Isnin, 29 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Nazneen...Indah curi tumpuan

Posted: 29 Oct 2012 08:43 AM PDT

DENDANGAN lagu Anak Kampung nyanyian asal Jimmy Palikat yang dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak menggunakan angklung melalaikan sebentar tetamu di Dewan Mess Pegawai Kanan Polis, Kangar, Perlis baru-baru ini.

Walaupun tiada sebutir bait lirik dilantunkan oleh suara mereka, aksi dan keriangan mereka semasa mengalunkan lagu itu cukup menghiburkan tetamu yang hadir.

Usai persembahan, selain dijamu dengan hidangan lazat, setiap hadirin yang hadir turut dihidangkan persembahan fesyen daripada tujuh pereka tempatan dan Indonesia bersempena Majlis Makan Malam Gala Festival Fesyen Islam (IFF) 2012, Kangar, Perlis.

Pentas peragaan sentiasa diselangi gerak langkah model yang menggayakan pelbagai jenis busana penuh warna-warni rekaan pereka yang masing-masing mempamerkan kehebatan tersendiri dengan gaya lebih agresif, berani dan segar.


Bertemakan 'Nazneen...Indah', IFF Kangar dinaungi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid. Acara berkenaan dibawakan khas ke negeri itu atas jemputan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Sama hebat seperti IFF terdahulu, penganjurannya kali ini tetap memberi pembaharuan dan impak kepada perkembangan rekaan busana Muslimah.

Pengerusi dan Pengasas IFF, Datuk Raja Rezza Shah, berkata pihaknya amat gembira kerana diberi kesempatan mengadakan IFF di Kangar, jauh daripada kebiasaannya apabila sering diadakan di Kuala Lumpur mahupun luar negara.

"Namun, ia secara tidak langsung dapat mendedahkan masyarakat di sini mengenai kewujudan IFF serta objektif penganjurannya yang mahukan masyarakat lebih memahami keindahan Islam dengan cara lebih lembut iaitu menerusi fesyen.

"Fesyen yang diketengahkan oleh pereka menerusi IFF adalah sopan, anggun dan tidak mencolok mata selaras dengan tuntutan syarak selain ia turut mengikut perkembangan trend semasa," katanya.

Kebanyakan pereka cuba mempamerkan kreativiti masing-masing menerusi aliran budaya tempatan dan asal usul masing-masing yang digabungkan dengan pengaruh Barat.

Pereka Indonesia, Ghea Panggabean, yang terkenal dengan ketelitian rekaan, pemilihan corak, warna dan fabrik misalnya, mempunyai matlamat sendiri iaitu ingin menarik dan memperkenalkan orang ramai kepada seni tangannya yang kaya dengan ciri-ciri budaya Indonesia, tetapi tetap ranggi.

Menurut pemerhatian, rekaannya adalah campuran klasik dan moden yang terhasil melalui siluet ciptaannya pada baju. Idea itu bertepatan dengan temanya pada malam IFF berkenaan, 'Perjalanan Tekstil Purba'.

Pemilihan fabrik baldu, sifon dan crepe, mainan warna pastel serta gelap seperti merah hati mendominasi koleksinya pada malam itu.

Tidak ketinggalan, dia juga mengetengahkan rekaan Nusantara Timur yang mengambil inspirasi daripada tumbuh-tumbuhan dengan warna alam.

Hitam putih warna kehidupan. Dua warna ini juga simbolik kepada konsep ying dan yang bagi mencapai keseimbangan dinamik dalam badan. Itulah tema yang diketengahkan oleh pereka fesyen kreatif, Calvin Thoo.

Hanya menggunakan dua warna ini, ternyata rekaannya sudah cukup membuatkan tetamu terpukau. Kemasan jahitan dan perincian, penggunaan fabrik yang selesa serta bentuk potongan yang dihasilkan membuktikannya seorang pereka sebenar.

"Walaupun saya bukan beragama Islam, tetapi mempunyai ramai kenalan rapat penganut Islam dan berkesempatan mempelajari ilmu agama ini dengan mereka membuatkan saya melihat Islam itu agama yang indah.

"Pengaruh itu amat kuat dalam diri saya dan apabila menghasilkan busana perkahwinan untuk pelanggan Muslim, saya menghormati permintaan mereka yang mahu tampil sopan.

"Sempena IFF pada kali ini, saya menggunakan dua warna utama ini untuk menyatakan kesucian agama Islam itu sendiri. Rekaan yang dihasilkan pula diilhamkan menerusi keinginan saya yang tidak terbatas dalam dunia fesyen," katanya yang sudah lapan tahun menyertai IFF.

Sinonim dengan gabungan rekaan suku kaum asli Sarawak, Tom Abang Saufi atau nama penuhnya, Dayang Fatimah tidak ketinggalan memercikkan gabungan rona pastel dan terang, khususnya oren, kuning, merah, biru firus, ungu dan biru berlatarbelakangkan corak batik tenun tangan.

Reka potongan menekankan moden dan praktikal yang tidak menjejaskan gaya dan keanggunan si pemakai. Gaya potongan segar perincian kedutan dan tambahan aksesori pada dada menyuntik elemen lebih feminin.

Turut mempamerkan hasil kerja tangan mereka ialah pereka Dian Pelangi, Radzuan Radziwill, Jeny Tjahyawati dan Nor Aini Shariff.

Berpaksikan rekaan busana Muslimah, barisan pereka kreatif ini menterjemahkan cita rasa dan sentuhan mereka menerusi pelbagai fabrik daripada songket, batik tenun tangan, batik Jawa, satin dan sifon yang hadir dalam bentuk gaun labuh, kaftan, seluar panjang dan jubah abaya yang menawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Geng Hong tak serik

Posted: 28 Oct 2012 12:33 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tidak serik biarpun sudah ditumpaskan Jun lalu, ahli sindiket pecah rumah dan samun kereta yang dikenali sebagai Geng Hong masih meneruskan kegiatan itu selepas mereka dibebaskan dengan jaminan mahkamah sementara menunggu kes disebut semula.

Kali ini, mereka ditahan ketika cuba memecah masuk kediaman Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye di Taman Maluri, Cheras, awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, empat lelaki yang berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan bersama sebuah kereta Mercedes yang disamun di Taman Bukit Maluri, Kepong, kelmarin.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, polis yang melakukan rondaan terserempak kereta berkenaan yang mencurigakan di tepi jalan sebelum ternampak kelibat dua lelaki memanjat pagar sebuah rumah.


"Sebaik ternampak anggota polis, dua lelaki itu melarikan diri dan memecut kereta yang turut dinaiki dua lagi rakan mereka ke arah Kondominium Pertiwi kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.


"Mereka merempuh besi penghadang pondok pengawal dan masuk ke kawasan tempat letak kereta kondominium berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.

Katanya, suspek cuba merempuh polis yang mengejar kereta mereka dua kali sebelum membuat pusingan dan cuba melarikan diri menyebabkan anggota polis melepaskan tembakan.


Mohan berkata, seorang suspek yang duduk di bahagian belakang cedera di kepala akibat terkena serpihan kaca.

"Tujuh das tembakan dilepaskan masing-masing satu di bahagian hadapan, tiga di bahagian belakang dan tiga lagi di sebelah kiri kereta," katanya.


Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui pelbagai peralatan besi dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah dan samun kereta.


Katanya, suspek yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan semua mereka kini direman hingga 31 Oktober ini.


Sementara itu, Lam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berterima kasih kepada anggota polis yang berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang.


"Meskipun ia sekadar percubaan dan saya sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan, namun tindakan pantas anggota polis berjaya memberkas mereka.


"Saya gembira dan berharap polis sentiasa melakukan rondaan di kawasan ini bagi keselamatan penduduk setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Drebar gilis remaja cabut lari

Posted: 28 Oct 2012 12:27 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 5 November ini maut selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan di Jalan Ampang, tengah malam kelmarin.

Mangsa, Hafidam Zalizan, 17, maut di tempat kejadian selepas motosikalnya dirempuh dan digilis sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti kerana dipercayai melarikan diri sebaik kejadian jam 12 tengah malam itu.


Berikutan itu, polis meminta orang awam atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis atau menghubungi Rakan Cop 03-21159999 bagi membantu siasatan.

Difahamkan, Hafidam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jinjang selepas menziarahi neneknya di Ampang sempena Aidiladha.


Sumber polis berkata, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum dirempuh sebuah kenderaan.


"Mangsa terjatuh di atas jalan sebelum digilis kenderaan terbabit. Sehingga kini, polis masih mengesan kenderaan itu untuk membantu siasatan lanjut," katanya.

Katanya, mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 maut akibat parah di kepala dan dada.


Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Siapa sebenarnya mati?

Posted: 28 Oct 2012 01:39 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya tak mati lagi, seram sejuk badan saya bila awak cakap saya mati."

Itu kata Sadisafizan Said, 36, kepada wartawan Harian Metro yang ke rumahnya di Kampung Selayang Baru, Batu Caves, di sini, untuk menemu bual keluarganya selepas dia dilaporkan terbunuh bersama dua yang lain dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi semalam.

Pertemuan wartawan Harian Metro dengan Sadisafizan, sekali gus menimbulkan persoalan siapa sebenarnya lelaki yang terbunuh dalam kemalangan itu kerana polis sebelum ini memaklumkan seorang daripada mangsa dikenali sebagai Sadisafizan Said berusia 36 tahun.

Menurut polis, selain lelaki menggunakan nama Sadisafizan yang memandu kereta Proton Perdana dalam kemalangan di Kilometer (KM) 1.6 Jambatan Pulau Pinang pada jam 3.35 pagi itu, seorang lagi yang terbunuh dikenali sebagai Muslim Idwar, 38, dari Jalan Gombak, Kuala Lumpur.


Turut maut ialah seorang wanita, Mai Linda, 18, dari Namutrasi di Sumatera Utara, Indonesia yang meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) jam 10.15 pagi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Pertengkaran terakhir

Posted: 28 Oct 2012 01:39 PM PDT

JOHOR BAHRU: Pasangan kekasih yang dipercayai sering bergaduh di rumah mereka di Blok 15, Town House Polo Park Taman Iskandar di sini, sejak beberapa tahun lalu, bertengkar buat kali terakhir pagi semalam, sebelum kedua-duanya ditemui maut dipercayai terhidu asal tebal dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lelaki warga Singapura, Ang Lye Hock, 52, dan pasangannya dari Sabah, Angielee Ambrose, 29, ditemui maut di rumah sewa mereka selepas kali terakhir dilihat bertengkar dan menjerit sesama sendiri.

Ang ditemui maut di dalam bilik air, manakala mayat Angielee ditemui tersepit antara kabinet televisyen dan pintu utama di ruang tamu.

Pertengkaran itu dipercayai berlaku akibat cadangan memasang piring televisyen satelit di rumah sewa mereka, sebelum beberapa letupan berlaku dan kebakaran bermula.


Difahamkan, sebelum kejadian, rumah mereka dikunjungi seorang pekerja televisyen satelit hingga kurang disenangi seorang mangsa kebakaran itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Bukan bermain teka-teki

Posted: 28 Oct 2012 06:27 AM PDT

TERLALU banyak hati yang perlu dijaga hingga memaksa dia mengunci mulut. Secara peribadi, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein akui dia belum bersedia untuk tampil ke depan bercerita sejauh mana kebenaran cerita dirinya yang dikatakan sudah putus tunang hingga mendapat liputan meluas di laman blog dan akhbar, ketika ini.

Ternyata, walau diasak macam mana sekali pun, pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ini cukup berhati-hati untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Minta maaf, saya belum bersedia nak menjawab sama ada diri saya masih memegang status tunang orang ataupun sudah putus. Apabila sampai masanya nanti, barulah saya bersedia untuk buat kenyataan sama ada ia berita baik ataupun buruk.

"Soal jodoh ini, saya ingin serahkan kepada ketentuan Allah SWT. Kalau ada jodoh kami, alhamdulillah kerana saya sentiasa mengharapkan benda yang baik-baik saja dalam hubungan itu. Saya sangat berharap peminat di luar sana, doakanlah yang terbaik buat kami," katanya.


Elly juga menafikan dirinya sengaja bermain teka-teki dengan pihak media dan peminat mengenai status dirinya ketika ini.


"Sebagai wanita, saya cuma ingin lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Lagipun ini soal yang terlalu peribadi. Insya-Allah, saya akan menepati janji. Berita baik atau sebaliknya, saya tetap akan beritahu pihak media kelak.

"Apa yang pasti, dugaan dalam bertunang ini memang hebat, macam manalah apabila kami sudah berkahwin nanti?. Saya melihat dugaan itu dari sudut yang positif kerana ia akan membuatkan kita belajar, menjadi lebih cekal dan dewasa. Allah sayangkan umatnya dan apa yang diuji itu juga penuh dengan hikmah," katanya.

Mengimbas majlis pertunangannya sebelum ini, Elly, 32, dan pengarah drama dan filem Azmi Mohd Hatta, 37, mengikat tali pertunangan lebih setahun lalu.

Majlis pertunangan mereka berlangsung ringkas tapi meriah di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, tanggal 29 Mei tahun lalu. Pasangan yang berkenalan sejak 2009 itu dikatakan bakal bernikah pada Februari lalu, namun ia masih tertangguh.

Soal perancangan untuk berkahwin pula, Elly sendiri mengakui dia memang sudah pun bersedia untuk membina keluarga.

"Pada usia yang mencecah 30-an sekarang, saya juga sudah bersedia untuk berumah tangga tapi soal jodoh ini tetap ketentuan Tuhan. Saya dan Azmi bertunang pada Mei tahun lalu dan kami memang sudah ada tarikh untuk berkahwin cuma tidak beritahu pada orang pun ketika itu.

"Memang sudah menjadi cara saya yang tidak suka kongsi cerita peribadi dengan peminat, sejak dulu. Sama seperti ketika saya nak umumkan berita kami nak bertunang dulu.

"Begitu juga ahli keluarga, mereka sentiasa memberi sokongan padu dari belakang. Keluarga tidak pernah mendesak saya kahwin cepat kerana mereka hanya menunggu apa saja keputusan yang saya buat," katanya.

Menyentuh perkembangan karier seninya pula, Elly yang lebih sedekad bergelar anak seni mengakui dia tidak ingin melepaskan peluang beraksi dalam filem Awan Dania The Movie arahan Rashid Sibir dan terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd itu.
Filem itu diterajui Scha Al Yahya, Jehan Miskin, Rusdi Ramli dan ramai lagi.

Kali terakhir dia berlakon ialah menerusi filem Tangkai Jering pada 2005. Filem lain lakonannya sebelum ini ialah Gerak Khas The Movie dan Janji Diana.

Elly berkata, dia tertarik beraksi dalam filem itu kerana watak antagonis, Tania yang dilakonkannya ada kelainan dan turut mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

"Saya adalah ahli keluarga baru dalam cerita Dania tapi ia bukan halangan untuk saya mencari keserasian dengan Scha dan Rashid sendiri. Saya pernah bekerjasama dengan Scha dalam drama Bella dan Rashid pula sudah dianggap seperti guru dalam lakonan kerana kami banyak bekerjasama dalam drama terutama dalam cerita seram sebelum ini.

"Saya harap peminat akan dapat menerima kehadiran saya dalam keluarga Dania ini bila menonton filem ini di pawagam nanti," katanya.

Single Sabarlah Hati kisah cinta Elly

ENGGAN mengulas lanjut cerita pertunangannya itu, Elly percaya sampai masanya dia fokus pada 'single' terbarunya sekali gus kemunculannya semula dalam bidang nyanyian selepas tujuh tahun tidak ada album baru.

Kata Elly, single berjudul Sabarlah Hati ciptaan Manusia Putih itu terbitan EM Entertainment dan edaran Warner Music Malaysia.

Bercerita lanjut mengenai single itu, kata Elly, ia dirakamkan pada Ramadan lalu dan proses 'mastering' juga sudah siap dan ia dibuat di Australia.

Ditanya sama ada 'single' itu ada kaitan dengan kisah cintanya sendiri, Elly enggan mengulas lanjut.

"Ramai yang cakap lagu ini adalah kisah cinta saya. Apa yang saya boleh katakan, lagu balada ini pasti akan menyentuh hati peminat kerana ia menceritakan kisah pasangan bercinta yang terputus di tengah jalan dan dalam proses memujuk hati yang luka. Mungkin ia ada persamaan dengan kisah masyarakat di luar sana tapi ia hanya secara kebetulan saja.

"Secara peribadi, saya sangat teruja dengan kehadiran 'single' terbaru ini yang akan diputarkan di stesen radio tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/28


Kenapa jatuhkan ‘talak tiga’?

Posted: 28 Oct 2012 06:04 AM PDT

GABUNGAN Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) terkilan serta kesal dengan tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang didakwa membelakangkan mereka dalam penganjuran Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25).

Kebiasaannya FFM dianjurkan oleh Finas dengan kerjasama Gafim, namun kejutan berlaku apabila Finas memilih bekerjasama dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menganjurkan FFM25 yang akan berlangsung pada 30 Disember ini
di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Tidak puas hati dengan perkembangan itu, Gafim mengadakan terus sidang media tergempar 'Gafim Bantah FFM25' membabitkan ahli di bawah gabungannya
di sini Rabu lalu.


Mereka yang hadir termasuklah Presiden Papita, Datuk M Daud Wahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak; Presiden Seniman, Zed Zaidi; Setiausaha Agung Gafim, Yusof Kelana; Penasihat Penyiar, Mazlan Hamid dan wakil Papita, Datuk Malek Ridzuan.


Yusof berkata, Gafim kesal dengan Ketua Pengarah Finas, Mohd Naquib Razak kerana membelakangkan mereka dalam perkara ini.

"Pihak kami menghantar laporan rumusan dan post-mortem mengenai FFM24 anjuran Gafim yang berlangsung pada 20 November 2011 yang turut dihantar kepada Menteri Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

"Penyerahan penganjuran FFM24 kepada Gafim dibuat pada 1 Disember 2010 yang diwakili oleh Ketua Pengarah Finas ketika itu, Mahyidin Mustakim dengan kos yang diperuntukkan sebanyak RM650,000.

"FFM23 dianjurkan oleh Finas dengan kos RM2.5 juta tetapi kami hanya diberi RM650,000 dan hanya RM350,000 diberikan dalam bentuk tunai. Dengan kos ini tentu sukar untuk kami buat acara peringkat nasional.

"Kos sebenar yang diperlukan adalah RM1.6 juta, bermakna kami kena mencari lagi RM1.3 juta. Namun menerusi usaha mencari pihak penaja, kami akhirnya berjaya melaksanakannya dengan baik," jelasnya.

Menurutnya, atas usaha Gafim juga, mereka juga berjaya mengikat kontrak penyiaran selama tiga tahun dengan Astro sebagai penyiar rasmi FFM.

"Kami mengadakan mesyuarat ahli pada 5 Disember 2011 untuk post-mortem FFM24.
Hasilnya kami buat keputusan serahkan kembali penganjuran FFM kepada Finas.

"Itu hasilnya dan Gafim minta Finas jawab namun tiada sebarang jawapan diterima. Tiba-tiba Mohd Naquib tampil dengan sidang media Finas akan anjur sendiri FFM25. Ketika itulah kami tahu mereka akan bergabung dengan PFM.

"Sepatutnya mereka kena panggil kami untuk berbincang dulu. Di sini kami minta Finas jelaskan Gafim tidak pernah hantar surat tidak mahu anjurkan FFM. Kami hanya menghantar surat rumusan dan pandangan untuk pulangkan kembali FFM kepada mereka," katanya.

M Daud pula menggesa Finas berbincang dengan Gafim kerana FFM sudah menjadi 'trademark' mereka sejak dulu. Dia terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh Mohd Naquib itu.

"Ini ialah sikap yang tidak bagus. Apabila tahu kami nak buat sidang media ini, tahu pula dia hubungi kami, sedangkan surat kami langsung tak dipedulikan.
Sebagai pegawai kerajaan, dia banyak terlepas pandang perkara sepatutnya.

"Mungkin dia lupa sejarah atau ghairah mahu anjurkan sendiri FFM. Gafim ingin tahu kenapa kami dipinggirkan? Sepatutnya dia hanya jatuhkan 'talak satu' tetapi dia sudah jatuhkan 'talak tiga'.

"Memang penganjuran FFM24 ada kontroversi, tetapi ia adalah rencah dalam penganjuran dalam setiap festival dan mana-mana anugerah pun. Memang terkilan kerana Gafim dianggotai oleh 11 persatuan hiburan kecuali PFM yang keluar dari gabungan ini.

"Saya harap Finas jawab isu ini dengan positif bagi membolehkan kerjasama kami berjalan semula," katanya yang sudah merancang pelbagai agenda menarik sempena Jubli Perak FFM.

Yusof memberitahu ketika diminta menganjurkan FFM24, pihaknya diberikan surat. Namun apabila mereka 'diceraikan talak tiga' langsung tiada sebarang notis.

"Siapa yang kata Gafim tidak mahu anjurkan FFM25? Kami berpendapat Finas sengaja menolak dan meminggirkan Gafim. Bagaimanapun kami tetap akan bekerjasama sekiranya Finas panggil kami untuk berbincang.

"Walaupun bantah, kami tetap akan terima jalan perbincangan yang dijalankan.
Tambahan pula FFM sebelum ini memang disokong oleh Gafim. Kami bantah FFM25 kerana itu hak kami. Namun kami tiada niat hendak boikot penganjurannya cuma mahukan pertimbangan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/28


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Ketumbuhan 28kg dibuang

Posted: 28 Oct 2012 01:42 PM PDT

DRESDEN (Jerman): Doktor di sini berjaya mengeluarkan ketumbuhan seberat 28 kilogram, cukup besar untuk memenuhi sebuah kereta sorong, daripada seorang wanita berusia 60 tahun.

Wanita berkenaan, Irmtraud Eichler, sebelum ini dikatakan obese selepas berat badannya meningkat apabila ketumbuhan pada ovarinya itu membesar.


Doktor memberinya ubat antiobesiti untuk memerangi berat badannya yang naik secara mendadak.

Tetapi apabila ketumbuhan itu membesar sehingga Irmtraud tidak boleh berdiri, anaknya mendesak dia menjalani satu lagi pemeriksaan.


Imbasan ultrasound yang dilakukan ke atas wanita itu menunjukkan dia menghidap ketumbuhan yang semakin membesar.


Pakar bedah di Klinik Universiti di Dresden, timur Jerman, menghabiskan masa tujuh jam untuk membuang ketumbuhan yang berukuran 60 sentimeter kali 50 sentimeter, bersama-sama dengan rahim, ovari dan tiroid Irmtraud.

Berat pesakit itu berkurangan 40 kilogram selepas pembedahan berkenaan dan berkata, dia amat gembira dengan keadaannya sekarang.


Seorang jurucakap hospital berkata, wanita itu sudah pulih sepenuhnya dan boleh berjalan semula dengan bantuan tongkat. "Saya amat berterima kasih kepada doktor terbabit. Saya merasakan diri saya sebagai orang baru sekarang," kata Irmtraud kepada agensi berita tempatan, DPA. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Kukuh operasi di India

Posted: 28 Oct 2012 11:00 AM PDT

PENYEDIA perkhidmatan minyak dan gas di luar pesisir antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia, Bumi Armada Bhd (Bumi Armada) bakal mengukuhkan operasinya di India disokong dengan kehadiran kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) miliknya di negara itu dengan pelayaran pertamanya, Sabtu lalu.

Kapal FPSO kelima syarikat itu, Armada Sterling bernilai RM1 bilion belayar meninggalkan Keppel Shipyard Singapore bagi memberi perkhidmatan kepada Oil and Natural Gas Corporation Ltd (ONGC) di lapangan D-1, 200 kilometer di luar pesisir Mumbai, India.


Projek itu hasil kerjasama dengan konglomerat perniagaan India daripada pelbagai segmen perniagaan, Forbes & Company Ltd, anak syarikat Shapoorji Pallonji Group (SPG).

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hassan Basma berkata, menerusi pelayaran itu, Bumi Armada kini menjadi penyedia kedua FPSO di India selepas Reliance Industries.


"Pasaran FPSO di India amat besar bukan saja untuk laut dalam tetapi juga laut cetek. Pasaran kami untuk pasaran ini agak signifikan dan rancangan kami untuk mengukuhkan tapak bagi meneruskan operasi.


"Kini, kami mencari rakan niaga yang sesuai dan mengharapkan usaha sama seterusnya dengan SPG di untuk memenuhi permintaan menggalakkan di India," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Daren akhiri penantian

Posted: 28 Oct 2012 09:43 AM PDT

TANPA diletakkan sebarang harapan, wakil tunggal negara beraksi di final kejohanan badminton Terbuka Perancis, Liew Daren akhirnya muncul sebagai juara sekali gus menyelamatkan maruah ketika pasangan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terkandas di suku akhir.

Lebih bermakna ia adalah gelaran pertama buat pemain yang berusia 25 tahun itu sepanjang kariernya sebagai pemain perseorangan negara. Daren yang mara ke perlawanan akhir apabila menewaskan jaguh ternama Denmark yang juga pilihan keenam kejohanan, Jan O Jorgensen 18-21, 21-17, 21-10 di separuh akhir dalam pertarungan tiga set, kelmarin, memerlukan 42 minit untuk menjinakkan juara remaja dunia 2010 dari Denmark, Viktor Axelsen, 21-18, 21-17 di final, semalam.


Menghuni ranking ke 26 dunia, Daren bagaimanapun gagal mengawal perasaan gemuruh di awal set pertama apabila ketinggalan 1-5 sebelum bangkit mengikat kedudukan menjadi 6-6.

Mula mendapat keyakinan selepas itu, Daren terus menyusun rentak untuk mendahului tanpa memberi peluang kepada lawan sebelum menang dalam pertarungan yang memakan masa 20 minit.


Set kedua, menyaksikan Viktor cuba untuk bangkit dan mula mengejar mata demi mata dalam usahanya membawa perlawanan ke set penentuan.


Kealpaan Daren membuka laluan buat Viktor untuk mendahului dua mata di kedudukan 16-14 pada suatu ketika.

Begitupun usaha Daren dengan mengajak lawan bergerak ke setiap penjuru gelanggang akhirnya berbaloi apabila kembali menguasai perlawanan untuk menang di set kedua sekali gus dinobatkan sebagai juara buat kali pertama dalam kariernya. Kejayaan Daren itu mungkin melegakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana kini mampu menyandarkan harapan kepada pemain itu selaku pemain perseorangan kedua negara selepas Datuk Lee Chong Wei, namun mereka perlu memberi penjelasan terhadap kemerosotan pasangan beregu negara. Seperti ada yang tidak kena, pasangan Korea terus menjadi badi buat beregu emas negara, Kien Keat-Boon Heong apabila kecundang lagi buat sekian kalinya kepada pasangan Korea dan kali ini menjadi mangsa kepada Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae di suku akhir dalam pertarungan tiga set kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Wenger seru penyokong sabar

Posted: 28 Oct 2012 09:34 AM PDT

LONDON: Arsene Wenger merayu penyokong Arsenal agar lebih bersabar dengan Jack Wilshere yang kembali beraksi buat kali pertama dalam tempoh 17 bulan ketika Gunners mencatat kemenangan 1-0 ke atas Queens Park Rangers.

Wilshere yang diketepikan sebelum ini kerana berdepan kecederaan buku lali dan lutut, mempamer aksi cemerlang sepanjang 67 minit beraksi di Stadium Emirates selepas Wenger membuat kejutan menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.


Pengurus Arsenal, Wenger memuji persembahan pemain antarabangsa England itu selepas mendedahkan beliau tidak memberitahu Wilshere bahawa dia akan diturunkan sehinggalah pada sebelah pagi sebelum bermulanya perlawanan.

Wenger bagaimanapun menegaskan, beliau akan menilai semula tahap kecergasan pemain itu selain menyatakan Wilshere tidak akan diturunkan pada perlawanan pertengahan minggu ini bertemu Reading pada saingan Piala Liga.


"Secara teknikal, anda dapat saksikan sendiri dia sudah kembali menemui rentak dan memberikan segala-galanya, tapi apa yang penting, dia akan menghadapi perlawanan yang kerap.


"Dia tidak beraksi selama 17 bulan dan nampak tidak begitu pantas ketika beraksi. Tapi secara keseluruhan, persembahannya itu sudah cukup memuaskan.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak memberitahunya akan diturunkan kerana apabila anda tidak beraksi dalam tempoh lama, bukan sesuatu yang mudah untuk menghadapi situasi seperti itu.


"Jadi, saya rasa lebih baik jika anda tidak mempunyai banyak masa untuk berfikir mengenainya kerana anda sudah lama tidak beraksi. Saya hanya memberitahunya pada jam 10.30 pagi hari perlawanan. Saya tidak tahu apa reaksinya ketika itu, saya sekadar memberikan senarai nama mereka yang akan beraksi kepada pemain. Saya hanya bercakap dengan mereka secara umum, tanpa mengkhususkan kepadanya," katanya.

Wenger menambah: "Kami perlu melihat perkembangan Wilshere. Apabila anda kembali semula selepas berehat terlalu lama, prestasi menjadi tidak menentu.


"Perkembangan yang menarik mengenainya ialah dia tidak berdepan masalah ketika turun buat kali pertama.


"Kini selepas melalui perlawanan ini, saya tidak akan menurunkannya apabila bertemu Reading nanti (awal pagi Rabu). Tapi, sama ada saya akan menurunkannya minggu depan, sama-sama kita lihat.


Kehadiran semula Wilshere menyuntik semangat Gunners yang meraih gol tunggal menerusi Mikel Arteta pada minit ke-84, dijaringkan empat minit selepas pemain pertahanan QPR, Stephane Mbia diarah keluar padang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved