Isnin, 15 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Lebih cabaran untuk berdikari

Posted: 15 Oct 2012 09:29 AM PDT

WALAUPUN tergolong di kalangan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan, tetapi ia tidak menghalang golongan ini daripada menjalani kehidupan seperti insan normal.

Sebolehnya mereka enggan menyerah pada kekurangan diri dan hidup berdikari atas usaha tulang empat kerat tanpa mengharapkan belas ihsan sesiapa.

Begitu juga dengan kumpulan sokongan ataupun persatuan yang mewakili golongan kelainan upaya cacat penglihatan ini turut sama menghasilkan produk tertentu agar ia boleh dikongsi bersama ahli dengan cara tersendiri.

Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) sememangnya dikenali kerana mengeluarkan al-Quran Braille untuk kemudahan masyarakat cacat penglihatan mengenali dan mendalami bacaan kitab suci itu dengan lancar.


Naib Yang Dipertuanya, Zamzuri Ghani berkata, pengeluaran cetakan al-Quran Braille melalui Biro Penerbitan Pertis ini juga bertindak sebagai sumber pendapatan utama persatuan.


"Buat masa ini, hanya Pertis bertindak sebagai badan tunggal mengeluarkan al-Quran Braille malah ia juga diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 1996.

"Kos bagi mengeluarkan al-Quran ini kira-kira RM200 senaskhah tetapi kami memberinya secara percuma kepada semua ahli Pertis dan mereka yang memerlukan," katanya.

Malah, golongan cacat penglihatan juga tidak akan menghadapi masalah untuk membaca teks al-Quran jawi braille ini kerana ia menggunakan kod khas bagi memudahkan pembacaan serta mengikut tajwidnya yang betul.

"Mungkin orang tak nampak kepentingan al-Quran Braille ini, tetapi kepada golongan seperti kami ia sangat penting terutama dalam mendekatkan diri dengan Allah.

"Kami akan terus mengeluarkan al-Quran Braille untuk kegunaan semua malah bersyukur kerana sehingga kini masih menerima bantuan daripada pihak tertentu yang sudi menaja proses cetakan terbabit," katanya.

Al-Quran ini adalah transkripsi daripada manuskrip kitab al-Quran asal tanpa membuat sebarang perubahan kecuali sedikit modifikasi terhadap tulisan agar disesuaikan dengan keperluan individu cacat penglihatan.

Kaedah penulisan al-Quran Braille yang dihasilkan melalui komputer oleh Pertis ini tidak lari daripada sistem tulisan jawi braille yang diterima pakai negara lain.

Malah, ia juga boleh dibaca pengguna cacat penglihatan dari seluruh dunia asalkan berpengetahuan dalam sistem tulisan jawi braille.

Cetakan al-Quran Braille berkomputer itu mempunyai 30 juzuk dengan 1,666 muka surat menggunakan bahasa Arab sepenuhnya manakala tulisan Braille pula memenuhi piawaian antarabangsa.

Jika sebelum ini, ia diterbitkan secara manual dan mengambil masa setahun untuk disiapkan, tetapi melalui cetakan berkomputer pula hanya mengambil masa empat jam untuk disiapkan.

"Ia dibahagikan kepada enam jilid merangkumi 30 juzuk al-Quran dan setiap jilid pula disertakan dengan lima juzuk al-Quran bagi memudahkan pembaca cacat penglihatan.

"Tidak dinafikan ia agak tebal berbanding al-Quran biasa, tetapi bacaannya tetap sama mengikut tertib yang ditetapkan," katanya.

Selain itu, sumbangan yang diperoleh daripada individu perseorangan dan juga syarikat korporat juga menjadi pemangkin utama sumber pendapatan persatuan terutama bagi menyalurkan gaji kepada kakitangan yang memastikan perjalanan urusan harian persatuan sentiasa lancar.

Sementara itu, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) pula menyediakan pelbagai aktiviti dan program bagi membolehkan ahli mendapat manfaat dan boleh berdikari antaranya dengan menyediakan Program Pembangunan Keusahawanan. Walaupun tidak mempunyai satu produk khusus, tetapi usaha yang dijalankan dengan memberikan pengetahuan keusahawan kepada ahli membuka peluang kepada mereka untuk membaiki taraf hidup ke arah lebih baik.

Presidennya, Mohammed Nazari Othman berkata, apa yang ditawarkan kepada ahli bukan bersifat keuntungan, tetapi lebih kepada perkhidmatan sama ada kursus ataupun maklumat berkaitan pengkhususan perniagaan yang ingin diceburi.

"Kebanyakan ahli SBM lebih banyak terarah kepada bidang perniagaan urutan dan refleksologi, namun masih ada yang menceburkan diri dalam bidang jahitan, kedai runcit, penternakan ikan dan juga kraftangan.

"Keupayaan berdikari amat dititikberatkan kepada setiap ahli kerana walaupun mempunyai kelayakan pendidikan, kebanyakan mereka tidak berpeluang merasai kerjaya di peringkat arus perdana disebabkan kekurangan diri," katanya.

Selain itu, untuk lebih memotivasikan diri, persatuan juga turut menawarkan pinjaman modal perniagaan kepada ahli melalui program pembangunan keusahawanan yang dijalankan sehingga mencecah RM100,000.

Hingga kini kebanyakan ahli yang berminat boleh mendapat jumlah pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 dan bagi memastikan perjalanan perniagaan dilakukan lancar, ahli turut dihantar menjalani kursus latihan.

"Kami ingin memastikan golongan cacat penglihatan juga mampu berjaya seiring dengan perkembangan serta peredaran ekonomi semasa.

"Walaupun tidak boleh melihat, tetapi kita perlu menjadikan 'kekurangan' ini sebagai cabaran untuk sentiasa memperbaiki diri agar lebih berdaya saing, tetapi mengikut kemampuan diri sendiri," katanya.

Malah, persepsi masyarakat juga perlu diperbetulkan dan memberi peluang kepada orang kelainan upaya untuk turut sama menyumbang ke arah pembangunan negara dengan cara tersendiri.

Disebabkan kekurangan peluang kerjaya yang ditawarkan kepada golongan ini juga menyebabkan mereka lebih terarah kepada bentuk 'bekerja sendiri' tetapi pandangan masyarakat terhadap usaha ini pula berlainan.

"Bagi membuka ruang kepada golongan kelainan upaya ini untuk berjuang meningkatkan taraf hidup diri, seharusnya masyarakat membuang persepsi negatif sedia ada dan cuba membantu dengan memberi peluang kepada kami untuk turut sama 'berjaya'.

"Keadaan ini bertujuan meneruskan kelangsungan hidup golongan seperti kami kerana seperti orang lain, kami juga memiliki keluarga yang memerlukan keperluan harian dan pastinya dengan keadaan ekonomi sekarang membuatkan keadaan diri lebih terhimpit dalam tekanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Cikgu Rania 2 (Siri 15): Aku terima nikahnya!

Posted: 15 Oct 2012 08:26 AM PDT

Seminggu! Itulah jangka masa yang diberikan pada mereka untuk menyelesaikan pelbagai urusan menjelang pernikahan Rania dengan Ummar Qayyum. Dari segi wang ringgit, langsung tiada masalah tapi pelbagai urusan remeh temeh yang lain yang mendebarkan Rania.

Pakaian pengantin untuk mereka berdua! Barang hantaran! Kek perkahwinan!
Senarai tetamu undangan! Itu belum masuk lagi tempahan hidangan para tetamu, hidangan pengantin dan macam-macam lagi.


Sempatkah?" Mampukah? Tanya Rania dengan debarnya.

"Jangan bimbang Ren. Duit ada semua jadi!" selamba saja Mak cik Rohaya menjawab.

"Ini bukan soal duit sahaja makcik! Ini soal masa, tenaga. Banyak yang nak kena urus," wajah Rania yang selalunya tenang, bergolak pula kali ini. Kasihan kalau mama terpaksa uruskan segala-galanya.

"Tak usahlah Ren khuatirkan. Semua akan diuruskan dengan lancar. Mama dan ayah Ren tahulah apa nak yang dibuat," Mak cik Rohaya mententeramkan hati Rania.

Memang benar sekali seperti yang dikata Mak cik Rohaya. Apabila duit berada dalam genggaman, yang susah jadi mudah. Jentik jari semua siap. Bagi Puan Sri Zalia tidak ada istilah payah apabila membabitkan pernikahan Rania. Semuanya bisa diurus lebih lebih lagi dengan kepulangan Rindu sekeluarga.

"Mama dah lantik dan bincang dengan perancang perkahwinan walaupun kita hanya buat nikah saja. Ren jangan bimbang. Semua dah mama uruskan!" Puan Zalia berkata dengan bangga. Dia meneliti senarai kerja yang tercatat pada diari kecil yang akhir-akhir ini selalu dibawa bersama.

"Mama dah buat semua? Baju nikah Ren dengan Qayyum, kek, hantaran semua?"
Tanya Rania untuk mendapatkan kepastian.

"Yang itu Kak Rindu dah uruskan."

"Bila Kak Rindu uruskan? Kan kakak baru je sampai semalam,"

"Kak Rindu dah urus dari sana sebaik saja Kak Rindu tahu." Maklum Puan Sri Zalia.

"Wow..hebatnya Kak Rindu!"

Apa yang susah pada zaman serba canggih ni," leretan senyum Rindu benar-benar melegakan Rania. "Petang karang designer dari Eque Collection akan datang ukur badan Ren. Dalam dua hari siap baju nikah Ren," janji Rindu.

"Qayyum punya?"

"Yang itu Abang Rais yang urus. Designer yang sama," jelas Rindu.

"Wah...cekapnya ahli keluarga Ren buat kerja. Ren terharu sangat,"

"Bersyukur pada Allah yang memudahkan dan mempercepatkan semua urusan." Puan Sri Zalia raup mukanya tanda terima kasih. "Ayah pun dah suruh PAnya uruskan tentang undangan terdekat. Cuma tinggal undangan kawan-kawan rapat Ren dengan Qayyum saja," potong Datin Sri Zalia.

"Ni dah jadi macam majlis kahwin mama,"

"Mana pulak. Kalau majlis kahwin tak ada orang buat dalam masa seminggu," sampuk Puan Sri Zalia.

Sementara ingat, Rania menghubungi rakan-rakan yang rapat dengannya.
Rata-rata rakan dan taulan terkejut mendengar berita menggembirakan itu tidak terkecuali Rahah.

"Biar betul awak Ren," jerit Rahah.

"Betullah!"

"Ya Allah...kenapa tak sempat-sempat."

"Dah jodoh. Nanti saya nak ikut Qayyum ke Sweden,"

"Amboi mak! Jelesnya saya! Dah lah dapat husband handsome...kaya pulak! Jerit Rahah. Rania tertawa kecil. Selesai berbual dengan Rahah, Ros Ilyani pula dihubungi Rania. Walaupun agak terperanjat, Ros Ilyani tidak lupa ucapkan tahniah.

"Bila Ren buat keputusan mendadak macam ni?" Ros Ilyani masih tidak percaya dengan berita yang didengarnya.

"Baru je Kak Ros. Qayyum yang usulkan. Ren setuju je. Ren sendiri pun tak percaya tapi Ren akur dengan ketentuan Allah swt,"

"Syukur. Kak Ros yakin itu yang terbaik untuk Ren,"

"Terima kasih Kak Ros,"

"Ni....err...Halim nak cakap dengan Ren," ujar Ros Ilyani seraya menyerahkan telefon bimbitnya pada Halim. Getar suara Halim mengucapkan tahniah membuatkan Rania terdiam sejenak. Beberapa pertanyaan Halim tidak mampu dijawab oleh Rania. Puan Sri Zalia yang melihat perubahan raut wajah Rania bertanya dengan bahasa isyarat.

Rania hanya menggelengkan kepala. Dia memberi isyarat untuk terus berbual pada ibunya. Puan Sri Zalia pergi. Pilu rasa di hati mendengar rintihan Halim.
Hampir menitik air matanya apabila Halim melahirkan rasa sesal kerana memutuskan ikatan antara mereka dulu.

"Dahlah Lim. Kita terima sajalah apa yang berlaku sebagai takdir!" Pujuk Rania penuh pengertian.

"Mudahlah kau berkata begitu Ren. Aku?" suara rajuk Halim bagai tidak terubat.

"Kau tak suka aku bahagia?"

"Kau bahagia?" Uji Halim dengan suara yang masih bergetar.

"Aku bahagia," sejujurnya Rania meluahkan apa yang dirasa. Esak kecil Halim kedengaran di seberang sana. Rania menahan nafas.

"Takpelah Ren....aku akan sentiasa mendoakan kebahagiaan kau," ujar Halim sebelum talian dimatikan. Rania terduduk. Mengapa perlu ada kesedihan pada saat-saat begini? Rintihnya sedih. Dia sayangkan Halim dan mahu Halim menerima berita pernikahannya dengan dada terbuka tapi ternyata Halim tidak mampu.

Ah Halim...sukarnya mengerti hati seorang rakan baik seperti kau. Aku harap kau akan berjaya sebagai petani moden dan menemui cinta sejati suatu hari kelak. Rania bercerita sepintas lalu perbualannya dengan Puan Sri Zalia.
Wanita itu menghela nafas tanpa komen.

"Mudah-mudahan masa merawat luka Halim," doanya sebelum pergi. Puan Sri Zalia kembali sibuk menyambung pelbagai tugasan yang menanti. Kemeriahan majlis pernikahan Rania makin terasa apabila saudara mara terdekat mulai bertandang ke rumah. Adik-beradik belah ibu dan ayah mulai memenuhi rumah mewah mereka.

Saudara mara yang tidak dapat hadir pada majlis perkahwinan Rais dan Murni sebelum ini mengambil peluang untuk hadir kali ini. Suasana kemeriahannya ketara. Begitu berbeza jika dibandingkan dengan suasana semasa perkahwinan Murni dan Rais dulu.

Murni dapat merasakan jurangnya. Setiap saudara mara memberi perhatian kepada Rania. Tidak jemu-jemu mereka memuji dan mengusik Rania. Murni semakin berasa terasing di rumah besar itu. Kerana itu dia berkurung di kamar.

Kalau aku tiada di bawah pun, tidak ada siapa yang perasan, detik hati Murni.
Dia berdiri di jendela dan memerhati ke bawah. Kawasan laman rumah Tan Sri Razlan dipenuhi kereta saudara mara mereka yang bertandang. Entah buat kali ke berapa dia terkenang Ummar Qayyum. Kenangan bersama Ummar Qayyum di kampung tidak pernah luput dalam ingatannya. Perasaan kasih dan cinta tetap bertakhta.

Akhirnya Abang Qayyum tetap akan mengahwini Rania, Murni terjebik. Murni menoleh tatkala mendengar suara seseorang menyapanya.

"Mengapa berkurung kat bilik? Turunlah jumpa saudara mara," arahan Rais membuatkannya terkebil-kebil. Murni meraba-raba perutnya yang mulai membonjol.

"Saya tak biasa dengan saudara mara awak," kata Murni.

"Masa inilah awak kena biasakan diri. Pakai baju besar supaya orang tak nampak perut awak tu," pesan Rais sebelum pergi. Murni tiada pilihan. Dia memilih sehelai baju yang agak besar dan turun menyaingi sanak saudara Rais. Banyak kerja yang sudah siap. Orang berduit tidak perlu bersusah payah. Mereka hanya perlu mengarah saja, fikir Murni.

Saudara mara yang berkunjung pula hanya sekadar memeriahkan suasana. Rais duduk bersembang dengan beberapa lelaki yang agak berusia. Murni duduk bersama-sama dengan kumpulan wanita separuh usia. Murni hanya bercakap apabila ditanya. Rania yang ditemani Rindu dikerumuni oleh beberapa orang perempuan muda.

Murni perasan wajah Rania begitu cantik dan mulus. Masakan tidak, dua orang mak andam dijemput khas ke rumah untuk rawatan muka dan badan Rania.

"Nak berinai kat sini atau dalam bilik?" tanya Puan Sri Zalia pada Rania.

"Kat mana kak?" Tanya Rania pada Rindu. Saudara mara dan kanak-kanak riuh rendah di ruang tamu. Kalau berinai di ruang keluarga itu, tak selesa pula, fikir Rindu.

"Kat biliklah," putus Rindu kemudian.

"Jom Murni," ajak Rania. Murni menurut saja sementelah dia juga kurang senang berada di bawah. Mereka bergerak ke atas dengan seorang mak andam bernama Azariah. Masuk saja ke bilik Rania, Murni terkaku. Kamar Rania indah sungguh. Terkulat-kulat Murni memandangnya. Sementara jari jemari Rania diinai Azariah, Murni memerhatikan segenap kamar Rania.

Baru saat itu Murni berpeluang melihatnya. Perabot baru buatan Itali sampai dua hari sudah. Semua serba baru. Terpegun Murni dibuatnya. Katil putih bersaiz 'King' padan sungguh dihias dengan cadar berwarna ungu muda. Langsir putih berlapis-lapis mengindahkan lagi kamar yang nampak begitu nyaman dan indah.

"Murni panggil abang Murni kat kampung tak?" Tanya Rania tiba-tiba. Murni yang sedang melamun terkejut. Dia menggelengkan kepalanya.

"Ajaklah. Nanti apa kata mereka kalau Murni tak undang!" Rania memberi peringatan.

"Ye Murni, ajaklah."

"Sempat lagi ke?"

"Ajak aje tanda ingatan,"

"Tengoklah macam mana," sahut Murni. Dia duduk di atas permaidani, bersebelahan Rania. Lincah tangan mak andam membalut jari-jemari Rania dengan inai basah menarik hati Murni. Jari-jemari Rania putih dan runcing. Murni tatap pula muka Rania yang putih mulus. Dagunya berlekuk.

Rania memang gadis yang sangat cantik. Tak hairanlah kalau Abang Qayyum jatuh cinta padanya. Dia baik pada aku tapi aku tetap tak suka pada dia! Murni bermonolog sendirian.

Selesai kerja menginai, mak andam menyuruh Rania duduk diam-diam. Dia pergi dan menyuruh Rania membersihkan inai di jari selepas sejam.

"Akak nak turun tengok budak-budak kejap," kata Rindu. Tinggal Murni bersama Rania di dalam kamar. Murni bergerak ke jendela. Dia melihat bulan di langit yang kelam. Kosong fikiran Murni saat itu. Dia tidak dapat memikirkan apa-apa kerana masih terkejut menerima berita bahawa Rania akan bernikah dengan Ummar Qayyum dalam masa terdekat. Perutnya dielus lembut. Kerana anak dalam kandungan ini, aku terpaksa menahan hati! Getusnya.

Rania pula memerhatikan gelagat Murni. Wajah Murni resah. Risaukan kandungannya barangkali, fikir Rania namun dia bersyukur kerana Murni mulai diterima di rumah itu walaupun ada ketikanya Murni sering disindir dan diperli oleh ibu dan Makcik Rohaya. Teringat pula Rania akan gulungan tilam di dalam bilik Rais.

Minggu lepas dia perasan tilam itu sudah tidak ada lagi di dalam kamar tersebut. Mudah-mudahan Abang Rais dapat menerima Murni seadanya dan mudah-mudahan Murni dapat menerima ketentuan bahawa jodohku dengan Abang Qayyumnya, fikir Rania. Dia berbual-bual kosong dengan Murni apabila Murni kembali duduk di sebelahnya.

Murni berdiri apabila terdengar ketukan di pintu bilik Rania. Pintu terkuak.
Wajah Puan Sri Zalia tersadai penuh kepuasan. Sebelum mendengar suara sindiran Puan Sri Zalia terhadap dirinya, Murni meminta diri untuk kembali ke biliknya. Puan Sri Zalia tutup pintu kamar.

"Tak basuh inai lagi?" Tanya Puan Sri Zalia. Baru Rania teringat. Segera dia masuk ke bilik mandi dan membersihkan balutan inai di jarinya. Jari-jemarinya yang putih dan runcing kelihatan berseri dengan inai merah menyala.

"Cuba sarung cincin yang Qayyum beli tu," arah Puan Sri Zalia. Sebaik saja tersarung cincin bertatah berlian di jari Rania, perasaannya jadi gementar mendadak.

"Mama....Ren berdebar-debarlah,"

"Memanglah!" Sahut Puan Sri Zalia lembut. "Cantik cincin ni di jari Ren,"
pujinya lagi.

"Terima kasih mama,"

"Alhamdulillah. Semua dah selesai dan berjalan lancar setakat ni," Puan Sri Zalia memberi laporan.

"Syukur ye mama. Tak sangka dalam seminggu semuanya okey,"

"Yelah...mama gembira sangat-sangat. InsyaAllah tercapai impian mama nak tengok Ren kahwin dengan Qayyum." Puan Sri Zalia bertatapan dengan anak gadisnya. Dia kagum dengan kecantikan anugerah Allah pada anak gadisnya itu.

"Mama indahnya saat ni. Ren tak pernah sangka Ren akan gembira kahwin cara ni.
Ringkas, mudah dan cepat. Ren bahagia sangat. Terima kasih kerana menyokong keputusan kami." Di dada ibunya, Rania labuhkan wajah. Tak henti-henti mulutnya melafazkan syukur.

"Mama pun happy sangat. Tak sangkakan nikah cara macam ni lagi seronok."

"Tulah...."

"Mama doakan Ren akan jadi isteri yang terbaik buat Qayyum, jadi ibu yang hebat untuk anak-anak Ren. Mama bangga jadi ibu Ren...mama bangga dapat anak yang berhati mulia macam Ren."

"Ren pun sama tapi boleh tak kalau ...Ren nak minta sesuatu?" Puan Sri Zalia pegang bahu Rania lantas muka anak gadisnya direnung. "Apa dia?"

"Lepas ni boleh tak mama berbaik-baik dengan Murni...sian dia!" rayu Rania.
Lebaran senyuman Puan Sri Zalia melapangkan dada Rania.

"InsyaAllah..."

Sekali lagi ketukan kedengaran. Rania membuka pintu kamar. Mak cik Rohaya tersengih-sengih dengan rupa orang bersalah. Rania tarik tangan pembantu rumah yang disayangi itu.

"Mak cik nak ucap tahniah. Mak cik nak jadi orang paling awal ucap tahniah."
Ayat itu kedengaran begitu syahdu dan tulus. Perempuan tua itu dipeluk Rania.

"Makcik gembira sangat-sangat," ujarnya lagi. Air mata gembiranya bergenang.

"Ren tahu. Terima kasih kerana mendoakan Ren. Ren ingat kata-kata mak cik. Allah Kabul doa mak cik."

"Mak cik akan teruskan doa untuk Ren. Semoga pernikahan dan perkahwinan Ren dengan Qayyum sentiasa dalam keadaan bahagia, dan dipelihara Allah sampai bila-bila,"

"Terima kasih mak cik....sayang mak cik,"

"Ren kena tidur awal. Jangan berjaga lewat malam. Nanti kurang seri masa nikah nanti," Puan Sri Zalia memberi ingatan sebelum dia bersama pembantu rumah meninggalkan Rania bersendirian di kamar.

"Baik mama. Selamat malam," ucap Rania. Dilakukan solat sunat syukur dua rakaat sebelum dia menarik selimut. Baru saja mata hendak dipejam, telefonnya berbunyi.

"Assalamualaikum tunang," suara Ummar Qayyum membuatkan matanya terbuka besar.
Dia tersenyum seketika. Tiga hari mereka berjanji untuk tidak berjumpa dan berhubungan walaupun menerusi telefon bimbit.

"Waalaikumsalam, kata tak nak berhubung,"

"Memang pun...tapi I berdebar menunggu esok,"

"I pun..."

"Tak sabar nak tengok you esok,"

Rania diam. Dari kamarnya dia dapat melihat langit yang dihiasi bulan.

"Sayang sangat pada you Rini," bisik Ummar Qayyum. Rania terkedu. Lama benar panggilan Rini tidak didengar. Rania menghela nafas.

"Terima kasih kerana bersetuju untuk bernikah dan menemani I balik ke Sweden. I sangat-sangat hargai."

"Terima kasih kerana sudi lamar I jadi suri hidup you," sahut Rania perlahan.
Perasaannya tiba-tiba jadi pilu dan hiba. Tidak sangka segala aral nan melintang yang pernah dilalui mereka akhirnya dapat mereka tepis bersama-sama.

"Looking forward to be your hubby!"

Rania tersengih sedang air matanya mulai bergenang.

"Jaga diri baik-baik ya sayang," lunak suara Ummar Qayyum mendamaikan perasaannya.

"InsyaAllah abang Qum Qum,"

Ummar Qayyum tergelak.

"Kantoi romantik bila you sebut Qum Qum." Tawa Rania kedengaran.

"Tidur awal malam ni tau. Jumpa sayang esok!"

"Okey,"

"Assalamualaikum sayang,"

"Waalaikum salam,"

Rania tarik selimut. Tubuhnya sudah di bawah selimut. Tangan kanannya diangkat. Rania perhatikan jari-jemarinya yang merah berinai. Sebentuk cincin indah gemerlapan tersarung di jari manisnya. Dikucupnya cincin berlian yang bertenggek di jari manisnya yang runcing. Dadanya berdebar-debar. Aku bakal akan jadi isteri!

Esoknya, Rania teresak tatkala telinganya menangkap lafaz senafas dari mulut Ummar Qayyum "Aku terima nikahnya Rania binti Razlan dengan mas kahwin sebanyak RM300 tunai. "Ya Allah...terima kasih atas cinta ini!" bisiknya. Setitis air mata kesyukuran meleleh di pipi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Syor artis sertai skuad pengguna

Posted: 15 Oct 2012 01:56 AM PDT

PUTRAJAYA: Pengaruh artis di Malaysia yang mampu menarik orang ramai mengikut segala perkara dan tindakan mereka sepatutnya digunakan untuk tujuan baik terutama dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu kepenggunaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi menzahirkan matlamat itu pihaknya menyarankan artis supaya mendaftar secara percuma sebagai ahli skuad pengguna, sekali gus menjalankan peranan menyedarkan masyarakat terhadap isu berkenaan.


"Bagi golongan artis mereka ada ramai pengikut dan apa yang dibuat menjadi ikutan orang lain. Malah, sekiranya artis memberi pandangan, ramai terpengaruh dengan pandangan mereka.

"Justeru, jika mereka terbabit skuad pengguna, mereka boleh menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing.


"Pada masa sama kami boleh menjemput artis itu untuk memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai isu dan hak kepenggunaan," katanya selepas program lepak santai kepenggunaan media dan artis di Pusat Maritim, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Pemandu mungkin kantuk

Posted: 15 Oct 2012 01:55 AM PDT

LEDANG: Tiga sekeluarga termasuk dua kanak-kanak, maut manakala seorang lagi saudara mereka kritikal selepas kereta Perodua Kancil dinaiki bertembung lori membawa tong gas di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak, Ledang di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu mangsa yang terbunuh Mohd Adzhar Abu Bakar, 29, serta dua anaknya, Mohd Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina, 2.


Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke Bukit Pasir, Muar, untuk mengambil barangan jualan, bersama isteri Mohd Adzhar, Salasiah Abd Malik, 29, yang memandu kereta serta seorang saudara, Safawi Abd Malik, 20.

Ketika tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori menyebabkan Perodua Kancil berkenaan remuk dan Safawi cedera parah.


Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan kecemasan, namun Mohd Wahyu disahkan meninggal dunia jam 6 petang kelmarin, diikuti Nursyifa Qistina tiga jam kemudian dan Mohd Adzhar, jam 3 pagi semalam.


Safawi masih dalam keadaan kritikal manakala Salasiah dilaporkan stabil dan mereka dirawat di HPSF.

Pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 27, dari Tangkak cedera ringan di kaki dan tangan.


Mohd Shahril ketika ditemui berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam sekelip mata Perodua Kancil berkenaan memasuki laluannya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia tergamam dan tidak sempat mengelak sebelum berlanggar secara berdepan.


"Mujur, lebih 20 tong gas yang saya bawa tidak meletup. Saya cedera di kaki dan hanya depan serta tepi lori remuk. Saya simpati dengan keluarga mangsa, namun tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris ketika dihubungi berkata, Perodua Kancil itu dinaiki lima sekeluarga dalam perjalanan dari Ledang ke Bukit Pasir, Muar, manakala lori terbabit dari arah bertentangan.


"Siasatan awal mendapati kemungkinan pemandu kereta terbabit mengantuk menyebabkan dia hilang kawalan lalu memasuki laluan lori arah bertentangan.


"Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Shazia ikrar tentang Taliban

Posted: 14 Oct 2012 01:22 PM PDT

RAWALPINDI: Sahabat karib remaja perempuan Pakistan berusia 14 tahun yang ditembak di kepala oleh Taliban minggu lalu berikrar untuk menentang kumpulan pelampau itu dan kembali ke sekolah bersama mangsa.

Shazia Rahman, 14, melihat dengan ketakutan ketika rakan sekelasnya, Malala Yousafzai ditembak di sampingnya dalam bas sekolah, sebelum lelaki bersenjata itu berpaling dan menembak dirinya.


Bercakap kepada The Mail on Sunday secara eksklusif, Shazia yang ditembak di bahu berkata: Malala akan sembuh dan kami akan kembali ke sekolah dan belajar bersama semula."

Ketika Shazia duduk di katil hospital, Malala semalam masih dalam keadaan kritikal di hospital di Rawalpindi selepas ditembak lelaki bersenjata Taliban ketika dia pulang menaiki bas sekolah di daerah Mingora di Lembah Swat yang bergolak Selasa lalu.


Malala yang menentang Taliban sejak berusia 11 tahun dan menulis blog untuk pertandingan pendidikan kanak-kanak perempuan Perbadanan Penyiaran Inggeris (BBC) disasarkan kumpulan pelampau itu yang percaya budak perempuan patut duduk di rumah dan dilarang daripada ke sekolah.


Ketika di hospital di Peshawar, Shazai berkata, Malala memberitahu rakan sekelas dia mungkin menjadi sasaran tetapi enggan bersembunyi daripada Taliban.

Malala memberitahu kami dia diancam oleh kumpulan pelampau itu. Malala berkata: "Dia bercakap terlalu banyak mengenai mujahideen (Taliban) dan mereka mungkin akan berbuat sesuatu kepadanya." Menjelaskan serangan Selasa lalu, Shazia berkata: Ia hari persekolahan biasa. Kami pulang selepas peperiksaan penggal kedua. Bas mengambil perjalanan yang biasa dilalui.


"Kemudian secara tiba-tiba bas berhenti dan dua lelaki bersemuka dengan kami. Mereka bertanya, "Mana satu daripada anda adalah Malala?" Beberapa pelajar perempuan mula menjawab dan seorang daripada lelaki berkenaan melepaskan tembakan. Semua pelajar mula menangis dan menjerit. Malala ditembak di kepala dan dia jatuh ke lantai bas tidak sedarkan diri. Terdapat darah di mana-mana. Saya benar-benar terkejut. "Kemudian lelaki yang memegang senjata itu menembak ke arah saya dan seorang lagi pelajar sebelum melarikan diri. Kami semua begitu trauma dan terkejut. Semuanya berlaku dengan pantas.

"Pemandu bas mengejarkan kami ke hospital. Ia memang kelam-kabut kerana semua pelajar menjerit dan menangis. Malala terbaring di lantai bas di depan saya," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Bintang Red Devil disyaki memandu ketika mabuk

Posted: 14 Oct 2012 01:12 PM PDT

LONDON: Bintang Manchester United, Ryan Tunnicliffe ditahan semalam selepas kenderaan mewahnya bernilai 60,000 pound (RM300,000) terbabit nahas dalam tempoh beberapa jam selepas mendapatkan kuncinya.

Pemain bek tengah berusia 19 tahun itu menjalani ujian nafas selepas kejadian tengah hari itu dan ditahan kerana disyaki memandu ketika mabuk.


Menurut saksi, dia hilang kawalan ketika memandu kenderaan mewah Range Rover hitam apabila memandunya mengelilingi estet perindustrian.

Dia didakwa merempuh sebuah van menyebabkan ia tercampak sembilan meter ke tembok. Seorang saksi berkata, bintang Red Devil itu "kelihatan pucat seperti hantu" ketika polis bergegas ke tempat kejadian di Heywood, Manchester.


Nahas pada jam 2.15 petang itu berlaku beberapa minggu selepas Tunnicliffe muncul dalam perlawanan pertama Manchester United menentang Newcastle yang membantu bapanya Mick, memenangi pertaruhan RM50,000. Seorang saksi berkata: "Dia tergelincir di jalan raya yang basah." - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Hajat Kamal tercapai berlakon filem aksi

Posted: 14 Oct 2012 08:03 AM PDT

SELEPAS kejayaan filem Kongsi yang mencatat kutipan RM8.2 juta pada 2011, aktor dan pengarah muda berbakat besar, Farid Kamil kembali lagi dengan garapan terbarunya iaitu genre aksi komedi yang lebih segar berjudul Pe3, sekali gus diharapkan memenuhi cita rasa penggemar filem di luar sana.

Selain Farid selaku teraju utama dan penulis skripnya, ia turut menampilkan pelakon popular, Kamal Adli dan Diana Amir untuk memantapkan lagi filem ke-67 terbitan Metrowealth (MIG) ini.

Secara peribadi, Kamal mengakui tidak sabar menanti Pe3 di pawagam tanah air kerana penggambarannya sudah lama berakhir iaitu kira-kira dua tahun lalu.

"Terus terang, saya memang minat berlakon dalam filem aksi dan akhirnya ia kesampaian apabila ditawarkan beraksi dalam filem ini. Pada masa sama, saya memang suka bekerja dengan pengarah muda seperti Farid kerana kami sama-sama muda dan 'sekepala'. Dia juga banyak idea dan mempunyai misi yang tinggi dalam bidang pengarahan filem.


"Walaupun dia memegang kerusi pengarah dan pada masa sama watak utama dalam filem ini, Farid tetap 'cool' ketika di lokasi. Dia juga boleh menerima idea dan pandangan pelakon lain untuk memantapkan lagi jalan cerita filem ini," katanya.


Mengenai wataknya dalam filem itu, juara Hero Remaja 2008 ini berkata, dia membawa watak Fumi, seorang jurugambar bebas yang jatuh hati dengan Lina, adik kepada ketua gengster, Megat.

"Megat juga mengajar Fumi untuk berjinak-jinak dalam dunia gengster dan menjadi jahat sepertinya. Karakter Fumi adalah gengster yang penakut kerana dia takut pegang senapang seperti yang biasa dilakukan kumpulan gengster," katanya.

Pelakon berasal dari Pekan, Pahang yang juga kekasih kepada pelakon jelita, Intan Ladyana ini turut menimba pengalaman berharga ketika berlakon dalam filem itu.

"Antara pengalaman menarik ialah ketika melakonkan babak Fumi pergi merompak dengan menaiki jet ski di bawah jambatan Pulau Pinang. Justeru, sepanjang sehari suntuklah saya menaiki jet ski dan menikmati keindahan kawasan sekitarnya di pulau itu.

"Sudah namanya filem aksi, sudah pasti kecederaan tidak dapat dielakkan dan tangan kanan saya terkoyak ketika tertumbuk kamera dalam salah satu babak dalam filem ini. Selepas darah berhenti mengalir, kami teruskan penggambaran sehingga babak itu selesai.

"Sekalipun cedera, saya tidak serik berlakon dalam filem aksi kerana jiwa saya serasi dengan filem sedemikian. Impian saya untuk bawa watak yang lebih mencabar dalam filem aksi selepas ini," katanya.

Bagi Diana pula, dia sudah bersedia menerima kritikan daripada peminat kerana belum berhijab ketika berlakon dalam filem itu, dua tahun lalu.

"Ia adalah filem terakhir lakonan saya ketika belum berhijrah dulu. Saya harap peminat faham dan dapat terima Pe3 adalah filem lakonan ketika belum bertudung.
Justeru, melalui penjelasan ini, tidak akan timbul isu yang saya sudah buka tudung untuk berlakon dalam filem ini," katanya.

Seperti Kamal, Diana juga serasi bekerja dengan Farid kerana sudah beberapa kali bergandingan dalam filem sebelum ini.

"Sebab itu, kami tiada masalah untuk mencari keserasian termasuk melakonkan babak abang dan adik seperti dikehendaki dalam filem ini. Begitu juga berlakon babak bercinta dengan Kamal kerana kami juga pernah bekerjasama sebelum ini.

"Saya juga menganggap diri bekerja sambil bercuti ketika terbabit dalam penggambaran filem ini dulu. Maklumlah, filem ini juga memaparkan banyak tempat menarik yang juga tarikan dari segi pelancongan di sekitar Pulau Pinang," katanya.

Bercerita lanjut wataknya sebagai gadis seksi sebagai Lina, kata Diana, watak adik kepada ketua gengster, Megat juga lebih sebagai penyeri dan tarikan pada filem itu.

"Sebenarnya, Lina tidak tahu kegiatan abangnya sebagai ketua gengster. Apa yang dia tahu abangnya memiliki kedai menjual kereta mewah.

"Sebagai adik, hubungan Lina dengan abangnya, Megat cukup rapat dan dia sangat disayangi abangnya itu. Lina juga bercinta dengan Fumi dan mereka juga akhirnya berkahwin selepas itu.

"Apa yang dapat disimpulkan, peminat yang meminati filem genre aksi, Pe3 pasti memenuhi cita rasa dan menambahkan lagi koleksi mereka," katanya yang baru selesai penggambaran telefilem Mati Hidup Kembali untuk saluran Astro Oasis.

Filem yang membabitkan kos mencecah RM2 juta ini mengisahkan geng perompak yang terkenal di Pulau Pinang yang diketuai Megat. Megat seorang yang cekap dalam merancang strateginya sehingga pihak polis tidak berjaya menangkapnya.

Barisan pelakon yang turut membintangi filem ini ialah Along Eyzendy (Along), Taiyuddin Bakar (Chat), Soya (Chendol), bakat baru di bawah pengurusan MIG Talent, Fyza Kadir (Fyza), Tauke Raja Lawak (nelayan 1), Yus Raja Lawak (nelayan 2) dan ramai lagi. Ia bakal menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 18 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/14


Lilitan skaf Natasha

Posted: 14 Oct 2012 07:40 AM PDT

NATASHA Hudson (Tasha), memang diakui antara selebriti wanita tempatan yang tidak hanya mempunyai paras jelita, bahkan menang memakai dalam apa jua pakaian yang digayakan.

Pun begitu, keupayaan Natasha yang mesra disapa Tasha dalam berfesyen lebih kerap diperkatakan sejak dia muncul berhijab sekitar awal tahun ini.

Dengan tubuh lampai disertakan kurniaan berwajah kecil dan tirus, membuatkan apa saja jenis tudung atau aksesori rambut yang digayakan Tasha tampak sesuai dan cantik.

Tasha bagaimanapun menyangkal dakwaan hanya sesetengah wajah saja yang sesuai untuk kelihatan cantik kerana setiap wanita mampu merubah penampilan mereka andai cara pemakaian, pemilihan skaf, tudung dan aksesori rambut itu bersesuaian.


Justeru, melalui jenama fesyennya sendiri iaitu Dreamcloud, pelakon jelita berkenaan menawarkan skaf dan shawl beraneka motif yang 'trendy'. Paling penting ia bersesuaian dengan semua wajah serta warna kulit.


Apa yang menarik, di sebalik himpunan skaf dan shawl, Tasha turut menyertakan panduan berfesyen untuk memperlengkapkan lagi gaya si gadis dan wanita yang mahu tampil berbeza daripada kebiasaan misalnya mengenakan blaus juga aksesori, namun masih mengekalkan kesopanan mereka sebagai wanita Muslim.

Ingin tahu rahsia Tasha? Semua itu boleh anda tonton di www.vimeo.com/dreamcloud atau YouTube dengan carian dreamcloudvimeo. Tasha dengan bantuan selebriti lain seperti Cristina Suzanne akan membuat demonstrasi cara melilit tudung.

Satu lagi keistimewaan, barangan di bawah label Dreamcloud semuanya direka dan dihasilkannya sendiri.

Daripada proses pemilihan material, fabrik, rekaan sehinggalah jahitan ditentukan sendiri oleh Tasha. Bagi yang berminat mendapatkan koleksi skaf, shawl, baju dan aksesori daripada Dreamcloud, sila layari faecebook dan online jenama ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/14


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Masih fokus Kelantan

Posted: 14 Oct 2012 02:37 PM PDT

KOTA BHARU: Penjaga gawang skuad bola sepak Kelantan dan kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat kini menjadi sebutan apabila dikatakan mendapat tawaran RM3 juta oleh pasukan lain dan bayaran itu termasuk RM800,000 bagi menebus kontraknya dengan Kelantan yang masih berbaki tiga tahun.

Sekiranya khabar angin itu menjadi kenyataan, Khairul Fahmi, 23, atau lebih dikenali dengan panggilan Apek bakal menjadi pemain bola sepak tempatan termahal, mengatasi bekas penyerang Selangor, Safee Sali yang menerima bayaran lebih RM2 juta untuk mewakili kelab Indonesia, Pelita Jaya FC.

Khabar angin mengenai tawaran RM3 juta untuk Apek itu tersebar di Internet terutama laman sosial, facebook dan tawaran berkenaan dikatakan dibuat pasukan Johor.

Ketika diminta komennya mengenai khabar angin itu, Apek enggan mengulas lanjut, namun mengakui ada pasukan dari negeri lain yang cuba 'memancingnya'.


"Saya perlu menghormati kontrak (bersama skuad Kelantan) yang masih ada. Saya tidak tahu bagaimana cerita ini timbul dan enggan memikirkannya," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Ahli KK Merah

Posted: 14 Oct 2012 02:37 PM PDT

KUANTAN: Suspek utama kes bunuh warga emas dalam kejadian samun di Kampung Baru Simpang Sanggang, Temerloh, pada 14 September lalu, Muhamad Azirywan Mohd Azlan, 21, yang ditembak mati oleh polis, awal pagi semalam, dipercayai menganggotai satu kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai KK Merah yang sering terbabit dalam pelbagai siri jenayah samun bersenjata dan kekerasan di sekitar Pahang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, ketua kumpulan KK Merah, Mohd Hairie Abdul Malik, 28, beralamat di Kampung Tebing Tinggi, Temerloh, masih diburu dan dipercayai dalang utama semua kegiatan jenayah kumpulan berkenaan.


"Polis kini masih memburu dua lagi ahli geng terbabit iaitu Mohd Hairie dan Mohd Ridzuan Khaidir, 22, yang alamatnya tidak dapat dipastikan," katanya.

Sharifuddin berkata, pada jam 1.30 pagi, 7 Oktober lalu, polis menahan seorang daripada ahli geng terbabit, Mohamad Ashraf Nordin, 16, beralamat di Kampung Sungai Dingin, Batu 2, Jalan Temerloh, Temerloh.


"Dia ditahan di Jalan Panjang, Pekan Awah, Maran. Hasil siasatan lanjut terhadap suspek itu membolehkan polis mengenal pasti identiti anggota KK Merah. Suspek yang ditahan itu mempunyai lapan rekod jenayah membabitkan samun berkawan bersenjata dan satu kes bunuh di Temerloh," katanya.


Menurut Sharifuddin, Muhamad Azirywan yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang peniaga di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, Abdul Talib Yadin, 56, pada jam 2.30 pagi, 14 September lalu, mempunyai lapan rekod jenayah lampau, dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam beberapa siri rompakan bersenjata.

Sebelum kejadian, Muhamad Azirywan yang menaiki Proton Waja berwarna perak yang menggunakan nombor pendaftaran PET 8048, dikesan sepasukan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) di persimpangan lampu isyarat menghala ke Jerantut, jam 1.30 pagi semalam.


Apabila diarah berhenti, suspek memecut laju menghala ke dalam ladang sawit di Sanggang 1 dan 2 sebelum terbabas.

"Anggota polis menghampirinya untuk membuat pemeriksaan namun suspek melepaskan tembakan dari dalam kenderaan itu. Polis membalas tembakan dalam usaha mempertahankan diri dan selepas pemeriksaan lanjut dilakukan di dalam kereta itu, anggota polis mendapati seorang lelaki mati terkena tembakan," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, petang semalam.


Sharifuddin berkata, turut ditemui di dalam kereta yang dinaiki Muhamad Azirywan ialah sepucuk pistol revolver .38 dengan tiga peluru hidup serta tiga kelongsong peluru dan satu komputer riba disyaki barang samun.


"Kami menemui ketulan mampat ganja dan sebilah parang di dalam kereta berkenaan. Semakan lanjut ke atas kenderaan digunakan suspek mendapati ia dicuri di Sungai Buloh, Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


‘Belum ada tawaran’

Posted: 14 Oct 2012 12:41 PM PDT

JURULATIH Harimau Muda A, Ong Kim Swee mengesahkan tidak menerima sebarang tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk menjadi jurulatih skuad bola sepak negara itu bagi menggantikan Radojko Avramovic.

Pengendali berusia 41 tahun itu berkata, perkara itu timbul selepas beberapa laporan akhbar tempatan di Singapura yang mengaitkan dirinya sebagai antara calon terbaik untuk membimbing skuad Singa. "Saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan sebelum ini, isu ini hanya dilaporkan oleh beberapa akhbar tempatan di sana. Saya masih ada kontrak dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan mempunyai misi untuk mempertahankan pingat emas di Sukan Sea tahun depan.


"Buat masa ini fokus saya hanyalah bersama Harimau Muda A dan saya hanya memikirkan masa depan saya selepas kontrak saya tamat tahun depan," katanya ketika dihubungi di Vietnam semalam.

Kim Swee mendapat tumpuan di Singapura kerana membimbing Harimau Muda A menduduki tangga keempat Liga-S dan memiliki reputasi baik di rantau ini selepas skuad bawah 23 tahun negara memenangi pingat emas Sukan Sea Indonesia tahun lalu.


Ketika ini pengendali negara itu berada di Gia Lai, Vietnam bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) negara bagi menyertai Kejohanan Bola Sepak VFF Newspaper Cup.


Skuad muda negara itu membuka langkah kanan Sabtu lalu apabila membenam skuad B-21 Laos 4-2 pada perlawanan pembukaan dan akan turun menentang Sydney FC dari Australia Rabu ini pada aksi terakhir Kumpulan B.

"Peluang kita untuk melangkah ke separuh akhir cerah selepas menewaskan Laos, tapi saya mengingatkan pemain-pemain supaya jangan ambil mudah dan perlu bersedia untuk berdepan Sydney FC.


"Saya tidak tahu sejauh mana kekuatan pemain muda Sydney FC tapi saya akan mengumpul maklumat itu apabila mereka menentang Laos esok (hari ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


12 pasukan bersaing

Posted: 14 Oct 2012 12:37 PM PDT

EDISI kelima liga bola sepak bawah 20 tahun Piala Tan Sri Mustapha Kamal bakal berlangsung Sabtu ini dengan menyaksikan 12 pasukan berentap.

Hanya meletakkan penyertaan terhad, perlawanan anjuran Yayasan Emkay dan Kelab Bola Sepak NPNG ini mementingkan kualiti sebagai platform melahirkan bakat baru dalam sukan bola sepak negara.


"Sejak mula diperkenalkan pada 2008 perlawanan yang diadakan setiap tahun berturut-turut ini terus mendapat sokongan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang menjadikan ia medan terbaik mencari pelapis Piala Presiden negeri Selangor.

"Malah ada antara pemain sebelum ini yang sudah pun diserap dalam skuad Harimau Muda B, ATM, Sime Darby serta PKNS.


"Lantaran itu, terbukti perlawanan bola sepak ini mampu mengembangkan bakat pemain muda di peringkat lebih tinggi," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Emkay, Ahmad Khalif Mustapha Kamal.


Antara penaja yang memberi sokongan adalah Milo, F&N (100Plus), Figos, SportsUnite dan ProEvents.

Mengulas lanjut, Ahmad Khalif berkata, susulan kejayaan lima tahun ini pihaknya merancang untuk membuka lebih banyak kategori tahun depan.


"Kini, kami mempunyai kompleks sukan serta padang sendiri yang baru saja dibuka awal tahun ini. Maka, lebih mudah untuk menganjurkan perlawanan serta menjadikannya lebih berkualiti tinggi.

"Kami meletakkan rancangan untuk membuka kategori bawah 12 dan 16 tahun bermula tahun depan. Maka, peluang untuk meninjau muka baru lebih terbuka luas," katanya.


Pusingan awal liga akan berlangsung di padang Kompleks Sukan NPNG dan SUK Shah Alam. Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke suku akhir yang mana formatnya akan beralih secara kalah mati.


Empat pasukan yang layak akan bersaing di separuh akhir sebelum ke final. Perlawanan penentuan siapa yang bergelar juara akan berlangsung kemudian yang tarikhnya akan diumumkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved