Khamis, 11 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Juadah pelbagai tema

Posted: 04 Oct 2012 07:47 AM PDT

MENU menarik dan menyelerakan mengikut pelbagai tema bakal menemui pengunjung Hotel Impiana sepanjang Oktober ini.

Dimulakan dengan bufet Pan Asian Treats pada harga RM68++ pada setiap Isnin hingga Khamis, pengunjung berpeluang menjamu hidangan Mediterranean pada setiap Jumaat dan Sabtu, sementara Ahad dipenuhi pelbagai juadah tempatan pada harga RM48++ seorang.

Menariknya, ais krim Baskin Robbins turut disediakan sebagai pencuci mulut untuk semua hidangan bufet ini.

Pada masa sama, Tonka Bean juga mengalu-alukan pengunjung merasai bufet tengah hari menu antarabangsa yang menggabungkan cita rasa tempatan pada harga RM58++ seorang.


Ais krim Baskin Robbins sekali lagi menjadi tarikan, selain beberapa variasi pencuci mulut yang pasti menepati selera pengunjung.


Andai ada masa senggang di hujung minggu, Tonka Bean tidak ketinggalan menyediakan bufet minum petang yang menawarkan bermacam hidangan antaranya burger mini, kuih-muih, dim sum, roti jala, sate ayam dan daging, nasi lemak, ayam goreng berempah, sosej, mi kari, piza, apam balik serta ubi sambal.

Tidak sekadar menjamu selera, pengunjung juga berpeluang melihat keindahan sekeliling serta Menara Berkembar Petronas yang terletak berhadapan kafe dalam keadaan tenang tanpa gangguan hiruk-pikuk kota.

Untuk tempahan, boleh hubungi 03-21471111 sambungan 3034 atau 3035.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Syukur generasi bebas penjajah

Posted: 30 Aug 2012 09:25 AM PDT

PERASAANNYA berbunga riang sambil melahirkan rasa syukur yang tidak putus-putus setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan berlangsung, malah tidak ketinggalan meraikan hari bersejarah itu bersama-sama jutaan rakyat Malaysia berbilang kaum yang tahu menilai serta menghargai erti kebebasan di tanah air sendiri.

Walaupun lahir selepas merdeka, suri rumah, Noriah Hashim, 49, mampu merasai keperitan kehidupan penduduk negara ini sebelum mencapai kemerdekaan, melalui kisah yang diceritakan suami serta arwah ibu mentuanya yang sering berkongsi pengalaman mengenai penderitaan mereka ketika Tanah Melayu menjadi kawasan jajahan British dan Jepun.

Setiap kali tarikh keramat 31 Ogos menjelang tiba, beliau antara orang yang paling gembira kerana mengenangkan keadaan rakyat negara ini yang dapat hidup aman dan harmoni selepas bebas daripada cengkaman ketakutan akibat duduk di bawah pemerintahan bangsa asing suatu ketika dulu.

Noriah berkata, setiap kali mendengar kisah kepayahan hidup yang diceritakan ibu mentua dan suaminya, beliau berasa betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia yang bukan saja boleh hidup bertolak-ansur bersama kaum lain dalam keadaan damai, malah diuruskan kerajaan yang bertanggungjawab, prihatin dan menjaga kebajikan rakyat.


Daripada apa yang diceritakan kepadanya, dia mendapat tahu kehidupan sebelum merdeka dipenuhi rasa takut yang amat sangat terutama ketika penjajahan Jepun hingga orang kampung tidak mahu keluar rumah kerana bimbang diserang.


"Mereka hidup dalam ketakutan, tidak seperti kita hari ini. Menurut ibu mentua saya, adik-adik perempuannya yang masih muda dan belum berkahwin ketika itu disorok bapanya dan tidak dibenarkan keluar.

"Ibu mentua saya berasal dari Tapah, Perak dan adik-beradiknya semua mempunyai rupa paras yang cantik dengan kulit putih mulus. Disebabkan itu, mereka disorok kerana bimbang diapa-apakan tentera Jepun.

"Sekiranya hendak keluar juga, terpaksa sorok-sorok kerana tentera Jepun ketika itu yang terkenal dengan sikap rakus dan kejam, berani melakukan jenayah sesuka hati mereka termasuk membunuh," katanya.

Menurut Noriah, selain terseksa dari segi emosi kerana tidak bebas dan rasa terkurung, hidup majoriti rakyat di Tanah Melayu ketika itu juga sangat susah dan banyak bergantung kepada ubi kayu sebagai sumber makanan.

Menurut suaminya, peniaga, Mat Daud Ayob, 60, hidup pelajar sekolah ketika itu juga terbatas kerana mereka terpaksa pergi dan balik sekolah dalam keadaan menyorok, malah sesi persekolahan pernah terganggu sementara dengan kehadiran tentera Jepun.

Keadaan pada masa itu sangat berbeza dengan zaman ini. Rakyat Malaysia bukan saja bebas dan hidup aman damai, malah semakin maju mengejar pencapaian setanding negara luar.

"Taraf hidup rakyat ketika ini juga jauh berbeza sekiranya hendak dibandingkan zaman sebelum merdeka kerana ekonomi kita yang semakin kukuh dan nama negara semakin harum di peringkat antarabangsa.

"Saya selalu menceritakan kisah sebelum zaman merdeka seperti yang diceritakan kepada saya dan sering berpesan kepada anak-anak supaya mereka bersyukur dapat tinggal dan menjadi rakyat negara ini.

"Walaupun ke mana kita pergi, Malaysia adalah negara terbaik pada mata saya kerana ia seimbang dari semua segi, tidak seperti sesetengah negara lain yang rakyat hidup melarat biarpun sudah lama maju," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, golongan muda juga harus tahu mengenai kisah sebelum merdeka supaya mereka sedar betapa berharganya nilai kebebasan serta tidak menimbulkan sebarang kekacauan yang boleh merosakkan keharmonian negara.

Beliau bukan saja rasa bersyukur, malah berasa amat beruntung menjadi rakyat negara ini, bersama-sama dengan bangsa lain yang berbilang kaum.

"Tidak perlulah kita hendak bergaduh atau membuat kacau kerana perbezaan fahaman politik kerana apa yang negara ada ketika ini sudah cukup bagus. Kerajaan kita melakukan tugas dengan baik dan tidak perlulah ada pihak yang hendak membuat kacau-bilau," katanya.

Setiap kali Hari Kemerdekaan, rasa bangga menjadi anak Malaysia membuak dalam dadanya. Justeru, dia dan suami sanggup bangun awal pada hari cuti umum itu untuk membawa anak-anak meraikan hari penuh bersejarah di Dataran Merdeka bersama rakyat lain. Ia boleh dikatakan sudah menjadi 'aktiviti tahunan yang wajib' untuk mereka sekeluarga.

Malah, setiap tahun dia sekeluarga akan turut sama menghias rumah dan kereta dengan bendera Malaysia bagi mengingati hari bermakna kepada negara ini.

"Kami juga akan bergerak dari rumah di Kajang ke Dataran Merdeka untuk sama-sama meraikan dan merasai nikmat kemerdekaan yang dicapai sejak 55 tahun lalu bersama rakyat lain.

"Sungguh menggembirakan apabila dapat melaungkan Merdeka bersama-sama rakyat negara ini yang berbilang kaum. Ia menunjukkan majoriti rakyat tahu menghargai erti kebebasan dan keamanan," katanya.

Sementara itu, juruteknik, Abdullah Hashim, 55, yang dilahirkan tepat pada 31 Ogos 1957 berkata, berkongsi tarikh lahir dengan Hari Kemerdekaan sememangnya memberi makna tersendiri kepada dirinya.

Katanya, beliau dilahirkan di rumahnya di Kampung Gelam, Melaka dan hanya menyedari tarikh lahirnya sama dengan sambutan kemerdekaan negara sekitar usia 10 tahun apabila diberitahu bapanya.

"Ketika kecil, saya tidak tahu tetapi apabila sudah mula faham, saya berasa amat bangga dilahirkan sama dengan tarikh negara bebas daripada cengkaman bangsa luar, apalagi rakyat Malaysia beramai-ramai meraikannya," katanya.

Abdullah berkata, beliau sering mendengar cerita betapa susahnya kehidupan zaman sebelum merdeka terutama daripada ibu bapanya di mana kehidupan seharian rakyat pada waktu itu sangat susah dan sentiasa tertekan.

Dia masih ingat bagaimana orang kampung ketika itu sangat takut dengan tentera Jepun hingga pergerakan mereka menjadi terbatas dan tidak dapat keluar rumah kecuali dengan cara menyorok.

"Kekejaman tentera Jepun menyebabkan penduduk takut hingga tidak berani bergerak di luar rumah. Tidak seperti hari ini, tiada rasa takut dan semua orang bebas untuk ke mana-mana saja.

"Apabila kita diisytiharkan merdeka, ia seolah-olah satu nikmat yang sukar diucapkan dan hanya difahami mereka yang pernah hidup tertindas sebelum ini. Hidup rakyat menjadi lebih tenang dan gembira," katanya.

Kisah mengenai zaman sebelum kemerdekaan seharusnya selalu diketengahkan supaya generasi muda tahu betapa seksanya hidup di bawah cengkaman asing dan lebih bersikap patriotik terhadap negara.

Katanya, golongan yang suka menimbulkan kekacauan seharusnya sedar segala ketenangan dan kedamaian yang dikecapi hasil kemerdekaan yang diperoleh dan tidak seharusnya diperjudikan dengan sikap mementingkan diri sendiri.

"Saya tidak setuju dengan perbuatan demonstrasi yang sering diadakan sesetengah pihak kerana bagi saya ia bukan saja membuang masa, malah tidak memberi sebarang faedah kepada bangsa dan negara.

"Generasi muda harus tahu mengenai keadaan sebelum merdeka dan jangan huru-harakan negara kerana sikap mementingkan diri sendiri," katanya.

Abdullah bersama isteri, Sharifah Hashim, 54, dan anak-anak, Shahrul, 27, Nurhaniza, 25, dan Ahmad Shahir, 18, menghias rumah mereka dengan mengibarkan bendera bersaiz besar pada hadapan rumah bagi meraikan hari bersejarah negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/31


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pemaju kebas air RM99,627

Posted: 10 Oct 2012 03:12 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tindakan sebuah syarikat pemaju perumahan dan komersial membuat sambungan paip haram di kawasan rumah contoh di Jalan Duta, di sini, sejak 2007 menyebabkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berdepan kerugian bernilai RM99,627.30.

Sambungan haram itu dikesan menerusi serbuan Syabas dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) semalam selepas menerima aduan orang awam yang tinggal berdekatan kawasan terbabit.


Penolong Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, sambungan sepanjang 50 meter itu dipercayai dilakukan selepas akaun pemaju perumahan di situ ditutup sebaik kerja pembinaan rumah selesai.

Bagaimanapun, disebabkan pemaju memulakan satu lagi projek berhampirannya, sambungan paip dilakukan secara haram dipercayai bagi menyalurkan bekalan air ke empat rumah contoh banglo tiga tingkat serta landskap di sekitarnya.


"Sambungan paip bersaiz 50 milimeter (mm) itu diletakkan mengikut saluran longkang sedalam 1.2 meter di bawah tanah menyebabkan anggaran kerugian yang ditanggung berjumlah RM99,627.30.


"Pada hari ini (semalam), kami memotong sambungan berkenaan bagi mengelakkan lebih banyak kerugian, malah ia sudah menjejaskan tekanan air kepada penduduk sekitar yang mendakwa air semakin perlahan pada 3 Oktober lalu," katanya pada sidang media di lokasi serbuan, semalam.

Sehubungan itu, kata Priscilla, pihaknya mengeluarkan notis untuk menuntut semua jumlah ini supaya dibayar balik kepada Syabas manakala pihak Span mengeluarkan notis bagi mendakwa pemaju dan tindakan denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun diambil mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 di bawah Seksyen 123 (1) dan (3). Menurutnya, bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Oktober lalu, sebanyak 2,841 aduan berhubung kes kecurian air diterima dan disiasat Syabas dengan 578 daripadanya didapati sahih berbanding 3,775 aduan pada 2011 dengan kesahihan kes sebanyak 534.


"Anggaran keseluruhan kerugian yang ditanggung pada tahun ini bernilai RM5,852,070.87 dan sebanyak 154 kes juga sudah dirujuk kepada pihak Span untuk tujuan pendakwaan. Jumlah ini meningkat daripada tuntutan tahun lalu iaitu sebanyak RM2,824, 039.20," katanya.

Katanya, pihaknya berharap orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan sebegini, mereka boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) menerusi talian 1-800-88-5252 beroperasi selama 24 jam atau menghantar khidmat pesanan ringkas ke talian 39222.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Suri rumah gagal dapat ganti rugi RM1.6j

Posted: 10 Oct 2012 03:10 PM PDT

PUTRAJAYA: Isteri seorang peniaga pasar borong yang meninggal ketika dalam tahanan polis pada 1999 gagal mendapatkan ganti rugi RM1.6 juta daripada bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Norian Mai dan Kerajaan Malaysia.

Ini susulan keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan di sini, semalam, yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkiefli Ahmad Makinudin yang tidak memberi kebenaran kepada Suzana Md Aris untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Zulkiefli berkata, semua hakim panel itu sebulat suara berpendapat permohonan Suzana yang diwakili peguam P Uthayakumar tidak mempunyai merit dan gagal melepasi peruntukan Seksyen 96 Akta Mahkamah Persekutuan yang memberi kebenaran untuk merayu. Pada 7 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan KPN dan kerajaan Malaysia dan menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi ganti rugi kepada Suzana. Selain Zulkifli, hakim lain ialah Datuk Hashim Datuk Yusoff, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Seri Sulong Matjeraie.


Pada 20 Oktober 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan polis sudah melakukan kecuaian selepas gagal mengambil langkah munasabah ketika Mohd Anuar Sarip, 31, yang berada dalam tahanan reman di lokap Balai Polis Rawang kerana disyaki penagih dadah. — Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Mangkuk kencing berbentuk mulut wanita di restoran akan dibuang

Posted: 10 Oct 2012 09:25 AM PDT

SYDNEY: Sebuah restoran baru Perancis di bandar raya ini berkata, ia akan membuang mangkuk kencing lelaki berbentuk mulut wanita berlipstik dari premis itu ekoran bantahan orang ramai.

Restoran berkenaan, Ananas Bar dan Brasserie juga memohon maaf kerana mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai. Menurutnya, mangkuk itu ciptaan artis Belanda, Meike van Schijndel, biasa digunakan di Eropah.


"Kami memohon maaf sekiranya ia menyebabkan rasa tidak puas hati. Kami akan menanggalkannya hari ini," kata jurucakap restoran mewah itu yang dibuka tiga minggu lalu.

Pengulas makanan akhbar Sydney Morning Herald menyifatkan mangkuk kencing itu sebagai 'tidak mengejutkan.' Bagaimanapun, aktivis wanita dan bekas penasihat politik, Anne Summers berkata, rekaan itu menjijikkan.


"Sikap membenci wanita begitu berleluasa dan ini adalah satu contohnya," kata Anne. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Tunjuk perasaan luar biasa

Posted: 10 Oct 2012 09:21 AM PDT

MELBOURNE: Kira-kira 100 aktivis yang membawa bangkai haiwan berhimpun di tengah bandar raya ini kerana membantah keganasan dan pengabaian terhadap binatang.

Penunjuk perasaan dari kumpulan Pembebasan Haiwan Victoria (ALV), membawa bersama mereka bangkai biri-biri, babi, kanggaru, ayam, ikan, itik dan spesies haiwan lain berharap untuk menarik perhatian terhadap 'penderitaan tersembunyi haiwan di Australia dan di seluruh dunia.' Bangkai haiwan berkenaan ditemui pasukan penyelamat ALV di luar kilang, kandang atau dilanggar kenderaan dan dibiarkan mati, kata pertubuhan itu.


Menurut ALV, layanan kejam terhadap binatang adalah satu daripada isu terbesar ketidakadilan di dunia. Kumpulan itu juga berkata, kekejaman dan pengabaian terhadap berbilion haiwan juga berlaku di Sepanyol, Chile, Perancis, Jerman dan Peru.

"Tujuan kami di sini hari ini ialah untuk menarik perhatian kepada hakikat bahawa manusia bertanggungjawab terhadap pembunuhan 64 bilion haiwan darat di seluruh dunia setiap tahun dan antara satu hingga tiga trilion haiwan laut.


"Seperti kita, haiwan ini mempunyai minat untuk hidup dan tidak menderita dan kita tidak boleh membiarkan minat mereka hanya kerana mereka bukan di kalangan spesies kita," kata penyelaras kempen ALV, Noah Hannibal. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Kejutan, dugaan terbesar

Posted: 10 Oct 2012 03:36 PM PDT

CHUKAI: "Ibu memang tak pernah beritahu apabila nak datang rumah saya sebab dia suka buat kejutan. Sungguh saya tak sangka kejutannya kali ini berakhir tragedi."

Demikian kata Nursyamira Abdullah, 21, yang kehilangan ibu dan tiga adik tiri akibat kemalangan yang keseluruhannya meragut enam nyawa di Kilometer 129.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Meraga Beris, Kijal, dekat sini, awal pagi semalam.

Kemalangan jam 4.30 pagi itu berlaku ketika ibu Nursyamira bersama lima adik tirinya serta dua kenalan dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Gong Pauh, di sini, ke rumah Nursyamira di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, Perodua Viva yang dinaiki lapan penumpang itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah bas ekspres membawa 23 penumpang dari Kota Bharu dalam perjalanan ke Kuantan.


Enam yang terbunuh ialah ibu Nursyamira, Noran Ali, 39, tiga adik tirinya, Nurkhairatul Najiha Narizan, 4, Nur Syardieena Afzan, 9, dan Nursyazleen, 12, rakan Noran, Wan Alpisar Wan Abd Kadir, 43, serta Khairudi Omar, 31, yang memandu kereta.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Dadah kertas karbon

Posted: 10 Oct 2012 03:36 PM PDT

ALOR SETAR: Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan 'kertas karbon' bagi mengelak dikesan mesin pengimbas berjaya dikesan pihak berkuasa selepas seorang wanita warga Thailand ditahan kerana didapati membawa dua bungkusan dadah jenis syabu seberat 2.1 kilogram (kg) bernilai RM400,000 disimpan dalam beg pakaiannya, Isnin lalu.

Suspek berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari di Perhentian Bas Ekspres, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), Bukit Kayu Hitam oleh sepasukan anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Unit Narkotik Alor Setar sebaik wanita itu melepasi kompleks berkenaan.


Difahamkan, wanita itu turut menggunakan perkhidmatan kereta sewa di Danok, Thailand bagi mengurangkan risiko diberkas pihak berkuasa walaupun dadah berkenaan sudah dibungkus dengan kertas karbon, namun usaha suspek tetap gagal.

Pengarah KDRM Kedah, Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata, siasatan terhadap beg wanita itu menemui dua bungkusan dadah jenis syabu dibalut menggunakan kertas karbon biru yang disimpan di bahagian bawah beg berkenaan.


"Pemeriksaan awal Unit Narkotik KDRM terhadap beg pakaian wanita itu menemui dua bungkusan kertas karbon mengandungi hablur putih dipercayai dadah jenis syabu.


"Kami percaya kertas karbon digunakan memang bertujuan mengelak dikesan mesin pengimbas kerana jika menggunakan kertas itu, paparan pada skrin imbasan akan menjadi gelap tetapi taktik berkenaan sudah diketahui pihak berkuasa," katanya di sini, semalam.

Abd Aziz berkata, bungkusan hablur itu ditemui tersorok di bahagian bawah beg wanita itu selain dilindungi dengan lapisan atas beg dipercayai bertujuan mengaburi pihak berkuasa.


Beliau berkata, suspek ketika itu menaiki bas dari Hatyai, Thailand dikatakan mahu menuju ke Kuala Lumpur bersama-sama beg pakaiannya dipercayai untuk pasaran Lembah Klang.

"Berdasarkan soal siasat dijalankan, wanita itu yang bekerja sebagai tukang urut di Kuala Lumpur mempunyai seorang anak di Thailand dan mengikut rekod pasportnya, suspek sudah empat kali masuk ke negara ini sejak 2006," katanya.


Katanya, wanita itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Pada masa sama, kejayaan itu yang ketujuh tahun ini membabitkan cubaan penyeludupan dadah jenis syabu bernilai lebih RM3 juta dari Januari hingga Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Erma Fatima lebur hati Raja Ema

Posted: 10 Oct 2012 06:26 AM PDT

SELEPAS 15 tahun menyepikan diri dari dunia glamor, nama pelakon dan penyanyi popular era 1980-an, Raja Ema kembali diperkatakan orang di laman sosial twitter mahupun facebook, ketika ini. Semuanya, gara-gara penampilan wajah terbaru pelakon berstatus ibu tunggal kepada dua anak remaja ini dengan imej lebih segar, jelita dan langsing yang menghiasi sebuah majalah fesyen tempatan.

Khabarnya, penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Jejaka Idaman ini muncul semula kerana ingin membuat 'comeback' di persada hiburan tanah air sekali gus mengubat kerinduan peminatnya.

Wartawan dan jurugambar Rap berusaha menjejaki pelakon yang juga pemilik nama sebenar, Raja Ema Raja Ibrahim, 44, ini di lokasi penggambaran terbaru lakonannya iaitu drama bersiri sebanyak 14 episod Bukan Untuk Aku arahan Pali Yahya untuk saluran TV9, tidak lama lagi.

Ketika di temui di lokasi penggambaran di Seksyen 7, Shah Alam, petang kelmarin, Raja Ema mengakui dia sendiri terkejut kemunculannya di majalah itu meraih perhatian ramai.


"Sebenarnya, tidak terlintas di hati saya membuat 'comeback' untuk mencari glamor dan publisiti kerana bagi saya, zaman itu sudahpun berlalu. Saya kembali berlakon untuk mengubat rindu pada bidang lakonan yang sudah sekian lama ditinggalkan dan pada masa sama anak-anak pun sudah besar dan mampu hidup berdikari," katanya.


Sudah namanya anak seni, sudah pasti bidang lakonan cukup sebati dalam diri anak kepada Allahyarham Yusni Jaafar yang pernah menang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-8 (FFM8) dan Bintang Harapan Wanita Terbaik pada FFM7.

"Kali terakhir, saya berlakon adalah filem Queen Control. Bagaimanapun, selepas berkahwin dengan Sheqal, mengandung serta melahirkan anak, saya memutuskan untuk meninggalkan bidang seni.

"Namun, hubungan saya dengan rakan artis tidak putus. Ramai juga rakan yang bertanya sama ada saya hendak kembali berlakon seperti dulu tapi saya belum bersedia sebelum ini.

"Secara kebetulan, saya juga selalu berhubung dengan menghantar ucapan Selamat Hari Raya pada rakan artis seperti penerbit drama Raja Alawiyah dan pengarah Erma Fatima setiap kali tibanya hari raya.

"Saya juga pernah beritahu Erma, saya rindu nak berlakon semula apabila anak sudah besar dan dia terus tawarkan salah satu watak dalam drama terbaru terbitan produksinya, Bukan Untuk Aku, tahun ini," katanya.

Raja Ema adalah artis pertama Malaysia yang mempunyai muzik video iaitu lagu Di Pertemuan Ini. Kemunculannya dalam filem Pernikahan Berdarah bersama pelakon Indonesia, Willy Dozan mendapat liputan meluas media dan lagu nyanyiannya Mentari Korea juga dijadikan lagu tema Sukan Olimpik Seoul 1988.

Antara filem lakonannya adalah Cikgu Romantik, Tarik-Tarik, Sahabat, Queen Control, Boss, Sejati, Antara Dua Hati, Mawar Merah dan Sayang adalah filem terakhirnya.

Justeru, kata Raja Ema, drama bersiri Bukan Untuk Aku adalah lakonan pertamanya selepas sekian lama menyepi.

"Saya lebih suka membaca skrip terlebih dulu sebelum menerima sesuatu tawaran berlakon. Saya juga terima tawaran Erma kerana watak Puan Sri Atilia (isteri kepada pelakon Ridzuan Hashim) dalam drama ini ada kelainan dan belum pernah dilakonkan.

"Sebelum ini saya pernah berlakon dalam sitkom tapi ia kali pertama saya bawa watak ibu yang garang dalam drama yang berat ini. Saya akui memang berasa kekok bila di lokasi penggambaran yang sudah lama ditinggalkan.

"Bagaimanapun, pengarah muda seperti Pali, Aqasha dan bintang baru yang juga watak utama dalam cerita ini Siti Saleha juga memberi kerjasama yang baik dan saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan mereka. Status saya sendiri sebagai ibu kepada dua anak remaja sedikit sebanyak membantu saya menjiwai watak ibu dalam cerita ini," katanya. Drama bersiri ini turut diterajui barisan bintang muda meningkat naik ketika ini iaitu Nazim Othman dan Marsha Londoh.

Pegang status ibu tunggal

Biarpun kembali berlakon, anak-anak tetap nombor satu dalam hidup Raja Ema yang kini berstatus ibu tunggal, sejak setahun lalu. Hasil perkongsian hidup dengan penyanyi Sheqal, mereka dikurniakan dua anak, Putra Ammar, 18, dan Putra Ehsan, 16.

"Walaupun anak-anak dan keluarga mengizinkan saya kembali berlakon tetapi saya tidak mahu membuat perubahan yang terlalu drastik atau kerana anak-anak cukup rapat dengan saya. Anak saya yang nombor dua, Ehsan tidak pernah berenggang dengan saya di rumah.

"Saya juga ingin berlakon secara sambilan dan drama ini sebagai 'warm up' dalam bidang seni. Buat masa ini, saya juga terima tawaran berlakon sekitar Kuala Lumpur dulu kerana tidak ingin berenggang dengan anak-anak.

"Sebelum ke lokasi, saya pastikan semua keperluan anak-anak sudah dipenuhi terlebih dulu termasuk urusan makan dan minum mereka atau mengambil mereka dari sekolah atau keluar makan dengan mereka," katanya.

"Ramai orang fikir, saya wanita lemah-lembut sebaliknya suara saja yang lembut tetapi sebaliknya saya tegas apabila mendidik anak-anak terutama dalam soal pendidikan mereka.

"Saya juga tidak kisah anak-anak mengikut jejak dalam bidang seni tetapi setakat ini saya tak nampak lagi mereka minat dalam bidang ini," katanya.

Jawab isu buka tudung

RIMAS dengan isu dirinya yang dikatakan sanggup buka tudung semata-mata ingin buat 'comeback', Raja Ema terpanggil membuat kenyataan membela dirinya.
Baginya, isu itu agak sensitif dan sedikit sebanyak mengguris hatinya dan keluarga kerana ia terlalu diperbesarkan orang yang tidak tahu menahu cerita yang sebenar.

"Memang saya pernah bertudung sekejap dulu sebelum buka tudung ketika baru berkahwin dengan Sheqal dan anak-anak pun masih kecil ketika itu. Tapi, saya masih bertudung dan berpakaian menutup aurat apabila menghadiri majlis yang sesuai seperti kenduri kendara dan ke masjid.

"Terus terang, saya tak faham kenapa isu buka tudung pula yang digembar-gemburkan kerana saya sudah bertahun-tahun tidak bertudung cuma ramai orang yang tak tahu kerana saya sudah lama tidak aktif dalam bidang hiburan lagi," katanya.

Apapun, kata Raja Ema, dia tetap menyimpan hasrat untuk menutup aurat sepenuhnya apabila sampai masanya nanti.

"Bertudung bukanlah satu paksaan kerana kita perlu dengan rela hati untuk melaksanakan kewajipan itu.

"Saya tidak mahu sekadar bertudung saja tapi pakaian tetap mengikut bentuk badan, menjolok mata atau bertudung tapi masih mendedahkan sebahagian rambut," katanya.

Ditanya perubahan wajahnya yang nampak lebih muda dan jelita pada usia pertengahan 40-an, Raja Ema mengakui dia sangat mementingkan aspek kecantikan luaran dan dalaman, sejak dulu.

"Maaf, saya tak dapat komen mengenai isu penggunaan botoks tapi saya mengaku memang ada berjumpa doktor dan mengambil suntikan vitamin C dan produk berkaitan untuk mengekalkan kecantikan wajah dan tubuh. Selain itu, saya memang menjaga pemakanan seimbang, senaman dan mengambil produk yang sesuai untuk mendapatkan berat badan idaman dengan nasihat doktor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Bukan untuk sakiti sesiapa

Posted: 10 Oct 2012 06:15 AM PDT

AkuAmySearch @johan_asari itu seperti anak aku. Anak yg baik dan tinggi pekerti.

Amy yang dihubungi untuk menjelaskan perbualannya di twitter, berkata, apa yang diluahkannya itu bukan untuk menyakiti sesiapa tetapi nasihat yang diberikan kepada Johan kerana dia sering lihat pemuda itu seperti dikongkong.

"Sebelum ini saya pernah dengar cerita pengurus Johan tidak benarkan dia berjalan dengan Nabila di 'red carpet' Anugerah Bintang Popular Berita Harian.
Tak perlu saya dedahkan siapa yang memaklumkan, cukuplah saya simpan ia sebagai rahsia untuk diri sendiri.

"Apabila dimaklumkan hal itu saya tertanya-tanya mengapa dikekang sebegitu rupa. Mula–nya, saya tidak berapa mengendahkan hal berkenaan, tetapi setiap kali berjumpa Johan dan jika dia ditemani pengurusnya, Johan jadi macam takut-takut hendak bergaul dengan kami (dia dan keluarganya).

"Walhal saya rapat dengannya dan kami pernah bercuti sama di Jepun. Saya sudah menganggap Johan seperti anak sendiri. Sama ada dia bercinta atau tidak bercinta dengan anak saya Nabila, saya sayangkan Johan seperti anak. Dia seorang anak yang baik dan berbudi pekerti tinggi.

"Apabila keadaan Johan berbeza setiap kali dengan pengurusnya, tentulah saya sebagai orang tua ini berasa kecewa. Pada Anugerah Blokbuster misalnya, Johan sekali lagi nampak kurang selesa tidak seperti selalunya apabila berdepan dengan saya.

"Jadi apabila kami berbual keesokan harinya di twitter, saya menasihatinya supaya tidak takut pada pengurus kerana artis bayar pengurus untuk menguruskan kerjaya seni mereka.

"Terus terang Johan tidak pernah mengadu apa-apa dengan saya mengenai hal kerjayanya. Cuma, kalaulah Johan dilarang mendekati kami saya rasa itu tidak masuk akal kerana kita sama-sama dalam industri, tidak salah pelakon dan penyanyi bergaul sesama sendiri," katanya.

Pada perbualan itu, Amy bagaimanapun memohon maaf jika komen 'tweet' nya menyebabkan pihak pengurusan Johan tersinggung. Dia juga menafikan, apa yang tercatat di karang isterinya, Norhasniza Hassan (Nourish) apabila ada pihak pula mendakwa demikian.

"Segala yang tertulis dalam perbualan kami (dia dan Johan) saya yang menulisnya sendiri. Isteri saya tiada kena-mengena. Saya juga ingin meminta maaf kalau pihak pengurusan Johan terasa dengan kenyataan saya. Saya tidak berniat dan tidak menyangka langsung hal ini akan menjadi hangat," katanya.

Selain Amy, Harian Metro turut menghubungi Marina bagi mendapatkan penjelasan dan reaksinya saat dimaklumkan kenyataan legenda rock itu yang membayangkan dirinya cuba mengongkong kehidupan Johan berkata, sebolehnya dia tidak mahu memanjangkan hal ini.

"Saya sebenarnya tak mahu memberikan sebarang komen kerana enggan memanjangkan isu ini. Lagipun saya hormati dan memandang nasihat abang Amy kepada Johan seperti dibualkan mereka dalam twitter sebagai peribadi dan sikap ambil berat seorang yang lebih senior dalam industri kepada pendatang baru.

"Atau boleh disifatkan. nasihat seorang ayah kepada ayahnya. Saya langsung tidak ambil hati cuma apabila ada beberapa pihak media mengesan hal ini dan mahukan komen saya, maka saya terpaksa memberikan kerjasama kerana saya menghormati tugas mereka.

"Bagaimanapun, pada kesempatan ini, ingin saya jelaskan saya memang tidak pernah masuk campur urusan peribadi Johan. Cuma apabila kerap keluar gosip cinta, wajarlah saya menasihati Johan untuk tidak terlalu kongsi hal peribadi pada umum. Bimbang nanti ramai yang bosan dan cerita sebegitu akan menenggelamkan kisah kerjayanya.

"Apatah lagi dia masih baru, kami di pihak pengurusan ingin ketengahkan bakat dia berbanding kisah peribadi. Saya percaya pada bakat dia dan dia seorang bakat muda yang boleh pergi jauh dalam industri serta menjadi ikon seperti artis senior yang lain.

"Johan bukan saja seorang pelakon yang komited tetapi saya mengagumi sifatnya yang sangat menghormati orang. Jadi memang tidak timbul isu mengongkong itu, apatah lagi menghalang dia bergaul dengan abang Amy dan keluarga yang saya sendiri hormati walaupun tidak berpeluang kenal secara rapat.

"Saya berharap, kontroversi ini ditamatkan segera dan saya juga minta maaf jika ada perbuatan saya dalam keadaan tidak sedar menyinggung perasaan pihak (Amy) sana," katanya.

Sementara itu, Johan As'ari yang turut diminta mengulas hal sama, mengirimkan khidmat pesanan ringkas menafikan dirinya dikongkong pengurusnya itu.

"Sepanjang saya bernaung di bawah Wire Fame, tiada sebarang masalah. Waima, pelbagai keistimewaan yang saya dapat. Kak Marina sangat profesional. Dia tidak pernah kongkong saya.

"Saya pun terkejut dengan teguran 'uncle' namun saya ambil segala teguran itu sebagai tanda rasa hormat saya pada seorang yang lebih lama dan lebih berpengalaman dalam industri seni kita. Saya harap hal ini janganlah diperbesarkan lagi.

"Saya gembira pada malam Anugerah Blokbuster. Semuanya ok, 'but a bit hectic' kerana saya ada urusan lain juga malam itu. Waktu terserempak dengan 'uncle' di belakang pentas, saya sempat bersalaman dan ucapkan 'good luck' untuk persembahannya malam itu.

"Saya mohon maaf andai silap dan khilaf saya kepada kedua-dua pihak menimbulkan salah sangka. Saya juga minta maaf kepada 'uncle' sekiranya tersinggung perilaku saya di hadapannya setiap kali bersama pengurus.

Satu lagi 'tweet' Amy Search yang dilakukan secara berasi–ngan pada hari yang sama menyebut dan menegur sikap pelakon baru, Hanez Suraya yang sombong sehinggakan senyum pun tidak mahu. Kedua-dua kejadian 'tweet' itu berlaku sehari selepas Anugerah Blokbuster yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.

Hanez Suraya turut dihubungi untuk memberikan komen berhubung salah satu status twitter Amy yang mengaitkan namanya yang berbunyi:

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Karier Safee terancam

Posted: 10 Oct 2012 09:15 AM PDT

NASIB Mohd Safee Sali bersama skuad kebangsaan mungkin terancam selepas Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didakwa mengambil tindakan menggantung 25 kelab Liga Super Indonesia (ISL).

Berita penggantungan membabitkan kelab diwakili Safee, Pelita Jaya FC itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang menerima surat rasmi dari PSSI, lewat petang semalam.


"Benar, FAM ada menerima laporan berhubung penggantungan beberapa kelab dari pihak PSSI. Ia dinyatakan secara rasmi dengan tujuan kelab-kelab yang digantung ini tidak boleh menjalin sebarang hubungan rasmi dengan negara luar termasuk Malaysia.

"Antara kelab-kelab yang dimaksudkan itu adalah Pelita Jaya yang diwakili penyerang negara, Safee," katanya.


Sebelum ini kes penganjuran ISL yang didakwa sebagai 'liga haram' kerana tidak diiktiraf PSSI hebat dibincangkan sejak tahun lalu hingga membabitkan campur tangan Fifa yang mahu perkara itu diselesaikan segera Mac lalu.


ISL sebelum ini adalah liga utama Indonesia sebelum kepimpinan baru PSSI diterajui Djohar Arifin Husin mengiktiraf Liga Premier Indonesia hingga liga negara itu terbahagi dua.

Bagaimanapun penggantungan oleh PSSI ke atas kelab Pelita Jaya menimbulkan tanda tanya sama ada Safee yang menandatangani kontrak lanjutan dua tahun dengan bayaran lebih RM2 juta bersama kelab itu boleh menyarung jersi Harimau Malaya dalam tempoh penggantungan itu.


Azzuddin menegaskan, berdasarkan maklumat yang diberikan PSSI kedudukan Safee masih selamat.

"Tetapi, laporan itu tidak menyentuh berhubung larangan pemain negara (Safee) untuk beraksi dengan skuad kebangsaan. Buat masa ini, FAM dimaklumkan pemain atau mana-mana pasukan negara tidak dibenarkan mengadakan sebarang urusan rasmi dengan kelab-kelab yang digantung itu," katanya yang enggan mendedahkan nama kelab terbabit.


Safee, 28, menjadi sandaran utama Datuk K Rajagobal untuk menerajui Harimau Malaya bagi aksi persahabatan menentang Hong Kong dan Vietnam bulan ini sebelum menghadapi misi mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Tanam sikap positif

Posted: 10 Oct 2012 09:07 AM PDT

EDISI Ketujuh Kem Sukan Play More Learn More (PMLM) nyata memberi faedah serta kepuasan kepada kira-kira 350 kanak-kanak yang menyertai program anjuran Milo itu di Taman Masjid Tanah Ria, Melaka, baru-baru ini.

Peserta diajar kemahiran asas sukan bola sepak, bola keranjang dan bola jaring yang dikendalikan jurulatih berkelayakan diikuti karnival pertandingan mini. Mereka juga turut menerima sijil penyertaan, baju-T Milo secara percuma dan van minuman segar Milo disediakan sepanjang kem itu.


Program dirasmikan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka, Mansor Mohd Hashim.

Kem itu dikendalikan sepenuhnya oleh KRT Taman Masjid Tanah diketuai pengerusi, Zaitun Hassan serta mendapat kerjasama erat ibu bapa peserta.


Pengurus Penjenamaan & Acara Nestle Products Sdn Bhd Kawasan Melaka, Mohd Ismail Osman turun padang menyaksikan kemeriahan program sambil memuji program itu berjalan lancar dan penuh keceriaan.


"Peserta begitu bersemangat mengikuti Kem PMLM dan berpeluang mempelajari pelbagai nilai-nilai positif dengan bersukan. "Saya yakin anak-anak kecil ini mampu membina sikap positif menghadapi masa depan dengan penuh keyakinan," katanya. Edisi Kelapan Kem Sukan PMLM berlangsung Sabtu ini di padang Bola Sepak Institut Kemahiran MARA (IKM), Beseri, Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved