Sabtu, 27 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Sebulan layan along di kelab

Posted: 26 Aug 2011 11:48 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya dah tak ada jalan, terpaksa buat pinjaman dengan along. Sekarang hutang dah RM15,000. Semua ini berlaku akibat kecewa dengan institusi perbankan," kata Syarifah Azliner Hajar Syed Khalid, 40.

Dia mendakwa permohonan untuk mendapat pinjaman skim mikro kewangan dengan beberapa institusi perbankan tidak diluluskan tanpa alasan munasabah manakala permohonan dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional yang dibuat pada 13 Julai lalu di Bandar Tasik Selatan, di sini, masih dalam status 'menunggu'.


Berikutan itu, dia yang mengusahakan pakej hantaran untuk perkahwinan kini dalam dilema apabila ramai pelanggan tetapnya mula melarikan diri berikutan gagal menyiapkan tempahan dalam tempoh ditetapkan.

"Malah, untuk dapatkan pinjaman along bukan mudah. Saya terpaksa layan mereka hampir sebulan di kelab malam.


"Jika tak permohonan saya tidak diluluskan. Untuk buat pinjaman dengan individu persendirian, lain pula ceritanya, saya diajak ke hotel," katanya yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dan beroperasi di rumahnya di Bandar Tun Razak, di sini.


Syarifah Azliner mengusahakan perniagaan itu sejak tiga tahun lalu. Dia mendakwa tidak mempunyai hutang tertunggak melainkan lewat membayar kad kredit dan kereta.

Dia mendakwa, pinjaman dengan along jalan terakhir yang mampu dilakukan selepas putus harapan terhadap institusi perbankan dan agensi berkaitan kerajaan kerana pelbagai kerenah birokrasi.


"Bermula dengan RM2,000, kemudian saya pinjam sedikit demi sedikit dan sekarang angkanya mencecah RM15,000 termasuk bunga.

"Saya tahu akibat membuat pinjaman dengan along, tapi dah terdesak. Di mana lagi mahu dapatkan wang untuk berniaga," katanya menambah hanya bidang perniagaan yang mampu dilakukan sejak 20 tahun lalu.


Syarifah Azliner berkata, dia berusaha mengikuti nasihat diberikan institusi perbankan bagi membolehkannya mendapatkan modal perniagaan.


"Pihak bank nasihatkan saya bayar cukai perniagaan dan saya pernah buat.


"Malah, saya juga menukar alamat dalam kad pengenalan, kononnya mudah untuk mendapatkan kepercayaan daripada pihak bank, tapi itu semua tidak betul," katanya.

Si cilik jual bunga pusara

Posted: 26 Aug 2011 11:45 AM PDT

KUALA LUMPUR: Syakira Wira, si kecil berusia lima tahun ini ringan tulang membantu neneknya, Wan Sakinah, 46, dan ibunya, Noryulaila Mohd Din, 30, berniaga bunga rampai untuk ditabur di atas pusara di hadapan pintu masuk tanah perkuburan Islam Jalan Ampang, dekat sini.

Mereka menjual bunga rampai dan air mawar yang masing-masing berharga RM2 dan RM3 dari awal Ramadan sehingga hari ketiga Syawal bermula jam 7 pagi hingga 2 petang.


Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat dua peniaga lain di pintu masuk tanah perkuburan itu yang turut menjual bunga rampai dan air mawar.

Menurut seorang peniaga di situ yang hanya hanya dikenali sebagai Liza, mereka berniaga setiap tahun dalam tempoh terbabit memandangkan pada masa itu ramai pengunjung yang akan menziarahi pusara.


"Awal puasa tidak ramai pengunjung dan kami hanya berniaga pada hujung minggu saja dari pagi sampai petang. Dua minggu terakhir puasa hingga awal Syawal memang ramai pengunjung," katanya ketika ditemui.


Nurul Amira, 12, dan Amri, 10, kakak dan abang kepada Syakira turut membantu nenek dan ibu mereka dengan mengambil upah membersihkan pusara.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Safiq uji nasib

Posted: 26 Aug 2011 10:48 AM PDT

KAPTEN skuad Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim bersedia untuk menguji nasib bersama Cardiff City apabila ditawar menjalani pemilihan bersama kelab Liga Kejuaraan itu selepas tamat kempen Piala Malaysia hujung Oktober ini.

Peluang itu hadir selepas pengerusi kelab The Bluebirds itu yang juga ahli perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee mengadakan perbincangan dengan Safiq semalam.


"Memang betul saya ditawarkan tempat untuk menjalani ujian pemilihan bersama Cardiff City. Saya sudah menyerahkan semua dokumen peribadi untuk urusan itu dan perbincangan lanjut akan diadakan selepas hari raya, minggu depan.

"Saya gembira dengan tawaran yang diberikan ini walaupun ia hanya ujian pemilihan. "Tawaran yang diberikan kelab ini juga membuktikan betapa aksi pemain tempatan juga sudah dipantau kelab luar.


"Saya berjanji akan memberikan yang terbaik, InsyaAllah saya harap akan berjaya di sana," kata pemain tengah skuad Liga Super, Selangor itu.


Usaha pemain berusia 24 tahun itu nampak lebih realistik memandangkan syarat untuk bermain dalam Liga Kejuaraan itu tidak begitu ketat berbanding beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Menurut Safiq yang mengetuai skuad Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF Disember lalu, jika pemilihan itu berjaya, dia akan ditawarkan kontrak oleh Cardiff City.


"Berdasarkan penerangan yang diberikan kepada saya, tak ada masalah untuk saya beraksi dalam divisyen satu (Liga Kejuaraan) berbanding Liga Perdana Inggeris yang mengenakan syarat hanya pemain dari negara ranking dunia 70 ke bawah dan memiliki sekurang-kurangnya 75 cap bersama skuad senior kebangsaan.

"Saya akan menjalani ujian pemilihan selama tiga minggu dan jika mereka berpuas hati dengan prestasi saya, mereka akan menawarkan kontrak ketika musim perpindahan pemain Januari tahun depan," kata Safiq yang turut menyatakan kemungkinan penyerang, Mohd Safee Sali turut mengikut jejak langkahnya.


Selain dianggap pemain berpengaruh di bahagian tengah, Safiq juga cukup terkenal sebagai pakar sepakan percuma. Antara gol menarik yang pasti dikenang penyokong Harimau Malaya adalah ketika dia menjaringkan gol menentang Liverpool pada perlawanan persahabatan Julai lalu.

Beng Hai ketepi Azlan

Posted: 26 Aug 2011 10:42 AM PDT

BEBERAPA tonggak utama termasuk Azlan Misron tidak tersenarai dalam skuad hoki negara beraksi di saingan Trofi Kejuaraan Asia pada 3 hingga 11 September di Ordos, China.

Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) memberi alasan kumpulan pemain yang diketepikan itu akan direhatkan tetapi bakal menjadi watak penting untuk dua saingan utama selepas ini.


Selain Azlan yang berdepan masalah kecederaan, beberapa pemain lain seperti Kevinder Singh umpamanya juga tidak tersenarai sementara Hafifihafiz Hanafi memohon untuk diketepikan selepas baru kehilangan bapanya awal Ramadan lalu.

Sebaliknya, ketiadaan beberapa tonggak utama itu memberi ruang kepada dua pemain dari skuad remaja, Mohd Fitri Saari serta Amir Farid Ahmad Fuzi untuk membuktikan kemampuan mereka selepas berjaya memikat hati jurulatih, Tai Beng Hai untuk di bawa ke Ordos.


Beng Hai pada sidang media pengumuman kumpulan 18 pemain ke Ordos oleh Timbalan Presiden PHM, Datuk Nur Azmi Ahmad semalam menegaskan, pemain yang diketepikan itu akan menjadi watak penting untuk Cabaran Juara-Juara 1 di Afrika Selatan hujung November serta pusingan kelayakan Sukan Olimpik awal tahun depan.


"Mungkin ada sesetengah pihak menganggap pemilihan pemain tidak adil, tetapi inilah barisan pemain terbaik yang kami ada untuk memikul tugas di China.

"Pemilihan pemain juga bergantung kepada objektif satu-satu kejohanan. Trofi Kejuaraan Asia tidak menawarkan mata untuk memperbaiki kedudukan ranking skuad negara dan lebih baik untuk kami memberi peluang kepada pemain muda," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Habuan’ selamat dua adik maksiat

Posted: 26 Aug 2011 01:13 PM PDT

JOHOR BAHRU: Demi menyelamatkan dua adik perempuannya daripada terus bergelumang dosa, seorang kakak menempuh pengalaman pahit apabila putus jari kelengkeng akibat ditetak teman lelaki seorang adiknya.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Hidayah itu berkata, selain putus jari kelengkeng, jari manisnya cedera dan kecacatan itu menyebabkan dia kehilangan pekerjaan sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

"Lebih memilukan majlis perkahwinan saya yang sepatutnya diadakan akhir Jun lalu turut dibatalkan. Itu 'habuan' yang saya terima dalam usaha menyelamatkan dua adik daripada kancah maksiat," katanya.

Menurutnya, insiden itu berlaku pada 24 Mei lalu di rumah sewa kedua-dua adik perempuannya, dikenali sebagai Aishah, 20 dan Ain, 16, di sebuah taman perumahan di sini dan mereka bersekedudukan dengan teman lelaki masing-masing.


"Kakak mana boleh bersabar dengan sikap mereka yang bukan saja tinggal bersekedudukan dengan lelaki bukan Islam itu sejak April lalu, malah teman lelaki seorang daripada adik saya juga terbabit penagihan dadah," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Putus kaki, tangan kiri

Posted: 26 Aug 2011 01:10 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki putus kaki dan tangan kirinya akibat ditetak dengan parang selepas diserang 10 lelaki bertopeng ketika menunggu hidangan di sebuah restoran di Taman Intan Baiduri, Kepong di sini, kelmarin.

Difahamkan, semua lelaki terbabit yang bersenjatakan parang dan kayu turut menyerang semua pelanggan di restoran berkenaan sebaik tiba di tempat kejadian.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, semua pelanggan dan pekerja restoran itu dapat melarikan diri kecuali mangsa yang terperangkap menyebabkan dia dipukul dan ditetak sebelum ditinggalkan berlumuran darah dan tidak bermaya.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa berusia 20 tahun sedang menunggu makanan dipesan sebelum tiba-tiba diserang 10 lelaki bertopeng bersenjatakan parang dan kayu.


"Semua penyerang menaiki dua kereta ke restoran itu. Sebaik turun dari kenderaan, mereka terus menyerang pelanggan yang berada di restoran berkenaan.

"Mangsa yang gagal melarikan diri dipukul dengan kayu dan ditetak tanpa belas kasihan," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Seronok sambut raya dua budaya

Posted: 26 Aug 2011 08:24 AM PDT

DENGAN pakej menarik yang dimiliki mereka, sepantas kilat nama Nur Fathia Abd Latiff (Fathia), 24, Syakila Nisha Jahangir Khan (Kilafairy), 19, berjaya menempa populariti dalam dunia hiburan yang disimbah glamor.

Jadi usah terkejut andai menyelak muka depan halaman hiburan arus perdana mahupun majalah ketika ini apabila wajah mereka mula terpampang di sana-sini sebagai penyeri.

Lalu RAP turut tergerak mempertemukan dua jelitawan ini untuk berkongsi cerita raya mereka sekalipun menyedari kesibukan jadual seni masing-masing.

Berdarah campuran, Fathia dilahirkan dalam keluarga berketurunan Arab sebelah ibu manakala ayah Kilafairy (Kila) pula keturunan Pakistan.


Memulakan perbualan, Fathia berkata, jika kebanyakan wanita Melayu menggayakan baju kurung di pagi raya, dia dan saudara-mara yang lain akan mengenakan jubah selain bertudung.


"Situasi sebegini dapat dilihat jika perayaan Aidilfitri itu disambut sebelah keluarga ibu Fathia kerana mereka berketurunan Arab. Tidak hanya pemakaian di pagi raya saja yang unik, tapi juga menu juadah Aidilfitri.

"Rendang dan ketupat masih ada, tapi ia bukan hidangan utama. Pagi raya menu yang terhidang biasanya makanan Arab seperti roti putar, bamya, nasi bukhari, kacang pool dan harisa.

"Harisa diperbuat daripada tepung kanji dan biji gandum, dibentuk menjadi bulat. Kemudian bahagian tengahnya yang separa berlubang diletakkan minyak dan sekelilingnya pula di tabur bawang serta lada. Manakala bamya, sejenis gulai yang sangat enak apabila dicicah dengan roti," kata bintang Stanza Cinta ini.

Mengakui bertuah dilahirkan dalam keluarga campuran, seperkara yang menarik setiap kali pulang beraya ke Ayer Itam dan Tanjung Bungah, Pulau Pinang, ada acara tari-menari Arab di kalangan saudara perempuan.

"Acara itu hanya membabitkan saudara-mara perempuan saja sementara lelaki tidak dibenarkan. Malah, ia diadakan ketika semua adik-beradik ibu berkumpul.

"Selepas memastikan tiada seorang pun orang lelaki berada di rumah, kami akan memasang lagu Arab kuat-kuat kemudian menari beramai-ramai. Jangan tak tahu, ibu, mak cik malah nenek pun akan menari sakan!" kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Ramah melayani segala pertanyaan, sambutan Aidilfitri kali ini juga dirasakan sedikit berbeza oleh mahasiswi jurusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini kerana buat pertama kalinya dia menyediakan duit raya untuk si kecil.

Jelas gadis bakal muncul dengan drama Cinta & Harapan itu, meski tidak memperuntukkan jumlah yang banyak, dia tetap mahu berkongsi rezeki hasil titik peluh sendiri dengan ahli keluarga dan saudara-mara.

"Tahun lalu saya masih mendapat duit raya. Duit raya yang kami peroleh ada kalanya boleh mencecah lebih RM1,000 kerana keluarga sebelah ibu dan bapa memang sangat ramai.

"Berbeza tahun ini, tiba giliran saya pula yang berbelanja. Walaupun masih bergelar pelajar dan masa yang sama bekerja sambilan sebagai pelakon, selayaknya status saya ini dianggap sudah bekerja," katanya.

Beralih pada cerita Kilafairy yang memiliki sepasang mata serta bibir yang seksi, sekian lama tidak menyambut Aidilfitri di sebelah ayahnya, tahun ini Terengganu menjadi destinasi pilihan mereka sekeluarga.

"Sebelum ini setiap tahun boleh dikatakan kami lebih banyak beraya di sebelah Mama (penyanyi Rohana Jalil) kerana di Terengganu sudah tiada lagi datuk dan nenek. Bagaimanapun tahun lalu, nenek sebelah Mama pula kembali ke rahmatullah, jadi kami memutuskan untuk beraya di Terengganu bersama keluarga serta saudara-mara sebelah ayah tahun ini.

"Bezanya perayaan di Johor dan Terengganu, Aidilfitri disambut agak unik oleh keluarga sebelah Papa Kila. Tidak ada lontong di pagi raya sebaliknya Roti Pakistan serta beberapa lagi makanan tradisional dari sana.

"Bagaimanapun ketupat, rendang dan lemang itu tetap ada. Sebelah malam pula, kami akan berkumpul di chalet kepunyaan milik keluarga Papa untuk mengadakan majlis BBQ (barbeku)," katanya.

Ada kisah menarik yang berlaku lima tahun lalu sewaktu beraya di Terengganu apabila dia bersama abang sepupu dan sepupu perempuan yang lain pergi memancing.

"Itu adalah perkara paling 'happening' pernah saya lakukan semasa menyambut hari raya. Saya sangat rindukan saat itu dan tidak sabar untuk meraikan
Aidilfitri lagi bersama mereka.
"Saudara-mara sebelah Papa, 'rock' sikit. Manakala sebelah Mama pula mereka lebih tertib dan mengikut jadual. Seronok dibesarkan dalam keluarga yang berbeza cara hidup dan budaya," katanya.

Tidak seperti Fathia, penuntut jurusan Pengurusan & Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles ini merasakan dirinya belum mampu memberikan duit raya kerana masih belajar.

Malah, tahun pertama menyambut Aidilfitri dengan gelaran selebriti juga tidak membawa sebarang perubahan dalam hidup Kilafairy kerana sudah terbiasa dengan keadaan ibunya yang menjadi perhatian masyarakat.

"Duit hasil lakonan Kila disaran Mama untuk disimpan bagi kegunaan masa depan. Papa cakap, selagi dia ada dan Kila masih belajar, Papa akan uruskan semuanya," kata pelakon filem Karak itu.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Nur Fathia Abd Latiff
LAHIR: 1 September 1987
ZODIAK: Virgo
ASAL: Ayer Hitam, Pulau Pinang
KELUARGA: Anak sulung daripada empat beradik
KERJAYA: Pelakon, model dan pelajar
CITA-CITA: Peguam, seniwati yang dihormati
DRAMA: Joe & Faridah, Nur Kasih, Dunia Batinku, Di Bawah Ketiak Isteri, Bila Musang Berjanggut, Laila Asyikin, Hani, Mek Kelate, Hani
FILEM: Al Hijab
IKLAN: Sunsilk, Nespray, Brylcream, Hotlink, Perodua, Panasonic

PROFIL

NAMA SEBENAR: Syakila Nisha Jangir Khan
ASAL: Kuala Lumpur
AKDEMIK: Jurusan Pengurusan & Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles, Kuala Lumpur.
KERJAYA: Penyanyi, pelakon, pelajar
KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
DRAMA: Hotel Mania, Alam Hitam, Pengasih Minyak Dagu, Darah Pontianak, Ayu Suraya
FILEM: Karak, Hore Hore

Aizat raih pulangan RM100,000

Posted: 26 Aug 2011 07:58 AM PDT

MESKIPUN Ramadan semakin hampir ke garis penghujung, masih banyak pihak rancak mengadakan majlis berbuka puasa bagi meraikan rakan perniagaan, pihak media, peminat serta golongan kurang bernasib baik.

Kesempatan bulan yang penuh keberkatan ini nyata digunakan sebaik mungkin bagi menjalinkan ikatan silaturahim sesama sendiri serta menggandakan pahala dengan bersedekah terhadap mereka yang memerlukan.

Inilah yang mendorong syarikat rakaman Dream Music menganjurkan majlis berbuka puasa bertemakan Aizat & Friends Up Close And Personal - Majlis Berbuka Puasa Dream Music anjuran Dream Music Sdn Bhd dengan kerjasama Dream Chorus Sdn Bhd serta Celcom Axiata Berhad di sebuah hotel, di ibu negara baru-baru ini.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran 20 pelanggan Celcom yang terpilih menerusi peraduan 'Download and Win Call Me Tones' yang dianjurkan dari 19 Julai sehingga 15 Ogos lalu di laman web Channel X.


Mereka memperoleh peluang ini apabila memuat turun nada dering pemanggil nyanyian Aizat dan artis-artis Dream Music iaitu Keena, Iqwal, Adzrin Azhar dan Yus Raja Lawak.


Turut hadir ialah Ketua Pengarah Urusan Dream Chorus, Datuk Mohd Fauzi Zakaria serta Ketua Pegawai Operasi, Data Lanjutan Celcom Axiata Berhad, Afizulazha Abdullah dan Naib Presiden Celcom Axiata Berhad, Mahsuri Sharkawi.

Biarpun sederhana, majlis berlangsung hangat dengan persembahan semua artis terbabit terutamanya Aizat yang menyanyikan barisan lagu-lagu popularnya antaranya Sungai Lui dan Lagu Kita.

Ditemui selepas itu, Aizat berkata, dia hadir ke majlis ini sebagai memberi sokongan terhadap Dream Music yang menjadi pengedar lagunya dalam bentuk digital untuk nada dering.

"Saya berterima kasih kepada peminat yang menyokong dengan membeli lagu saya menerusi cara ini. Sokongan yang diberikan buatkan saya gigih menghasilkan lagu yang terbaik dalam album akan datang," katanya yang kini sudah menghasilkan lagu terbaru untuk albumnya.

Aizat yang turut diberi kepercayaan menghasilkan lagu untuk Ella dan Yuna bertuah kerana menduduki tempat ketiga jualan lagu digital selepas Maher Zain yang berada di tempat pertama dan diikuti Dakmie.

Dia berjaya memperoleh pulangan sebanyak RM100,000 menerusi keseluruhan lagunya yang dibeli oleh peminat menerusi kempen yang diadakan dari Januari hingga Jun tahun ini.

Aizat yang baru pulang dari bercuti di Brisbane, Australia selama dua minggu kini sibuk dengan pelbagai perancangan dan antara yang bermain di fikirannya ialah mahu menaik taraf studionya, Kasi Gegar Studio di Ampang sebagai studio lengkap untuk merakamkan lagu.

"Saya dah bincang dengan abang saya, Anas untuk buat begini dan kami sudah senaraikan peralatan yang perlu dibeli. Kami perlu teliti, ambil kira semua aspek. Buat permulaan studio ini akan melalui proses ubah suai dengan kos RM10,000. Peralatan yang dipilih juga bersifat 'personal'. Kalau boleh saya nak jadikan studio ini seperti Abbey Road Studio, London.

"Saya nak reka studio ini supaya cantik. Anas dah buat kajian daripada pihak yang boleh melakukannya. Sasaran kami ada studio ini sebenarnya lebih untuk senangkan kerja. Saya bercadang nak lebihkan masa di studio. Kami juga sudah kenal pasti jurutera bunyi yang terbaik untuk kendalikan studio ini. Saya sasarkan bajet untuk buat studio ini tak lebih dari RM100,000 kerana ada banyak lagi cara untuk kurangkan kos," katanya yang meletakkan tempoh masa setahun bagi studio ini disiapkan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Pemberontak siap gempur Zuwarah

Posted: 26 Aug 2011 10:31 AM PDT

SABRATHA: Pemberontak semalam bersiap sedia untuk apa yang mereka jangka pertempuran sengit terakhir di barat Libya, memecahkan kepungan tentera Gaddafi di bandar Zuwarah dan membuka laluan Tripoli-Tunisia.

"Insya-Allah kami akan menamatkannya secepat mungkin," kata Anwar Elmeshri pemerintah pemberontak yang bertanggungjawab terhadap operasi itu.


Persiapan melancarkan serangan terhadap Zuwarah, sebuah bandar Berber yang terletak kira-kira 30 kilometer ke timur sempadan Tunisia di lakukan sejak Rabu lalu.

Mereka menawan bandar itu hujung minggu lalu tetapi kini dikepung oleh tentera yang setia kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.


Jika berjaya, kumpulan itu berada dalam kedudukan baik untuk melancarkan serangan terhadap pos sempadan Ras Jdir yang masih dikuasai tentera Gaddafi dan juga menjadi laluan untuk membolehkan bekas pemimpin itu meninggalkan Libya.


Ketika ini, Zuwarah masih berada dalam jarak serangan roket dari kubu Gaddafi lain, Zeltyen di barat, Al-Jamil di selatan dan Al-Ajilat di barat daya. Jalan raya sejauh 40 kilometer yang menghubungkan Zuwarah dengan Sabratha di timur juga masih tidak selamat sepenuhnya.

"Pejuang di Zuwarah merayu rakan mereka di Zintan dan wilayah lain supaya menghantar pasukan tambahan," kata Abdu Salem, penyelaras tentera pemberontak di Zintan, bandar di tenggara Zuwarah.


Pemerintah pemberontak di Sabratha, Bilal Mansur berkata, pasukan tambahan sudah bersiap sedia untuk melancarkan serangan terhadap tentera Gaddafi tetapi jumlahnya masih terhad kerana ramai pejuang berada di Tripoli dalam usaha menamatkan tentangan daripada penyokong pemimpin itu.

Dalam pada itu, hospital di Zawiyah dilapor turut bersiap sedia untuk menerima mangsa peperangan yang cedera apabila pertempuran bermula, kata Abdullatef Gadi, anggota majlis tempatan yang ditubuhkan selepas bandar yang terletak 60 kilometer ke timur Zuwarah itu di bebaskan Sabtu lalu.


Seorang penduduk, Ali Mussa berkata, penduduk Zuwarah kini menanti ketibaan pasukan tambahan. Zuwarah bertukar tangan lebih daripada sekali sejak pemberontakan bermula pertengahan Februari lalu.


Ia antara bandar pertama yang bangkit menentang Gaddafi apabila pemberontakan bermula dan dijangka yang terakhir 'dibebaskan.' - AFP

Tentera kerajaan dituduh rogol kanak-kanak

Posted: 26 Aug 2011 09:36 AM PDT

LONDON: Tentera penyokong kerajaan Libya didakwa merogol kanak-kanak, manakala pemberontak menjadikan pekerja warga asing sebagai tahanan, lapor Amnesty International (AI) semalam.

Menggesa kedua-dua pihak menghormati hak asasi tahanan, AI berkata, delegasinya menemui bukti budak lelaki dalam tahanan di Penjara Abu Salim dibawa keluar dari sel mereka untuk diliwat.


Seorang bekas tahanan berkata, ada antara mangsa liwat itu dibawa dalam keadaan longlai dengan pakaian koyak dan hampir berbogel.

"Ada dua budak mengadu dia dirogol berkali-kali," katanya.


AI berkata, pemberontak juga melakukan salah laku dan mempunyai bukti terhadap penganiayaan di bandar Zawiyah.


"Pegawai tahanan Zawiyah berkata, satu pertiga penghuni penjara itu adalah 'tentera asing', termasuk dari Chad, Niger dan Sudan.

"Bagaimanapun, wakil AI diberitahu tahanan, mereka adalah pekerja asing," katanya.


Beberapa tahanan pula mendakwa, mereka ditahan semata-mata kerana berbeza warna kulit dan diancam untuk dibunuh. - AFP

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved