Ahad, 14 April 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Cipta badan menawan

Posted: 14 Apr 2013 09:41 AM PDT

Bagi sesetengah individu, senaman tanpa muzik dengan hanya menggunakan pergerakan mungkin sesuatu yang membosankan. Aktiviti bersenam lazimnya lebih menyeronokkan serta memberikan semangat seandainya diiringi muzik rancak.

Jika dulu, senaman zumba mungkin kedengaran agak asing, tetapi kini semakin ramai ingin mempelajarinya berikutan kepelbagaian muzik serta pergerakan ketika bersenam memberikan keseronokan berganda, apatah lagi dilakukan dalam kumpulan kecil.

Menurut jurulatih Zumba Fitness Malaysia yang juga jurulatih di Pusat Kecergasan Easy Fitness, Shah Bariah Hussain, sejarah senaman zumba bermula hampir 20 tahun lalu di Colombia apabila jurulatih kecergasan, Beto Perez, memperkenalkannya di seluruh dunia.

Ia menggabungkan kepelbagaian rentak dalam senaman dan paling sesuai dipelajari bagi mereka yang ingin menguruskan badan, kekal cergas dan mendapatkan bentuk badan menawan kerana menggabungkan teknik tarian perlahan serta pantas.

Foto

TANGAN memegang dumb bell, kemudian buka 90 darjah. Kaki kiri di hadapan dan kaki kanan di belakang.

Foto

DALAM posisi sama, tangan kanan dan kiri dibawa ke depan. Lakukan dalam kiraan lapan. Senaman ini bagus untuk membentuk otot lengan.

Foto

BENGKOKKAN kaki seperti separuh mencangkung. Tangan dibuka dalam posisi 90 darjah.

Foto

MASIH dalam kedudukan sama, bawa tangan kanan dan kiri ke hadapan dan luruskan. Lakukan dalam kiraan lapan. Senaman ini untuk memperkuatkan otot kaki dan tangan.

Foto

KAKI kanan di hadapan dan kiri di belakang. Angkat tangan kanan ke atas manakala tangan kiri di hadapan.

Foto

DALAM posisi sama, angkat tangan kanan dan kiri ke atas manakala kaki kanan dilonjakkan sedikit. Lakukan dalam kiraan lapan.

Foto

BERDIRI tegak, buka kedua-dua tangan 90 darjah kemudian angkat kaki kanan dan tangan kiri.

Foto

MASIH dalam posisi sama, tukar kaki kanan kepada kaki kiri diikuti tangan kanan sehingga siku bersentuhan lutut. Lakukan berulang kali dalam kiraan lapan.


"Pergerakan biasanya menggunakan muzik latin dengan memasukkan unsur pergerakan senaman seperti bergerak ke hadapan, duduk dan bangun sama ada menggunakan dumb bell atau tidak. Malah ia tidak terhad kepada satu pergerakan saja sebaliknya jurulatih boleh mempelbagaikannya mengikut muzik," katanya.


Zumba, satu tarian senaman aerobik lengkap kerana ia menggabungkan aspek kecergasan dan kekuatan. Senaman ini mampu membakar lemak serta meningkatkan tahap metabolisme dan membantu membentuk tubuh wanita menjadi lebih menarik.

"Apa yang penting, langkah tarian ini sangat mudah dipelajari dan ia sememangnya menyeronokkan untuk pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Bagi mereka yang ingin bersenam menggunakan dumb bell, senaman zumba toning membantu untuk membina otot menjadi lebih menarik sekiranya dilakukan secara konsisten. Ia memberi tumpuan kepada otot lengan, kaki, paha dan pinggul.

"Bagi mereka yang ingin melakukannya boleh menggunakan dumb bell atau botol air berisi air 600 mililiter. Kemudian pergerakan dimulakan menggunakan tangan, diikuti kaki, paha dan pinggul. Jika dilakukan secara konsisten, ia mampu membina otot menjadi lebih terbentuk dan menarik," katanya yang menunjukkan teknik senaman zumba toning kepada pembaca Harian Metro.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai senaman zumba, layari zumba.com/training.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14

Sihat Cergas: Senaman ubah gaya hidup

Posted: 14 Apr 2013 08:54 AM PDT

Setiap hari kita diingatkan mengenai kesihatan yang meliputi pemakanan sihat dan seimbang. Pelbagai persoalan juga dibangkitkan perihal perkara ini apabila ramai yang tertanya-tanya sama ada wujud pemakanan sihat atau sebaliknya.

Sebenarnya, tidak wujud istilah makanan tidak menyihatkan kerana setiap sumber makanan mempunyai nilai nutrisi masing-masing yang memberikan kelebihan kepada tubuh badan.

Ia sering dinamakan makanan tidak sihat apabila anda mengambil sesuatu jenis makanan dalam kuantiti terlalu banyak lalu menyebabkan masalah lain seperti kegemukan atau obesiti.

Ini bermakna, anda tidak seimbangkan pengambilan setiap jenis makanan yang terkandung di dalam piramid makanan dengan betul, tetapi terus makan mengikut hawa nafsu.


Ingin saya ingatkan, untuk memiliki kesihatan berkualiti dalam tempoh berpanjangan tanpa perlu risau masalah penyakit berjangkit dan seumpamanya, kita perlu memilih dan menentukan makanan seimbang dan mengamalkan senaman.


Anda perlu mengubah secara perlahan-lahan gaya hidup dengan menjadi lebih aktif dan memasukkan senaman ke dalam aktiviti harian.

Faktor penentu adalah diri anda sendiri. Usah lagi memberi alasan tiada masa untuk bersenam kerana semua orang diberi Tuhan masa yang mencukupi iaitu 24 jam sehari.

Memang bersenam akan membuatkan kita berasa letih, tetapi jika difikirkan faedah kemudian hari yang akan diperoleh, pasti perasaan itu bertukar menjadi gembira.

Sekiranya tidak mampu untuk melakukan senaman dengan kerap atau jenis senaman yang berat, pilih senaman yang ringkas dan memudahkan diri anda sama ada boleh dilakukan di rumah, tempat kerja atau gimnasium.

Tidak kira berapa pun berat atau sebesar mana saiz badan kita, senaman yang dilakukan secara teratur memberi banyak manfaat kepada kita. Dalam usaha menjaga kesihatan, tiada istilah terlewat.

Contohnya sebagai permulaan, buat aktiviti ringan dengan berjalan pada waktu pagi sebelum pergi kerja. Berjalan di kawasan perumahan selama 10 hingga 15 minit setiap pagi sudah memadai dan apabila stamina bertambah, lanjutkan tempoh senaman kepada 20 hingga 30 minit sehari.

Namun perlu diingat, buat aktiviti memanaskan badan sebelum bersenam untuk mengelak mendapat kecederaan atau ketegangan otot.

Selain itu, dengan mengamalkan pemakanan serta senaman kita boleh mengurangkan risiko menghidap penyakit kronik yang boleh mengancam nyawa seperti penyakit jantung.

Misalnya, senaman kardiovaskular yang kerap dilakukan boleh meningkatkan kesihatan jantung manakala pemilihan makanan yang rendah kandungan garam pula boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi.

Anda juga harus peka terhadap keadaan kesihatan diri sendiri. Jangan amalkan diet mendadak jika anda tahu bagaimana mahu mengira jumlah kalori bagi setiap pengambilan makanan seharian.

Jangan juga mengamalkan diet itu sesuka hati kerana ditakuti akan mendatangkan kemudaratan. Lakukan kalori defisit agar dapat mengurangkan berat badan berlebihan.

Bagi kebanyakan orang yang dapat menurunkan berat badan atau mengamalkan pemakanan seimbang dan senaman, rata-rata mereka mengakui ia ternyata dapat meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan tekanan.

Siapa yang tidak mahu tampil menarik dengan menggayakan pakaian kegemaran yang cantik-cantik belaka bukan? Tidak kiralah wanita mahupun lelaki, masing-masing tentu saja berperasaan begitu.

Hidup yang sihat dan aktif dapat mengurangkan tekanan serta membantu menangani sebarang masalah dengan lebih baik. Tekanan boleh disebabkan oleh banyak faktor antaranya pekerjaan, makanan, keluarga, rakan, masalah kewangan, tidak cukup tidur, anak serta konflik dalam keluarga.

Justeru, mulakan gaya hidup sihat dari sekarang dan jangan berlengah. Cuba rujuk bahan bacaan bercetak atau maklumat terdapat di Internet.

Tidak lupa, bertanya pada pakar kesihatan atau jurulatih bertauliah untuk permulaan serta tunjuk ajar. Jangan malu untuk bertanya kerana ditakuti anda akan sesat jalan di kemudian hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Sanggup bujang kerana si comel

Posted: 13 Apr 2013 09:44 AM PDT

Kangar: "Saya tak kisah hidup bersendirian kerana lebih bahagia apabila bermanja sambil melihat keletah kucing peliharaan biarpun terpaksa berhabis RM2,000 sebulan."

Begitu kata pesara kerajaan, Norsiah Ismail, 57, dari Pengkalan Assam, dekat sini, apabila sanggup mengetepikan soal jodoh sehingga menolak beberapa lamaran kerana menyayangi kucing baka tempatan dan Parsi yang dipeliharanya sejak 40 tahun lalu.


Norsiah yang minat memelihara kucing sejak berusia 17 tahun berkata, demi kasih terhadap haiwan itu, dia banyak menghabiskan masa dengan 45 kucing, termasuk yang dipungut di tepi jalan, selain menyediakan rumah khas dilengkapi lantai mozek, kipas dan langsir.

"Hidup saya lebih tenang apabila dapat bersama kucing biarpun memerlukan kos tinggi untuk penjagaan kesihatan dan makanan mereka.


"Lebih baik hidup sendiri daripada berkahwin kerana tidak semua lelaki sukakan kucing," katanya ketika ditemui pada Karnival Kucing Comel Perlis 2013 di Taman Ular dan Reptilia Sungai Batu Pahat, di sini, semalam.


Karnival dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Pejabat Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia Perlis bagi memberi pendedahan dan kebajikan kucing secara menyeluruh.

Foto

NORZIAH bersama kucingnya di Karnival Kucing Comel Perlis yang diadakan di Taman Ular dan Reptilia Perlis.

Norsiah berkata, dia sanggup memungut kucing terbiar untuk dipelihara, selain membeli daripada individu atau kedai haiwan.


Menurutnya, dia juga akan memastikan setiap kucing peliharaannya dimandikan setiap pagi, selain diberi makanan berkhasiat tiga kali sehari.

"Sebelum membawa empat kucing peliharaan ke karnival ini, saya menghantarnya kepada doktor haiwan untuk persediaan kesihatan termasuk membersihkan bulu, kuku serta penjagaan diri seperti dilakukan manusia," katanya.


Seorang lagi pemilik kucing, Nabil Tashrin Noor Hisham, 21, berkata, dia sekeluarga pencinta haiwan berkenaan sehingga mewujudkan pusat jualan kucing di rumahnya di Padang Katong, di sini, termasuk kelengkapan penjagaan.


"Saya minat kucing sejak kecil dan kini memelihara hampir 40 ekor di rumah sejak enam tahun lalu. Setiap tahun saya membawa kucing berbeza bagi menyertai pertandingan dan kali ini enam ekor," katanya.


Katanya, mereka sekeluarga berbelanja RM2,000 setiap bulan bagi menguruskan semua kucing itu di samping menjalankan perniagaan berkaitan haiwan itu.


Sementara itu, Pengurus Besar PKENPs Kasim Zakaria berkata, karnival berkenaan kali kedua diadakan di negeri ini selepas menerima sambutan menggalakkan ketika penganjuran pertama pada hujung 2011.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Telefon kawal tangan palsu

Posted: 13 Apr 2013 09:04 AM PDT

London: Sebuah syarikat teknologi membuat anggota palsu berjaya mencipta tangan palsu yang begitu canggih sehingga boleh dikawal mengguna aplikasi telefon pintar.

Revolusi tangan palsu sentuhan bionik 'i-LIMB' membolehkan penggunanya memusingkan ibu jari. Kelima-lima jari juga boleh digerakkan, pergelangan tangan yang boleh dipusing dan mempunyai rangka aluminium.

Syarikat berkenaan mendakwa ia adalah tangan palsu paling canggih pernah dihasilkan.

Ia juga adalah anggota palsu yang pertama dicipta untuk dikawal menggunakan aplikasi perisian komputer.

Foto

PERGERAKAN tangan palsu boleh dikawal dengan mengguna aplikasi telefon pintar.


Didatangkan dengan aplikasi iOS (Sistem Operasi mobil) yang membolehkan pengguna mengawal genggaman tangan menggunakan telefon pintar.


Aplikasi itu membolehkan pemakainya memilih 24 genggaman berbeza dengan hanya menyentuh skrin.

Aplikasi berkenaan juga menawarkan latihan mengenai cara terbaik menggunakan peranti itu dan ia boleh mendedahkan sebarang masalah yang timbul.

Ia boleh berfungsi dengan mengguna elektrod pada pergelangan tangan untuk menerima denyutan elektrik yang dihasilkan oleh pengecutan otot yang kemudian diterjemah oleh komputer.

Setiap jari boleh dibengkok pada ruasnya dan boleh disesuaikan untuk dimuatkan pada sebarang bentuk objek yang ingin digenggam pemakai.

Ia juga boleh digunakan untuk apa saja, daripada menaip hingga mengikat tali kasut.

Ia akan kembali kepada kedudukan biasa secara automatik selepas satu tempoh tidak aktif.

Peranti yang menggunakan tenaga bateri itu bagaimanapun begitu teknikal hingga pengguna perlu menjalani latihan secara mendalam sebelum boleh menggunakannya dengan cekap. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Anggota tentera Congo mengaku rogol 53 wanita

Posted: 13 Apr 2013 08:48 AM PDT

Goma: Seorang anggota tentera Congo mengaku merogol 53 wanita, termasuk kanak-kanak semuda lima tahun apabila dia dan anggota lain menyerbu sebuah bandar ketika perang saudara di negara itu.

Anggota tentera terbabit adalah antara mereka yang menyerang bandar Minova berhampiran Tasik Kivu di Republik Demokratik Congo dan menghabiskan masa dua hari merogol, menjarah dan membunuh sebelum pegawai mengambil alih keadaan.


Pengakuan mengejutkan itu dibuat ketika Setiausaha Luar Britain William Hague berikrar untuk membelanjakan RM50 juta bagi menangani keganasan dan ancaman terhadap wanita di zon perang, semalam. Dalam wawancara dengan akhbar The Guardian di tempat dia melakukan jenayah itu, anggota tentera berusia 22 tahun terbabit menceritakan bagaimana dia dan lebih 40 anggota lain berbincang dan mengambil keputusan merogol 10 wanita setiap seorang.

"Saya merogol 53 wanita dan kanak-kanak berusia lima atau enam tahun," kata anggota tentera itu.


Menurutnya, dia dan rakannya baru saja tewas dengan kumpulan pemberontak M23 berhampiran Goma sebelum kejadian.


Mereka bertindak demikian kerana malu, marah dan kerana inginkan keseronokan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Kejayaan bukan sekelip mata

Posted: 13 Apr 2013 01:04 PM PDT

Oleh NORIAH IDRIS, FIRDAUS SAHAT, SHAMRAN SARAHAN, MOHD AZAM SHAH YAACOB dan ANIZA ZAINUDIN

Kuala Lumpur: "Kejayaan tidak dicapai dalam sekelip mata. Di peringkat awal, saya tiada masa untuk makan dan kerap bertukar pakaian di tandas awam semata-mata untuk bertemu dan 'ambil hati' pelanggan," kata jutawan saham amanah dan insurans, Aida Nurlin Hanif, 32, menceritakan kerja kerasnya sebelum berjaya.

Ketika itu, dia perlu membahagikan masa antara pelajaran dan kerja kerana masih menuntut dalam jurusan Diploma Sains Aktuari di Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Menjadikan kakaknya, Nor Akmar, 36, sebagai idola, usaha gadis bertudung ini nyata berbaloi apabila mampu bergelar orang kaya baru ketika masih di universiti.

Masakan tidak, pada usia 21 tahun ketika rakan sebaya masih mengharapkan wang biasiswa dan pinjaman untuk menyara kehidupan di kampus, dia mampu memiliki kereta mewah Porsche Boxster.


Aida Nurlin yang lebih mesra disapa Elynn berkata, prinsip utamanya dalam setiap pekerjaan mesti dibuat sehingga sempurna dan berjaya.


Katanya, dia teruja melihat kekayaan kakaknya lantas yakin mampu memperoleh kejayaan sama jika berusaha bersungguh-sungguh walaupun dibebani komitmen sebagai pelajar.

Foto

ELYNN (kiri) berbincang dengan Akmar.

Menurutnya, kuliahnya bermula jam 10 pagi, namun seawal jam 8 pagi setiap hari dia mengatur janji temu dengan pelanggan tetap atau mencari pelanggan baru.


Selepas janji temu, dia bergegas ke kuliah sebelum mengatur pertemuan lain ketika waktu makan tengah hari bagi membolehkannya mencapai sasaran peribadi.

"Rutin itulah yang dilalui sehingga tamat pengajian. Kadangkala sampai malam pun masih bertemu pelanggan hingga makan tak menentu," katanya.


Kejayaan menakjubkan Elynn dan Akmar makin dikagumi pelbagai pihak hingga ramai menggelar mereka sebagai 'millionaire sisters' (jutawan adik-beradik).


Kini dua beradik kelahiran Ipoh, Perak ini mampu menjalani kehidupan bagaikan selebriti terkenal dunia, memiliki kereta dan banglo mewah serta membeli-belah di kota sehebat Paris, Perancis hasil keringat sendiri.


Mengimbau permulaannya sebagai perunding saham amanah, Akmar berkata, dia dipelawa seorang kenalan rapatnya untuk berkecimpung dalam bidang itu ketika berusia 23 tahun.


"Sebenarnya saya pemilik Ijazah Kejuruteraan Sistem Maklumat dari University of Manchester, Institute of Science and Technology (UMIST).


"Selepas menamatkan pengajian, saya sempat bekerja tiga bulan di sebuah syarikat besar di bidang teknologi maklumat (IT) sebagai pengurus besar.


"Namun, saya tidak puas dan beranggapan bidang amanah saham lebih sesuai dengan jiwa saya. Walaupun usia masih muda dan tidak ramai kenalan, saya yakin boleh melangkah jauh dengan usaha keras," katanya.


Berkat kegigihannya, dia berjaya membuka agensi sendiri pada usia 25 tahun dan mengurus serta mengendalikan pelaburan hingga meletakkannya sebagai pengurus agensi kumpulan termuda di institusi kewangan terbesar di negara ini.


Malah, dia mampu memperoleh pendapatan lima angka atau sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan ketika berumur 26 tahun dan dua tahun kemudian, dia mampu melahirkan 10 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS).


"Rahsia kejayaan ialah mendapat restu orang tua. Ibu banyak memberi semangat manakala ayah, bekas Timbalan Pengarah Pendidikan di Perak serta adik-beradik banyak memberi kekuatan kepada kami berdua," katanya.


Dua beradik jutawan itu pernah merangkul lebih 250 anugerah, termasuk Ikon Belia Negara oleh Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini, berikutan prestasi cemerlang sebagai perunding saham amanah.


Pencapaian lain termasuk Brand Ambassador, Group Agency Manager Platinum, Top GAM, Master Recruiter, Million Sales Achiever, Million Dollar Round Table dan Anugerah Usahawan Muda Universiti Malaya.


Sementara itu, mengenai projek terbaru, Elynn berkata, mereka melancarkan MyMep iaitu singkatan daripada Malaysian Young Millionaire Entrepreneur Project dengan kerjasama KBS dalam usaha membantu melahirkan usahawan muda berjaya dan dinamik dalam tempoh tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14

'Saya takut...'

Posted: 13 Apr 2013 01:03 PM PDT

Seberang Jaya: "Saya takut. Ada yang ajak bertumbuk...caci maki macam-macam dan paling sedih apabila ada yang tuduh ibu bapa saya tak pandai jaga anak," kata Luqman Al Hakim Ahmad, 15, yang kini tertekan berikutan butiran peribadi dan gambarnya didedahkan sebagai suspek utama 'geng samseng YouTube' yang mendapat perhatian ramai di laman video sosial terbabit, sejak Selasa lalu.

Dia kini bimbangkan keselamatannya berikutan menerima pelbagai ancaman menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan ke telefon bimbitnya sejak Rabu lalu.


Katanya, dia menerima ratusan panggilan dan puluhan SMS sejak rakaman video itu didedahkan hingga ada pihak mendedahkan identiti dan menyiarkan gambarnya dalam blog.

"Semuanya berpunca daripada salah identiti apabila ada pihak menerima maklumat salah dan mengambil gambar saya di facebook (fb) sebelum mendakwa saya suspek utama kes buli terbabit.


"Saya membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan apabila ada yang mendakwa mengetahui alamat rumah dan akan datang mencari saya." katanya.


Sejak beberapa hari lalu, penonton YouTube di negara ini gempar dengan paparan video kejadian tiga pelajar membelasah seorang pelajar lain, di sini.

Foto

LUQMAN menunjukkan laporan polis dibuatnya.

Foto

ANTARA SMS berbentuk ancaman yang dikirim kepada Luqman.

Video berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan seorang remaja berpakaian sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain, dipercayai rakan sekolahnya di sebuah kelas dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 4 Mac lalu.


Kejadian itu mendapat kecaman orang ramai di laman sosial termasuk di Facebook hingga satu blog memaparkan maklumat tiga individu yang didakwa tiga pelajar pembuli terbabit dikenali sebagai 'Pembuli SMK Tun Hussein Onn'.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin sebelum ini mengesahkan ketiga-tiga pelajar terbabit dibuang sekolah sejak 8 Mac lalu.


Ketiga-tiga pelajar terbabit disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Menurut Luqman, dia hanya mengetahui dinamakan sebagai suspek dalam kejadian itu apabila diberitahu sepupunya selepas pulang dari sekolah, Rabu lalu.


Katanya, dia terkejut apabila ada blog bukan hanya menyiarkan gambarnya sebagai suspek, tetapi turut menyertakan butiran tweeter, Instagram, FB dan juga blognya.


"Saya tak tahu bagaimana mereka mengetahui semua butiran terbabit.


"Saya terkejut kerana saya tidak terbabit langsung dalam kejadian itu," kata anak bongsu kepada lima beradik itu.


Menurutnya, dia tidak dapat mengesyaki sesiapa yang menyiarkan gambar dan butiran alamat laman sosialnya.


Katanya, atas nasihat guru dan keluarga, dia membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya bagi mengelak terus menjadi mangsa tohmahan.


Dia berharap penahanan ketiga-tiga pelajar itu dapat membersihkan namanya dan tidak mahu ada lagi pihak mengaitkannya dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Rasa rindu memang ada'

Posted: 13 Apr 2013 08:33 AM PDT

Okinawa, Jepun: Rasa rindu dengan keluarga di Malaysia sememangnya dirasai Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim walaupun mereka hanya baru lebih dua minggu menjalani kehidupan di Okinawa, Jepun sebagai pemain kelab FC Ryukyu.

Selain cabaran di atas padang, Wan Zack Haikal, 22, dan Nazirul Naim, 19, sedar berjauhan dengan keluarga di bumi asing itu antara cabaran besar perlu mereka hadapi.


Menurut Wan Zack yang menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab Divisyen Tiga itu hujung bulan lalu, dia teruja dengan cabaran baru dihadapinya biarpun berat badannya kini susut tiga kilogram.

"Memang terasa rindu dengan Malaysia sebab kita sudah tinggal lama di sana tapi bagi saya dalam masa lebih dua minggu ini saya rasa selesa di sini. Kalau rindu dengan keluarga saya akan berhubung dengan mereka," kata pemain yang pernah menjalani ujian pemilihan dengan FC Ryukyu selama dua minggu Julai tahun lalu.


Selain berhubung dengan keluarga menerusi telefon atau laman sosial seperti twitter atau skype, memasak adalah cara Wan Zack menghilangkan rasa rindu itu.


"Di sini kami selalu memasak kerana susah juga nak cari makanan halal di luar. Kami akan bergilir-gilir memasak, kalau pagi kami selalu buat cucur udang.

Foto

JADUAL padat membataskan masa Wan Zack (kanan) dan Nazirul menikmati keindahan Okinawa.

"Berat badan saya turun tiga kilogram berbanding 68 kilogram sebelum ini tapi bagi saya itu lebih baik kerana saya berasa lebih ringan dan laju apabila berlari," katanya yang tinggal bersama dengan Nazirul Naim di sebuah apartment disediakan kelab itu.


Sementara itu bagi Nazirul Naim, faktor pemakanan bukan masalah besar buat mereka di sana setakat ini.

"Memang rindu dengan masakan di Malaysia tapi keluarga ada hantar bekalan makanan dan memang kami selalu masak sendiri.


"Ikan, sayur semua kami beli di kedai. Kalau ikan, kami akan masak pedas atau masak kicap. Kami akan bergilir-gilir memasak, tengok siapa yang tak penat, kalau masing-masing penat kami akan makan di luar saja," kata pemain pertahanan kiri itu.


Menurut Nazirul Naim yang mengikat kontrak setahun dengam FC Ryukyu, jadual mereka agak padat dengan latihan dan perlawanan setiap minggu hingga membataskan masa untuk keluar menikmati kawasan sekitar Okinawa yang terkenal sebagai pulau peranginan di Jepun.


"Setakat ini kami hanya duduk di rumah jika ada masa lapang lagipun kami belum ada pengangkutan sendiri. Kami perlu ambil lesen di sini dulu baru pihak kelab akan beri kami kereta." Sementara itu ketika ditanya mengenai sejauh manakah mereka mampu bertahan menjalani cabaran hidup sebagai pemain bola sepak di sana, Wan Zack Haikal menegaskan akan cuba mengubah persepsi buruk peminat bola sepak tanah air terhadap pemain negara.


"Itu persepsi orang, saya tidak boleh buat apa-apa, saya cuma boleh buktikan mereka hanya bercakap kosong. Saya akan buktikan mampu mencipta sesuatu di sini." Sebelum ini pemain tempatan seperti dilanda sindrom tidak mampu bertahan lama di luar negara dengan kes terbaru membabitkan pemain muda Muhammad Faiz Nazmi Mansor yang menamatkan kontrak awal bersama SC Beira-Mar dan Ahmad Fakri Saarani dari Atletico SC di Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Hamilton terpantas

Posted: 13 Apr 2013 08:27 AM PDT

Shanghai: Lewis Hamilton merebut petak pertama bersama pasukan barunya Mercedes pada kelayakan Grand Prix China di Shanghai, semalam sewaktu pencabar utama Red Bulls gagal mempamerkan aksi meyakinkan.

Pelumba Britain itu yang mengalami masalah alahan dan pulang awal dari litar Khamis lalu, beraksi garang pada sesi terakhir untuk merebut petak pertama di depan pelumba Lotus dan juara perlumbaan pertama di Australia, Kimi Raikkonen.


Dalam cuaca panas dan kering itu, Hamilton yang yang mencatat masa terpantas pada ketiga-tiga sesi kelayakan, mencatat masa terbaik satu minit 34.484 saat, berbanding Raikkonen, 1:34.761s. Pelumba Ferrari Fernando Alonso muncul pelumba ketiga terpantas.

Rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg yang meraih kemenangan pertama di Shanghai tahun lalu menduduki petak keempat di depan pelumba Ferrari Felipe Massa. Pelumba Brazil itu berada di barisan ketiga bersama Romain Grosjean daripada Lotus.


Sementara juara dunia daripada Red Bull Sebastian Vettel hanya layak di petak kesembilan, gagal mencatat masa pada sesi terakhir. Rakan sepasukan Vettel, Mark Webber, yang turut menjadi tumpuan kerana hubungan keruh kedua-dua pelumba terpaksa berhenti pada sesi kelayakan kedua dan bermula di petak ke-14.


"Saya sihat sejak dua minggu lalu dan sakit sebaik datang ke sini," kata Hamilton yang sebelum ini menduduki petak ketiga dan keempat dalam sesi kelayakan di Australia dan Malaysia bersama Mercedes.

Pelumba berusia 28 tahun itu yang juga juara dunia 2008, dilapor mengalami alahan debunga.


"Sudah tentu ia membimbangkan tapi saya dapat berehat panjang dan ini adalah hari terbaik. Esok pasti lebih baik." Alonso, juara dunia dua kali gembira dengan pencapaian itu dan menyifatkan hujung minggu itu menyebelahinya.

"Kereta kompetitif sejak semalam. Kereta bertindak balas dengan baik terhadap perubahan yang kami lakukan. Jika semua berjalan lancar, kami boleh berjuang untuk ke podium dengan kedua-dua kereta." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved