Isnin, 3 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Cipta resipi mufin baru

Posted: 03 Sep 2012 05:57 AM PDT

WALAUPUN sedang menjalani ibadat puasa, tetapi ia tidak menghalang sekumpulan wanita daripada menghadiri kelas penyediaan pastri yang disediakan kedai roti dan kek, Citra Klasik bagi mempelajari teknik yang betul bagi menyediakan mufin enak.

Tidak dapat dinafikan aroma harum yang terbit apabila mufin berkenaan dibakar ada kalanya menyebabkan mereka terliur, tetapi ia tidak menggugat iman sebaliknya ia terus dilakukan penuh minat dan bersungguh-sungguh.

Walaupun penat, namun semuanya menjadi mudah disebabkan semangat berpasukan yang disematkan ke dalam diri peserta sepanjang kelas pastri berkenaan berlangsung seawal jam 10 pagi.

Malah, untuk memastikan kelas dijalankan lebih berkesan, peserta dibahagikan kepada dua pasukan dan perlu menyiapkan beberapa resipi mufin mengikut kreativiti sendiri menggunakan resipi dan bahan yang tersedia.


Pun begitu, ia bukanlah satu pertandingan dan malah tiada siapa yang akan dipilih untuk memenangi kelas masakan berkenaan, sebaliknya masing-masing akan membawa pulang mufin disediakan untuk berbuka puasa.


Bagi Norhayati Mohd Yusof, 50, dia mula menghadiri kelas memasak sejak 2008 lagi bagi meningkatkan kemahiran dalam penyediaan hidangan ala Barat terutama pastri.

Katanya, boleh dikatakan 95 peratus pengalaman memasak pastri diperolehnya dalam tempoh itu adalah daripada kelas disediakan di kedai roti dan kek berkenaan.

Dia yang turut menjalankan perniagaan pastri sebagai sumber pendapatan sampingan berkata, amat berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan kerana apa yang dipelajari di kelas adalah sama jika ingin menghasilkannya sendiri di rumah.

"Contohnya mufin, setiap sukatan diberikan untuk menyediakannya adalah betul sama ada di kelas ataupun di rumah hinggakan saya mampu mengembangkan bidang penghasilan makanan disediakan ke arah yang lebih luas.

"Ia juga memberikan pendapatan lumayan kerana ramai pelanggan menyukai kepelbagaian mufin saya serta bentuknya yang 'gebu'. Bahkan ramai berkata, rasanya juga tetap enak seperti hari pertama ia dimasak. Siapa yang tidak suka dan gembira mendengar maklum balas begini, ia membuatkan saya rasa lebih bersemangat," katanya ditemui pada Kelas Persediaan Pastri anjuran Citra Klasik di Pusat Hentian Kajang, Jalan Reko, Kajang, Selangor.

Norhayati berkata, sungguhpun pernah beberapa kali menghadiri kelas masakan berlainan di tempat lain bagi menambah pengalaman dalam bidang masakan pastri sebegini tetapi ia tidak konsisten sama ada dari segi resipi, rasa dan juga bentuk mufin disediakan.

Dia cukup kecewa dengan perkara itu kerana memasak pastri adalah kegemarannya tetapi apabila 'disajikan' dengan resipi mengikut sukatan yang kurang baik, hasil diperoleh tidak seperti diharapkan.

"Bayangkanlah apabila di kelas kami disuruh menyediakan satu-satu pastri mengikut resipi tersedia, tetapi apabila mengikut sukatan adunan diberikan, ia tidak menjadi seperti yang diajar di kelas seolah-olah ia dua benda berbeza walaupun hakikatnya ia adunan yang sama.

"Saya tidak pasti di mana silapnya, tetapi ia adalah satu bentuk pembaziran yang sebolehnya ingin dielakkan kerana ia membabitkan soal minat dan keyakinan diri tukang masak itu," katanya.

Selain itu, Nur'izzah Mohd Zaidi, 25, yang pernah menjalani latihan amali di kedai roti dan kek berkenaan ketika mengikuti pengajian kulinari sebelum ini berkata, apabila bekerja sendiri di bawah pengawasan mereka yang pakar, setiap cara penyediaan pastri yang dilakukan kelihatan cukup mudah.

Nur'izzah berkata, dia seolah-olah menjalani latihan semula apabila menghadiri setiap kelas memasak dan ia memberi peluang kepadanya untuk terus menimba pengalaman dan juga mengumpulkan resipi terbaik sebagai pemula kepada aktiviti 'perniagaannya' selepas ini.

"Tidak dinafikan ketika mengikuti pengajian dalam bidang kulinari sebelum ini saya tidak begitu menggemarinya, malah saya tidak mengetahui apa itu kulinari dan skop pembelajarannya.

"Tetapi selepas beberapa ketika, minat mula timbul perlahan-lahan dan ia membolehkan saya terus bertahan mengikuti kelas ini sampailah sekarang," katanya.

Dia bersama ibunya turut menghadiri kelas pastri di tempat yang sama walaupun bidang masakan yang diambil berbeza kerana minatnya lebih kepada penyediaan pastri moden manakala ibunya pula memberikan penekanan kepada penyediaan kuih-muih tradisional.

Menurutnya, pengalaman yang dikumpulkan ini bertujuan sebagai pemangkin untuk terus berjaya dalam bidang kulinari walaupun ia hanya akan dijalankan sebagai sumber pendapatan sambilan saja.

"Saya kini sedang dalam proses mendapatkan pekerjaan tetap mengikut bidang yang saya pelajari sebelum ini dan berharap kedua-dua minat ini mampu dijadikan sumber pendapatan lumayan satu hari nanti.

"Tidak salah untuk mempelajari satu-satu benda baru kerana ia makin memberikan pengalaman sukar dicari ganti, malah kita boleh mencipta kelainan dengan kreativiti sendiri bagi menghasilkan perkara baru yang lebih memberangsangkan," katanya.

Di samping itu, Zainah Mahmud, 38, berkata dia mengikuti kelas pastri itu kerana ingin mencari kelainan dalam bidang masakan terutama jika ada resipi baru yang belum pernah diperoleh.

Pada awal pembabitannya dalam bidang pembuatan pastri iaitu pada tahun 2000, kemudahan disediakan tidak secanggih kini dan ia memerlukan 'kerahan' tenaga secara menyeluruh.

Namun, segalanya berubah dengan kehadiran teknologi moden yang lebih memudahkan penghasilan pastri, malah ia boleh dipelbagaikan dengan melakukan beberapa tambahan bahan digunakan agar rasanya lebih menarik dan menyelerakan.

"Sebelum ini saya sudah ada resipi mufin tersendiri tetapi kali ini ingin mencuba suatu kelainan bagi mempelbagaikan lagi koleksi resipi mufin sedia ada dalam simpanan.

"Tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru sekiranya ia boleh memberikan kebaikan dan saya akan berusaha memberikan yang terbaik kepada pelanggan setia," katanya.

Zainah berkata, dia turut menjalankan perniagaan dalam talian melalui laman zaisweetcake.blogspot.com yang menyediakan pelbagai pilihan kuih moden untuk dicuba dan dinikmati.

"Saya sukakan sesuatu yang cantik sebab itulah minat lebih terarah kepada pembuatan pastri moden yang boleh dipelbagaikan hiasannya mengikut kreativiti.

"Pada saya setiap pastri disediakan bukan saja perlu nampak cantik untuk dimakan tetapi yang penting rasanya setanding dengan dekorasi luaran," katanya.

Sementara itu, bagi tenaga pengajar kelas penyediaan pastri berkenaan, Ummul Amira Omar, 28, pelbagai perkara baru turut dipelajarinya memandangkan 'anak muridnya' lebih berusia berbanding dirinya dan ia menjadikan kelas pastri berkenaan lebih menarik dan menceriakan.

Dia yang sudah lima tahun menjadi tenaga pengajar kelas pastri berkenaan berkata, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan dunia pembuatan kek walaupun pada mulanya ia bukan minat utamanya kerana sebelum ini mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan.

Menurutnya, tetapi disebabkan satu peristiwa dia 'terpaksa' memikul tugas baru dan perlahan-lahan memahirkan diri dalam bidang penghasilan kek, roti dan juga pastri.

"Saya tidak pernah menyesali bertukar bidang kerjaya kerana ia adalah satu perkara baru yang memberikan pelbagai pengalaman dan setiap hari ada saja benda baru yang boleh dipelajari.

"Saya yakin setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya dan kini nyata saya boleh mempraktikkan kedua-dua bidang dipelajari dalam satu masa yang sama mengikut kesesuaian," katanya.

Ummul Amira berkata, walaupun masih muda, tetapi tugas sebagai pengajar tidak membataskan perbezaan usia kerana apa yang penting ialah kepakaran dalam menyediakan sesuatu hidangan dan juga cara berkomunikasi dengan peserta.

"Sebagai orang yang lebih muda saya perlu menghormati peserta yang lebih dewasa dan menjaga setiap tutur kata agar suasana silaturahim mampu diwujudkan.

"Jika berjenaka juga perlu menjaga sensitiviti masing-masing tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh memupuk hubungan erat cuma cara dan ketikanya perlulah bersesuaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Didik melalui mural

Posted: 03 Sep 2012 05:20 AM PDT

APABILA anda memikirkan kesihatan dan kebersihan diri, adakah anda terfikir mengenai kesenian? Untuk memperluaskan kesedaran mengenai kesihatan dan kebersihan, Antabax, jenama penjagaan diri antibakteria buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Melukis Mural Kesihatan dan Kebersihan peringkat Kebangsaan dengan kerjasama program Doktor Muda, Kementerian Kesihatan.

Program ini bertujuan mencungkil kreativiti dan ekspresi diri dalam kesenian untuk membantu kanak-kanak mengingati dan mendalami keperluan menjalani kebersihan diri yang baik dalam mendapatkan kehidupan lebih sihat.

Dalam usaha membantu guru dan murid menjalankan tugas melukis satu mural yang akan diingati, Antabax bekerjasama dengan pensyarah kesenian daripada Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing menjalankan beberapa sesi bengkel melukis mural untuk murid sekolah dan memberikan tunjuk ajar kepada guru.

Pertandingan Melukis Mural ini terbuka kepada sekolah rendah yang mempunyai kelab Doktor Muda. Sekolah dengan lukisan mural yang terbaik bakal menerima RM10,000 yang akan digunakan ke arah kebajikan pelajar berbentuk biasiswa atau membantu pelajar yang memerlukan sumbangan kewangan.


Mural yang dipilih sebagai mural pilihan melalui laman facebook Antabax akan menerima bekalan produk jenama Antabax selama satu tahun untuk digunakan di sekolah. Pertandingan ini berakhir pada 30 Oktober 2012 dan borang penyertaan

boleh dimuat turun daripada laman peminat facebook Antabax.

Lebih 270 guru yang menghadiri Simposium Guru Penasihat Kelab Doktor Muda yang diadakan di Pulau Pinang menerima kit permulaan kebersihan dan kesenian termasuk langkah untuk mengajar kebersihan tangan, lembaran kerja interaktif bagi pelajar dan pengenalan kepada lukisan mural.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Pemasaran Isi Rumah dan Penjagaan Diri Lam Soon, Francis Ng, Antabax sentiasa meneroka cara baru dalam menyampaikan mesej berkaitan kesihatan dan kebersihan sebagai satu gaya hidup dengan menerapkan tabiat yang baik.

"Kelab Doktor Muda adalah satu tempat yang baik untuk bermula kerana kelab bertindak sebagai duta kepada mesej positif bagi kebersihan diri. Tabiat baik ini perlu dibentuk sejak kecil dan lagi cepat kita mampu menerapkan tabiat yang baik, lagi besar kemungkinan untuk kanak-kanak terus mengamalkannya sehingga
dewasa," katanya.

Anjuran Pertandingan Melukis Mural Kesihatan & Kebersihan Peringkat Kebangsaan adalah tindak balas kepada gaya pembelajaran yang berbeza dan kehendak kanak-kanak, menawarkan lukisan mural sebagai satu cara dalam pembelajaran kinetik dan visual.

Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) adalah sekolah pertama yang dapat mengecapi faedah daripada bakat, skil dan pengalaman daripada dua pensyarah Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing, Lum Weng Wah dan Harris Hassan yang mengadakan bengkel dan demonstrasi lukisan mural bersempena dengan Minggu Kesihatan Doktor Muda Peringkat Kebangsaan.

"Program ini membuatkan saya lebih menilai dan menghargai tangan saya. Saya bukan saja ingin berkongsi ilmu lukisan dan mewarna mural dengan kanak-kanak, malah mahu memberitahu mereka cara membersihkan tangan mereka selepas siap bermain dengan warna," kata Harris.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Lewat 2 minit dapat 8 jahitan

Posted: 02 Sep 2012 12:13 PM PDT

KUCHING: Hanya kerana tambah nilai telefon bimbit RM10, seorang remaja lelaki terpaksa menerima lapan jahitan di lengan kiri akibat ditetak rakan baik menggunakan pedang samurai dalam kejadian di Batu 22, Jalan Kuching-Serian, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa dikenali sebagai Phang, 18, diserang rakan baiknya, dikenali sebagai Abi, 25, berhampiran kedai runcit disebabkan mangsa lewat dua minit membelikan kad tambah nilai seperti diminta.

Menurut mangsa, Abi yang bekerja di Sibu sedang bercuti dan datang ke rumahnya kerana ingin meminjam telefon bimbit untuk menghubungi rakannya di Sibu.

Katanya, dia memaklumkan kepada Abi kredit telefon bimbitnya tinggal sedikit, tetapi Abi tetap mahu meminjam telefon dan berjanji meminta rakan yang dihubungi menambah nilai kredit telefonnya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


3 pasangan edar dadah

Posted: 02 Sep 2012 12:08 PM PDT

AMPANG: Sepasang suami isteri warga Myanmar yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang dipercayai aktif mengedar dadah diberkas anggota Unit Peronda Polis (MPV), Jumaat lalu.

Difahamkan, pasangan itu ditahan bersama dua lagi pasangan lain yang menaiki sebuah Proton Wira selepas anggota MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengekori kenderaan itu selepas suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi berkata, keenam-enam suspek berusia 20-an hingga 40-an itu ditahan, jam 10 pagi, Jumaat lalu.

"Sebelum ditahan, anggota berkenaan curiga melihat sebuah Proton Wira yang tiga lelaki dan tiga wanita sebelum mengekorinya dan ditahan berhampiran Taman Dato Ahmad Razali, di sini.


"Sebaik ditahan, anggota berkenaan memeriksa kereta itu dan menemui dua peket heroin, dua peket syabu dan 380 pil kuda," katanya ketika dihubungi, semalam.


Selain itu, beliau berkata, pihaknya merampas wang berjumlah RM1,999 bersama pelbagai dadah berkenaan yang disorok dalam kereta.

Menurutnya, keenam-enam suspek ditahan dan dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, 39A (2) dan 12(2), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


"Semua mereka yang tidak bekerja itu direman bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Wajib hisap syabu pakai ala Hawaii

Posted: 02 Sep 2012 01:24 PM PDT

KUANTAN: Dengan mengenakan bayaran serendah RM150 setiap seorang, dua juruhebah (DJ) bebas dikesan menubuhkan satu laman web sosial bagi menarik perhatian peminat muzik tekno sebelum menganjurkan parti 'Tekno Underground' sempena sambutan malam kemerdekaan di Teluk Juara, Pulau Tioman, Rompin, pagi kelmarin.

Bagi peminat muzik itu yang mahu menyertai parti liar terbabit, mereka perlu mematuhi syarat wajib penganjur iaitu pertama, berpakaian ala Hawaii, kedua, menghisap syabu dan ketiga, pil Ecstasy yang dibekalkan penganjur.

Difahamkan, dua penganjur terbabit sudah menutup akaun laman web sosial berkenaan pada 25 Ogos lalu selepas menarik 24 individu termasuk beberapa gadis yang meminati muzik berkenaan.

Pada masa sama, dua penganjur terbabit dikatakan memperuntukkan lebih RM1,000 bagi menyediakan kemudahan penginapan, makan serta minum kepada semua peserta

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Serbu klinik ‘doktor syabu’

Posted: 02 Sep 2012 12:31 PM PDT

CAMERON HIGHLANDS: Gelaran 'doktor lalok' layak diberikan kepada seorang pegawai perubatan lelaki yang mengusahakan sebuah klinik, di sini, apabila pemeriksaan polis di kliniknya menemui dua peket plastik berisi dadah jenis syabu dalam satu serbuan, petang kelmarin.

Dalam serbuan jam 3.30 petang di Jalan Ringlet, di sini, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands menemui dua peket lut sinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.58 gram di dalam bilik doktor berusia 63 tahun itu.


Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam serbuan sama, pihaknya turut menahan seorang wanita warga Filipina dipercayai teman wanita doktor berkenaan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, serbuan dibuat selepas risikan anggotanya mendapati doktor berkenaan memiliki dadah dipercayai untuk kegunaan peribadi selain maklumat diberikan orang awam.


"Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menggunakan dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri bukannya untuk diedar," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Atur langkah jadi anak seni berjaya

Posted: 02 Sep 2012 10:37 AM PDT

BUKAN sejam dua rasanya duduk bersembang dengan ketiga-tiga anak muda ini. Sejak mula berbuka puasa sama sehinggalah tiada siapa lagi tinggal di kafe hotel, borak nampaknya kian rancak bagai tiada hentinya.

Apa yang pasti, fokus lewat malam itu banyak berkongsi soal prinsip diri dan pengalaman mereka dalam mengatur langkah menjadi anak seni.

Tidak mudah, sukar mencari penyelesaian dan ada kalanya membuatkan rasa kecewa dan putus asa jauh dalam jiwa, itulah hakikat menjadi orang baru yang sentiasa perlu akur dengan senario industri.

Jelas Mohd Saifullah Roslin atau Gambit, tekanan dan rasa marah memang ada, namun sebagai pendatang baru, apa yang mampu dilakukan.


"Luarannya, saya memang sudah dilabelkan sebagai seorang yang sombong, memberontak dan keras kepala, namun semua itu andaian semata-mata. Saya akur dengan segala persepsi orang terhadap saya kerana ini bukanlah kali pertama dan jujurnya saya tidak kecewa dengan keadaan itu, sebaliknya sentiasa percaya mereka akan kenal siapa saya apabila di beri peluang mengenali saya terlebih dulu.


"Bagaimanapun, siapa sangka, sudah enam tahun saya dalam industri ini membina nama sebagai pelakon walaupun kritikan dan kontroversi tidak lekang menghentam. Fokus saya hanya satu, sabar dan terus pandang ke depan," katanya membuka bicara.

Kali pertama berpeluang duduk berbual empat mata dengan anak muda berusia 27 tahun ini, prinsip diri dan perjuangan besarnya dalam industri menjadi topik utama. Bukan sekadar ingin berlakon, malah jelas Gambit, dia inginkan kejujuran dan penghargaan setimpal buat anak seni.

Gambit yang sebelum ini pernah membintangi beberapa filem termasuk Misteri Jalan Lama, Cinta, Susuk, Rasukan Ablasa, Hantu Bukit Cina dan Karipap Karipap Cinta bagaimanapun keliru dengan hak dan nasib anak seni hingga membuatkannya membina jurang agar tidak terus ditindas.

"Memang jika mendengar secara kasar, bunyinya seperti 'demand' dan cerewet, namun melihat dari perspektif yang lebih luas, apa yang saya ingin lakukan hanya untuk memastikan pelakon tidak terus ditindas terutama pada aspek hak eksklusif dan bayaran yang diletakkan. Bukan cakap kosong atau sengaja mencetuskan isu, sebaliknya saya sendiri banyak kali berdepan masalah seperti ini.

"Sayangnya, apabila saya menolak kerana bayarannya tidak setimpal dengan naskhah, ada pula pelakon lain yang sanggup menggantikannya walaupun dibayar lebih rendah. Sikap sebegitu hanya membunuh industri seni dan makin meletakkan taraf seseorang pelakon itu jauh ke bawah. Mengapa harus kita dilayan begini sedangkan soal bakat dan kerja seni bukanlah sesuatu yang mudah.

"Lama saya senyap daripada pentas lakonan bukan kerana tiada undangan atau tawaran kerana alhamdulillah, ada saja pihak yang meletakkan kepercayaan kepada saya. Namun, saya sendiri yang menolak kerana inginkan skrip yang benar-benar menguji kemampuan diri sebagai seorang pelakon. Walaupun dianggap masih baru, namun impian dan agenda saya jauh ke depan.

"Saya ingin sekali memberi inspirasi kepada penonton. Watak yang diberikan dan lakonan saya itu adalah satu tanggungjawab yang besar kepada masyarakat dan itulah yang ingin saya lakukan. Saya tidak mahu hanya ambil saja tawaran yang diberikan sedangkan kepuasan tiada. Apa yang penting adalah cabaran dan watak yang mampu menterjemah satu sisi lain sebagai seorang pelakon pada saya.

"Insya-Allah jika ada skrip yang bagus, pastinya saya tidak akan menolak. Belum lagi jika tenaga produksi dan pengarah sendiri yang begitu bertenaga dan terbuka menerima pandangan untuk kebaikan sesebuah karya itu, saya akan memberikan sepenuh komitmen," katanya yang kali terakhir muncul dalam drama siri Tanah Kubur.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang turut pernah membintangi banyak drama termasuk Siong, Datang Bulan, Kau Laksana Bulan dan Awan Dania ini sudah meletakkan sasaran untuk hanya berlakon pada naskhah yang benar-benar baik dan berkualiti. Namun ketika ini, Gambit yang sebelum ini banyak dikaitkan dengan sikap 'cakap lepas' lebih banyak memberi tumpuan kepada syarikatnya, Eightball Production Sdn Bhd.

"Alhamdulillah, syarikat saya makin berkembang dengan pelbagai tanggungjawab terutama dalam pembikinan video korporat, acara rasmi, dokumentari dan rancangan televisyen yang lain. Sekarang ini, saya sibuk dengan program berbentuk majalah sukan, Di Sebalik Jersi yang ditayangkan bermula Aidilfitri lalu di Astro.

"Ini adalah minat dan kesungguhan saya sejak dulu lagi. Di Sebalik Jersi adalah program yang meletakkan pemain bola terkenal, Safee Sali dan Khairul Fahmi Che Mat sebagai subjek utamanya. Insya-Allah ia akan menjadi satu kayu ukur kepada pihak stesen televisyen untuk menilai kredibiliti dan komitmen saya dalam melakukan kerja penerbitan program," katanya yang pernah menerbitkan program The Hoppers tayangan 8TV, kira-kira empat tahun lalu.

Syawal lalu Gambit pulang ke rumah neneknya di Kota Bharu, Kelantan, selama seminggu.

Lain pula bagi pelakon kacak yang awalnya bermula dari program realiti Mentor, Aiman Hakim Ridza Abdoh. Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, anak muda berusia 22 tahun yang kini drama lakonannya, Indera Joned ditayangkan lekas menyampuk berkongsi mengenai kerjaya lakonannya.

"Vanilla Coklat memang satu fenomena yang membawa saya ke tahap sekarang. Selepas raya, saya akan kembali ke lokasi filem, Vanilla Coklat The Movie. Itulah yang dikatakan rezeki walaupun ramai yang tertanya-tanya mengenai kerjaya nyanyian saya. Alhamdulillah rezeki dalam lakonan datang mencurah dan saya tidak mahu melepaskannya," katanya.

Bercerita pula mengenai sambutan Syawal, anak ketiga daripada empat beradik yang berdarah kacukan Melayu - Arab ini berkata, dia mengadakan majlis rumah terbuka buat sanak saudara bagi menghargai sokongan mereka selama ini dengan membeli seekor kambing sebagai menu utama," katanya yang sudah mempunyai sebuah lagu berjudul Isyarat Hati ciptaan Adi 6ixth Sense.

Mohamad Zain Mohd Saidin atau mesra disapa Zain tidak perlu diperkenalkan lagi. Wajahnya makin sinonim di bibir peminat seni tempatan terutama ketika ini lakonannya sedang hangat ditayangkan menerusi slot Zehra berjudul Naziha di TV3 dan siri sitkom Oh My English! di Astro.

Jelas Zain, tiada apa yang diutamakan ketika ini selain sibuk dengan pembikinan album penuhnya.

"Itulah impian saya sekarang. Selepas ada rasa yakin dengan pengalaman dan kepuasan membina nama sebagai pelakon, sekarang masa paling sesuai untuk saya mencuba sesuatu yang sudah lama saya impikan iaitu menyanyi. Alhamdulillah jalan itu dipermudahkan. Setakat ini, saya sudah mempunyai sebuah lagu berjudul Transformasi dan semuanya akan menemui peminat selepas raya ini," katanya.

Zain yang kini sibuk di lokasi drama KL Drift The Series, hanya bersederhana membuat persiapan Aidilfitri lalu.

"Saya berehat saja sepanjang cuti raya kerana itu saja rasanya masa yang ada kerana sebelum ini saya terlalu kuat bekerja dan akan kembali ke lokasi lagi selepas raya, selain sibuk dengan proses pembikinan album pula. Jadi peluang cuti beraya selama seminggu yang lalu saya habiskan dengan bersantai dan duduk berehat saja," katanya berseloroh.

Zain beraya di Batu 5, Gombak bersama keluarganya ketika Aidilfitri yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Sabri promosi BB Plaza

Posted: 02 Sep 2012 10:28 AM PDT

KEMELUT yang melanda peniaga Kompleks Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) sebaik mendengar ura-ura kompleks ini bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja pembangunan projek stesen Transit Pantas Massa (MRT), memaksa mereka bingkas melakukan sesuatu.

Menerusi kepercayaan yang diberikan ahli, barisan Jawatankuasa Persatuan Penyewa-Penyewa BB Plaza yang diterajui oleh Pengerusinya, Hassan Saad, tampil mengadakan pelbagai promosi agar kompleks ini terus menerima kunjungan pelanggan tempatan selain pelancong asing.

Sepanjang Ramadan lalu, mereka menganjurkan persembahan membabitkan ramai artis terkenal di situ. Namun di antara semua, persembahan Sabri Yunos paling mendapat tempat di hati penonton apabila ramai hadir menyaksikannya.

"Kami kagum dengan kemampuan Sabri yang kini popular menerusi program Karoot Komedia yang disiarkan menerusi Astro Warna. Dia berjaya menggamatkan suasana di BB Plaza. Ini membuatkan timbul idea untuk bekerjasama dengannya bagi mempromosi tempat ini.


"Sempena sambutan Hari Merdeka Ke-55, kami terfikir untuk menganjurkan Pertandingan Dikir Barat Piala Merdeka BB Plaza dan melantik Sabri sebagai penyelaras yang menguruskannya.


"Kami serahkan segala-galanya kepada dia termasuk jumlah penyertaan, juri dan format pertandingan. Manakala wang hadiah disediakan oleh kami berjumlah RM3,000 untuk juara, RM2,000 (tempat kedua), RM1,000 (ketiga) dan RM500 (tempat keempat)," kata Hassan.

Bercerita lanjut, Hassan yakin kerjasama ini kena pada tempatnya dan dengan populariti Sabri, BB Plaza akan menerima kunjungan ramai pelanggan yang akan hadir menonton, sekali gus membeli-belah di situ.

"Saya menjangka ramai yang akan hadir menyaksikan pertandingan ini. Sebelum ini kami tak pernah bawa kapasiti penghibur yang ramai ke BB Plaza dan ini kali pertama berbuat demikian.

"Prinsipnya mudah iaitu peserta akan bawa kawan-kawan untuk menyaksikan persembahan mereka, peminat dikir barat juga akan hadir menonton. Kami berharap promosi mulut ke mulut serta bantuan media akan membuatkan ramai peminat hadir nanti.

"Sebenarnya BB Plaza dahulunya popular di kalangan orang kita, tapi sekarang hanya dikenali di kalangan pelancong. Kami harap menerusi program ini, pelanggan tempatan akan kembali berkunjung ke sini. Selain itu, inilah masa untuk tampilkan budaya kita kepada pelancong.

"Pertandingan ini diadakan selama 4 hari iaitu peringkat saringan pada 8 dan 9 September, 15 September (separuh akhir) dan 16 September (final). Satu saringan membabitkan 4 pasukan dan jumlah semuanya 8 pasukan.

"Dari situ 4 yang terbaik akan dipilih bertanding di separuh akhir dan hanya dua pasukan akan dipilih layak ke final. Jumlah peserta tak boleh terlalu ramai kerana kawasan ruang legar untuk persembahan agak terhad. Kami hanya ada masa dua jam untuk mengadakannya," katanya yang berpuas hati dengan idea Sabri dan bercadang mengadakan kerjasama lanjut dengannya selepas ini.

Sabri yang turut hadir berkata, peserta yang bertanding tidak dikenakan sebarang bayaran. Memandangkan pertandingan ini berkaitan Hari Merdeka, tema yang ditetapkan juga berunsur patriotik tapi tak terikat kepada tema tertentu.

"Permintaan memang banyak untuk masuk bertanding, tapi kami perlu memilih 8 kumpulan kerana masa agak terhad. Pertandingan diadakan dua sesi iaitu dua kumpulan bertanding pada sebelah petang dan dua lagi pada sebelah malam.

"Biasanya persembahan mengambil masa selama 15 minit tapi saya bercadang bagi masa selama 20 minit kepada mereka. Pertandingan ini diadakan dengan kerjasama Akademi Arjuna Sukma yang diwakili oleh tenaga pengajarnya, Muslih Aling.

"Lembah Klang mempunyai kumpulan dikir barat yang bagus. Persembahan mereka akan menggunakan bahasa Melayu standard selain dialek Kelantan. Yang penting tukang karut mesti menggunakan dialek Kelantan kerana kelebihan dialek Kelantan ialah rimanya banyak.

"Lagipun peminat dikir barat memang suka dengar ia dinyanyikan dalam dialek Kelantan. Pertandingan ini akan diadili oleh tiga juri profesional. Penggiat dikir barat terbahagi kepada tiga iaitu kumpulan biasa yang cintakan dikir, kumpulan pelajar IPT dan pelajar sekolah.

"Bagaimanapun, kami buat keputusan pilih kumpulan dikir barat biasa dan mereka yang berpontensi dipilih sebagai peserta. Setiap kumpulan akan diwakili oleh 18 hingga 20 peserta," katanya yang mengakui popularitinya mencanak naik selepas tampil menerusi Karoot Komedia.

Ditanya perkembangan terbarunya, Pengarah Terbaik Drama Anugerah Skrin 2011 menerusi Sanggul Beracun ini berkata, dia sudah ditawarkan untuk mengarahkan drama terbaru, namun masih meneliti skripnya sebelum memberikan persetujuan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Kembar hitam putih

Posted: 02 Sep 2012 11:03 AM PDT

LONDON: Tidak seperti pasangan kembar lain, anak dilahirkan Pamela Frazer memiliki keunikan tersendiri apabila mereka memiliki perbezaan warna kulit yang ketara.

Sejak melahirkan pasangan itu empat minggu lalu, Pamela sentiasa berdepan banyak soalan daripada orang ramai yang kehairanan.

Candice Anne berkulit, berambut dan bermata hitam, manakala kembarnya - Aleisha Lily - berkulit putih.

Mengenai perbezaan itu, Pamela berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah.


"Sekurang-kurangnya saya tidak terkeliru antara Candice dan Aleisha," katanya.


Bagi Pamela, 30, perbezaan warna kulit itu juga menjadikan anaknya sangat istimewa.

Walaupun Pamela dan suaminya, Oswald Frazer, 37, berkulit hitam, mereka dilahirkan dengan sejarah percampuran ras.

Menurut Pamela, ibunya mempunyai darah Jamaica, Afrika dan Ireland, manakala bapanya berdarah campuran kulit putih dan Yahudi.

Ibu Frazer pula berdarah campuran Ireland dan Jamaica, manakala bapanya keturunan Jamaica.

Kata Pamela, perbezaan kulit bagi pasangan kembar memang sangat jarang walaupun ia sering berlaku di kalangan adik-beradik.

"Kata doktor, kemungkinan itu adalah satu dalam sejuta," katanya.

Sementara itu, Frazer berkata, dia 'jatuh cinta pandang pertama' apabila melihat Candice dan Aleisha.

"Mereka kelihatan agak sama pada permulaannya, tetapi kini anak kami sangat berbeza," katanya.

Selain Candice dan Aleisha, pasangan Pamela - Frazer juga mempunyai seorang anak lelaki Brandon, 6.

Mereka menghabiskan masa beberapa minggu di hospital sebelum dibenarkan pulang ke Hastings, Sussex Timur.

Sejak itu, keunikan anak kembar mereka segera mencuri perhatian ramai.
Pamela mempunyai saudara kembar bernama Jemma. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Budak 2 tahun miliki kemahiran kendali haiwan liar

Posted: 02 Sep 2012 11:00 AM PDT

SYDNEY: Walaupun baru berusia dua tahun, Charlie Parker boleh dianggap sebagai 'pakar ular' jika dilihat kemahirannya berdepan dengan reptilia berbahaya itu.

Keyakinan dapat dilihat dengan ketara ketika Parker mengangkat ular sawa seberat 10 kilogram semalam, walaupun pada ketika tertentu langkah budak itu kelihatan goyang.


Media tempatan melaporkan, Parker kini digelar sesetengah pihak sebagai renjer haiwan liar paling muda di Australia.

Melihat kepada sejarah hidupnya, memang tidak menghairankan jika Parker mudah akrab dengan haiwan liar.


Dia dilahirkan pasangan suami isteri yang menguruskan Taman Hidupan Liar Ballarat di Victoria.


Bapa Parker yang juga pemilik taman itu, Greg, berkata tiga generasinya menjadi penjaga haiwan dan membesar dalam lingkungan hidupan liar. "Kami memang terkejut dengan kemampuan semula jadi Parker berdepan haiwan liar.

"Selain tidak menampakkan rasa takut, Parker juga melayan haiwan yang ada di taman hidupan liar ini.


"Dia juga mengagumkan kerana memiliki pengetahuan mengenai haiwan itu tanpa perlu kami memberinya pendedahan apa-apa sejak awal.

"Nampaknya kemahiran itu memang ada dalam darah dagingnya," katanya.


Selain ular, Parker juga sering dibenarkan bermain dengan pelbagai jenis haiwan liar lain, termasuk anak buaya di taman haiwan yang dibuka sejak 1987 itu. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Sharbinee malu

Posted: 02 Sep 2012 11:31 AM PDT

"BENAR saya melakukan kesilapan, tapi jangan maki-hamun dan tolak saya di depan ribuan penonton, saya juga ada maruah seperti orang lain," kata penjaga gol utama Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, ketika diminta mengulas mengenai pertelingkahannya dengan jurulatih, Peter Butler ketika pertemuan dengan Kedah malam kelmarin yang berkesudahan seri 1-1.

Sharbinee berkata, lebih memalukannya apabila jurulatih berasal dari England itu mengekorinya hingga berhampiran pintu masuk pemain sambil menuding jari ke arahnya dengan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum diredakan jurulatih penjaga gol, Zuber Ibrahim.


Tambah penjaga gol itu, dia tidak kisah dimarahi jurulatih itu kerana melakukan kesilapan menolak bola masuk ke gawangnya sendiri tapi jurulatih itu perlulah memilih tempat yang sesuai seperti dalam bilik persalinan dan bukannya di padang.

"Sebagai jurulatih berpengalaman, tindakan Butler itu jelas tidak profesional dan tidak sepatutnya dilakukan biarpun saya dapati dia begitu kecewa dengan kesilapan yang saya lakukan," katanya yang mengakui kesilapan itu kerana pada ketika angin agak kuat.


Penjaga gol berusia 25 tahun itu berkata, berikutan kesilapannya itu, dia memohon maaf kepada semua pemain termasuk kira-kira 15,000 penonton yang hadir dan bertekad akan memperagakan aksi terbaik jika masih diturunkan.


"Sebagai pemain, kesilapan sebegitu bukan kita mahu, tapi dalam sesuatu permainan, apapun boleh berlaku seperti yang terjadi malam semalam, namun saya harap peminat tidak menghukum saya sebaliknya terus memberi sokongan terutama dalam misi Terengganu melayakkan diri ke suku akhir," katanya.

Mengulas insiden itu, yang bermula selepas penjaga gol itu digantikan dengan penjaga gol kedua, Mohd Shamirza Yusof selang beberapa minit selepas penjaga gol itu menolak masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-63 hasil tendangan sudut kapten pelawat, Baddrol Baktiar.


Selepas penjaga gol kebangsaan itu dikeluarkan, Butler yang dilihat hilang sabar dengan kesilapan mudah yang dilakukan pemain itu terus menghampiri dan menghambur kata-kata kesat sambil menuding jari ke arah pemain itu sebelum diredakan Zuber.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Safee gusar

Posted: 02 Sep 2012 11:24 AM PDT

PENYERANG sensasi, Safee Sali mengakui prestasi tidak menentu gandingannya, Norshahrul Idlan Talaha menyebabkannya ketika ini menghadapi kemarau jaringan bersama skuad Harimau Malaya.

"Prestasi Mat Yo (Norshahrul) sedikit-sebanyak ada mempengaruhi permainan saya tapi yakin kami boleh mendapat rentak bagi mengembalikan detik kecemerlangan seperti sebelum ini.


"Mat Yo adalah pemain yang baik kerana bukan saja dapat menjaringkan gol tapi mampu membuka peluang kepada saya merobek gol lawan. Bagi saya keserasian kami adalah yang terbaik tapi ketika ini masing-masing mencari rentak untuk kembali ke tahap terbaik menjelang saingan Piala AFF pada hujung November depan," ujarnya.

Menyifatkan penyerang kembarnya bersama skuad kebangsaan itu adalah gandingan terbaiknya, kapten Pelita Jaya itu amat berharap prestasi mereka berdua akan mula memuncak menjelang saingan Piala AFF pada hujung November depan.


Bekas pemain Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak itu yang masih belum menjaringkan sebarang gol ketika beraksi bersama skuad kebangsaan sejak awal tahun ini berkata dia sendiri akan cuba meningkatkan prestasinya sendiri untuk kembali seperti ketika muncul penjaring terbanyak pada saingan Piala AFF 2010.


Bagaimanapun, Safee menjelaskan dia bukan mahu memperkecilkan kemampuan penyerang lain dan dia sendiri tidak kisah digandingkan dengan mana-mana pemain.

"Saya sudah lama bermain dengan Mat Yo dan sudah faham dengan corak permainannya, begitu juga dengan Safiq (Rahim).


"Diharapkan perlawanan persahabatan dengan Vietnam nanti akan mempertajamkan semula sentuhan jaringan saya," katanya.

Selain Safee dan Mat Yo, Datuk K Rajagobal turut menamakan Khyril Muhymeen Zambri (Kedah), Azamuddin Akil (Pahang), Zaquan Adha Abd Razak (Tentera), Wan Zack Haikal Wan Nor (Harimau Muda A) dan Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan) sebagai pilihan untuk posisi penyerang bagi menghadapi Vietnam pada 11 September ini.


Kemarau jaringan Safee kini menjadi perhatian ramai terutamanya selepas tiga aksi persahabatan sepanjang 12 hari kem latihan di Vienna, Austria bulan lalu.


Safee, 28, yang beraksi dalam dua daripada tiga perlawanan itu tidak mampu menamatkan kebuntuan jaringan.


Keadaan itu turut menyaksikan beberapa gandingan penyerang yang diuji Rajagobal turut gagal menjaringkan gol hingga menyaksikan Harimau Malaya tewas di tangan kelab Hungary, FC Gyirmot Gyor 0-2, seri 0-0 dengan Zalaegerszeg dan tewas 0-2 kepada kelab Slovakia, Spartak Myjava pada aksi terakhir.


Safee berkata, dia akan menyertai kem kebangsaan bermula Rabu ini dan kesempatan itu akan digunakannya untuknya mendapatkan rentaknya semula.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved