Sep 2011 09:02 AM PDT

KUALA LUMPUR: Hanya kerana seutas gelang, seorang wanita berusia 20 tahun diperangkap seorang lelaki sebelum dirogol di sebuah bilik hotel di Puduraya, di sini, Rabu lalu.

Difahamkan, mangsa mengenali suspek berusia lingkungan 30-an itu melalui telefon sejak dua bulan lalu sebelum dipelawa bertemu buat kali pertama di KL Sentral, di sini.


Disebabkan ghairah untuk mendapatkan barang kemas berkenaan selain terpedaya dengan ayat manis lelaki terbabit, mangsa bersetuju untuk bertemu di KL Sentral, jam 11 pagi.

Menurut sumber, sebaik tiba di KL Sentral, suspek membawa mangsa ke sebuah restoran di kawasan Puduraya.


"Ketika minum, suspek mendakwa tertinggal gelang terbabit dan akan memberinya kepada mangsa pada pertemuan seterusnya sebagai tanda permulaan hubungan mereka.


"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian tidak sedarkan diri selepas meneguk minuman diberikan lelaki terbabit yang dipercayai dicampur dengan dadah," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Impian hampa

Posted: 10 Sep 2011 08:31 AM PDT

HASRAT untuk menyaksikan dua pingat emas diraih barisan pemanah negara berkecai selepas tewas kepada pemanah Amerika Syarikat (AS) dalam dua aksi final sirkit keempat Piala Dunia di Shanghai, China semalam.

Ia sekali gus meranapkan impian anak buah ketua jurulatih negara, Lee Jae-hyung untuk meraih emas pertama dalam sejarah penyertaan mereka di sirkit Piala Dunia.


Namun dalam acara recurve individu, pemanah muda negara, Khairul Anuar Mohamad mempamerkan persembahan yang membanggakan sebelum tewas kepada pemanah AS, Joe Fanchin dalam set penentuan selepas terikat 5-5 dalam aksi lima set.

Pemanah berusia 20 tahun itu membuka saingan pada set pertama dengan langkah kiri apabila tewas dengan perbezaan satu mata sebelum bangkit memenangi set kedua untuk mengikat kedudukan selain terikat pada set keempat dan menang di set kelima.


Keputusan itu menyebabkan kedua-dua pemanah terbabit terikat 5-5 dan satu panahan penentuan diadakan dengan Fanchin melakukannya dengan sempurna apabila meraih 10 mata berbanding Khairul Anuar yang meraih sembilan mata sekali gus tewas dengan keputusan 6-5.


Terdahulu pada aksi yang berlangsung pagi semalam, trio memanah negara terpaksa berpuas hati dengan memenangi pingat perak apabila tewas kepada gandingan AS yang disertai Fanchin serta dua rakannya, Brady Ellison dan Jake Kaminski.

Gandingan Khairul Anuar bersama-sama Cheng Chu Sian dan Haziq Kamaruddin terpaksa akur dengan kehebatan trio AS itu apabila sekadar mengumpul 218 mata selepas 24 panahan berbanding lawan yang meraih 222 mata.


Ia juga melebarkan rekod kekalahan skuad negara kepada AS dengan kemenangan terakhir diraih pemanah negara adalah pada Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Beijing pada 2007.

Walaupun gagal meraih pingat emas, pencapaian meraih dua pingat perak terbabit adalah pencapaian paling baik sejak penyertaan pemanah negara dalam sirkit Piala Dunia.

Jeremy tiada masalah kerja bersama Rexy

Posted: 10 Sep 2011 08:26 AM PDT

JEREMY Gan berpendapat dia mampu bergandingan baik bersama Rexy Mainaky selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan jurulatih dari Indonesia itu sebagai ketua jurulatih beregu wanita dan campuran.

Katanya dia pernah berkerja dengan Rexy sebelum ini selain berasakan jurulatih itu mampu mempertajam corak permainan beregu wanita dan campuran.


"Saya tiada masalah berkerja dengan Rexy. Lagipun saya pasti beliau tidak akan mengganggu corak latihan pemain kerana sudah kesuntukan masa untuk memburu tempat ke Olimpik," kata Jeremy.

Katanya, Rexy akan memainkan peranannya dengan memastikan pemain mengikut rutin latihan dengan betul selain memastikan mereka memperkemaskan lagi pukulan dan hantaran yang mana menjadi kekurangan ketika ini.


Jeremy yang lebih fokus kepada beregu campuran berkata, beliau tiada masalah jika Rexy mahu mengubah sepenuhnya corak permainan dua beregu kecuali Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang berpeluang cerah layak ke Sukan Olimpik tahun depan.


Begitupun beliau yang belum sempat berbincang dengan Rexy berkata akan mengemukakan beberapa cadangan kepada ketuanya itu.

"Saya nak cadangkan supaya beliau meminta beberapa pemain daripada skuad beregu lelaki kerana berdasarkan pengalaman, beregu yang gagal mencipta keputusan yang baik selepas mencapai usia 24 atau 25 tahun, seseorang itu tidak boleh maju lagi. Lebih baik pemain terbabit fokus kepada beregu campuran," kata Jeremy.


Sementara itu, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui agak terkejut dengan pelantikan Rexy. Gandingan itu yang mula serasi dengan rutin latihan Pang Cheh Chang tidak menyangka perlu kembali di bawah bimbingan juara Olimpik Atlanta itu selepas setahun berpisah.

"Saya tiada masalah dengan Rexy, tapi kami sudah selesa dengan sistem yang dikenali Cheh Chang, saya cuma terkejut," kata Pei Tty. "Cheh Chang lebih fokus kepada kemahiran dan taktikal manakala Rexy lebih kepada pergerakan dan pukulan stroke."

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Depan Mata: Sultan puji Hasnah

Posted: 07 Aug 2011 07:48 AM PDT

Biar ku bersedih
biar aku merintih
setelah gagal berkasih
lari bersama pedih

ITU antara bait lagu Bersedih yang cukup sinonim dengan penyanyi 60-an, Hasnah Haron. Bertemu dengannya pada 24 Mei lalu di Restoran Puteri, Sungai Penchala, nyata itulah pertemuan pertama dan terakhir.

Dalam usia 64, penyanyi kelahiran Kampung Melayu, Singapura pada 9 November 1946 ini meninggal dunia pada 1 Ogos lalu, jam 8 pagi selepas lima hari dimasukkan ke hospital, Johor Bahru kerana barah pangkal rahim yang dihidapinya lebih dua tahun lalu.

Ketika itu juga, umat Islam seluruh dunia memulakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Sehari sebelum itu, kebetulan saya menghubungi pemilik Restoran Puteri, Rubiah Suparman dan dimaklumkan Hasnah yang juga kawan baiknya sejak remaja dalam keadaan nazak. Berita itu baru saja disampaikan anak perempuannya, Haslinda Mohd Eunos (Linda).


Sememangnya itulah pertama kali bertemu dengannya tetapi orangnya ramah begitu juga Linda yang sudi bercerita keadaan ibunya. Linda membawa ibunya ke Kuala Lumpur untuk mencuba rawatan cara Islam di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak yang diusahakan pelakon Ashraf Muslim.


Badannya kurus kerana kurang selera makan dan pergerakan juga terbatas dan cepat penat tetapi apabila diminta bercerita mengenai zaman popularitinya sejak menghasilkan album pertama pada 1969, wajahnya nampak ceria.

Malah apabila diminta menyanyikan lagu Bersedih, beliau tidak keberatan begitu juga apabila ditanya lagu popular lainnya, terus menyanyikan lagu Sabar Menanti dan Siti Zubaidah. Suaranya juga tetap merdu.

Linda mengatakan ibunya sering bermuram dan enggan keluar rumah seolah-olah tiada semangat. Bagaimanapun apabila dibawa ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan-rakan seangkatan, Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamad, Datuk Jeffrydin dan Datuk Yusni Hamid, wajahnya nampak riang. Mereka diundang Kak Rubiah ke restorannya untuk bertemu.

Linda sempat memohon kalau ada rakan-rakan atau peminat ibunya ingin berjumpa, boleh berkunjung ke rumah mereka. Mungkin cara itu mampu membuatkan ibunya lebih bersemangat untuk terus hidup sekali gus melawan penyakit yang belum ada penawarnya. Malah, dia akan membawa ibunya turun ke Kuala Lumpur lagi jika keadaan kesihatannya mengizinkan.

Kata Linda, ibunya juga tidak suka menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi lagi kerana membuatkan badannya tidak selesa dan menyambut baik saranannya untuk mencuba rawatan Islam.

Selepas bertemu Ashraf, mereka dimaklumkan ada dua benda dalam badan Hasnah. Pertama kanser pangkal rahim tahap tiga dan merebak ke paru-paru dan kedua ada sihir dengan kehadiran 30 jin. Ashraf membekalkannya dengan Surah al-Mukminin dan Surah Hud untuk dibaca setiap hari lepas solat.

Berbual dengan Linda mengenai dirinya sebagai anak penyanyi dan kini memikul tanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-beradik lain, katanya, ketika kecil dia dan adiknya Mohd Lufthi tidak pernah tahu ibu mereka bekerja sebagai penyanyi. Mereka juga tidak pernah melihat sendiri ibu mereka menyanyi.

Pernah satu ketika ibu mereka terpaksa membawa anak-anak bekerja, mereka dikunci dalam satu bilik dan tidak dibenarkan keluar sehingga ibunya selesai bekerja, semata-mata tidak mahu anaknya tahu pekerjaannya. Hasnah juga tidak mahu anak-anak mengikut jejaknya menjadi orang seni.

Apabila dewasa, bagi Linda tiada apa yang harus dibanggakan menjadi anak penyanyi. Bagaimanapun, perasaan itu mula berubah apabila bertemu Sultan Johor dan memuji ibunya sebagai wanita yang baik dan menjaga pergaulannya walaupun berada dalam dunia glamor.

Terasa bangga di hatinya apabila ibunya diangkat begitu tinggi dan kini sebagai anak, Linda bertanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-adiknya. Hasnah mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dengan Mohd Eunos dan tiga anak bersama suami kedua, Syed Murshed.

Sejak sakit dan tidak lagi menyanyi, ibunya banyak menghabiskan masa mengikuti kelas agama di masjid berhampiran rumahnya. Dengan peribadi yang baik dan sentiasa menjaga maruah diri, Hasnah dipanggil Yang Maha Esa pada 1 Ramadan lalu.

Bak kata Linda, ia satu anugerah buat dirinya apabila ibunya pergi dalam bulan Ramadan yang mulia kerana ia menjadi impian semua umat Islam. Ketika hayatnya, Hasnah Haron banyak dilemparkan tohmahan dan pandangan sinis yang dilalui tetapi, semua itu ditelannya dengan sabar walaupun hatinya sedih dan merintih.

Walaupun kehilangan ibu yang melahirkannya dia dan adik-beradik menyambut Aidilfitri tidak lama tanpa ibu, Linda reda dengan pemergian ibunya.

Kini genap seminggu arwah pergi dan bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru tetapi suaranya yang mendayu pasti terus berkumandang.

Bait akhir lagu Bersedih, 'Usah lagi dikenang, pada aku yang malang, nanti engkau kan sedu, di sisi jasadku kaku' pasti membuatkan kita mendengar bergenang air mata. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


‘Rahib’ sertai parti seks Berlusconi

Posted: 10 Sep 2011 07:59 AM PDT

ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi didakwa membawa masuk penari riba yang berpakaian rahib wanita untuk membuat persembahan dalam parti seks anjurannya.

Menurut kenyataan Fadile Imane, 26, penari terbabit, Nicole Minetti, 25 dan Barbara Faggioli, 25, berpakaian seperti rahib wanita sebelum melakukan tarian berahi di depan Berlusconi.


Fadile, kelahiran Maghribi, adalah tetamu di parti itu dan dipelawa menghadiri parti itu oleh bekas pembaca berita televisyen, Emilio Fede, 80, dan ejen industri hiburan, Lele Mora, 55.

Minetti, Fede dan Mora didakwa mengupah sekumpulan wanita untuk menjadi sebahagian daripada penghibur di parti itu.


Fadile dipetik oleh akhbar The Sun yang diterbitkan di London sebagai berkata: "Saya ke parti itu dan bertemu Silvio Berlusconi serta wanita lain. "Di dewan majlis, terdapat tiang untuk menari. Nicole dan Barbara melakukan tarian tiang dengan berpakaian rahib wanita.


"Apabila DJ memainkan muzik, kedua-dua wanita itu menanggalkan pakaian rahib itu lalu membuat persembahan dengan hanya berseluar dalam.

"Sudah tentu saya terkejut," kata Fadile meskipun sebelum ini mengaku dia pernah membuat persembahan tarian gelek untuk Berlusconi.


Berlusconi berulang kali menafi menganjurkan parti seks.

Dia akan dibicarakan bulan depan kerana mengadakan seks dengan pelacur bawah umur, Karima El Mahroug. - Reuters

Gam anak pada dinding sebelum pukul dengan tali pinggang

Posted: 10 Sep 2011 07:53 AM PDT

DALLAS: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun kini koma selepas ibunya didakwa melekatkan tangannya pada dinding dengan gam dan memukulnya kerana kencing merata.

Elizabeth Escalona, 22, berdepan dengan tuduhan mendera kanak-kanak selepas dia didakwa mengheret anaknya sekeling rumah di Dallas dan menderanya.


Tindakan itu menyebabkan kanak-kanak itu mengalami pelbagai kecederaan termasuk pada otaknya.

Kanak-kanak itu, Joselyn Cedillo kini bergantung pada mesin penyambung hayat di hospital.


Berdasarkan laporan polis, glu dan cat diletakkan pada tapak tangannya menyebabkan kulitnya menggelupas teruk.


Seorang anggota keluarga memberitahu wartawan, kanak-kanak itu juga mengalami patah tulang, calar-balar dan kecederaan di kepala.

Elizabeth dikatakan mengheret anaknya sebelum menggam tangannya pada dinding sehingga berdarah.


Dia kemudian memukul perut kanak-kanak itu dengan jag susu, menendang dan memukulnya lagi dengan kasut dan tali pinggang.

Polis berkata, beberapa orang pernah menyaksikan dia memukul anaknya itu sebelum ini.


Elizabeth boleh dihukum penjara seumur hidup jika didapati bersalah. Tiga anaknya yang lain kini diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa. - Agensi

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Mengisi jiwa kosong

Posted: 10 Sep 2011 09:36 AM PDT

KUALA LUMPUR: Mereka sudah bersuami dan ada anak, malah boleh dikategorikan dalam golongan berada. Namun kerana ingin mencari kepuasan nafsu, mereka sanggup menggunakan kecantikan dan 'aset' dimiliki bagi mencari hiburan di luar.

Mencari lelaki bujang mahupun yang berkeluarga untuk dijadikan teman dan tempat melepaskan nafsu sentiasa menjadi keutamaan. Tidak kira waktu terluang, mereka yang seakan-akan bernaung di bawah kelab 'Hot Mama' ligat mencari teman.

Di rumah, merekalah isteri, ibu dan suri rumah tangga, tetapi apabila di luar bersama rakan, mereka seolah-olah gadis remaja yang sentiasa mencari teman untuk bersosial.

Menerusi penyamaran, wartawan Metro Ahad (MA) berjaya menjejaki kumpulan berkenaan, sekali gus membongkar aktiviti sulit golongan ini.


Tanpa berselindung, beberapa wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang ditemui menceritakan kisah hidup yang sentiasa sepi tanpa belaian lelaki.


Menurut Linda, 31, dia mencari hiburan di luar bagi mengisi kekosongan diri kerana sering diabaikan suami yang sentiasa sibuk dengan perniagaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Meninggal di sisi ayah

Posted: 10 Sep 2011 09:36 AM PDT

KAMUNTING: "Adik penat... penat sangat, tolong ayah... tolong adik," itu kata-kata terakhir penghidap barah tulang kronik, Nurul Atikah Bazilah Samsudin, 14, sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi bapanya, Samsudin Hasbullah, 50, di kediaman mereka di Taman Mewah, di sini, malam kelmarin.

Anak bongsu pasangan Samsudin dan Che Tom Osman, 45, itu meninggal dunia jam 11.05 malam selepas menderita barah berkenaan sejak tiga tahun lalu.


Kisah penderitaan arwah mendapat perhatian meluas media pada pertengahan Ramadan lalu apabila impiannya untuk berbual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berjaya ditunaikan hasil usaha pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWS).

Perbualan menerusi telefon bimbit selama lima minit dengan pemimpin negara itu sedikit sebanyak memberi 'kelegaan' kepada perit derita ditanggung remaja berkenaan biarpun pakar perubatan menjangkakan hayatnya tidak begitu panjang serta tidak sempat menyambut Aidilfitri.


Bagaimanapun, berkat doa orang ramai membolehkan Nurul Atikah merasai kemeriahan Aidilfitri buat kali terakhir dalam hidupnya sebelum meninggal dunia.


Samsudin berkata, dia sekeluarga bersedia dengan pemergian arwah memandangkan anaknya sudah lama menderita, malah barah dihidapi tidak menunjukkan pemulihan.

"Saya menerima kehilangannya sejak tiga tahun lalu selepas dia disahkan menghidap barah itu. Namun, berkat doa dan rawatan diberi, dia mampu bertahan seketika sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam (kelmarin)," katanya ketika ditemui Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Seberang, di sini, pagi semalam.


Bagaimanapun, katanya, arwah menunjukkan tahap kesihatan memberangsangkan sepanjang 10 hari lalu selepas mengambil beberapa ubat-ubatan, malah anaknya juga semakin kurang bergantung kepada ubat tahan sakit.

Menurutnya, dia juga gembira dengan perkembangan itu memandangkan selera makan arwah bertambah, banyak bercakap dan kurang mengadu sakit.


"Namun, episod gembira itu hanya seketika sebelum arwah pergi meninggalkan kami sekeluarga. Malah, sejak seminggu lalu arwah sangat rapat dengan saya. Kami sering berbual dan makan bersama selain menonton bersama rancangan televisyen diminatinya iaitu Mr Bean," katanya.


Sementara itu, Che Tom berkata, dia tiada di sisi ketika arwah menghembuskan nyawa terakhir kerana keluar mendapatkan bekalan ubat di pekan Taiping.


Beliau berkata, dalam perjalanan pulang ke rumah, suami menghubunginya memaklumkan arwah mengadu kepenatan sebelum menghubunginya semula beberapa minit kemudian untuk memaklumkan arwah sudah meninggal dunia.


"Selama ini saya tidak pernah berenggang dengan arwah, malah sentiasa di sisinya sepanjang masa kerana kami sangat rapat.


"Sebelum keluar rumah jam 9.30 malam semalam (kelmarin), saya mandikannya serta menyiapkannya dengan pakaian tidur. Itu kali terakhir saya melihatnya," katanya sedih.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved