Selasa, 26 Februari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kelebihan 44 hari

Posted:

Teringat cerita seorang rakan yang baru saja melahirkan anak pertama. Oleh kerana masih muda dan terdedah dengan gaya hidup moden, dia tidak meng­amalkan cara berpantang yang betul sama ada dari segi pemakanan mahupun rawatan tradisi seperti berurut, berbengkung dan bertungku. Akibatnya selepas setahun, dia mengakui sakit badan dan sukar tidur malah ada ketika lenguh pada tangan dan kaki.

Ramai wanita terutama ibu moden masa kini memandang mudah pada amalan berpantang selepas bersalin sehingga tidak mahu mengikut kaedah tradisional terutama perkara yang dianggap menyusahkan diri. Antaranya, minum air campuran herba kerana tidak sanggup menahan rasanya yang pahit, memakai bengkung kerana tempoh melilit yang lama serta bertungku.

Namun sebenarnya, semua amalan berpantang dari saat melahirkan anak sehingga tamat tempoh 44 hari mempunyai maksud tersendiri serta kebaikan yang diperoleh bukan saja dalam tempoh berpantang malah sehingga akhir hayat.

Walaupun ada sesete­ngah tanggapan ia waktu yang membosankan kerana terpaksa menunggu 44 hari, mereka yang mengetahui rahsianya akan mempergunakan sepenuhnya untuk mengembalikan kecantikan dan kesihatan luar dan dalam.

Foto

NASI lemuni mengandungi banyak khasiat.

Foto

BAWANG putih, limau, kunyit, telur dan halia antara ramuan minuman untuk ibu berpantang.

Foto

ZUZANA turut menyediakan pakej mandian bayi.


Menurut Zuzana Zulkaffle daripada Postnatal Care & Beauty House, pemakanan ialah aspek yang amat penting dalam rawatan pantang bersalin. Ini kerana proses kehamilan mengganggu keseimbangan hormon dan wanita mengalami pelbagai bentuk tekanan dan gangguan emosi akibat perubahan fizikal. Ketika melahirkan anak pula, mereka menggunakan sepenuh tenaga sehingga banyak urat saraf tercedera dan luka.


"Dalam hal ini untuk mengembalikan tenaga serta memulihkan luka, penjagaan makanan amat penting.

Mengikut sesetengah petua Melayu, ibu dalam pantang disyorkan makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan panggang berkunyit dan minum air segelas sehari saja.

"Diet begini tidak lagi sesuai pada masa kini kerana kurang zat serta terdedah kepada risiko penyakit buah pinggang dan tekanan darah rendah. Oleh sebab itu pemakanan haruslah seimbang dan mengandungi semua zat diperlukan tubuh," katanya.

Dalam hal ini pengambilan ikan amat digalakkan ketika berpantang kerana ikan mengandungi protein dan sangat baik untuk penyembuhan luka. Antara ikan yang disyorkan termasuk haruan, belut dan ikan merah sama ada dibuat sup, dibakar atau dikukus. Ikan berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta parang dikhuatiri akan menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.

Selain itu, jenis ikan yang menyebabkan kegatalan serta menimbulkan reaksi alahan juga tidak digalakkan antaranya kembung, tamban, cencaru atau tongkol dan makanan laut seperti udang, sotong dan kerang.

Zuzana yang mahir mengurut dan mengadakan perkhidmatan dari rumah ke rumah turut menyediakan makanan untuk wanita berpantang terutama makanan tengah hari. Ini bagi memberi peluang kepada wanita kota merasai nikmat berpantang sebenar sekiranya mereka bersendirian di rumah.

"Selain amalan berpantang seperti berurut, bertungku dan berbengkung, saya turut menyediakan makanan berpantang di rumah. Untuk minggu pertama selepas bersalin saya menyediakan nasi yang dimasak bersama daun lemuni hitam. Daun ini mempunyai banyak khasiat iaitu mengembalikan tenaga serta melancarkan peredaran darah. Nasi ini sesuai dimakan bersama sup ikan merah atau sup haruan," katanya yang turut menyediakan ulam-ulaman seperti pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, lemuni hitam, sekentut, cemumar, pudina, bebuas dan ruku.

Ulam-ulaman ini mengandungi serat, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuk A, C dan E serta bersifat antioksida.

"Saya juga memastikan hidangan mengandungi sayur-sayuran seperti brokoli dan lada benggala kerana sayur-sayuran ini tidak berangin dan mempunyai khasiat yang tinggi. Tetapi elakkan mengambil sayuran menjalar, sejuk serta berangin seperti kangkung, timun, keladi, pucuk ubi, pucuk paku, bayam, kacang panjang, petola, labu, rebung, petai, jering serta terung," jelasnya yang turut menggalakkan ibu mengambil buah-buahan seperti anggur dan epal.

Selain itu, mandi menggunakan air rebusan dedaun pada waktu pagi selama seminggu mampu memberi kesegaran, menguatkan otot badan serta memberi haruman pada tubuh. Lebih elok dilakukan selepas selesai bertungku dan berurut dan diamalkan sepanjang tempoh berpantang atau dua minggu selepas bersalin.

Menurut Zuzana, di kampung banyak daun kayu dan pucuk muda boleh digunakan sebagai air rebusan mandian.

Antaranya daun kunyit, serai wangi, kacip fatimah, pandan, lengkuas, daun pisang kelat, daun inai dan daun mengkudu.

"Namun bagi mereka yang tinggal di kota, saya membawa semua daun ini ke rumah pelanggan dan menyediakan air rebusan mandian untuk mereka. Saya juga menasihatkan wanita supaya memulakan jirusan pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan.

"Proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan. Daun rebusan itu juga boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit," katanya yang mengakui amalan mandi sebegini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Urutan Tradisional Melayu daripada Politeknik Shah Alam, Zuzana menambah, urutan sebaiknya dilakukan setiap pagi sebelum mandi atau selepas bertungku seminggu selepas bersalin selama tiga hari berturut-turut atau pada penghujung pantang pada hari ke-42 hingga ke-44, hari ke-60 dan hari ke-100 pantang.

Tujuannya untuk memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membuang angin dalam badan, membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut, mempercepatkan pengeluaran darah nifas serta melancarkan pengeluaran susu badan.

"Urutan dilakukan menggunakan minyak yang dibuat sendiri menggunakan herba tradisional kacip fatimah, halia, kunyit serta bawang putih dan merah," katanya.

Amalan bertungku pula penting kerana dapat menghangatkan badan ibu, membuang angin dan mengecutkan urat selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah. Selepas bertungku biasanya darah nifas mengalir lebih lancar. Tungku yang diperbuat daripada besi perlu dipanaskan kemudian dibalut kain yang dilapik daun mengkudu.

"Kesan panas daripada tungku akan meresap ke dalam daun dan merawat bahagian badan. Proses ini dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari dan di atas perut," katanya yang menggalakkan ibu bertungku selepas habis pantang.

Selepas bertungku, perut disapu dengan ubat barut yang dicampur bersama minyak, kapur sirih dan perahan limau nipis kemudian kain sepanjang 15 meter dililit bermula di kawasan pinggang hingga ke pinggul bertujuan mengurangkan rasa sakit di perut, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut dan memulihkan kawasan rahim. Ini berbeza dengan bengkung moden yang hanya menggunakan pelekat.

"Selain itu, wanita digalakkan memakai param ke seluruh badan bagi mengelak badan dimasuki angin serta pilis di dahi supaya dapat menghilangkan rasa pening kepala. Namun kini, ia semakin kurang diamalkan," katanya.

Bagi ibu yang bimbang anak mereka mengalami masalah demam kuning, selepas bersalin Zuzana mencadangkan ibu minum campuran jus kurma dan manjakani yang membantu mengurangkan masalah kuning pada bayi. Malah kurma berkhasiat memberi tenaga manakala manjakani ejen terbaik mengubati luka selepas bersalin. Serbuk manjakani juga sesuai ditaburkan pada hidangan untuk mempercepatkan penyembuhan luka dalaman.

Tambah Zuzana, peringkat penjagaan dalam pantang ini bukan hanya sesuai untuk ibu yang melahirkan anak secara normal malah sesuai untuk kelahiran pembedahan.

"Mungkin pada awal kelahiran, ibu tidak boleh bertungku dan berbengkung sehingga selepas seminggu bersalin dan mengelak menyentuh kawasan pembedahan. Namun dari segi pemakanan, ia sama saja," jelasnya yang berpengalaman 11 tahun dalam bidang rawatan selepas bersalin.

Dia yang membuka pusat rawatan selepas bersalin di Sungai Besi ini menyediakan pakej bermula seminggu selepas bersalin atau sehingga selesai tempoh berpantang termasuk rawatan urutan badan, bertungku, mandian herba, mandian dan urut bayi serta penyediaan makanan untuk ibu selepas bersalin.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat selepas bersalin boleh melayari laman sesawang www.zuzanapostnatalcare.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

Agar-agar kering untuk tetamu

Posted:

Pada majlis perkahwinan, ada sesuatu yang tiba-tiba menjadi kebiasaan walaupun dulu ia tidak pernah ada.

Tetamu kenduri perkahwinan sering mendapat buah tangan bunga telur daripada tuan rumah. Namun kini, bunga telur semakin dipinggirkan.

Walaupun keadaan ini agak mengecewakan orang lama seperti penulis, arus kemodenan yang melanda generasi zaman ini tetap diterima.

Kini, kita sering menerima beg kecil berisi pelbagai benda di dalamnya seperti kerepek, manisan dan buah. Ia tetap mengujakan penerimanya.


Ada pihak yang pening kepala memikirkan idea buah tangan bersesuaian buat tetamu dan mahukan ia memberi makna selain cantik dipandang.


Apa kata mencuba idea daripada Agustina Aming, 32. Ia bukan hanya cantik tetapi idea segar ini juga boleh dimakan.

Dia menjadikan agar-agar kering sebagai buah tangan malah melihat sendiri hasilnya, ternyata ia ceria dan menggembirakan hati penerimanya.

Walaupun hasilnya nampak cantik dan ringkas, ia akui proses penyediaannya agak rumit dan mengambil masa. Proses menggubah mungkin paling mudah, berbanding pe-nyediaan agar-agar kering itu sendiri.

"Saya perlukan satu hingga dua minggu untuk menyiapkan agar-agar terlebih dulu. Paling cepat seminggu dan itu pun berdasarkan keadaan cuaca. Selepas agar-agar dimasak, perlu menunggu ia mengeras sebelum dipotong dan dijemur. Proses menjemur inilah yang memakan masa yang lama," katanya.

Dia juga menambah perasa kepada agar-agarnya seperti perasa strawberi, laici, pandan dan oren.

Walaupun agar-agar kering antara makanan tradisional, setelah digubah sedemikian rupa, ia menepati konsep moden yang disukai generasi zaman ini.

Setelah agar-agar kering, barulah ia digubah. Lazimnya dia membuat gubahan bunga ros dikelilingi kelopak dedaun berwarna hijau. Bunga pula selalunya dua warna sama ada merah atau putih.

Produknya turut dipromosi di laman blog tinajuhantaran.blogspot.com dan laman sosial Facebook.

"Gubahan ini mudah mendapat perhatian kerana berwarna-warni selain ada ciri tradisional. Saya menerima tempahan minimum sebanyak 30 unit dengan harga daripada RM2 hingga RM4," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tahi judi terjun lombong

Posted:

Serdang: Seramai 12 kaki judi nekad terjun ke dalam lombong untuk melepaskan diri selepas kegiatan mereka berjudi dalam sebuah hutan di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara 6, diserbu semalam.

Namun, taktik mereka itu tidak berjaya selepas beberapa anggota polis turut terjun mengejar kaki judi terbabit sebelum mereka menyerah diri 30 minit kemudian.


Serbuan kira-kira jam 4 petang itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu berjaya menahan 36 kaki judi termasuk 10 warga tempatan.

Ketua Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmad berkata, hasil serbuan itu, polis berjaya menahan 36 kaki judi termasuk seorang wanita yang berusia antara 25 hingga 60 tahun.


"Kami turut merampas wang tunai RM37,000 dipercayai hasil kegiatan judi, selain merampas enam ayam dan pelbagai peralatan lain.


"Hasil siasatan polis mendapati, semua mereka menjadikan kawasan hutan ini sebagai pusat aktiviti judi sejak sebulan lalu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya, di sini, semalam.

Foto

KAKI judi yang ditahan dalam serbuan, semalam.

Beliau berkata, hasil risikan selama sebulan, polis mendapati kaki judi itu akan berkumpul di kawasan hutan itu pada setiap Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Kami akan bernikah

Posted:

Kuala Lumpur: Pelakon jelita, Rozita Che Wan, 42, akhirnya membuka 'mulut' mengenai perancangan untuk berkahwin dengan buah hatinya, pelakon muda, Zain Saidin, 29, malah mengakui sudah memilih hujung Julai ini untuk bersatu.

"Insya-Allah kami akan bernikah, jika tiada halangan pada bulan berkenaan," kata Rozita ketika dihubungi, semalam.

Dia juga memilih untuk tidak mengikat tali pertunangan terlebih dahulu kerana menganggapnya tidak perlu memandangkan mereka sudah mengenali hati budi masing-masing.

Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta mengakui kisah cintanya dengan jejaka wajah Pan Asia itu bukan rahsia lagi, lalu mereka sepakat dan bersedia menamatkan kontroversi cinta yang selama ini hangat diperkatakan menerusi media dan peminat.

Foto

ZAIN dan Cik Ta bakal bergelar suami isteri.


"Hubungan kami selama ini memang tiada masalah. Kami sudah lama mengenali satu sama lain dan dia juga rapat dengan anak dan ibu saya," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

'Menggila' ambil selekoh

Posted:

Hulu Selangor: "Bas memang laju, saya tidak boleh tidur kerana terlalu takut," kata seorang penumpang bas ekspres yang terselamat selepas bas dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 420.2 Lebuh raya Utara Selatan (Plus) arah utara, berhampiran susur Bukit Tagar, di sini.

Mangsa, Eliana Tan, 30, berkata, dia yang duduk di bahagian tengah menyedari bas berkenaan dipandu laju selepas pemandu kedua mengambil alih tugas terbabit daripada rakannya ketika berhenti di ibu negara.

Katanya, sebaik keluar dari pusat bandar Kuala Lumpur, bas berkenaan dipandu laju secara 'menggila' menyebabkan keadaan bas terhuyung-hayang ketika melalui beberapa selekoh tajam.

"Saya tidak dapat melelapkan mata meskipun perjalanan masih jauh dan hanya berdoa agar tidak berlaku sebarang perkara buruk namun ia benar-benar terjadi apabila kami terbabit dalam kemalangan ini," katanya.

Foto

KEADAAN bahagian depan bas ekspres yang hancur selepas merempuh besi pembahagi jalan.

Foto

MAYAT mangsa kemalangan tercampak keluar.

Foto

ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian.


Menurut Eliana yang dalam perjalanan ke Taiping, Perak bersama salah seorang saudaranya untuk menghadiri upacara keagamaan, tragedi itu menakutkan dan sukar untuk dilupakan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Argo, Life of Pi menyerlah

Posted:

Watak Fantine yang dilakonkan menerusi Les Miserables nyata membawa tuah kepada aktres jelita, Anne Hathaway, 30, apabila sekali lagi diumumkan sebagai penerima trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Academy Awards (Oscar) ke-85, yang berlangsung di Hollywood Dolby Theatre, Los Angeles, semalam.

Dua anugerah kategori sama pernah dimenanginya tatkala berlangsungnya Anugerah Screen Actors Guild (SAG) 2013 dan Golden Globe, baru-baru ini.

"Saya cuma berharap suatu hari nanti atau pada masa akan datang, paparan kehidupan Fantine hanya akan ditemui dalam cerita dan tidak berlaku dalam mana-mana kehidupan sebenar," katanya.

Kemenangan itu membuktikan persembahan lakonan Anne sebagai ibu tunggal yang terpaksa melacur demi kelangsungan hidup anak kecilnya menerusi naskhah novel epik tulisan Victor Hugo itu terlalu handal. Babak dia menyanyikan lagu I Dreamed a Dream turut dianggap sebagai babak paling menyentuh perasaan dalam filem Les Miserables.

Foto

MICHELLE OBAMA diberi penghormatan mengumumkan pemenang Filem Terbaik secara lintas langsung dari Rumah Putih.

Foto

EMPAT terbaik: Daniel Day-Lewis, Jennifer Lawrence, Anne Hathaway dan Christoph Waltz bersama trofi masing-masing.

Foto

KARYAWAN filem Argo, Grant Heslov, Ben Affleck dan George Clooney meraikan detik kejayaan mereka.

Foto

Lawrence hampir tersembam di tangga pentas ketika hendak mengambil trofinya.


Anne dilihat sukar digugat mana-mana aktres hebat yang turut bersaing dengannya dalam pelbagai anugerah mengiktiraf penggiat seni yang dianjurkan sepanjang tahun ini.


Di malam Oscar penuh berprestij itu, Anne me­ngetepikan calon lain seperti Sally Field yang melakonkan watak Mary Todd Lincoln dalam Lincoln, Helen Hunt (The Sessions), Amy Adams (The Master) dan Jacki Weaver (Silver Linings Playbook).

Mencipta kejayaan sama seperti Anne, semestinya aktor Daniel Day-Lewis, 56, yang diumumkan sebagai pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik di mana anugerah sama pernah memenanginya di SAG 2013 dan Golden Globe.

Kali ketiga memenangi anugerah di Oscar, kali ini penilaian Day-Lewis selaku Aktor Terbaik diadili berdasarkan penampilannya dalam filem Lincoln yang memotretkan kehidupan Presiden Amerika Syarikat ke-16 Amerika, Abraham Lincoln.

Day-Lewis mengenepikan pencabarnya, Bradley Cooper yang beraksi cemerlang menerusi filem Silver Linings Playbook, Hugh Jackman (Les Miserables), Joaquin Phoenix (The Master) dan Denzel Washington (Flight).

Kategori Pelakon Wanita Terbaik pula di dominasi pelakon baru, Jennifer Lawrence menerusi filem Silver Linings Playbook yang mengenepikan pencabarnya Jessica Chastain (Zero Dark Thirty), Emmanuelle Riva (Amour), Quvenzhane Wallis (Beasts of the Southern Wild) dan Naomi Watts (The Impossible).

Memegang watak seorang janda muda, Tiffany Maxwell yang penuh bersemangat, melalui watak yang sama Lawrence sekali lagi mengulangi kejayaannya di Anugerah SAG 2013 dan Golden Globe, sebagai Aktres Terbaik.

Apa yang melucukan, saat menuju ke pentas untuk mengambil anugerah itu, Jennifer tersandung ketika menaiki anak tangga sekali gus mengingatkan pada insiden yang berlaku Golden Globe, di mana bahagian bawah kainnya hampir terlucut sewaktu berjalan untuk mengambil anugerah.

Pelakon berusia 22 tahun yang menggayakan gaun daripada Dior Haute Couture terjatuh di hadapan penonton ketika siaran langsung anugerah itu. Apa yang menarik, aktor Hugh Juckman dilihat orang pertama yang bergegas untuk memberi bantuan kepadanya sebelum semua penonton memberikan tepukan gemuruh.

Manakala Christoph Waltz, memenangi Oscar keduanya untuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam tempoh empat tahun di bawah arahan Quentin Tarantino, bagaimanapun kali ini sebagai pemburu orang buruan Jerman dalam kisah dendam seorang hamba, Django Unchained.

Kejayaan Waltz itu turut mencipta satu lagi pencapaian hebat apabila berjaya mengenepikan pelakon veteran Hollywood seperti Robert De Niro dan Tommy Lee Jones yang turut dicalonkan menerusi kategori sama, sedangkan bintang Django Unchained yang lain seperti Jamie Foxx dan Leonardo DiCaprio langsung tidak tercalon.

Dikendalikan Seth MacFarlane, anugerah yang saban tahun diadakan bagi mengiktiraf penggiat-penggiat industri perfileman Hollywood itu menyaksikan kejayaan filem Argo diiktiraf sebagai Filem Terbaik untuk tahun ini.

Ben Affleck selaku pengarah filem itu, membuat ucapan yang sungguh memberangsangkan kepada pencabar-pencabar yang lain dengan menyifatkan semua filem yang dipertandingkan adalah hebat dan layak untuk menang.

"Terdapat lapan filem hebat yang dipertandingkan hari ini dan setiap satunya mempunyai hak untuk berada di pentas seperti yang dilakukan kami," katanya.

Pengumuman kemenangan filem itu cukup bermakna apabila isteri kepada Presiden Amerika, Barrack Obama iaitu Michelle Obama membuat lintas langsung dari Rumah Putih menyertai Jack Nicholson untuk menyempurnakan acara penyerahan trofi kepada Ben Affleck.

Anugerah ini juga menyaksikan dominasi filem Life of Pi menerusi kategori Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Terbaik dan Visual Terbaik.

Ang Lee selaku pengarah filem berkenaan sebelum ini pernah mengungguli kategori sama menerusi karya arahannya, Brokeback Mountain pada Oscar 2006. Kategori lain yang turut dimenanginya ketika itu Skor Muzik Terbaik dan Lakon Layar Asal Terbaik.

Antara pemenang lain termasuklah filem animasi Brave yang dinobat Filem Animasi Terbaik dan Django Unchained yang diangkat sebagai Lakon Layar Asal Terbaik. Filem terbitan produksi Austria iaitu Amour memenangi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

Menyerikan lagi anugerah berprestij itu, tentunya persembahan dari barisan artis terkenal seperti Adele yang menyampaikan lagu Skyfall, Barbra Streisand (The Way We Were) dan Jennifer Hudson (An I Am Telling You dari filem Dreamgirls).

Bintang-bintang Les Miserables, turut mendendangkan lagu yang dipetik dari filem muzikal itu seperti Suddenly, One Day More dan I Dreamed A Dream.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Kilauan Emas kembali lagi

Posted:

Berikutan sambutan hangat peserta dan penonton, rancangan realiti popular yang mengiktiraf bakat penyanyi berusia 40 tahun ke atas, Kilauan Emas kembali lagi buat musim ketiga.

Mengangkat pertandingan ini ke tahap lebih hebat, pencarian kali ini bukan saja menawarkan hadiah lebih lumayan, malah kelainan daripada peserta turut menjadi antara kriteria utama.

Paling menarik, tahun ini penganjur mewujudkan satu anugerah istimewa iaitu Anugerah Khas Polident bagi mengiktiraf pemakai gigi palsu yang berjaya ke peringkat akhir selain mengekalkan peraturan sama iaitu hanya peserta berumur 40 tahun ke atas layak bertanding.

Anugerah Khas Polident menawarkan hadiah bernilai RM10,000 manakala juara menerima wang tunai RM50,000, naib juara RM30,000 dan tempat ketiga bakal menerima RM15,000.


Mendapat tajaan Polident buat kali ketiga berturut-turut, stesen Sinar FM bakal menjadi radio rasmi dan disokong THR Gegar.


Tidak dinafikan, dua musim terdahulu sambutan peserta daripada setiap lokasi uji bakat sangat luar biasa dan ramai penyanyi bagus dicungkil ke peringkat akhir.

Bagaimanapun, kali ini pastinya laluan buat peserta untuk 'lolos' uji bakat bukan semudah disangka apatah lagi dua nama handal iaitu komposer, Adnan Abu Hassan dan guru vokal, Siti Hajar akan bertindak memilih yang terbaik.

Pertama kali menyertai program musim terbaru ini, Siti Hajar mengharapkan peserta membuat persiapan rapi.

"Berdasarkan pengalaman saya, walaupun ramai peserta mempunyai bakat yang bagus, namun ramai terikut-ikut dengan penyanyi sedia ada. Kami mencari penyanyi yang memiliki identiti sendiri dan bukannya klon.

"Dengan nilai hadiah yang ditawarkan, semestinya kami harapkan mutu peserta kali ini akan lebih bagus," katanya pada sidang media program berkenaan baru-baru ini.

Sudah bersama program itu sejak musim pertama, mengambil pengalaman sebelum ini, Adnan pula menasihatkan peserta supaya mempersiapkan diri dengan beberapa lagu kerana kesilapan teknikal pasti akan berlaku.

"Sewaktu uji bakat, peserta harus menyanyikan lagu wajib yang ditetapkan dan beberapa kali terjadi di mana 'key' suara mereka tidak bertepatan dengan 'minus one' disediakan.

"Sebagai persediaan peserta perlu membawa bersama 'minus one' mereka sendiri, selain berlatih lagu lain untuk penilaian kami nanti," katanya yang turut bertindak sebagai guru vokal kelak.

Mengimbau dua musim terdahulu, peserta lelaki dilihat mendominasi program ini iaitu Ali Norpiah Mohd Johar, 48, dinobat sebagai juara musim pertama manakala Ahmad Fuad Zaharullai, 46, sebagai juara musim kedua.

Pengacara, pelakon dan penyampai radio, Raja Azura masih dikekalkan sebagai hos untuk konsert mingguan manakala penyampai radio Sinar FM, Feeya Iskandar pula menggalas tanggungjawab mengacarakan Zon Kilauan Emas, Belakang Pentas Konsert Kilauan Emas serta Karpet Prima Kilauan Emas.

Disiarkan menerusi saluran Astro Prima (Astro 105), uji bakat bermula pada Sabtu dan Ahad lalu di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu bagi zon Sabah. Menyusul adalah bagi zon Sarawak pada Sabtu dan Ahad ini di Hills Shopping Mall, Kuching dan 9 hingga 10 Mac di Megamall Pinang, Seberang Perai, Pulau Pinang (zon Utara).

Bagi zon Selatan pula akan diadakan pada 16 hingga 17 Mac di The ZON, Johor Bahru, Johor, 23 hingga 24 Mac di Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang (zon Timur) dan 30 Mac hingga 1 April di Shah Alam City Centre (SACC), Shah Alam, Selangor (zon Sentral).

Mereka yang berminat mestilah warga negara Malaysia dan Singapura yang berumur 40 tahun pada hari uji bakat dan perlu membawa dua keping salinan kad pengenalan atau pasport antarabangsa (untuk calon dari Singapura) serta gambar berukuran 3R (gambar profil dan paras pinggang).

Sebarang butiran lanjut sila layari laman web www.kilauanemas.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Muka ditusuk payung

Posted:

London: Seorang wanita yang mabuk bernasib baik selepas terjatuh ke atas payung sejurus selepas pulang dari berfoya-foya, lapor media semalam.

Jessica Yates dilaporkan terlalu mabuk dan secara tidak sengaja terjatuh dari katil hotel dan mukanya tercucuk dawai rangka payung yang baru digunakan.


Disebabkan payung itu tidak ditutup dengan betul, dawainya yang terbuka kemudian menusuk gusi dan tembus ke mulut.

Bagaimanapun, Jessica, 22, dari Solihull, West Midlands, mengakui dia terlalu mabuk ketika itu dan tidak dapat merasai kesakitan itu pada peringkat awal. Rakan Jessica, Laura Sullivan, menghubungi talian kecemasan selepas mendapati kecederaan itu serius dan terlalu berbahaya untuk ditarik sendiri.


Jessica kemudian dibawa berjumpa dengan anggota paramedik dan dikejarkan ke hospital dalam keadaan payung itu masih tergantung di mukanya.


Kata Jessica, di hospital, pegawai perubatan memotong patung berkenaan dan membiarkan kira-kira 15 sentimeter dawai itu masih tercucuk ke mulutnya.

Foto

KEADAAN Jessica bersama sebahagian daripada dawai rangka payung yang terlekat di mukanya.

Dia kemudian dibawa ke hospital kedua dan diberi ubat pelali sebelum membolehkan pembedahan untuk membuang dawai berkenaan dijalankan.


Pengurus kedai kasut itu dibenarkan pulang keesokan harinya dengan beberapa jahitan berserta cebisan payung itu yang masih kekal di gusinya.

Kata Jessica, kemalangan itu berlaku ketika dia dan beberapa kawan berkongsi bilik di Watford selepas puas berpesta.


"Kami menghabiskan malam dengan minum di bar tempatan dan pulang berpayung kerana hujan jam 2 pagi," katanya. Ketika tiba di bilik, kata Jessica, dia mencampakkan payung kecil itu ke lantai dan tidak menyedari ia dibiarkan dalam keadaan terbalik. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Pekerja berjam mahal dipecat

Posted:

Beijing: China berkata, kakitangan kerajaan yang tidak berdisiplin, dipecat daripada Parti Komunis dan berdepan tuduhan rasuah, semalam.

Menurut kenyataan pegawai kerajaan Shaanxi, Ketua Biro Pemeriksaan Keselamatan Wilayah, Yang Dacai, didapati bersalah "melakukan kesalahan disiplin serius" ketika bertugas.


"Yang juga disyaki melakukan beberapa jenayah lain," katanya.

Yang menjadi perhatian tahun lalu selepas gambarnya tersenyum lebar di lokasi kemalangan bas di lebuh raya mengorbankan 36 orang tersebar luas di Internet.


Gambar itu kemudian disusuli imejnya memakai pelbagai jenis jam tangan mahal.


Tindakan kerajaan Shaanxi itu membayangkan peranan Internet semakin meluas mendedahkan amalan rasuah kakitangan kerajaan di China. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Laluan tidak sukar'

Posted:

Kuala Lumpur: Tanpa Lin Dan dari China, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mengakui laluannya untuk bergelar juara Seluruh England, tidak sesukar tahun lalu namun tetap melakukan persiapan terbaik kerana mana-mana pemain bukan sekadar China juga ada kemampuan untuk mengatasinya.

"Saya pasti semua orang bertanyakan mengenai peluang saya tanpa kehadiran Lin Dan, memang peluang saya lebih cerah tapi perlu diingat, China masih ada lima pemain," kata Chong Wei.


Lin Dan adalah juara bertahan Seluruh England, muncul juara tahun lalu selepas Chong Wei memberi kemenangan percuma kepada pemain itu kerana mengalami kecederaan.

"Saya mahukan semula kejuaraan yang terlepas tahun lalu. Begitupun saya perlu fokus menyelesaikan tugasan di setiap pusingan dulu sebelum berfikir jauh.


"Ketiadaan Lin Dan tidak bermakna Chen Long satu-satunya pencabar dari negara itu, malah Du Pengyu juga berbahaya selepas menunjukkan peningkatan permainan. Pemain negara lain seperti Indonesia, Jepun dan Korea juga perlu diberi perhatian." Tiga pemain China berada dalam laluan Chong Wei ke separuh akhir iaitu Wang Zhengming yang bakal ditemui di pusingan kedua, dan Du Pengyu atau Gaao Huan, di separuh akhir.


Dua pemain Indonesia, Taufik Hidayat dan Diyonisius Hayom Rumbaka serta Sho Sasaki dari Jepun juga berada dalam laluannya.

Foto

Datuk Lee Chong Wei

Begitupun laluan pilihan kedua, Chen Long dari China lebih berliku kerana rakan seniornya Chen Jin, Kenichi Tago (Jepun) dan Sony Dwi Kuncoro (Indonesia) menjadi lawan yang pasti getir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26

Barca perlu tingkat permainan

Posted:

Madrid: Lionel Messi mengakui Barcelona perlu meningkatkan tahap permainan mereka selepas dua persembahan di bawah keupayaan sebenar bagi pertembungan El Clasico Piala Raja Sepanyol menentang Real Madrid, awal pagi esok.

Barca bermula hampir sempurna musim ini dan hanya keciciran mata dalam liga sebelum Krismas apabila seri 2-2 dengan Real Madrid di Mou Camp, selain kecundang di tangan Celtic pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.


Namun kini tanda-tanda keletihan mula ketara.

"Menentang Madrid kami perlu menghasilkan permainan terbaik kerana kami berdepan lawan hebat. Kami perlu berada pada tahap terbaik untuk layak ke final," kata Messi, menjelang separuh akhir kedua di Nou Camp selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama di Bernabeu.


Kedua-dua pasukan kemudian bertembung sesama sendiri dalam liga hujung minggu ini dengan Madrid ketinggalan 16 mata di belakang Barca.


Mereka dijangka mengungguli pertemuan dengan AC Milan dalam Liga Juara-Juara minggu lalu, namun gagal memecah kedegilan benteng pertahanan lawan kerana kelemahan gerakan dan hantaran.

Malah pemain terbaik dunia empat kali, Messi tidak menyengat walaupun mereka menguasai pegangan bola namun semuanya dimatikan lawan.


Benteng pertahanan Barca pula rapuh dan memberi peluang Milan menjaringkan dua gol untuk memberikan kelebihan pada perlawanan kedua.

Barca sekali lagi kurang menyengat di bahagian serangan pada babak pertama menentang Sevilla hujung minggu lalu dan ketinggalan sebelum bangkit pada babak kedua menerusi gol David Villa dan Messi.


Pemain Argentina itu meneruskan rekod jaringannya dalam liga kepada 15 perlawanan berturut-turut dan akan berusaha menambah jaringan menentang Madrid.


"Kami perlu kembali bermain seperti sebelum ini dan tidak memikirkan apa yang berlaku di Milan atau Sevilla," kata Messi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/26
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved