Ahad, 28 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Advertorial: Bidet digital mudahkan pencucian

Posted: 28 Oct 2012 01:47 PM PDT

"KAK, cubalah guna bidet di tandas kita itu.

"Tak mahulah sebab kakak tak tahu nak guna macam mana. Nanti kalau rosak siapa nak ganti"

Begitulah perbualan penulis dengan seorang rakan di pejabat baru-baru ini ketika bertembung di dalam lif.

Sebenarnya, kami berbual mengenai kecanggihan produk inovasi terkini daripada syarikat Coway (Malaysia) Sdn Bhd (Coway) iaitu tandas digital berasaskan sistem bidet di mana tandas bersih ini menggunakan tenaga elektrik atau bateri bagi menggantikan kemudahan tandas konvensional.


Penggunaan sistem bidet ini ringkas saja dan anda tidak perlu berasa takut untuk menggunakannya jika diberikan kesempatan.


Pengguna hanya perlu duduk di atas mangkuk tandas dan selepas selesai membuang air kecil ataupun besar, apa yang harus dilakukan ialah butang pada panel di bahagian tepi.

Pendek cerita, cara penggunaannya amat mudah malah langkah menggunakannya juga ada ditampal di dinding tandas.

Menurut pengalaman penulis, Coway Bidet ini senang dan ringkas digunakan bagi golongan wanita kerana penyembur air yang dipasang dapat membersihkan bahagian sulit dengan baik.

Penyemburnya juga mampu bergerak ke bahagian depan dan belakang untuk pembasuhan lebih tepat. Selain itu, penapis nano perak seramik pula menyingkirkan bahan cemar untuk memastikan air adalah tulen dan bersih.

Untuk pengetahuan, bidet digital ini hanya akan berfungsi apabila terdapat tekanan (tubuh anda) di atasnya apabila bahagian penyemburnya akan dibersihkan secara automatik.

Selepas anda selesai membuang air kecil atau besar, anda boleh mula membasuh bahagian tertentu dengan hanya memicit butang yang disediakan di bahagian tepi.

Oh ya, mengenai proses pemasangannya, ia hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit saja. Malah, ketika proses itu dilakukan, ia tidak akan merosakkan bahagian mangkuk tandas apatah lagi jubin lantai bilik air anda. Ini kerana, tiada aktiviti menggerudi dan seumpamanya yang dilakukan oleh juruteknik Coway atau lebih mesra dipanggil CT.

Selepas tamat proses itu, CT akan menjelaskan dengan terperinci kebaikan dan bagaimana Coway Bidet berfungsi dengan lebih lanjut. Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus kepadanya.

Satu lagi keistimewaan Coway Bidet ini, ia tidak menjadikan lantai bilik air anda basah kerana penyembur air sudah terbina di dalamnya bagi menggantikan penggunaan getah paip.

Layari laman web www.coway.com.my atau sms ke 016-6527790 untuk program percubaan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22


Bukan lagi sakit orang berumur

Posted: 28 Oct 2012 08:14 AM PDT

DULU, kebanyakan individu yang menjalani pembedahan pintasan jantung adalah mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas. Tetapi kini senarionya berbeza apabila sudah semakin ramai lelaki dan wanita yang baru berumur 30-an juga berhadapan masalah itu.

Jujurnya, kenyataan disuarakan oleh Ketua Pemakanan Bahagian Dietetik dan Makanan, Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw, itu memeranjatkan penulis kerana ia berdasarkan fakta dan pengalaman sebenar yang dilaluinya sendiri sepanjang bertugas di institusi terbabit.

Manakan tidak, usia 30-an boleh dikategorikan dalam golongan muda. Apatah lagi apabila memikirkan individu yang membuat pembedahan pintasan jantung itu seorang ayah atau ibu kepada anak kecil.

Tidak cukup dengan itu, bertambah takut penulis selepas mengetahui rawatan untuk memulihkan sakit jantung seperti ini tidak boleh bertahan selama-lamanya.

Ia tidak sama dengan yang asli kerana masalah ini mungkin akan berlaku sekali lagi seperti jantung tersumbat semula 10 atau 15 tahun kemudian.

Ternyata, penyakit jantung yang selalunya digelar sebagai penyakit orang tua kini semakin banyak dialami orang muda seawal usia 30-an.

Selain itu, ramai juga wanita beranggapan sakit jantung penyakit lelaki, jadi mereka tidak menyangka diserang penyakit itu sehingga lambat mendapatkan rawatan. Apabila penyakit disedari, ia lebih susah dirawat.

Terdapat banyak faktor yang mendedahkan seseorang kepada penyakit berkenaan dan antaranya ialah merokok (risiko paling tinggi), diabetes, kolesterol dan tekanan darah tinggi.

Walaupun ia klise dan kita sudah banyak kali membaca atau mendengarnya di media massa, hal ini perlu diberitahu dengan kerap kerana ramai yang cepat lupa.

Tahu tetapi buat tidak faham, malas ambil tahu, bersikap 'lantaklah' dan mempunyai persepsi 'tidak mungkin aku akan kena penyakit jantung sebab masih muda', adalah antara budaya masyarakat kita walaupun tahu penyakit ini boleh menyebabkan kematian.

Wujudkanlah apa saja kempen kesedaran, pemahaman mereka terhadap bahaya penyakit jantung serta kronik yang lain masih di tahap rendah.

Mencegah sememangnya lebih baik daripada merawat. Gejala penyakit ini boleh dihindari dengan sebaik-baiknya makan pelbagai makanan daripada setiap kumpulan pemakanan setiap hari pada kadar sederhana. Makanlah dengan sempurna, berhenti makan apabila rasa mencukupi dan makan mengikut masa.

"Orang ramai masih tidak kisah mengenai kesihatan atau mempunyai pandangan mereka boleh memulihkan kesihatan itu di kemudian hari. Tetapi, apa yang pasti mereka silap kerana jika masyarakat kita berterusan mengamalkan corak makan seperti sekarang, semakin sukar untuk mengubah keadaan kelak.

"Satu lagi kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat adalah mempunyai dua persepsi mengenai makanan iaitu makanan baik dan tidak baik.

"Ingin saya tegaskan, tiada istilah makanan baik dan tidak baik. Ini kerana, semua jenis makanan boleh dimasukkan dalam senarai makanan seimbang selagi ia diambil secara sederhana.

"Bahkan makanan yang berkalori tinggi juga boleh diambil dengan syarat bersederhana iaitu sekali-sekala dan perlu diseimbangkan dengan senaman sekurang-kurangnya 30 minit tiga hingga lima kali seminggu," katanya yang ditemui di Forum Kesihatan anjuran Nestle, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Nestle Malaysia Berhad, Peter R Vogt; Pengurus Kesihatan Korporatnya, Cher Siew Wei dan Ketua Jaminan Kualiti dan Pensyarah, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Norimah A Karim.

Menurut Mary, makanan seperti roti canai, nasi lemak dan mi goreng yang dianggap makanan berat dan berisiko untuk peningkatan berat badan harus diambil dalam kuantiti yang berpada.

Bahagikan pinggan kepada beberapa bahagian dan setiap kali mahu makan harus diingat untuk lengkapkan isi pinggan itu dengan asas nutrisi yang diperlukan badan seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral.

Bahan cecair atau air yang diminum bertindak sebagai 'tsunami' manakala pengambilan serat pula berfungsi seperti penyapu dan pembersih hampagas dalam badan yang akan membersihkan tubuh anda secara semula jadi setiap hari.

Sebab itu, orang ramai dinasihatkan supaya jangan sesekali melangkau masa makan walaupun hanya sarapan. Ini kerana setiap sesi makan bertujuan membekalkan tenaga kepada badan di samping memastikan tubuh kekal cergas.

"Pengambilan makanan yang sempurna dan meluangkan masa melakukan senaman menentukan kesihatan jantung yang bekerja mengepam darah ke seluruh anggota badan.

"Mereka yang mahu berdiet, anda juga boleh terus kelihatan cantik tanpa melangkau waktu makan atau mengamalkan beberapa cara diet seperti diet protein.

"Caranya, makan dengan teratur, lengkap nutrisi, lakukan senaman dan pemeriksaan doktor untuk mengetahui tahap kesihatan diri anda," katanya.

Tambahnya, gaya hidup generasi pada zaman ini sememangnya berbeza daripada dulu. Masing-masing sibuk dengan urusan peribadi atau kerja yang menyebabkan mereka sentiasa berada dalam keadaan cepat dan tergesa-gesa.

Selain itu, tidak sempat, tiada masa, tersekat dalam kesesakan jalan raya atau sibuk dengan kerja turut tersenarai sebagai faktor penyumbang masyarakat melangkau waktu makan dan mempunyai tabiat makan yang tidak elok.

Tabiat makan yang tidak elok berpunca daripada pengambilan terlalu banyak atau terlalu sedikit makanan dan minuman berkarbonat serta alkohol selain meninggalkan aktiviti kecergasan.

"Sebagai individu yang berkerjaya, berilmu dan mengetahui keadaan tubuh sendiri, seharusnya anda bijak membahagikan masa.

"Contohnya, sekiranya pekerjaan memerlukan anda selalu bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk temujanji bersama pelanggan, anda boleh buat jadual tertentu. Senaraikan lokasi pertemuan, buat kajian restoran atau gerai terdekat yang boleh dikunjungi supaya anda tidak terlepas waktu makan tengah hari dan malam.

"Keadaan jalan di ibu kota selalu sesak, justeru, anda boleh bersedia dengan makanan tambahan atau snek berkhasiat di dalam beg untuk dimakan sekiranya tersekat di dalam kesesakan jalan raya," katanya.

Menurutnya, fakta rakyat Malaysia memiliki berat badan berlebihan nyata membimbangkan kerana trend itu membawa kepada peningkatan penyakit berkaitan dengan gaya hidup seperti kencing manis, barah, strok dan penyakit jantung.

Orang ramai lebih banyak mengambil makanan berlemak, berkalori tinggi, sering makan di luar dan kurang bersenam. Malah, pengambilan kalori daripada makanan berlemak meningkat berbanding karbohidrat kompleks (sumber utama serat dalam pemakanan).

"Tanyalah pada sesiapa saja, di negara ini kita memilih makanan berdasarkan rasa dan bukan nilai nutrisi. Jangan bohong pada diri sendiri.

"Memang bukan mudah untuk mengubah kebiasaan tabiat pemakanan kita tetapi sesuatu harus dilakukan. Jika tidak tahu bagaimana mahu memulakan langkah itu, jumpalah doktor atau pakar pemakanan bertauliah untuk mendapatkan nasihat.

"Selepas berusaha, cuba dan berdisiplin pada diri sendiri untuk mematuhi cara itu. Tidak ada jalan mudah kepada sesuatu perubahan dan jangan sesekali cepat putus asa demi kesihatan diri yang berpanjangan," katanya.

Sementara itu, Cher berkata, orang ramai juga boleh memulakan perubahan dengan membaca label makanan atau panel maklumat pemakanan (NIP). Jadual yang terdapat pada label makanan berpaket itu menunjukkan jumlah tenaga, karbohidrat, protein dan lemak dalam produk makanan.

Label berkenaan menggalakkan penggunaan prinsip pemakanan yang betul dalam pemilihan dan penyediaan sajian makanan untuk keluarga. Pemahaman mengenai maklumat ini akan membantu kita membuat pilihan makanan yang lebih berkhasiat untuk diri dan keluarga.

Seterusnya, ia membantu memenuhi keperluan pemakanan di samping mengehadkan
pengambilan lemak dan gula yang berlebihan dalam diet. Sentiasa amalkan membaca label pemakanan walaupun kita pernah membeli makanan yang sama sebelum ini, kerana formula dan kaedah pemprosesan makanan mungkin sudah berubah seiring dengan masa.

"Seperti di Nestle, semua produk kami mempunyai ikon pek hadapan atau FOP untuk tenaga iaitu label di depan pek yang menunjukkan jumlah tenaga (dalam kcal) yang terdapat dalam sesuatu hidangan.

"Ia juga menunjukkan peratusan jumlah tenaga hidangan terbabit daripada keperluan kalori harian (2,000 kcal) yang disyorkan untuk seorang individu.
Ikon ini berguna kerana ia membantu kita mengawal pengambilan tenaga dan memudahkan kita merancang diet yang seimbang dan sihat.

"Ikon ini boleh membantu dalam merancang diet yang lebih seimbang kerana secara purata–nya, seorang individu memerlukan 2,000 kcal sehari. Contohnya, untuk minuman yogurt Bliss, ia mengandungi 92 kcal, kira-kira lima peratus daripada keperluan tenaga harian yang disyorkan.

Jadi untuk memenuhi 100 peratus keperluan tenaga, anda perlu mengambil makanan yang terdiri daripada pelbagai jenis dalam sehari," katanya.

Keperluan tenaga berbeza antara individu dan ia bergantung kepada umur, jantina serta aktiviti yang dilakukan sepanjang hari. Ini bermakna, ia berbeza antara lelaki dan wanita, serta mereka yang lebih aktif memerlukan lebih tenaga berbanding mereka yang kurang aktif.

Selain itu, kanak-kanak berumur lima hingga 10 tahun juga mung–kin memerlukan kurang tenaga berbanding orang dewasa.

Sebaik-baiknya rancang peng–ambilan tenaga seharian kita supaya tidak melebihi 2,000 kalori (kcal). Apa yang penting, kita harus sentiasa peka mengenai apa yang dimakan dan pastikannya seimbang sepanjang hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/28


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Mangsa pukul masih terlantar

Posted: 27 Oct 2012 07:25 AM PDT

KUANTAN: Walaupun penyerangnya sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Selasa lalu, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah, mangsa yang 'digusti' gara-gara lambat menghantar air suam masih terlantar dan menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Pelayan sebuah kopitiam di Jalan Tun Ismail 2, di sini, Htong Haw, 29, yang juga warga Myanmar, menjalani tiga pembedahan sejak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat cedera parah di abdomen iaitu pendarahan dalam perut, pecah limpa, pecah usus kecil dan luka pada hati.


Majikannya, Stanly Soon Suan Ning, 43, berkata, Haw dipindahkan ke wad biasa kelmarin selepas seminggu bertarung nyawa dan koma di ICU akibat kejadian itu.

"Keadaan dia masih lemah dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Buat masa ini dia belum boleh bercakap," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Soon berkata, Haw boleh menggerakkan anggota badan, namun kecederaan dialami membuatkan dia hanya terlantar dan tidak mampu bercakap.


"Abang dia yang bekerja di Kuala Lumpur menjenguknya di sini dan sedih dengan kejadian itu. Saya turut bersimpati dengan apa yang berlaku," katanya.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, 18 Oktober lalu, mangsa yang enam tahun bekerja di kopitiam itu ditumbuk bertubi-tubi dan kepalanya dihentak ke pasu pokok hiasan dipercayai hanya kerana terlewat menghantar air suam dipesan tertuduh.


Malah, tertuduh menghenyak tubuh mangsa ke tangga, menariknya ke seberang jalan lalu bertindak seperti ahli gusti dengan mengepit kepala mangsa di celah kangkangnya sebelum menghempas mangsa ke atas jalan di tempat letak kereta berdekatan.

Mangsa yang cedera parah kemudian dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Salak mayat dalam but

Posted: 27 Oct 2012 07:23 AM PDT

JOHOR BAHRU: Misteri salakan luar biasa seekor anjing membawa kepada penemuan mayat seorang wanita di dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Taratai 33, Taman Johor Jaya, di sini, petang kelmarin.

Ia susulan gelagat pelik anjing terbabit yang tiba-tiba meluru ke arah sebuah kereta Perodua Kancil sebelum menyalak kuat ketika pemiliknya membawa haiwan itu berjalan, jam 5.45 petang.


Pelik dengan kelakuan anjingnya selain terhidu bau busuk dari kereta berkenaan menyebabkan dia menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.

Pihak berkuasa memanggil sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa berikutan but kereta itu berkunci.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan mayat wanita itu dan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.


Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan pemeriksaan awal menemui mayat wanita di dalam but.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai berusia 30-an dan ketika ditemui, dia masih berpakaian lengkap.


"Pemeriksaan lanjut dijalankan tetapi kami tidak menemui butiran lanjut mengenai mangsa, namun kita percaya dia warga tempatan.

"Pemeriksaan polis menemui kesan tikaman di perut wanita itu," katanya.


Roslan berkata, siasatan dijalankan mengikut pelbagai sudut untuk mengetahui punca dan motif sebenar kejadian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


"Selain mengesan identiti, kita menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit untuk mencari petunjuk.


"Berikutan itu, orang ramai yang ada maklumat diminta tampil membantu polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Mahu suami lengkap kuota

Posted: 27 Oct 2012 07:47 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Terbiasa berkongsi kasih berempat, pemergian madu tua ke rahmatullah tahun lalu membuatkan tiga isteri seorang ahli perniagaan sanggup membuka jalan kepada suami mereka untuk menerima seorang lagi wanita bagi melengkapkan kuota poligami.

Mendedahkan rahsia itu, ketiga-tiga madu terbabit memberitahu, mereka sudah meluahkan rasa hati kepada suami, Ariffin Mohamad, 66, dengan mencalonkan adik angkat mereka, Zunaidah Chua Abdullah, 37, yang kini tinggal bersama untuk mendalami agama, sebagai isteri keempat.


"Bagaimanapun, abang Ariff tidak menunjukkan minat, mungkin kerana dia masih terkenangkan arwah kakak (isteri pertama) tapi memberitahu, biar jodoh dan takdir menentukan cadangan kami.

"Dia beritahu, kalau sudah jodoh, dia akan berkahwin dengan siapa saja, asalkan kami semua dapat menerimanya. Namun, setakat ini abang Arif belum menunjukkan minat, mungkin kerana masih terkenangkan arwah kakak," kata isteri ketiga, Sulizah Salleh, 54, sambil disokong isteri kedua, Roslina Soh Abdullah, 56, dan isteri keempat, Wan Akmal Wan Abdul Rahman, 54, ketika ditemui Metro Ahad di rumah mereka di Kampung Tebauk, di sini.


Meskipun madu pertama Fatimah Abdullah, 61, meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang, ikatan kasih sayang yang kukuh ketika hayatnya menyebabkan ketiga-tiga isteri ahli perniagaan itu tidak pernah berasa kehilangan wanita berkenaan.


"Walaupun kami kini tinggal bertiga, pada kami, kakak (panggilan kepada arwah madu pertama) masih bersama dan kami tidak pernah merasai kehilangannya," kata Sulizah.

Menurutnya, hubungan akrab antara dia dan dua madunya dengan arwah ketika hayatnya menyebabkan sehingga kini mereka masih merasai arwah ada bersama walaupun hampir setahun meninggal dunia.


"Ketika hayatnya, arwah kakak yang baik dan penyayang dan banyak membantu kami menyesuaikan diri dengan kehidupan bermadu.

"Tunjuk ajar yang arwah kakak beri menyebabkan kami tidak pernah berasa hidup bermadu. Hubungan kami seperti adik-beradik dan kami menghormatinya sebagai kakak sulung," katanya.


Sebagai isteri keempat, Wan Akmal menghormati tiga madunya (kini dua) sebagai kakak sendiri dan tidak pernah beranggapan mereka berempat berkongsi suami.


Malah, dia mengakui sikap suami yang tegas, bertanggungjawab dan jujur dalam segala permasalahan menyebabkan semua isteri tidak pernah berasa hati sesama mereka.


"Hubungan kasih sayang dan keakraban ini bukan hanya pada kami, tapi turut berlaku kepada 17 anak dan menantu kami yang tidak pernah membezakan antara kami apabila menganggap kami sebagai ibu kandung mereka.


"Abang Arif tidak pernah membawa masalah kerjanya ke rumah tapi kalau kami melihat dia resah atau termenung, tiada siapa yang akan 'menerkamnya', sebaliknya hanya menunggu dia menegur dan membelai kami berempat... biasanya dia tidak akan lama termenung sendirian," katanya.


Walaupun menyedari kemewahan dan kesenangan itu penting dalam kehidupan, semua isterinya beranggapan senjata utama kebahagiaan keluarga mereka ialah hubungan kasih sayang.


"Kami memiliki kasih sayang yang sama, termasuk dengan anak. Itulah rahsia yang membolehkan kami hidup bahagia selain peranan insan istimewa iaitu suami yang bertanggungjawab, tegas dan jujur, selain sifatnya yang periang serta sering membuatkan kami terhibur.


"Secara jujur, kami berasa sepi dan terasa kehilangannya jika suami tiada di rumah walaupun untuk satu hari kerana urusan kerja," katanya.


Roslina mengakui sejak menjadi isteri Ariffin 39 tahun lalu, kehidupannya penuh bermakna dan tidak menduga hidup bermadu tidak menimbulkan masalah buatnya dan tidak pernah menyesal bertukar agama.


"Arwah kakak banyak mengajar dan mendidik saya mengenai Islam, termasuk cara berpakaian dan pergaulan. Kini hidup saya tenang bersama dua 'adik' di bawah satu bumbung," katanya.


Bukan saja bahagia memiliki keluarga besar yang hidup dalam suasana penuh harmoni, tiga madu berkenaan turut berasa bangga apabila memiliki anak bijak yang berjaya dalam pelajaran.


Kecemerlangan dalam pendidikan terbukti apabila sembilan daripada 17 anak Ariffin berjaya ke menara gading. Empat daripada mereka kini bekerja, manakala lima lagi mengikuti pengajian di tiga pusat pengajian tinggi dalam negara.


"Syukur, Allah menganugerahkan mereka otak yang cergas. Kami tidak pernah mengatur sistem pembelajaran anak seperti menghantar mereka ke kelas tambahan atau menggaji guru khas di rumah.


"Disiplin tinggi selain patuh dengan peraturan ditentukan bapa mereka menyebabkan anak tahu apa sepatutnya dilakukan, termasuk belajar dan mengulang kaji pelajaran.


"Selain itu, kami membekalkan anak dengan air penerang hati dan surah Yasin yang menjadi amalan kami sekeluarga setiap hari. Alhamdulillah, sehingga kini Allah memakbulkan doa kami," kata Roslina.


Ketika ditanya sejak bila suami mereka mula menjadi pelupa dan kerap tersalah memanggil nama isterinya, mereka menjelaskan, perkara itu berlaku kira-kira setahun lalu, iaitu sejak pemergian arwah madu pertama.


Bagaimanapun, Ariffin masih sihat dan tegap serta tidak kelihatan seperti lelaki berusia 66 tahun, mungkin dipengaruhi faktor pemakanan.


Selain tidak menyentuh minuman sejuk, dia tidak akan makan makanan berminyak atau berlemak. Bukannya cerewet, Ariffin akan makan apa saja yang dimasak, asalkan ia tidak menggunakan minyak atau santan yang banyak. Dia juga jarang menjamu selera di luar, kecuali jika diajak atau sekadar menjaga hati kawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Bantu di Kemboja, Vietnam

Posted: 27 Oct 2012 07:47 AM PDT

SEPANG: Prihatin dengan kedaifan masyarakat Islam di Kemboja dan Vietnam, Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Perikatan Intelek Muslim Kemboja (CMIA) menyembelih 413 lembu dan 37 kambing untuk diagih kepada golongan sasaran di dua negara itu.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, daripada jumlah itu 396 lembu dan 37 kambing disembelih untuk diagihkan kepada umat Islam sekitar Phnom Penh, manakala 17 lembu diagihkan kepada masyarakat Islam di Ho Chi Minh, Vietnam.


Menurutnya, pihaknya juga akan menyampaikan sumbangan RM80,000 yang akan dimanfaatkan untuk pendidikan di Kampung Chenang, Kemboja.

"Sumbangan itu membabitkan RM70,000 bagi membina sekolah Islam, manakala RM10,000 lagi digunakan untuk membina maahad tahfiz di kampung berkenaan.


"Kita berharap sumbangan itu dapat membantu anak di kampung itu mendalami ilmu agama dalam keadaan lebih selesa," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam. Seramai 118 sukarelawan turut serta dalam program itu yang dikenali sebagai Ekspedisi Kasih dan Korban ke Kemboja dan Vietnam.


Peserta berlepas ke Kemboja jam 3.15 petang dan dijangka pulang ke tanah air, Rabu ini.

Othman berkata, ini kali keempat program itu diadakan dan yakin ia dapat membantu masyarakat Islam di negara itu, terutama dalam aspek pendidikan.


"Dana disumbangkan akan dimanfaatkan untuk membaik pulih prasarana sekolah, di samping mewujudkan pelaksanaan wakaf iaitu dengan membeli tanah yang akan memberi hasil kepada masyarakat Islam di sana.

"Program kita lebih memfokuskan aspek pendidikan kerana sedia maklum pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menjalankan program sukarelawan di negara itu, tetapi tertumpu terhadap ekonomi dan kebajikan.


"Sepanjang melaksanakan program ini, kita sudah membina dua sekolah di Phnom Penh yang kini mempunyai 300 pelajar. Justeru, sumbangan diberi dapat membantu proses pembelajaran umat Islam di negara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Zeenat wanita kerdil tertua

Posted: 27 Oct 2012 06:53 AM PDT

NEW DELHI: Seorang wanita Bhopal, India bakal 'mencabar' maklumat Buku Rekod Dunia Guinness apabila mendakwa dia adalah wanita kerdil tertua di dunia.

Mengaku berusia 113 tahun, Zeenat Bi berkata, dia masih ingat suasana India ketika ditadbir Inggeris dan keluarga bangsawan berpengaruh besar dalam kehidupan seharian.


Menurut wanita setinggi 91 sentimeter itu, dia melihat bagaimana Bhopal dipenuhi hutan tebal ketika zaman Inggeris bertukar wajah dari semasa ke semasa. "Pada satu ketika, Inggeris membawa roti mereka untuk kali pertama dan penduduk setempat begitu teruja melihatnya," katanya. Jika dakwaan Zeenat itu benar, bermakna dia dilahirkan ketika British ditadbir Ratu Victoria (meninggal dunia pada 22 Januari 1901) yang menggunakan gelaran Maharani India. Rekod wanita kerdil tertua diiktiraf Buku Rekod Guinness ketika ini ialah Deforest Mason, 74. Tidak pernah berkahwin, Zeenat kini hidup dengan pencen kerajaan bernilai 272 rupee (RM15.55) sebulan dan menumpang di rumah seorang lelaki tempatan, Abrar Muhammad Khan, sejak 20 tahun lalu.

Kata Zeenat, satu-satunya harta yang ada padanya ialah katil kecil dihadiahkan bekas Ketua Menteri Bhopal, Uma Bharti.


"Dia juga pernah menghantar bantuan 2,500 rupee (RM 141) setiap bulan tetapi kini kerajaan tidak mempedulikan saya," katanya.


Menurut Zeenat, dia mempunyai beberapa hajat sebelum meninggal dunia.

Antaranya, kata Zeenat, dia mahu bertemu bintang Bollywood, Salman Khan.


"Saya juga mahu mengerjakan haji, tetapi ia terlalu mahal dan tiada sesiapa dapat menemankan saya," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Lelaki Nigeria guna sihir paksa kanak-kanak jual tubuh

Posted: 27 Oct 2012 06:51 AM PDT

LONDON: Seorang lelaki yang menggunakan ritual sihir bagi memaksa kanak-kanak menjadi pelacur, didapati bersalah di mahkamah Canterbury atas dakwaan menyeludup manusia dan merogol.

Perbicaraan menunjukkan, ramai kanak-kanak dirogol, didera secara seksual dan dibayangi ritual seperti voodoo dilakukan sindiket terbabit. Mangsa juga dikelar dengan pisau, dipaksa meminum cecair busuk dan diambil darah bagi membolehkan mereka 'disihir.' Osezua Osolase, 42, menyamar sebagai pekerja pusat pungutan bahan kitar semula dan menetap di sebuah rumah teres di Gravesend, Kent.


Namun, tanpa disedari ramai, dia adalah sebahagian daripada anggota rangkaian penyeludup kanak-kanak yang menggunakan ancaman sihir bagi menakut-nakutkan mangsa supaya menjadi pelacur. Penyiasat berkata, mangsa sentiasa ditakut-takutkan akan mati atau mandul jika mereka cuba melarikan diri atau membuka rahsia kegiatan itu kepada sesiapa. Ketika ditahan, polis menemui bukti sekurang-kurangnya 28 mangsa diseludup masuk dan keluar oleh Osolase sepanjang tempoh 14 bulan.

Kegiatan itu membolehkan dia mendapat keuntungan sehingga 1.5 juta (RM7.3 juta). Bagaimanapun, polis yakin angka sebenar keuntungan diperolehnya jauh lebih tinggi berdasarkan bukti dikumpul setakat ini.


Hakim akan menjatuhkan hukuman ke atas Osolase hari ini. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Perang psiko Fergie

Posted: 27 Oct 2012 06:47 AM PDT

LONDON: Alex Ferguson mengakui revolusi Chelsea tidak mudah ditangani Manchester United pada perlawanan penting malam ini sekalipun beliau tahu apa yang akan dilakukan Blues.

Sejak mereka memenangi kejuaraan Liga Perdana kali terakhir pada 2010, Chelsea beberapa kali cuba memantapkan semula skuadnya.


Carlo Ancelotti mahupun Andre Villas-Boas gagal melakukannya namun Roberto Di Matteo sedikit sebanyak berjaya melaksanakannya.

Pemangkinnya adalah pemergian Didier Drogba ke China berikutan tindakan keperwiraannya pada final Liga Juara-Juara, Mei lalu.


Nicolas Anelka sudah pergi begitu juga Michael Essien, yang dipinjamkan ke Real Madrid dan Frank Lampard bergelut mencari semula prestasi terbaiknya, jadi peluang untuk melakukan perubahan lebih mudah daripada disangkakan.


Seperti yang dikehendaki pemilik Roman Abramovich, Chelsea menemui jalan terbaru dengan penampilan Juan Mata, Eden Hazard dan Oscar menghasilkan permainan serangan menarik dan menghiburkan.

"Chelsea sering mempunyai alternatif bermain dengan Drogba di depan," kata Ferguson.


"Mereka boleh bermain hantaran jauh atau melorongkan bola menerusi bahagian tengah.

"Kini ia hanya satu aliran saja. Ia menerusi bahagian tengah sepanjang masa.


"Tapi ia bukannya satu sistem yang mudah ditangani. Oscar dan Hazard dua pemain yang memiliki gaya sama. Dan dengan Mata ketiga-tiganya bermain di belakang penyerang utama.


"Kami perlu mencari jalan untuk menanganinya." Sebelum kekalahan pada kempen Liga Juara-Juara di Donetsk pertengahan minggu ini, sistem itu ternyata berjaya.


Chelsea setakat ini hanya keciciran dua mata dalam Liga Perdana - keputusan seri tanpa jaringan di QPR - layak ke pusingan 16 terakhir Piala Liga dan berada dalam kedudukan yang baik dalam Liga Juara-Juara.


Ferguson berharap kunjungan ke Ukraine menghadirkan elemen keraguan dalam kem Blues dan dipergunakan sebaik mungkin oleh pemainnya di Stamford Bridge, malam ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Peluang Hairi pamer bakat

Posted: 27 Oct 2012 06:37 AM PDT

HAIRI Zaid Ahmad Saroji disifatkan gimnas harapan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) ketika ini selepas dipilih menjadi wakil tunggal ke Kejohanan Asia Kelima di Putian, China, minggu depan.

Setiausaha Kehormat MGF, N Shanmugarajah berkata, Hairi dijangka akan berentap dengan 140 gimnas terbaik dari 20 negara Asia.


"Meskipun ini adalah penyertaan sulungnya di kejohanan ini, ia diibaratkan medan penting bagi Hairi untuk mencipta ranking di peringkat Asia.

"Malah, ia juga untuk memperkenalkan semula kebangkitan gimnas lelaki Malaysia di peringkat Asia selepas pengunduran atlet sebelum ini.


"Kami yakin Hairi mampu mengibarkan cabaran namun tidak meletakkan tekanan sebarang pingat. Kami optimis dia akan melakukan yang terbaik di China walaupun akur dengan kehebatan tuan rumah," katanya.


Mengulas lanjut, kejohanan itu akan diadakan dari 7 hingga 15 November di Pusat Sukan Putian dengan Kesatuan Gimnastik Asia bersama-sama kerajaan Putian.

"Sejak tahun lalu, gimnas lelaki tidak didedahkan dengan mana-mana kejohanan utama di luar negara. Maka, ini disifatkan landasan terbaik untuk mereka membuka lembaran baru bagi 2013.


"Sememangnya kami sedang merangka strategi terbaik untuk membangunkan semula sukan gimnastik negara khususnya acara lelaki dan Hairi adalah antara satu daripadanya," katanya.

Buat masa ini skuad kebangsaan hanya mempunyai dua gimnas saja, selain Hairi seorang lagi adalah Daniel Iskandar Richard.


MGF ketika ini sedang memantau muka baru untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan dan setakat ini empat gimnas dari Pahang dan Terengganu sudah dikenal pasti.


Bagaimanapun, sebarang keputusan muktamad hanya akan ditentukan menerusi pemantauan lebih terperinci di kejohanan gimnastik artistik SportExcel Sirkit 2 dan Kejohanan Artistik kebangsaan 9 hingga 11 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved