Isnin, 6 Mei 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Berhenti kerja untuk berniaga

Posted: 06 May 2013 07:27 AM PDT

Diasaskan Saidin Abd Rashid dan isterinya, Rokiah Daud lebih 70 tahun lalu, bermula dengan sebuah rumah kayu dua tingkat dikelilingi ladang getah dan kebun sayur-sayuran, kini ia semakin bertambah apabila anak-anak Saidin membina satu persatu rumah di sekelilingnya sehingga berjumlah 23 rumah.

Jika diperhatikan, ia sama seperti rumah kampung yang lain. Namun apa yang berbeza, semangat ukhuwah yang ditunjukkan begitu tinggi sehinggakan setiap rumah di sini mempunyai sekurang-kurang­nya satu perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) yang dimulakan generasi kedua keluarga Saidin dan Rokiah.

Sama ada perusahaan katering, gerai makanan, kuih-muih, gubahan hantaran, perkhidmatan menjaga budak atau memberikan sokongan tenaga kerja kepada industri sedia ada, semuanya diusahakan dari rumah secara solo dan kini dimajukan dan ditambah baik generasi seterusnya.

Perusahaan yang dimulakan generasi kedua kini dimajukan generasi ketiga apabila mereka mening­katkan pengetahuan serta memperkemaskan modus operasi dan strategi pemasaran agar produk kampung dapat dipasarkan secara meluas menerusi teknologi maklumat termasuk Internet.

Foto

GENERASI ketiga keluarga Saidin yang mengusahakan perniagaan baju menyusu dan khidmat jahitan pukal.

Foto

SEORANG pekerja tekun menjahit baju pelanggan.

Foto

RUMAH pusaka yang dijadikan pusat jahitan pukal.


Bagi generasi kedua yang juga cucu kepada Saidin, Khairina Yaacob, dia memulakan perniagaan pakaian menyusu kerana ingin mengisi keperluan yang ketika itu menyusukan anak sepenuh­nya. Menyedari tidak banyak baju kurung tradisional mesra penyusuan di pasaran, lantas dia ingin memasarkannya.


"Pada masa itu, saya masih bekerja sepenuh masa dan memerlukan baju yang memudahkan saya mengepam susu di pejabat dan di luar. Hasil perbincangan dengan rakan, kami mendapat idea untuk mengeluarkan baju kurung menyusu yang pertama dengan bukaan terselindung yang membolehkan penyusuan dibuat dengan selesa tanpa mengubah ciri-ciri tradisi baju itu.

"Dengan itu, lahirlah koleksi baju menyusu BlingBuubies Nursing Apparel yang dijual secara dalam talian menerusi www.blingboutique.biz.

"Koleksi ini berkonsep­kan sedia dipakai dengan tempahan individu hanya dibuka secara bermusim menerusi jemputan kepada pelanggan setia," katanya.

Namun disebabkan konsep koleksi yang unik kerana memaparkan potongan dan ciri istimewa lain daripada yang lain, Khairina sukar mendapatkan tukang jahit mahir yang dapat menghasilkan kolek­si sebegini. Oleh itu, dia memberanikan diri menceburi bidang perniagaan yang agak asing iaitu me­nyediakan khidmat jahitan borong khusus untuk baju menyusu.

"Saya mula mencari idea untuk mengembangkan pasaran baju menyusu ini. Dengan itu saya mewujudkan satu lagi cabang perniagaan dengan me­nyediakan perkhidmatan jahitan borong khusus untuk baju menyusu serta khidmat jahitan kepada pengusaha butik penyusuan lain," ujarnya.

Bermula dengan hanya satu tempahan pukal daripada butik penyusuan lain, kini Khairina mempunyai kontrak jahitan pukal untuk enam butik baju mengandung dan menyusu di Malaysia dan Singapura, selain menjadi tukang jahit tetap kepada beberapa jenama daripada pereka muda tempatan.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang jahitan, Khairina yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada Universiti Teknologi Petronas, pernah bekerja empat tahun dengan syarikat minyak dan gas multinasional di ibu negara sebelum me­ngambil keputusan berhenti kerja kerana ingin memberi tumpuan kepada perniagaan.

"Saya akui tiada latihan khusus dalam bidang perniagaan dan hanya berasaskan minat yang disemai sejak kecil. Ketika bekerja, saya pernah menceburkan diri dalam beberapa jenis perniagaan secara sambilan iaitu menjual kerepek, kuih-muih dan kerongsang dalam talian.

"Saya kemudian membuka pusat mencuci dan mencantikkan kereta di sekitar Subang Jaya, Putra Height dan Puchong. Akhirnya, saya memberi fokus kepada perniagaan butik baju menyusu dan khidmat jahitan pukal.

"Pengalaman yang diperoleh daripada pelbagai perniagaan secara kecil-kecilan selain minat yang mendalam menjadikan saya lebih matang dalam mengharungi cabaran dalam perniagaan," katanya yang mengubah suai rumah pusaka keluarga yang terletak di kampung ini untuk dibangunkan menjadi pusat jahitan yang dijana 100 peratus tenaga kerja setempat.

Menurut Khairina, dia menggunakan 100 peratus modal daripada perniagaan terdahulu ditambah wang simpanan sendiri dan rakan kongsi. Tanpa bantuan kerajaan, dia menggunakan pusingan modal yang sangat terhad. Namun ini menjadi cabaran kepada wanita ini bagi memastikan perniagaannya dapat digerakkan dan dimajukan dalam ling­kungan kewangan yang tidak seberapa.

"Kekangan ini menjadi asas kepada idea kreatif, pelan pemasaran serta pekerja yang dedikasi, mahir dan mempunyai hala tuju yang betul. Pengalaman kami selama beberapa tahun ini mendapati untuk mendapatkan pekerja yang tepat amatlah sukar kerana anak-anak muda lebih gemar menceburi pekerjaan yang menjanjikan glamor di kota besar berbanding bekerja sebagai tukang jahit di kampung kecil ini.

"Namun ini menjadikan kami lebih peka dalam pengambilan pekerja berpengalaman daripada lingkungan lebih berusia, sekali gus memberikan keseimbangan dalam tugas diberikan," katanya.

Dia kini memiliki 15 pekerja tetap iaitu 10 berkhidmat sebagai tukang jahit dan lima kakitangan terbabit dalam pengurusan, pemasaran dan pentadbiran. Semuanya memiliki kelulusan dalam bidang berkaitan sama ada menerusi institusi pengajian tinggi atau Pusat GiatMARA manakala untuk staf pentadbiran dan pengurusan, mereka terdiri daripada pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi, awam dan multimedia tetapi mempunyai minat dan visi untuk memajukan perniagaan IKS di Kampung Saidin.

Tambahnya, kemunculan peniaga bermusim yang meng­gunakan khidmat tukang jahit import dari Bangladesh dan Indonesia yang menawarkan harga terlalu rendah menyebabkan persaingan tidak sihat berlaku.

Bagaimanapun, oleh kerana niat dan fokus berbeza dengan apa yang ditawarkan tukang jahit pukal, persaingan ini tidak memberi masalah kerana Bling Lustre lebih memberi fokus kepada baju dan produk penyusuan ibu serta koleksi untuk butik dan pereka muda tempatan yang memerlukan kemahiran berbeza.

Bagi mengetengahkan pakaian menyusu kepada orang ramai, Khairina dibantu keluarga dan kakitangan Bling Lustre yang sentiasa aktif melakukan promosi menerusi Fanpage dan laman sesawang.

Setiap promosi dan pe­ngenalan produk baru dimuat naik ke Fanpage dan website. Oleh itu, pelang­gan, rakan dan pelayar Internet mengetahui me­ngenai produk dan khidmat ditawarkan.

Bling Lustre juga aktif mengiklankan produk dan perkhidmatan jahitan di majalah selain mengikuti ekspo bagi mendekati pelanggan.

"Apa yang paling penting adalah pengiklanan daripada mulut ke mulut kerana ia promosi terbaik untuk mendapatkan pelanggan. Oleh kerana mempunyai ramai pelanggan setia, Bling Lustre sangat menjaga hubungan baik dengan pelanggan kerana mereka adalah nadi utama perniagaan," ujarnya.

Bagi Khairina, dia sebolehnya berusaha memantapkan perniagaan kerana melaluinya dia dapat memberi peluang pekerjaan kepada semua golongan bukan saja kepada anak muda lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi, malah sebagai sumber pendapatan untuk warga tua, ibu tunggal dan suri rumah.

"Di samping memberikan pendapatan tetap kepada penduduk setempat, perniagaan ini juga menjadi satu sumber sampingan kepada warga kampung yang lain. Tempahan yang diterima boleh dibuat di rumah seperti jahit silang pangkah, jahit manik, jahit tulang belut, mata lalat dan jahit butang sebagai sumber pendapatan sampingan mereka," katanya yang turut mencetuskan pekerjaan sokongan seperti pembantu dan pembersih rumah yang secara tidak langsung memberikan sumbangan kepada pendapatan isi kampung.

Pada masa depan sebagai pelopor kepada perusahaan IKS di Kampung Saidin, Khairina berharap dapat menambah baik kualiti dan hasil perkhidmatan dengan meningkatkan cara kerja yang lebih efektif.

Lokasi perniagaan yang hanya menggunakan rumah pusaka lama juga perlu dinaik taraf agar dapat memuatkan tambahan mesin bagi membolehkan tambahan dalam pelbagai perkhidmatan.

Promosi dan pusat khidmat pelanggan juga perlu dilaksanakan dalam me­ngembangkan rangkaian produk baju menyusu dan juga khidmat jahitan pukal yang diusahakan ini.

"Untuk jangka panjang, saya ingin menjadikan perusahaan jahitan sebagai Rumah Fesyen yang dapat menghasilkan koleksi berkualiti dan mempunyai nilai yang tinggi. Impian kami untuk memiliki Rumah Fesyen setaraf Milan tetapi ditempatkan di kampung yang dapat menggunakan 100 peratus warga setempat.

"Ini bukan saja menarik tempahan dari dalam negara tetapi jenama dan pereka luar negara," ujarnya penuh mengharap.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Gerai Mak Unggai istimewa

Posted: 06 May 2013 07:11 AM PDT

Perusahaan gerai makanan harian atau lebih popular sebagai Gerai Ekonomi Mak Unggai diasaskan generasi kedua Saniah Md Noor di Kampung Saidin dan sudah bertapak sejak belasan tahun lamanya.

Bermula dengan ha­nya menjual nasi lemak di bawah pokok, kini ia beroperasi sepenuhnya sebagai gerai makanan paling popular di daerah Taiping dengan memberi tumpuan kepada makanan pagi dan tengah hari. Keistimewaan gerai ini adalah hidangan gulai ikan sembilang dan ulam-ulaman kampung bersama resipi turun temurun sambal belacan.

Menurut Saniah, disebabkan terletak dalam persekitaran kampung, harga makanan di gerai ini juga begitu murah. Disebabkan itu, tidak hairanlah ia sentiasa dipenuhi pelanggan terutama pada waktu tengah hari.

Gerai ini pernah menjadi persinggahan mantan Menteri Besar Perak, Datuk Tajul Rosli dan baru-baru ini menerima kunjungan pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan dan Kartina Aziz untuk menjamu selera.


"Selain memastikan kualiti dalam masakan, hidangan Gerai Mak Unggai mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menggunakan bahan masakan semula jadi dari kampung. Sambal belacan begitu popular begitu juga gulai ikan sembilang yang sukar didapati di kedai lain pada harga yang murah. Selain itu, sikap ramah mesra ditunjukkan pekerja menjadi sebab ia menjadi lokasi popular di Taiping," ujarnya.


Di rumah yang lain pula, generasi kedua kampung Saidin mengusahakan perusahaan baulu secara tradisional dengan memukul telur tanpa menggunakan mesin bagi mengekalkan rasa gebu dan keasliannya.

Maznah Saidin atau lebih dikenali sebagai Mak Put dalam kalangan orang kampung mewarisi kepakaran membuat bancuhan baulu secara tradisional dan dikembangkan menjadi satu perusahaan yang bertapak sekian lama.

Menurut Mak Put, baulu dan kuih bangkit yang dihasilkannya berbeza berbanding kuih yang dijual di pasaran.

"Oleh kerana menggunakan cara tradisional iaitu memukul telur di dalam bekas besar, ia menjadikan resipi baulu rangup di luar tetapi gebu dan lembut di dalam. Justeru, permintaan untuk baulu dan kuih bangkit sentiasa bertambah walaupun di luar musim perayaan," katanya.

Kreatif dalam menghasilkan pelbagai jenis baulu berbentuk objek tertentu, Mak Put sering menerima tempahan baulu ikan besar, baulu anak ikan, kuih kacang dibuat bentuk manggis, pisang atau strawberi serta kuih bangkit ros khas untuk hantaran perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Ular 'temani' solat Isyak

Posted: 05 May 2013 12:44 PM PDT

Bagan serai: "Saya hanya berserah kepada Allah SWT tidak dipatuk ular berbisa itu dan dapat menyempurnakan solat secepat mungkin," kata Md Yassin Saari, 53, apabila seekor ular muncul ketika dia menunaikan solat Isyak di rumahnya, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, dia menunaikan solat bersendirian di bilik utama di rumahnya di Parit Simpang Lima, Alor Pongsu, di sini, sebelum terkejut dengan kehadiran ular itu .


"Ketika itu, saya sedang tahayat akhir dan tiba-tiba perasan kehadiran ular itu yang tiba-tiba berada di sebelah kiri saya. "Saya yang ketakutan menyempurnakan solat tergesa-gesa kerana bimbang ular itu masuk dalam kain saya," katanya.

Md Yasin berkata, selepas selesai mengerjakan solat, dia bersama anaknya berusaha menghalau ular berbisa itu keluar dari rumah kerana bimbang keselamatan mereka.


"Saya tidak tergerak hati membunuhnya kerana percaya ada hikmah di sebalik kehadirannya di sisi saya ketika menunaikan solat.


"Selepas mengusir ular itu keluar dari rumah, saya mengambil keputusan melepaskan dan membiarkannya menyusuri hutan berdekatan rumah saya," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Foto

ULAR yang menjadi makmum solat Isyak sebelum dilepaskan.

"Tuhan melindungi saya daripada dicederakan ular itu. Ini semua kuasa Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Cinta Di Enterprise

Posted: 05 May 2013 01:39 PM PDT

Filem 'Star Trek Into Darkness' yang bakal menemui penonton di pawagam semestinya menjanjikan pelbagai aksi yang mendebarkan. Selain pertempuran minda antara Kapten James T. Kirk dan John Harrison yang dinanti-nantikan para peminat tegar, turut menjadi tumpuan adalah hubungan romantis di antara Spock dan Uhura.

Di dalam filem 'Star Trek' (2009), tidak disangkal terdapatnya tarikan di antara Spock dan Uhura, dan hubungan mereka terus disingkap di dalam 'Star Trek Into Darkness'.

Bagi Zachary Quinto yang membawa watak Spock, hubungannya dengan Uhura memberi penonton imbasan ke dalam jiwa insan yang separuh manusia dan separuh Vulcan itu, yang jarang didedahkan kepada sesiapa.

"Terdapat satu babak di dalam 'Star Trek Into Darkness' di mana Uhura sedang menjelaskan kepada Spock mengapa dia begitu kecewa dengan kesanggupan Spock mengorbankan nyawanya. Spock pula menjawab, 'Kamu fikir saya membuat keputusan ini dengan mudah. Percayalah, ia bukan semudah itu.' Babak tersebut cukup meninggalkan kesan pada saya."


Seperti Quinto, Zoe Saldana yang memainkan watak Uhura juga terpikat dengan idea membawa hubungan Spock dan Uhura ke peringkat seterusnya.


"Hubungan mereka di dalam 'Star Trek' telah mengejutkan ramai tetapi jika mereka ingin bersama mereka perlu melalui dugaan yang akan menguji hubungan mereka. Dan cara ia berlaku di dalam 'Star Trek Into Darkness' pasti tidak akan diduga penonton."

Tambah Saldana, Uhura terpikat dengan Spock kerana keperibadian mereka yang serupa. Dia juga seorang individu yang hidup mengikutkan prinsip dan peraturan.

Jika Uhura dipadankan dengan Spock, bagaimana pula dengan Kirk? Jika anda masih ingat, Uhura telah menolak pelawaan romantis Kirk selepas pertemuan pertama mereka di dalam 'Star Trek'.

Ini sekaligus memberi ruang kepada para penulis untuk memperkenalkan watak Pegawai Sains Carol Marcus di dalam 'Star Trek Into Darkness'. Buat peminat siri asal 'Star Trek', anda pasti mengenali Carol sebagai bakal isteri dan juga ibu kepada anak-anak Kirk. Tetapi adakah jalan cerita mereka berdua diteruskan seperti di dalam siri asal?

Chris Pine bila ditanya jika Kirk sempat menjalinkan hubungan romantis dengan Carol memberitahu mtv.com, "Apa yang boleh saya katakan tentang filem ini, banyak perkara yang berlaku dari segi aksi dan plot cerita pada kadar yang begitu pantas hinggakan tidak banyak masa untuk Kirk melakukan benda-benda lain kecuali menyelamatkan krew dan dirinya.

"Tetapi setia dengan jati diri Kirk, dia seorang lelaki yang menyukai wanita berambut perang dan Carol seorang jelitawan. Jadi, usikan main-main, godaan di antara mereka pasti ada. Terpulang pada penonton untuk melihat sejauh mana usikan dan godaan itu akan bawa mereka. Namun begitu, kehadiran Carol bukanlah sekadar pasangan cinta Kirk tetapi pengetahuannya dalam bidang sains memainkan peranan utama dalam menyelesaikan krisis yang dihadapi."

Jika anda ingin tahu sejauh mana perkembangan hubungan cinta Spock dan Uhura serta Kirk dan Carol, pastikan anda menyaksikan 'Star Trek Into Darkness' bermula 16 Mei depan di pawagam berdekatan anda.

VIDEO:

Jika anda peminat setia Star Trek, cuba jawab soalan disini & menangi hadiah yang menarik! Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Gandingan kali ketiga

Posted: 05 May 2013 04:27 AM PDT

Ramai sudah menghidu keakraban pasangan pelakon baru, Aeril Zafrel dengan Wawa Zainal. Malah gosip yang mendakwa mereka hangat bercinta turut meraih perhatian ramai peminat ketika ini.

Bagi Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, 26, dia memang tertarik dengan keayuan yang ada pada wajah pelakon jelita yang juga Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 kelahiran Lahad Datu, Sabah itu.

"Jika orang tanya sama ada dia memenuhi kriteria gadis idaman saya atau tidak. Jawapan saya mudah saja, lelaki manalah yang tidak tertarik dengan gadis ayu seperti Wawa.

"Walaupun sudah berhij­rah, saya juga tidak mahu meletakkan calon isteri saya mestilah wanita bertudung tetapi jika boleh sudah pasti saya ingin memilih gadis bertudung sebagai isteri. Namun, soal jodoh ketentuan Allah SWT," katanya.


Kedua-duanya juga digandingkan dalam filem terbaru terbitan MIG iaitu 99 Kali Rindu yang sarat mesej keagamaan.


Filem bergenre Islamik romantik itu juga menyaksikan kali ketiga mereka digandingkan selepas drama Klik untuk saluran Astro Ceria dan filem Budak Pailang sebelum ini.

Aeril juga mengaku selesa digandingkan dengan Wawa dalam filem arahan Azhari Zain itu.

"Kami mula rapat sejak berlakon sama dalam drama Klik. Malah kami kerap keluar bersama apabila tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran.

"Pada masa sama, Wawa juga berminat untuk lebih mendalami agama Islam dan saya turut berkongsi ilmu dipelajari dengannya. Justeru, apabila sudah rapat, pasti kami tidak ada masalah mendapatkan keserasian ketika diganding­kan dalam filem 99 Kali Rindu ini terutama ketika menjayakan babak Attar bercinta dengan Qalbie," katanya yang bakal muncul dalam filem terbaru Hollywood bersama aktres terkenal, Sharon Stone dan Christina Ricci.

Mengulas lanjut watak­nya dalam filem 99 Kali Rindu, kata Aeril, dia berdepan dengan cabaran besar menjiwai watak Attar yang perlu berucap di depan orang ramai ketika di masjid.

"Saya perlu sampaikan kecintaan Rasulullah SAW yang rindu pada umatnya itu dengan sejujurnya. Sebagai pelakon, saya harus pastikan penonton dapat merasai apa yang ingin disampaikan itu," katanya.

Dari segi jalan cerita pula, kata Aeril, filem 99 Kali Rindu ada kesinambungan de­ngan cerita Tujuh Petala Cinta yang ditayangkan sebelum ini.

"Ia membabitkan dari segi watak dalam filem ini yang masih seperti dalam Tujuh Petala Cinta. Bagaimanapun, cerita ini masih boleh berdiri dengan sendirinya walaupun anda tidak menonton cerita Tujuh Petala Cinta sebelum ini.

"Lebih menarik, kesinambungan watak Attar dalam cerita ini akan diteruskan dalam filem genre Islamik, Sabda Kekasih yang membabitkan produksi dari Indonesia. Saya juga bakal digandingkan dengan pelakon Indonesia dan penggambarannya dijangka selepas Aidilfitri nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aeril yang baru keluar daripada pengurusan MIG Talents awal bulan ini meng­akui, dia masih meng­ikuti kelas agama termasuk ilmu perubatan Islam untuk diri sendiri dan keluarganya.

"Saya juga membantu teman rapat yang memerlukan bantuan. Apapun, saya tidak cari makan de­ngan ilmu agama dipelajari ini. Hingga hari ini, saya masih menghadiri kelas agama termasuk belajar tajwid al-Quran. Kita juga perlu berguru untuk me­ngaji al-Quran. Apapun, saya anggap belajar ilmu agama ini tidak pernah habis kerana saya tidak tetapkan sampai bilakah saya akan belajar agama," katanya.

Wawa selesa watak bertudung

Sepanjang dua tahun berlakon, pemilik nama sebenar, Nur Hawa Zainal Abidin yang lebih mesra di sapa Wawa mengakui watak Qalbie adalah paling berat yang pernah dilakonkannya.

"Selama ini, saya ha­nya diberi watak ringan dalam filem tetapi ia berbeza dalam cerita ini. Kali ini, watak saya lebih mencabar kerana diberi kepercayaan melakonkan watak Qalbie yang bertugas sebagai pe­nyampai radio di stesen berkonsep agama.

"Apatah lagi, saya tidak ada pengalaman sebagai penyampai radio dan perlu belajar cara untuk melontarkan dialog dengan betul. Saya juga perlu menggunakan bahasa mendalam dan puitis dalam cerita ini.

"Lebih mencabar, Qalbie yang meminta Attar melamarnya selepas ada insiden dirinya hampir dirogol dalam cerita ini. Terus terang, ia bukan tugas mudah tapi berkat bimbingan pengarah dan penulis skrip ini, Shahriman Wahab, saya mampu memberikan hasil lakonan seperti diharap­kan," katanya.

Menyentuh penampilan Muslimahnya dalam filem itu, Wawa mengakui dia tidak ada masalah bawa watak bertudung dalam filem itu.

"Ia kali ketiga saya bawa watak bertudung dalam lakonan iaitu filem Aji No Moto dan drama Bunga-Bunga Syurga untuk TV3. Sebagai pelakon, apa saja watak diserahkan perlu dilakonkan sebaik mungkin.

"Apapun, saya berdebar menanti reaksi peminat pada hasil filem ini bila menjengah pawagam tanah air nanti. Saya takut orang akan bandingkan lakonan saya dulu dengan sekarang. Maklumlah, saya baru berlakon ketika terbabit de­ngan penggambaran filem ini yang memulakan penggambarannya pada Mac tahun lalu," katanya.

99 Kali Rindu menceritakan Attar yang berhijrah selepas kematian isteri­nya, Saidatul Nafisa (Shima Anuar) ketika melahirkan anak mereka yang turut gagal diselamatkan. Attar mengambil keputusan berhijrah dari sekolah pondok Qalbun Salim kerana tempat itu meninggalkan pelbagai kenangan terhadap arwah isterinya itu.

Attar singgah di sebuah kampung dan cuba memulakan kehidu­pan barunya di situ. Dia cuba mencari ketenangan de­ngan mendekatkan dirinya de­ngan Allah SWT.

Attar kemudian dipertemukan dengan seorang penyampai radio iaitu Qalbie. Attar banyak memberi kata-kata nasihat dan setiap kata-kata Attar menimbulkan rasa rindu dan cinta di hati Qalbie.

Filem yang mula menjengah pawagam seluruh tanah air bermula Khamis ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Afiera Riana (Zazlina), Adey Syafrien (Miqdad), Eddy Rauf, Niezam Zaidi, Siti Aziz dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/05
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Kenangan pilu hari mengundi

Posted: 05 May 2013 01:16 PM PDT

Chukai: Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 meninggalkan kenangan pahit kepada satu keluarga di Kampung Banggul Kiri di sini, apabila kehilangan anak tersayang yang maut dalam kemalangan berhampiran simpang tiga Jalan Bukit Mentok menghala ke Bukit Tempurung, di sini, pada jam 9.15 malam kelmarin.

Mangsa, Syed Mohamad Arif Syed Yatim Mustafa, 16, yang cedera parah di kepala menanggung kesakitan hampir dua jam sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kemaman (HK) pada kira-kira jam 10.50 malam.

Kejadian dikatakan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa gagal mengelak sebelum merempuh kenderaan pelbagai guna dinaiki tiga lelaki yang dalam perjalanan dari Kampung Bukit Mentok menghala ke bandar Chukai sebaik tiba di simpang tiga berkenaan.

"Mangsa yang ketika itu dipercayai menunggang secara beramai-ramai gagal mengelak daripada merempuh kenderaan pelbagai guna terbabit yang ketika itu membelok ke kanan untuk masuk ke simpang tiga berkenaan.

Foto

KEADAAN motosikal ditunggang Syed Muhamad Arif selepas kemalangan.


"Rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke HK untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia selepas hampir dua jam dirawat," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Pengantin duka

Posted: 05 May 2013 01:16 PM PDT

Alor Gajah: Persandingan pengantin baru yang dijadual berlangsung di Kampung Ayer Paabas, di sini, terpaksa dibatalkan selepas bapa pengantin perempuan meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Kampung Gelam, dekat sini, semalam.

Kejadian disedari seorang ahli keluarga, Hasmah Jantan, 50-an, kira-kira jam 9 pagi apabila mangsa Md Yusoff Abdullah, 58, tidak memberi tindak balas ketika dikejutkan untuk bangun pagi.

Harian Metro difahamkan ketika kejadian pasangan pengantin, Izzatul Yusrah Md Yusoff, 27, sedang bersiap ke rumah suaminya Mohd Fauzi Yahya, 29, di Kampung Ayer Paabas, di sini, untuk majlis persandingan.

Abang ipar Md Yusoff, Ibrahim Nasir, 72, berkata, dia mengejutkan arwah untuk menunaikan solat Subuh, namun tiada tindak balas dan beranggapan arwah kepenatan kira-kira jam 5.30 pagi.

Foto

MOHD Fauzi (kiri) dan Izzatul Yusrah di sisi jenazah Md Yusoff, semalam.


"Saya panggil nama adik ipar berkali-kali supaya bangun solat Subuh, tetapi dia langsung tidak bergerak sebelum keluarga lain cuba kejutkannya jam 9 pagi, namun keadaan masih sama.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Pemain elit tak boleh diharap

Posted: 05 May 2013 11:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Apa yang boleh diharapkan daripada pemain badminton negara jika pemain elit sendiri tidak mampu beraksi konsisten meskipun hanya pada kejohanan berstatus GP Emas.

GP Emas Terbuka Malaysia yang berakhir kelmarin, sememangnya dijangka menjadi pentas buat pemain muda negara menyerlah terutamanya dalam perseorangan lelaki dengan penarikan diri pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.


Dua pemain pelapis bimbingan Hendrawan - Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Goh Soon Huat melangkah ke separuh akhir dan akhir, sedangkan pemain elit seperti Chong Wei Feng tersingkir di pusingan kedua. Liew Daren pula terkandas di suku akhir, begitu juga dengan pemain yang boleh dianggap cukup lama bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bimbingan Hendrawan, Mohd Arif Latif yang sekadar ke pusingan kedua.

Berdasarkan ranking dunia, Wei Feng kini di ranking ke-12, Daren (13), Arif (30), Iskandar (68) dan Soon Huat (72).


Ternyata BAM perlu mengubah formula mengutamakan pemain elit kepada memberi penekanan kepada pemain pelapis kerana mereka yang memerlukan lebih banyak kejohanan dan pendedahan berkualiti di pentas antarabangsa.


Mungkin jika dilihat dari segi kemahiran, Iskandar mahupun Soon Huat belum mencapai tahap Daren dan Wei Feng, apa lagi Muhd Hafiz Hashim dan Chong Wei, namun setiap kali turun beraksi di gelanggang, mereka bagaikan pejuang dan apa yang ditonjolkan mereka di gelanggang sepanjang minggu lalu adalah keinginan besar untuk menang ke atas lawan.

Foto

DAREN sekadar beraksi di suku akhir sebelum kecundang.

Foto

SOON HUAT berjaya melangkah ke final tetapi tewas di tangan pemain Indonesia.

Jika mahu diukur dari segi kemahiran sekalipun, apa yang ada pada juara baru GP Emas Terbuka Malaysia, Yunus Alamsyah dari Indonesia selain semangat kental melawan.


Perkara sama juga berlaku dalam beregu lelaki dan beregu campuran, cuma beregu 'emas' negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong boleh dianggap paling teruk kerana satu-satunya kejuaraan yang mampu mereka menang selama ini, juga tidak mampu dipertahankan.

Mujur tewas di tangan rakan senegara, meskipun lebih muda, setidak-tidaknya boleh menggunakan alasan 'kami sering berlatih bersama, jadi masing-masing tahu corak permainan dan memang sukar' seperti dilemparkan selepas tewas kepada Goh V Shem-Lim Khim Wah.


Pilihan utama beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula bagai serba tidak kena di gelanggang, sedangkan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing menunjukkan semangat melawan.


Perkara ini sering ditegaskan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong, yang sekali lagi mahu BAM menilai program mereka.


"BAM perlu nilai semula program pendedahan pemain. Beri tumpuan kepada pemain pelapis yang dibimbing Hendrawan," kata Zolkples.


Apa yang dikatakan beliau ada benarnya. Jika BAM ragu-ragu, cubalah mereka menghantar pemain pelapis bimbingan Hendrawan ke setiap kejohanan yang Daren dan Wei Feng sertai tanpa meletakkan sasaran membawa pulang kejuaraan.


Tiada apa yang rugi kerana mereka sememangnya pelapis dan setiap kejohanan adalah pendedahan, sedangkan pemain elit seperti Kien Keat-Boon Heong tidak pernah diletakkan sasaran untuk menjuarai mana-mana kejohanan, sehinggalah Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, Ogos.


"Bagi saya, pemain muda yang dihantar ke banyak kejohanan tanpa membawa pulang gelaran, bukan satu kerugian jika dibandingkan dengan pemain elit yang sepatutnya menuai hasil.


"Pemain seperti Daren, Kien Keat-Boon Heong tidak perlu lagi beraksi dalam kejohanan GP Emas ini kerana standard mereka sudah tinggi. Mereka patut beraksi di Siri Super saja," kata Zolkples.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06

Harapan Everton berkecai di Anfield

Posted: 05 May 2013 11:29 AM PDT

London: Harapan Everton beraksi pada pertandingan Eropah musim depan terjejas selepas seri 0-0 dengan jiran setempat Liverpool yang penuh dramatik, malam tadi.

Everton, yang hanya menang sekali daripada 13 pertembungan jiran setempat terakhir menentang Liverpool, kecewa selepas tandukan Sylvain Distin yang menerjah jaring menerusi sepakan sudut pada awal babak kedua tidak disahkan.


"Saya tidak mahu menjadi seorang pengurus yang suka merungut tapi kami menjaringkan satu gol sah hari ini, ia patut dikira," kata pengurus Everton David Moyes.

Everton, yang melakar 15 keputusan seri dalam Liga Perdana musim ini, terbanyak dalam kalangan 20 pasukan, kekal di tangga keenam dengan 60 mata, lima di belakang Tottenham dan Chelsea.


Mereka hanya berbaki dua perlawanan dan mempunyai harapan tipis merebut tempat ke Liga Europa bagi pasukan yang menduduki tangga kelima. Liverpool di tangga ketujuh dengan 55 mata.


Pertahanan tengah Distin melonjak mengatasi pertahanan Liverpool, Jamie Carragher untuk menanduk masuk pada minit ke-56 namun pengadil Michael Oliver meniup wisel kerana ada insiden tolak-menolak.

Peluang terbaik Liverpool turut hadir pada babak kedua dengan Daniel Sturridge dinafikan oleh tindakan bijak penjaga gol Tim Howard manakala tandukan Daniel Agger sedikit tersasar. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Nak jadi macam anak patung

Posted: 05 May 2013 09:17 AM PDT

Tokyo: Seorang wanita Jepun menjalani transformasi fizikal yang mengejutkan selepas menjalani 30 pembedahan kosmetik dengan kos 10 juta yen (RM306,368).

Wanita itu yang juga seorang model dikenali sebagai Vanilla Chamu berkata, dia berhasrat untuk menjalani pembedahan hingga mencapai matlamat yang diidamkan - seperti anak patung Perancis.


Foto Vanilla sebelum prosedur pertamanya mendedahkan wajah biasa remaja Jepun itu hampir tidak dapat dikenali berbanding penampilan ala wanita Barat yang dimilikinya sekarang. Sesetengah pembedahan plastik, termasuk pembedahan kelopak mata dan hidung semakin popular di kalangan wanita Asia yang ingin kelihatan seperti wanita Barat.

Vanilla tidak disangkal lagi telah menjalani rawatan itu, tetapi senarai panjang prosedur dijalani turut termasuk penyedutan lemak, implan bulu mata, pembentukan lekuk di dagu dan implan payudara, lapor BuzzFeed.


Bagaimanapun, penampilannya itu tidak mencukupi buat Vanilla dalam usahanya untuk menjadi anak patung Perancis hidup yang sempurna.


Malah, baru-baru ini dia menjalani implan pembesaran payudara dan prosedur seterusnya yang lebih ekstrim ialah dia bercadang untuk menjalani pembedahan menambah ketinggian.

Foto

FOTO menunjukkan wajah Vanilla ketika remaja (kiri) sebelum menjalani pembedahan pertamanya dan wajahnya kini (kanan).

Vanilla menjalani pembedahan plastik yang pertama ketika berusia 19 tahun dan merahsiakan usia sebenarnya. Dia sudah menjadi sebagai selebriti di tanah airnya, membuat penampilan di televisyen tidak terkira banyaknya dan melancarkan karier sebagai bintang pop.


Penampilan luar biasanya tidak diragukan membuatkan dia menyerlah di khalayak ramai, tetapi dia tidak memberikan banyak pandangan luar biasa mengenai bagaimana sepatutnya penampilan anak patung Perancis.

Anak patung Perancis juga dikenali sebagai anak patung porselin, anak patung biska atau anak patung China dan bermakna sebuah boneka dengan sebahagian atau sepenuhnya porselin biska.


Secara tradisional karakternya mempunyai penyelesaian kulit kusam yang realistik dan di ambang populariti antara 1860 dan 1900. Anak patung seperti itu kini adalah barangan koleksi antik dan bernilai beribu-ribu dolar. Dengan bibir yang muncung dan payudara palsu, Vanilla jelas tidak menyerupai permainan klasik kanak-kanak, tetapi tidak dinafikan dia adalah rekaan tersendiri dirinya.- Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/05

Mahgribi dicengkam skandal daging anjing

Posted: 05 May 2013 09:07 AM PDT

Rabat: Pihak berkuasa Maghribi melancarkan siasatan berhubung perdagangan daging anjing secara haram selepas 37 bangkai haiwan itu ditemui di dalam van seorang tukang sembelih.

Polis menemui bangkai berkenaan selepas menahannya di tengah Casablanca kerana kesalahan trafik. Pemandu itu memberitahu polis, dia bercadang menjual bangkai itu di restoran di kawasan kediaman penduduk miskin bandar itu, tempat daging anjing berkenaan biasanya dibuat sosej.


Memelihara anjing dan memakan dagingnya menjadi isu kontroversi di Maghribi, negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, sejak beberapa tahun lalu. Seorang pemilik restoran dipenjara enam tahun pada 2009 selepas didapati bersalah menyajikan daging anjing yang didakwanya daging lembu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/06
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved