Isnin, 3 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Darah O tapi diberi darah B

Posted: 02 Oct 2011 11:16 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang baru melahirkan anak ketiganya mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada kecuaian kakitangan hospital yang tersilap memasukkan darah jenis berlainan ke tubuhnya.

Kejadian itu berlaku 22 September lalu dan Faridah Abd Aziz, 34, yang juga pegawai bank kini terpaksa menjalani rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas beberapa hari terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.


Suaminya, Ku Nazri Ku Yaakob, 34, mendakwa petugas hospital berkenaan memasukkan darah jenis B ke tubuh isterinya yang mempunyai darah jenis O dan kesilapan itu boleh mengundang maut.

"Ketika kejadian, isteri saya baru melahirkan anak ketiga kami secara pembedahan, jadi dia kekurangan darah dan memerlukan doktor memasukkan darah ke dalam tubuhnya," katanya yang ditemui di Balai Berita di sini, semalam.


Ku Nazri berkata, isterinya terpaksa menjalani rawatan susulan dan terlantar sakit di HKL serta diberitahu akan dibenarkan pulang dalam tempoh dua minggu lagi.


Katanya, kejadian itu memberi kesan emosi yang teruk terhadap mereka sekeluarga, malah anak ketiganya itu tidak dapat diberikan susu ibu.

"Saya mengambil cuti sejak 10 hari lalu untuk menjaga isteri di hospital dan membawa ibu berusia 74 tahun dari kampung di Jitra, Kedah, untuk menjaga bayi kami," katanya.


Katanya, pihak pengurusan hospital sudah memanggilnya dan mengakui kesilapan mereka yang cuai terhadap pesakit, malah satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian terbabit.

Susulan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang 23 September lalu dan Kementerian Kesihatan Malaysia.


"Saya sudah memanjangkan perkara ini kepada pihak berkuasa, namun sehingga kini saya tidak dihubungi bagi mendapatkan penjelasan perkembangan semasa kes isteri saya," katanya.


Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit dan memberi maklum balas dalam masa terdekat.

Tak setuju berniaga hanya pada Sabtu

Posted: 02 Oct 2011 11:13 AM PDT

KUALA LUMPUR: Tegang. Itu suasana yang berlaku ketika perbincangan antara Persatuan Peniaga KL 1Malaysia Kuala Lumpur dan wakil Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) berhubung isu pemindahan tapak perniagaan Program KL Family Fair di lot 152 ke lot 45 di Matic, Jalan Ampang, dekat sini.

Peniaga mendakwa, lokasi baru itu menyebabkan mereka rugi kerana hanya dibenarkan berniaga setiap Sabtu berbanding lokasi lama iaitu enam hari seminggu, sekali gus enggan berpindah ke lot 45.


Presiden Persatuan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah, berkata persatuan akan berbincang perkara itu dengan pihak berkenaan untuk meminta lokasi program ditetapkan di lot 152.

"Sepanjang sesi perbincangan, kami dapati isu ini berlaku disebabkan salah faham dengan peniaga tidak mendapat penjelasan tepat mengenai syarat program.


"Bagaimanapun, persatuan akan berbincang dengan pihak berkenaan dan cuba menyelesaikan perkara ini dalam tempoh dua minggu," katanya pada sidang media berkaitan isu terbabit, kelmarin.


Katanya yang juga selaku wakil peniaga, sepanjang tempoh itu, pihaknya meminta Matic membenarkan peniaga meneruskan perniagaan seperti biasa sehingga kata putus diambil.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Rashidi Hasbullah.


Sementara itu, Rashidi mendakwa, pihaknya sudah menggariskan syarat program dalam mesyuarat pada 31 Mac lalu antara Matic dan 50 peniaga dengan menyatakan program terbabit bersifat sementara dan lot 152 ialah lokasi percubaan. Namun, dipercayai ada segelintir peniaga yang tidak mendapat maklumat itu dengan jelas.

"Kementerian mendapati lokasi percubaan selama tiga minggu itu tidak berjaya. Oleh itu, peniaga yang masih berminat untuk berniaga di lot 45 boleh terus berbuat demikian.


"Walaupun ruang di lot 45 hanya memuatkan 30 khemah dan jumlah peniaga 43 orang keseluruhan, mereka tetap dibenarkan untuk menjual barangan dengan konsep 'jualan but kereta'," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Semua harta disita

Posted: 02 Oct 2011 12:26 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10 tahun lalu, dia layak dilabelkan usahawan bertaraf jutawan kerana mampu memiliki kilang sendiri, namun kini yang tinggal pada dirinya hanya air mata selepas diisytiharkan muflis akibat muslihat suami.

Wanita itu pada mulanya menjadi penjamin suami yang membuat pinjaman bank berjumlah hampir RM5 juta, tetapi disebabkan suaminya gagal menjelaskan hutang, dia menjadi buruan institusi kewangan sehingga semua hartanya disita selepas diisytiharkan muflis.

Ketika hidupnya terumbang-ambing, dia diceraikan hanya dengan SMS dan pada masa sama bekas suaminya membina hidup baru dengan membuka perniagaan serta akan berkahwin lain.

Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Sofia, 40, berkata sepanjang 20 tahun usia perkahwinan mereka, dia jarang merasai kebahagiaan kerana bekas suaminya yang berusia 50-an itu sering menjadikan dirinya tempat melepaskan marah.


"Saya kerap menjadi mangsa maki hamun dan dipukul suami yang panas baran, namun saya bersabar serta tetap bekerja keras membaiki taraf hidup dan membesarkan anak-anak.


"Walaupun suami saya itu seorang yang pemarah, namun dari sudut keusahawanan dia memiliki jaringan perniagaan yang luas sehingga kami berdua mampu membina karier serta memiliki kilang sendiri," katanya

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

‘Terkejut nampak muka bayi’

Posted: 02 Oct 2011 12:21 PM PDT

KOTA BHARU: Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat bukan saja dihumban ke dalam perigi sedalam lima meter, malah disumbat di dalam beg sebelum ditemui di kawasan kebun getah, Kampung Belimbing dekat Limbat, di sini, pagi semalam.

Mayat bayi yang dipercayai dilahirkan beberapa hari lalu ditemui pada jam 8 pagi oleh seorang penoreh getah, Tuan Mat Tuan Lunik, 64, sebelum dia menghubungi polis.


Menurut Tuan Mat, dia dan isterinya, Siti Fatimah Awang, 60, seperti biasa mahu memulakan kerja menoreh getah di kebun mereka.

Katanya, ketika mahu mengambil air di sebuah perigi , dia ternampak sebuah beg sebelum menaikkan beg itu menggunakan galah.


"Saya buka beg itu sedikit dan terkejut apabila ternampak muka bayi. Saya terus memaklumkan kepada penghulu kampung, Zakaria Awang Teh sebelum menghubungi polis," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis tiba di tempat kejadian pada jam 10 pagi dan bayi itu dipercayai dilahirkan antara dua hingga tiga hari lalu.

Katanya, polis turut menemui sebuah bungkusan berisi pakaian dalam wanita dan kain tuala dipenuhi darah yang ditinggalkan kira-kira 20 meter dari perigi berkenaan.


"Mayat bayi ditemui cukup sifat itu dicampak ke dalam perigi. Kita sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurut Jalaluddin, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi polis dengan segera bagi membantu siasatan," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Woon-Vivian setaraf elit

Posted: 02 Oct 2011 11:58 AM PDT

SELEPAS hanya lima bulan disatukan semula, beregu kedua wanita negara Woon Khe Wei-Vivian Hoo meraih gelaran pertama di pentas senior apabila menjuarai GP Emas Terbuka Indonesia di Kalimantan semalam.

Kemenangan itu bagaimanapun bukanlah petanda bahawa mereka sudah boleh mendabik dada sebaliknya terus belajar bagaimana untuk menjadi gandingan lebih baik dengan prestasi konsisten untuk menerobos kelompok elit dunia yang kini di kuasai China.


"Walaupun menang di sini banyak lagi yang kami perlu tingkatkan. Kami tidak akan terlalu gembira kerana gandingan yang kami atasi bukanlah yang terkuat," kata Vivian ketika dihubungi di Kalimantan.

Pada final semalam, Khe Wei-Vivian menewaskan pasangan China, Yixin Bao-Zhong Qianxin 19-21, 21-19, 21-18 dalam masa satu jam 15 minit.


Hasil kemenangan itu Khe Wei-Vivian membawa pulang hadiah wang tunai RM30,241 (AS$9,480).


"Saya dan Khe Wei amat gembira akhirnya kami muncul juara. Inilah impian kami dan di sinilah bermulanya langkah kami untuk masa depan." Gandingan yang dipisahkan selepas Kejohanan Badminton Asia (ABC) tahun lalu itu hanya disatukan semula selepas Kejohanan ABC Tahun ini April lalu. Malah mereka mempamerkan aksi memberangsangkan ketika kali pertama menyertai GP Emas Terbuka Thailand Julai lalu apabila ke separuh akhir sebelum tunduk kepada gandingan China Cheng Shu-Yixin Bao.

Sebelum muncul juara di Indonesia, gandingan ini pernah ke final Kejohanan ABC 2010 apabila mereka ke final tetapi ditewaskan satu lagi pasangan China, Pan Pan-Tian Qian.


"Saya harap kami mampu konsisten dengan melangkah sekurang-kurangnya ke separuh akhir di setiap kejohanan yang disertai.

"Kemenangan di sini menjadi penyuntik semangat untuk menjadikan kami gandingan yang lebih baik dan saya berharap dengan mendapat jurulatih baru Rexy Mainaky akan melengkapkan kami sebagai beregu yang baik," kata Vivian.


Sementara jurulatih beregu, Chong Kien Ling yang mengiringi pemain ke Kalimantan, amat gembira dengan prestasi Khe Wei, 22, dan Vivian, 21, yang dianggapnya konsisten di sepanjang kejohanan.


"Saya puas hati dengan permainan mereka. Mereka keluarkan sepenuhnya tenaga dan pengalaman yang ada untuk memenangi perlawanan hari ini malah mereka melakukan perkara sama di sepanjang kejohanan," kata Kien Ling.


"Gandingan China ini bukanlah yang terkuat tetapi kelebihan milik mereka berbanding pemain negara dengan corak serangan yang mantap dan memiliki kepantasan.


"Namun Khe Wei-Vivian mengikut arahan supaya bersabar dengan mengajak lawan bermain rali untuk mendapatkan mata." Khe Wei-Vivian seharusnya lebih awal mengesahkan kemenangan tetapi kegopohan mahu menamatkan perlawanan lebih awal di set pertama ketika mendahului 17-12 mengundang padah membolehkan Bao-Qianxin meraih mata dan memenangi set itu dengan kesilapan sendiri.


Sebelum mengatasi pilihan kelapan, Bao-Qianxin, Khe Wei-Vivian menundukkan pilihan keenam juga dari China, Cheng Shu-Pan Pan di suku akhir.

Bukan pemain negara

Posted: 02 Oct 2011 11:51 AM PDT

PERSEKUTUAN Hoki Malaysia (PHM) mengesahkan dua pemain yang gagal dalam ujian doping ketika beraksi di saingan Liga Hoki Malaysia bukan pemain skuad negara dan kedua-duanya meminta untuk menjalani ujian sampel B bagi mengesahkan keputusan berkenaan.

Setiausaha PHM, Maninderjit Singh menerusi satu kenyataan berkata, selepas keputusan sampel B diketahui, barulah Jawatankuasa Pengurusan Keputusan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan membuat keputusan mengenainya sebelum Jawatankuasa Disiplin dan Pengurusan PHM mengesahkan keputusan itu.


"Berikutan ujian sampel B yang diminta oleh atlet berkenaan melalui Pengurus Pasukan mereka, nama kedua-duanya tidak boleh didedahkan sehingga perkara atau keputusan itu disahkan. Bagaimanapun, kedua-dua pemain yang diuji, positif berdasarkan ujian sampel A.

"Ketika ini, apa saja kenyataan yang dikeluarkan oleh PHM mestilah adil dan tidak berat sebelah. Untuk itu PHM akan membuat pengumuman rasmi selepas segala prosedur sudah dijalankan," katanya.


Semalam satu laporan akhbar menyatakan dua pemain yang beraksi untuk kelab Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di saingan Liga Hoki Malaysia digantung oleh pengurusan pasukan selepas didapati gagal dalam ujian doping.


Difahamkan, pengurusan pasukan diberitahu mengenai keputusan ujian itu oleh PHM pada 27 September lalu dan kedua-duanya didapati positif ujian itu selepas perlawanan antara UniKL dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 18 September lalu.

Sementara itu, pada perlawanan semalam, UniKL berjaya mengikat Nur Insafi 3-3 pada satu perlawanan sengit yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.


Gol-gol UniKL disumbang oleh Muhamad Izad Hakimi Jamaluddin pada minit ke-35 menerusi jaringan padang, Muhamad Ramadan Rosli (m-43) serta Muhammad Noor Faeez Ibrahim pada minit ke-45.

Jurulatih UniKL, K Enbaraj menyatakan, meskipun pasukannya sedang berdepan masalah membabitkan dua pemainnya, namun secara keseluruhan ia tidak menjejaskan aksi anak buahnya dan ia dibuktikan pada perlawanan semalam.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved