Ahad, 7 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pengawal curiga bongkar jenayah

Posted: 06 Aug 2011 08:45 AM PDT

IPOH: "Saya tak kenal perempuan ini... dia sakit, saya mahu hantar dia ke hospital." Itu reaksi spontan seorang daripada suspek dipercayai terbabit dalam kes bunuh Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, Khamis lalu.

Seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Bukhari, 62, berkata lelaki terbabit yang juga jiran kepada mangsa mengatakan demikian selepas dia menghampirinya kerana curiga melihat suspek memikul cadar pada awal pagi.


"Saya bersama seorang rakan setugas baru melangkah dua anak tangga dan belum sempat kami bertanya, dia terus memberitahu dia tidak mengenali perempuan ini.

"Ketika itu baru saya perasan kaki manusia terjulur keluar daripada hujung cadar dalam keadaan terikat dan melihat kami semakin mendekatinya, lelaki terbabit terus meletakkan cadar berkenaan ke lantai tangga," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Bukhari adalah individu penting dalam membantu polis menyelesaikan kes pembunuhan Rohani yang mati dicekik di rumahnya di unit F-1-09, Pangsapuri Permai Lake View, Tambun, dekat sini, hingga tertangkapnya empat suspek, termasuk lelaki yang memikul cadar berisi mayat mangsa, dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.


Malah, sikap bertanggungjawab Bukhari yang hampir lima tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri itu menyiasat gelagat mencurigakan berhampiran kediaman mangsa berjaya menghalang niat jahat suspek yang dipercayai cuba membawa keluar mayat untuk dibuang di tempat lain.

"Saya melakukan rondaan rutin sekitar kawasan pangsapuri yang mempunyai sembilan blok ini apabila melihat kelibat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan mundar-mandir di depan kawasan tangga Blok F berhampiran kediaman mangsa seperti memerhatikan sesuatu, jam 3.30 pagi.


"Saya memerhatikan tindak-tanduk lelaki terbabit dengan berselindung di sebalik sebuah kenderaan dan ketika itu juga saya menyedari dua lelaki dalam sebuah kereta Perodua Kancil yang dihidupkan enjin tetapi lampu ditutup parkir bersebelahan kereta mangsa," katanya.

Bukhari berkata, ketika itu dia terlihat kelibat seorang lagi lelaki memikul cadar berkenaan dan selepas lelaki itu memberi penjelasan pelik serta melihat kaki manusia terjulur, hatinya semakin berdebar-debar.


"Suspek kelihatan gelisah dan tidak semena-mena dia memberitahu pula mangsa sakit dan mahu menghantarnya ke hospital, sedangkan sebelum itu mengatakan tidak mengenalinya.


"Sebaik saya bertanya kenapa kaki dan tangan mangsa terikat, dia terus melarikan diri ke tingkat atas dan pada masa sama, tiga lagi lelaki yang dilihat sebelum itu, turut cabut dengan menaiki kereta," katanya.


Bukhari berkata, dia memberanikan diri membuka cadar untuk melihat keadaan mangsa dan mengucap panjang apabila mendapati mulut mangsa ditutup dengan pita pelekat serta mukanya lebam kebiruan.


Menurutnya, dia memaklumkan kejadian kepada ketua pengawal yang menghubungi polis. Keterangan Bukhari berjaya membantu polis menangkap dua suspek dalam tempoh kurang dua jam selepas kejadian di kawasan berhampiran diikuti penahanan dua lagi suspek pada hari sama.


"Saya masih terbayangkan keadaan muka mangsa ketika menyelak cadar itu dan sedih mengenangkan nasibnya diperlakukan sedemikian rupa.


"Saya mengenali keempat-empat lelaki yang saya lihat pada hari kejadian kerana mereka adalah jiran yang tinggal berdekatan rumah mangsa.


"Apapun, saya menyerahkan segala-galanya kepada polis untuk melakukan siasatan rapi dan mengheret individu bertanggungjawab ke muka pengadilan," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, siasatan lanjut masih dijalankan tetapi pihaknya yakin kes dapat diselesaikan dengan tertangkapnya empat suspek terbabit.


"Tangkapan pertama dibuat terhadap dua lelaki masing-masing berumur 26 tahun di sekitar kawasan kejadian pada jam 4 pagi. Dua lagi suspek masing-masing berusia 20 dan 22 tahun berjaya ditahan di Tanjung Malim pada jam 4.30 petang dan di Slim River jam 10.25 malam hari sama.


"Polis percaya seorang daripada suspek mungkin terbabit dalam kes pecah rumah mangsa pada 14 Julai lalu berdasarkan penemuan barang kemas mangsa. Siasatan lanjut akan dijalankan dan punca kematian masih disiasat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Mayat dikerat rakyat asing

Posted: 06 Aug 2011 08:22 AM PDT

AMPANG: Mayat seorang wanita yang dikerat beberapa bahagian dalam sebuah pangsapuri terbiar di Blok Chryssa, Apartmen Astaria, di sini, adalah warga asing.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya mengenal pasti mangsa adalah warga asing selepas cap jari mayat dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Bagaimanapun, pihaknya belum dapat menentukan identiti mayat kanak-kanak lelaki yang turut dijumpai dan kaitannya dengan wanita berkenaan kerana laporan DNA belum siap.

"Kami juga menahan beberapa orang untuk siasatan tetapi belum dapat dikenal pasti sama ada mempunyai kaitan dengan kes ini," katanya, di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan di tempat kejadian bagi mengesan bukti lain yang boleh membantu siasatan.


Khamis lalu, Harian Metro melaporkan misteri bau busuk di sebuah unit pangsapuri tanpa penghuni di tingkat lima apartmen sejak Sabtu minggu lalu terbongkar apabila pihak pengurusan menemui kaki kiri manusia yang berulat dan beberapa organ manusia dalam tandas unit itu.

Difahamkan, beberapa anggota badan manusia turut ditemui dalam tiga bungkusan plastik di atas siling tandas dan beberapa tempat dalam rumah berkenaan. Dipercayai mangsa dibunuh kurang seminggu lalu sebelum anggota badannya dikerat lebih 15 bahagian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Harry mengidam ke angkasa

Posted: 06 Aug 2011 07:48 AM PDT

LONDON: Putera Harry dilaporkan merancang untuk melakar nama sebagai anggota keluarga diraja pertama terbang ke angkasa lepas.

Media semalam melaporkan, Harry bercadang mengemukakan permohonan untuk mengikuti latihan khas di agensi angkasa lepas AS, Nasa.


Kini berkhidmat sebagai juruterbang tentera, Harry, 26, adalah peminat tegas siri sains fiksyen Star Trek dan sangat obses kepada angkasa lepas.

Sumber berkata, Harry meminta bantuan anak bilionair Britain, Sam Branson, mendapatkan tempat untuknya mengikuti penerbangan pertama pesawat Virgin Galactic ke ruang angkasa.


Pada masa sama, kata sumber, Harry berharap dia diterima menjadi anggota kehormat dalam program angkasa lepas AS selepas dia menamatkan tugas di Afghanistan tahun depan.


Untuk melayakkannya menyertai program itu, sekali gus membuka peluang menjadi angkasawan, Harry mesti menghabiskan masa sekurang-kurangnya 1,000 jam menjalani latihan penerbangan khas intensif dikendalikan Nasa.

Berdasarkan rekod perkhidmatannya yang cemerlang sebagai juruterbang helikopter tentera, Harry dipercayai tidak menghadapi banyak masalah untuk memenuhi syarat berkenaan.


Sementara itu, sumber diraja pula berkata, Harry menamatkan kursus kajian khas yang diperlukan bagi seseorang bakal angkasawan.

"Ketika ini, Harry tidak sabar-sabar memulakan latihan bersama Nasa dan merealisasikan impiannya menjadi anggota keluarga diraja pertama berada di angkasa lepas," katanya. - TS

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Desperate Housewives ditamatkan

Posted: 06 Aug 2011 07:44 AM PDT

LOS ANGELES: Kisah hidup lima 'suri rumah terdesak' popular di Wisteria Lane dikatakan bakal berakhir tidak lama lagi.

Menurut sumber yang dekat dengan produksi siri komedi terbitan stesen ABC itu berkata, musim depan akan menjadi musim terakhir Desperate Housewives .


Bagaimanapun, wakil ABC yang dihubungi enggan memberikan komen lanjut.

Stesen televisyen itu dijangka membincangkan jadual penerbitannya dalam sidang media hari ini.


Desperate Housewives membariskan sejumlah aktes terkenal, termasuk Terri Hatcher dan Eva Longoria, mula ditayangkan pada 2004.


Walaupun mendapat sambutan hangat sebelum ini, kajian terbaru menunjukkan populariti siri berkenaan kini semakin merosot.

Produksi itu turut menampakkan drama dalam dunia realiti apabila seorang lagi bintang utamanya, Nicolette Sheridan, mengemukakan saman ke atas penerbit atas penggugurannya. - AP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Noraniza pilih duda

Posted: 06 Aug 2011 09:09 AM PDT

"MEMANG tak sangka langsung pada usia 43 tahun saya kembali menjadi tunangan orang. Ingatkan dah tua-tua ini, dah tak laku. Rupa-rupanya ada juga yang berkenankan saya," kata penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris, 43.

Luahan penyanyi yang lebih mesra disapa Ani itu membawa seribu erti, apatah lagi pada Ramadan ini apabila cintanya bersemi buat kali ketiga dengan duda anak empat, Jeffri Hudi, 52, iaitu ustaz dari Singapura yang berkhidmat sebagai bilal bebas di negaranya.


Bagaimanapun, menurut Noraniza, ketika Jeffri melamarnya, dia diberi tempoh untuk berfikir tetapi tidak melakukannya secara serius kerana dalam hati masih ada keraguan.

"Saya berfikiran negatif ketika itu dan takut untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sekali lagi," katanya.


Seminggu sebelum berakhirnya tempoh itu, baru Noraniza membuat keputusan dan menyedari dia tidak buat sebarang persiapan untuk bertunang.


"Mujur mereka di Akademi Tatih Seni (cawangan Johor) yang memahami keadaan saya, membuat persiapan mencarikan penaja pelamin dan baju untuk saya.

"Selepas bertunang, kami berdua sibuk dan tidak sempat mencari tarikh sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan hinggalah keluarga mendesak kami segerakan perkara baik itu.


"Selasa ini saya akan mengadakan sidang akhbar mengumumkan tarikh pernikahan dan kenduri. Insya-Allah perkahwinan itu akan dilangsungkan tahun ini juga," katanya yang mendapat restu anaknya.

Noraniza berharap perkahwinannya kali ini berkekalan hingga ke akhir hayat.


"Di mana saya akan menetap selepas berkahwin, sama ada di Singapura atau di sini, tengoklah keadaan nanti," katanya yang dihubungi Metro Ahad.


Berbual dengannya di telefon, suara Noraniza kedengaran ceria dan perbualan itu juga diselang-seli dengan ketawa, bagaikan tanda bahagia di hati.


Menceritakan detik pertemuan dengan bakal suaminya, jelas Noraniza, mereka bertemu pada Ramadan tahun lalu ketika melakukan kerja kebajikan di sebuah masjid di Johor Bahru.


Noraniza bersama anak didiknya di Akademi Tatih Seni untuk menghulurkan sumbangan hasil jualan biskut raya.


Ketika itu, dia berkata, Jeffri turut melawat masjid berkenaan bersama teman.


"Apabila saya melihat ada orang lain turut berada di masjid itu, saya pun bertegur sapa. Saya banyak berbual dengan kawannya dan Jeffri hanya mendengar. Ketika saya mahu balik, baru saya berkenalan dengan Jeffri dan memberi kad bisnes kepadanya.


"Selepas tahu dia orang Singapura, saya pun beritahu, adik saya berniaga di bazar Ramadan di negara itu," katanya yang kemudian bertanya bolehkah adiknya menghulurkan sebarang sumbangan menerusi Jeffri.


"Itulah bermulanya bicara saya dengan dia. Rupa-rupanya dia kenal saya kerana sering menonton persembahan saya di televisyen dengan ibunya. Waktu itu saya masih menjadi isteri Fareez. Dia juga suka dengar lagu saya.


"Selepas pertemuan di masjid itu, dia hubungi saya dan lama kelamaan kami jadi rapat. Saya sangat menyanjungi peribadi Jeffri, walaupun dia orang beragama tetapi dia tidak memandang rendah artis macam saya. Dia boleh 'masuk' dalam dunia saya. Sesetengah orang, apabila jumpa artis pasti pandang sinis dan meletakkan jurang.


"Jeffri sangat pemalu tetapi saya selesa berkawan dengannya kerana pertuturannya lemah lembut dan tidak pernah marah. Jika dia hendak 'tegur', caranya sangat berhemah," katanya.


Noraniza seterusnya mengatakan selepas bercerai kali kedua, dia tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi dan membiarkan Allah SWT menentukan segala-galanya.


Bagi artis itu, bukan dia tidak mahu berkahwin lagi tetapi biarlah jodoh itu datang sendiri.


"Hendak kata tak mahu pun (kahwin), kalau dah sampai masanya, saya terima saja ketentuan Ilahi. Selepas beberapa bulan berkawan, dia bawa saya berjumpa keluarganya di Singapura dan kemudian keluarganya datang berjumpa keluarga abang sulung saya di Masai, Johor.


"Kebetulan kisah hidup kami banyak persamaan. Justeru, kami menerima diri masing-masing seadanya kerana apa yang pernah terjadi, biar ia menjadi kenangan. Namun, kami bukan bercinta seperti orang muda. Hubungan kami atas rasa tanggungjawab, apatah lagi masing-masing ada anak.


"Sebenarnya selepas dua kali bercerai, saya fobia untuk berkahwin lagi. Kalau dulu memang perkahwinan menjadi keutamaan dalam hidup saya tetapi selepas bersendirian, saya tumpukan kepada kerjaya seni dan bisnes.


"Apabila ada orang mengambil berat pasal saya dengan sering menghubungi saya setiap hari walaupun berjauhan, membuatkan saya rasa dekat dengannya.


"Saya sudah mula rasa ada kawan mengisi kekosongan. Keadaan itu membuatkan saya rasa teringin berkahwin semula. Perasaan untuk mempunyai teman hidup itu wujud secara semula jadi," katanya.


Lalu atas persetujuan keluarga, Noraniza dan Jeffri bertunang pada 22 April lalu.


Noraniza berkata biarpun dia sudah berkahwin dua kali, bakal ibu mentuanya sangat mementingkan adat lama.


"Ibunya tetap mahu hantar rombongan merisik. Selepas itu baru diadakan majlis pertunangan. Ingatkan selepas bertunang kali pertama pada usia 18 tahun, saya tidak akan bertunang lagi," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Disisih anak

Posted: 06 Aug 2011 08:58 AM PDT

JOHOR BAHRU: "Makcik tetap menanti kepulangan mereka setiap kali menjelang Aidilfitri biar pun Ina sanggup menipu kononnya mahu bercuti ke New Zealand, sedangkan dia sebenarnya berhijrah ke sana semata-mata mahu melepaskan tanggung jawab menjaga mak cik," kata warga emas, Robiah Razali, 66, di sini, semalam.

Menceritakan kisah malang hidupnya, Robiah berkata, dia hidup sebatang kara di perumahan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Desa Bukit Mutiara, Tebrau, selain menagih kasih dan ihsan jiran selepas kedua-dua anaknya tidak lagi mempedulikannya.


Robiah berkata, anak sulungnya, Salim Ahmad, 40, melepaskan tanggung jawab untuk menyaranya dengan alasan tiada pekerjaan tetap di Kuala Lumpur manakala anak bongsunya, Ina, 36, gagal menghubunginya sejak lima tahun lalu apabila berhijrah ke New Zealand.

Menurut Robiah, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menguruskan hidupnya bersendirian biar pun dimamah usia selain menghidap kencing manis.


"Mak cik bukan mahu mengaibkan anak tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban di hati jika dapat berkongsi nasib malang ini.


"Mak cik kehilangan suami, Ahmad Budin, pada 1978 ketika berusia 33, sejak itu mak cik tidak pernah terlintas untuk berkahwin semula demi anak, mak cik membesarkan serta menyekolahkan anak dengan bekerja sebagai tukang masak di restoran selain wang pencen suami," katanya.

Menurut Robiah, masalah timbul selepas kedua-dua anaknya berumah tangga dan kehadiran warga emas berkenaan dalam keluarga mereka dianggap sebagai beban.


Robiah berkata, kini dia terputus hubungan dengan Salim mahu pun Ina yang tidak lagi menziarahinya, termasuk pada Aidilfitri.

"Ina turut tergamak menipu mak cik dengan memberi alasan mahu bercuti ke New Zealand, sedangkan dia merancang meninggalkan mak cik dan kini hidup mewah di sana.


"Keadaan itu mengakibatkan mak cik terpaksa bergantung sepenuhnya kepada wang pencen bulanan arwah suami berjumlah RM350 yang perlu diagihkan untuk membayar sewa rumah," katanya.


Menurut Robiah, setiap kali bersahur, dia hanya meminum susu kerana bimbang kehabisan barangan dapur, namun bersyukur mempunyai jiran berhati mulia yang sanggup berkongsi makanan ketika berbuka puasa.


Katanya, jiran juga pernah menyumbangkan bantuan ketika dia terputus bekalan makanan selain membelikan basikal elektrik bagi memudahkan pergerakannya untuk ke surau.


"Biarpun terguris dengan perbuatan anak, mak cik tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan mereka.


"Ibu mana yang tidak mengingati anak, mak cik harap dapat bertemu kembali dengan mereka dan cucu pada Aidilfitri ini dan seperti biasa, mak cik akan memasak juadah kegemaran mereka," katanya.


Robiah antara 100 penerima yang ditemui pada Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal di PPRT Bukit Mutiara sumbangan ahli perniagaan, Baazlan Ibrahim selain Scenic Route Sdn Bhd yang diwakili pengarah eksekutifnya, Brian Tan Chong Beng.


Scenic Route Sdn Bhd menaja sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berjumlah RM4,000 dan menurut Brian, program julung kali syarikatnya itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved