Jumaat, 4 Januari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Keunikan kebaya, kurung Riau kain kapas

Posted: 04 Jan 2013 07:45 AM PST

JIKA dulu pakaian tradisi hanya digayakan pada musim perayaan tetapi kini dengan rekaan serta perincian moden, busana yang memiliki nilai estetika ini boleh digayakan sama ada ke majlis rasmi atau kasual.

Ini kerana sifat busana itu sendiri terutama dari segi potongan yang dipermodenkan seperti tambahan perincian manik pada bahagian tertentu menjadikannya tampak anggun dan hebat apabila dipakai.

Ini boleh dilihat menerusi potongan kebaya dan kurung Riau pada fabrik kapas dan songket menjadikannya tampil eksklusif dan ada kelas tersendiri.

Menurut pemilik Zaida's Collection, Zaida Abdul Aziz, kini wanita bukan saja mencari busana untuk pakaian pada musim perayaan tetapi boleh disarungkan ke tempat kerja.


Ia harus memiliki ciri sederhana, selesa dipakai serta tidak terlalu sarat dengan manik dan batu permata. Bagi menjanjikan keselesaan kepada si pemakai, pemilihan fabrik kapas sangat sesuai kerana tidak terlalu lembut dan beralun seperti sutera dan satin.


"Jadi apabila dipakai ia tampak selesa dan terletak cantik pada tubuh si pemakai. Lebih istimewa padanan ini menampakkan ciri eksklusif kerana corak ditampilkan tidak terlalu mewah dan nampak unik," jelasnya.

Menurut Zaida, apa yang menjadikan helaian tampil istimewa ialah potongan yang berbeza berbanding baju kurung biasa. Baju kurung Riau memiliki pesak kembang yang disambung pada kekek gantung. Namun tidak semua baju kurung sesuai dengan pesak dan kekek jenis berkenaan kerana ia hanya sesuai untuk baju kurung Riau.

Selain itu, bagi penggemar baju kurung, Zaida's Collection menyediakan padanan kurung moden dengan tambahan ropol pada bahagian bawah baju dan hujung lengan. Ini menjadikan setiap helaian tampil comel dan berbeza berbanding baju kurung sedia ada di pasaran.

"Setiap padanan didatangkan dalam pelbagai warna dan corak. Baju kurung ini menjadi kegemaran pelanggan kerana sesuai dipakai ke pejabat serta menghadiri majlis perayaan," katanya.

Kebanyakan busana didatangkan dalam rona ceria dan terang seperti hijau, merah, biru dan kuning yang sentiasa diminati. Malah gabungan padanan panel corak abstrak serta bunga-bungaan ternyata menjadi tumpuan ramai serta pilihan sepanjang zaman.

"Untuk lebih bergaya, pakaian bercorak dihiasi manik serta sulaman menjadikan rekaan anggun digayakan bersama selendang manakala wanita bertudung boleh memilih selendang polos atau tudung bersengkuap untuk tampil eksklusif," katanya.

Pada 2013 ini, ramai yang masih menggemari rekaan baju kurung ringkas serta berwarna-warni. Selain itu Zaida's Collection turut menampilkan baju kurung waka-waka dengan sedikit kembang pada bahagian bawah. Potongan sebegini sebagai memenuhi cita rasa wanita berbadan besar namun mereka yang langsing juga anggun menggayakannya.

Setiap padanan boleh didapati pada harga RM329 ke bawah. Selain baju kurung Riau, moden dan waka-waka, jenama terbabit menyediakan selendang, tudung sedia dipakai, baju kanak-kanak, baju Melayu serta kasual tanpa mengira peringkat usia.

Selain cawangan di Bangi Utama Shopping Complex (Warta) Bandar Baru Bangi, Zaida's Collection juga boleh didapati di Tesco Seremban 2 serta rangkaian terbesar di Seri Bangi.

Terima kasih:

  • Butik Zaida's Collection
  • No 23A & 25 Jalan 8/35 Taman Seri Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04



  • Beg tangan elegan

    Posted: 04 Jan 2013 06:59 AM PST

    DEK pentingnya beg tangan dalam kehidupan wanita, aksesori ini berkembang dalam pelbagai cara.

    Label Inggeris, Anya Hindmarch antara jenama popular apabila dikaitkan dengan beg tangan dan biarpun berstatus mewah, jenama ini terus jadi pilihan bagi wanita yang ingin tampil elegan tanpa perlu berhias secara keterlaluan.

    Gaya minimalis sememangnya sinonim dengan jenama ini dan Anya sendiri selaku pengasasnya amat mementingkan kesederhanaan serta praktikal di samping mencerminkan keanggunan seseorang wanita.

    Unsur ini banyak ditekankan dalam hampir setiap musim di mana beg tangan rekaannya dihiasi perincian unik, selain dilengkapi ruang kecil khas bagi memudahkan pengisian barangan.


    Memetik kata-katanya ketika berkunjung ke ibu kota, baru-baru ini, Anya menegaskan, pengisian barangan yang teratur penting agar dapat memudahkan urusan harian.


    "Saya sentiasa cerewet ketika menyusun barang di dalam beg tangan dan saya rasa ramai wanita mengalami perkara sama.

    "Saya percaya beg tangan yang baik perlu ada ruangan khas untuk menyimpan alat solekan, telefon bimbit, kad dan seumpamanya. Ia bukan saja tampak teratur, tapi mudah mencarinya apabila diperlukan.

    "Justeru, saya sentiasa cipta rekaan yang memberi kepuasan pada diri sendiri dan berharap wanita lain dapat manfaat daripada apa yang saya hasilkan," katanya.

    Ketelitian dan kecenderungan Anya nyata diterjemahkan dengan baik dalam tiga rekaan edisi terhadnya sempena meraikan ulang tahun ke-25 Parkson, bulan lalu.

    Anya menzahirkan aspek praktikal dan minimalis pada koleksi Anya Hindmarch - Ostrich yang dibuat daripada kulit burung unta.

    Dengan pilihan warna seperti merah, hijau dan perang, beg tangan istimewa ini turut disertai mesej peribadi daripada Anya yang dijahit di ruangan dalamannya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Hanya sempat selamat ubat ibu

    Posted: 03 Jan 2013 01:27 PM PST

    AMPANG: "Hanya sempat selamat ubat mak," kata Kamariah Karim, 50, selepas rumah diduduki ibunya yang uzur, Zabedah Puteh, 76, hangus terbakar dalam kejadian di Jalan Raya 8, di Kampung Pandan Dalam, di sini, malam kelmarin.

    Menurutnya, kebakaran itu disedari jam 8.40 malam selepas mendengar jeritan jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar.


    Katanya, ketika itu, dia bersolat Isyak manakala ibunya makan malam.

    "Ketika kejadian, adik lelaki saya hanya sempat mengambil ubat kencing manis dan darah tinggi ibu kerana api marak begitu cepat.


    "Bagaimanapun, saya bersyukur kami selamat dan tidak mengalami kecederaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


    Menurut Eksekutif Editor Foto The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Johari Embi yang juga menantu Zabedah, dia menerima panggilan mengenai kejadian jam 9 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian dari pejabat di Bangsar.

    "Ibu mentua saya tinggal di rumah berkenaan sejak lebih 50 tahun lalu bersama adik ipar, Khalid Karim, 47 tahun.


    "Terlalu banyak kenangan di rumah berkenaan, namun kami reda dan bersyukur mereka semua terselamat," katanya.

    Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Mazlan Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran dua rumah berkenaan jam 8.53 malam dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.


    "Sebanyak tujuh jentera termasuk dua 'water tanker' daripada lima balai bomba dikejarkan ke tempat kejadian.


    "Kami menghadapi kesukaran memadam api akibat tekanan air yang sangat rendah di kawasan berkenaan, namun api berjaya dikawal jam 11.19 malam sebelum dipadam sepenuhnya lima minit kemudian," katanya.


    Menurutnya, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Warga Amerika belum serik

    Posted: 03 Jan 2013 09:04 AM PST

    RICHMOND: Beratus-ratus orang peminat berkumpul di pameran senjata api di Virginia, hanya beberapa minggu selepas 27 orang maut dalam keganasan di sebuah sekolah di Connecticut.

    Ketika gesaan orang ramai supaya pemilikan senjata api seperti yang digunakan dalam tragedi itu dikekang, peniaga berkumpul untuk menjual produk mereka di Chantilly, Virginia, hujung minggu lalu.


    Media melaporkan, kadar jualan senjata api di pameran itu turut mencatat rekod tertinggi.

    Seorang pengedar senjata api memberitahu, syarikatnya menjual lebih 10 pucuk raifal AS-15 seperti digunakan Adam Lanza ketika menembak mati 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa sebelum dia membunuh diri pada 14 Disember lalu.


    Katanya, jualan itu dibuat hanya dalam tempoh sejam.


    "Kadar jualan itu memang luar biasa," katanya. Dalam tragedi bulan lalu, Lanza, 20, menembak mati ibunya di rumah mereka sebelum menyerang Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut, dan melepaskan tembakan rambang.

    Selain AS-15, Lanza turut membawa beberapa pucuk senjata api lain.


    Pertunjukan Senjata Api Kebangsaan diadakan di Pusat Ekspo Dulles itu turut menjual peluru, raifal, senjata separa automatik serta mesingan. Beberapa jurujual berkata, semua simpanan mereka untuk pameran itu habis dijual dalam tempoh beberapa jam saja.

    Antara senjata paling popular, kata seorang jurujual, ialah raifal separa automatik dan magazin peluru 30 butir.


    "Secara purata, 1.8 senjata api dijual dalam tempoh seminit," katanya.


    Pengunjung pula sanggup berbaris berjam-jam untuk menjadi pengunjung pertama pameran berkenaan.


    Sementara itu, peminat berkata, permintaan tinggi itu didorong kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan undang-undang baru diperkenalkan bagi mengharamkan pengeluar menghasilkan senjata api berkeupayaan tinggi seperti diguna Lanza. Seorang daripada mereka, Aaron Sizemore, berkata peminat senjata api mahu mendapatkan senjata yang diidamkan sekian lama kerana mungkin ia sukar diperoleh pada masa depan.


    "Kami juga mungkin terpaksa mengeluarkan lebih perbelanjaan untuk mendapatkannya nanti," katanya. Harga minimum untuk sepucuk raifal AR-15 ialah RM2,200.


    Lebih menggerunkan, remaja dan kanak-kanak juga dibenarkan memasuki pameran berkenaan dan kebanyakan pengunjung turut menandatangani petisyen membantah sebarang langkah pengawalan senjata api. - DM

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04



    Rebecca mahu lelong dara untuk bantu rawat ibu uzur

    Posted: 03 Jan 2013 09:01 AM PST

    BRASILIA: Seorang remaja Brazil mahu melelong daranya supaya wang yang diperoleh itu dapat membantu merawat ibunya yang uzur.

    Menurut media tempatan, Rebecca Bernardo, 18, sedia mengorbankan daranya untuk mengadakan hubungan seks dengan mana-mana lelaki yang menawarkan bidaan tertinggi. Kini menuntut di sekolah menengah, Rebecca berkata, dia mendapat idea menjual kehormatan dirinya selepas membaca kisah Catarina Migliorini sebelum ini. Catarina menerima bayaran RM2.5 juta kerana menjual daranya akhir November tahun lalu. Sejurus selepas menawarkan daranya, Catarina mendapat bidaan daripada lelaki seluruh dunia.


    Justeru, Rebecca berkata, dia berharap keadaan sama berlaku terhadap dirinya. "Wang yang diperoleh nanti akan digunakan merawat ibu saya yang terlantar akibat strok," katanya.

    Sebelum ini, kata Rebecca, dia cuba menjual barangan kosmetik dan menjadi pelayan tetapi wang diperolehnya tidak mencukupi. Sementara itu, jiran Rebecca berkata, gadis terbabit tidak pernah tahu siapa bapanya.


    Kata mereka, kakak Rebecca pula mati tahun lalu.


    "Tiada sesiapa lagi yang boleh membantu kerana Rebecca tinggal bersama ibunya di rumah.

    "Strok menyebabkan ibu Rebecca cuma mampu terbaring.


    "Bagi kami, tindakan Rebecca itu boleh dianggap sebagai pilihan terakhir dia untuk membantu ibunya," katanya. Setakat ini bidaan tertinggi untuk dara Rebecca ialah RM170,000. - TS

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Terharu sokongan peminat di Malaysia

    Posted: 03 Jan 2013 06:56 AM PST

    KUNJUNGAN mereka ke Kuala Lumpur, baru-baru ini saat berita perang twitter antara Julia Perez dan Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi sedang begitu hangat.

    Perang yang berlaku di laman sosial popular itu tercetus apabila Julia atau terkenal dengan panggilan Jupe yang juga bintang kelahiran Indonesia itu dikatakan mengkritik kualiti drama Malaysia.

    Justeru, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai The Titans sempat diminta memberikan komen berhubung tindakan Jupe yang juga rakan artis senegara mereka.

    "Jupe memang terkenal dengan hal yang boleh menimbulkan sensasi. Bagaimanapun, kami tidak boleh memberikan komen lanjut kerana luahan yang dilakukannya adalah menerusi akaun twitter peribadinya.


    "Bagaimanapun, adalah lebih baik sama ada selebriti Indonesia mahupun Malaysia tidak menyentuh isu berkaitan negara kerana hakikatnya kita saling memerlukan. Sebagaimana difahamkan, Jupe menulis komen itu ketika berada di Malaysia dan sedang menjalani penggambaran untuk produksi negara ini.


    "Seharusnya hal ini tidak berlaku. Apapun, kami enggan terbabit dalam hal politik antara Malaysia dan Indonesia yang pernah diperkatakan sebelum ini kerana muzik bagi kami adalah universal.

    "Kami adalah pemuzik dan kami hanya bikin muzik yang mampu buat orang suka. Kami juga bukan orang politik. Kami juga punya ramai pengikut di sini iaitu Titaniums yang menyokong karier kami sejak album pertama hinggalah yang keempat ini.

    "Kami amat menghargai sokongan peminat di sini dan lebih membuatkan kami terharu, selepas album keempat barulah kami berpeluang melancarkan album di sini, Kirana yang akan diedarkan Tropic.

    "Justeru, kami enggan terbabit dalam sebarang hal politik membabitkan kedua-dua negara sebaliknya mahu menjalinkan hubungan yang baik dengan pemuzik, pihak media dan masyarakat di negara ini," kata Andika selaku pemain keyboards dan juga bekas anggota kumpulan Peterpan.

    Selain Andika, Indra (bes) juga adalah bekas anggota kumpulan Peterpan yang kini dikenali sebagai Noah. Kedua-duanya meninggalkan Peterpan dan menubuhkan The Titans kerana pendirian muzik mereka tidak lagi sehala dengan Peterpan.

    Apa yang menarik, The Titans yang turut dianggotai Rizki (vokal), Tomtom (dram), Oni (gitar) dan Imot (programming/synthesizer) adalah bekas ahli daripada kumpulan yang berbeza-beza namun menemukan keserasian bersama The Titans.

    "Kita semua tidak meninggalkan kumpulan masing-masing dalam keadaan bermusuhan, sebaliknya secara baik. Baru-baru inipun saya bersama Indra diundang untuk membuat konsert 'reunion' bersama kumpulan Peterpan.

    "Berbalik kepada The Titans, ia adalah tempat kami berkarya dan menghasilkan muzik yang kami inginkan. Memang pada mulanya sukar untuk mencari keserasian namun apabila sering membuat persembahan dan tanpa sedar kami sudah menghasilkan album keempat, sekali gus kami sudah kukuh sebagai kumpulan," katanya.

    Biar sehebat manapun kumpulan ini, satu masalah yang sering menghimpit mereka apabila dibayangi muzik Peterpan gara-gara dua bekas ahli kumpulannya berada dalam The Titans. Tidak cukup dengan Rizki selaku vokalis The Titans yang juga memiliki iras wajah Ariel Peterpan.

    "Sewaktu The Titans mencari vokalis, mereka mencari yang mirip Ariel (berseloroh). Namun pada sesiapa pernah melihat persembahan saya, mereka akan melihat banyak perbezaan. Ariel suaranya halus sedikit sedangkan saya lebih kasar.

    "Muzik kita juga berbeza daripada Peterpan mahupun Noah kerana lagu-lagu kita padat dengan bunyian elektrik," kata Rizki.

    Bercerita mengenai album keempat mereka berjudul Kirana, ia mengandungi 10 lagu dengan komposisi 7 lagu baru dan 3 lagu yang pernah dikenali sebelum ini.

    Tujuh lagu baru adalah Senyummu, Hingga Akhir Hidupku, Aku Lelaki, Berjanjilah, Lupakan Aku, Cinta Seutuhnya dan Dirimu.

    Mengenai pilihan judul album, Imot menjelaskan, Kirana ertinya seberkas cahaya yang cantik.

    "Jadi semoga album kita juga boleh bercahaya di tengah kesuraman. Daripada album 1, 2 dan 3 kita banyak belajar kerana baru bersama. Lama-lama 'chemistry' terjalin.

    "Yang tidak banyak berubah dari segi konsep muzik The Titans adalah lirik lagunya yang rata-rata berkisahkan soal cinta. Meskipun demikian, dalam album Kirana ini mempunyai makna yang lebih dalam," katanya.

    Sebenarnya, album keempat The Titans ini sudah disiapkan sejak tahun lalu. Namun kerana pertimbangan dari segi label, mereka melancarkan dua single terlebih dulu serta satu lagu ketuhanan. Namun berbanding tiga album mereka sebelum ini, The Titans Self Tittled (2007), Melayang Lagi (2008) dan DTT III (2010), kali ini The Titans tampil lebih dewasa.

    Andika menafsirkan album Kirana sebagai sebuah album dewasa yang pernah dihasilkan The Titans. Album yang lebih mudah dan 'easy listening'.

    Lagu yang menghiasi album ini antaranya Hingga Akhir Hidupku, Aku Lelaki, Berjanjilah, Lupakan Aku, Cinta Seutuhnya dan Dirimu.

    Selama kunjungan mereka ke negara ini, The Titans juga terbabit dalam penggambaran video muzik Dengarkanlah yang dihasilkan pengarah tempatan juga kenalan mereka, Kalai.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03



    Seorang gadis rebutan lima jejaka

    Posted: 03 Jan 2013 06:34 AM PST

    NAMA Datuk Eizlan Yusof bukanlah baru dalam dunia seni tanah air. Sehingga kini, pelakon yang memulakan karier pada usia belasan tahun ini sudah membintangi banyak drama.

    Justeru, menerusi pengalaman yang terkumpul, pelakon berusia 42 tahun ini mula mengembangkan sayap dalam bidang pengarahan. Kini Eizlan tampil dengan drama bersiri 5 Bujang yang mula menemui peminat menerusi TV1, RTM bermula 1 Januari lalu.

    Menariknya drama 5 Bujang terbitan Saphire Screen Sdn Bhd, berkonsep komedi dan menggabungkan barisan pelakon hebat iaitu Ako Mustafa, Zed Zaidi, Zul Yahya, Hairul Azreen dan Zarina Zainuddin. Ia disiarkan Isnin hingga Khamis, jam 2.05 petang dalam slot Cindai.

    5 Bujang mengisahkan lima watak utama iaitu Tarmizi, Benn, Otai, Johari dan Borhan yang tinggal serumah. Mereka masing-masing tidak berpendidikan tinggi dan mencari rezeki dengan kerja biasa yang bersesuaian dengan minat masing-masing.


    Hubungan mereka sebagai rakan serumah begitu akrab. Walaupun mereka semua berlainan pekerjaan, tetapi saling mengambil berat erti persahabatan sebenarnya.


    Walaupun Borhan bekerja sebagai chef di restoran dan banyak makan, badannya tetap kurus melidi. Namun, dia ingin dikenali dengan nama panggilan 'Bob' walaupun nama ini sebenarnya popular di kalangan individu bertubuh gempal.

    Kadang-kadang Chef Bob Borhan akan membuat persembahan masakannya di depan pengunjung restoran tersebut. Malah, dia mempunyai kelebihan menyanyi sambil menari ketika masak.

    Bila dia membuat persembahan, istimewanya siap ada pemuzik yang mengiringinya. Walaupun Chef Bob Borhan terkenal, namun dia mempunyai cita-cita pelik iaitu mahu menjadi ahli gusti, menyebabkan dia menjadi bahan gelak ketawa sesiapa yang mendengarnya.

    Mat Taib pula mempunyai cita-cita terpendam sebagai pengarah filem. Nama panggilannya Otai kerana pekerjaan yang dilakukannya sebagai pencetak CD.

    Kerana terlalu mengagungkan P Ramlee, setiap dialog P Ramlee dalam setiap filemnya semua Otai ingat dan kadang-kadang menjadi bahan gurauan bersama rakannya. Otai dapat tahu mengenai sindiket cetak rompak yang dilakukan oleh tauke tempatnya bekerja.

    Dia mula menyiasat kenapa dan mengapa boleh jadi seperti satu sindiket yang mula berleluasa. Sambil bekerja Otai mula tanam semangat untuk cuba hapuskan cetak rompak.

    Begitu juga dengan rakan mereka Johari yang berangan menjadi penyanyi dan mempunyai band sendiri. Dia juga berhasrat menjadi komposer terkenal yang mencipta lagu untuk penyanyi tanah air.

    Yang lucu mengenai Johari, dia menjadi kegemaran pengunjung karaoke. Walaupun sebagai 'cd programmer' sahaja, tetapi Johari suka berinteraksi dengan pengunjung karaoke. Telatah lucunya pasti membuat pengunjung gembira.

    Satu kelebihan ada pada Johari dia sememangnya pandai mengaji. Berlainan dengan perinsip Tarmizi kerana hendak berbakti pada negara, menjadi niat utamanya.

    Duit padanya jatuh pada tangga kedua kerana cintanya pada alam semulajadi.
    Tarmizi bekerja sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital terkenal. Setiap hari Tarmizi akan berdepan dengan pesakit yang pelbagai kerenah.

    Namun, Tarmizi gembira dengan kerjanya yang berbakti pada negara dan manusia. Bagaimanapun cita-cita asalnya ialah menjadi ahli bomba.

    Arbani pula ingin dikenali dengan nama glamour Benn. Dia bekerja di pusat renang terkenal sebagai penjaga kolam renang. Tugasnya ialah mencuci kolam renang dan membantu keperluan ahli renang.

    Benn berbadan besar dan sasa serta cukup syarat menjadi lifeguard. Itulah idamannya sejak mula bekerja di pusat renang dan sebelumnya lagi. Dia mula belajar berenang dan sedar betapa pentingnya tahu berenang.

    Disebalik semua ini, seorang gadis menjadi impian lima jejaka ini, tetapi semuanya tidak tahu isi hati masing-masing. Di dalam setiap angan-angan mereka, wajah gadis ini akan timbul dengan pelbagai watak.

    Bagaimanapun gadis ini mempunyai bapa yang garang dan menakutkan mereka berlima. Semua angan-angan lima sahabat divisualkan ketika mereka bercuti.

    Mereka berkumpul dan memancing serta berkhemah. Apakah yang terjadi sewaktu mereka meluangkan masa bersama itu? Adakah mereka berjaya mencapai cita-cita yang diimpikan? Saksikan kesudahan 5 Bujang arahan Eizlan ini.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Mana wang pampasan?

    Posted: 03 Jan 2013 08:44 AM PST

    KETIKA kehangatan musim baru makin dirasai, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih belum menerima bayaran pampasan perpindahan 'Pemain Paling Bernilai', Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang berhijrah ke Johor Darul Takzim.

    Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa, melahirkan rasa tidak puas hati berhubung isu itu dan mahu ia segera diselesaikan.


    Menurutnya, meskipun Kafa tidak menyekat perpindahan pemain kebangsaan itu, namun hingga hari ini tiada bayaran pampasan dibuat dan beliau turut terkilan kerana saingan Liga M bakal bermula tidak lama lagi.

    Katanya, walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh membenarkan pemain beraksi sebelum melunaskan pampasan, Kafa tidak memandang remeh isu bayaran pampasan perpindahan.


    "Hingga hari ini kami belum puas hati dengan isu Mat Yo kerana dia masih tidak membayar pampasan perpindahannya.


    "Tebus kontrak tidak boleh ditebus melalui mulut atau surat, namun ia perlu disertakan dengan bayaran (wang). Kami harap FAM tidak melonggarkan peraturan mengenai isu perpindahan pemain kerana ia boleh menjejaskan sistem perpindahan pada masa akan datang," katanya.

    Annuar berkata, kontrak Mat Yo masih berbaki 13 bulan dengan nilai kira-kira RM400,000.


    Katanya, walaupun jumlah pampasan hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Rayuan FAM, bayaran sepatutnya dibuat 30 hari selepas tarikh pendaftaran bersama pasukan baru.

    "Sepatutnya kita tidak perlu membuat tuntutan kerana sedia maklum pemain perlu membayar pampasan apabila berpindah ketika masih mempunyai kontrak. Bagaimanapun Kafa sudah membuat tuntutan tetapi tidak menerimanya hingga kini."

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04



    Vilanova kembali kerja

    Posted: 03 Jan 2013 08:40 AM PST

    MADRID: Jurulatih Barcelona, Tito Vilanova kembali bekerja lebih awal daripada jangkaan dan mengendalikan latihan buat kali pertama kelmarin sejak menjalani pembedahan tekak dua minggu lalu.

    Pengendali berusia 44 tahun itu memerlukan pembedahan kali kedua selepas pembedahan awal mengeluarkan tumor dari kelenjar air liurnya pada November 2011 dan penolong jurulatih, Jordi Roura mengisi tempatnya.


    Beliau tidak dijangka kembali hingga pertengahan bulan ini namun melawat pemain pada sebelah pagi dan kemudian mengendalikan latihan sesi petang.

    Ramai pemain skuad itu tidak hadir kerana beraksi buat pasukan Catalunya dalam satu perlawanan persahabatan menentang Nigeria, awal pagi semalam.


    "Jurulatih yang dibedah pada 20 Disember lalu menjadi pendukung utama sesi latihan petang," umum kelab pendahulu La Liga itu dalam laman web rasmi (www.fcbarcelona.es).


    Pemain tengah Cesc Fabregas dan Alex Song pulih daripada kecederaan ringan dialami hujung bulan lalu dan kembali menyertai rakan sepasukan manakala Lionel Messi dan Adriano berlatih lewat berikutan penangguhan penerbangan pulang selepas rehat Krismas dan Tahun Baru.

    Penjaga gol, Victor Valdes menarik diri daripada perlawanan menentang Nigeria kerana kecederaan kaki dan berlatih berasingan.


    Vilanova memulakan rawatan kemoterapi dan radioterapi selepas dibenarkan keluar hospital pada 22 Disember lalu dan presiden kelab, Sandro Rosell berkata, beliau akan menjalani rawatan selain melatih.

    Beliau diketepikan hingga tiga minggu selepas pembedahan pada 2011 sebelum kembali bertugas sebagai pembantu Pep Guardiola dan mengambil alih pasukan apabila rakan karibnya itu meletak jawatan hujung musim lalu.


    Di bawah kendalian Vilanova, Barca melakar rekod permulaan terbaik kempen liga dan mendahului dengan jurang sembilan mata di depan pasukan tangga kedua, Atletico Madrid.


    Perlawanan pertama tahun ini adalah di gelanggang sendiri menentang pencabar setempat, Espanyol, Ahad ini. - Reuters

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Tsunami dari bukit

    Posted: 03 Jan 2013 01:40 PM PST

    SUBANG JAYA: "Ketika memandu kereta, tiba-tiba saya melihat tanah lumpur seperti ombak tsunami datang dari bukit berhampiran dan menimbus kereta saya. Beberapa saat kemudian, satu lagi runtuhan berlaku dan tanahnya menghala ke arah kereta saya.

    "Tanpa berfikir panjang, saya menarik tangan isteri dan keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri," kata Abdul Talib Ramli, 59, seorang daripada lapan mangsa kejadian tanah lumpur di Persiaran Putra Bahagia, Putra Heights, di sini, jam 6.15 petang semalam.

    Dalam kejadian itu, lima kereta, sebuah van dan sebuah motosikal diselaputi lumpur akibat runtuhan tanah dari Bukit Cermin yang jatuh ke dalam takungan air di kaki bukit sebelum melimpah atas jalan.

    Abdul Talib berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri, Siti Laila Othman, 57, dalam perjalanan dari tempat kerja ke rumah di Putra Heights.


    "Keadaan cuaca ketika itu cerah dan tidak hujan," katanya yang memberitahu turut melihat jelas sebuah Perodua Viva dan Toyota Vios yang melalui jalan sama 'bermandi' lumpur.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04



    ‘Zuriat’ tak disangka

    Posted: 03 Jan 2013 01:40 PM PST

    SHAH ALAM: "Doa saya setiap hari agar kami dikurniakan anak, akhirnya dimakbulkan Allah sekalipun dalam keadaan begini.

    "Mungkin penemuan ini ada hikmahnya, saya berasa gembira walaupun geram dan sedih melihat tubuh bayi yang dibiar kesejukan," kata Mohd Zakaria Saharudin, 43, yang menyelamatkan seorang bayi perempuan dipercayai dibuang.

    Bayi perempuan berkenaan ditemui atas lantai tempat buang sampah, berdekatan Kota Kemuning, dekat sini, semalam.

    Mohd Zakaria berkata, dia tidak dapat menahan sebak terutama ketika membuang semut yang menghurungi kepala bayi malang itu sebaik ditemui jam 8.30 pagi berhampiran sebuah tadika swasta di Jalan Anggerik Vanilla bersama lima pekerja syarikatnya.


    "Sebenarnya sejak berkahwin selama 14 tahun, saya belum dikurniakan anak dan tak putus berdoa, bila bertemu bayi dibuang begini, runtun perasaan saya.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04



    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved