Isnin, 11 Februari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Pelajaran, persatuan seiring

Posted:

Aktif berpersatuan tidak bermakna diri harus lupa pada pelajaran. Kedua-duanya perlu diseimbangkan bagi mencapai kecemerlangan berganda dalam hidup.

Itulah yang menjadi pegangan penerima anugerah tertinggi Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) iaitu anugerah Pandu Puteri Raja, Nidya Nishasri Selvadorai, 18.

Dia yang bersekolah di SMK Puchong Utama (1) mula serius menyertai aktiviti beruniform sejak berusia 10 tahun hingga tamat tingkatan lima.

Berada dalam kategori Pandu Puteri Ranger, Nidya mengakui gemar melakukan aktiviti lasak terutama bagi memupuk jati diri.

Foto

RACHEL membantu Nur Affie Fasihah memperkemaskan pakaian seragamnya sambil diperhatikan Nidya.


"Aktiviti badan beruniform ini banyak membantu saya membentuk personaliti diri supaya lebih tabah dan tahan lasak. Mungkin ramai beranggapan ia sekadar untuk bersuka-suka tetapi saya mengambil berat setiap perkara yang dilakukan.


"Jangan menganggap ia satu kekangan untuk berjaya dalam pelajaran kerana banyak perkara baru boleh dipelajari dan yang pasti, ia tiada dalam buku teks," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hingga kini dia berjaya mengumpulkan 24 lencana kecekapan PPPM. Minatnya itu juga mendapat sokongan keluarga walaupun pada mulanya mereka agak bimbang untuk melepaskannya menyertai aktiviti beruniform terbabit.

Bagi membuktikan keupayaannya, walaupun aktif berpersatuan, dia tetap memastikan bidang akademiknya berkembang seiring dengan pencapaiannya dalam bidang berkenaan.

"Saya mahu berada di tempat teratas dalam setiap bidang yang diceburi. Saya ingin membuktikan tidak salah untuk aktif berpersatuan tetapi pada masa sama, tidak mengabaikan pelajaran.

"Lagipun aktiviti pakaian seragam ini juga membantu meningkatkan kemahiran diri dan boleh mendapat ramai kawan dari seluruh dunia," katanya.

Selain itu, bakatnya dalam bidang akademik turut terserlah apabila memperoleh anugerah pengetua, tokoh kokurikulum serta pelajar harapan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolahnya.

Aktiviti badan beruniform seperti ini bertujuan mendedahkan gadis kepada aktiviti kehidupan di luar yang serba mencabar serta membantu membangunkan keperibadian mereka ke peringkat lebih tinggi.

Penerapan budaya sukarelawan yang tinggi dalam jiwa mereka supaya menjadi satu amalan murni dan menghindari sikap pentingkan diri sendiri perlu dilakukan sejak usia muda lagi.

Penyertaan sedemikian juga antara cara memupuk nilai perpaduan kerana program dilaksanakan tidak hanya tertumpu kepada satu kaum saja.

Sementara itu, Pandu Puteri Remaja, Rachel Wong Poh Yee, 14, pula menyertai aktiviti pakaian seragam ini untuk membentuk diri agar lebih berdikari.

Selain itu, katanya, kemahiran berkomunikasi juga mampu dipertingkatkan kerana setiap aktiviti dilakukan secara berkumpulan.

"Oleh itu, ia melatih diri untuk berinteraksi serta bertolak ansur serta menyelesaikan masalah secara bersepakat dengan ahli pasukan.

"Ia menjadi satu pendorong yang cukup berkesan dalam memastikan kejayaan sesebuah pasukan. Selain itu, setiap program dikendalikan secara santai dan bersahaja tetapi masih menitikberatkan kerjasama antara ahli pasukan," katanya.

Dia yang belajar di tingkatan dua di SMK Sri Sentosa berkata, dulu banyak perkara yang tidak mampu dilakukannya sendirian tetapi kini segalanya berubah. Dia kini mampu mendirikan khemah, menggunakan ranting untuk menyalakan api serta melakukan bentuk ikatan lebih daripada 10 cara.

"Sebelum menyertai pasukan beruniform, memang sukar untuk saya melakukannya tetapi kini dalam sekelip mata, ia boleh dilaksanakan dengan mudah.

"Ada banyak kebaikan menerusi aktiviti sebegini dan saya akan terus menganggotainya selama yang boleh," katanya.

Ahli Pandu Puteri Tunas (Brownie), Nur Affie Fasihah Abdul Rasid, 12, yang dicalonkan sebagai Pandu Puteri Tunas Harapan, menganggap penyertaan-nya dalam bidang kokurikulum sebegini bersifat antarabangsa.

Bersekolah di SK Kuala Kubu Bharu Satu, dia mula menyertai aktiviti pakaian seragam sejak berusia sembilan tahun.

Walaupun masih muda, Nur Affie Fasihah tidak pernah menjadikannya satu halangan untuk menyertai aktiviti luar.

"Setiap aktiviti yang dilakukan mengumpul ramai ahli PPPM, justeru saya mempunyai ramai rakan dari seluruh pelosok negeri.

"Paling membanggakan apabila berpeluang berkenalan dengan rakan asing yang hadir menyertai program. Ia meluaskan pandangan di samping mengenali budaya dan adat mereka," katanya.

Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Datin Seri Zalillah Mohd Taib berkata, PPPM berasaskan aktiviti beruniform di sekolah tetapi setiap ahli berdaftar ialah ahli untuk seumur hidup.

"Terdapat 17 cawangan PPPM seluruh negara termasuk kawasan berkecuali iaitu Wilayah Persekutuan, Maktab Rendah Sains Mara serta maktab perguruan," katanya.

INFO:

  • Persatuan Pandu Puteri Malaysia ditubuhkan pada 1916 dengan penubuhan pasukan pandu puteri di Sekolah Perempuan Methodist, Kuala Lumpur di bawah kelolaan Getrude Ballard.
  • Ia didaftarkan dengan rasminya pada 1917 di ibu pejabat pandu puteri di Calcutta dan kemudian pusat pentadbirannya dipindahkan ke Singapura sehingga 1956.

    Kemudian mulai 1957, ibu pejabat kebangsaan persatuan pandu puteri Malaysia terletak di Wisma Pandu Puteri, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.

  • Hingga kini, jumlah ahli yang menyertai persatuan beruniform ini seramai 80,000 orang di seluruh negara.
  • Penaungnya ialah Raja Permaisuri Agong manakala isteri Perdana Menteri ialah Yang Dipertua.
  • Ia ditadbir Lembaga Eksekutif Kebangsaan dan dipengerusikan Yang Dipertua. Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/11
  • Cikgu Rania 2 (Siri 31): Semakin Jauhkah Hati?

    Posted:

    Hari itu hari Sabtu. Rania nampak Ummar Qayyum bersiap-siap. Malas hendak ditanyakan ke mana lelaki itu mahu pergi. Terpulanglah! Luka-luka yang dihiriskan oleh Ummar Qayyum masih berdarah! Fikirnya. Dia turun ke dapur lalu membantu Makcik Rohaya menyiapkan sarapan.

    Apabila Ummar Qayyum masuk ke dapur dan membancuh Nescafenya sendiri, Rania berasa tersinggung pula. Sukarnya bermain dengan hati!

    "Egois!" Rungutnya lalu keluar dari dapur dan naik ke biliknya di atas. Turun semula sepuluh minit selepas itu, dia nampak Ummar Qayyum sedang mencuit pipi Fahmi yang ada di dukungan Puan Sri Zalia. Murni pula berdiri di sebelah ibunya.

    Dia hendak mencabar aku rupanya! Silakan, kata hatinya lagi.


    "Qayyum nak pergi ni Ren," Puan Sri Zalia memaklumi Rania sewaktu tersuluh kelibatnya yang melintasi ruang tamu utama. Rania datang semula. Masih mengharapkan agar Qayyum menegurnya terlebih dahulu tapi itu tidak berlaku. Kalau Qayyum boleh berkeras, aku pun tidak akan berlembut.


    "Pergi dulu," ujar Ummar Qayyum secara umum.

    Sungguhpun marah, Rania tetap berasa hampa. Lelaki ini sememangnya sudah benar-benar berubah! Hatinya terus berkata-kata.

    "Balik cepat ya! Nanti Ren nak umumkan sesuatu pada Qayyum," sapa Puan Sri Zalia dengan wajah berseri-seri.

    Ummar Qayyum berpaling seketika pada Puan Sri Zalia. Senyum nipis terukir di bibirnya.

    "Bye Fahmi!" ujar Ummar Qayyum sebelum pergi.

    Sebaik sahaja Ummar Qayyum memasuki kereta, Rania bergegas menuju ke arah dapur. Dia tidak suka mendengar apa yang didengarinya tadi.

    "Mak cik beritahu mama ke?" tanya Rania pada pembantu rumahnya.

    "Beritahu apa?"

    "Tentang kandungan Ren!"

    "Memanglah mak cik beritahu. Takkan nak sorok lama-lama. Mak cik tak boleh buat macam tu," sahut Makcik Rohaya dengan rasa bersalah.

    "Mak cik ni...! kan Ren dah pesan. Tak boleh simpan rahsialah mak cik ni," bebel Rania.

    "Mak cik tak nak bersubahat menyembunyikan berita gembira. Mama Ren dengan Qayyum patut tahu!" tegas Makcik Rohaya. Rania mendengus lalu duduk di kerusi mengadap taman mini milik ibunya.

    Di pagar belakang, dia nampak kelibat seseorang sedang mengintai-intai dari celahan pintu pagar yang berkunci.

    "Siapa tu mak cik?" soal Rania. Makcik Rohaya menjengah.

    "Ooo bibik rumah belakang tu. Dia nak bagi jamu ke si Murni lah tu!" terang Makcik Rohaya.

    "Jamu apa?" tanya Rania pelik.

    "Jamu nak cantik."

    "Kejap ya, biar Ren ambilkan," ujar Rania seraya menghala ke arah perempuan muda tersebut.

    Sebaik disapa Rania, bibik yang berkulit gelap dan gempal itu kelihatan serba-salah.

    "Ya mau kasi ini sama buk Murni. Jamu ini," ujar bibik itu dalam loghat Indonesia seraya menyerahkan sebuah bungkusan kepada Rania.

    "Nanti saya serahkan. Siapa nama bibik ni?" sapa Rania sopan.

    "Basyuro nama saya. Dikasih sama buk Murni ya ibu, bungkusan itu!" pesannya sebelum pergi.

    Rania membawa bungkusan itu masuk lalu diletakkan di atas meja dapur.

    "Sejak bila Murni kenal dan berkawan dengan bibik tu? Tak pernah Ren nampak pun sebelum ni!" ujar Rania seraya memerhatikan bungkusan tersebut dengan penuh minat.

    "Entah, tapi dah beberapa kali juga bibik tu belikan dia jamu. Dia cakap pada mak cik jamu untuk langsing dan perapat, hemmm....!" Juih Makcik Rohaya seraya mengintai kalau-kalau ada kelibat Murni di situ. Yakin Murni tiada, dia menambah.

    "...tapi tak berkesan pun. Rais hendak bermadu juga!" sindir Makcik Rohaya sambil tergelak kecil.

    "Nak tengok jamu apa!" Dengan selamba Rania membuka bungkusan tersebut. Di dalamnya ada beberapa bungkusan jamu, dua ketul sabun pembersih muka dan terselit sebiji botol kecil berukuran 4 sentimeter yang diikat pada bungkusan jamu. Botol kecil itu berisi cairan berwarna kuning lembut.

    "Apa ni mak cik?" tanya Rania pelik.
    Makcik Rohaya yang sedang mengambil buah dari dalam peti ais menoleh dengan wajah berkerut. Dia dekati Rania dan capai botol kecil itu.

    "Ni macam minyak saja." Botol kecil itu didekatkan pada matanya.

    "Apa yang ditulis tu?" bisik Makcik Rohaya pada Rania.

    "Tak tahu mak cik. Tulisan apa ni?" tanya Rania.

    "Eh apa benda si Murni ni?" Makcik Rohaya mulai rasa pelik. Diarahkan Rania membungkus semula barang-barang tersebut tetapi botol kecil berisi cairan tidak dimasukkan semula.

    "Kenapa mak cik ambil botol tu?"

    "Mak cik curiga. Pelik pula ada botol macam ni,"

    "Selama ni tak ada ke?" tanya Rania penuh minat.

    "Entahlah Ren. Masa mula-mula bibik tu kasi dulu-dulu, mak cik curi-curi buka juga sebab nak tengok apa isinya bungkusan tu tapi memang jamu saja tapi lepas tu bila kebetulan mak cik ambil, tak adalah mak cik buka lagi."

    "Mak cik nak buat apa dengan botol tu?" tanya Rania. Dia kurang senang dengan tindakan Makcik Rohaya.

    "Shhh..." Makcik Rohaya memberi isyarat. Jari telunjuknya diletakkan di bibir. "Mak cik nak periksa," bisiknya semasa menyedari Murni masuk ke dapur bersama Puan Sri Zalia.

    "Ni bibik bagi ni," beritahu Rania pada Murni. Berubah air muka Murni seketika.

    "Oh bibik Basyuro datang tadi ya?" Murni kelihatan teragak-agak.

    Dia memandang bungkusan yang diletakkan di atas meja. Puan Sri Zalia nampaknya kurang berminat dengan cerita jamu tersebut tetapi matanya tajam merenung Rania.

    "Ren, mama nak cakap dengan Ren kejap," ujar Puan Sri Zalia pula.

    Makcik Rohaya menyambung kerjanya. Dia memotong buah lalu dihidangkan di atas meja.

    "Sekarang ya Ren," ujar Puan Sri Zalia melihat Rania tidak bergerak. Sudah diduga Rania apa mahu ibunya.

    Di dalam bilik ibunya, wanita itu berkhutbah panjang. Macam-macam yang dinasihatkan kepada bakal ibu muda yang dianggapnya masih bersifat keanak-anakan.

    "Mama ingat makin lama Ren makin matang tapi meleset jangkaan mama. Sejujurnya mama kecewa dengan sikap Ren. Ren tahu tak?"

    Rania memeluk kepala lutut. Dia lebih rela berdiam diri daripada berbalah dengan ibunya.

    "Kalau Makcik Rohaya tak beritahu pada mama, sampai bila Ren nak rahsiakan dari kami tentang kandungan Ren tu?" Puan Sri Zalia memerhatikan Rania.

    Rania diam lagi.

    "Betul ni Ren tak nak beritahu pada Qayyum tentang kandungan Ren?" tegur Puan Sri Zalia.

    Keras kepala Rania makin menjadi-jadi. Teringat wajah selamba Ummar Qayyum pagi tadi makin hilang mood Rania untuk berkongsi apa-apa cerita dengannya.

    "Ren tahu tak apa yang Ren buat ni salah dan berdosa?" Puan Sri Zalia tidak dapat menerima cara Rania. Beberapa kali dia beristighfar melihat kedegilan Rania. Sungguh tidak diduga sejauh itu kemelut yang melanda rumah tangga anak menantunya. Dia perasan Ummar Qayyum dengan Rania kurang berinteraksi akhir-akhir ini tapi sangkanya kesibukan Rania dan kesihatan Ummar Qayyum yang menjadi punca. Rupa-rupanya masalah mereka jauh lebih kronik daripada itu.

    "Kalau mama nak beritahu pada dia, terpulanglah. Tapi dari mulu Ren, takkan Ren beritahu," akhirnya Rania berkata demikian.

    "Kenapa Ren jadi keras hati macam ni? Apa salah Qayyum? Ren kena ingat Ren tu isteri tau!"

    Kenapa semua orang nampak aku sahaja yang bersalah padahal kalau bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi? Kenapa Ummar Qayyum tidak disalahkan?
    Hakikatnya Ummar Qayyum sebagai nakhoda sebuah rumah tangga yang gagal memainkan peranannya. Silapkah aku menikahinya?

    "Mama memang tak faham." Puan Sri Zalia menjeling. Geram sungguh dia akan sikap Rania yang keras kepala dan degil itu.

    "Cuba Ren tengok Murni tu. Perhatikan sikap dia. Pernah Ren tengok dia buat perangai walaupun Abang Rais tak endahkan dia? Pernah Ren nampak dia tarik muka? Pernah Ren lihat dia buat perangai walaupun dia sedar Abang Rais akan madukan dia tak lama lagi?"

    "Ah, dia baik. Tak macam Ren ni," sindir Rania. Dia sedar ibu sangat menyebelahi Murni sekarang.

    "Ren, mama suruh Ren tengok dan belajar daripada Murni. Mama suka sikapnya yang reda dan menerima takdir tanpa rungutan. Sikap yang sedemikian membuatkan kita jadi sayang padanya walaupun mula-mula dulu mama kurang suka pada dia."

    "Mama, Murni tu siapa? Mama pun tahu kenapa Abang Rais nikah dengan dia kan? Dia tu bernasib baik sebab Abang Rais selamatkan maruah dia dan turut selamatkan anak dia. Memang dia patut sedar diri dan tahu diuntung!" bantah Rania.

    Sakit juga hati apabila ibunya membanding-bandingkan dirinya dengan Murni. Sekarang semua orang dalam rumah ini mengagung-agungkan Murni. Bukan sahaja Ummar Qayyum bahkan ibunya sendiri pun sudah memihak pada Murni. Puan Sri Zalia menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali. Dia makin tidak mengerti akan sikap anak bongsu yang semakin ketara buat perangai akhir-akhir ini. Pembawakan budakkah?

    "Tak baik menghina Murni begitu Ren," nasihat Puan Sri Zalia.

    "Ren tak hina dia tapi Ren tak suka mama membandingkan dia dengan Ren."

    "Mama pelik dengan sikap anak mama akhir-akhir ni! Mana perginya anak mama yang selama ini mama kenali sebagai seorang anak yang baik hati, yang sayang pada semua orang? Hari ni mama tengok Ren tak macam Ren yang mama kenal dulu."

    "Ya, semua orang dalam rumah ni dah berubah. Yang baik dah jadi jahat, yang jahat berubah baik! Ren dah berubah jadi hantu kot! Murni pula dah jadi bidadari sebab tu lah mama, Ummar Qayyum mulai sayang dan mesra dengan dia!"

    "Ren cemburukan Murni ke?"

    Rania terdiam. Cemburukah aku padanya? Barangkali! Dia pernah jadi buah hati Ummar Qayyum dan sekarang menjadi kesayangan ramai termasuk emak Ummar Qayyum. Aku? Datang belas di hati Puan Sri Zalia melihat air mata Rania yang mulai bergenang-genang.

    "Apa yang berlaku Ren? Mama terlepas sesuatu ke?" Suara Puan Sri Zalia mulai mengendur.

    Setitis air mata Rania jatuh ke pipi.

    "Ren..." Suara lembut Puan Sri Zalia bagai air yang mengalir tidak berupaya menenangkan jiwa lesu Rania. Rania patungkan dirinya.

    "Ren kena belajar bertolak-ansur. Sebagai isteri kita perlu banyak berkorban."

    Pujukan Puan Sri Zalia tidak berbekas di hati Rania. Tika dan detik itu, dia lebih senang berdiam diri. Dia malas terhegeh-hegeh dan mengalah. Buat masa ini dia masih berharap agar Ummar Qayyum yang memujuknya. Kebelakangan ini Ummar Qayyum agar keras dan ketara menyalahkan dirinya dalam banyak hal. Sekarang dia lebih suka mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan masa mengubah keadaan.

    Tidak terlintas langsung di hatinya hendak menyampaikan berita kehamilannya kepada Ummar Qayyum tetapi kalau emaknya hendak memaklumkan berita tersebut kepada Ummar Qayyum biar sahaja. Begitulah juga sebaliknya. Dia sudah tidak kisah.

    Malahan, untuk melupakan kemelut yang melanda rumah tangganya, dia menyibukkan diri di sekolah. Apa sahaja kerja-kerja yang dilonggokkan kepadanya, diterima sahaja tanpa bantahan malahan apabila dipanggil oleh Encik Salman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk menyandang jawatan setiausaha Lembaga Pengawas pada tengah-tengah tahun pun dia mengangguk sahaja.

    "Saya serius ni Cikgu Rania," tegur Encik Salman menyedari tiada bantahan daripada Rania.

    "Saya pun serius tapi Cikgu Salman yakin ke saya boleh buat kerja ni? Saya kan pernah ada kes dengan murid bernama Shahir Fikri dulu? Encik Salman dah lupa?" Sengaja Rania membangkitkan cerita tentang kes salah laku murid yang melibatkan dirinya dulu.

    "Saya ingat dan sebab kes itulah saya pilih cikgu. Saya yakin cikgu tahu cara mengawal murid."

    "Okeylah kalau cikgu fikir begitu."

    "Kalau begitu senang cerita. Sekarang saya serahkan tugas ini pada Puan Rania. Saya yakin Puan Rania dapat mengambil alih tugasan tertangguh tersebut," ujar Encik Salman, dengan wajah serius.

    Tugasan tertangguh? Hati Rania berdetak tapi mengenangkan keadaannya yang sedang rusuh saat itu, tidak ditanyakan dengan lebih lanjut tentang hal berkenaan. Dia mahu segera keluar dari bilik PK Hem dan pulang ke rumah serta merehatkan tubuh dan minda yang dirasakan begitu penat sekali.

    "Puan Rania boleh berbincang dengan Puan Shiela dan Puan Asyikin tentang unit pengawas kalau saya tak ada di pejabat," sambung Encik Salman lagi. Rania mengangguk tanda akur pada arahannya.

    Keluar dari bilik Encik Salman, Rahah sudah sedia menunggunya di tepi mesin perakam masa. Bersamanya ada seikat buku latihan murid yang mahu dibawa pulang ke rumah.

    "Encik Salman panggil kau sebab suruh kau ambil alih tugas Sheila kan?" serkap Rahah dengan wajah tidak puas hatinya. Suaranya diperlahankan. Dia berjalan beriringan dengan Rania menuju ke tempat parkir kereta.

    "Mana kau tahu?"

    "Semua orang tahu. Kau terima?"

    "Hmm." Rania mengiyakan.

    "Kenapa kau terima? Kenapa tak tolak saja? Kau kan tengah mengandung? Kerja kau dah banyak, kenapa kau galas kerja orang yang tak sudah tu?" marah Rahah. Terpinga-pinga Rania dibuatnya.

    "Banyak yang aku terlepas pandang kat sekolah ni. Apa lagi yang aku tak tahu?" bentak Rania.

    "Banyak yang kau tak tahu!"

    "Memang. Memang banyak benda aku tak tahu. Aku ni macam katak bawah tempurung. Itu sebab aku ketinggalan banyak hal. Banyak benda yang aku buat tak betul. Memang salah aku kalau aku ketinggalan dan terlepas pandang pun!" Tiba-tiba Rania berubah emosi. Wajah Rahah berubah. Dia kelihatan bersalah. Bahu Rania dipaut lembut.

    "Ren, akhir-akhir ni aku tengok kau macam tak berpijak di bumi. Kau ada masalah ke?"

    Keprihatinan menyebabkan Rahah bersikap menjaga tepi kain orang.

    "Aku nak balik Rahah. Aku penat. Aku nak berehat!" ujar Rania.

    Dia belum bersedia untuk berkongsi masalahnya dengan sesiapa. Otaknya berserabut yang teramat sangat. Bersimpang-siur jiwa raganya saat itu. Dia mahu segera pulang. Dia mahu membersihkan diri, bersolat dan tidur. Malas untuk berfikir tentang apa-apa.

    "Okey, kau baliklah berehat."

    Rahah terkebil-kebil apabila Rania meninggalkannya lalu terus memasuki kereta dan memandu perlahan. Rania berasa otaknya memberat. Dia berhenti di bahu jalan. Telefonnya berdering. Di skrin, tertera nombor yang tidak dikenali. Dia menjawab.

    "Assalamualaikum Rania..."

    "Waalaikumusalam...."

    "Kenal tak?"

    "Siapa?"

    "Saya. Faheem..."

    "Faheem. Abang Faheem!" teka Rania.

    "Ya. Mengganggu ke?"

    "Taklah."

    "Abang ada hal nak bincang dengan Rania. Boleh abang jumpa bila Rania free?" soalnya sopan sekali.

    "Hal apa Abang Faheem?"

    "Nanti abang cakap bila kita jumpa. Bila-bila Rania free, call abang ya!" ujar Faheem sebelum mengucapkan salam.

    Rania kembali memandu. Sampai di halaman rumah, kereta Ummar Qayyum sudah diparkir di ruangannya.

    Awal pulangnya! Detik Rania. Berat pula rasa hatinya hendak melangkah masuk.
    Makcik Rohaya membuka pintu dan bersegera menghidangkan Rania segelas air mineral seperti biasa. Tidak lupa dia bertanyakan kesihatan Rania.

    "Ren sihat mak cik."

    Dia duduk di sebelah Rania.

    "Ren, makcik dah bagi minyak dalam botol kecil milik Murni pada kawan mak cik. Dia kata dia akan beritahu mak cik apa kata ustaz tentang minyak tu!" bisik Makcik Rohaya.

    "Suka hati mak ciklah..." Rania melabuhkan tubuhnya lalu berbaring di sofa.
    "Qayyum dah balik," ujarnya lagi. Rania pandang sekeliling. Dia tidak nampak siapa-siapa. Murni, Fahmi malah Rais tidak kelihatan.

    "Mama mana?"

    "Dalam bilik. Baru saja dia masuk sebelum Ren balik."

    Jam di dinding dikerling. Menyedari dirinya belum bersolat Zuhur, Rania gagahkan diri melangkah mendaki anak tangga menuju ke kamarnya di tingkat atas.

    Sebaik sahaja dia duduk di birai katil, Ummar Qayyum muncul dan berdiri tegak di hadapannya. Terkejut Rania dibuatnya.

    "Ren mengandung ya?" tanya Ummar Qayyum. Wajahnya masam mencuka sampai Rania tidak berani membalas pandangannya.

    "Kalau mengandung, janganlah simpan seorang. Ren ingat Ren tu siapa nak berahsia-rahsia begitu?" Hamburan kata-kata yang agak kesat itu benar-benar mengejutkan Rania.

    Ummar Qayyum tidak menunjukkan sebarang perasaan gembira malah mengambil mudah berita itu. Dia tidak pernah menduga begitu penerimaan Ummar Qayyum terhadap anak yang sedang dikandungnya. Jangkanya ego dan perasaan marah Ummar Qayyum akan lenyap sebaik sahaja mendengar perkhabaran tersebut. Perasaan terkejutnya jadi berganda apabila Ummar Qayyum meninggalkannya sendirian sebaik sahaja selesai mengucapkan kata-kata bak sembilu tadi.

    Benci sangatkah Ummar Qayyum pada aku sekarang ini? Dan anak ini? Ya Allah, besar sangatkah dosaku pada suamiku sampai tergamak dia meluahkan kata-kata sedemikian padaku? Dengan langkah longlai Rania menuju ke kamar mandi. Dia mahu menyejukkan hatinya yang benar-benar berasa kering dan kontang saat itu. Ya Allah! Kau berilah aku kekuatan kalau inilah dugaan yang Kau takdirkan buatku sekarang!

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/11
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Serangan guna teksi

    Posted:

    Papar: Hasrat pasangan suami isteri pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina berakhir dengan tragedi apabila si suami maut manakala isterinya parah selepas ditikam sekumpulan lelaki di tepi pantai berhampiran perkuburan Islam di Jalan Sekayan, Kampung Pengalat Besar dekat sini, malam kelmarin.

    Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa Nani Mansi, 31, maut di tempat kejadian selepas ditikam bertubi-tubi dengan kesan kira-kira 10 tikaman.


    Isterinya, Noraminah Bahari, 25, parah selepas menerima lebih tujuh tikaman di bahagian pinggang, namun sempat menyelamatkan diri dengan berlari sejauh kira-kira 1.5 kilometer sebelum diselamatkan penduduk kampung berhampiran dan menghubungi polis.

    Noraminah kemudian dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil dan kedua-dua mangsa adalah warga Filipina.


    Menurut sumber, sebelum kejadian kira-kira 8 malam, mangsa bersama isterinya menunggu teksi di Kompleks Sinsuran untuk ke perhentian bas di Terminal Wawasan Plaza bagi menaiki bas pulang ke kampung di Semporna untuk bercuti sempena Tahun Baru Cina.


    "Mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan di Kota Kinabalu menyewa sebuah bilik di Kompleks Sinsuran dan menaiki teksi untuk pulang ke kampung.

    "Selepas menaiki sebuah teksi yang turut ditumpangi seorang lelaki, mereka meminta untuk dihantar ke perhentian Terminal Wawasan Plaza di sini," katanya di sini, semalam.


    Sumber berkata, ketika dalam perjalanan, mangsa curiga apabila pemandu teksi itu tidak berhenti di terminal, sebaliknya menuju ke arah Papar dan dalam masa yang sama sebuah kereta mengekori mereka.

    "Selepas itu, berlaku pertengkaran dan sebaik tiba di lokasi kejadian, berlaku pergelutan sebelum pemandu dan tiga rakannya menikam mangsa menggunakan benda tajam. Semua suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian," katanya.


    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan George Rakman berkata, sebaik menerima panggilan penduduk kampung, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.


    "Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota polis menemui seorang wanita dalam keadaan parah lalu dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Isteri mangsa memaklumkan suaminya turut ditikam di kawasan semak dekat pantai di Kampung Pengalat Besar," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, semalam.


    Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis menemui mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tikaman di badan.


    "Siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan rompakan dan motif sebenar kejadian dipercayai akibat dendam dan cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan.


    "Beberapa barang berharga milik kedua-dua mangsa tidak hilang, namun hanya beg tangan mangsa tertinggal di dalam teksi dibawa lari oleh suspek berkenaan," katanya.


    George berkata, isteri mangsa yang parah kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan dalam keadaan stabil.


    "Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan, namun polis sedang giat memburu semua suspek yang terbabit.


    "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Papar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


    Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Papar di talian 088-912222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Nyaris maut diserang harimau

    Posted:

    GUA MUSANG: Seorang buruh warga Indonesia nyaris maut selepas diserang seekor harimau Kumbang dalam kejadian di ladang sawit Felda Perasu, dekat sini, semalam.

    Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa, Alip Abil, 33, bergelut selama 15 minit dengan haiwan itu untuk menyelamatkan diri, namun cedera di kepala, punggung, dada, lengan kanan dan tangan kiri sehingga menerima 50 jahitan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.

    Menurutnya, ketika melakukan kerja meracun rumput, dia diterkam haiwan berkenaan dari belakang.

    "Pada mulanya, saya menyangka babi hutan yang menyerang saya, namun selepas dapat melihat haiwan itu, barulah saya tahu ia harimau kumbang. Ketika bergelut dengannya, saya dicakar di kepala punggung, dada, lengan kanan dan tangan kiri.


    "Saya menjerit meminta tolong sebelum seorang rakan menghulurkan kayu dan saya menjolok mulutnya mulutnya dengan kayu itu ketika haiwan berkenaan hampir menggigit tengkuk saya," katanya.


    Alip berkata, haiwan berkenaan cuba pula menyerang seorang rakannya, tetapi melarikan diri selepas melihat rakannya itu memegang sebatang kayu.

    "Dalam keadaan berlumuran dan separuh sedar saya dibawa ke hospital. Ini pengalaman menakutkan dan saya hanya ingat mati ketika diserang haiwan berkenaan.

    "Mujur umur saya masih panjang," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/11

    fun. menang dua Grammy

    Posted:

    LOS ANGELES: Kumpulan fun. berjaya muncul juara dalam dua kategori utama pada acara Grammy Awards ke-55 yang diadakan di Staples Center, di sini pada malam Ahad (waktu tempatan).

    Kumpulan dari New York ini berjaya merangkul anugerah Song of the Year bagi "We Are Young" serta Best New Artist, manakala kumpulan Britain, Mumford & Sons mendapat Album of the Year untuk "Babel".

    Penyanyi Australia-Belgium, Gotye pula memenangi Record of the Year untuk "Somebody That I Used to Know".

    Penyanyi Britain, Adele yang memenangi enam Grammy tahun lalu mendapat anugerah pertama pada malam itu untuk Best Solo Performance bagi "Set Fire to the Rain".


    Beberapa artis generasi lama dan baru juga bergabung untuk membuat persembahan seperti nyanyian Sting bersama anak lagenda reggae Bob Marley selain Elton John dengan Ed Sheeran. - AFP


    Pemenang kategori utama:

  • Album of the Year: "Babel" (Mumford & Sons)
  • Record of the Year: "Somebody That I Used To Know" (Gotye featuring Kimbra)
  • Song of the Year: "We Are Young" (fun.)
  • Best New Artist: fun.
  • Best Rock Song: "Lonely Boy" (The Black Keys)
  • Best Rock Album: "El Camino" (The Black Keys)
  • Best R&B Song: "Adorn" (Miguel)
  • Best R&B Album: "Black Radio" (Robert Glasper Experiment)
  • Best R&B Performance: "Climax" (Usher)
  • Best Traditional R&B Performance: "Love on Top" (Beyonce)
  • Best Urban Contemporary Album: "Channel Orange" (Frank Ocean)
  • Best Pop Performance, Solo: "Set Fire to the Rain (live)" (Adele)
  • Best Pop Performance, Duo or Group: "Somebody That I Used to Know" (Gotye featuring Kimbra
  • Best Pop Vocal Album: "Stronger" (Kelly Clarkson)
  • Best Traditional Pop Vocal Album: "Kisses On The Bottom" (Paul McCartney)
  • Best Rap Song: "Ni**as In Paris" (Jay-Z & Kanye West)
  • Best Rap Album: "Take Care" (Drake)
  • Best World Music Album: "The Living Room Sessions Part 1" (Ravi Shankar)
  • Best Alternative Music Album: "Making Mirrors" (Gotye)
  • Best Jazz Instrumental Album: "Unity Band" (Pat Metheny Unity Band)
  • Best Country Song: "Blown Away" (Carrie Underwood)
  • Best Country Album: "Uncaged" (Zac Brown Band)
  • Best Hard Rock/Metal Performance: "Love Bites (So Do I)" (Halestorm) Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/11
  • Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved