Isnin, 8 April 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Persiapan masa depan

Posted:

Aroma kek dan biskut yang dibakar di dalam ketuhar begitu menusuk hidung. Sekumpulan wanita berpakaian serupa sibuk memasukkan adunan tepung ke dalam bekas sambil diperhatikan pegawai penjara. Keadaannya sama seperti sebuah kedai kek dengan setiap orang diberikan tugasan berlainan.

Apa yang membezakannya, ia dilakukan banduan yang sedang menjalani tempoh hukuman di Penjara Wanita Kajang.

Menariknya, setiap kek dan biskut yang siap dibakar dimasukkan ke dalam bekas berlabel dan sedia dihantar ke lokasi terpilih. Ada juga yang disediakan untuk tempahan orang perseorangan di kawasan sekitar. Malah tempahan semakin bertambah apabila tiba musim perayaan seperti Aidilfitri.

Penulis berpeluang merasai biskut yang dihasilkan banduan dan rasanya tidak kurang enak berbanding biskut yang dijual di pasaran. Malah harga lebih murah dan berkualiti.

Foto

KEMAHIRAN jahitan yang boleh dimanfaatkan banduan selepas keluar penjara.

Foto

BANDUAN diajar membuat kek ketika menjalani hukuman di penjara.


Di tingkat atas pula sebahagian banduan khusyuk menyiapkan tempahan baju kurung pelanggan. Namun bukan semua boleh bekerja di bahagian jahitan kerana ia biasanya dikhaskan untuk banduan yang menjalani hukuman tempoh panjang. Ini kerana, kemahiran ini mengambil masa yang agak lama untuk mencapai tahap mahir manakala bagi banduan baru, mereka mempelajari teknik jahit lurus menggunakan sisa kain.


Bagi banduan yang pandai membaca dan menulis pula diberi kelebihan mengikuti kelas memotong kain kerana lebih cepat dan cekap mengira ukuran dengan tepat. Kebiasaannya, semua kemahiran itu dipelajari dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan sebelum menjahit tempahan baju pelanggan.

Seperti kuih raya, tempahan pakaian juga berlipat kali ganda menjelang Aidilfitri kerana harga ditawarkan lebih murah berbanding di luar.

Selain memasak dan menjahit, terdapat beberapa kemahiran popular seperti membuat makanan sejuk beku dan mencanting batik yang turut disediakan kepada banduan. Ironinya, penjara yang dikatakan sebagai tempat pesalah menerima hukuman adalah sebuah sekolah kecil yang bukan saja mendidik tetapi mempersiapkan diri untuk menjadi manusia berguna dan berkemahiran selepas dibebaskan nanti.

Bagi Roslina, 42, (bukan nama sebenar) yang dipenjara atas kesalahan pecah amanah pada 2010 menganggap dipenjarakan bukanlah penamat kepada zaman hitamnya. Ini kerana selain mendalami ilmu agama, dia berpeluang mempelbagaikan kemahiran dalam bidang makanan.

"Saya berminat menyertai bengkel sejuk beku makanan kerana ingin mengetahui lebih lanjut cara penghasilan makanan sejuk beku.

"Jika sebelum ini saya hanya memasak untuk anak tetapi peluang menambah kemahiran menghasilkan makanan sejuk beku seperti karipap, murtabak, donat dan cucur badak sememangnya sesuatu yang sangat bermakna dan istimewa," katanya yang menjalani hukuman selama 13 tahun di Penjara Wanita Kajang.

Menurut Roslina, walaupun penghasilan makanan sejuk beku nampak mudah, ia memerlukan teknik tertentu bagi memastikan makanan dihasilkan separuh masak dan dapat disimpan dalam tempoh yang lama. Inilah yang dilakukan tenaga pengajar, mereka bukan saja menunjukkan teknik menghasilkan makanan sejuk beku tetapi menyediakan resipi bermula daripada penyediaan adunan, teknik penghasilan, menggoreng separuh masak sehingga kepada pembungkusan makanan.

Roslina yang melakukan kesalahan dengan mengambil wang pelanggan dan dimasukkan ke dalam akaun simpanan benar-benar menyesal dengan apa yang berlaku. Selain sedih kerana terpaksa meninggalkan anak-anak, dia berbangga kerana mereka memberi sokongan kepada dirinya.

"Saya sangat rapat dengan anak-anak dan begitu sayangkan mereka. Selepas dipenjarakan saya jelaskan apa yang berlaku, mereka dapat menerimanya dan memberi sokongan kepada saya. Lebih penting mereka sangat berdikari walaupun tanpa saya di sisi," katanya.

Bagi Roslina, dia reda dengan apa yang berlaku dan berharap ada hikmah di sebaliknya. Inilah juga masa untuk berfikir dan memperbetulkan kesilapan. Walaupun melalui dugaan yang berat ketika di penjara, hidup harus diteruskan. Dia juga tidak bercadang untuk bekerja dalam bidang yang sama selepas dibebaskan sebaliknya mahu memulakan hidup baru bersama anak-anak.

"Mungkin dengan kemahiran dalam pembuatan makanan sejuk beku, saya boleh memulakan perniagaan secara kecil-kecilan kerana masa depan dalam bidang makanan sangat besar," katanya.

Bagi Janice, 28, (bukan nama sebenar) sebelum ini dia tidak pernah melakukan kerja mencanting batik disebabkan tidak berpeluang melakukannya. Namun selepas dipenjara atas kesalahan membunuh teman lelaki tanpa niat pada 2010, dia teringin mencuba bidang itu.

"Pada peringkat permulaan, saya diperkenalkan dengan jenis kain dan warna. Selepas mencuba ia tidak semudah disangka kerana ia memerlukan kreativiti dari segi gabungan warna ketika melakukan kerja mencanting," katanya.

Janice yang menjalani hukuman penjara sehingga 2018 mengakui sangat gembira kerana berpeluang mempelajari kemahiran yang dapat membantu dirinya memperoleh pekerjaan apabila bebas nanti. Sekurang-kurangnya kelak dia dapat membuka perniagaan atau bekerja dalam bidang berkaitan.

Selain batik, Janice teringin mencuba kemahiran menjahit, spa, katering dan makanan sejuk beku namun lebih berminat kepada mencanting kerana mahu meluahkan perasaan menerusi lukisan.

"Sejak dulu saya memang suka melukis. Apabila menghadapi tekanan, melukis dan bermain dengan warna mampu meredakannya dan membuatkan saya kembali ceria," katanya yang berharap masyarakat dapat menerima dirinya selepas keluar dari penjara nanti.

Pada masa hadapan, Janice ingin memperbaiki teknik melukis dan mencari pengalaman dalam bidang fesyen.

"Saya memang minat menjahit tetapi tidak pernah mencuba disebabkan tidak berpeluang melakukannya. Selepas dipenjara dan menyertai bengkel jahitan, baru saya tahu ia bidang yang sangat menarik dan memerlukan tumpuan yang tinggi," jelas Amnah, 32, (bukan nama sebenar).

Dia yang dipenjara pada 2010 atas kesalahan samun kini menunggu untuk dibebaskan pada September nanti.

Mengikuti bengkel jahitan pada Ogos 2012 lalu, oleh kerana Amnah tidak pernah menjahit dia diajar menggunakan jarum dengan menjahit lap kaki terlebih dulu. Selepas itu sedikit demi sedikit Amnah belajar menghasilkan baju menggunakan mesin jahit.

"Mulanya memang nampak susah kerana saya tidak pernah memegang jarum. Selepas tahu menggunakan mesin jahit, ia semakin mudah. Dalam masa dua minggu saya berjaya menghasilkan baju kurung kanak-kanak," katanya gembira.

Lama-kelamaan timbul rasa seronok terutama apabila mempelajari jahitan manik. Ini kerana Amnah bukan sekadar menjahit sebaliknya memilih jenis dan warna manik bersesuaian dengan pakaian. Melakukannya juga memerlukan kesabaran yang tinggi kerana manik yang kecil perlu disusun mengikut ukuran dan warna bagi menghasilkan perincian menawan.

"Di sinilah letaknya daya kreativiti seseorang dalam menghasilkan jahitan. Kesilapan dalam memilih warna dan ukuran manik akan menjejaskan keindahan pakaian," katanya.

Menceritakan bagaimana boleh ditangkap, Amnah mengikut rakan mencuri motosikal di sebuah taman perumahan. Malangnya ketika serbuan, dia ditangkap manakala rakannya berjaya melarikan diri.

"Memang sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga tapi saya reda dan benar-benar menyesal dengan apa yang berlaku. Saya berjanji tidak akan mengulanginya dan ingin berubah menjadi manusia sempurna seperti orang lain," katanya.

Menurut Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Jabatan Penjara Malaysia, Rokiah Deraman, tiada yang membezakan antara mengajar banduan dan individu biasa kerana kedua-duanya bergantung kepada keupayaan masing-masing. Apa yang ditekankan ialah teknik pengajaran supaya dapat dimanfaatkan apabila banduan keluar dari penjara.

Setiap banduan menjalani tempoh kursus selama enam bulan sebelum menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Satu daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran. Ini menunjukkan setiap kemahiran mendapat pengiktirafan kerajaan dan boleh digunakan apabila dibebaskan nanti.

Sebagai tenaga pengajar, Rokiah akui setiap banduan begitu komited mempelajari ilmu dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Ini mungkin disebabkan ia satu bidang baru yang belum pernah dipelajari sebelum ini lantas setiap teknik dan pengajaran diambil secara positif.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

Cikgu Rania 2 (Siri 39): Masih kuharap padi di seberang

Posted:

Wajah bujur sirih yang kelihatan begitu sugul itu direnung Halim dari satu sudut yang terpencil. Agak pelik melihat raut yang selama ini ceria berubah rona. Apa yang ditanggung Rania? Tidak bahagiakah Rania dengan rumah tangga yang dibina?

Dulu, aku menarik diri kerana sedar diri ini bukan pilihan cinta buat Rania tapi masih tidak bertemu bahagiakah Rania?

Hati Halim berdetak kencang. Halim kian mendekati Rania. Di sisi Rania, ada ibunya yang setia menemani. Ummar Qayyum tidak pula kelihatan. Di mana Ummar Qayyum? Sudah balik ke Swedenkah? Seingat Halim, Ros Ilyani ada memberitahunya bahawa Ummar Qayyum masih berada di Malaysia pada masa itu.

"Jambu kamu ni sedap sungguh Halim," pujian Puan Sri Zalia membuatkan Halim tersenyum nipis.


Terbang lamunannya seketika. Beberapa hirisan jambu yang dipotong kecil-kecil oleh Puan Sri Zalia disuakan pula kepada Rania. Dicapai sepotong oleh Rania tetapi seleranya terbantut. Dia meletakkannya balik di pinggan.


"Kenapa tak makan Ren? Kau kan suka sangat dengan jambu Janda Baik," tanya Halim apabila menyedari Rania tidak mampu menghabiskan walau sepotong kecil hirisan jambu.

"Tak selera," sahutnya perlahan.

"Makanlah, susah susah Halim bawa," pujuk Puan Sri Zalia pula.

Dia pula yang rancak mengunyah buah jambu dan berulang-ulang memakannya.

"Mana Qayyum mak cik?" tanya Halim berbasi-basi.

"Sepatutnya dia dah datang ni." Jam di dinding dilihat Puan Sri Zalia.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Ummar Qayyum di skrin telefon. Kening Puan Sri Zalia berkerut. Dia meminta diri dan keluar dari bilik sakit Rania.

Tempat Puan Sri Zalia diambil pula oleh Halim. Sekali lagi wajah bujur sirih yang selama ini bertakhta di hati direnung dengan sebuah keluhan.

"Maaf kan aku Ren, lambat ziarah kau. Aku di Singapura masa tu." Maklum Halim tentang situasinya.

Rania angguk lesu. Kedudukannya diperbetul. Dia tidak mahu berbaring dengan adanya Halim di sisi tanpa ibu. Tudung kelabu yang menutupi kepalanya pula dilabuhkan.

"Kenapa kau kurus sangat Ren?" Halim telus bertanya. Itu yang dilihat di mata kasarnya dan kerana itulah dia bertanya.

"Aku memang kurus pun," sahut Rania acuh tak acuh.

"Ah, selama aku kenal kau, mana kau pernah kurus macam ni," bantah Halim.

Dia sayangkan Rania dan sehingga kini dia mengambil berat tentang wanita itu. Semua tentang Rania sudah masak di fikirannya.

Pertanyaan Halim membuatkan Rania sedih. Dia memalingkan muka dan menahan diri. Seboleh-bolehnya biarlah penderitaan yang ditanggung hanya diketahui oleh dirinya sahaja. Dia tidak sudi berkongsi masalahnya dengan sesiapa apatah lagi dengan Halim. Halim tidak boleh tahu masalah rumah tangganya.

"Kau nak berahsia dengan aku?" serkap Halim.

Rania membatukan diri.

"Ren...," panggil Halim lembut.

"Kak Ros ada bercerita sikit-sikit pada aku tentang masalah kau," kata Halim kemudian.

Rania menghela nafas. Ah! Susah untuk merahsiakan masalahnya daripada Halim kerana kini kakak Halim, Ros Ilyani sudah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

"Aku tumpang simpati...," tambah Halim lagi.

"Aku tak perlukan simpati sesiapa," Rania mencebik.

"Ren, aku kawan kau sejak zaman kita remaja lagi. Kau tetap jadi teman aku. Walau apa pun masalah yang kau lalui, jangan sesekali kau lupa bahawa aku akan sentiasa menyokong kau." Kata-kata semangat yang dihulur oleh Halim membuatkan Rania tercebik.

"Dah nasib aku!"

Halim tergelak kecil. Rania menjeling padanya.

"Apa yang kelakar Halim?"

"Ren, itu bukan nasib! Itu sebahagian kecil dugaan Allah untuk engkau."
"Ah, kau tak tahu Halim.

Kau sibuk dengan pokok jambu dan hidup kau..."

"Kau pun sibuk dengan hidup kau..."

"Memang selama ini aku pun sibuk dengan hidup aku Lim. Aku tak berapa kisah sangat sehinggalah Allah beri aku rasa akan makna sebuah kehilangan sebelum sempat aku memilikinya." Sendu Rania kedengaran.

"Aku tahu makna kehilangan tu Ren, aku tahu. Dah berkali-kali aku laluinya," tekan Halim. "Aku pernah kehilangan emak ayah, kehilangan isteri, kehilangan anak malah aku pernah hilang kehidupan sehinggalah kau datang dan membawa obor menyemarakkan kembali hidup aku!"

Rania terkesima.

"Kau lupa peranan besar kau dalam hidup aku? Kau lupa kau yang memberi semangat pada aku?"

Rania menelan liurnya.

"Daripada lelaki lumpuh yang tidak berdaya di kerusi roda, kau dorong aku, kau memotivasi aku. Kau sabar melayan kerenah aku. Kau jinakkan aku dan akhirnya kau juga yang berperanan menjadikan aku seorang usahawan yang berjaya seperti hari ini."

Rania angkat mukanya perlahan-lahan.

"Kau wanita yang hebat Ren, kau wanita perkasa. Itu Ren yang aku kenal!" Pujian Halim menyimpulkan sebuah senyuman pada Rania.

"Terima kasih Halim..."

"Qayyum dah balik kampung. Ambil emaknya dengan Murni," ujar Puan Sri Zalia apabila dia masuk semula ke bilik Rania.

Halim sudah pulang dan sempat bersalam-salam dengannya sebelum meminta diri tadi. Tangannya menekan-nekan huruf yang tertera di skrin telefon. Seketika kemudian, dia bercakap pula dengan Pak Mud.

"Pak Mud datang sekarang ya!" arah Puan Sri Zalia sebelum talian dimatikan.
Beberapa barangan di atas meja sisi di tepi katil Rania dikemas lalu dimasukkan ke dalam bakul.

"Ren nak balik bila?" tanyanya pada Rania pula. "Doktor kata Ren dah boleh balik ke rumah dah kalau nak. Hari ni pun boleh balik!"

"Terpulanglah mama."

"Berehat kat rumahlah ya, senang sikit mama. Tak payah nak berulang alik hospital," tambah Puan Sri Zalia lagi.

Rania akur pada kata-kata ibunya. Entah mengapa, hatinya rasa agak tenang sebaik berbual dengan Halim tadi. Banyak benarnya kata-kata Halim tadi.
Pengalaman mematangkan Halim. Kalau begitu, pengalaman juga sepatutnya mematangkan aku! Fikirnya. Kerana itu juga, dia bersetuju pulang ke rumah petang itu juga. Kelam-kabut Puan Sri Zalia bersama Makcik Rohaya mengemaskan barang-barangnya. Cutinya pula dilanjutkan.

"Ren nak sambung cuti tanpa gaji?" tanya Puan Sri Zalia yang telah pun berbincang dengan Tan Sri Razlan tentang cuti Rania.

"Ya mama."

"Nanti ayah uruskan," ujar Puan Sri Zalia.

Rania malas ambil tahu. Kesihatannya kurang memberangsangkan untuk dia memikirkan hal-hal lain. Badannya masih berasa lemah malah tenaganya terhad. Apabila mereka sampai di rumah, Ummar Qayyum masih belum sampai dari kampung.

"Qayyum tidur di kampung emaknya ke Puan Sri?" tanya Makcik Rohaya semasa dia memasukkan barang-barang Rania ke dalam bilik.

"Tidak. Dia jemput saja."

"Nak balik kampung tak sempat-sempat. Nak balik ke sini pun tak boleh tunggu, hai bukan main lagi." Bebelan Makcik Rohaya kedengaran.

Dia meradang mendengar berita Ummar Qayyum kena jemput Nenek Ninda bersama Murni di kampung.

"Kalau tidak Bakhtiar yang jemput tapi dia ada hal pula," sahut Puan Sri Zalia.

"Sudahnya Rania kena balik dengan Pak Mud. Patutnya suami dia yang jemput," leternya lagi.

"Tak apalah, mak dia!" ujar Puan Sri Zalia.

Rania dibantu oleh ibu bersama Makcik Rohaya untuk naik ke atas. Dia memerhatikan sekeliling bilik yang ditinggalkan. Kamar yang sentiasa kemas dan berbau harum. Semasa dia hendak masuk ke bilik air, dia rasa berdebar-debar. Di situlah dia terjatuh dan kandungannya keguguran. Pedih hati hanya Allah yang tahu.

"Baik-baik Ren." Tubuhnya segera diapung oleh Makcik Rohaya semasa kakinya melangkahi bendul di bilik air.

Wajah Makcik Rohaya berkerut. Dia terkenang cairan pencuci lantai yang bercampur dengan darah Rania setiap kali masuk ke bilik air tersebut. Selesai menguruskan Rania, dia berjumpa dengan Puan Sri Zalia lalu menceritakan hal tersebut.

"Kenapa akak baru bagi tahu?" Puan Sri Zalia terkejut.

"Dah lama saya nak bagi tahu tapi Puan Sri suruh tunggu," ujar Makcik Rohaya mengimbas cerita tersebut.

"Jadi maksud akak, ada orang sengaja nak jatuhkan Ren?" Puan Sri Zalia memohon penjelasan.

Makcik Rohaya angguk.

"Siapa?"

"Er... tak ada orang lain lagi di rumah ni selain dari....er..." Makcik Rohaya tergagap-gagap.

"Siapa kak?"

"Er...Murni."

"Murni?"

"Ya, Murni."

Terduduk Puan Sri Zalia mendengarnya. Penjelasan Makcik Rohaya benar-benar memeranjatkan Puan Sri Zalia. Semakin sesak nafasnya apabila dimaklumkan oleh Makcik Rohaya tentang penemuan beberapa botol berisi minyak pengasih di bilik Murni. Benarkah seperti dakwaan pembantu rumahnya bahawa Murni turut memainkan peranan dalam menghuru-harakan hubungan antara Rania dengan Ummar Qayyum? Beberapa biji botol kecil yang ditunjukkan oleh Makcik Rohaya diperhatikan saja. Dia tidak berani menyentuhnya.

"Dah dibawa oleh Pak Mud berjumpa dengan ustaz Qasim. Dia dah pun mengesahkan tentang minyak pengasih ni." Makcik Rohaya gulung semula botol-botol kosong di dalam kain perca lalu dimasukkan semuanya ke dalam uncang asal.

"Susah saya nak percaya benda-benda macam ni kak," akui Puan Sri Zalia.

"Memanglah kak. Benda macam ni tak nampak tapi Puan Sri kena percaya juga. Puan Sri tengok sajalah dalam rumah tangga ni. Saya nampak banyak yang tak kena," tekan Makcik Rohaya lagi.

Dia sedar bukan semudah itu untuk Puan Sri Zalia percaya akan cerita yang baru disampaikan padanya sebentar tadi.

"Takkan tergamak si Murni nak buat benda macam ni?" dalihnya lagi.

Sukar sungguh untuk dia mempercayai bahawa Murni mempunyai niat serong terhadap Rania dan Ummar Qayyum.

"Berdosa kalau kita menuduhnya."

"Jadi Puan Sri ingat Rania jadi macam tu sebab apa?"

"Memang perangai Ren macam tu. Sejak dulu dia keras kepala. Tengok saja apa yang Ren dah lalui. Dia jenis tak kisah. Bukan dia tak pernah putus cinta!

Berkali-kali. Dengan Farhan dulu, selamba sahaja dia pergi ke Sabah lepas Farhan buat hal. Lepas tu dengan Halim. Ada dia kisah? Kisah tak kisah masa Qayyum tinggalkannya dan pergi ke Sweden, nampaklah hatinya parah sikit, tapi sekejap lepas tu dia balik semua ke perangai tak kisahnya tu."

"Itu lain Puan Sri, saya pun kenal Ren tu. Saya tahu hati budinya."

"Entahlah kak, pening saya kenangkan Ren seorang ni."

"Ni bukan semata-mata kerana Ren ataupun Qayyum Puan Sri, ni dah bercampur-aduk dengan ubat ubat pengasih ni. Mereka berdua tu dah terkena. Saya yakin sangat." Beriya-iya benar Makcik Rohaya mempertahankan pandangannya. Puan Sri Zalia tidak terkata.

Sungguhpun dia kurang percaya akan cerita-cerita sedemikian tetapi dalam diam, dia memerhatikan tindak tanduk dan geri geri seisi keluarga. Pulangnya Ummar Qayyum daripada menjemput Nenek Ninda dan Murni, diperhatikan tingkah laku Ummar Qayyum dan Murni.

Tidak ada yang pelik atau mencurigakan. Malah, dia mengikut Ummar Qayyum yang naik menjengah Rania di bilik. Dia mahu lihat kalau-kalau penerimaan Rania terhadap Ummar Qayyum mulai berubah tetapi apa yang diharap tidak menjadi.

Rania tetap dingin terhadap Ummar Qayyum. Muka Ummar Qayyum langsung tidak dipandang Rania. Setiap kali Ummar Qayyum menghampirinya, dia akan menoleh ke arah lain. Adakalanya, dia akan menyembunyikan mukanya di sebalik gebar. Dia memang tidak sudi memandang muka si suami. Perasaan belas kasihan Puan Sri Zalia pada Ummar Qayyum makin menjadi-jadi.

Ummar Qayyum benar-benar jadi mangsa kemarahan Rania. Rasa kasihan pada Rania sudah bertukar menjadi marah dek tindakan Rania terhadap Ummar Qayyum.

"Mama tak tahu nak buat macam mana dah Qayyum. Mama buntu! Mama tak faham kenapa Ren bersikap macam tu pada Qayyum," rintih Puan Sri Zalia semasa dia bersama Ummar Qayyum minum petang di pondok di laman hijau.

"Saya tahu dia marahkan saya." Nescafe O panas dihirup oleh Ummar Qayyum.

Jauh di sudut hati, Ummar Qayyum dapat merasakan banyak sebab Rania marahkannya. Ceritanya meleret-leret. Daripada kes-kes kecil melibatkan Ummi Kalthum melarat pula ke Murni dan klimaksnya apabila Rania keguguran. Apabila dihimpun semua, bertambah marah Rania kepadanya. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat.

"Nak marahkan Qayyum kenapa?" Puan Sri Zalia tetap tidak mengerti.

"Banyak sebab mama, yang paling utama ialah dia menyalahkan saya sebab kegugurannya," tutur Ummar Qayyum sedih.

Dia sedar permasalahan antaranya dengan Rania menjadi semakin buruk ekoran peristiwa keguguran itu.

"Qayyum buat apa? Apa salah Qayyum? Ren yang terjatuh di bilik air. Bukan Qayyum yang tolak." Beberapa kali Puan Sri Zalia menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak mengerti mengapa Rania masih bermasam muka dengan Ummar Qayyum sehingga ke saat itu.

Terkenang pula akan cerita Makcik Rohaya tentang cairan pencuci lantai. Makcik Rohaya menuduh Murni bertanggungjawab. Kononnya Murni busuk hati terhadap Rania. Murni tidak akan membiarkan Rania dan Ummar Qayyum hidup bahagia.

Benarkah? Tergamakkah Murni berbuat begitu? Bagaimana kalau apa yang dikatakan oleh Makcik Rohaya ada kebenarannya? Naik seriau pula bulu roma Puan Sri Zalia memikirkannya.

"Hal-hal kecil yang saya tak sangka akan menjadi besar pula," sahut Ummar Qayyum, menepis lamunan yang hinggap di minda Puan Sri Zalia.

"Bumi mana yang tak ditimpa hujan Qayyum. Suami isteri memanglah akan sentiasa berselisih faham tapi adatlah."

"Mungkin salah saya juga mama..."

Puan Sri Zalia mengeluh dalam. Tiba-tiba dia berasa ingin tahu tentang Murni. Tak salah kalau aku dapatkan sedikit maklumat daripada Ummar Qayyum.

"Murni macam mana Qayyum?" Topik perbualan Puan Sri Zalia pusingkan.

"Murni?" tanya Ummar Qayyum balik.

"Er, yalah, maksud mama, macam mana dia menerima perkahwinan Rais dengan Ros Ilyani? Mama pun tak sempat nak sembang-sembang dengan dia. Banyak sangat masalah yang melanda keluarga kita akhir-akhir ni."

Ummar Qayyum termenung sejenak. Sejujurnya, dia memang tidak berapa ambil peduli tentang Murni tetapi dia tahu emaknya sangat prihatin pada nasib Murni dan anaknya. Dia sedar Murni banyak bercerita dan mengadu pada emaknya tentang keadaan dirinya.

"Dia marah tak Rais kahwin lain?" cungkil Puan Sri Zalia berhati-hati.

"Saya rasa dia tersinggung. Saya terdengar dia bercerita pada emak."

"Sebab itu ke dia selalu balik kampung akhir-akhir ni?"

"Mungkin juga."

"Tapi Rais dengan Ros akan berpindah nanti, mereka ada cakap dengan mama, nak pindah..."

"Murni?" tanya Ummar Qayyum prihatin.

"Murni duduk dengan mamalah kat sini. Sesekali Rais balik tengok dia dengan anaknya. Takkan nak mereka berkumpul semua di sini..." komen Puan Sri Zalia.

Ummar Qayyum angguk faham. Sungguhpun tubuhnya ada bersama Puan Sri Zalia tetapi roh dan hatinya ada di tempat lain. Dia terkenangkan Rania. Dia tahu Rania ada rancangannya yang tersendiri. Dia yakin Rania sedang merancang sesuatu. Dia melemparkan pandangan ke arah jendela di bilik Rania.

Ren, kembali pada abang! Abang merinduimu!

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Malu digelar pelarian

Posted:

Shah Alam: "Saya pernah mendapat rawatan di hospital kerajaan menggunakan kad pengenalan kawan yang simpati. Ia berikutan saya tiada dokumen pengenalan diri termasuk kad pengenalan sejak kecil," kata remaja, Nor Fazlin Moh Mashuri, 21, dari Kampung Batu Belah, Klang.

Tidak cukup dengan pengalaman itu, dia yang diserah kepada keluarga angkat sejak kecil turut berdepan pelbagai penghinaan termasuk segelintir kawan yang mengejeknya sebagai pelarian.


"Banyak pengalaman sedih terpaksa saya lalui kerana tiada dokumen pengenalan. Nak dapat rawatan tak boleh, nak bekerja tak boleh dan nak bersekolah pun tak boleh. Saya hanya bersekolah setakat tadika sahaja. "Apabila keluarga angkat mahu memasukkan saya ke sekolah rendah, permohonan ditolak kerana tiada dokumen," katanya.

Sedih dengan kehidupan yang dianggap tidak menentu di tanah kelahiran sendiri, Nor Fazlin ditemani bapa angkat barunya, Samsidin Pama, 55, menemui wakil Harian Metro merayu pertolongan agensi kerajaan atau pihak yang berkaitan bagi menyelesaikan kemelut dihadapinya itu.


Menurut Nor Fazlin, beliau difahamkan keluarga kandungnya menyerahkan dia kepada keluarga angkat sebaik dilahirkan, tetapi keluarga angkatnya itu menyerahkannya kepada satu lagi keluarga angkat, Mohd Mashuri Salimin dan Noriah Abu Hasan yang menetap di Kampung Batu Belah, Klang.


"Kini keluarga angkat saya itu sudah meninggal dunia dan saya bertemu keluarga angkat baru, Samsidin dan isterinya (juga tinggal di kampung yang sama). Sejak kematian keluarga angkat, saya terus hilang arah. "Saya merayu kepada Perdana Menteri, tolonglah saya. Saya hidup dalam kesedihan meneruskan masa depan.

Foto

NOR Fazlin menunjukkan dokmumen dimiliki kepada Rosli (kanan).

"Saya perlukan kad pengenalan kerana mahu bekerja. Saya percaya kerajaan mampu membantu," katanya.


Samsidin yang menemani Nor Fazlin semalam, turut berharap masalah anak angkatnya itu dapat diselesaikan kerana dia gadis yang cerdik walaupun tidak bersekolah.

Menurutnya, kini Nor Fazlin bekerja di sebuah stesen minyak atas ihsan pemiliknya yang bersimpati, tetapi anak angkatnya itu memerlukan dokumen pengenalan diri.


"Setakat ini dia hanya ada satu salinan akuan sumpah keluarga angkat pertama kepada keluarga angkat kedua yang menjadi dokumennya untuk bergerak ke sana ke sini," katanya.


Sementara itu, Bendahari UMNO Bahagian Kota Raja Datuk Rosli Mohd Amin yang simpati dengan masalah itu berharap semua pihak dapat membantu Nor Fazlin mendapatkan dokumen diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Ada strategi tersendiri

Posted:

Program realiti Akademi Fantasia (AF) nyata satu platform terbaik buat Hafiz dan Hazama membina karier nyanyian mereka. Kini kedua-dua jejaka yang dipilih peminat sebagai juara AF musim ketujuh dan kesembilan ini nampaknya memiliki strategi tersendiri untuk terus bertahan.

Tak nafikan, pengaruh seni dua 'H' ini semakin menjadi perhatian ramai. Jika Hafiz makin cemerlang di pentas nyanyian apabila berjaya menembusi pasaran muzik Indonesia serta meraih peluang mengadakan konsert solo pertama di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 3 Jun nanti, Hazama pula giat berlakon.

Apatah lagi, ia sudah dibuktikan pada lakonannya dalam filem Apa Celop Toqq arahan Ahmad Idham. Biar baru pertama kali menjadi hero filem namun pencapaian Hazama cukup menakjubkan apabila namanya dicalon untuk kategori Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25), Mac lalu.

Memaklumkan bidang lakonan membantu membentuk keyakinan dirinya, namun fokus Hazama pada nyanyian tidak pernah pudar. Bahkan, kini dia begitu teruja menantikan kemunculan album sulungnya yang dijangka akan menembusi pasaran muzik tanah air penghujung Mei nanti.


Menurut Hazama, album yang akan mengangkat judul Penglipur Lara itu cukup istimewa baginya kerana ia adalah hasil penantiannya selama tujuh tahun untuk dikenali sebagai anak seni.


Katanya, berkat kesabaran menanti terlalu lama untuk album ini membuatkan dia amat bersyukur dengan nikmat diperoleh.

"Sebanyak sembilan lagu dimuatkan di dalam album ini yang mana enam daripadanya adalah lagu baru dan tiga lagi ialah lagu bonus seperti Relakan Jiwa, Simetri dan Noktah. Apapun, single taruhan saya untuk album ini nanti ialah Penglipur Lara ciptaan Audi Mok dan lirik pula ditulis oleh Omar K.

"Bahkan, Penglipur Lara dipilih sebagai judul album kerana ia bertepatan dengan impian saya untuk bergelar penyanyi. Malah, secara keseluruhannya juga lagu-lagu dimuatkan di dalam album ini ada hubung kaitnya dengan perjalanan saya untuk membina nama sebagai anak seni yang berjaya.

"Ternyata, bukan mudah untuk saya menempa nama pada tahap sekarang. Justeru, dalam tempoh dua tahun yang aktif ini, saya sangat bersyukur dan gembira dengan pencapaian diri. Segala usaha dilakukan selama ini nampaknya makin membuahkan hasil dan kini impian saya pastinya untuk terus bertahan," katanya.

Memilih konsep pop rock untuk album itu, Hazama berkata, proses rakaman lagu semuanya sudah siap dilakukan dan kini hanya menunggu untuk pembikinan muzik video lagu Penglipur Lara yang menjadi single pertamanya. Malah, dia juga mahu album dan muzik videonya dilancarkan secara serentak.

Mengulas mengenai bidang lakonan pula, Hazama berkata, dia berlakon kerana mendapat peluang daripada Ahmad Idham yang dianggap berani mengambil risiko mengetengahkan bakatnya. Dia tidak pernah menyangka bahawa bakat lakonannya cukup diyakini oleh Ahmad Idham.

"Apa yang pasti, lakonan bukanlah pilihan pertama saya. Pembabitan saya hanya sekadar mencuba saja dan menyahut cabaran bersandarkan keyakinan Ahmad Idham pada bakat yang ada pada diri ini. Bagaimanapun, jujur saya katakan bahawa lakonan berjaya membantu membentuk keyakinan diri saya.

"Dulu, saya adalah seorang yang pemalu untuk beraksi di hadapan kamera. Namun, sejak terbabit berlakon di bawah bimbingan Ahmad Idham, saya bertambah yakin," katanya terus mendapat kepercayaan daripada Ahmad Idham untuk membintangi filem Lari dan sebelum itu menjayakan telefilem Ady Valentino.

Mengakui dia lebih selesa berlakon filem berbanding telefilem atau drama, Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 28, turut menolak dakwaan mengatakan yang dirinya kini menjadi 'anak emas' kepada Ahmad Idham selepas pelakon Kamal Adli. Ujar Hazama, dia masih baru dan belum layak dilabel sebegitu.

Hafiz selesa fokus karier berbanding kisah cinta

Pada usia 23 tahun, Hafiz sudah berjaya mengecapi pelbagai kejayaan besar dalam karier nyanyian yang diceburi sejak empat tahun lalu. Justeru, secara tidak langsung, kejayaan itu turut meletakkan nama Hafiz dalam kelas tersendiri terutama membuktikan betapa dia adalah juara AF paling komited dan efektif.

Bimbingan diberikan pengetuanya, Datin Seri Tiara Jacquelina nyata tidak pernah disia-siakan Hafiz. Bahkan, pemuda kelahiran Kuching, Sarawak ini sudah mampu tersenyum lebar apabila impiannya untuk melebarkan sayap untuk karier nyanyiannya bertapak di persada muzik Indonesia sudah menjadi kenyataan.

Pada tahun lalu, juara program Mania terbitan Astro yang bernaung di bawah empayar pemuzik ternama Indonesia, Ahmad Dhani itu melancarkan albumnya Hafiz Suip : Luahan Hati Anak Seni di Indonesia. Malah, selain lagu Awan Nano, Hafiz juga dikenali di negara jiran itu menerusi lagu Bahagiamu Deritaku.

"Bagi saya, ia lagu yang cukup puitis mengisahkan cinta tak kesampaian ciptaan Ly dan Baiduri. Malah, saya sangat berpuas hati dengan lagu ini kerana turut diterima baik di Indonesia. Kini, saya dalam proses untuk melancarkan album berkenaan untuk pasaran Malaysia pula.

"Sebagai album ketiga saya untuk pasaran tempatan, sebanyak sembilan lagu dimuatkan termasuk Bahagiamu Deritaku. Bagi saya, album ini cukup bermakna kerana bekerjasama dengan ramai komposer terkenal yang bertindak sebagai penerbit seperti Ajai, Kunci Demak, Ly, Baiduri, AG Coco dan Zul 2 By 2.

"Bagaimanapun, album ini dijangka berada di pasaran muzik tanah air pada hujung April nanti. Justeru, harapan saya semoga album ini disukai ramai dan diterima baik peminat. Namun, apapun saya amat berterima kasih kepada kelab peminat Hafiz FC yang masih aktif menyokong saya hingga kini ," katanya.

Bakal mengadakan konsert solo pertama yang mengisi segmen 'Spotlight' di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC pada Jun ini, Hafiz akui dia cukup teruja dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik. Ujarnya, menyedari bukan mudah memperoleh peluang keemasan itu, Hafiz berasakan dirinya amat bertuah dengan kepercayaan diterima.

"Memang menjadi impian saya juga untuk beraksi di pentas berprestij seperti DFP. Jadi, apabila memiliki peluang ini saya bertekad mahu memberikan yang terbaik kepada penonton yang hadir menyaksikannya. Apatah lagi, kesudian mereka membeli tiket untuk hadir menyaksikan persembahan saya.

"Saya amat terharu dengan sokongan yang diberikan peminat. Begitu juga dengan kedua-dua ibu bapa saya dan keluarga. Bagi saya, tanpa sokongan itu, pasti takkan berada hingga ke tahap ini. Apapun, saya sangat bersyukur dan berharap semua sokongan ini akan berterusan kekal bertahan," katanya.

Berbicara pula mengenai hubungan cintanya, Hafiz tanpa berselindung mengakui kini memang dia menjalin cinta dengan seseorang. Pun begitu dia lebih selesa berbicara mengenai perkembangan karier berbanding kisah peribadi.

Kata Hafiz, buat masa ini dia takkan memberi lebih komen mengenai cintanya.

Menyentuh pula soal lakonan Hafiz berkata, biar pun dia pernah menonjolkan bakat seninya sebagai pelakon, namun dia lebih memilih untuk fokus utamanya pada nyanyiannya.

Katanya, kini dia juga lebih memberi ruang pada dirinya menceburi bidang penulisan lirik dan mencipta lagu.

Bagi konsert sulungnya di DFP pada 3 Jun ini, tiket berharga RM80 sudah habis terjual. Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert ini, masih boleh mengisi kekosongan bangku VIP dengan harga tiket RM124 dan RM144. Keterangan lanjut layari dfp.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Chong Wei jadi bahan ujikaji

Posted:

Kuala Lumpur: Sejak kekalahan kepada pemain nombor dua dunia Chen Long di Seluruh England, Mac lalu, segala kekuatan yang ada pada pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei sememangnya dijangka akan menjadi bahan analisa penting untuk China gunakan kepada semua pemain pelapisnya, sebelum Lin Dan bersara.

Hakikat itu ternyata benar apabila pemain berusia 21 tahun, Tian Hou Wei berjaya menterjemahkan apa yang pernah dilakukan Chen Long dan Lin Dan ketika menewaskan Chong Wei di separuh akhir Terbuka Australia, bukannya Du Pengyu dan bukan juga Wang Zhengming.


Kekalahan Chong Wei bukan isunya, malah bekas pemain kebangsaan menimbulkan persoalan mengenai perancangan dan pendirian Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menghantar barisan pemain elit negara ke kejohanan berstatus GP Emas itu.

"Mengapa BAM menghantar Chong Wei ke Australia sedangkan kejohanan itu berstatus GP Emas, malah Chong Wei sendiri dalam keadaan tidak sihat sepenuhnya kerana demam," kata bekas pemain kebangsaan yang pernah mengharumkan nama negara.


Katanya, sebagai pemain yang sudah mencapai tahap tertinggi, Chong Wei tidak seharusnya beraksi di Australia.


"Untuk apa menghantar Chong Wei ke Australia? Dia baru saja tewas kepada Chen Long di Birmingham Mac lalu dan terpaksa berdepan pemain jauh lebih muda dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya.

Foto

Datuk Lee Chong Wei

"Saya tidak nampak keperluan menghantar Chong Wei, begitu juga Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. Mereka tidak perlu memburu mata untuk menempatkan diri ke Kejohanan Dunia. Tindakan menghantar mereka ke kejohanan kecil sebegini akan mendedahkan lagi kekuatan kepada pemain lawan.


"Malah kekalahan juga memberi kesan buruk kepada moral pemain, apa lagi Kien Keat-Boon Heong yang masih gagal menamatkan kemarau kejuaraan," tambah bekas pemain negara itu lagi.

Bekas pemain itu juga mahu BAM menjawab jurulatih manakah yang membuat analisa pemain negara dan juga lawan.


"Kalau boleh saya ingin BAM nyatakan siapa pula yang bertanggungjawab memantau analisa yang dilakukan jurulatih terbabit. Saya tahu BAM tiada orang yang bergelar pengarah kejurulatihan atau apa juga jawatan yang seperti itu, namun persatuan ini mesti benar-benar melakukan apa yang betul untuk kemajuan badminton negara.


"Malah Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan perlu melihat semula sistem dan program latihan, mungkin apa yang kita lakukan sudah tidak relevan bagi menghadapi kepantasan kemajuan badminton negara lain, apa lagi China. Cukuplah menggunakan alasan China sebagai negara besar yang mempunyai ramai bakat, cuba lihat apa yang kita lakukan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/08

Salehan terbaik!

Posted:

Kuala Pilah: Aksi mantap Salehan Othman yang mengutip 38 mata berjaya mengenepikan cabaran 60 pemain lain untuk dinobatkan juara Kejohanan Golf Amal Piala Datuk Hasan Malek 2013, berlangsung di Kelab Golf Seri Menanti, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pemain amatur dari Seremban itu yang memegang handicap 15, mengakui tidak menyangka menang dalam kejohanan itu berikutan saingan sengit daripada pemain lebih berpengalaman, tetapi menyifatkan pengalaman yang ditimba melalui penyertaan dalam banyak kejohanan tempatan, turut membantunya.


"Ini kejayaan pertama saya tahun ini dan sudah tentu menyuntik lagi semangat untuk menyertai lebih banyak kejohanan terutama yang membabitkan pemain profesional. Pengalaman menyertai beberapa kejohanan tempatan sebelum ini banyak membantu saya melakukan aksi terbaik.

"Walaupun hanya berkelebihan satu mata daripada pencabar lain, saya sangat berpuas hati kerana pukulan banyak menjadi ,namun saya akui saingan kali ini amat mencabar, tambahan pula dalam keadaan cuaca panas," katanya selepas kejohanan.


Tempat kedua dimenangi Ruzana Baba yang meraih 37 mata dan dia satu-satunya peserta wanita yang berjaya memberikan saingan terutama kepada Salehan.


Usahawan dari Seremban itu berkata, dia tidak menyangka meraih naih juara kerana menyedari prestasi pemain lelaki lebih menyerlah.

Tempat ketiga hingga kelima diraih Mohd Nor Alias, Nor Azizi Idris dan Mazli Mohd Nor, yang masing-masing berkongsi 37 mata.


Kejohanan anjuran bersama Pejabat Daerah Kuala Pilah, Majlis Belia Kuala Pilah dan MAYC Kuala Pilah bertujuan untuk mengutip dana bagi keperluan tabung amal perajurit Lahad Datu selain golongan kurang bernasib di sekitar daerah Kuala Pilah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Sam Paling Popular

Posted:

KUALA LUMPUR: Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH2012) menjadi milik Shaheizy Sam sekali lagi selepas menang untuk tahun 2010 lalu. Berserta dengan kemenangan itu, Sam membawa pulang hadiah Nissan 370Z Coupe dan barang kemas Habib Jewel bernilai RM150,000.

Sementara itu, anugerah Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Baru Wanita Popular masing-masing menjadi milik Aiman Hakim dan Wawa Zainal.

Black dan RJ pula menang kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular dan penyanyi kontroversi, Shila Amzah membawa pulang trofi Penyanyi Wanita Popular. Manakala Hafiz Suip pula menang Penyanyi Lelaki Popular.

Anugerah Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular pula diberikan kepada Aaron Aziz dan Nabila Huda. Untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular, kemenangan berpihak kepada Shaheizy Sam dan Yana Samsudin.


Artis Komedi Lelaki Popular dan Artis Komedi Wanita Popular pula dianugerahkan kepada Zizan Razak dan Didie Alias. Pengacara TV Lelaki Popular dan Pengacara TV Wanita Popular ialah Datuk Aznil Nawawi dan Fara Fauzana.


Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular pula menjadi milik Faizal Ismail dan Fara Fauzana.

Malam tadi juga, ABPBH2012 mengangkat legenda muzik rock negara, Search sebagai penerima Anugerah Sepanjang Hayat.

Majlis anugerah berprestij yang bertemakan Ledakan Geometri itu diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dan bersiaran langsung di TV3.

ABPBH2012 dihoskan Zizan Razak dan Fara Fauzana. Antara artis yang membuat persembahan ialah Datuk M Nasir, Ziana Zain, Najwa Latif, Ainan Tasneem dan Sham Kamarul.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/08

'Jenazah' hidup semula

Posted:

Gaza (Palestin): Dia sudah diisytiharkan mati berikutan kecederaan parah yang dialami, namun kira-kira enam jam selepas itu iaitu ketika 'jenazahnya' dituntut keluarga untuk urusan pengebumian, tiba-tiba jantungnya berdegup semula, sekali gus mengejutkan semua pihak.

Itu keajaiban dan kekuasaan Allah yang diperlihatkan ke atas Ketua Tentera al-Qassam kawasan Zaitun, Muhammad al-Hasanad, 32, yang dikongsikan dengan wartawan Harian Metro pada pertemuan dengannya di sini.

Muhammad berkata, kejadian itu berlaku selepas dia diserang puluhan pesawat tanpa juruterbang (drone) milik Israel pada 2008 menyebabkan dia cedera teruk termasuk kedua-dua kakinya terpaksa dipotong hingga paras paha.

"Nyata, kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya. Saya sudah disahkan meninggal dunia namun selepas enam jam, jantung saya tiba-tiba berdenyut semula.

Foto

MUHAMMAD menunjukkan kedua-dua kakinya yang dipotong.


"Anggota keluarga dan sahabat handai yang ketika itu datang menuntut 'jenazah' saya untuk dikebumikan semuanya terkejut, lantas bersyukur dengan kekuasaan Allah," katanya yang ditemani isteri, Fatimah Hasanad, 32.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Bunuh 100 bayi dengan gunting

Posted:

Philadelphia: Seorang graduan sekolah perubatan mendedahkan bagaimana dia melihat bayi dilahir dan dibunuh dengan gunting secara rutin di Philadelphia.

Stephen Massof, 50, dari Pittsburgh, menceritakan kekejaman itu dalam perbicaraan terhadap bekas ketuanya Kermit Gosnell, Khamis lalu.

Gosnell, 72, dituduh membunuh tujuh bayi yang masih hidup di klinik Perubatan Wanita Philadelphia.

Dia berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Foto

Gambar menunjukkan himpunan beg plastik yang berisi bahagian tubuh bayi dalam peti sejuk di klinik Gosnell.


Massof yang menantikan hukuman selepas mengaku bersalah membunuh dua bayi baru lahir di klinik itu mendedahkan bahawa dia menyaksikan pengguguran bayi pada usia 26 minggu - dua minggu melepasi had 24 minggu yang dibenarkan.


Dia juga mendakwa melihat 100 bayi yang baru dilahirkan digunting di belakang leher bagi memastikan mereka mati.

Massof turut menceritakan mengenai adegan mengerikan di klinik itu yang begitu kotor dan peralatan pembedahan yang berkarat.

"Ia penuh dengan janin. Janin dan darah ada di merata tempat. Ada yang kepalanya sudah tanggal dengan otak dari tubuh," katanya kepada NBC.

Dia juga mendakwa mesin ultra bunyi di klinik itu dimanipulasi bagi membolehkan janin kelihatan kecil dan lebih muda.

Graduan perubatan itu juga menjelaskan dia memperoleh ijazah perubatan dari Grenada di Hindia Barat dan tidak menamatkan latihan doktor pelatih ketika bekerja dengan Gosnell pada 2003.

Tetapi Massof berkata, dia yakin niat ketuanya jujur dan doktor itu percaya dia membantu wanita miskin yang selalu datang ke kliniknya.

"Saya percaya Gosnell jujur mahu membantu wanita dan melindungi mereka daripada didera dan diabaikan," katanya.

Perbicaraan itu kini masuk minggu ketiga dan dijangka selesai akhir bulan ini.

Lapan pekerja klinik sudah mengaku bersalah atas pelbagai tuduhan, manakala pekerja kesembilan masih dibicarakan dengan Gosnell.

Massof bekerja lima tahun di klinik itu sebelum meninggalkan tempat itu pada 2008 kerana bertelingkah dengan pekerja lain.

"Saya rasa macam anggota bomba di neraka. Saya tidak dapat memadamkan kebakaran," katanya.

Dia menghadapi tuduhan membunuh tiga tahun kemudian selepas siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) terhadap pemberian ubat tahan sakit Gosnell mendorong kepada serbuan di klinik itu dan kes pengguguran lebih serius.

Pendakwa raya menuduh Gosnell mengaut keuntungan lebih AS$1 juta (RM3.1 juta) setahun di klinik itu. Dia mengenakan bayaran sebanyak AS$3,000 (RM 9,168) untuk setiap pengguguran. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/08

Hubungan cinta Lindsay, Snow sudah berakhir

Posted:

Hollywood: Hubungan cinta aktres Lindsay Lohan dengan kekasih barunya, Avi Snow dikatakan sudah berakhir walhal mereka baru beberapa minggu menjalin hubungan.

Sebagaimana dipetik daripada E! News semalam, satu sumber berkata, Lindsay sudah tidak bersama pemuzik itu sejak dia bercuti ke Brazil akhir minggu lalu.


Hingga saat ini tidak diketahui mengapa mereka putus hubungan. Kedua-dua pihak belum mengulas mengenainya.

Hubungan antara Lindsay dan Snow tersebar selepas mereka dilihat berciuman di kelab 41 Ocean di Santa Monica. Lindsay ke kelab itu untuk menyaksikan konsert kumpulan muzik Snow, City of the Sun.


Ketika diwawancara E! minggu lalu, Snow turut memuji Lindsay. Dia berkata aktres itu adalah wanita yang sangat menyenangkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/08
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved