Rabu, 16 Januari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Pencapaian diiktiraf dunia

Posted: 16 Jan 2013 06:55 AM PST

BERBUAL dengan ibu kepada tiga cahaya mata ini ibarat bertih digoreng, lancar bagaikan tiada noktah. Setiap baris ayat keluar dari mulutnya memberikan motivasi kepada sesiapa yang mendengar. Bijak, penuh kelembutan dan berhemah dan pada masa sama, sangat keras, berdisiplin dan seorang yang mementingkan pendidikan anak-anak antara personaliti dapat menggambarkan dirinya.

Mungkin benar kayu ukur kejayaan seseorang itu dapat dilihat menerusi cara dia dibesarkan dan di mana mendapat didikan. Zaman kanak-kanak yang dilalui wanita ini agak berbeza. Dipukul, dirotan, diikat pada pokok, direndam dalam kolah berisi air, antara hukuman yang pernah diterimanya.

Anak-anak tidak dibenarkan membantah dan perlu menerima keputusan ibu bapa dalam semua perkara. Peliknya walaupun diberikan hukuman menyakitkan, masing-masing tidak memberontak malah menunjukkan rasa hormat serta disiplin yang tinggi terhadap orang tua.

"Cara didikan dulu dan sekarang sangat berbeza. Ibu bapa terdahulu menggunakan pukulan untuk mendidik anak berbanding sekarang, pendekatan psikologi dan berdiplomasi menjadi pilihan. Ada juga yang mengatakan kekerasan akan membuatkan anak-anak tidak hormat ibu bapa dan menyebabkan mereka kurang kasih sayang.

Foto

PENCAPAIAN tertinggi apabila memenangi Anugerah Stevie di New York, Amerika Syarikat.

Foto

PEMILIK francais Smart Reader Kids, Nor Hidayawati berani dan bersemangat kental.


"Tapi pada saya, kaedah sebegini menyebabkan saya menjadi manusia seperti sekarang," ujar pemilik francais Smart Reader Kids, Datin Nor Hidayawati Jaafar.


Menurutnya, apa yang diajar ibu bapanya dulu dipraktikkan kepada tiga anak-anaknya, Nur Aisyah Misran, 7, Aiman Danial, 6, dan Adam Danial, 4. Dia mengakui sangat bertegas dengan mereka dan memukul sekiranya melakukan kesalahan besar.

Pukulan tidaklah sehi­ngga mencederakan sebaliknya sekadar peringatan supaya mereka tahu apa yang dilakukan salah dan tidak akan mengulanginya. Psikologi pula hanya digunakan dalam sesetengah keadaan. Hasilnya, anak-anak menjadi lebih menghormati ibu bapa dan faham apa yang sepatutnya mereka lakukan sebagai seorang anak.

"Memang ramai ibu bapa tidak menggunakan pendekatan sebegini kerana lebih yakin kepada psikologi. Namun saya percaya, asuhan serta cara didikan orang terdahulu termasuk ibu bapa saya menjadikan kami enam beradik berjaya, berdisiplin serta menghormati orang tua," katanya yang sangat berterima kasih kepada bapa, Jaafar Ab Wahid atas didikan diberikan kerana dari situ, dia diasuh untuk berjiwa kental, tidak takut cabaran serta berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

Buktinya pada usia 33 tahun di saat orang lain masih tercari-cari bidang perniagaan yang ingin diceburi, dia sudah mempunyai enam cawangan Smart Reader Kids di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Malah bersama rang­kaian francais pendidikan terbesar ini, dia memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa dan kebangsaan antaranya menerima Anugerah Usahawan Francais Wanita 2011 di Stevie Awards New York, Amerika Syarikat, Anugerah Usahawan 2008 (Malaysia-Canada Business Council), Anugerah Usahawan Muda 2008 dan Anugerah Francaisi 2009 (Persatuan Francais Malaysia) selain merangkul Kategori Platinum dan Diamond pada Malam Anugerah Francaisi Smart Reader Worldwide pada 2009 dan 2010.

"Semua anugerah ini memberi semangat kepada saya untuk terus memberikan yang terbaik dalam pendidikan prasekolah. Malah, kejayaan merangkul anugerah Stevie paling besar kerana membabitkan semua wanita dari seluruh dunia," jelasnya.

Bercerita lanjut bagaimana boleh menceburi perniagaan francais pendidikan dan bukannya makanan atau fesyen, wanita kelahiran Banting, Selangor ini mengakui pada mulanya dia ingin membuka restoran namun pada usia masih muda iaitu 23 tahun, ramai kurang yakin kemampuannya. Namun suatu hari dia melihat pencapaian anak saudara yang dihantar di sekolah Smart Reader Kids dan dari situ, dia mula tertarik.

"Saya teruja melihat kebolehan anak saudara yang cepat menguasai pelajaran dan boleh membaca pada usia empat tahun. Lantas saya nyatakan keinginan kepada suami untuk membuka perniagaan francais. Suami memberikan soko­ngan yang tidak berbelah bahagi menyebabkan saya bertekad ingin melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

"Selepas mendapat mak­lumat yang jelas, saya semakin tertarik. Menerusi francais ini saya tidak perlu membuat penyelidikan mengenai pasaran dan sistem pembelajaran kerana semua sudah disediakan. Apa yang perlu saya lakukan hanya mengikut apa yang sudah ditetapkan.

"Ini memudahkan saya menguruskannya selain menjaga kualiti sekolah dan pembelajaran kanak-kanak," jelasnya yang membuka cawangan pertama di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi pada 2005.

Selepas dua tahun beroperasi, sambutan diterima sangat menggalakkan sehingga tidak mampu menampung jumlah pelajar. Ini mendorong Nor Hidayawati membuka cawangan seterusnya sehingga menjadikannya enam cawangan setakat ini.

Menurut lepasan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Putra Malaysia ini, selain mata pelajaran asas seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik dan Sains, Nor Hidayawati menambah mata pelajaran fardu ain, jawi dan solat di setiap cawangan atas permintaan ibu bapa.

"Ini sebagai memenuhi permintaan ibu bapa yang sangat mementingkan pendidikan agama di peringkat prasekolah. Menyedari hal ini saya menambah kelas agama yang diajar ustaz dan ustazah selain menekankan pembelajaran asas sebagai persediaan memasuki tahun satu," ujarnya.

Lapan tahun berkecimpung dalam bidang ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak cabaran terpaksa dilalui terutama dalam memastikan kualiti pembelajaran serta pe­nyediaan tenaga pengajar terlatih dalam bidang masing-masing.

Kini, anak-anak semakin bijak, ibu bapa pula mahukan yang terbaik serta sanggup mengeluarkan belanja untuk mendapatkan pendidikan.

"Sebagai pengetua dan pemilik francais, menjadi tanggungjawab menyediakan guru yang mampu memberikan pengajaran terbaik kepada anak-anak prasekolah. Sebab itu saya sangat mementingkan keselesaan tenaga pengajar supaya mereka kekal dalam tempoh yang lama.

"Sekiranya guru sering bertukar ganti ia turut menjejaskan pembelajaran serta memberi kesan kepada kualiti sekolah. Selain itu, keselamatan turut diberi penekanan kerana ia menjadi sebahagian tanggungjawab pihak sekolah," jelasnya.

Sepanjang lapan tahun dalam bidang pendidikan kanak-kanak itu juga, dia menjadikan ketiga-tiga anaknya sebagai bukti untuk melihat setiap perubahan yang berlaku kepada mereka. Setiap perkara positif dijadikan panduan dalam menyampaikan pendidikan di sekolah.

Dengan perkembangan teknologi yang bergerak pantas juga persekitaran semasa yang memerlukan ibu bapa sentiasa berfikiran terbuka dan positif, Nor Hidayawati yakin mampu meneruskan perjuangan dalam mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Pada masa sama, dia bertekad menjadikan Smart Reader Kids jenama pendidikan kanak-kanak terunggul di Malaysia.

Dia juga berharap dalam masa terdekat dapat meningkatkan mata pelajaran pendidikan Islam menjadi lebih bersepadu sesuai de­ngan kehendak serta keperluan semasa.

"Cadangan untuk menambah mata pelajaran agama sudah ada sejak dulu lagi. Namun apabila pihak pengurusan mencadangkan supaya aspek keagamaan diberi penekanan pada tahun akan datang, ia sesuatu yang cukup menggembirakan.

"Ini kerana apabila modul mata pelajaran sudah ada, ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Elak rambut keriting kusut

Posted: 16 Jan 2013 06:32 AM PST

Kira-kira 56 peratus wanita berambut keriting memerlukan perbelanjaan anggaran sehingga RM79.80 atau lebih setiap bulan untuk rejim penjagaan rambut mereka.

Wanita atau lelaki yang memiliki tekstur rambut sebegini secara purata membeli sekurang-kurangnya tiga jenis produk setiap bulan berbanding rambut lurus yang hanya memerlukan satu rang-kaian penjagaan untuk kekal menawan.

Ini kerana mereka yang berambut keriting kerap menghadapi masalah rapuh berbanding rambut jenis lain. Struktur rambut bergulung menyebabkan kutikel terangkat dan melemahkannya sekali gus menjadikan ia terasa kasar.

Bentuk tidak sekata menyebabkan kutikel diangkat itu memberi kesan kepada struktur dalamannya sehingga menjadikan rambut terdedah kepada pelbagai masalah selain menjadikan strukturnya lemah dan memerlukan penjagaan rapi.


Karakter rambut keriting boleh dilihat menerusi jenisnya sama ada halus, sederhana atau kasar. Jenis rambut keriting asli cenderung untuk menjadi lebih rapuh berbanding rambut lurus.


Selain itu, masalah rambut sukar diuruskan juga biasa berlaku di kalangan pemilik rambut keriting asli kerana ia mudah mengembang apabila kering.

Tambahan pula, gulungan pada rambut boleh melemahkan gentian yang menyebabkan terjadinya masalah bercabang atau rapuh di titik tekanan.

Apabila rambut menjadi kasar, itu petanda ia memerlukan pelembap untuk menyingkirkan atau menghalangnya daripada menjadi kusut dan mengembang.

Selain itu, kelembapan disebabkan kehadiran wap air pada rambut juga me-nyumbang kepada masalah rambut mengembang yang akan terjadi serta-merta apabila kering.

Memahami masalah sering dihadapi pemilik rambut keriting, Redken memperkenalkan rangkaian penjagaan rambut terbarunya, Curvaceous di Salun Toyako yang mengandungi syampu, perapi dan serum.

Teknologi Curl Memory Complex direka khas bertujuan memberi penjagaan terbaik bagi menghadapi cabaran rambut keriting seperti kering, kasar, kusam dan mengembang.

Penggunaan minyak moringa atau kacang kelor mengurangkan kekeringan untuk membantu proses dehidrasi dengan rangsangan menyegarkan bagi memberi kesan rambut lebih bersinar.

Gabungan minyak moringa dan pelindung sinaran matahari membantu memulihkan serta mengekalkan sinaran setiap gulungan rambut.

Tiga bahan yang digunakan seperti keralink iaitu protein khusus diadun bersama polimer, asid amino dan sumber protein akan bertindak dalam keadaan sama ada rambut basah atau kering.

Fakta:

Gaya rambut keriting yang boleh dicuba:

Keriting bob

Ia sesuai untuk mereka yang begitu gemar dengan potongan rambut sederhana pendek bagi mengubah gaya sempena tahun baru ini.

Lihat saja gaya ditampilkan Marion Cotillard dan Rosario Dawson sebagai ilham untuk dicuba. Gaya ditonjolkan lebih anggun dan tampak ringkas.

Gunakan pin rambut untuk memberi kemasan bagi menonjolkan alunan lebih lembut dan tampak elegan. Biarkan sedikit rambut mengurai di bahagian depan untuk tampil menarik dan jangan lupa, gunakan semburan rambut sebagai kemasan terakhir sebelum melangkah keluar bertemu teman.

Keriting baloney

Bagi yang ingin tampil berbeza, cuba gulungan rambut yang kelihatan lebih padat dan besar bagi menghilangkan rasa bosan dalam bergaya.

Tampil glamor dan menarik ketika bersantai dengan gaya baru keriting ini sememangnya dapat mengubah gaya secara langsung bagi mereka yang memiliki rambut lurus.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Caj parkir diselaras

Posted: 15 Jan 2013 03:04 PM PST

Kuala Lumpur: Warga kota yang sebelum ini terpaksa menanggung kos meletak kereta yang tinggi kini boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) menyelaraskan caj letak kereta mengikut zon dengan nilai siling tertentu bermula semalam.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, langkah itu berikutan pihaknya menerima banyak rungutan daripada pengguna terhadap segelintir operator persendirian yang tidak bertanggungjawab mengenakan caj terlalu tinggi tanpa kawalan hingga membebankan mereka.


"Justeru, kita menetapkan kadar siling caj bayaran letak kereta mengikut jam yang dibenarkan di kawasan perancangan pusat bandar adalah RM3 hingga RM6 (dalam bangunan); RM3-RM5 (kawasan lapang); RM4-RM8 (hotel) dan RM3-RM6 (lain-lain tempat atau kategori). Bagi setiap jam berikutnya caj dibenarkan antara RM1-RM2 untuk semua kategori.

"Bagi kawasan perancangan luar pusat bandar bagi jam pertama adalah RM1 hingga RM4 (dalam bangunan); RM1-RM3 (kawasan lapang); RM3-RM5 (hotel) dan 50 sen-RM2 (lain-lain tempat atau kategori). "Manakala penggunaan letak kereta di bawah 15 minit adalah percuma untuk semua kategori," katanya pada Majlis Pengumuman Garis Panduan Kadar Caj Tempat Letak Kereta Persendirian bagi Kuala Lumpur dan Perasmian Tempat Letak Kereta Wanita dan Sistem Panduan Tempat Letak Kereta KLCC di sini, semalam.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KWPKB, Datuk Hasim Ismail; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib; Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Properties Holdings, Hashim Wahir dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nor. Bagi operator letak kereta yang melaksanakan kadar rata di kawasan perancangan pusat bandar caj siling adalah antara RM5 hingga RM10 tertakluk kepada bayaran maksimum tidak melebihi RM20 sehari. Bagi kawasan di luar perancangan pusat bandar kadar rata yang dibenarkan RM1-RM5 tertakluk kepada bayaran maksimum tidak melebihi RM15 sehari.


Manakala bagi penunggang motosikal, caj dikenakan adalah sekali masuk dengan caj siling antara RM1-RM2.

Foto

RAJA Nong Chik (tiga dari kiri) merasmikan petak letak kereta wanita.

Sementara itu, Nong Chik berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan syarat agar setiap bangunan komersial perlu menyediakan sekurang-kurangnya tujuh peratus daripada keseluruhan tempat letak kereta yang dikhaskan untuk wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Impian penghibur Acheh

Posted: 15 Jan 2013 12:03 PM PST

Sememangnya penantian itu satu penyiksaan, namun tidak bagi pendatang baru seni suara Indonesia, Yuka Kharisma. Bahkan, tempoh lima tahun diambilnya untuk menimba pelbagai pengalaman mempersiapkan diri sebagai penghibur dirasakan langkah yang cukup tepat.

Apatah lagi, hanya berbekalkan secebis pengalaman sewaktu menyertai program realiti TV popular, Indonesian Idol musim kelima lalu yang membuka langkahnya dalam bidang seni diakui masih tidak kukuh untuk dijadikan batu loncatan pada kejayaan diimpikan.

Bersua dengan Yuka pada sesi fotografi khas diatur dengannya di Butik Cosry Purple Label, The Curve, Mutiara Damansara, kelmarin mengungkap kisah kedatangannya ke negara ini.

Kata gadis berusia 25 tahun dari Acheh ini, dia kini sudah menghasilkan dua single baru hasil kerjasama dengan komposer ternama Indonesia, Pay dan Dewiq yang pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi terkenal Indonesia seperti Rossa, Agnes Monica dan Krisdayanti.


"Bekerjasama dengan mereka adalah peluang keemasan tidak diduga. Saya amat berbesar hati dapat mendendangkan lagu Kita Harus Percaya dan Ku Bersedia ciptaan Pay dan Dewiq itu. Apatah lagi, ia ternyata bukan peluang mudah tanpa usaha gigih yang saya lakukan sepanjang lima tahun ini.


"Saya melihat bukan senang untuk menjadi seorang penghibur yang berjaya. Ia pastinya memerlukan waktu dan usaha keras tanpa jemu untuk saya mempersiapkan diri dalam memantap­kan persembahan serta mematangkan vokal," katanya.

Yuka yang turut berkebolehan mencipta lagu berkata, dia sangat bersyukur kerana sering menerima undangan nyanyian di Indonesia dan Malaysia.

"Bagaimanapun, untuk percubaan awal ini saya lebih bersedia mendendangkan lagu ciptaan komposer lain seperti Pay dan Dewiq. Apa lagi, dua lagu dihasilkan mereka itu cukup sesuai dengan vokal dan selesa juga pada jiwa saya yang meminati muzik pop.

"Apapun, diharapkan ia diterima baik pendengar muzik di Malaysia seiring dengan impian saya untuk mencuba nasib menembusi pasaran di sini. Saya juga bekerjasama dengan komposer Malaysia iaitu Azlan Abu Hassan," kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Berbicara mengenai pembabitannya dalam Indonesian Idol, Yuka berkata, pencapaiannya tidak­lah sehebat mana kerana tersingkir awal, tetapi apa
yang penting ia bukanlah suatu pengakhiran baginya untuk menggilap bakat nyanyian dimiliki.

"Dalam soal ini, saya sentiasa percaya bahawa bersandarkan kemahuan pasti ada jalannya. Malah, fokus juga penting untuk membangkitkan semangat diri yang mana harus sentiasa percaya pada bakat dimiliki apa lagi tidak mudah berputus asa.

"Bukan itu saja, saya juga berlatih setiap hari kerana ia adalah proses pembelajaran yang berterusan.

Jangan cepat berasa selesa kerana sebenarnya masih banyak harus diperbaiki untuk menjadi lebih baik," katanya yang diuruskan Mentari Management untuk proses rakaman lagu dan publisiti.

Memiliki ketinggian 171 sentimeter, gadis berkulit putih persis model ini memaklumkan dia kini selesa hanya bergelar penyanyi saja dan tidak pernah lagi terlintas di fikirannya untuk aktif di pentas peragaan.

Bersedia menimba pendedahan dan pengalaman menyanyi di kelab dan pusat beli-belah, Yuka berkata, dia juga bukan seorang yang terlalu cerewet, baginya sudah memadai asalkan tempat itu sesuai untuk dia berkarya dan menonjolkan bakat.

Pernah menetap di Malaysia

Mendapat sokongan sepenuhnya daripada ibu bapa dan keluarga untuk aktif sebagai penyanyi, Yuka memilih untuk mencuba nasib menembusi pasaran muzik Malaysia kerana yakin dengan penerimaan baik daripada pendengar di negara ini.

Apatah lagi, Yuka turut berpengalaman menetap di negara ini selama dua tahun pada 2003 kerana mengikut bapanya, Rudi Kardiman yang bertugas di Sungai Petani, Kedah. Malah, Yuka juga pernah bersekolah menengah di sini.

Berkongsi kisah lalunya yang pernah menetap di Malaysia, Yuka berkata antara negara ini dan tanah air tumpah darahnya, Indonesia tidak banyak beza. Ujarnya, bahasa dan budaya Malaysia juga tak jauh beza dengan Indonesia.

"Bahkan, makanan pilihan juga tiada bezanya kerana penduduk Malaysia dan Indonesia selesa memilih nasi sebagai juadah harian. Malah, di Malaysia juga cukup popular dengan nasi lemak manakala Indonesia tentunya ayam penyet.

"Bagaimanapun, kedua-duanya tetap saja enak. Bahkan, apa yang pasti saya boleh sesuaikan diri dengan masyarakat di sini. Tiada masalah rasanya dan atas sebab itu juga diharapkan single saya ini akan menjadi kesukaan ramai," katanya.

Pun begitu, mende­ngarkan lenggok vokal Yuka ini, ia persis seperti Bunga Citra Lestari dan ada kalanya umpama Anggun Cipta Sasmi. Namun, Yuka menegaskan dia seorang penyanyi tersendiri yang tidak cuba meniru sesiapa.

"Saya selesa menyerahkan segala penilaian dibuat oleh pendengar. Ini kerana, berdirinya saya di dalam industri muzik ini berpaksikan bakat seni sendiri. Justeru, jauh sekali untuk saya meniru gaya sesiapa.

"Oleh itu, saya tidak pernah bimbang atau marah sekiranya ada pendengar mengatakan vokal saya mirip Bunga atau Anggun kerana mungkin ia secara kebetulan. Pada saya, Yuka masih tetap berdiri teguh dengan identiti sendiri," katanya.

Apatah lagi, sebagai insan seni dia me­ngakui amat mengharapkan karyanya dihargai. Yuka berkata memang menjadi harapan utamanya pun untuk dikenali ramai dengan bakat seni dimiliki. Malah, tidak salah dia mencuba.

Meminati muzik sejak kanak-kanak, Yuka berkata penghibur antarabangsa yang menjadi digemarinya ialah Whitney Houstan, Mariah Carey dan Sting. Manakala, penyanyi Malaysia yang cukup dikagumi pula adalah Ning Baizura dan Datuk Shiela Majid.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15

Kenangan 'road tour' di Midwest

Posted: 15 Jan 2013 05:20 AM PST

MEMBUKA kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro khususnya 'team' RAP yang memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk menulis bagi kolum sendiri mulai hari ini, setiap Rabu, dua kali sebulan. Tahniah buat Harian Metro/ Metro Ahad kerana sudah berwajah baru sejak kita melangkah ke 2013 dan saya gembira kerana menjadi ahli keluarga baru di akhbar terkemuka ini.

Satu lagi fasa baru buat diri saya untuk berkongsi apa yang pernah, sedang dan bakal saya lalui. Ketika ini saya masih berada di Amerika Syarikat dan akan pulang ke Malaysia pada hujung minggu ini atas beberapa urusan termasuk majlis meraikan kejayaan lagu Terukir Di Bintang dalam Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27), baru-baru ini. Jika tiada aral melintang, majlis itu akan diadakan di kediaman Aizat (terima kasih sekali lagi Aizat!), di Ampang, Ahad ini.

Baiklah sebagai permulaan, saya ingin membawa anda sedikit ke belakang dan berkongsi pengalaman saya ketika terbabit dalam 'road tour' sekitar Jun lalu bersama David Gray.

Catatan ini sebenarnya saya tulis ketika berada lebih kurang 10,000 kaki di udara - dalam penerbangan dari Dayton, Ohio menuju ke New York.


Saya masih ingat lagi, ketika itu, kami baru saja 'refuel' di Georgia kerana cuaca tidak begitu baik untuk kami terbang terus ke Atlanta dan kemudian baru ke New York.


Mengikut perancangan awal, saya sepatutnya membuat 'opening act' bagi persembahan David bagaimanapun atas sebab-musabab tertentu hasrat untuk beraksi tidak kesampaian.

'Basically' masalah itu disebabkan garis panduan yang mengharuskan kita membuat permohonan visa dengan tarikhnya mesti ditetapkan. Jadi, saya bersama Ryan McCauley (pengurus 'tour'), Lincoln Jesser (sessionist) dan Faiz Rosli (jurutera bunyi) beralih ke New York selama tiga hari sebelum kami berangkat ke destinasi seterusnya, Vermont.

Jujurnya, saya selalu terlupa lokasi sebenar kami berada dan pertanyaan seperti "Where are we?" atau "Where are we heading to again?" kepada Ryan adalah hal biasa.

Sebelum 'road tour' itu, saya baru selesai 'summer tour' bersama Graffiti6. Mereka adalah band baru dari UK dan Jamie Scott sangat berbakat. Dia boleh mencipta lagu, bermain keyboards serta gitar. Ahli kumpulan mereka sangat baik dan peramah. Mereka juga sangat positif dan banyak memberi galakan kepada saya begitu juga Lincoln. Mereka tahu ini adalah persembahan jelajah pertama saya dan mereka selalu memaklumkan kepada saya yang mereka gembira dapat membuat 'tour' bersama saya.

Kadang-kadang, saya rasa susah untuk mempercayai pujian sebegitu. Masakan tidak, saya hanyalah gadis biasa dari Malaysia. Nak ucap 'terima kasih' jujurnya saya pun rasa bertuah atau mereka yang sebenarnya yang 'gila' sebab mereka adalah graffiti6!

Jelajah satu pengalaman baru buat saya tapi memang budaya muzik di sini apabila pemuzik-pemuzik melakukan 'tour' setiap malam. Saya juga begitu, kami melakukan persembahan, kemudian bermalam di negeri berkenaan.

Keesokan hari kami akan memandu selama empat hingga tujuh jam, sambil-sambil berhenti sebentar untuk makan, kemudian terus ke hotel di negeri seterusnya. Di hotel dalam masa sejam lebih itu, kami bersiap, mandi, solat dan bersiap untuk ke lokasi persembahan, buat 'soundcheck' diikuti persembahan.

Kemudian saya akan bersembang dengan peminat selepas pertunjukan habis, menjual 'merchandise' (CD, t-shirt) dan kemudian pulang ke hotel. Kami akan mengulangi benda yang sama pada hari-hari berikutnya. Begitulah hari-hari saya ketika 'touring'. Nasib baik van kami besar. Walaupun bukan 'tour' van', ia cukup besar untuk peralatan muzik dan beg-beg kami. Alhamdulillah untuk 'tour' berkenaan, saya ada rakan perempuan yang bersama sama saya, Didi yang bertindak sebagai 'tour manager' kami.

Jadi dialah yang paling memahami apa yang saya perlukan sepanjang jelajah. Contohnya kami akan cari tempat yang halal untuk makan tengahari atau malam. Saya bersyukur sepanjang 'tour', makan saya terjaga. Dengan teknologi sekarang, senang untuk cari restoran halal. Klik saja negeri dan kawasan di zabihah.com dan semua senarai restoran halal akan terbit dan saya terkejut, betapa bertuahnya saya kerana sangat senang untuk mencari makanan halal di Midwest America.

Selalu pegang nasihat mak

Sepanjang 'road tour' juga, saya dapat berkenalan dengan ramai kawan-kawan baru. Saya rasa bertuah kerana ada peminat yang memandu dua jam dari kediaman mereka ke lokasi acara untuk melihat saya membuat persembahan. Saya secara peribadi hanya mampu ucap terima kasih kepada mereka.

Pelik kerana apabila saya 'perform' di tempat yang bukan bandar besar seperti New York dan Los Angeles yakni di kawasan 'midwest', lazimnya hanya masyarakat tempatan yang akan datang menonton.

Ada juga yang kenal saya dan datang. Saya selalu cerita perkara ini kepada ayah saya "Best babah! Ada 'mat salleh' tahu lagu Alis!" Saya rasa terharu apabila mereka beritahu saya mereka suka lagu Dan Sebenarnya.

Bagaimanapun, paling bermakna apabila menerima kehadiran pelajar dari Malaysia. Selalunya jika saya tidak penat lepas persembahan, saya akan meluangkan masa bersama mereka. Di Indianapolis, saya belanja mereka makan pizza kerana kesian mereka sampai lambat dan terlepas persembahan saya. Di Nashville, lebih kurang 15 orang sanggup pelajar datang, itu pun kami makan pizza tetapi mereka yang belanja saya!

Saya suka luangkan masa dengan kelompok pelajar, mungkin sebab masa saya menuntut dulu, saya selalu teringin nak lanjutkan pengajian di luar negara tetapi tidak kesampaian. Jadi mungkin saya rasa gembira untuk mereka dan saya selalu ingatkan mereka, mereka sangat bertuah kerana dapat peluang untuk menyambung pelajaran di luar negara.

Saya juga berjumpa dengan ramai masyarakat Islam Amerika sepanjang 'tour'! Paling seronok di New York, ramai betul gadis gadis 'American Muslim' yang datang berhijab atau berturban menghampiri saya. Kebanyakan mereka adalah 'African American Muslims', dan saya selalu terfikir, luas betul dunia ini dan ramai betul orang Islam, bermacam macam warna kulit, dan budaya. Seronok apabila saya dapat berhubung dengan mereka selepas persembahan dan kemudian kami akan saling berbalas e-mel.

Namun dalam segala keseronokan dan pengalaman indah, rasa penat, keletihan, kurang tidur, kadang-kadang tidak sempat makan dan senang untuk demam, antara perkara yang cukup menduga. Namun semua itu alhamdulillah, dapat saya atasi.

Memang saya suka mengembara. Saya jatuh cinta apabila mengembara. Masih ingat lagi ketika berusia 16 tahun saya pernah menjalani program pertukaran pelajar ke Turin, Itali, selama tiga bulan. Tidak dinafikan ia pengalaman yang banyak mengajar saya untuk berdikari.

Saya tawakal saja dan memberanikan diri kerana ketika itu, saya diletakkan di sebuah tempat yang tiada seorang pun orang Malaysia, tiada siapa yang saya kenal dan majoritinya bertutur bahasa Inggeris.

Sepanjang 'tour' juga saya akan merakamkan keindahan pemandangan untuk dikongsi bersama peminat menerusi Instagram atau Twitter. Kadang saya minta Faiz berhenti di sesebuah tempat jika lokasi itu ada pemandangan indah supaya saya boleh mengambil gambar.

Saya dapat lihat tasik membiru, gurun luas berwarna jingga terang, gunung menghijau dan paling cantik Mount Shasta ketika kami memandu pulang ke Los Angeles. Gunung itu sangat tinggi dan bersalji di puncak.

Perkara sebegini saya akan kongsi bersama peminat, terutama peminat di Malaysia kerana saya selalu teringatkan mereka. Apabila saya nampak sesuatu yang 'cool' atau cantik, yang mampu memberikan inspirasi kepada mereka, saya tunjukkan kepada peminat supaya dapat memupuk minat untuk mengembara atau melanjutkan pengajian di luar negara.

Paling penting, jangan sentiasa selesa dengan 'comfort zone' kita. Kita harus buka fikiran mereka dan kenal dengan dunia luar yang cukup luas. Sebagai anak muda, kita harus berfikiran kreatif, inovatif dan positif selain sering rajin menimba ilmu.

Mak saya selalu pesan, jangan perasan kita sudah tahu semua benda. 'Always think like a student'. Mesti ada perasaan mahu belajar walaupun kita 26 tahun, 30 tahun atau 50 tahun. Saya selalu berpegang kepada nasihat mak. Saya setuju, kerana itu salah satu cara untuk 'keep us grounded and smart'. Sampai jumpa lagi dalam catatan lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Kereta 'melekat' di cermin kedai

Posted: 16 Jan 2013 12:12 AM PST

Kota Bharu: Seorang wanita berusia 30-an gagal mengawal keretanya sebelum terbabas dan melanggar cermin kedai sebuah stesen minyak, di Pintu Geng, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, wanita terbabit hanya cedera ringan di tangan dan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Saksi kejadian yang juga pekerja kedai berkenaan, Nik Norhaslinda Norhisyam, 18, berkata, dia menyangka bunyi dentuman kuat yang didengarnya adalah bunyi pam minyak meletup tetapi rupa-rupanya sebuah kereta Proton Saga BLM merempuh cermin kedai.

"Sebelum kejadian, saya berada di kaunter juruwang dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat yang saya sangka bunyi pam minyak meletup. Sebaik menoleh ke luar kedai, sebuah kereta 'melekat' di cermin kedai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Mati tertimbus buah sawit

Posted: 16 Jan 2013 12:10 AM PST

HULU TERENGGANU: Tiga pekerja kilang sawit di Felcra Bukit Kepah, di sini, maut manakala empat rakan mereka cedera, termasuk seorang kritikal selepas mesin pengukus buah sawit meletup, dalam kejadian kira-kira 7.50 petang semalam.

Mangsa yang terbunuh adalah penyelia kilang berkenaan, Azmi Abdullah, 47, dari Kampung Padang Tengir, Manir, Kuala Terengganu, manakala dua lagi adalah pekerja warga Nepal.

Kedua-dua pekerja warga Nepal berkenaan dikenali sebagai Pramod Kumar Ray, 30, dan Sanjib Kumar Pasman, 26.

Mereka yang cedera adalah Ahmmed Ali, 39, dan Reyuwan Morom Ali, 45, masing-masing dari Bangladesh dan seorang warga Nepal, Sabad Yadav, 44.


Seorang lagi pekerja, Mohd Razlan Mokhtar, 25, dari Kampung Felcra Bukit Kepah, melecur kira-kira 80 peratus dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.


Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kejadian berlaku ketika kesemua mereka sedang bekerja dan tiba-tiba pengukus itu meletup sehingga menyebabkan percikan api.

"Percikan api kemudian menyambar timbunan buah kelapa sawit yang ada atas gerabak dekat mesin berkenaan. Buah kepala sawit itu kemudian bertaburan sehingga menyebabkan dua mangsa tertimbus.

"Penyelia itu pula dikatakan maut dihempap mesin pengukus yang terbang kira-kira 30 meter dari kedudukan asalnya. Letupan berkenaan menyebabkan tiang dan bumbung di kawasan mereka bekerja hampir runtuh," katanya.

Menurutnya, punca mesin pengukus itu meletup masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Nike siasat isu gaji minimum

Posted: 15 Jan 2013 02:13 PM PST

Jakarta: Pengeluar barangan sukan Amerika Syarikat, Nike, semalam berkata, syarikat itu sedang menyiasat dakwaan aktivis buruh mengenai cubaan pengilang di Indonesia mengelak membayar gaji minimum kepada pekerjanya.

Pengarah Komunikasi Korporat Global Nike, Greg Rossiter berkata, syarikat itu memberi perhatian serius terhadap dakwaan berkenaan.


"Kod amalan Nike sangat jelas.

"Kami mahukan pekerja yang menghasilkan barangan Nike diberi bayaran sekurang-kurangnya pada tahap gaji minimum ditetapkan undang-undang negara serta kemudahan lain," katanya. Ekoran protes besar-besaran, kerajaan menetapkan gaji minimum di Jakarta meningkat kepada 2.2 juta rupiah (RM687) sebulan mulai 1 Januari lalu.


Kadar gaji minimum di bandar lain turut dinaikkan mengikut kadar berbeza. Gaji minimum ditentukan di peringkat wilayah dan daerah, tetapi pihak berkuasa memberi pengecualian kepada kilang yang gagal mematuhi kenaikan itu. Ketua Pertubuhan Bukan Kerajaan Pendidikan Untuk Keadilan (EFJ) AS, Jim Keady berkata, sekurang-kurangnya enam syarikat pembekal Indonesia memohon untuk pengecualian itu. Selepas EFJ melawat Sukabumi, pembekal Nike dilaporkan memperoleh pengecualian itu daripada pihak berkuasa tempatan dan mereka hanya diarah membayar gaji minimum RM343 sebulan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

'Tiada guna kami hidup'

Posted: 15 Jan 2013 01:09 PM PST

Brussels: Pasangan kembar yang pekak mengambil keputusan membunuh diri selepas kecewa mengetahui bakal menjadi buta, kata ahli keluarga mereka, semalam.

Kembar berusia 45 tahun itu dikenali sebagai Marc dan Eddy Verbessem tinggal bersama sejak kecil dan tidak mampu berkomunikasi dengan dunia luar. Abang mereka, Dirk Verbessem berkata, Marc dan Eddy terlalu takut jika tidak lagi boleh melihat antara satu sama lain serta gagal berdikari.


"Mereka tidak sanggup menghadapi kemungkinan itu," katanya.

Menurut Dirk, 46, Marc dan Eddy sentiasa membantu antara satu sama lain termasuk memasak dan membersih rumah.


Namun, katanya, jika mereka buta tidak lama lagi, keadaan akan menjadi sangat berbeza dan mereka tidak lagi boleh berdikari. "Kadang-kadang saya terfikir jika mereka mempunyai isteri dan anak, mungkin mereka tidak membunuh diri," katanya. Kembar dari Putte dekat bandar Mechelen itu berkata, mereka bakal mengalami buta kerana glaukoma akibat faktor genetik.


Doktor yang merawat mereka, David Dufour berkata, pasangan kembar itu juga mengalami pelbagai masalah kesihatan kronik. Bekerja sebagai tukang kasut, Marc dan Eddy berkomunikasi melalui bahasa isyarat khas yang hanya difahami mereka serta ahli keluarga terdekat. Apabila memohon kepada pihak berkuasa untuk menamatkan riwayat masing-masing secara 'sah' mereka mengemukakan sokongan daripada Dufour. Bagaimanapun, mereka mengambil masa dua tahun mencari institusi perubatan yang sedia melakukan prosedur itu.

Kata Dirk, beberapa ahli keluarga cuba memujuk Mark dan Eddy membatalkan niat mereka.


"Namun, akhirnya hujah dikemukakan meyakinkan kami membiarkan pilihan mereka" katanya. Amalan membunuh diri di institusi perubatan dibenarkan di Belgium jika pihak terbabit mampu membuktikan mereka mengalami penderitaan serius. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Shahidan undang padah

Posted: 15 Jan 2013 12:46 PM PST

Kuala Lumpur: Kelantangan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang menuntut transformasi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin mengundang padah.

Dengan 'kuasa' yang ada pada Artikel 88 peraturan badan induk bola sepak tanah air itu, kenyataan Shahidan itu biarpun dilihat sekadar pendapat oleh sesetengah pihak mungkin bakal diteliti sekiranya sekretariat FAM menghantar laporan kepada Jawatankuasa Tatatertib.


Dalam kenyataan disuarakan Shahidan menerusi laporan Arena Metro semalam, bekas Menteri Besar Perlis itu menuntut transformasi jika FAM mahu mendapat sokongan daripada semua pihak. Antara transformasi yang dimaksudkannya adalah supaya FAM mencari jalan membantu pasukan yang mengalami masalah kewangan supaya dapat bersaing dalam Liga Malaysia.

Selain itu beliau juga membidas sikap segelintir individu dalam FAM yang tidak berani menyatakan pendirian biarpun tidak berpuas hati kerana mahu menjaga kepentingan peribadi.


Berdasarkan Artikel 88 peraturan 2010-2014 FAM, hanya Presiden dan Setiausaha Agung dibenarkan membuat kenyataan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, mereka perlu meminta kebenaran kongres terlebih dulu.


Berpandukan peraturan itu, beberapa individu sudah menjadi mangsa termasuk Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa yang digantung dua tahun enam bulan pada April tahun lalu kerana didakwa mengkritik prestasi skuad kebangsaan.

Sebelum itu, Naib Presiden, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menjadi pegawai pertama badan induk kebangsaan itu yang dihukum gantung pada 1991 disusuli Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1991 dan 2007.


Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan kesediaan untuk mengkaji Artikel 88 sekiranya pindaan perlu dilakukan terhadap peraturan itu namun hingga kini belum ada sebarang perkembangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16

Selangor benam Penyu

Posted: 15 Jan 2013 12:41 PM PST

Kuala Terengganu: Terengganu terpaksa berputih mata apabila lemas di depan penyokong sendiri selepas tewas 1-2 kepada Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang semalam.

Lebih buruk, perlawanan terpaksa dihentikan hampir 10 minit ketika berbaki tiga minit apabila penonton yang tidak puas hati dengan mutu pengadilan penjaga garisan, Mohd Fazli Ishak bertindak membaling botol minuman dan serpihan batu simen ke arahnya.


Sebaik perlawanan disambung semula, pengadil Mohd Zohri Tajuddin sekali lagi memberhentikan perlawanan apabila penonton terus mengamuk dengan membaling botol minuman ke arah Mohd Fazli namun dapat dikawal anggota keselamatan.

Sebelum itu, pelawat yang turut diperkuatkan bekas penyerang Terengganu, Francis Forkey Doe membuka jaringan pada minit keenam menerusi S Kunanlan sebelum Mohd Amri Yahyah menambah derita tuan rumah menerusi gol dari luar kotak penalti pada minit ke-16.


Tuan rumah yang belum mencatat sebarang kemenangan memperoleh gol menerusi penyerang import, Effa Owona yang merembat deras dari dalam kotak penalti menewaskan bekas penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli seminit kemudian.


"Kami akui bahagian tengah pasukan agak longgar pada babak pertama yang membolehkan lawan menjaringkan dua gol.

"Selain itu, pertahanan juga melakukan kesilapan mudah membiarkan lawan berlegar dalam kawasan sendiri terutama pada babak awal perlawanan di samping ketumpulan penyudah," kata jurulatih Terengganu, E Elavarasan.


Sementara itu, pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim puas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun mencatat kemenangan tipis.

"Berdepan kira-kira 10,000 penyokong tuan rumah memang agak sukar buat pemain tapi akhirnya mereka berjaya berjaya menyerap tekanan untuk menang.


"Momentum kemenangan ini diharap dapat dikekalkan apabila kami berdepan Pahang di Stadium Shah Alam, Sabtu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/16
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved