Khamis, 6 Disember 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Juadah pelbagai tema

Posted: 04 Oct 2012 07:47 AM PDT

MENU menarik dan menyelerakan mengikut pelbagai tema bakal menemui pengunjung Hotel Impiana sepanjang Oktober ini.

Dimulakan dengan bufet Pan Asian Treats pada harga RM68++ pada setiap Isnin hingga Khamis, pengunjung berpeluang menjamu hidangan Mediterranean pada setiap Jumaat dan Sabtu, sementara Ahad dipenuhi pelbagai juadah tempatan pada harga RM48++ seorang.

Menariknya, ais krim Baskin Robbins turut disediakan sebagai pencuci mulut untuk semua hidangan bufet ini.

Pada masa sama, Tonka Bean juga mengalu-alukan pengunjung merasai bufet tengah hari menu antarabangsa yang menggabungkan cita rasa tempatan pada harga RM58++ seorang.


Ais krim Baskin Robbins sekali lagi menjadi tarikan, selain beberapa variasi pencuci mulut yang pasti menepati selera pengunjung.


Andai ada masa senggang di hujung minggu, Tonka Bean tidak ketinggalan menyediakan bufet minum petang yang menawarkan bermacam hidangan antaranya burger mini, kuih-muih, dim sum, roti jala, sate ayam dan daging, nasi lemak, ayam goreng berempah, sosej, mi kari, piza, apam balik serta ubi sambal.

Tidak sekadar menjamu selera, pengunjung juga berpeluang melihat keindahan sekeliling serta Menara Berkembar Petronas yang terletak berhadapan kafe dalam keadaan tenang tanpa gangguan hiruk-pikuk kota.

Untuk tempahan, boleh hubungi 03-21471111 sambungan 3034 atau 3035.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04



Syukur generasi bebas penjajah

Posted: 30 Aug 2012 09:25 AM PDT

PERASAANNYA berbunga riang sambil melahirkan rasa syukur yang tidak putus-putus setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan berlangsung, malah tidak ketinggalan meraikan hari bersejarah itu bersama-sama jutaan rakyat Malaysia berbilang kaum yang tahu menilai serta menghargai erti kebebasan di tanah air sendiri.

Walaupun lahir selepas merdeka, suri rumah, Noriah Hashim, 49, mampu merasai keperitan kehidupan penduduk negara ini sebelum mencapai kemerdekaan, melalui kisah yang diceritakan suami serta arwah ibu mentuanya yang sering berkongsi pengalaman mengenai penderitaan mereka ketika Tanah Melayu menjadi kawasan jajahan British dan Jepun.

Setiap kali tarikh keramat 31 Ogos menjelang tiba, beliau antara orang yang paling gembira kerana mengenangkan keadaan rakyat negara ini yang dapat hidup aman dan harmoni selepas bebas daripada cengkaman ketakutan akibat duduk di bawah pemerintahan bangsa asing suatu ketika dulu.

Noriah berkata, setiap kali mendengar kisah kepayahan hidup yang diceritakan ibu mentua dan suaminya, beliau berasa betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia yang bukan saja boleh hidup bertolak-ansur bersama kaum lain dalam keadaan damai, malah diuruskan kerajaan yang bertanggungjawab, prihatin dan menjaga kebajikan rakyat.


Daripada apa yang diceritakan kepadanya, dia mendapat tahu kehidupan sebelum merdeka dipenuhi rasa takut yang amat sangat terutama ketika penjajahan Jepun hingga orang kampung tidak mahu keluar rumah kerana bimbang diserang.


"Mereka hidup dalam ketakutan, tidak seperti kita hari ini. Menurut ibu mentua saya, adik-adik perempuannya yang masih muda dan belum berkahwin ketika itu disorok bapanya dan tidak dibenarkan keluar.

"Ibu mentua saya berasal dari Tapah, Perak dan adik-beradiknya semua mempunyai rupa paras yang cantik dengan kulit putih mulus. Disebabkan itu, mereka disorok kerana bimbang diapa-apakan tentera Jepun.

"Sekiranya hendak keluar juga, terpaksa sorok-sorok kerana tentera Jepun ketika itu yang terkenal dengan sikap rakus dan kejam, berani melakukan jenayah sesuka hati mereka termasuk membunuh," katanya.

Menurut Noriah, selain terseksa dari segi emosi kerana tidak bebas dan rasa terkurung, hidup majoriti rakyat di Tanah Melayu ketika itu juga sangat susah dan banyak bergantung kepada ubi kayu sebagai sumber makanan.

Menurut suaminya, peniaga, Mat Daud Ayob, 60, hidup pelajar sekolah ketika itu juga terbatas kerana mereka terpaksa pergi dan balik sekolah dalam keadaan menyorok, malah sesi persekolahan pernah terganggu sementara dengan kehadiran tentera Jepun.

Keadaan pada masa itu sangat berbeza dengan zaman ini. Rakyat Malaysia bukan saja bebas dan hidup aman damai, malah semakin maju mengejar pencapaian setanding negara luar.

"Taraf hidup rakyat ketika ini juga jauh berbeza sekiranya hendak dibandingkan zaman sebelum merdeka kerana ekonomi kita yang semakin kukuh dan nama negara semakin harum di peringkat antarabangsa.

"Saya selalu menceritakan kisah sebelum zaman merdeka seperti yang diceritakan kepada saya dan sering berpesan kepada anak-anak supaya mereka bersyukur dapat tinggal dan menjadi rakyat negara ini.

"Walaupun ke mana kita pergi, Malaysia adalah negara terbaik pada mata saya kerana ia seimbang dari semua segi, tidak seperti sesetengah negara lain yang rakyat hidup melarat biarpun sudah lama maju," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, golongan muda juga harus tahu mengenai kisah sebelum merdeka supaya mereka sedar betapa berharganya nilai kebebasan serta tidak menimbulkan sebarang kekacauan yang boleh merosakkan keharmonian negara.

Beliau bukan saja rasa bersyukur, malah berasa amat beruntung menjadi rakyat negara ini, bersama-sama dengan bangsa lain yang berbilang kaum.

"Tidak perlulah kita hendak bergaduh atau membuat kacau kerana perbezaan fahaman politik kerana apa yang negara ada ketika ini sudah cukup bagus. Kerajaan kita melakukan tugas dengan baik dan tidak perlulah ada pihak yang hendak membuat kacau-bilau," katanya.

Setiap kali Hari Kemerdekaan, rasa bangga menjadi anak Malaysia membuak dalam dadanya. Justeru, dia dan suami sanggup bangun awal pada hari cuti umum itu untuk membawa anak-anak meraikan hari penuh bersejarah di Dataran Merdeka bersama rakyat lain. Ia boleh dikatakan sudah menjadi 'aktiviti tahunan yang wajib' untuk mereka sekeluarga.

Malah, setiap tahun dia sekeluarga akan turut sama menghias rumah dan kereta dengan bendera Malaysia bagi mengingati hari bermakna kepada negara ini.

"Kami juga akan bergerak dari rumah di Kajang ke Dataran Merdeka untuk sama-sama meraikan dan merasai nikmat kemerdekaan yang dicapai sejak 55 tahun lalu bersama rakyat lain.

"Sungguh menggembirakan apabila dapat melaungkan Merdeka bersama-sama rakyat negara ini yang berbilang kaum. Ia menunjukkan majoriti rakyat tahu menghargai erti kebebasan dan keamanan," katanya.

Sementara itu, juruteknik, Abdullah Hashim, 55, yang dilahirkan tepat pada 31 Ogos 1957 berkata, berkongsi tarikh lahir dengan Hari Kemerdekaan sememangnya memberi makna tersendiri kepada dirinya.

Katanya, beliau dilahirkan di rumahnya di Kampung Gelam, Melaka dan hanya menyedari tarikh lahirnya sama dengan sambutan kemerdekaan negara sekitar usia 10 tahun apabila diberitahu bapanya.

"Ketika kecil, saya tidak tahu tetapi apabila sudah mula faham, saya berasa amat bangga dilahirkan sama dengan tarikh negara bebas daripada cengkaman bangsa luar, apalagi rakyat Malaysia beramai-ramai meraikannya," katanya.

Abdullah berkata, beliau sering mendengar cerita betapa susahnya kehidupan zaman sebelum merdeka terutama daripada ibu bapanya di mana kehidupan seharian rakyat pada waktu itu sangat susah dan sentiasa tertekan.

Dia masih ingat bagaimana orang kampung ketika itu sangat takut dengan tentera Jepun hingga pergerakan mereka menjadi terbatas dan tidak dapat keluar rumah kecuali dengan cara menyorok.

"Kekejaman tentera Jepun menyebabkan penduduk takut hingga tidak berani bergerak di luar rumah. Tidak seperti hari ini, tiada rasa takut dan semua orang bebas untuk ke mana-mana saja.

"Apabila kita diisytiharkan merdeka, ia seolah-olah satu nikmat yang sukar diucapkan dan hanya difahami mereka yang pernah hidup tertindas sebelum ini. Hidup rakyat menjadi lebih tenang dan gembira," katanya.

Kisah mengenai zaman sebelum kemerdekaan seharusnya selalu diketengahkan supaya generasi muda tahu betapa seksanya hidup di bawah cengkaman asing dan lebih bersikap patriotik terhadap negara.

Katanya, golongan yang suka menimbulkan kekacauan seharusnya sedar segala ketenangan dan kedamaian yang dikecapi hasil kemerdekaan yang diperoleh dan tidak seharusnya diperjudikan dengan sikap mementingkan diri sendiri.

"Saya tidak setuju dengan perbuatan demonstrasi yang sering diadakan sesetengah pihak kerana bagi saya ia bukan saja membuang masa, malah tidak memberi sebarang faedah kepada bangsa dan negara.

"Generasi muda harus tahu mengenai keadaan sebelum merdeka dan jangan huru-harakan negara kerana sikap mementingkan diri sendiri," katanya.

Abdullah bersama isteri, Sharifah Hashim, 54, dan anak-anak, Shahrul, 27, Nurhaniza, 25, dan Ahmad Shahir, 18, menghias rumah mereka dengan mengibarkan bendera bersaiz besar pada hadapan rumah bagi meraikan hari bersejarah negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/31



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Sekeluarga berpelukan

Posted: 05 Dec 2012 11:43 AM PST

SUNGAI BESAR: "Saya dan keluarga dikejutkan dengan dua bunyi kuat seperti kayu patah berserta angin kencang sebelum sebahagian bumbung rumah diterbangkan.

"Kami sekeluarga hanya berdoa dan berpelukan sambil menangis kerana bimbang ribut memusnahkan rumah dan kami bakal hilang tempat tinggal," kata Mohd Nizam Abd Karim, 30, mengenai kejadian ribut di Kampung Parit 11 Timur, di sini, Isnin lalu.


Dalam kejadian jam 7.15 petang itu, 10 rumah di kampung Parit 11 Timur dan sebuah di Kampung Parit 10 mengalami kerosakan terutama pada bumbung.

Katanya, akibat kejadian itu, Mohd Nizam menanggung kerugian RM10,000 selepas perabot dan peralatan elektrik rumahnya rosak terkena hujan.


Kini, dia bersama isteri, Radziah Md Zakaria, 32, yang sarat mengandung bersama anak mereka, Aidi Yusof, 2, Aidil Mahadi, 5, Aidil Hafiz, 8, menumpang di rumah bapa saudara mereka, Asmawi Nordin, 58, yang terletak berhampiran.


"Walaupun kejadian yang berlaku merosakkan sebahagian besar bumbung rumah, perabot, peralatan elektrik, namun saya bersyukur kerana tidak cedera tambahan pula isteri sarat mengandung," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi mangsa, Rosli Anuar, 39, berkata, akibat kejadian itu, dia kehilangan tempat tinggal dan mengalami kerugian besar berikutan struktur bumbung dan dinding rumahnya rosak teruk.


"Namun saya bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu walaupun hampir keseluruhan bumbung rumah diterbangkan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Wanita Keluarga dan Masyarakat, Muslimin Yahaya dalam lawatannya ke tempat kejadian berkata, dalam kejadian ribut itu, tujuh rumah di Kampung Parit 11 Timur dan sebuah rumah di Parit 10 mengalami kerosakan.


"Tiga rumah didapati mengalami kerosakan hampir keseluruhannya dan kerugian dianggarkan lebih RM10,000 setiap satu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06



Peluang kaki pancing menang hadiah RM50,000

Posted: 05 Dec 2012 11:41 AM PST

KUALA SELANGOR: Hadiah bernilai lebih RM50,000 menanti peserta pertandingan memancing Karnival Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) di Pantai Remis, di sini, Ahad ini.

Pertandingan anjuran MDSB dengan kerjasama Wakjali Event Management itu menawarkan hadiah wang tunai untuk juara bernilai RM30,000 manakala kedua RM10,000 dan ketiga RM5,000.


Pemenang tempat keempat hingga ke-10 bakal menerima RM200 manakala ke-11 hingga ke-30 akan membawa pulang RM100 serta hadiah iringan.

Yuran penyertaan ialah RM80 satu joran dan kaunter pendaftaran dibuka di Pantai Remis bermula jam 2 petang Sabtu ini hingga hari pertandingan.


Menurut Yang Dipertua MDSB, Zailani Kadir, pertandingan memancing itu bermula dari jam 11.30 pagi hingga 4 petang.


"Pertandingan ini bergantung kepada keadaan air pasang surut. Justeru, acara memancing hanya boleh dimulakan pada jam 11.30 pagi berikutan air pasang maksimum pada Ahad ini ialah pada jam 2 petang.

"Penganjur turut menyediakan 10 hadiah cabutan bertuah dan dua cabutan bonanza TV LCD 32 inci,'' katanya. Pertanyaan mengenai acara ini boleh hubungi 013- 3838655, 016-2937741 dan 013-3588206 atau lawati laman web www.wakjali.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Belum temui calon sesuai

Posted: 05 Dec 2012 05:58 AM PST

TIGA tahun memegang status solo, dramatis terkenal Wan Sharmila nampaknya masih belum bertemu pengganti untuk mengisi kekosongan hidupnya. Mungkinkah dia takut atau serik untuk berumahtangga semula selepas keruntuhan rumah tangganya sebelum ini?

Atau mungkin pelakon kecil molek yang dikenali menerusi drama Tari Tirana, Riang Tirana, Sindarela, Kisah Kaisara dan Apa Celop ini terlalu memilih calon suami atau ingin memburu golongan kenamaan atau VIP?

Hakikatnya, pemilik nama sebenar Wan Sharmila Wan Muhamad, 31, mengakui dia memang cerewet untuk memilih calon suami kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

"Sebagai wanita matang dan pernah mengalami kegagalan dalam rumah tangga, saya memang berhak untuk memilih pasangan yang tepat untuk menjadi calon suami.


"Terus terang, saya memang berusaha untuk mengelak dari berkawan dengan suami orang atau merampas hak orang lain. Sebagai wanita yang memegang status janda atau 'Miss J', orang akan fikir sayalah wanita yang jahat jika saya berkawan dengan suami orang," katanya.


Pada masa sama, anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini menafikan dengan tegas dia memilih calon suami di kalangan golongan kenamaan atau VIP untuk hidup mewah.

"Saya tidak kisah siapapun calon suami saya itu sama ada artis atau orang biasa kerana yang penting kami saling menyayangi antara satu sama lain dan dia mampu membahagiakan hidup saya.

"Terus terang, saya tidak mencari atau terdesak mencari pasangan hidup. Namun, sampai sekarang saya masih belum bertemu calon yang sesuai lagi. Memang saya mempunyai ramai kawan lelaki tapi ia tidak lebih dari itu," katanya.

Wan Sharmila pernah berkahwin dengan produser drama, Fazli Baharom selama tiga tahun tetapi mereka bercerai pada 23 Oktober 2009.

Apapun, Wan Sharmila mengakui dirinya seorang yang cukup berdikari, sejak memegang status solo.

"Selepas bercerai semua perkara dari A hingga Z saya lakukan sendiri tanpa bergantung pada sesiapapun. Mungkin sebab itu, lelaki takut untuk mendekati wanita yang terlalu berdikari seperti saya?.

"Saya pula tidak serik untuk berkahwin lagi kerana saya sukakan kanak-kanak dan ingin memiliki ahli keluarga yang ramai. Apatah lagi usia saya yang semakin meningkat saban tahun ini memang sudah layak untuk berkahwin dan membina keluarga. Apapun, soal jodoh ini saya serahkan pada ketentuan Tuhan," katanya.

Wan Sharmila ditemui di sesi ramah mesra drama bersiri untuk Slot Aksi berjudul Spy M terbitan Radius One Sdn Bhd yang berlangsung di Sri Pentas, TV3, di sini, baru-baru ini. Drama arahan Ramli Long ini diterajui barisan pelakon iaitu Sharifah Shahira, Amyza Adnan, Zalif Sidek, Ahmad Daniel, Addy Ashraf dan ramai lagi.

Menyentuh lakonannya dalam drama itu, Wan Sharmila berkata, watak Salsabila yang dilakonkannya dalam cerita itu ada kelainan dan memang diimpikannya, sejak dulu.

"Saya memang minat berlakon dalam cerita aksi dan lasak tetapi keadaan kesihatan tidak mengizinkan selepas menjalani pembedahan di Hospital Prince Court pada Ramadan lalu. Walaupun kesihatan beransur pulih tetapi saya terpaksa menolak bawa watak lasak yang boleh menyebabkan tempat kesan pembedahan itu sakit.

"Saya bersyukur kerana penerbit drama beri sokongan dan memahami keadaan saya ini. Mungkin saya bukan Wan Sharmila yang dulu lagi kerana selepas pembedahan saya berasa cepat penat dan air mineral kini menjadi sahabat baik saya.

"Bila minum air banyak kita kerap ke tandas dan ia agak sukar bila kita terbabit dengan mana-mana 'shooting' drama kerana saya kena pastikan tempat itu ada kemudahan tandas," katanya.

Tak kisah nama tenggelam timbul

WALAUPUN namanya dikatakan agak tenggelam timbul dalam bidang seni, Wan Sharmila yang turut tercalon dalam pencalonan awal kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular, Berita Harian 2012 tidak kisah soal itu kerana tawaran berlakon tidak pernah putus sampai sekarang.

"Orang fikir nama saya agak tenggelam kerana saya tiada cerita panas mahupun kontroversi seperti artis lain. Saya pula tidak suka baca ruangan gosip atau cerita yang memburukkan nama saya mahupun rakan artis di surat khabar sejak dulu. Bila jarang keluar cerita di akhbar sebab itu orang fikir nama saya agak tenggelam sedangkan saya masih wujud dalam industri ini," katanya.

Dalam pada itu, Wan Sharmila berkata, dia tidak ada masalah untuk berlakon dengan produksi milik bekas suaminya, Radius One Sdn Bhd walaupun mereka sudah bercerai.

"Memang sudah lama saya tidak berlakon dengan produksi Radius One tetapi hubungan kami tetap baik sampai sekarang.

Terus terang, saya juga impi untuk bawa watak berat seperti dalam drama Syurgamu Ramadan terbitan Radius One, sebelum ini.

"Projek drama baru pula ialah drama bersiri 20 episod untuk slot Azalea, Debunga Lalang arahan Azma Aizal Yusof. Drama ini dibintangi Noorkhiriah dan Ungku Ismail. Saya bawa watak antagonis dalam cerita ini. Saya juga terima tawaran buat cerita ini kerana ingin bekerja dengan kawan-kawan lama seperti Azma dan Ungku Ismail," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05



Helmi ke Gaza

Posted: 05 Dec 2012 05:27 AM PST

SETIAP individu yang bekerja dalam bidang kewartawanan tentunya berhasrat memberikan sesuatu liputan terbaik yang bermakna dan memberikan impak mendalam terhadap masyarakat.

Pada usia semuda 25 tahun, pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) Helmi Yusof menyifatkan dirinya bertuah apabila dipilih bagi membuat liputan mengenai misi kemanusiaan Gaza Aman Palestin anjuran Aman Palestin, sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Menyertai MHI sejak Julai 2010, lulusan Diploma Penyiaran dari Akademi TV3 (MIM) ini bertolak ke sana pada 5 Disember (semalam) dan akan berada di Gaza sehingga 13 Disember.

Dia bersama 120 sukarelawan Aman Palestin dari seluruh negara akan menuju ke Kaherah, Mesir sebelum bertolak ke Gaza mengikut pintu Rafah. Liputan mengenai misi ini akan dimuatkan menerusi MHI setiap hari serta Majalah Tiga khas pada 22 Disember.


"Sebelum ini saya menimba pengalaman bekerja dalam program 999 dan Bersamamu sebelum diserapkan dalam MHI. Menerusi MHI saya pernah ke Korea Selatan dan Abu Dhabi bagi membuat liputan mengenai Kejohanan Robot Dunia.


"Bagaimanapun terpilih untuk buat liputan misi kemanusiaan yang dinamakan Misi Solidariti Gaza 2012 ini sesuatu yang mencabar dan pada masa sama mengujakan saya. Objektifnya ialah untuk menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia kepada masyarakat di sana.

"Sumbangan bernilai RM1.8 Juta ini adalah dalam bentuk bantuan ubat-ubatan, makanan, bantuan untuk mangsa serangan, anak-anak yatim, warga emas dan bantuan untuk membangunkan industri pertanian di Gaza.

"Rombongan ini diketuai oleh Ustaz Anas Abdul Wahab. Setiap hari, saya dan seorang jurugambar akan mengemaskini perkembangan misi bantuan ini dalam MHI. Pembahagian tugas untuk menyiapkan dua program ini menjadi cabaran yang besar buat kami.

"Selain bertindak sebagai wartawan, saya turut bertindak sebagai penyunting visual dan perlu bijak menangani sebarang situasi yang berlaku. Sebagai persediaan saya turut buat rujukan mengenai sejarah Palestin.

"Saya perlu faham sejarah penindasan rejim Israel terhadap rakyat Palestin dan keadaan politik di sana untuk memudahkan buat laporan. Saya sedar ramai dari kita yang simpati dengan penderitaan rakyat Palestin tapi tak ramai yang bantu kerana kurang faham perkara sebenar.

"Paling penting apa yang dilaporkan akan membawa kesan kepada masyarakat dan secara tak langsung saya akan dapat berdakwah menerusi laporan yang disampaikan.

"Pemergian ini juga menjadi detik bersejarah buat saya kerana akan menyambut sambutan ulangtahun ke-25 pada 10 Disember ini di Gaza. Pelbagai perasaan seperti terharu dirasakan kerana saya sememangnya teringin ke sana.

"Lagipun sebelum ini kita hanya membaca dan melihat laporan media luar mengenai keadaan di sana. Namun kali ini saya berpeluang tengok sendiri penderitaan dan kesengsaraan mereka serta suasana hidup dalam ketakutan.

"Saya nak melalui kesemuanya sendiri dan akan berkongsi dengan penonton. Ini pasti mendatangkan kesan yang mendalam kerana matlamat hidup saya pilih dunia penyiaran adalah untuk berdakwah kepada masyarakat," katanya.

Mengakui mengakui teruja, jauh di sudut hati anak keempat dari enam adik beradik ini tetap risau dengan soal keselamatan. Bagaimanapun dia tawakal dan menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah.

"Pihak pengurusan TV3 menyediakan jaket kalis peluru dan insuran sewajarnya bagi berdepan sebarang kemungkinan. Alhamdulillah pemergian saya juga mendapat restu keluarga," katanya yang turut meminta peminat mendoakan keselamatan mereka.

Perkembangan lanjut mengenai misi mereka boleh diikuti di laman sosial Helmi menerusi www.fb.com/helmitv3.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Jurusolek artis mati dibunuh

Posted: 05 Dec 2012 12:30 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang jurumekap artis ditemui mati dalam keadaan tertiarap di atas katil dengan tangan dan kaki terikat selain lehernya turut dijerut di rumahnya di Jalan Mangga, dekat Jalan Ipoh, di sini, malam kelmarin.

Mayat Othman Hassan, 52, ditemui dengan mukanya tersembam pada tilam dalam sebuah bilik dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam sebelum mayatnya ditemui jam 8 malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mayat mangsa ditemui abang mangsa yang datang ke rumahnya selepas diberitahu mangsa gagal dihubungi sejak dua hari lalu.

"Mangsa yang memakai baju-T dan seluar pendek ditemui dalam keadaan tangan dan kakinya diikat, selain lehernya dijerut. Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada kesan pecah masuk. Oleh itu polis percaya mangsa dibunuh individu dikenalinya," katanya pada sidang media di sini, semalam.


Ku berkata, Othman tinggal seorang diri dan siasatan awal menunjukkan sebelum kematiannya, mangsa dipercayai melakukan hubungan seks.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06



Tulang hancur

Posted: 05 Dec 2012 12:30 PM PST

GAZA: "Saya hanya mampu melihat anak gadis saya terpelanting dan terperosok di bawah timbunan dinding rumah sebelum mati akibat parah di kepala," kata Shahida Mohamed, 56, menceritakan detik kematian anaknya selepas rumah mereka dibom tentera Israel, 15 November lalu.

Akibat serangan yang dilakukan ketika azan Maghrib berkumandang itu, Shahida turut parah apabila tulang lutut kaki kirinya hancur ditimpa bumbung rumah manakala anak perempuannya, Yusrah Abdullah, 20, mati serta-merta.


Shahida yang ditemui di Hospital Al Shifa, di sini, berkata, ketika kejadian dia memasak di rumah bersama Yusrah sebelum beberapa jet pejuang F-16 milik Israel melintasi ruang udara Gaza dan menjatuhkan bom dan roket.

"Letupan demi letupan kuat berlaku sebelum dinding dan bumbung rumah kami turut berkecai. Saya terpelanting dan terperosok di bawah timbunan dinding rumah.


"Yusrah mati serta-merta akibat ditimpa tiang dan bumbung rumah di kepala dan saya hanya mampu melihatnya tanpa mampu berbuat apa-apa," katanya berlinangan air mata.


Kecederaan Shahida akibat serangan tentera Israel itu menyebabkan tulang lutut kakinya pecah manakala isi daging betisnya turut hancur.

Seorang lagi mangsa, Yusuf Kareem, 45, hancur tulang ke dua kakinya akibat ditembak dengan roket milik tentera Israel.


Dalam kejadan 18 November lalu, mangsa cedera parah selepas terkena serpihan peluru roket menusuk masuk ke dalam daging kakinya menyebabkan tulang mangsa patah remuk hampir di semua bahagian.

"Sakit yang saya alami terlalu azab untuk dibayangkan. Tulang kaki saya hancur dan doktor berusaha memulihkannya dengan memasang besi sebagai ganti.


"Saya hanya orang awam yang tidak bersenjata. Mereka (tentera Zionis) seolah-olah mendapat kepuasan dengan membunuh penduduk Gaza," katanya.


Kesengsaraan sama turut dialami seorang anggota polis Palestin, Usama Mohamad Abu Saad, 48, yang cedera parah ditembak jet pejuang Israel, 18 November lalu.


Dalam kejadian lewat petang itu, beberapa jet pejuang F-16 milik tentera Israel melepaskan roket serta menjatuhkan bom ke arah balai polis terletak di pinggir Gaza City, di sini.


Menurutnya, ketika kejadian, dia berada tidak jauh dari balai polis berkenaan sebelum berpuluh ledakan kuat berlaku dan meruntuhkan bangunan balai polis itu.


"Pada masa sama, saya ditembak di belakang tubuh dipercayai dilepaskan dari jet pejuang Zionis.


"Akibat tembakan itu, saya tidak sedarkan diri sebelum dipapah orang ramai ke hospital Al Syifa. Memang sakit ketika itu dan saya sangka akan mati," katanya.


Menurutnya, dia bernasib baik peluru tidak menembusi organ utama tubuhnya.


Walaupun tidak boleh bergerak kini, saya bersyukur kerana terselamat. Malah, saya mendapat tahu seluruh bangunan balai polis ranap dihujani roket dan bom.


"Ada rakan saya yang mati syahid. Saya cemburu mereka bakal menjadi ahli syurga kerana berjuang untuk Islam," katanya.


Tinjauan Harian Metro mendapati bilangan pesakit akibat serangan tentera Zionis bermula 14 November lalu berkurangan di Hospital Khan Younis dan Al Syifa.


Pada masa sama, lebih 10 doktor dari Sudan secara sukarela didapati turut bertugas di hospital itu untuk memberi bantuan kepada pesakit sejak kelmarin. Bantuan kecemasan diberikan NGO antarabangsa dari Tukri dan Mesir termasuk ubat-ubatan dan doktor pakar sedikit sebanyak membantu pihak hospital di Gaza merawat ribuan pesakit yang dihantar ke hospital ketika perang meletus.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


DJ radio perdaya jururawat Kate

Posted: 05 Dec 2012 10:32 AM PST

LONDON: Deejay sebuah stesen radio di Australia yang menipu jururawat yang merawat Duchess of Cambridge, Kate Middleton yang hamil dengan menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles.

Mel Greig dan Michael Christian mencetuskan kemarahan kepada keluarga diraja selepas berjaya memperdaya jururawat yang merawat Kate agar mendedahkan maklumat lanjut mengenai rawatan diterima Kate. Mereka terkejut apabila disambungkan terus kepada jururawat yang merawat Kate selepas menghubungi Hospital Raja Edward VII. Jururawat itu menjaga Duchess of Cambridge selepas mengalami mabuk kehamilan yang kronik.


Jururawat itu memberikan maklumat terperinci mengenai keadaan Kate.

Hospital berkenaan semalam mengesahkan panggilan daripada Mel dan Christian yang muncul dalam stesen radio Australia, 2Day FM adalah benar. Pihak hospital berkata, mereka akan mengkaji semula prosedur panggilan telefon dan mengkritik insiden itu sebagai "panggilan palsu bodoh yang amat dikesali".


Jurucakap hospital berkata: Kakitangan Hospital Raja Edward VII, Sister Agnes mengesahkan bahawa stesen radio Australia membuat panggilan palsu kepada pihak hospital pada awal pagi kelmarin.


"Panggilan itu dipindahkan ke wad dan perbualan ringkas berlangsung dengan seorang daripada jururawat bertugas. Hospital ini benar-benar menyesali insiden itu," katanya.

Ketua Eksekutif hospital itu, John Lofthouse berkata: "Ini adalah panggilan palsu bodoh yang amat kami sesali.


"Kami sangat mengambil berat dengan privasi pesakit dan kami kini sedang mengkaji semula protokol panggilan telefon yang diterima," katanya.

Panggilan itu dibuat selepas Putera William beredar setelah menemani isterinya selama enam jam dengan berjaga malam.


Keadaan Kate dikatakan semakin bertambah baik tetapi akan terus menerima rawatan selama beberapa hari lagi. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06



Aksi ular sawa Afrika Selatan telan anak seladang dirakam

Posted: 05 Dec 2012 10:30 AM PST

JOHANNESBURG: Aksi seekor ular sawa Afrika cuba menelan seekor haiwan liar dirakam pegawai taman haiwan semalam.

Kelihatannya mata ular itu lebih besar daripada perutnya ketika ia ditemui di kawasan semak di Afrika Selatan ketika cuba untuk menelan haiwan itu.


Foto penemuan mengerikan itu dirakam di taman haiwan Welgevonden, Afrika Selatan oleh pengurusnya, Rudi Hulshof.

Hulshof, 35, berkata: "Ini kali pertama saya menyaksikan sesuatu seperti itu dan saya sudah bekerja sebagai renjer taman ini selama 15 tahun di Afrika Selatan, selain berkunjung ke negara Afrika lain.


"Ini pemandangan yang amat jarang berlaku dan setahu saya yang pertama direkodkan, jauh sekali rakaman foto dan dokumentari memaparkan ular sawa Afrika Selatan menangkap mangsa sebesar anak seladang.


"Memang perkara biasa untuk ular sawa menangkap mamalia hidup, tetapi selalunya terdiri daripada spesies lebih kecil seperti arnab, kambing impala, antelop, tupai, burung dan tikus. "Namun, menangkap sesuatu sebesar ini tidak pernah terlintas di fikiran. Dapat dilihat bagaimana ular sawa itu membuka mulutnya sebesar-besarnya dan cuba untuk menelan mangsanya," katanya. "Saya lihat ular itu hanya diam di atas tanah. Apabila mendekatinya saya nampak ia sedang menelan anak seladang yang berusia dua bulan.

"Saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya saksikan sebelum berlari ke jalan raya secepat mungkin. "Saya perlu mendapatkan kamera saya dan merakam foto itu serta membenarkan pengunjung turut merakamnya sebelum matahari terbenam dalam tempoh beberapa minit lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Hilang pening!

Posted: 05 Dec 2012 10:24 AM PST

SEGALA kebimbangan yang bersarang di hati penyerang Harimau Malaya, Mohd Safee Sali mengenai masa depannya kini terhapus selepas mengikat kontrak setahun secara pinjaman dengan Johor kelmarin.

Perpindahan mengejutnya ke Johor yang kini dikenali sebagai Darul Takzim FC itu sebagai langkah terbaik untuk menyelamatkan kariernya dalam tempoh terdekat memandangkan dalam situasi yang tidak menentu bola sepak Indonesia.


Kelabnya, Arema Indonesia membenarkan Safee dipinjamkan ke kelab luar untuk tempoh semusim berikutan kelab itu tidak mampu memberi jaminan sekiranya Fifa akan menggantung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) pada 10 Disember ini berikutan kemelut dalaman yang melanda bola sepak negara itu.

Meskipun membuat keputusan dalam masa yang singkat, Safee yakin keputusannya itu membolehkannya memberi keutamaan kepada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.


"Johor mahu urusan perpindahan ini diselesaikan dengan cepat kerana tarikh tutup pendaftaran pemain Liga Malaysia pada 6 Disember ini (hari ini).


"Saya rasa lebih tenang dan lega apabila perkara ini selesai dan ia tidak lagi mengganggu persiapan menghadapi Thailand," katanya.

Safee, 28, memulakan karier di Indonesia pada Februari 2011 bersama Pelita Jaya FC dan bergelar pemain jutawan selepas ditawarkan kontrak lanjutan oleh kelab itu selama dua tahun dengan nilai lebih RM2 juta.


Katanya, mengikut kontrak pinjamannya, dia boleh dipanggil bermain dengan Arema Indonesia semula jika diperlukan selepas enam bulan.

"Saya tidak pasti sejauh mana situasi PSSI, jadi ini adalah cara untuk saya menyelamatkan karier saya buat masa ini.


"Tapi jika PSSI tidak dikenakan tindakan, kelab saya boleh memanggil saya semula namun perlu mendapat persetujuan bersama dengan Johor," katanya.


Safee, pemain kelahiran Kajang, Selangor itu dilaporkan menerima gaji lebih tinggi dengan Johor berbanding RM91,215 sebulan yang diterima daripada kelab asalnya.


Penjaring terbanyak AFF 2010 itu berharap dapat kembali sembuh daripada kecederaan otot paha untuk beraksi menentang Thailand.


Selain Safee, pemain lain yang bakal beraksi bersama Johor termasuk ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim serta pasangan kembar Mohamad Aidil Zafuan dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak dan seorang lagi penyerang negara Norshahrul Idlan Talaha.


Safee berkata dia akan menyertai latihan bersama pasukan Johor selepas berakhir Piala AFF.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06



Real ganas

Posted: 05 Dec 2012 10:06 AM PST

MADRID: Real Madrid membelasah Ajax 4-1 di Bernabeu awal pagi semalam namun kelab Belanda itu masih mampu menamatkan saingan Kumpulan D Liga Juara-Juara di tangga ketiga dan berpeluang beraksi pada final Liga Europa di gelanggang sendiri, Amsterdam Arena.

Ajax mengatasi Manchester City yang menamatkan kempen di tangga tercorot kumpulan selepas tewas 0-1 di tangan Borussia Dortmund.


Jose Callejon meledak dua gol buat Real yang sudah memastikan tempat di tangga kedua dan Cristiano Ronaldo dan Kaka pula masing-masing menyumbang satu gol.

Derk Boerrigter menghasilkan gol pada minit ke-59 untuk menjadikan kedudukan 3-1 namun Ajax selepas itu gagal memberikan ancaman kepada juara Eropah sembilan kali itu.


"Kami menamatkan saingan di tangga ketiga dengan dibarisi pemain muda dan kami seharusnya berbangga," kata jurulatih Ajax, Frank de Boer.


"Kini kami berpeluang untuk mara ke final Liga Europa di stadium kami sendiri. Ia bukan mudah, ada beberapa pasukan yang bagus dalam kejohanan itu tapi ia kejohanan yang menawarkan hadiah yang menarik." De Boer berkata masih banyak yang perlu dipelajari pasukannya berikutan kekalahan di Bernabeu.

"Saya kecewa kami tidak berada di tahap terbaik," katanya. "Real Madrid pasukan yang hebat tapi kami mempunyai lapan pemain yang beraksi di bawah keupayaan sebenar. Bermain dengan cara seperti itu, kami tidak akan berjaya.


"Pemain ini perlu belajar untuk mempamer permainan terbaik dalam perlawanan seperti ini. Hanya dengan cara itu kami berharap boleh melakukan pasukannya kejutan." Jurulatih Real, Jose Mourinho merehatkan beberapa pemain utama antaranya, bintang antarabangsa Sepanyol, Iker Casillas, Sergio Ramos dan Xabi Alonso, namun pemain gantian memberikan persembahan yang tidak mengecewakan.

Malah Mourinho juga begitu yakin dengan menurunkan pemain berusia 17 tahun dari skuad remaja, Jose Rodriquez membuat penampilan pertama, menjadikannya pemain termuda kelab itu tampil dalam kempen Liga Juara-Juara.


"Kami perlu menghormati semua pasukan," kata Mourinho yang kini memberi fokus kepada saingan pusingan kedua. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06



Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved